[REVIEW] Sebelum Lamaran Diterima

Sebelum Lamaran Diterima oleh Ayumi Syafiqah

They say a princess always waits for a prince to come and save her, right? Well, this princess saves herself.

Itulah moto hidup yang dipegang Kamilia Asyiqin atau Cami, selama ini. Dia tidak perlukan mana-mana lelaki untuk berjaya dalam hidup. Sebab itulah calon-calon suami yang dicarikan oleh mamanya, Julia ditolak mentah-mentah.

“Apa masalah Cami ni? Semua calon yang mama carikan untuk Cami semua Cami tak nak. Cami nak yang macam mana sebenarnya?”- Julia

“Anak Aunty Marida tu orangnya baik, taat orang tua, ada kerja bagus. Kenal dengan dia pun Cami tak nak?” – Julia

“Sounds like a mummy’s boy.” – Cami

Julia pula tidak mudah berputus asa. Pencarian diteruskan lagi sehinggalah takdir menemukannya dengan Adam Khairy, mesra dipanggil Kai.

Oh, mama dah jumpa lelaki untuk Cami! Dia pemilik sebuah kedai perniagaan komik. Dia obsess dengan superhero! Tapi yang penting, dia baik hati!

“Pernahlah tengok Superman. Peter Parker is so not my type.”- Cami

“Sorry, sweetheart. Peter Parker is Spider-Man, not Superman.”- Kai

Bagi Kai, bertemu Cami bagaikan satu anugerah yang selama ini dinanti. Apatah lagi dalam masa yang sama dia sedang berdepan dengan dilema untuk menyertai konsert tribute buat arwah ayahnya, Allahyarham A. Iskandar, seorang penyanyi yang pernah terkenal suatu masa dulu.

Bersama Cami, dia mula menelusuri kehidupan yang ditinggalkan oleh arwah ayahnya dan mula membongkar rahsia yang selama ini tersimpan kukuh.

Hari demi hari yang berlalu, hati Cami yang tegas dengan prinsip mula goyah. Dia jatuh cinta tanpa sengaja!

“You sound like a jealous girlfriend,” – Kai.

“Good night, Kai.” – Cami.

Tapi sebelum lamaran diterima, Cami perlu jawab soalan hatinya sendiri. Betul ke cinta, atau suka semata-mata?


Rasanya macam dah lama tak baca karya Ayumi Syafiqah. Baca sinopsis saja admin tahu buku ni bukan biasa-biasa sebab Kai ada kedai komik/action figures dan Cami adalah influencer. Somehow dalam fikiran admin, admin tau novel ini mungkin ada serba moden dan tak sama dengan novel lain. Kenapa? Novel lain balik-balik pekerjaan nya bisnes, arkitek, kerja office, doktor dan lain-lain. Bila ada karakter yang lain sikit, ia menarik perhatian admin sebab ada lah serba sedikit dia tunjuk apa Kai buat sebagai owner kedai komik, apa yang Cami buat sebagai influencer. Bukan letak watak perwatakan mereka semata dalam sinopsis. Seakan penulis dah study dulu.

Dan bermula dari muka surat pertama, admin dah terpaku dan terleka baca novel ni. Penulis pandai membuatkan admin rasa nak terus baca dan tak merasa bosan. Admin suka dinamik watak Cami-Kai-Puan Julia. Puan Julia memang minatkan si Kai untuk dijadikan menantu. Kai hormat pada Puan Julia dan hormat Puan Julia tak ubah seperti ibunya. Dan bagai bulan jatuh ke riba, Puan Julia nak kenen kan dia dengan Cami, perempuan yang menarik perhatian dia. While Cami, mula-mula jual mahal dengan si Kai. Lama-lama cair jugak. Dan sebagai seorang wanita moden yang tak nak beratkan fikiran tentang relationship, dia memang bersungguh tolak calon-calon mak dia nak kenalkan. But dia still hormat ibu dia. Interesting relationship sebenarnya. Sepandai-pandai Puan Julia handle perangai anak dia, pandai lagi Kai. hihihihi

Bahasa yang penulis gunakan mudah untuk difahami dan jalan ceritanya juga menarik. Macam biasalah, setiap novel ada watak antagonisnya sendiri. Dalam novel ni, Khaira adalah watak jahat yang mengganggu gugat rumah tangga Kai dan Cami. Khaira menguji kehebatan cinta mereka dan mereka banyak bergaduh disebabkan Khaira selain daripada keyboard warriors yang komen-komen pada social media Khaira. Overall, admin puas hati baca cerita ni. Admin suka sangat akan watak-watak dia walaupun pada ramai orang Cami ni nampak angkuh dan ego, tapi Kai faham Cami. They get each other. That’s what important. Siapa yang nak baca kisah lain dari yang lain, boleh dapatkan novel ini ya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338144/Sebelum-Lamaran-Diterima

[SNEAK PEEK] Ejen Zeke : Misi Cinta Pertama

Ejen Zeke : Misi Cinta Pertama
oleh Ayumi Syafiqah

ZEKE diam di dalam keretanya. Mata lelaki itu galak memerhati setiap satu wajah yang sedang berjalan menuruni tangga utama kampus. Sesekali anak mata coklatnya singgah pada gambar dalam fail untuk memastikan dia tidak tersalah cam orang yang sedang dicari.

Beberapa minit berlalu, akhirnya gadis yang ditunggu muncul. Zeke keluar dari kereta tanpa menunggu walau sesaat. Dia berjalan laju mendapatkan gadis itu. Sebaik saja mendekat, Zeke hulurkan satu senyuman nipis.

Ivanna yang sedang berdiri di anak tangga terakhir merenung Zeke dengan kerutan di dahi. “Excuse me? Can I help you?”

Zeke menarik keluar lencana dari poket jaketnya. Ditunjukkan depan mata Ivana.

Ivana makin kerut dahi.

Perasan reaksi itu, Zeke pandang lencananya. Eh, terbalik! Cepat-cepat dia pusingkan lencana itu dengan riak muka yang diselambakan.

“OPAL?” Ivanna berpeluk tubuh sambil cuba tahan gelak.

“Ya.” Zeke simpan semula lencananya. Harap-harap tiada sesiapa yang nampak selain Ivanna.

“Saya Ejen Ezekiel. Saya rasa Cik Ivanna pernah dengar tentang organisasi kami?”

Dengar saja namanya disebut, riak wajah Ivanna berubah. Daripada tenang, gadis itu nampak takut dan berdebar-debar. Tangan yang berpeluk tubuh dijatuhkan.

“Okay, listen. I tak tahu you siapa, tapi I rasa you salah orang. I bukan Ivanna.” Dia segera berpaling untuk beredar.

“Ivanna Raphael, pernah terlibat dalam kes cubaan bunuh oleh bapanya sendiri, Ryan Raphael 17 tahun yang lalu, yang kini sudah menukar identiti menjadi Juliana Ann.”

Langkah Ivanna tersekat. Liurnya ditelan. Serentak itu juga kepalanya berpusing membalas pandangan lelaki yang mengaku sebagai ejen OPAL itu. Dia mendekat semula, tidak mahu ada sesiapa yang dengar perbualan mereka.

“Apa yang you nak?”

“Saya di sini cuma untuk pastikan yang Cik Ivanna selamat.”

“Of course I selamat. I dah tak perlukan OPAL untuk lindungi I. Apa yang berlaku dulu tu, hanya kisah lama.”

“Mungkin Cik Ivanna akan tukar fikiran kalau Cik Ivanna tahu yang Ryan Raphael sudah terlepas daripada tahanan OPAL semalam.”

Sebaris ayat Zeke membuatkan pipi Ivanna yang kemerah-merahan bertukar pucat. Ivanna tertoleh-toleh ke sisinya. Mula rasa diri tidak selamat berada di tempat terbuka.

“Apa maksud you dia dah bebas? Bukan ke dia dipenjarakan seumur hidup?” Ivanna cemas.

Zeke pula yang resah berlama-lama di situ. “Saya akan jelaskan semuanya kepada Cik Ivanna, tapi sekarang Cik Ivanna perlu ikut saya.”

“Nak ke mana? Betul ke you ni OPAL? Entah-entah lencana you tu palsu. You ni penyamar, kan? Ryan yang hantar you?” Ivanna sukar untuk percaya. Mengenangkan semula apa yang berlaku dulu, dia rasa dia berhak untuk berasa begitu.

“Cik Ivanna, saya ni ditugaskan oleh OPAL untuk…” Belum sempat Zeke menghabiskan ayatnya, satu tembakan dilepaskan secara tiba-tiba dari arah kiri mereka.

Secara refleks, Zeke pantas menarik lengan Ivanna untuk tunduk mengelak. Tembakan tersasar. Suasana bertukar kecoh dalam sekelip mata. Pelajar-pelajar yang ada di kawasan itu berlari-lari menyelamatkan diri bersama jeritan-jeritan yang saling bersahut.

Ivanna panik. Jantungnya laju berdegup. Situasi itu berlaku terlalu pantas sampaikan otaknya gagal berfungsi untuk seketika.

Satu lagi tembakan dilepaskan. Ivanna terjerit. Memori silam kini tertayang di ruang mata, membawanya kembali ke babak yang telah lama cuba dipadam dari ingatan selama 17 tahun ini.

Zeke menarik Ivanna supaya bergerak dari situ dan berlari menuruni anak tangga. Mereka berlindung di sebalik kereta Zeke. Ivanna semakin diserang cemas. Dia sudah tidak dapat bernafas dengan baik lagi.

Zeke bersedia dengan pistol di tangan. Dia mengintai dari sebalik bonet kereta, mencari sasaran.

“Oh my God! Oh my God! What the hell’s happening?!” Ivanna terjerit dalam paniknya. Ada air yang mula memenuhi kolam mata.

Zeke menangkap satu kelibat sedang bersembunyi di sebalik pokok berhadapan dengan bangunan kampus. Dia menembak berkali-kali. Setiap peluru yang dilepaskan mengenai batang pokok. Ada yang menyentuh tanah berumput. Kelibat itu membalas serangan. Zeke pantas menunduk semula untuk mengelak daripada terkena peluru.

Ivanna menekup kedua-dua belah telinga. Air matanya mula menitis jatuh ke pipi. Melihat gadis itu begitu, Zeke jatuh simpati. Sekali lagi dia mengacukan pistolnya, lalu menarik picu. Kali ini pelurunya mengena dan terus terbenam ke dalam paha sasarannya, dan lelaki itu terus rebah ke tanah. Jeritan para pelajar semakin kuat memenuhi kawasan.

Zeke berjalan hati-hati mendapatkan lelaki itu. Pistol lelaki itu disepak supaya jauh dari gapaian. Sambil mengacu pistolnya ke arah lelaki yang sedang merintih sakit itu, dia menghidupkan talker untuk menghubungi OPAL.

“NOT bad for your first mission,” kata Marian sambil menepuk bahu Zeke.

Zeke tersenyum hambar. Jujurnya, dia sendiri panik berhadapan dengan situasi itu tadi. Tapi kalau diikutkan rasa panik, alamatnya dialah yang sedang terbaring di tanah sekarang. Sekarang baru dia faham, kenapa Direktor Ray akan pastikan ejen-ejennya sudah betul-betul bersedia sebelum dihantar ke medan peperangan.

“Kita akan bawa dia ke hospital. Sebaik saja dia sedar dan mampu bercakap, kita akan buat soal siasat,” ujar Marian. “Lead the interrogation?”

“Hell, yeah,” jawab Zeke.

Marian ketawa kecil sebelum menyertai pasukan OPAL yang sedang mengerumuni kawasan kejadian.

Zeke berpaling memandang Ivanna yang cuma diam, tunduk dan bersandar di pintu keretanya. Dia mendekati gadis itu.

“Papa I keluar penjara tak sampai dua hari dan dia dah pun upah hitman untuk bunuh I?” Ivanna bersuara perlahan. Serak bunyinya. Dia meraup wajah yang masih pucat.

“Sekarang Cik Ivanna dah faham kenapa saya ditugaskan untuk pastikan yang Cik Ivanna selamat,” balas Zeke. Tanggapannya mula-mula meleset sama sekali. Menjadi pengawal keselamatan kepada Ivanna bukanlah satu tugas yang remeh.

Ivanna mendongak memandang Zeke. “Are you sure?”

Zeke hairan. “Maksud cik?”

“I hampir kena bunuh tadi. Kalau you lambat sikit aje tadi, tentu I dah tak ada kat sini sekarang. Macam mana I nak letakkan kepercayaan I sepenuhnya pada you?” Ivanna jelas skeptikal.

Zeke menahan rasa. Ada juga perasaan bengang, tapi dia tetap kumpul sabar. Dia faham keadaan Ivanna ketika ini. Gadis itu masih terkejut dan takut dengan apa yang baru sahaja berlaku.

“Dah berapa lama you bekerja dengan OPAL?” soal Ivanna sebelum sempat Zeke membalas ‘serangan’nya tadi.

“Saya tak faham apa kaitannya dengan hal ni,” jawab Zeke terus terang.

“I need someone more experienced than you,” balas Ivanna seakan-akan tahu bahawa Zeke masih lagi baru. Nampak muda, dah tentulah baru lagi bekerja dengan OPAL. Paling lama pun setahun, dan itu masih tak cukup untuk melindunginya daripada Ryan Raphael.

Zeke terus mengumpul sabar yang kian menipis. “Look, kalau diberikan pilihan, saya sendiri tak nak kerja ni. Tapi bos saya yang bagi saya tugasan ni, and I intend to do it to the best of my ability. Jadi, sama ada Cik Ivanna ikut saya sekarang, atau stay sini dan tunggu hitman seterusnya datang cari Cik Ivanna.”

Tidak bertangguh, Zeke segera berpaling untuk masuk ke kereta. Enjin dihidupkan.

Awalnya Ivanna masih ingin teguh dengan ego. Tetapi apabila terdengar bunyi enjin kereta Zeke, serta-merta ketakutan menyerbu dirinya. Cepat-cepat dia menarik daun pintu dan masuk ke dalam.

Zeke tersenyum kecil, sedikit sinis. Dia mula memandu.

Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;
https://www.e-sentral.com/book/info/338281/EJEN-ZEKE-MISI-CINTA-PERTAMA

[SNEAK PEEK] EJEN NELLA: Misi Mencari Bahagia

EJEN NELLA: Misi Mencari Bahagia oleh Ayumi Syafiqah

Terkenal sebagai ejen yang berdisiplin tinggi, tegas pendirian dan patuh dengan setiap arahan, Ejen Ken dilantik sebagai (SO) supervising officer kepada tiga orang ejen baru di OPAL. Namun kewibawaannya tercabar dengan Dianella, salah seorang ejen baharu yang lambat melapor diri pada hari pertama bekerja. SO kena tunggu ejen baru datang? Huh! “Sorry, I had a rough night.” – Nella “Oh, rough night? You think when you’re on a mission, the criminals care if you had a rough night?” – Ken Nella, ejen baru yang degil, tidak mendengar kata, serta kerap melanggar peraturan! Walaupun kecekapan dan kepintaran Nella berjaya mengalahkan puluhan ejen yang lain, pada Ken, Nella tidak layak bergelar anggota perisikan negara! Bagi Nella pula, menghadapi ketua yang cerewet dan ‘nerd’ itu, salah satu ‘bala’ dalam hidupnya. Apa saja yang Nella lakukan serba tak kena di mata lelaki itu. Namun tiada istilah mengalah sebelum berjuang dalam hidup Nella. Dia perlu melakukan sesuatu sebelum kakinya melangkah keluar daripada OPAL! Gara-gara misteri kisah silam yang masih belum pernah terungkai, Nella menggunakan apa saja teknologi yang wujud di OPAL untuk membantunya mencari jalan keluar. Termasuklah melibatkan Ken, ejen yang berpengalaman dalam misi peribadi! “Apa kata kalau awak tolong saya? Yes! Kita boleh jadi partner! A team! Ken dan Nell! Atau… Kennell…” – Nella Ken tersepit antara integriti dan rasa simpati. Dia tahu yang dia bakal melanggar peraturan operasi OPAL. Namun untuk berkata tidak kepada Nella, Ken ternyata gagal! “Ken yang aku kenal tak mungkin langgar peraturan atau arahan OPAL untuk sesiapa pun. Seems to me you’re making an exception for Nella.” – Zeke Mampukah Ken menolak tepi rasa hati demi misi di depan mata? Dan sejauh mana Nella sanggup pergi untuk mencari bahagia yang mungkin menantinya?


Dua patah. Hanya itu jawapan Nella ketika Ken memberi tugasan meja kepadanya – menyemak segala dokumen dan laporan yang ada, sementara Mario dan Nikolas terlibat dengan aktiviti yang lebih mencabar.
Sampaikan Ken pula yang tidak senang duduk dibuatnya. Nak minta maaf, tak tahu macam mana harus mulakan. Lagipun manalah dia ada pengalaman dalam bab-bab minta maaf dengan perempuan ni. Kalau ada Zeke senang, boleh terus tanya. Tapi itulah, dia pun tidak tahu jadual Zeke sekarang, jadi tidak mahulah ganggu.
Hairan, bukan ke Nella itu ejen bawahannya? Sepatutnya tidak susah pun untuk dia panggil gadis itu berjumpa dengannya. Tapi tengok muka Nella, lidah Ken terus jadi kelu.
Tidak tahu apa yang perlu dibuat, Ken putuskan untuk belajar lebih dalam lagi tentang gadis itu. Dia membuka fail peribadi Nella dan mula menelaah dengan tekun.
Mengikut apa yang tertulis dalam latar belakangnya, Nella kehilangan ibu ketika berumur 13 tahun. Kemudian dia dan adiknya dibesarkan oleh ayah. Lima tahun mereka berdua hidup dalam penderitaan kerana ayahnya seorang kaki pukul dan selalu berhutang, sehinggalah Nella mencecah umur 18 tahun. Gadis itu membuat laporan terhadap ayahnya, dan sejak itulah ayahnya ditahan polis.
Dan Nella menyertai Akademi OPAL sebaik tamat sekolah.
Cuma yang hairannya, kisah tentang adik Nella tidak lagi dinyatakan. Apa yang berlaku kepada adiknya selepas ayah mereka ditahan? Atau, sebelum ayah mereka ditahan?
Ken mendongak dari mejanya, merenung tepat ke arah Nella yang ralit membaca isi sebuah dokumen. Gadis itu punya kisah lampau yang menyakitkan, namun personalitinya yang ceria dan peramah langsung tidak menggambarkan sejarah pahit itu. Tanpa sedar, ada satu rasa yang menyentuh hati Ken.
Rasa… simpati? Rasa… ingin melindungi? Rasa… ingin membalas apa sahaja duka yang pernah dialami gadis itu dengan kegembiraan?
Ken pantas melarikan pandangan apabila Nella bangun dari kerusinya. Dia pura-pura sibuk dengan skrin komputer yang hanya menayangkan ruang depan Google ketika Nella datang mendekat.
“Saya dah siapkan semua. Boleh saya balik?” tanya Nella. Tiada lagi senyuman gula-gula yang sering terpahat di bibir gadis itu. Buat apa senyum kepada orang yang tidak mahu menghargai? Lagipun Ken lebih selesa apabila orang mempamerkan wajah serius begini.
Ken berdeham sekali memanggil suara. “Yup, sure.”
Nella mengangguk dan terus beredar. Begnya dicapai dan dia berjalan ke arah lif tanpa menoleh lagi.

SAMPAI DI tapak parkir, Nella terbeliak biji mata tengok motosikalnya yang terbaring di tanah. Cepat-cepat dia berlari mendapatkan ‘baby’ kesayangannya itu.
“Aduh, siapa yang langgar ni? Kut ya pun nak parking, tak payahlah sampai langgar.” Nella membebel sendiri sambil cuba mengangkat motosikalnya itu.
Dia cuba tarik handle, tidak berjaya. Dia cuba menolak dari bawah, juga tidak berjaya. Berat! Sudahnya dia terduduk di kaki lima bersama keluhan berat.
“Not what I imagined my first day would be like,” keluh Nella. Tapak tangan meraup wajah. Tiba-tiba rasa penat yang amat sangat.
Ken yang baru sahaja keluar dari pintu utama terpandangkan Nella yang duduk sendiri di kaki lima dengan tapak tangan menekup muka. Penasaran, dia mendekat.
“Nella?”
Nella terperanjat. Spontan dia terbangun dari duduknya. Terpandangkan Ken, badannya ditegakkan. Refleks. Macam nak lapor diri sekali lagi.
Ken mengerling ke arah motosikal Nella yang terbaring di tanah. Jarinya tertuding ke situ.
“Um, jatuh,” kata Nella dengan muka tak bersalah.
“Oh. Do- do you need…?”
Gasp! Betapa janggalnya Ken ketika ini. Dia hampir tertelan nafas sendiri.
“Um…” Otak Nella jadi kosong tidak semena-mena. Tidak sempat dia jawab apa-apa, Ken sudah pun mara ke depan dan membantu mengangkat motosikalnya. Siap ditongkatkan lagi sesudah itu.
Nella jadi hilang suara. Nak cakap apa ya? Cakap ajelah terima kasih! Kau ni pun!
“Um, th- thanks,” ucap Nella.
Ken mengangguk. “No biggie.”
Kemudian dia tersedar. Aku cakap ‘no biggie’ ke tadi?
Nella menyarungkan helmet ke kepala. Dia nak terus gerak, tapi bila Ken tercegat di situ, dia jadi buntu nak buat apa. Takkan nak pergi macam tu saja? Mamat ni pun satu, yang diam kat situ kenapa?
“Sorry.”
Sepatah kata daripada Ken buat Nella mengalih bola mata ke wajah lelaki itu.
“I mean, pasal tadi… Saya minta maaf,” jelas Ken. “Tak sepatutnya saya cakap macam tu.”
Nella diam. Tapi yang pasti, dia sangat-sangat hargai kesudian Ken memohon maaf.
“I was actually angry at myself and I took it out on you. Memang lately saya under pressure sebab risau dengan tanggungjawab yang Puan Marian beri pada saya, dan bila saya nampak awak…”
“Langgar peraturan?” teka Nella.
Ken mengangguk.
“Tak apa, sebenarnya saya yang patut minta maaf. Sebab saya yang langgar peraturan. Dahlah datang lambat, lepas tu buat hal pulak…”
“Salah awak cuma datang lambat, yang lain tak.”
“Oh, jadi yang salah masuk bilik confidential tu pun tak?”
“Yang tu kesalahan lagi besar daripada datang lambat.”
Nella ketawa. Polos bunyinya sehingga membawa senyuman di wajah Ken. Baru sekarang dia rasa boleh jadi dirinya sendiri.
“Dah lewat ni. Awak boleh balik,” ujar Ken.
“Okey.” Nella memanjat naik ke atas motosikalnya. “So… coffee tomorrow?” Selamba dia mengajak.
Terangkat kening Ken. “Huh?”
“Breakfast esok. Saya tunggu kat kafe,” kata Nella. Enjin dihidupkan. “Night!” Visor dijatuhkan dan dia terus menunggang pergi.
Kelibat Nella sudah semakin mengecil, namun Ken masih berdiri di situ, tersenyum sendiri.

[SNEAK PEEK] BUNGA DI TAMAN LARANGAN

9789670907093-medium
BUNGA DI TAMAN LARANGAN Oleh Ayumi Syafiqah

“BARU hari pertama kerja dah beli handphone?”

Nada terkejut Idlan hanya dibalas dengan gelak panjang. “Apa salahnya?”

“Takkan kau dah dapat gaji kut?” Idlan masih lagi pelik.

“Advance.” Syarizad tergelak-gelak. Alah… biarlah, Idlan bukan tahu pun.

“Aku tahulah aku belajar tak tinggi. Pandai kau eh nak kelentong aku.”

Makin kuat gelak Syarizad.

“Tak adalah, kan aku kerja PA. Bos aku yang bagi handphone ni, senang untuk kegunaan aku nanti.” Pembohongan pertama selamat dicipta. Syarizad menyandar di sofa dengan bibirnya dikemam. Fokus mata tertancap pada skrin TV yang sedang menyiarkan drama Melayu lakonan Remy Ishak.

“Ohh…” balas Idlan. “Jadi kau okeylah kat sana? Tempat tinggal semua okey?”

Syarizad mengangguk. “Yup, okey sangat. Insya-Allah tak ada apa-apa,” ujarnya.

“Lega aku dengar. Bukan apa, takut jugak kalau-kalau kau sesat ke kat sana,” kata Idlan lalu ketawa sendiri.

“Kalau aku sesat, kau datanglah cari aku. Kau kan sayang aku…” Syarizad buat suara mengada-ada.

“Banyak cantik kau, Jad.”

Syarizad ketawa.

“Aku ada kerja ni. Nanti-nanti free, kau telefonlah aku ya…”

“Aku pulak telefon kau? Kaulah telefon aku, baru gentleman,” cebik Syarizad.

“Dengan kau tak payah nak gentleman sangat. Aku rasa macam kawan dengan orang lelaki jugak…”

“Kurang asam!”

Idlan ketawa berdekah-dekah sebelum mematikan talian.

Syarizad menyandarkan kepala sambil merenung skrin telefonnya. Berkira-kira sama ada perlu atau tidak dia telefon mak ngah. Kalau tak telefon, mesti mak ngah risau. Padahal dia dah janji akan selalu telefon orang tua tu. Malas berbolak-balik lagi, Syarizad akhirnya mendail nombor rumah mak ngahnya.

Agak lama menunggu, barulah suara mak ngah memberi salam kedengaran di talian.

“Waalaikumussalam, mak ngah. Ni Ijad…”

“Ijad? Ya Allah… Akhirnya Ijad telefon jugak. Lama mak ngah tunggu tau.”

Syarizad ketawa kecil. “Sorry, mak ngah… Ijad baru sempat nak telefon mak ngah…”

“Ijad sihat? Okey tak duduk kat sana? Ada masalah tak? Kerja macam mana?” Bertalu-talu soalan diajukan. Nampak sangat Rosni betul-betul risau apabila Syarizad hanya sepi tanpa khabar berita.

“Satu-satulah, mak ngah. Ni tanya banyak-banyak, mana satu Ijad nak jawab?” gurau Syarizad membuatkan mak ngah turut sama tertawa.

“Yalah, mak ngah cuma risau aje…”

“Ijad okey, mak ngah. Mak ngah tak payah risau ya…”

“Baguslah macam tu, lega mak ngah dengar. Ni, Ijad betul tak nak telefon Yana?”

Sebut aje nama Yana, Syarizad terus diam. Liyana Safirah, gadis yang sempurna segala segi. Ada sebab kenapa dia tidak mahu menghubungi Liyana, tapi biarlah hanya dia yang tahu apa sebabnya.

“Nantilah Ijad telefon dia, mak ngah…” Hanya itu yang mampu dijawab. Karang cakap tak nak, mak ngah kecil hati pula.

“Dah lewat ni, mak ngah. Ijad pun dah nak tidur ni. Lain kali Ijad telefon mak ngah lagi ya. Oh ya, mak ngah ambiklah nombor telefon Ijad ni.”

Rosni diam mencatat nombor yang diberikan Syarizad.

“Yalah, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Syarizad hembus nafas panjang. Telefon ditinggalkan di atas sofa lalu dia berjalan masuk ke dalam bilik. Pintu almari dibuka luas-luas. Satu per satu baju di dalam almari itu dikeluarkan dan diacukan pada tubuhnya.

Dia memandang cermin sambil membuat macam-macam gaya. Senyuman mula terukir pada bibir. Hari esok, hari yang baharu untuk aku! Tekadnya dalam hati.

PAGI ESOKNYA Syarizad masuk kerja dengan semangat baharu. Mujurlah Kak Aiza pun sudah sampai lebih awal jadi dapatlah dia minta Kak Aiza tolong ajarkan mana yang patut. Paling penting kata Kak Aiza, setiap pagi segelas Nescafe wajib ada di atas meja Ben.

Setelah membancuh segelas Nescafe, Syarizad membawa mug di tangan ke arah bilik pejabat Ben. Pintu bilik itu diketuk tiga kali. Sempat nafas ditarik dan dihembus dalam-dalam sementara menunggu arahan masuk. Daun pintu ditolak ke dalam. Syarizad masuk dengan langkah yang sengaja dilenggokkan. Bibirnya pula diukir senyuman manis menggula.

“Nescafe, Encik Ben.” Lembut suara menuturkannya sambil meletakkan mug di tepi meja. Jari telunjuknya dimainkan di atas meja dengan gaya menggoda.

Ben yang perasan tingkah Syarizad itu panggung kepala. Tak cukup dengan main jari atas meja, jari kanannya pula menggulung-gulung hujung rambut. Ben mula terasa lain macam. Liur ditelan.

“Yes, ada apa-apa lagi?” tanya Ben. Walaupun terasa pelik, dia tetap menepis perasaan itu. Semalam bukan main lagi menggelabah, hari ini pula berani semacam PA baharunya itu.

Syarizad menggeleng manja.

“Tak ada apa. Saya keluar dulu ya,” ujarnya. Kemudian dengan penuh lenggok dia berlalu ke arah pintu. Sambil memegang daun pintu, sempat lagi dia menoleh ke arah Ben. Ternyata lelaki itu masih merenung ke arahnya tanpa kelip. Sebaik saja mata bertentang mata, Ben segera menundukkan muka. Syarizad sembunyi senyum.

“Encik Ben ada nak saya buat apa-apa ke?” tanya Syarizad dengan suara lembut. Entah dari mana dia dapat keyakinan untuk beraksi ‘berani mati’ macam tu. Hilang watak kasar, yang ada cuma watak manja yang entah dari mana dicungkil. Bakat terpendam mungkin.

“Err… tak, tak ada apa-apa,” jawab Ben. Muka Syarizad hanya dipandang sekilas kemudian kembali memandang skrin komputer.

Syarizad mengangguk dan terus keluar. Di depan pintu, senyumannya melebar. Wah, hebat kau, Ijad! Macam itulah baru betul-betul semangat nak jalankan misi. Silap hari bulan, watak penggoda dalam drama pun kau boleh pegang tau!

Syarizad berlalu ke arah mejanya dengan ketawa yang disimpan.

“SYARI…”

Syarizad angkat kepala. Muncul Ben di depan mata.

“Ya, Encik Ben?”

“Ikut saya pergi meeting kat KLCC,” ujar Ben.

Syarizad terkejut.

“Sekarang?”

“Ya, sekarang. Jom.” Ben malas menunggu lagi. Dah nama pun PA, haruslah Syarizad ikut ke mana saja yang dia pergi.

“Okey… okey…” kelam-kabut Syarizad bangun mencapai beg dan buku notanya. Dia tak tahu apa-apa tentang meeting yang Ben maksudkan. Tak apalah, nanti dalam kereta boleh tanya.

Syarizad hanya mengikut Ben di belakang. Masuk ke lif, lelaki itu cuma mendiamkan diri. Sikit pun tak cakap apa-apa. Tak sempat Syarizad buka mulut nak ajak berbual, pintu lif sudah pun terbuka. Terpaksalah dia ikut saja Ben keluar menuju ke tapak parkir.

Mulanya dia ingatkan Ben pakai pemandu, rupa-rupanya dia yang pandu sendiri. Mungkin dia jenis lelaki yang lebih suka memandu sendiri kut. Apa barang pakai pemandu? Kereta mahal tapi tak boleh pandu sendiri, baik tak payah. Sempat lagi Syarizad membebel sendiri dalam hati.

Masuk ke kereta, Syarizad melilaukan matanya ke seluruh ruang. Wah… ini baru betul-betul kereta mewah. Baunya saja pun sudah cukup untuk buat dia terpegun sendiri.

“Err… Encik Ben, nak tanya sikit boleh tak?” Syarizad bertanya sambil membetulkan duduknya. Sengaja nak bagi skirt yang sudah memang singkat jadi semakin singkat, menampakkan pahanya yang putih melepak.

“Tanya apa?” Ben berpaling sekilas ke arah Syarizad. Pura-pura tidak nampak paha Syarizad yang terdedah. Perempuan ni, makin lama makin menyeramkan pula. Manalah mummy jumpa dia ni?

“Nanti masa meeting tu, saya kena buat apa ya?” tanya Syarizad sambil menahan senyum. Dia nampak tingkah gelisah Ben. Jelas ketara lelaki itu sedang menahan debaran.

Soalan itu membuatkan Ben tertawa kecil. Mulalah dia rasa pilihan mummynya itu bukanlah pilihan yang terbaik. Tak apa, Ben. Bagi dia masa untuk sesuaikan diri dulu. Pujuk hatinya.

“Masa meeting tu nanti, awak cuma perlu catatkan apa-apa yang penting. Nanti bila dah habis, awak kena siapkan report dan hantar pada saya. Pasal report tu nanti, awak boleh tanya Kak Aiza tentang formatnya. Faham?” satu per satu Ben menjelaskan.

Syarizad terangguk-angguk.

“Okey… faham.”

“Good.” Ben tenang memandu.

Syarizad di sebelah mengitarkan pandangan ke luar cermin tingkap kereta, memerhatikan pemandangan Kuala Lumpur waktu siang. Cantik. Rasa terujanya jelas terbias pada wajah. Apabila orang yang selama ni duduk bawah tempurung tiba-tiba dapat keluar tengok sekeliling, inilah jadinya. Sebiji macam rusa masuk kampung.

Ben yang perasan tingkah gadis itu hanya tersenyum. Sahlah, perempuan ni bukan orang bandar. Kalau ikutkan dalam resume, dia asal dari Kedah. Satu kampung dengan mummy. Tapi kenapa mummy beria-ia sangat nak dia ambil Syarizad ni jadi PA? Entahlah. Sikit pun dia tidak nampak rasionalnya. Tapi tak apa, okeylah daripada tak ada langsung.

Audi A6 Ben berhenti betul-betul dalam petak parkir.

“Jom keluar,” ajaknya. Tali pinggang keledar ditanggalkan lalu pintu kereta ditolak ke luar.

Syarizad ikut keluar. Namun entah mana silapnya, hujung skirtnya tersepit ketika pintu ditutup. Belum sempat dia buka semula pintu, Ben sudah pun menekan kunci penggera. Syarizad terus menarik skirtnya tanpa berfikir panjang. Dek kerana tarikan yang kuat, hujung skirtnya koyak.

“Alamak!”

Ben terkejut. “Eh, kenapa?”

“Skirt saya!” Syarizad rasa nak menjerit masa tu. Skirt mahal okey. Walaupun dia tak tahu harga skirt tu berapa, tapi dia tahu harganya mahal. Memang tak patut koyak sebab tersepit pintu kereta. Grr!

Ben segera menghampiri Syarizad.

“Kenapa dengan skirt aw…” Kata-katanya terhenti di situ apabila terpandangkan skirt Syarizad. Dahlah singkat, terkoyak pula tu. Tertelan air liur dibuatnya. Cepat-cepat hatinya beristighfar. Wajah Syarizad yang cemberut dipandang.

“Macam mana boleh tersepit?”

“Manalah saya tahu. Encik Ben tu yang kunci cepat sangat,” rungut Syarizad. Hujung skirtnya dibelek-belek. Rasa nak mengamuk pun ada.

Kalau tidak dikenangkan Ben tu bosnya, memang sudah lama makan penangan ‘semburan’nya yang pedas berbisa. Disebabkan sekarang dia sedang memegang watak seorang gadis penggoda macam dalam drama-drama di TV, terpaksalah dia tahan amarah yang sudah hampir meletus.

“Awak salahkan saya?” Ben angkat dahi.

“Habis? Salah saya?” Syarizad tidak sedar nada suaranya sudah naik sedikit.

Ben tertawa kecil.

“Lain kali, turun tu cepat sikit. Ini tak, terhegeh-hegeh,” kutuk Ben masih dalam senyumannya.

“Saya tak kira. Saya nak Encik Ben belikan saya skirt baru!”

“Huh?” Ben ternganga sedikit.

“Bolehlah, Encik Ben. Please…” dengan berani Syarizad memainkan jemarinya pada lengan Ben.

Ben pantas melarikan lengannya.

“Yalah, yalah. Dahlah, saya dah lambat ni. Tak elok biarkan klien tunggu lama. Jom.” Terpaksalah bersetuju saja sebelum Syarizad bertindak lebih berani. Dia sendiri pun tak sanggup nak hadap.

Syarizad menahan senyum. Namun apabila tunduk memandang hujung skirtnya, pantas bibir diketap. Ni… skirt ni macam mana? Nak jumpa klien dengan skirt koyak macam ni? Tak ada pilihan, Syarizad bertindak menarik kesan koyakkan itu supaya tercarik sepenuhnya. Jadilah skirt itu semakin pendek. Nafas dihembus panjang.

Lantaklah… yang penting, dia tak perlu malu sebab pakai skirt koyak! Lagipun tak apa koyak sikit. Kan ke makin seksi? Syarizad tersengih. Memanglah kau ni makin berani Ijad!

Langkah dilajukan mengikut Ben dari belakang. Masuk ke sebuah restoran di KLCC, Ben terus menghulur tangan untuk bersalam.

“My PA, Syari.” Ben memperkenalkan Syarizad kepada Datuk Haslam.

Syarizad menyambut huluran tangan Datuk Haslam. Bibirnya diukirkan senyuman manis walaupun masih nampak canggungnya. Renungan semacam Datuk Haslam membuatkan bulu romanya meremang. Itu belum dikira lagi dengan senyuman yang jelas nampak gatal.

“Duduk,” pelawa Datuk Haslam.

Syarizad segera mengambil tempat di sebelah Ben. Dia perasan mata Datuk Haslam tidak lepas-lepas merenung ke arahnya. Kalau setakat tengok muka, dia tak kisah. Ini kalau dah asyik pandang bahagian kaki aje, manalah tak rasa macam nak bagi penyepak.

Duduknya sekejap-sekejap dibetulkan. Inilah padahnya pakai seksi. Padan muka kau, Ijad.

Bukan Ben tidak perasan ketidakselesaan Syarizad sepanjang perbincangan itu berlangsung. Satu yang dia pelik, kenapa mesti Syarizad rasa tidak selesa dipandang kalau dia sendiri yang nak berpakaian seksi? Diibaratkan yakin pergi terjun laut tapi sebenarnya tidak pandai berenang.

“Thank you, Datuk. Saya harap kerjasama antara kita ni akan berjalan lancar nanti.” Ben tersenyum menghulur salam setelah tamat perbincangan.

“Saya pun harap macam tu,” balas Datuk Haslam. Wajah Syarizad masih lagi direnung tanpa jemu.

Syarizad mengetap bibirnya. Cepatlah masa berlalu. Dia dah tak sabar nak blah dari situ. Eii, kalau tak fikir siapa lelaki tua gatal tu, dah lama lelaki tu kena penyepak dia tau!

“Let’s go.” Ben berbisik perlahan di telinga Syarizad.

Syarizad hanya mengikut langkah Ben keluar dari kompleks itu terus ke tapak parkir kereta.

“Petang ni lepas habis kerja, awak free tak?” Ben bertanya setelah masuk ke kereta.

“Hmm… free kut. Kenapa, Encik Ben?” Syarizad memandang Ben dengan mata membulat.

“Pergi beli skirt baru,” jawab Ben tanpa memandang Syarizad. Makin pandang, makin jantung bergetar satu rasa. Hesy… seram!

Syarizad tersenyum. Dalam hati bersorak gembira. Yesss!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79912/bunga-di-taman-larangan