[SNEAK PEEK] Ejen Zeke : Misi Cinta Pertama

Ejen Zeke : Misi Cinta Pertama
oleh Ayumi Syafiqah

ZEKE diam di dalam keretanya. Mata lelaki itu galak memerhati setiap satu wajah yang sedang berjalan menuruni tangga utama kampus. Sesekali anak mata coklatnya singgah pada gambar dalam fail untuk memastikan dia tidak tersalah cam orang yang sedang dicari.

Beberapa minit berlalu, akhirnya gadis yang ditunggu muncul. Zeke keluar dari kereta tanpa menunggu walau sesaat. Dia berjalan laju mendapatkan gadis itu. Sebaik saja mendekat, Zeke hulurkan satu senyuman nipis.

Ivanna yang sedang berdiri di anak tangga terakhir merenung Zeke dengan kerutan di dahi. “Excuse me? Can I help you?”

Zeke menarik keluar lencana dari poket jaketnya. Ditunjukkan depan mata Ivana.

Ivana makin kerut dahi.

Perasan reaksi itu, Zeke pandang lencananya. Eh, terbalik! Cepat-cepat dia pusingkan lencana itu dengan riak muka yang diselambakan.

“OPAL?” Ivanna berpeluk tubuh sambil cuba tahan gelak.

“Ya.” Zeke simpan semula lencananya. Harap-harap tiada sesiapa yang nampak selain Ivanna.

“Saya Ejen Ezekiel. Saya rasa Cik Ivanna pernah dengar tentang organisasi kami?”

Dengar saja namanya disebut, riak wajah Ivanna berubah. Daripada tenang, gadis itu nampak takut dan berdebar-debar. Tangan yang berpeluk tubuh dijatuhkan.

“Okay, listen. I tak tahu you siapa, tapi I rasa you salah orang. I bukan Ivanna.” Dia segera berpaling untuk beredar.

“Ivanna Raphael, pernah terlibat dalam kes cubaan bunuh oleh bapanya sendiri, Ryan Raphael 17 tahun yang lalu, yang kini sudah menukar identiti menjadi Juliana Ann.”

Langkah Ivanna tersekat. Liurnya ditelan. Serentak itu juga kepalanya berpusing membalas pandangan lelaki yang mengaku sebagai ejen OPAL itu. Dia mendekat semula, tidak mahu ada sesiapa yang dengar perbualan mereka.

“Apa yang you nak?”

“Saya di sini cuma untuk pastikan yang Cik Ivanna selamat.”

“Of course I selamat. I dah tak perlukan OPAL untuk lindungi I. Apa yang berlaku dulu tu, hanya kisah lama.”

“Mungkin Cik Ivanna akan tukar fikiran kalau Cik Ivanna tahu yang Ryan Raphael sudah terlepas daripada tahanan OPAL semalam.”

Sebaris ayat Zeke membuatkan pipi Ivanna yang kemerah-merahan bertukar pucat. Ivanna tertoleh-toleh ke sisinya. Mula rasa diri tidak selamat berada di tempat terbuka.

“Apa maksud you dia dah bebas? Bukan ke dia dipenjarakan seumur hidup?” Ivanna cemas.

Zeke pula yang resah berlama-lama di situ. “Saya akan jelaskan semuanya kepada Cik Ivanna, tapi sekarang Cik Ivanna perlu ikut saya.”

“Nak ke mana? Betul ke you ni OPAL? Entah-entah lencana you tu palsu. You ni penyamar, kan? Ryan yang hantar you?” Ivanna sukar untuk percaya. Mengenangkan semula apa yang berlaku dulu, dia rasa dia berhak untuk berasa begitu.

“Cik Ivanna, saya ni ditugaskan oleh OPAL untuk…” Belum sempat Zeke menghabiskan ayatnya, satu tembakan dilepaskan secara tiba-tiba dari arah kiri mereka.

Secara refleks, Zeke pantas menarik lengan Ivanna untuk tunduk mengelak. Tembakan tersasar. Suasana bertukar kecoh dalam sekelip mata. Pelajar-pelajar yang ada di kawasan itu berlari-lari menyelamatkan diri bersama jeritan-jeritan yang saling bersahut.

Ivanna panik. Jantungnya laju berdegup. Situasi itu berlaku terlalu pantas sampaikan otaknya gagal berfungsi untuk seketika.

Satu lagi tembakan dilepaskan. Ivanna terjerit. Memori silam kini tertayang di ruang mata, membawanya kembali ke babak yang telah lama cuba dipadam dari ingatan selama 17 tahun ini.

Zeke menarik Ivanna supaya bergerak dari situ dan berlari menuruni anak tangga. Mereka berlindung di sebalik kereta Zeke. Ivanna semakin diserang cemas. Dia sudah tidak dapat bernafas dengan baik lagi.

Zeke bersedia dengan pistol di tangan. Dia mengintai dari sebalik bonet kereta, mencari sasaran.

“Oh my God! Oh my God! What the hell’s happening?!” Ivanna terjerit dalam paniknya. Ada air yang mula memenuhi kolam mata.

Zeke menangkap satu kelibat sedang bersembunyi di sebalik pokok berhadapan dengan bangunan kampus. Dia menembak berkali-kali. Setiap peluru yang dilepaskan mengenai batang pokok. Ada yang menyentuh tanah berumput. Kelibat itu membalas serangan. Zeke pantas menunduk semula untuk mengelak daripada terkena peluru.

Ivanna menekup kedua-dua belah telinga. Air matanya mula menitis jatuh ke pipi. Melihat gadis itu begitu, Zeke jatuh simpati. Sekali lagi dia mengacukan pistolnya, lalu menarik picu. Kali ini pelurunya mengena dan terus terbenam ke dalam paha sasarannya, dan lelaki itu terus rebah ke tanah. Jeritan para pelajar semakin kuat memenuhi kawasan.

Zeke berjalan hati-hati mendapatkan lelaki itu. Pistol lelaki itu disepak supaya jauh dari gapaian. Sambil mengacu pistolnya ke arah lelaki yang sedang merintih sakit itu, dia menghidupkan talker untuk menghubungi OPAL.

“NOT bad for your first mission,” kata Marian sambil menepuk bahu Zeke.

Zeke tersenyum hambar. Jujurnya, dia sendiri panik berhadapan dengan situasi itu tadi. Tapi kalau diikutkan rasa panik, alamatnya dialah yang sedang terbaring di tanah sekarang. Sekarang baru dia faham, kenapa Direktor Ray akan pastikan ejen-ejennya sudah betul-betul bersedia sebelum dihantar ke medan peperangan.

“Kita akan bawa dia ke hospital. Sebaik saja dia sedar dan mampu bercakap, kita akan buat soal siasat,” ujar Marian. “Lead the interrogation?”

“Hell, yeah,” jawab Zeke.

Marian ketawa kecil sebelum menyertai pasukan OPAL yang sedang mengerumuni kawasan kejadian.

Zeke berpaling memandang Ivanna yang cuma diam, tunduk dan bersandar di pintu keretanya. Dia mendekati gadis itu.

“Papa I keluar penjara tak sampai dua hari dan dia dah pun upah hitman untuk bunuh I?” Ivanna bersuara perlahan. Serak bunyinya. Dia meraup wajah yang masih pucat.

“Sekarang Cik Ivanna dah faham kenapa saya ditugaskan untuk pastikan yang Cik Ivanna selamat,” balas Zeke. Tanggapannya mula-mula meleset sama sekali. Menjadi pengawal keselamatan kepada Ivanna bukanlah satu tugas yang remeh.

Ivanna mendongak memandang Zeke. “Are you sure?”

Zeke hairan. “Maksud cik?”

“I hampir kena bunuh tadi. Kalau you lambat sikit aje tadi, tentu I dah tak ada kat sini sekarang. Macam mana I nak letakkan kepercayaan I sepenuhnya pada you?” Ivanna jelas skeptikal.

Zeke menahan rasa. Ada juga perasaan bengang, tapi dia tetap kumpul sabar. Dia faham keadaan Ivanna ketika ini. Gadis itu masih terkejut dan takut dengan apa yang baru sahaja berlaku.

“Dah berapa lama you bekerja dengan OPAL?” soal Ivanna sebelum sempat Zeke membalas ‘serangan’nya tadi.

“Saya tak faham apa kaitannya dengan hal ni,” jawab Zeke terus terang.

“I need someone more experienced than you,” balas Ivanna seakan-akan tahu bahawa Zeke masih lagi baru. Nampak muda, dah tentulah baru lagi bekerja dengan OPAL. Paling lama pun setahun, dan itu masih tak cukup untuk melindunginya daripada Ryan Raphael.

Zeke terus mengumpul sabar yang kian menipis. “Look, kalau diberikan pilihan, saya sendiri tak nak kerja ni. Tapi bos saya yang bagi saya tugasan ni, and I intend to do it to the best of my ability. Jadi, sama ada Cik Ivanna ikut saya sekarang, atau stay sini dan tunggu hitman seterusnya datang cari Cik Ivanna.”

Tidak bertangguh, Zeke segera berpaling untuk masuk ke kereta. Enjin dihidupkan.

Awalnya Ivanna masih ingin teguh dengan ego. Tetapi apabila terdengar bunyi enjin kereta Zeke, serta-merta ketakutan menyerbu dirinya. Cepat-cepat dia menarik daun pintu dan masuk ke dalam.

Zeke tersenyum kecil, sedikit sinis. Dia mula memandu.

Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;
https://www.e-sentral.com/book/info/338281/EJEN-ZEKE-MISI-CINTA-PERTAMA