[SNEAK PEEK] Gadis Dalam Tren

Gadis Dalam Tren oleh Ayumi Syafiqah

BUNYI gril dikunci dan pintu ditutup menandakan Habri sudah meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja. Barulah Airish keluar dari bilik. Fadwa sedang mengemas-ngemas meja makan.

“Awal kau bangun hari ni?” tegur Fadwa. “Nak makan?”

Airish menggeleng lemah. Dia menuang kopi panas di atas meja ke dalam satu cawan. Dia duduk di kerusi dan mula meneguk kopi itu.

Fadwa duduk di depan Airish. “Tadi sementara tunggu Abang Ri siap, aku buka blog kau kejap. Yalah dah lama tak jenguk, aku ingatkan ada update baru, rupanya tak. Bukan tu aje, satu blog kau dah tak ada.”

“Aku dah tutup,” jawab Airish perlahan.

Kepalanya tunduk merenung cawan.

Fadwa terkejut. “Kau tutup?”

Airish diam.

“Kenapa? Kau kata blog tu tempat kau share cerita kau. Your masterpiece. Kenapa tiba-tiba tutup?” Fadwa beralih daripada terkejut kepada hairan.

Airish teguk lagi kopinya. “It’s over now. The blog’s cursed.”

Fadwa terkelip-kelip. “What?”

Airish letak cawan atas meja sebelum bangun.

“Yish, kau okey?” Hairan bertukar jadi bimbang.

Airish terpinga-pinga. “Hmm? Okey.”

“Betul? Kau nampak tak okey.”

“Tak ada apalah. Aku penat aje,” dalih Airish.

“Ada apa lagi nak cakap sebelum aku masuk bilik semula?”

Fadwa angkat sebelah tangan. “Hari tu aku sempat baca blog kau. Entri nombor 25. The Cinderella’s Plot Twist. Kisah Cinderella, but not exactly Cinderella.”

“It’s called plot twist for a reason.”

“Yalah, tapi…”

“Cerita tu dah tamat. Dia mati.”

Dia bunuh diri, kan?”

Airish jongket bahu. “Itu aje soalan kau?”

“Kau tak ada nak buat justification? I mean, kau tak jelaskan betul-betul kenapa dia bunuh diri?”

“Depression. The word speaks for itself. I mean, kalau kau betul-betul fahamlah depression tu apa,” jawab Airish lalu berpusing untuk masuk ke biliknya semula. Dia baring di katil.

Sepanjang malam Airish tak dapat tidur.

Sebenarnya dia yang tak mahu tidur. Dia takut didatangi mimpi ngeri dan setiap kali dia pejam mata, seolah-olah ada sepasang mata yang memerhati di sebalik langsir tingkap.

Dan selebihnya, dia takut berjalan lagi dalam tidur!

“Ayish!”

Airish tersentak. Badannya terus tegak atas katil.

“Ayish, keluarlah! Ada orang hantar surat!”

panggil Fadwa dari luar bilik berselang-seli dengan ketukan di pintu.

Airish turun dari katil dan segera mendapatkan tombol. Daun pintu dikuak. Fadwa berdiri di depan dengan senyuman lebar, sepucuk surat ditayangkan di tangannya. Airish hilang suara.

Fadwa menyerahkan surat itu kepada Airish.

“Aku ingatkan kau pergi date hari tu biasa-biasa aje, ini siap dapat surat cinta! Siap main selit-selit bawah pintu rumah. Old school jugak mamat laptop tu eh?

Kau pun siap bagi dia panggil kau Ayish!” usiknya sambil tergelak-gelak.

Ada rasa hairan, tapi untuk tidak mahu Fadwa syak apa-apa, Airish pantas palsukan senyuman. Ada juga rasa tidak senang di hati tapi dia tetap berlakon ceria.

“Yayy, lucky me,” ujarnya lalu menutup pintu bilik. Surat itu direnung. Nama ‘Ayish’ tertulis di sampul. Takkan Umair yang tulis ni? Dan kalau ya pun

Umar, mana lelaki itu tahu tentang nama panggilannya itu?

Nama Ayish itu pendek jadi tulisannya tak dapat dipastikan milik siapa. Yang pasti, ia sedikit cakar ayam. Nampak macam familiar, tapi…

Terketar-ketar tangan Airish membuka sampul surat itu. Sekeping kertas berlipat ditarik keluar dan dibuka. Hanya ada dua perkataan tertulis dengan tulisan cakar ayam yang sama seperti di luar.

Sama seperti yang pernah dilihat sebelum ini.

TOLONG SAYA.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://mycms.e-sentral.com/book/info/343761/Gadis-Dalam-Tren

[SNEAK PEEK] Belongs To Mr Devil

Belongs To Mr Devil oleh Rinsya Chasiani

AKU dengar suara orang tengah menengking-nengking. Kuat pula tu. Aku telan air liur yang terasa payau. Kenapa dengan aku eh? Badan aku lemas sangat. Nak buka mata pun susah!
“Ara!” Suara mak.
Aku cuba buka mata apabila terasa bahuku digoyang beberapa kali.
“Hmmm…”
“Bangun, Ara! Bangun!” Mak kuatkan suara. Tak pernah lagi aku kena paksa bangun macam ni.
Mula-mula aku nampak muka mak, lepas tu air mata mak. Jatuh berjurai-jurai air mata dia.
“Kenapa mak menangis?” Soalku agak keliru.
Aku cuba nak bangun tapi susah. Mak yang tolong aku duduk. Kepala aku ni pening sangat. Dinding bilik tidur pun macam tengah berdangdut.
“Ara okey tak ni?” Mendengar pertanyaan mak, barulah aku teringat yang tadi aku pitam.
Aku tak sedap hati pula. Kenapa aku pengsan eh? Selama ni aku tak pernah pengsan. Jangan-jangan aku betul-betul kena kanser? Ya ALLAH!
“Apa sebenarnya yang Ara dah buat dengan Malek?” Soal mak dengan nada perlahan. Mak kesat pipinya berkali-kali.
Aku renung wajah mak. “Buat apa? Orang tak buat apa-apa pun. Orang makan aje…” Mindaku jadi beku untuk berfikir. Keliru dengan maksud kata-kata mak itu.
“Ara, kalau abah marah Ara, jangan bagi abah bertambah marah. Ara diam aje. Jangan membantah kalau abah dah buat keputusan.” Mak meraup wajahnya berkali-kali. Dia bangun dari duduknya dan menghela nafas dalam.
Aku tarik tangan mak. “Apa maksud mak?”
“Jom keluar…” Suara mak berubah dingin.
Aku terpinga-pinga apabila mak menarik tanganku. Aku cepat-cepat berdiri dan mengikut langkah mak. Bersungguh juga aku menghalang tubuh dari hilang imbangan. “Mak, orang pening…” Aduku pada mak.
Mak tidak membalas kata-kataku. Dia menolak daun pintu dan keluar tanpa sebarang kata. Serius betul mak sampai timbul rasa gerun di hatiku.
Apabila di ruang tamu, barulah aku perasan yang Abang Malek sedang duduk di atas sofa. Aku pandang mak semula. “Mak, orang tak pakai tudung!” Ucapku separuh berbisik. Mak sendiri kata Abang Malek tu bukan mahram. Aku tak boleh menunjukkan auratku kepadanya walaupun aku dah anggap dia macam abang aku sendiri.
Abah berdiri dan menghadapku. “Ara duduk.” Tegas suara abah. Abah jarang bercakap dengan nada tegas seperti itu lebih-lebih lagi denganku. Akukan satu-satunya anak perempuan abah, tambahan lagi aku ni anak bongsu. Mak, abah dan along jarang-jarang berkasar denganku. Tapi kali ini, aku dapat rasakan yang abah sedang marah. Muka abah ketat sangat. Aku mula risau walaupun tak tahu apa sebab abah bereaksi seperti itu. Kalau tadi aku takut melihat mak, sekarang hatiku pula terasa kecut memandang abah.
Mak dan aku duduk bertentangan dengan Abang Malek. Abah pula duduk di sofa single. Suasana jadi sunyi sepi.
Aku memandang abah dengan jantung yang berdebar-debar. Entah kenapa aku rasa ada sesuatu yang tak kena.
Tadi aku pengsan. Lepas tu aku tak tahu apa yang terjadi. Aku pandang ke arah Abang Malek. Dia sekadar memandang jari jemarinya yang sedang bertaut. Diurut-urut antara jari jemari itu seperti keresahan.
“Malek beritahu pak su sekarang, apa yang Malek dah buat pada Ara?” Abah bertanya.
Aku terkedu. Ada benda lain ke yang Abang Malek buat padaku? Aku rasa abah dah silap. Tapi untuk bertanya, aku tak berani. Mak pun menggenggam tanganku seolah-olah menghalang diriku dari bersuara.
Abang Malek tak menjawab. Dia diam saja. Aku jadi serba-salah apabila mendengar abah mendengus seolah-olah tidak dapat menahan sabar.
“Assalamualaikum…” Suara pak ngah dari luar rumah.
Mak terus bangun meninggalkan ku untuk pergi ke arah pintu. Aku perasan air mata mak jatuh lagi.
Apabila mak ngah dan pak ngah masuk, mak terus memeluk tubuh mak ngah. Abah berdiri sambil bercekak pinggang. Pak ngah mendekati dan segera menyalami abah.
“Kita selesai cara baik. Sabar, Sof.” Pak ngah seolah-olah memujuk abah.
Aku tak tahu nak masuk ke bilik atau tak. Hati ni dah macam nak melompat masuk ke bilik. Entah kenapa aku rasa ketakutan.
“Duduk dulu, Su…” Mak ngah menarik tangan mak dan membawa mak untuk duduk sekali dengannya.
Kini, mak, aku dan mak ngah duduk bertentangan dengan Abang Malek dan pak ngah. Abah masih duduk di tempatnya tadi.
“Apa ceritanya ni?” Soal pak ngah seraya menarik nafas panjang.
“Kami balik dari rumah kak ngah tadi, ingatkan tak ada orang kat rumah. Rumah berkunci. Tapi lampu terpasang. Su cari si Ara ni. Bila Su buka pintu bilik Ara…” Mak pandang ke arah Abang Malek. Semakin lebat air mata mak jatuh ke pipi.
Darahku berderau serta-merta. Aku tertelan air liur. Tubuhku terus mengeras dan kaku.
“Ara tengah tidur. Malek pun tidur sekali dekat katil dengan Ara.” Abah menghabiskan ayat mak.
Aku terasa seperti batu berat menghempap atas kepala. Untuk seketika, duniaku seperti berhenti dari paksinya.
Apa dia? Aku tidur dengan Abang Malek?
Aku menggeleng kepala tidak percaya.
Takkanlah… Tak mungkin…
Mataku tepat memandang wajah Abang Malek yang tidak bergerak dari tempatnya. Dia seperti tiada reaksi dan seolah-olah mengiyakan kata-kata mak dan abah.
Mendengar mak ngah dan pak ngah beristighfar panjang, aku jadi sedih. “Tak… Orang tak tidur dengan Abang Malek.”
Aku mesti menegakkan kebenaran. Aku percaya Abang Malek tak buat apa-apa dekat aku. Tak mungkin!
“Ara tak payah cakap apa-apa. Ara tidur sampai pukul berapa? Cuba tengok jam!” Abah menempelak.
Aku terus menatap jam di dinding. Pukul 11.30 malam. Aku pandang abah lagi. “Ara bukan tidur! Ara pengsan tadi…”
Abah menggeleng kepala sambil mencerlung ke arahku. “Ara pengsan? Kenapa Ara pengsan?”
Aku membisu. Aku pun tak tahu kenapa aku pengsan. Tapi aku rasa, Abang Malek tu tolong aku aje. Cuma aku tak pasti kenapa dia tidur kat katil aku sekali. Masa aku pengsan tadi, jam baru pukul 6 petang. Aku bangun dah pukul 11 malam… 5 jam ke dia tidur dengan aku? Ya ALLAH…
Entah-entah dia ada buat benda tak elok kat aku?
Aku nak tanya Abang Malek kenapa dia pergi tidur kat katil aku tu tapi nak tanya pun tak berani sebab semua orang tengah tegang. Mak ngah pun dah ikut menangis dengan mak. Aku buntu sangat!
“Malek buat apa dekat Ara? Ara kan adik Malek… Dia tak habis sekolah menengah lagi, Malek!” Jerkah pak ngah hilang sabar.
Aku tertelan air liur. Dadaku berdebar gila. Aku takut perkara ni sampai kepada orang lain lebih-lebih lagi kawan-kawanku. Nanti mana aku nak letak muka? Cikgu-cikgu pun mesti pandang serong kat aku. Walhal aku langsung tak buat perkara yang bukan-bukan dengan Abang Malek!
“Malek!” Pak ngah menyentuh bahu Abang Malek kasar.
“Saya dah sentuh dia.”
Bukkk!
Pak ngah menumbuk muka Abang Malek.
Aku menekup mulut gara-gara terkejut. Terkejut dengan pengakuan Abang Malek yang langsung membuatkan aku menggigil, dan terkejut dengan tindakan spontan pak ngah.
“Allah, bang… Bang…” Mak ngah segera bangun untuk menghalang tindakan pak ngah.
Aku pandang abah dan mak silih berganti. Mak kelihatan sangat lemah. Abah pula menatapku dengan air mata yang bertakung berat.
Aku menggeleng kepala.
Tak mungkin… Tak mungkin… Tak mungkin…
Beberapa ketika, pak ngah meraup muka berkali-kali. Mak ngah memeluk pak ngah erat. Dan Abang Malek tetap menunduk tanpa menunjukkan sebarang ekspresi.
Aku pula… masih tidak percaya.
“Macam ni lah. Sebab Malek sendiri dah mengaku, kita kahwinkan Malek dengan Ara…” Pak ngah buat keputusan.
Aku tersentak. Kali ini aku tidak mampu mengawal emosi. Air mataku laju turun ke pipi. Lama kelamaan aku teresak-esak sendiri. Aku tak nak kecewakan mak. Aku tak nak buat abah sedih. Tapi sekarang ni mak dan abah dah macam tak nak pedulikan aku.
Dan kalau betul Malek tu dah sentuh aku, dia memang binatang! Sanggup dia sentuh aku sedangkan aku ni adik dua pupu dia?
“Esok kita uruskan sama-sama. Ara tak payah sekolah.” Abah bersuara dengan suara yang sedikit bergetar.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/343356/Belongs-To-Mr-Devil’

[SNEAK PEEK] Relakah Hati Terus Mencintai

Relakah Hati Terus Mencintai oleh Farisha Imani

“SHAWN, lepaskan saya. Saya merayu. Jangan buat saya macam ni.” Sambil merayu Nabiha cuba melepaskan pegangan Shawn. Jarinya yang baru dijahit tadi terasa sangat pedih dan sakit. Darah kembali menghiasi kain kasa yang membaluti jari. Mungkin jahitannya sudah terbuka semula.
“Jangan buat saya macam ni. Saya… saya minta maaf.”
“Baru sekarang kau nak minta maaf. Kenapa? Kau takut? Kau takut aku bunuh kau?”
Hati Nabiha makin longlai. Shawn… Shawn ada niat itu. Untuk melihat dia mati. Allah…
“Istighfar, awak. Istighfar. Ingat Allah.”
“Pergi mati dengan istighfar kau!” Dia terus mengheret wanita itu hingga di hadapan pintu kondo.
“Kau dah berjaya buat aku makin benci pada kau, Biha. Kau dah berjaya!” Sebaik melangkah masuk ke dalam kondo, sekali lagi Shawn mengheret Nabiha menuju ke bilik.
Daun pintu bilik Nabiha dikuak. Tubuh lemah Nabiha ditolak kuat. Hampir tersembam Nabiha ke lantai.
“Aku takkan bagi kau keluar lagi dari bilik ni. Biar kau mati dalam bilik ni. Mati! Arghhh!” Dihempas kuat pintu bilik. Segera dikunci pintu itu dari luar.
Yang anehnya tiada sebarang rayuan dari dalam sana. Shawn agak terpanar. Kenapa Nabiha diam?
Kurang ajar punya perempuan! Kau dah rendahkan maruah aku!
Adakah Nabiha tidak terkesan langsung dengan kata-katanya tadi? Juga dengan hukumannya ini?
“Shit!”
Penumbuk dikepal. “Tak apa. Aku nak tengok lama mana kau mampu bertahan. Aku takkan bagi kau makan atau minum. Kau boleh mereput dalam tu sorang-sorang. Kau boleh mati, Nabiha. Pergi mampus kau!”
Dum!
Pintu bilik ditendang sekuat hati. Shawn tak betah lagi duduk di situ. Hatinya yang sedang berapi ini perlu segera disejukkan.
Telefon bimbit segera dikeluarkan dari poket seluar. Nombor Farid didail.
“Helo, Rid.”
Dan pertemuan segera diaturkan.

“AKU benci dia, Rid. Aku benci dia! Aku benci!”
Dum. Meja ditumbuk kuat. Habis berkocak minuman haram yang ada di hadapannya. Dengan rasa geram yang masih menggunung, diteguk air itu tanpa sedikit pun rasa berdosa. Halal haram sudah tiada bezanya lagi.
“Kalau kau benci, kau ceraikan aje dia tu. Habis cerita.” Farid memberi usul. Dia juga meneguk perlahan minuman haram itu tanpa rasa bersalah. Malam ini mereka berdua lepak di bilik yang lebih eksklusif. Tanpa gangguan sesiapa atau muzik yang membingitkan telinga.
“Cerai? Kau gila ke apa? Aku sengaja perangkap dia untuk kahwin dengan aku sebab aku nak seksa dia. Aku takkan senang-senang ceraikan dialah, bodoh!” Kepala Farid cuba ditonyoh. Farid yang sudah kemabukan, tidak sempat elak. Reda saja kepalanya diperlakukan seperti itu oleh Shawn.
“Kalau macam tu… kau… kau jahanamkan aje dia.” Farid memberi cadangan gilanya lagi. Terhuyung-hayang dia cuba mencapai botol wiski yang seterusnya. Namun dihalang oleh Shawn.
“Maksud kau?” Dirembat botol dari tangan Farid. Dengan mata layu, Shawn cuba fokus pada apa yang ingin Farid sampaikan.
Farid tersenyum senget. Botol wiski yang Shawn pegang dirampasnya semula. Diteguk air kencing syaitan itu dengan rakus.
“Alang-alang kau dah kahwin dengan dia, kau trylah dia sekali. Tak pun berkali-kali. Dia kan bini kau. Mana berdosa pun.” Farid tergelak besar. Namun tak bertahan lama dia gelak macam tu. Shawn bertindak meluru ke arahnya dan menghenyak tubuhnya ke kerusi. Kolar baju direntap.
“Aku bukan gila seks macam kaulah, bodoh! Aku takkan kotorkan diri aku untuk buat semua tu dengan perempuan yang aku tak suka. Bodoh!” Ditumbuk pipi Farid tanpa rasa bersalah.
Farid terus menolak tubuh Shawn. Dia hampir melayangkan penumbuk ke perut Shawn namun Shawn lebih dulu terlentang di atas sofa. Farid yang sudah terhuyung-hayang rebah di atas lantai. Mereka berdua sama-sama sudah hilang kewarasan.
“Aku… aku ada plan yang lebih jahat dari tu. Aku tak inginkan tubuh dia. Aku… aku cuma… aku cuma nak tengok dia mati! Mati!”
Matanya mula tertutup. Baik dia dan Farid masing-masing sudah tidak sedarkan diri.

KESAKITAN yang dirasa cuba ditahan. Berkerut-kerut Nabiha menahan rasa sakit yang mencengkam jarinya yang terluka. Jahitan pada jarinya kembali terbuka. Darah sudah mengalir semula. Semua ini gara-gara perbuatan Shawn tadi. Lelaki itu terlalu kejam kepadanya.
Hanya air mata yang berbicara kini. Sungguh Nabiha sudah tidak mampu bertahan lagi. Dia sudah nekad. Dia akan lari dari rumah ni. Sebaik saja Shawn mengeluarkan dirinya dari bilik ini, dia akan lari sejauh mungkin dari lelaki itu. Biarlah. Biarlah dia digelar isteri derhaka. Dalam keadaan didera jiwa dan fizikalnya, Nabiha tak sanggup lagi untuk bertahan. Bertahan demi seorang suami yang turut derhaka. Adakah berbaloi pengorbanannya? Sudah tentu tidak!
Aku mengalah, ya Allah. Aku kalah dengan ujian yang Kau bagi. Aku mahukan perpisahan berlaku antara aku dan Shawn. Tolong lepaskan aku dari cengkaman dia, ya Allah. Aku hanya ada Engkau untuk menjadikan itu satu kenyataan. Tolong aku… Tolong aku, ya Allah…
Aku dah tak sanggup pertahankan jodoh ini lagi. Aku tak sanggup bertahan dalam ujian ini. Ampunkan aku. Aku hamba-Mu yang lemah.
Aku… aku menyesal pilih dia, percayakan dia dan… simpan rasa sayang ini dalam hati aku. Hapuskan rasa yang baru tumbuh ini, ya Allah. Aku mohon Kau lenyapkan rasa ini…
Tubuhnya terjelepok ke lantai. Nabiha menangisi nasib malangnya.
Malam itu berbekalkan cahaya dari luar tingkap, Nabiha tidur bertemankan linangan air mata. Rasa sakit yang berdenyut di tangan tidak mampu mengatasi rasa sakit dalam jiwanya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338156/Relakah-Hati-Terus-Mencintai

[SNEAK PEEK] Nyctophilia

Nyctophilia oleh Ayeshah Amani

KHEN tenang memandu Mustang kesayangannya. Walaupun beberapa kali dia mendengus kasar saat melalui jalan kampung yang banyak berlubang, dia cuba untuk bersabar asalkan dia dapat memandu kembali kereta kesayangannya itu.

Dari ekor mata, dia perasan terdapat banyak mata-mata penduduk kampung di sini ternganga luas apabila melihat kereta miliknya melintasi kawasan rumah mereka. Sebelum ini mereka tidak bersikap sebegitu kerana dia menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di sini untuk menuju ke bandar.

Menjeling ke tempat duduk belakang, bayangan beg membeli-belah pelbagai saiz yang datang dari pelbagai jenama mewah membuatkan dia mengherot senyum. Bukan sahaja dia membeli pakaiannya sahaja, pakaian Anggun turut sama dibeli. Rimas biji matanya melihat bayangan T-shirt lusuh dan kain batik yang tersarung pada tubuh isterinya itu. Terlalu kampung dan tidak menepati seleranya.

Membelok masuk ke simpang rumah Anggun, bayangan beberapa buah kereta yang terparkir dalam halaman rumah membuatkan banyak tanda soal mula terlakar dalam kepala. Menarik turun brek tangan, enjin kereta mula dimatikan. Membuka pintu kereta, leher Khen mula memanjang menjenguk ke dalam rumah melalui jendela yang terpelohong luas. Automatik perbualan demi perbualan menerjah kokleanya.

“Kau dah buat apa dekat muka anak aku ni hah, Anggun? Kau tengok, kau tengok! Pecah dah muka anak aku ni. Katanya ada jantan yang pukul dia masa dia nak ke sini. Aku nak tahu siapa jantan tu? Kau simpan ke jantan tu dalam rumah ni?”

Suara Zaiton mula nyaring bergema ke pelosok rumah. Dengan berdiri mencekak pinggang, tangannya sekejap mengunjuk ke situ dan ke sana. Tangannya bergerak seiring dengan kata-kata yang terpacul dari bibirnya.

Ishaq yang duduk di sisi emaknya hanya mampu menunduk diam. Namun tanpa emaknya menyedari, sempat senyum mengejek terukir pada bibirnya. Mahu menyinis malapetaka yang menimpa Anggun disebabkan oleh dirinya.

Rasakan! Siapa suruh kau tolak aku pada malam tu, betina.

“Demi Allah, mak long. Anggun tak tahu apa yang mak long cakapkan ni…” Perlahan suara Anggun menutur kata. Sudahlah dia keseorangan di sini. Amani masih belum pulang dari kerja. Jika tidak, selalunya sepupunya itu ada di sisinya untuk menemankan.

Bush!

Bahu Anggun ternaik apabila rasa terkujat menyerang diri. Gelas air masak yang disediakan buat ibu saudaranya itu kini sudah selamat tersimbah pada wajahnya. Habis tudung dan bajunya basah.

Namun begitu, tangannya tetap terkial-kial naik menyeka cairan yang membasahi raut wajahnya.

“Jangan guna nama Tuhan untuk tutup perangai sundal kau tu lah, betina! Kau dengan mak kau, dua-dua sama. Aku tak tahulah kenapa bapak kau tu menikah senyap-senyap dengan mak kau tu dekat Thailand sana. Tok abah dan tok mek pun tak restulah perkahwinan orang tua kau yang dah mampus tu. Sepatutnya, kau pun ikut sekali mak dan bapak kau mati. Hidup tak habis-habis menyusahkan!” Tangan Zaiton menunjal kasar sisi kepala Anggun.

Anggun menggenggam sisi baju kurungnya dengan bibir yang terketap kejap. Juring mata yang panas ditahan supaya tidak menakung cairan jernih. Ya Rabbi, kuatkanlah aku…

“Jumpa tak lelaki tu dalam rumah ni, Zakaria?”

“Tak ada, along. Puas dah aku geledah. Tak jumpa apa-apa.”

“Kau Zul, jumpa tak apa-apa?”

“Sama. Tak ada jugalah, along.”

“Kau…” Zaiton sudah pun menarik sanggul Anggun yang terlindung balik tudung. “…cakap dengan aku, mana kau sorokkan jantan tu?”

“Ta… tak, maklong…”

Pang!

Anggun jatuh terduduk apabila tamparan Zaiton melekat pada wajahnya.

“Kau betina sundal, aku tahu kau ada sorokkan jantan dalam rumah ni. Anak aku sendiri cakap dia nampak kau berduaan dengan jantan tu dalam rumah ni. Bagitahu cepat! Kalau tak…”

“Kalau tak, apa?” soal Khen dingin. Menyeluk kedua belah tangan ke dalam poket jeans miliknya. Wajahnya yang tadinya menunduk sudah pun tegak merenung satu demi satu wajah manusia di hadapannya itu. Urat biru sudah pun timbul pada dahi luasnya. Rahang simetri itu sudah pun bergerak-gerak.

Ishaq yang sewaktu itu sedang duduk di sisi emaknya terus sahaja bangkit dari duduk. Menjuih bibir, jari telunjuknya diarahkan kepada Khen yang berdiri di juring pintu rumah.

“Inilah jantan tu, mak. Ishaq sendiri nampak dia ada dalam rumah ni dengan Anggun.”

Bang!

Ishaq terlolong kuat apabila sebutir peluru sipi-sipi menembusi hujung cuping telinganya. Terus sahaja tangannya naik menekup telinganya yang berdarah itu. Cairan darah segar memancut deras membasahi baju dan kusyen yang didudukinya.

“Ya Allah, Ishaq!” Zaiton sudah pun mendapatkan anak lelakinya yang sudah terkulai layu itu. Wajah Ishaq yang sedang menahan sakit dan wajah Khen dipandang silih berganti. Tubuhnya mula meligih menahan rasa takut yang menghentam diri apabila melihat wajah dingin Khen.

“Kau tengok apa tu, Zul dengan Zakaria?! Cepatlah buat apa-apa!” Suara Zaiton sudah pun ternaik seoktaf. Panas hatinya melihat kedua-dua orang adik iparnya itu hanya memencilkan diri di penjuru ruang tamu.

Zul dan Zakaria tidak berani berbuat apa-apa. Ekor mata mereka jelas dihidangkan dengan sepucuk pistol di tangan Khen. Mereka tidak mahu menempah maut secara percuma.

Gila ke apa nak tolong? Nyawa kot!

Dengan wajah bengis, Khen membawa langkahnya merentasi satu demi satu manusia yang berada di dalam rumahnya. Penuh berhati-hati dia memaut tubuh Anggun yang jatuh terduduk itu merapat ke sisi.

“Once you touch what is mine, all of you will die. Perempuan yang kau hina-hina ni, isteri aku. Kau boleh tanya dekat Zuhair dan Zaleha. Siapa yang berani sentuh Anggun, this gun will talk to your head, fuckers!”

Mendengar itu, Zaiton terus sahaja memaut tubuh Ishaq segera keluar dari rumah itu. Tidak lupa juga dengan Zul dan Zakaria. Terus sahaja mereka membawa langkah seperti lipas kudung apabila ugutan Khen menerjah pendengaran mereka.

“Kenapa awak tembak Ishaq?” soal Anggun senada. Menengadahkan kepala, kedua belah anak matanya lurus ke hadapan. Bibir dikemam penuh kejap. Kedua belah tangan dikepal kuat.

Terasa kukunya mencengkam perut tangannya. Perit. Tetapi, perit lagi rasa sakit yang menjalar di perdu hatinya disebabkan Khen.

Khen tidak menjawab. Sebaliknya dia berdiri tegak di hadapan Anggun. Wajah merah itu kini menjadi persinggahan anak matanya.

“Mind your own business.”

“Lepas ni awak nak bunuh siapa pula? Mak su saya, pak su saya? Ke, saya?” soal Anggun bertalu-talu. Dadanya semakin dihimpit rasa sakit apabila pertanyaannya tadi dijawab penuh angkuh oleh Khen.

Kaki Khen yang mahu melangkah ke luar rumah automatik terhenti. Melekapkan tangan pada dinding, bahunya kini mula menegang.

Bait bicara Anggun yang menujah pendengarannya membuatkan emosinya yang mula reda kini melahar kembali.

“I will kill you if you disobey my orders, Anggun. You need to know that. Don’t make me angry if you didn’t want me to make you suffer. I really mean it what I’m saying just now,” tutur Khen di sebalik gigi yang terkacing rapat.

“Bunuh sahaja saya. Tak perlu sentuh ahli keluarga saya yang lain!” Bibir Anggun mula meligih halus. Tekaknya bagai dijerut pasir apabila mengenangkan betapa peritnya apa yang dia lalui ketika ini.

Sudahlah dia tidak mampu melihat, dikurniakan pula lelaki panas baran seperti Khen menjadi suaminya. Ya, memang dia minta lelaki itu mengahwininya untuk menghalalkan apa yang haram.

Tetapi, jika terus-menerus lelaki itu menyeksanya dengan cara sebegitu, perlukah dia mencabut jantungnya yang berdenyut lagu perit itu dari soketnya? Ya Tuhan…

Sakit! Ia terlalu sakit untuk ditanggung.

“Mean people like them. You call them your family? Kau sedar tak apa yang kau cakap ni?” Suara Khen sudah melengking tinggi.

“Buruk mana pun mereka, mereka tetap darah daging saya. Even though you are my husband, I know that you will leave me after this. Jangan lindungi saya. Jangan buat seolah-olah awak kisahkan hidup saya sedangkan awak tak maksudkannya! We are totally different. Mungkin hati awak tak mampu merasakan apa yang saya rasa. Tapi… tak bermaksud awak boleh sesuka hati sakitkan saya.” Sebaik sahaja menuturkan kata-kata itu, cecair jernih sudah selamat menerjuni ceruk pipi Anggun. Bahunya mula terhinggut halus menahan emosi yang membedil dada.

Awak tak faham saya ke Zaheen? Susah sangat ke awak untuk jaga hati saya?

Di birai pintu, pautan tangan Khen pada dinding semakin mengejap. Urat tangan dan bahunya kian menegang apabila kata-kata itu menyapa hujung telinganya.

Memusing tubuh, langkah kaki galahnya sudah pun dibawa ke arah kerusi yang diduduki Anggun. Menarik kepala Anggun, kedua belah tangannya dibawa rapat ke sisi kepala isterinya.

Dahinya ditemukan pada dahi luas itu.

“I will eliminate every one who hurts my own belongings. So, show me that you don’t want to be mine. If not so, your heart is gonna get hurt.” Memejamkan mata, kata-kata itu dibisik keras buat pendengaran Anggun. Serta-merta, pautannya pada sisi wajah Anggun dileraikan.

Mendengar itu, Anggun terus sahaja menekurkan wajah ke bawah. Air mata yang mahu mengalir automatik terhenti.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/342592/NYCTOPHILIA

[SNEAK PEEK] Nama Aku Syaiful Rizal

Nama Aku Syaiful Rizal oleh Rina Khan

SUASANA bilik pengantin itu riuh-rendah dengan gurauan dan usikan dari sepupu dan BFF Haniza yang seramai 5 orang itu. Masing-masing hendak mengenakan Haniza, bakal pengantin yang sedang disolek oleh mak andam. Ada saja yang mereka selorohkan. Namun Pya yang turut berada di dalam bilik itu tidak teruja untuk ikut sama mempersendakan Haniza yang bakal menjadi isteri orang esok hari.
Pya lebih senang melayan jiwanya sendiri sambil memain-mainkan gelang tangan yang bergantungan pelbagai motif comel di tangannya. Ada rama-rama, kasut tumit tinggi, tiara, bintang, bunga, pokok kelapa, hati dan macam-macam lagi. Gelang jurai jenama Thomas Sabo itu baru saja dibelikan oleh Jep untuk Pya siang tadi. Hatinya terasa penuh dan sarat dengan kebahagiaan saat ini. Masakan tidak, cinta yang didambakan selama lebih sepuluh tahun kini akhirnya menjadi miliknya jua. Tergedik-gedik hati Pya membayangkan, suatu hari nanti dia juga akan melalui saat yang sedang dialami oleh Haniza, di mana dia akan menjadi pengantin bersama buah hatinya, Jep. Senyuman bahagia terukir dengan sendiri di wajahnya, bila terbayangkan momen yang entah tahun bila akan jadi kenyataan itu.
Manakala di luar rumah teres dua tingkat itu, suasana agak meriah dengan kunjungan kaum keluarga dan sahabat handai yang datang untuk meraikan hari bersejarah anak dara tunggal Pak Husin. Kaum ibu sedang leka berbual sesama sendiri sambil dilayan oleh Mak Chah, ibu saudara Haniza yang mengambil alih tempat ibu Haniza yang telah kembali ke rahmatullah, sebagai tuan rumah di majlis berinai ini.
Seketika kemudian sebuah Toyota Vellfire hitam berhenti mengejut di sisi kanopi. Lima orang lelaki berbangsa India dan seorang berbangsa Cina keluar dari kereta itu dengan muka bengis sambil bertanya dengan kasar.
“Husin mana?! Husin!”
Semua tetamu merasa gempar. Masing-masing berpandangan sesama sendiri dalam perasaan tertanya-tanya, ketakutan.
“Pekak ka semua orang?!” bentak Dino sambil menepuk meja dengan kasar. Beberapa orang mak cik yang berada dekat situ terus termelatah tanpa sengaja.
“Apa hal ni? Kenapa datang sini buat kacau? Orang tengah buat kenduri ni,” kata Mak Chah, memberanikan diri menghadapi lelaki-lelaki asing yang kelihatan seperti hendak melapah orang gayanya. Dino terus mencekak tudung Mak Chah membuatkan Mak Chah terjerit.
“Husin mana?!” jerit Dino, cuba mengalahkan suara jeritan Mak Chah yang nyaring.
“Husiiinnn!” jerit Mak Chah spontan sambil tangannya memaut tudung yang masih dicekak oleh Dino, takut tercabut dari kepalanya.
Dino bagi isyarat kepada Thomas supaya masuk ke dalam rumah. Bergegas Thomas, Mathan dan Ah Kok masuk ke dalam rumah sambil melaung-laung nama Husin.
Manakala para tetamu yang lain terus tergamam dan kejung di tempat masing-masing. Tak tahu nak buat apa menyaksikan kebiadaban tetamu tak diundang ini. Akhirnya Dino lepaskan Mak Chah dan ikut masuk ke dalam rumah.
Thomas yang memanggil-manggil Husin di dalam rumah membuatkan beberapa kaum wanita menjadi terkejut dan marah.
“Woi, kau apa hal masuk rumah orang dengan pakai kasut ni?!” bentak Lily yang baru keluar dari ruang dapur sambil membawa sedulang kuih seri muka.
Thomas tolak Lily dengan kasar sambil menjerkah.
“Husin mana?!” Lily jatuh tersembam. Kuih di atas dulang di tangannya bertaburan ke atas lantai.
“Biadablah ni! Kau apa hal, hah?!” pekik Lily yang semakin geram.
Beberapa orang anak dara telah lari ke arah surau yang terletak kira-kira 250 meter dari rumah Pak Husin, hendak meminta tolong dari para jemaah yang sedang mengerjakan solat isyak.
Ketika itu Pak Husin keluar dari bilik air dalam keadaan tergopoh-gapah.
“Apa hal bising-bising ni?” bentak Pak Husin dengan dahi berkerut dan muka panik perhati keliling.
Dino yang baru tiba dalam rumah itu terus menyampuk.
“Husin mana? Kasi Husin sama saya, kalau lu orang mahu selamat!”
“Woi, kau dah gila ke apa? Apa hal kau cari aku?!” herdik Pak Husin balik, terbakar dada menyaksikan kebiadaban lelaki-lelaki yang tak dikenalinya ini.
Dino terus mengacukan pistolnya ke arah Pak Husin, membuatkan Pak Husin tergamam. Manakala para wanita yang menyaksikan kejadian itu, terus menjerit bagaikan orang histeria.
“Where’s my money?” tanya Dino dengan muka nekad untuk membunuh.
“Kau cakap apa ni? Duit apa benda?!” jerit Pak Husin semula, makin keliru dengan segala huru-hara yang ditimbulkan oleh kumpulan gagak hitam ini.
“You jangan pura-pura tak tahu. You sudah rompak saya punya rumah, angkat semua wang, sekarang mahu tanya apa wang? Kalau you mahu selamat, give me back my money. Now!” jerit Dino sambil maju setapak, dengan pistol masih teracung ke arah dada Pak Husin.
“Kurang ajar!” pekik Pak Husin sambil meluru ke arah Dino dengan tangan mendahului, hendak menampar lelaki India kurang ajar itu. Bang!
Satu tembakan dilepaskan. Langkah Pak Husin termati di tengah jalan. Tangannya terus mendekap dada sambil mukanya berkerut dalam, menahan sakit yang tiba-tiba menerpa, mengasak semua rongga tubuhnya sehingga nafas terasa tersekat di kerongkong. Manakala, para tetamu pula bertempiaran sambil menjerit sakan, bagai kambing dikejar buaya.
Dentuman pistol Dino menarik Haniza, Pya dan yang lain-lain bergegas keluar dari bilik pengantin dengan wajah cemas terpinga-pinga. Sebaik melihat bapanya yang telah tersembam di atas lantai, berdekatan dengan kaki Dino yang masih mengacu pistol ke arah Pak Husin, Haniza terus menjerit sambil berkejar ke sisi bapanya.
“Abahhh!!!”
Pya turut berkejar, dengan niat nak menghalang Haniza dari merempuh bahaya, tapi terlambat. Thomas terus tangkap Pya, menghalangnya dari mendekati Pak Husin yang sedang merintih kesakitan. Manakala Dino pula, segera merangkul tengkuk Haniza yang sedang menggelinjang dari belakang, membuatkan Haniza tercekik, tidak dapat melepaskan diri.
“Haniza!” jerit Pya yang terkejut melihat Haniza terperangkap di dalam kekangan Dino dan konco-konconya. “Lepaskan dia, celaka!”
Bang! Satu lagi tembakan dilepaskan, kali ini mengena tepat ke dada Pya. Darah tersembur dari mulut Pya. Seluruh tubuhnya menjadi kejung dan kaku serta-merta. Sesaat kemudian tubuh kaku Pya melorot ke atas lantai dan tidak bernafas lagi.
Dino tolak Haniza kepada Thomas.
“Bagi balik duit aku, kalau kau tak nak anak kau mati!” ugut Dino sambil mencampakkan sekeping kad nama ke arah Pak Husin yang masih mengerang di atas lantai. Tanpa amaran, Dino tendang perut Pak Husin lalu keluar dari rumah itu dengan konco-konconya. Thomas yang masih mengekang Haniza, terus mengheretnya keluar bersama mereka. Baik Thomas mahupun Dino, langsung tak pedulikan keadaan Haniza yang tercungap-cungap menghela nafas akibat cekakan tangan Thomas di tengkuknya.
Hanya setelah Dino berserta konco-konconya keluar dari rumah itu, barulah mereka yang lain kelam-kabut mendapatkan Pak Husin dan Pya yang terdampar di atas lantai.
Manakala di luar rumah, kereta Toyota Vellfire yang tiba bagikan puting beliung telah pun berlalu bagaikan ribut taufan. Toyota Vellfire yang dipandu oleh Xavier itu hampir berlanggar dengan kereta Eddy yang baru sampai. Meski Eddy sempat mengelak dan menyumpah seranah kereta tersebut, namun disebabkan dia tak sempat memandang pemandu gila itu, dia tak sedar bahawa dia baru saja berselisih dengan geruh.
Jep keluar dari kereta Eddy dengan wajah terpinga-pinga, hairan melihat keadaan kerusi meja yang berterabur, bagaikan baru lepas dilanggar garuda. Eddy juga kehairanan melihat orang ramai berpusu-pusu di pintu masuk rumah Pak Husin, sedangkan kawasan kanopi yang sepatutnya lebih selesa, langsung tak dihiraukan.
“Apa hal ni? Ada cabutan bertuah ke apa?” tanya Eddy kepada Jep sambil mereka menuju ke arah pintu rumah Pak Husin.
“Kenapa, bang? Ada apa ni?” tanya Jep kepada seorang lelaki yang sedang merokok sambil merakam video melalui telefon bimbitnya.
“Ada orang baru kena tembak kat dalam tu. Pak Husin rasanya,” jawab lelaki itu tanpa mengalihkan mata dari skrin telefon bimbitnya.
Jep dan Eddy tersentak mendengar berita itu. Kelam-kabut mereka merempuh kumpulan tetamu yang bersesak-sesak di hadapan pintu rumah Pak Husin sambil melaung.
“Air panas! Ke tepi! Ke tepi, air panas!” pekik Jep, mengejutkan mereka yang berada di muka pintu itu.
Spontan laluan dibuka dan mereka dapat menerobos ke dalam rumah. Masing-masing terpinga-pinga. Mereka semakin panik apabila melihat tompokan darah di atas lantai, manakala dua kelompok manusia sedang mengerumuni dua orang yang terbaring di atas lantai.
Eddy segera mendapatkan Pak Husin yang dipangku oleh Mak Chah yang sedang menangis teruk.
“Kenapa ni, mak cik? Apa dah jadi?” tanya Eddy.
Manakala Jep pula kaget apabila melihat Pya berlumuran darah atas ribaan seorang wanita yang tak dikenali. Lalu dia bergegas menghampiri Pya dan menariknya dari ribaan wanita itu.
“Kenapa dengan Pya, kak? Apa dah jadi? Pya?! Pya, bangun, Pya. Kenapa awak berdarah ni?”
“Dia dah tak ada, dik,” jelas wanita itu dalam nada sebak, membuatkan Jep ternganga memandangnya seketika.
“Tak ada apa? Ini bukan Pya?!” bentak Jep yang tak berniat biadab. “Pya! Bangun, Pya. Pya?!”
“Dia dah meninggal, kena tembak dengan India tu tadi,” ujar wanita itu lagi.
Tak semena-mena Jep menjerit sekuat hatinya.
“Tidakkk!!!” Melepaskan kepiluan yang dialaminya sejak melihat tubuh Pya terkujur di atas lantai rumah itu sebentar tadi. Separuh dari nyawanya terasa ikut melayang bersama jeritan itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338154/Nama-Aku-Syaiful-Rizal

[SNEAK PEEK] Nufah

Nufah oleh Shima Rostam

“DAH jumpa Nunu? Apa katanya?”

Sebaik-baik sahaja melihat kelibat anaknya, Syarifah Manora terus bertanya. Tidak sabar hendak tahu dan dalam masa yang sama dia berharap Nufah tetap dengan keputusannya. Dari dahulu lagi dia tidak berkenan dengan gadis itu. Penampilan dan sikapnya tidak menepati kriteria menantu idamannya.
Tengku Firash menggeleng kepala. Menyesal sekalipun, sudah tiada gunanya. Nufah tidak akan kembali lagi. Dian pun sudah pandai mendesak. Pagi tadi dia menerima gambar alat ujian kehamilan daripada Dian. Dua garisan pada alat tersebut, sudah cukup menyatakan yang dia perlu bertanggungjawab terhadap wanita itu. Apa lagi pilihan yang dia ada.
“Nunu dah pergi. Dian akan gantikan tempat Nunu. Majlis tetap diteruskan,” beritahu Tengku Firash.
Syarifah Manora terkejut, tetapi dia sudah boleh mengagak. Dia sendiri lebih sukakan sepupu Nufah menjadi teman anaknya. Dian lebih mesra dan pandai mengambil hatinya. Berbeza dengan Nufah yang agak pendiam dan malu-malu. Dian juga pandai bergaya dan pandai membawa diri. Kalau Dian menjadi menantunya, dia tidak malu membawa gadis itu ke majlis sosialnya. Malah bangga mendapat menantu yang cantik dan bijak.
“Okey, Mummy setuju. Sejak dulu lagi mummy tahu Dian lebih sesuai jadi menantu mummy,” ujar Syarifah Manora gembira.
“Mummy uruskanlah apa yang patut.” Tengku Firash lepas tangan.
Tengku Fateh mendengar tanpa masuk campur. Dia tahu apa yang berlaku di pejabat. Mungkin Tengku Firash lupa, di pejabat ada dipasang CCTV. Di dalam pejabat Tengku Firash pun ada CCTV tersembunyi, jadi dia tahu apa yang telah anaknya dan Dian lakukan. Dia kesal. Tengku Firash tidak pandai memilih.

*****
MENERIMA panggilan daripada Syarifah Manora membuatkan Dian mahu melompat ke bintang. Usahanya telah membuahkan hasil. Impiannya tidak lama lagi akan terlaksana. Tidak sabar untuk bergelar isteri kepada Tengku Firash.
“Nanti mummy datang jumpa ibu dan atuk Dian.
Kita kena uruskan cepat. Majlis tinggal lagi tiga minggu saja,” omel Syarifah Manora.
“Bila mummy nak datang? Nanti Dian bagi tahu ibu.”
“Petang ni. Banyak kita nak kena bincangkan.” Bukan main bersemangat lagi Syarifah Manora bercakap. Dapat menantu pilihan, tentulah dia suka.
“Baik mummy.”
“Kalau Dian nak tahu, mummy lega Dian yang jadi menantu mummy. Nampaknya Firash terbuka juga matanya melihat siapa lebih sesuai untuk menjadi isterinya,” luah Syarifah Manora.
Kembang rasa hati Dian mendengar kata-kata bakal mentuanya itu. Gembira tak terkata. Dia yakin Nufah tidak lagi menjadi saingan dan kudis di dalam kehidupannya dan Tengku Firash.
“Nunu baik mummy. Mummy buatkan Dian rasa bersalah. Seolah-olah Dian yang jahat rampas Firash.”
“Tak ada siapa rampas siapa. Nunu tu yang tak sedar dek untung. Suka hati dia nak putuskan pertunangan ini tanpa memikirkan maruah keluarga. Kalau bukan Dian, siapa lagi yang mampu menghalang keluarga kita daripada mendapat malu.”
Dian gigit bibir mendengar luahan emosi Syarifah Manora. Hatinya puas.
“Tapi mummy…”
“Tak ada tapi-tapi lagi. Sekarang ni Dian kena persiapkan diri menjadi menantu mummy. Nanti mummy bawa Dian ke spa untuk rawatan muka dan badan. Biar berseri ketika majlis kahwin nanti.”
Dian terharu dengan layanan dan penerimaan Syarifah Manora.
“Terima kasih mummy.”
“Jangan berterima kasih. Dian satu-satunya bakal menantu mummy.”
Mereka bercakap seketika sebelum talian diputuskan.
Dian berpaling memandang ibunya. Dia senyum sampai ke telinga.
“Petang nanti mummy Firash nak datang
berbincang pasal majlis.”
“Jadi confirm Dian akan kahwin dengan Firash?” Puan Nora bertanya untuk kepastian. Matanya berkacakaca.
Dian mengangguk. Hatinya puas. Akhirnya dia yang akan naik pelamin menggantikan Nufah.

###

DIAN sibuk dengan persiapan perkahwinannya. Dia mahukan majlis yang meriah dan sempurna. Perlu nampak mewah dan elegan sesuai dengan statusnya sebagai bakal menantu tunggal keluarga diraja itu. Lagipun hubungan keluarga bakal mentuanya dengan sultan negeri sebelah utara itu agak rapat. Sudah tentu dia mahukan majlis perkahwinannya menjadi satu memori indah untuk dikenang sepanjang hayat. Semua sultan negeri lain akan turut menjadi tetamu VVIP mereka. Sudah tentu majlis perkahwinannya nanti menjadi ‘wedding of the year’ tahun ini.

Hatinya puas dan gembira. Impiannya tercapai dan putera idamannya bakal menjadi miliknya dalam masa beberapa hari lagi. Nufah sudah lari jauh. Keluarga mentua menerimanya dengan hati terbuka.
Keluarganya pula sudah merestui pilihannya.
“Darling … I nak tukar tempat resepsi kita. Dewan tu tak cukup besar.” Dielus lengan Tengku Firash dengan mesra. Bibirnya mencium pangkal lengan lelaki itu, sengaja menggoda agar Tengku Firash menunaikan setiap permintaannya.
“Dewan yang boleh muatkan 500 orang tu you cakap tak cukup besar lagi? You nak jemput berapa ramai? Lima ribu orang?” perli Tengku Firash. Dahi dipicit beberapa kali. Serabut dan pening melayan permintaan Dian dan juga mummynya. Semakin dekat harinya, semakin banyak permintaan mereka berdua.
Berbeza dengan Nufah yang tidak banyak kerenah. Selagi dia mampu uruskan sendiri, dia akan uruskan tanpa menyusahkannya. Ada rindu menyelit di hati. Setelah dia kehilangan, barulah dia tahu yang hatinya rindukan bekas tunangnya itu. Telah berkali-kali dia cuba menghubungi Nufah, tetapi nombor telefon gadis itu telah ditamatkan perkhidmatan. Pernah juga dia meminta nombor telefon baru Nufah daripada mentua tidak jadinya, tetapi percuma dia ‘dibasuh’ oleh Encik Nukman.
Firash tidak tahu dari mana Nufah mendapat video dan gambar tersebut. Apa pun, keputusan Nufah membuatkan dia terpukul. Lebih-lebih lagi bekas tunangnya itu tahu kecurangannya. Terbit rasa kesal tetapi semuanya sudah terlambat. Nufah telah pergi dari hidupnya dan dia perlu meneruskan perkahwinan ini.
“Darling … you dengar tak I cakap ni?”
“You buatlah apa yang you rasa terbaik. I don’t mind.” Tengku Firash memberi kata putus. Harapnya, selepas ini Dian tidak lagi merengek hendak itu ini.
Dian senyum lebar. Pura-pura tidak sedar yang air muka Tengku Firash tidak lagi ceria setelah pertunangannya dengan Nufah putus. Apa yang penting, dialah bakal pengantin itu. Ke mana Nufah menghilangkan diri, dia tidak ambil peduli. Lenyap dari muka bumi ini, lagi bagus. Jadi tidak perlu dia risau Nufah kembali merampas Tengku Firash. Akan tetapi dia suka juga kalau Nufah dapat menghadiri majlis pernikahannya nanti. Barulah Nufah tahu Tengku Firash miliknya seorang dan akan berhenti mencintai Tengku Firash.
“Betul ni, ling?” kedua-dua belah tangan merangkul leher Tengku Firash. Sengaja lurah dadanya ditayangkan di hadapan mata lelaki itu. Dia tahu kelemahan bakal suaminya. Lemah apabila dia menggoda. Layan sahaja nafsunya maka Tengku Firsah akan tunduk mengikut kemahuannya.
“Nanti you transfer duit belanja ke akaun bank I ye,” bisik Dian. Bibirnya dirapatkan ke bibir lelaki itu.
“Hmm…” Bayangan Nufah hilang.
Mata Tengku Firash fokus pada bibir mungil itu. Halkumnya bergerak-gerak. Dia tewas apabila tangan Dian menjalar ke bawah. Buat entah kali ke berapa, Tengku Firash kalah lagi dengan godaan nafsunya. Dian tersenyum kemenangan. Dia akan sentiasa menjadi penakluk lelaki itu. Akan cuba dihapuskan bayangan Nufah dari jiwa lelaki itu. Hanya dia yang layak berada di dalam hati Tengku Firash.

*****
“JUMPA?”
“Maaf Tengku, Cik Nufah tidak dapat dikesan,” jelas Encik Wahid, penyiasat peribadi yang diupah untuk mencari bekas tunangnya itu.
“Tak mungkin tak jumpa. Dia tidak keluar negara. Masih berada di Malaysia. I nak tahu dia berada di mana.”
Encik Wahid tunduk. Sebenarnya bukan tidak tahu, tetapi terpaksa merahsiakan keberadaan Nufah atas arahan orang atasannya.
“Tak jumpa … tak jumpa! Sebab tak jumpalah I mahu you cari sampai dapat!” Tengku Firash berang. Tiada guna bayar mahal-mahal tetapi orang yang dicari tidak juga ditemui.
“Credit card? Atm card, takkan dia tak guna?” soal Firash tidak puas hati.
“Tidak ada movement Tengku,” jawab Encik Wahid.
Kening Firash bertaut, tidak percaya. Dia tahu Nufah bukan seorang yang suka pegang banyak tunai di tangan. Dia lebih suka menggunakan kad debit.
“Boost?”
Encik Wahid geleng kepala juga.
“You dah siasat di stesen TBS tu? CCTV?”
“Sudah tengku. CCTV dekat stesen bas dalam proses penyelenggaan, banyak tempat tak berfungsi. Kali terakhir saya nampak Cik Nufah bersalam dengan ayahnya di dalam terminal sebelum ke platform pelepasan. Malangnya saya tidak dapat kesan ke mana Cik Nufah pergi sebab dia beli tiket secara tunai di kaunter,” jelas Encik Wahid panjang.
Dia tunduk, tidak berani menentang mata tajam Tengku Firash, takut lelaki itu dapat mengesan pembohongannya walaupun dia merupakan orang lama dalam bidang ini.
“Bullshit! Tak guna, berambus kau!” Benteng kesabaran Tengku Firash runtuh. Buang masa dan buang duit, Nufah tetap tidak dapat dikesan.
Masa semakin suntuk. Kalau boleh dia tetap mahu Nufah menjadi isterinya walaupun dia mengikut segala kehendak Dian dan mummynya. Dia tahu dia khilaf dan terlanjur melukai Nufah. Namun hati tetap tidak mahu melepaskan Nufah. Cintanya masih kuat untuk Nufah.
Encik Wahid tidak menunggu lama, dia terus angkat kaki. Sebaik-baik sahaja dia menghampiri keretanya, telefon pintarnya berbunyi.
“Semua settle bos.”
“Bagus. Kau kena pastikan Tengku kahwin juga dengan kekasihnya itu. Pastikan majlis mereka berlangsung mengikut perancangan. Aku dah Whatsapp kerja baru kau. Kita kena sediakan hadiah paling istimewa buat pasangan itu sempena perkahwinan mereka.”
“Baik bos, nanti saya tengok Whatsapp dan maklumkan kepada bos semula.”
“Okay then, settled.”
Talian dimatikan. Encik Wahid mendongak melihat bangunan tinggi di hadapannya. Banyak persoalan timbul di dalam benaknya namun dia tidak mempunyai jawapan. Keluarga Tengku Firash ini agak berpengaruh di Malaysia, tetapi bosnya tidak peduli. Aplikasi Whatsapp dibuka. Serta merta kepalanya sakit. Darahnya naik. Majlis perkahwinan Tengku Firash nanti akan terpalit skandal yang bakal mengejutkan Malaysia.

*****
MELIHAT si dia bersedih, hatinya turut berasa sedih, tetapi dia tidak mampu untuk memujuknya. Sekadar menjadi peneman sepanjang perjalanan ini, hatinya sudah cukup puas. Sabar. Masa untuk mereka berdua akan tiba juga. Sebenarnya dia tidak merancang pun untuk datang ke negara ini, tetapi apabila melihat Instagram gadis itu, dia tidak berfikir panjang. Dia mahu berada dekat dengan si gadis.
Duduk bersebelahan, langsung dia tidak diberi peluang untuk berkenalan. Gadis itu membatukan diri. Mata melihat gelap malam tanpa sedikit pun menolehnya di sebelah. Sengaja dia menegur pun, gadis itu buat-buat tidak dengar dan langsung tidak menoleh. Kuat betul jiwanya.
Semakin kuat pula dirasakan untuk menakluki hati gadis itu dan menjadikannya milik dia. Pelik, perasaan ini wujud dalam jiwanya. Tentang kerja sanggup diketepikan. Hampir sepuluh tahun bekerja tanpa cuti, dia sanggup mengambil cuti panjang semata-mata kerana status Instagram gadis itu.
Dia dapat mengagak Nufah akan mencari isteri Nzakir kerana hubungan mereka sangat rapat. Hal itu diketahui melalui penyiasat persendirian yang diupahnya. Lantas dia mengatur perancangannya sendiri. Justeru, apabila kelibatnya disedari oleh Nzakir di stesen bas pagi tadi, dia langsung tidak berasa gusar. Sebaliknya dia berasa lega.
Dia telah bebas untuk membuat pilihan. Jadi pilihannya adalah untuk mengejar cinta pertamanya. Betullah kata orang, kuasa cinta ini sangat kuat sehingga mampu mengubah hidup Sean McAdam.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/341785/NUFAH

[SNEAK PEEK] Aku Kan Ada

Aku Kan Ada oleh Akyelrahim

YAH tengok ladang milik bapa kepada Lid yang terhampar luas di depan mata. Luas dia, Yah tak tahulah nak cakap macam mana.
Di ladang ini ada pelbagai jenis tanaman. Sebahagian kawasan ditanam sayur dan lada. Ada ladang pokok buah seperti mangga dan jambu. Ada juga tanaman semusim seperti jagung dan tembikai. Hujung ladang sana terdapat kandang kambing dan kolam ikan.
Sebut saja nak apa, semua ada dalam ni.
Pekerja ladang sahaja ada tiga puluh orang. Kebanyakan mereka orang-orang kampung. Sebahagian lagi orang Indonesia dan Bangladesh.
“Hari ni kerja kita sarungkan plastik dengan kertas pada buah jambu batu.” Lid mengarah.
Yah tengok dekat tangan Lid ada satu kotak berwarna coklat besar yang sedang dia pangku.
“Kau pandai ke buat benda ni, Lid? Kau jangan memandai-mandai, kena marah kita kejap lagi dengan abah kau.”
Lid kerutkan kening bila dengar Yah cakap macam tu. Helo, ini Lid okey. Pewaris tunggal ladang Haji Hasan. Dari kecil lagi dia memang ikut Haji Hasan pergi ladang. Setakat balut jambu batu, senang sangat! Berani Yah pandang serong pada Lid macam ni sekali?
“Yah.”
“Apa?”
“Kau jangan pandang aku sebelah mata macam tu, Yah. Ini Lid, Yah. Kau sedang bercakap dengan Lid-”
Tak habis lagi ayat nak membangga diri Lid, Yah berlalu pergi dekat seorang pekerja ladang yang kebetulan sedang menghampiri mereka.
“Assalammualaikum, wak.” Yah sapa Wak Alan terlebih dahulu. Yah kenal Wak Alan sebab dia dah lama kerja dengan ayah Lid. Dah jadi macam orang kepercayaan Haji Hasan dah.
“Waalaikumusalam Yah. Eh, kerja sekali ke sama dengan Alid?”
Yah angguk sambil senyum. “Haah, wak.”
“Lah, ya ke? Semalam jumpa Bang Aji, cakap Alid sorang aje yang kerja.”
Yah tayang sengih. “Saya pun baru tahu hari ni saya kena kerja,” kata Yah sambil jeling Lid tajam.
“Hah, tak apalah kalau macam tu. Balut jambu batu ke hari ni?” tanya Wak Alan bila ternampak kotak yang Lid pegang.
“Haah. Wak boleh tolong ajar kita orang balut jambu batu tak?”
Kelopak mata Lid dah tertutup separuh. Apa masalah Yah ni tak percaya Lid pandai balut jambu batu?
“Eh? Alidkan pandai, buat apa nak wak ajar pula.”
Yah terus pandang Lid, tapi lelaki itu dah mendongak memandang langit. Di bibir dah tertampal senyuman sinis. Macam nak cakap, kan aku dah kata aku pandai kau tak nak percaya!
“Oh, Lid memang betul-betul pandai eh?”
“Ya, Lid pandai balut jambu. Hah, buat kerja elok-elok. Kalau ada apa-apa, cari wak dekat tempat mangga. Wak nak tengok orang meracun kejap.”
Habis bercakap, Wak Alan terus pergi. Tinggallah Yah dan Lid sendirian. Lid masih lagi tak mahu tengok muka Yah. Sengaja.
“Hah, yalah, yalah. Kau pandai. Jomlah mula kerja, matahari dah tegak ni.” Yah akhirnya mengalah. Sedar yang dia salah dan kalah.
Lid bekukan muka. Dengan tangan yang memeluk kotak, dia berjalan menghampiri Yah dan melintas depan gadis itu. “Huh!”
Yah pandang badan belakang Lid yang sudah jauh di depan, mulut dia dah terjuih ke depan.
“Ingat comellah tu? Jijik tahu.”

~~~
“NI, balut dekat buah bentuk lebih kurang besar ni.” Lid tunjuk ibu jari dia.
Yah angguk-anggukkan kepalanya.
“Lepas tu Yah, kalau dia ada lebih dari sebiji dekat tangkai dia tu kau buang. Tinggalkan dia sebiji aje dekat situ.” Lid ajar Yah lagi.
“Kenapa nak kena buang?” polos Yah bertanya, sebab dia betul-betul nak tahu. “Sayanglah kalau buang.”
“Kau nak laki kau kahwin dengan kau sorang ke kau nak dia kahwin ramai-ramai?” Lid tanya sambil tangan dia cekap bekerja menyarung plastik pada buah jambu batu yang masih melekat pada tangkai.
Yah pandang Lid semacam bila dia tanya soalan sensitif itu. “Mestilah aku sorang je, banyak-banyak buat apa.”
Lid sengih nakal. “Uyoo, cemburu juga ya Siti Sabariah ni.”
Yah julingkan matanya ke atas. “Kalau dia mampu tak apalah juga, ini kahwin banyak lepas tu anak bini kena campak sana sini buat apa?”
Suara Yah perlahan sahaja kedengaran di telinga Lid. Sebab dia mengomel. Lid dengar tapi tak berapa nak jelas. “Kau cakap apa, Yah?”
“Tak ada apalah. Ya, aku cemburu.” Yah malas nak buka cerita tentang hal keluarganya. Buat sakit hati je. Bengang dia tak habis lagi dengan bapak sebab buat Cah macam tu.
Lid macam dapat kesan Yah yang tiba-tiba nampak lain macam. Laju sahaja dia nak pergi pindah ke pokok lain.
Biar Yah tenang dulu. Lid tunduk nak ambil plastik banyak-banyak. Baru saja dia nak pergi, Yah tahan.
“Oi, nak pergi mana?”
“Pokok sebelah.”
“Apasal?”
Eh? Mata Lid dah menerawang ke langit cari jawapan logik, tapi tak jumpa. “Aaaa… aku nak pergi sanalah.”
“Kata nak buat sama-sama.” Yah macam nak mengamuk lagi.
Lid garu belakang tengkuk. Plastik banyak-banyak tadi dia letak semula ke dalam kotak. “Yalah, yalah. Buat sama-sama.”

~~~
“NGAH, tolong buat air sejuk, Ngah.” Haji Hasan duduk di atas kerusi di meja makan. Topi dia tanggalkan dari kepala lalu dia kipas-kipas muka supaya kurang sedikit haba di muka.
“Kejap abahnya.” Mak Lah membuka peti sejuk untuk keluarkan ais.
“Panas hari ni, terik bukan main.”
Mak Lah sambut perbualan suaminya. “Eloklah panas. Kering kain baju berlambak dekat ampaian tu. Kalau tidak, asyik hujan je. Hapak baju jadinya.”
“Elok tu memanglah elok, tapi pedih kulitnya. Tadi saya pergi tengok kejap je orang buat batas sayur. Ish, tak tahan. Rasa nak pitam.”
“Nah abahnya.” Mak Lah bawa satu jag air tebu sejuk dan dihidang di depan Haji Hasan.
“Dah tua-tua ni, tak payahlah turun lagi. Panas-panas tu, biarlah orang muda yang buat.” Mak Lah ambil tempat di kerusi sebelah suaminya di meja makan.
“Saya tak buat apa pun, tengok je.” Haji Hasan teguk air tebu yang Mak Lah hidang. Terus hilang dahaga bila air sejuk itu singgah di kerongkongnya.
“Macam mana kerja budak dua orang tu?” Mak Lah tiba-tiba teringatkan Lid dengan Yah yang dah nak masuk sebulan kerja dekat ladang.
Haji Hasan tergelak kecil. “Macam itulah. Nak macam mana lagi?”
“Yalah, tahulah macam tu. Maksud saya, okey ke dia orang kerja? Senonoh?”
Haji Hasan angguk selepas meneguk air. “Elok. Alid pun tak ada dah mengelat macam selalu lepas Yah ikut kerja. Kalau dia duduk, kejap lagi dengarlah satu ladang suara Yah membebel. Budak-budak ladang pun bila saya tanya, jawapan dia orang elok je budak berdua tu kerja.”
Mak Lah turut tersenyum. Lega, senang hati.
“Berapa gaji dia orang yang awak bayar?”
“Lid seribu tujuh. Yah saya bagi lebih sikit, seribu lapan.”
Mak Lah diam tak cakap apa-apa. Sikit pun tak rasa nak marah bila gaji Lid lagi sikit dari Yah. Tak perlu dipersoal, dia tahu dah tujuan Haji Hasan buat macam tu.
“Baguslah tu, tolong dia sikit.”
Haji Hasan diam mengeyakan kata Mak Lah.
Nak diberi duit saja-saja, Yah tak mahu. Biar dia kerja di ladang, boleh juga ditolong dalam diam.

~~~
YAH dah tersenyum-senyum sambil berjalan pulang menuju ke rumahnya. Selalunya Lid hantar sampai depan laman. Tapi hari ini hari gaji, Lid merajuk bila dapat tahu gaji Yah lagi tinggi dari dia.
Dia hantar Yah jauh sikit dari rumah. Yah kena jalan kaki dalam lebih kurang dua ratus meter baru sampai.
Tak sangka Haji Hasan bagi dia gaji sebanyak ini.
Yah fikir paling-paling enam atau tujuh ratus sebulan. Rupanya…
Patutlah orang kampung berlumba-lumba nak kerja dengan Haji Hasan. Kalaulah Yah tahu, dari kecil dia dah minta kerja dekat ladang.
Bukan susah pun kerjanya. Cuma penat sikitlah. Sebab semua kerja melibatkan daya fizikal, ladang pun bukan seekar dua. Kalau hari ini Yah balut jambu, belum tentu esok dah siap. Punyalah banyak pokok.
“Bolehlah. Separuh simpan, separuh lagi buat belanja.” Yah dah rancang apa yang patut dia buat dengan duit gajinya.
Sampai di halaman rumah, senyuman Yah yang tadinya begitu lebar lama-lama jadi pudar. Ada sebuah motor terparkir elok di halaman rumah. Yah kenal motor itu, motor bapak.
Duit yang dalam poket seluar kerja Yah genggam kuat. Dia tak terus naik, malah pergi ke bawah rumah lalu segumpal not RM50 itu dia selit di celah-celah kayu. Cuma sekeping not lima puluh sahaja Yah tinggalkan di dalam poket. Baru dia naik.
“Assalammualaikum.” Salam diberi.
Ruang tamu tak ada orang, lalu Yah bergerak ke dapur. Dia terlihat satu figura lelaki setengah abad sedang tunduk mengisi sesuatu ke dalam plastik merah.
Murad sedang mengisi bawang merah ke dalam plastik. Yah nampak pula di satu sudut terdapat satu bekas yang dah penuh dengan beras, kentang, gula, sabun basuh, sardin tin yang Yah baru beli semalam pun ada juga dan telur sepapan yang Yah dengan Cah tak sempat goreng pun turut terkumpul di situ.
“Bapak nak bawa pergi mana semua barang-barang tu?”
Yah tanya dengan suara bekunya, walaupun dia dah tahu ke mana barang itu akan dibawa.
Murad toleh sekilas sahaja pada Yah, sebelum dia sambung semula kerjanya.
“Aku nak bawa balik, minta sikit barang dapur kau.”
Ya Allah, sakitnya hati Yah.
“Tak, saya tak izinkan bapak ambil barang-barang saya,” kata Yah dengan tegas membuatkan Murad sekali lagi berhenti memunggah. Dia letak bekas bawang di lantai lalu bangun.
“Kau cakap apa?”
“Saya tak izinkan bapak ambil barang-barang saya. Bapak nak bawa balik pergi rumah sana, kan? Bapak belilah sendiri,” kata Yah sambil matanya tajam memanah wajah lelaki yang sering membuatkan dia rasa hendak berdendam.
“Oh, kau nak berkira dengan aku?”
“Ya, saya berkira,” tegas dia menjawab.
“Dasar anak kurang ajar, tak mengenang budi!” Murad dah memetir.
“Memanglah saya kurang ajar, bapak bukan pernah ajar pun. Budi pun tak ada, nak kenang buat apa?” Spontan itu yang meluncur di bibir Yah.
Dia bukanlah jenis orang yang mulut lepas. Tapi bila berhadapan dengan lelaki ini, Yah jadi orang lain. Sebab dia dah habis sabar. Dari kecil dia tahan.
Lelaki seperti Murad tak pantas bergelar bapa. Satu-satunya jasa Murad yang Yah boleh kenang cuma sumbangkan benihnya dan bertanggungjawab buatkan dia dan Cah lahir ke dunia.
Lain?
Murad tak ubah seperti lelaki asing. Yang susah payah ke tepi ke tengah besarkan dia dua beradik itu ibu mereka.
Tengoklah sekarang, orang yang sepatutnya sara mereka berdua tu Murad. Tapi boleh pula dia datang sini semata nak ambil semua barang dapur yang mereka beli dan nak bawa pergi rumah bini muda.
Mana Yah tak naik angin?
Dah tahu malas kerja, pergi kahwin lain. Dahlah mak baru Yah tu janda anak tiga. Campur lagi dengan adik baru Yah yang dua orang tu. Nak makan apa kalau Murad kerja duduk dekat kedai kopi?
“Biadap!” Murad tampar pipi Yah kuat buatkan dia terteleng sedikit.
Yah meradang. “Memang aku biadap, sebab kau pun tak pernah hormat aku macam anak kau!”
Murad tidak pedulikan Yah. Dia kutip semua barang-barang yang dia dah bungkus isi dalam satu raga besar.
“Letak balik semua barang tu!” Yah jerit bila Murad tetap bawa barang-barang itu ke hadapan.
“Ah, aku tak peduli!”
“Aku haramkan kau ambil barang rumah ni!” Yah cuba mengekor dari belakang dan menghalang. Sayang, siapalah dia nak dibandingkan dengan kudrat lelaki Murad.
Bapanya sudah turun tangga.
Yah berhenti di muka pintu dengan dada yang berombak. Sakitnya hati dia kala ini, hanya Allah yang tahu.
Ingatkan Murad terus pergi. Rupanya tak, dia naik semula.
“Aku dengar cerita kau kerja dekat ladang Haji Hasan. Mesti kau banyak duit, kan? Minta sini sikit.”
Yah tak pandang muka Murad. Tak sudi.
“Tak ada, aku tak ada duit.”
“Penipu!”
“Nak menipu buat apa, kau nak duit kau pergi cari sendirilah!”
“Aku kata minta sikit duit!” Murad dah terlebih dulu meraba poket seluar Yah buatkan dia meronta-ronta. Tapi tak sempat buat apa-apa, sekeping duit lima puluh sudah pun berada dalam genggaman Murad.
“Hah, ni duit. Tadi kata tak ada.”
“Tu duit aku!”
“Ni aku ambil, upah aku jaga adik kau masa kau tak ada.” Sejurus berkata-kata, terus Murad turun. Tak lama, dia hilang bersama dengan makanan dan duit Yah.
Terus Yah terduduk di muka pintu.
Nafas yang berombak cuba dia tenangkan. Keluhan berat terlepas.
Ayah itu cinta pertama anak perempuan? Persetankan semua itu. Kalau beginilah cinta, Yah rela tua dan tak bertemu cinta.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/342231/AKU-KAN-ADA