Peristiwa Terrorisme 1975 menjadi Renungan untuk 2020

Penulisan Faiz Al-Shahab

 

Pada pertengahan tahun 2020, e-Sentral telah membuat pertandingan menulis esei berkenaan impak wabak Corona kepada masyarakat dan disebabkan ini saya telah diminta untuk membaca berpuluh esei berkenaan Covid-19, lalu saya sudah tepu dan jelak untuk bercerita lagi tentang pandemik yang melanda dunia ini. Hari-hari kita diberi peringatan untuk penjarakkan fizikal, pemakaian pelitup muka, duduk di rumah, bla bla bla…

Saya ingin mengambil peluang ini untuk kita renungkan tahun 2020 dengan mengimbas semula sejarah Malaysia.

Pada satu ketika, negara kita sudah pun ke arah yang lebih mulia dan ketika itu, Kuala Lumpur tidak dipenuhi oleh bangunan pencakar langit pun. Malaysia juga merupakan sebuah masyarakat yang tidak bersifat begitu kapitalis dan tekanan kebendaan tidak ketara. Malah ketika itu, bangunan paling tinggi di Kuala Lumpur adalah bangunan AIA yang terletak di Jalan Ampang.

Bangunan lama AIA ini juga menjadi saksi kepada evolusi kemunduran fikiran Malaysia sehingga kini.

Tercatat dalam sejarah dunia pada 4 Ogos 1975, Kuala Lumpur menjadi tumpuan dunia apabila bangunan AIA ini ditawan oleh kumpulan pengganas JRA (Japanese Red Army) yang menculik lebih daripada 50 orang dalam bangunan itu, antaranya Duta Negara Sweden dan Konsulat Amerika Syarikat, dengan meminta tebusan.

Kejadian ini berlaku bertahun sebelum adanya filem-filem sensasi rundingan terrorisme keluaran Hollywood seperti Con Air (1997), Air Force One (1997), Negotiator (1998), Inside Man (2006), Entebbe (2018), dan yang paling hampir zaman itu, Dog Day Afternoon (1976). Malah tidak pelik jika filem-filem seperti ini mencedok idea daripada peristiwa benar seperti tawanan bangunan AIA.

Peristiwa tawanan bangunan AIA di Kuala Lumpur pada tahun 1975 ini memerlukan pimpinan yang pintar untuk menyelesaikan masalah yang melibatkan berpuluh-puluh nyawa dan sungguh rumit untuk dirunding tanpa mengecewakan mana-mana pihak.

Akhirnya, kejadian yang mirip seperti filem Barat ini diselesaikan tanpa teragutnya sebarang nyawa, dan percayakah tidak, wirawan-wirawan dalam aksi-aksi tawanan bangunan AIA ini bukanlah George Clooney, Denzle Washington atau pun Matt Damon, akan tetapi adalah ahli politik dan kakitangan kerajaan Malaysia.

Untuk pembaca yang belum pernah ketahui kejadian ini, kita berikan sedikit kronologi…selebihnya boleh baca sendiri.

Nak jadi cerita, melalui karisma Tun Ghazali Shafie yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Malaysia berjaya meyakinkan kerajaan Jepun dalam siri rundingan tertekan yang tidak lebih daripada 40 jam, untuk menerbangkan banduan fahaman komunis JRA untuk dijadikan pertukaran tawanan di Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia berjaya meyakinkan kerajaan Sweden, kerajaan Sri Lanka, kerajaan Libya, dan pihak pengganas JRA, untuk berunding sehinggakan ke semua tawanan dibebaskan tanpa sebarang kecederaan. Semuanya berlaku dalam masa tiga hari sahaja.

Untuk rakyat Malaysia yang masih baru kepada cerita ini, kemuncak peristiwa adalah apabila pesawat jet yang membawa banduan JRA dari Jepun tiba di Kuala Lumpur dan pertukaran tawanan dan pengganas dibuat di landasan lapangan terbang, dimana pengganas-pengganas JRA menyertai pesawat yang membawa ketua mereka dari Jepun. Bersama pengganas-pengganas JRA ini, dua orang tawanan baharu rakyat Malaysia disertakan sebagai jaminan perjalanan, iaitu seorang ahli politik dan seorang penjawat awam.

Dua orang wirawan yang menaruh nyawa ini adalah Dato’ Ramli Omar, Timbalan Menteri Pengangkutan kabinet Tun Abdul Razak, dan juga Tan Sri Osman Samsuddin, Setiausaha Agong Kementerian Dalam Negeri, iaitu kementerian kepada Tun Ghazali Shafie, broker persetujuan ini.

Sama ada Dato’ Ramli dan Tan Sri Osman setuju dengan langkah untuk menjadikan diri mereka sebagai tebusan adalah kurang relevan, yang mustahak di sini adalah langkah berani Malaysia di pentas dunia dengan membuat pertukaran tokoh-tokoh penting Negara sebagai tebusan gantian, untuk menyelamatkan bangsa-bangsa asing yang menumpang dan mencari perlindungan di Malaysia ketika itu.

Ini adalah sebuah cerita yang bergred tayangan filem Box Office dan sudah pasti Malaysia mencanangkan cara terbaik untuk mengendali krisis terrorisme secara saksama kepada mata dunia pada zaman 1970an. Negara kecil yang berjiwa besar…

Bandingkan peristiwa ini dan perilaku serta sifat mementingkan diri sendiri yang sering kali kelihatan dalam kalangan pemimpin-pemimpin dan segelintir kakitangan kerajaan Malaysia pada zaman ini, ianya seolah-olah seperti langit dan bumi.

Kualiti perbahasan dan komen-komen tidak cerdik yang sering kedengaran dalam parlimen Malaysia lagi-lagi sejak kebelakangan ini merisaukan rakyat yang prihatin kepada Negara.

Seribu satu alasan yang sentiasa diberikan oleh penjawat awam terhadap mengapa rasional tidak digunapakai dalam membuat keputusan. Ini sudah tentu menyoal perasaan ketidakpunyaan dan harga diri yang melanggar fitrah manusia.

What went wrong? Malaysia telah kehilangan plot asal.

Kefahaman masyarakat terhadap kemajuan hari ini adalah pembangunan, kebendaan, dan penggunaan teknologi tetapi tidak langsung menitik beratkan kematangan berfikir dan maruah.

Kematangan mentaliti rakyat akan membuat sesuatu masyarakat kelihatan yakin dan bereputasi, sama seperti yang dilihat pada 45 tahun lalu yang dipersembahkan oleh tokoh-tokoh ketika itu. Mereka sanggup berkorban demi reputasi Negara.

Pada hari ini, ahli politik yang kalah pun masih liat untuk akur dan senyap-senyap mengundur. Ramai antara mereka tanpa segan silu masih ketagihkan kuasa dan kebendaan, walaupun pada kos dan impak yang negatif kepada rakyat dan ekonomi.

Semuanya sekadar Diva sahaja…

Malah negara yang kita panggil kafir pun lebih gentlemen dalam perihal politik dan memberi laluan kepada generasi yang muda setelah kalah dalam pemilihan.

Jadinya, eloklah kita renungkan peristiwa kewirawan pada 1975, dengan apa yang Malaysia sudah tercapai sekarang pada tahun 2020, dan nekad untuk membaiki apa yang telah rosak, dan mempertingkatkan integriti dan kematangan minda kita dan keluarga kita, untuk kebaikan Negara dan masyarakat setempat.

 

 

Other articles by the Author:

Malaysia: The Inferior Nation Series

Artikel Bahasa Melayu

 

English articles