[SNEAK PEEK] Disember

EBUKU Disember oleh  Amal Hamsan & Acap Rahman
EBUKU Disember oleh Amal Hamsan & Acap Rahman

 

Please Stay
Malam ini;

bawah samar sinar yang sama

tengah kelat angin penuh jelaga,

ada jiwa sedang dihuni celaka.

Malam ini;

biar jiwa-jiwa gelandang biar mati,

tapi jangan biar rindu, jangan pergi

 

Saleh
Langit mula menjingga. Suasana petang yang tadinya bising dengan sorakan dan gelak tawa lelaki-lelaki yang bermain sepak raga, mulai hening. Masing-masing berjalan pulang ke bilik untuk bersiap-siap kerana Maghrib semakin hampir. Dua orang lelaki, Saleh dan Mat Ali, berdiri tegak di belakang bilik air berhampiran surau yang disediakan, berkain pelikat dan berbaju melayu. Sesekali mata Saleh melingas ke kiri dan kanan, memerhatikan sesuatu.

“Mananya pak guard, Mat? Kau betul ke tak ni?” Soal Saleh.

“Isyy kau ni. Cuba bawa bersabar sikit. Sekejap lag..”

“Hah kamu berdua tu! Buat apa dekat situ? Orang lain dah masuk ke surau dah.” Belum sempat Mat Ali menghabiskan ayatnya, satu suara menegur kuat dari belakang. Saleh dan Mat Ali berpaling laju. Seorang lelaki bermisai tebal, usia separuh abad menghampiri mereka berdua.

“Hah encik! Tadi saya dah masuk surau dah, tapi terkentut pula. Masa nak ambil wuduk tadi, si Saleh ni panggil saya ajak tengok langit.” Ujar Mat Ali kemudian kembali memandang langit di atas. “Subhanallah, encik. Cuba encik tengok ciptaan Tuhan.”

Lelaki beruniform itu mengangkat kepala memandang dada langit yang mula bertukar warna. Perlahan, senyumannya terukir. Kemudian dia kembali memandang dua orang lelaki berkepala botak di hadapannya. “Sudahlah. Pergi ke surau. Saya nak habiskan rondaan ni.”

Saleh dan Mat Ali mengangguk dan melihat pengawal keselamatan penjara itu berlalu pergi. Sejurus kelibat lelaki itu hilang, Saleh pandang Mat Ali. “Okay pak guard, dah pergi. Sekarang macam mana?”

Mat Ali memandang keliling sebelum menyambung kata. “Macam yang kita dah plan lah. Kau bawa apa aku suruh tu?”

Saleh mengangguk. Tangannya mengangkat kain pelikat yang disarungnya, dan sehelai selimut yang membaluti bahagian kakinya di bawah lapisan kain pelikat, ditarik dan dihulurkan kepada Mat Ali. Mat Ali tersenyum. Selimut itu disangkut pada bahu dan dia berjalan perlahan menghampiri pagar simen setinggi hampir dua meter yang dipasang gulungan kawat duri di atasnya. Mat Ali mengisyaratkan Saleh membantunya untuk memanjat pagar simen itu. Selimut yang tersangkut pada bahu terus dilayangkan, terhampar tepat di atas gulungan besi berduri.

“Aku lompat dulu. Lepas tu kau pula.” Saranan Mat Ali dibalas anggukan Saleh. Hampir terduduk juga Saleh apabila Mat Ali yang berbadan gempal itu memijak cantuman jari jemarinya sebelum kaki rakannya itu tiba di bahu. Kemudian, Saleh mula melompat untuk mencapai bahagian atas pagar simen apabila diyakini Mat Ali sudah berjaya berada di sempadan yang lagi satu. Nasib baik jugalah dia dulu pernah mendapat anugerah olahragawan sekolah. Jadi untuk memanjat pagar tinggi, tidaklah sesukar mana.

“Tak sangka semudah ni kita boleh lepaskan diri.” Saleh berdiri tegak di sebelah Mat Ali yang tersenyum-senyum penuh bangga.

Saleh mengelap peluh yang tak putus-putus turun sejak dari tadi. Mat Ali di sebelahnya diam tak terkata apa. Mereka berdua duduk di atas batang pokok kayu mati yang sudah jatuh menyembah bumi. Persekitaran yang semakin gelap langsung tidak membantu mereka berdua yang mula lelah melangkah.

“Kita dekat mana ni, Mat?” Saleh bertanya. Suaranya sedikit gusar, mula ketakutan.

“Kau ingat aku ni peta?” Mat Ali mula nak marah. Geram juga dia dengan si Saleh ni. Langsung tak mahu fikirkan bagaimana mereka berdua nak keluar dari hutan tebal ni. Tahu nak tanya mereka dekat mana saja. Karang kalau ditengking, merajuk pula. Sudahlah sesat, satu hal pula nak pujuk-pujuk. Padahal mereka berdua bukannya pasangan kekasih.

Mat Ali menarik nafas dalam-dalam. Perut yang lapar memang mengganggu otak untuk terus berfikir. Menyesal pula rasanya dia tak makan dulu sebelum lari dari penjara petang tadi. Padahal bukan dia tak tahu, hari Selasa selalunya para banduan akan dijamu dengan nasi beriani. Ah terbayangkan ayam masak merah sudah membuatkan kecur liur.

Mat Ali menyeluk poket seluar pendeknya yang dipakai bersama kain pelikat. Sebatang rokok daun berisi tembakau dikeluarkan. Saleh di sebelah dipandang. “Kau bawa lighter?”

“Lighter tak ada. Mancis je ada.” Saleh menghulurkan sekotak mancis kepada Mat Ali.

“Ah mancis pun mancislah. Dari tak ada langsung.” Mat Ali menyambut huluran dan mula mencucuh api pada rokok daun yang sudah di dalam mulutnya. Sekali hembus, asap putih berkepul-kepul menyelubungi mereka berdua. Kemudian, rokok itu dihulurkan pada Saleh.

“Aku bawa tiga batang rokok je. Jangan sedut macam kau sedut dekat rumah. Simpan-simpan sikit.” Pesannya.Saleh hanya mengangguk.

Sedang dia selesa memenuhkan dada dengan asap, matanya tertancap pada satu objek. Pada mulanya, dia sangkakan itu ilusi. Yalah, malam-malam macam ni, gelap dalam hutan pula tu, bermacam benda ada. Tapi setelah dua tiga kali dikelip-kelipkan mata, Saleh yakin, dia tak salah pandang.

“Mat.” Panggil Saleh. Mat Ali menoleh. “Itu, cuba kau tengok sana tu. Itu rumah kan?” Jari telunjuknya menghala pada satu arah. Mat Ali memusingkan kepala melihat arah yang sama. Puas juga mata Mat Ali dibesar-kecilkan untuk fokus pada objek tersebut.

Dan akhirnya Mat Ali mengangguk kecil. “Ya lah, ada rumah.”

Mat Ali berdiri memerhati rumah yang agak kecil di hadapannya. Dindingnya papan mereput, daun rumbia yang menjadi atap kelihatan begitu usang. Gusar juga Mat Ali nak melangkah masuk. Mahunya runtuh, habislah dia nanti. Mat Ali menggaru kepala tak gatal. Dia menoleh ke belakang, tapi kelibat Saleh langsung tak terlihat. Ketika Saleh menunjukkan rumah ini padanya, dia menyangka rumah ini tak sampai 50 meter jaraknya. Tapi bila dia ambil keputusan untuk melihat apa yang ada di rumah ini dan meninggalkan Saleh sendirian di batang kayu mati tadi, lelah juga dia berjalan. Mana taknya, hampir 10 minit, baru dia berdiri di hadapan rumah tinggal ini.

“Ah masuk jelah.” Mat Ali putuskan sendiri. Dia menghampiri tangga kayu. Baru saja dia hendak memijakkan kaki, tingkahnya mati. Ada satu tempayan yang agak besar, terletak elok di sebelah tangga berhampirannya. Mat Ali mencapai satu bekas di tepi tangga, lalu mencedok air dari dalam tempayan dan membasuh kakinya.

“SEJUK OII!” Kuat suara Mat Ali kedengaran, bersambung-sambung dengan gemanya sekali. Sungguh Mat Ali terkejut kerana ini pertama kali dia merasa air yang begitu sejuk. Mungkin lebih sejuk dari Laut Artik. Sedikit berdebar dadanya. Namun itu tak memberi kesan apa-apa. Dia kemudian terus melangkah masuk ke dalam rumah.

Berkeriuk bunyi pintu tatkala tangannya menolak kepingan papan itu ke dalam. Mat Ali diam seketika. Sungguhpun dia berani, tapi kalau dah seorang diri begini, datang juga rasa takutnya. Mat Ali menjenguk sedikit ke dalam. Gelap, sunyi, dingin. Setelah diyakini tiada binatang tersembunyi, Mat Ali terus melangkah.

etiap derapan langkahnya disusuli bunyi rengekan lantai-lantai papan yang dipijak. Sehinggalah bunyi itu terhenti apabila Mat Ali berdiri tegak berhampiran sebuah meja makan. Keadaan begitu sunyi sampaikan bunyi degupan jantung juga kedengaran. Debaran semakin melaju kerana daripada balam-balam cahaya, dia dapat melihat di depan matanya kini ada setalam penuh hidangan makanan yang sedap-sedap. Dia tidak pasti jenis lauk yang ada, tapi apabila dia memegang mangkuk lauk, dia sedikit ragu-ragu.

“Panas lagi lauk ni. Tapi rumah macam dah nak roboh.” Mat Ali memerhati keliling sekali lagi. “Ah! Mungkin ini pondok untuk orang kampung duduk sekejap sementara nak cari petai agaknya. Mungkin ni makanan diorang.” Mat Ali mengangguk-angguk kepala, setuju dengan pendapatnya sendiri. Dia menarik kerusi dan mula menyenduk nasi ke dalam pinggan.

“Nasib kau lah, Saleh. Bukan rezeki kau.” Dalam gelap, Mat Ali mula menyuap makanan ke mulut. Sungguh selera dia makan. Almaklumlah dari petang tadi perutnya kosong. Ketika tangannya hendak mencubit ketulan daging yang diyakini ayam, dia terasa pelik.

“Apahal berbulu pula ayam ni? Takkan cabut bulu tak habis kot masa bersihkan ayam ni?” Mat Ali membawa daging ayam itu ke tingkap. Daripada cahaya bulan yang tak berapa nak terang, dia melihat di tangannya, seekor tikus yang masih elok berekor. Cumanya, tikus itu sudah dilitupi dengan ulat-ulat yang menggedik dan ratusan semut api merah kecil-kecil.

“CILAKA!” Jerit Mat Ali kuat bersama balingan jauh tikus itu ke tanah. Tak perlu tunggu lama, terus Mat Ali termuntah di situ juga. Dalam keadaan termuntah-muntah, Mat Ali gagahkan diri keluar dari rumah itu. Ketika sampai di anjung, kaki Mat Ali tersadung bendul. Terus dia tertonggeng dengan lelehan muntah di mulut. Mat Ali menggelupur di tanah sedikit berpasir, kesakitan, kegelian, dan ketakutan yang muncul tiba-tiba.

Dalam keadaan meniarap, dia mengesat muntah di tepi mulut menggunakan lengan. Dadanya berombak laju. Dia bangun dan berpaling perlahan-lahan. Seperti yang diduga, rumah kayu usang tadi sudah hilang dari pandangan.

Mat Ali berjalan termengah-mengah, terus mengheret kakinya supaya lekas-lekas tiba di tempat Saleh duduk. Dadanya mulai tenang apabila Saleh mula kelihatan. Mat Ali lantas duduk di sebelah Saleh. Nafas berat dihela. Namun tak terlintas sedikit pun dia rasa nak bercerita pada Saleh tentang apa yang dialaminya tadi. Dia tahu Saleh penakut. Jadi lebih elok kalau dia diamkan seorang diri saja.

Mat Ali mendongak memandang langit yang dibayangi daunan pokok. Namun seketika, dia terdengar sesuatu, bunyi deraman perlahan, tapi cukup kuat menangkap telinganya. Dia berpaling pada Saleh yang masih diam seperti sejak dia datang tadi. Dengan kaki yang diangkat sedikit, Saleh duduk menunduk dengan kepalanya dibiarkan di atas lengan yang terletak elok di atas lutut. Mat Ali yakin, bunyi deraman itu datang dari Saleh.

“Hoi, kau ni kenapa? Menangis?” Mat Ali bertanya, sedikit bergurau. Namun langsung tak beri kesan pada Saleh. Saleh masih dengan posisi duduknya. Kening Mat Ali berkerut. Tak pernah-pernah Saleh seserius ini.

“Saleh, kau rilek lah. Kejap-kejap lagi kita mesti dapat keluar dari hutan tebal ni.” Mat Ali bersuara separuh memujuk. Kurang gemar juga dia apabila melihat rakannya itu bersedih. Rokok daun yang masih ada dua batang, dibawa keluar dari dalam poket seluarnya. Api dicucuh dan perlahan-lahan, asap putih berkepul keluar dari lubang hidung dan mulut Mat Ali.

Suasana hutan yang gelap kembali hening dengan bunyi-bunyi binatang hutan yang bersahut-sahutan. Sesekali, hendak meremang juga bulu roma Mat Ali apabila terdengar lolongan sang anjing. Tetapi sekejap saja kerana kesunyian itu terganggu dengan deraman bunyi yang didengari Mat Ali tadi. Tapi kali ini lebih kuat, lebih dalam, lebih seram.

“Saleh! Kau jangan nak buat bunyi yang bukan-bukan dalam hutan tengah-tengah malam macam ni boleh tak?!” Mat Ali mula marah. Saleh dipandang jengkel. Tak padan dengan penakut, masih juga lagi hendak buat bunyi mengeruh.

Saleh angkat muka. Mat Ali tergamam. Di hadapannya kini, Saleh bangun perlahan-lahan. Mata Saleh membulat, mata hitamnya seolah-olah dikuasai oleh mata putih yang memerah, dan gelung hitam di bawah mata sungguh jelas kelihatan. Tajam renungan Saleh, Mat Ali meneguk liur perlahan. Dia bangun dengan berjaga-jaga. Rokok daun tadi sudah dibuang ke tanah.

“Saleh, kau jangan main-main Saleh. Ini hutan, Leh.” Ujar Mat Ali seolah berpesan. Tapi dia tahu, itu hanya sia-sia kerana Saleh di hadapannya kini bukan lagi Saleh.

Saleh terus merenung Mat Ali ibarat singa kelaparan. Dia mendengus kuat, mirip bunyinya seperti lembu disembelih. Tanpa sempat Mat Ali berkata apa-apa, Saleh sudah terlebih dulu menangkap leher Mat Ali. Mat Ali cuba menepis, tapi tenaga Saleh lagaknya tiada tandingan. Beberapa kali Mat Ali cuba menendang Saleh, tapi jerutan di lehernya lebih menyakitkan. Tindakan terakhir, Mat Ali cuba menjatuhkan Saleh dengan menjatuhkan dirinya sendiri dahulu, dan dia berjaya. Cengkaman di lehernya terlepas. Cepat-cepat dia bangun dan berundur ke belakang sedikit dari Saleh.

Mat Ali beristighfar panjang. Namun dia tetapkan mata melihat pergerakan Saleh yang mula bangun dari jatuh. Dia sedikit menyesal kerana meninggalkan Saleh bersendirian tadi. Seketika, Saleh menghampiri Mat Ali sekali lagi. Mat Ali mengundur. Mujur juga mata Mat Ali sempat menangkap sebatang kayu sebesar lengan lelaki dewasa di sebelah kanannya. Laju tangannya mencapai batang kayu tersebut.

Dengan matanya masih pada Saleh, mulut Mat Ali terkumat-kamit membacakan empat Qul sebanyak tiga kali dan dihembuskan perlahan pada batang kayu tersebut. Mat Ali menarik nafas panjang sebelum melangkah menghampiri Saleh. Batang kayu diangkat tinggi-tinggi ke udara.

“ALLAHUAKBAR!”

Suara Mat Ali bergema kuat beserta hayunan sepenuh tenaga batang kayu ke badan Saleh. Jeritan Saleh yang begitu kuat, penuh kesakitan, persis ngauman binatang yang maha besar tubuhnya. Saleh kemudian mengundur beberapa tapak ke belakang, namun wajahnya masih bengis seperti tadi. Matanya semakin memerah.

Sekali lagi Mat Ali mengangkat batang kayu dan dipukul kuat ke badan Saleh diiringi takbir. Saleh meraung kesakitan. Dia tersungkur ke tanah. Mat Ali semakin berani. Dia menghampiri Saleh yang semakin lemah dan batang kayu diangkat lebih tinggi berbanding tadi. Sekuat hati dia bertempik melaungkan kebesaran Allah, serentak dengan sentuhan batang kayu ke tubuh Saleh yang kemudiannya terkulai tidak sedarkan diri.

Dalam samar malam, Mat Ali dapat melihat kepulan asap kelabu kehitaman perlahan-lahan keluar dari badan Saleh. Dan seperti angin, asap itu hilang terus. Mat Ali menarik nafas lega dan Saleh dihampiri. Saleh diam tak terkutik. Detik itu, dia tahu, Saleh sudah meninggal dunia.

Mat Ali mengelus rambutnya perlahan. Setitis dua air mata mengalir ke pipi. Sedih, risau, kesal, takut, semua bersatu. Tubuh Saleh yang bengkak berdarah dibetulkan letak baringnya. Kain pelikat yang diikat di pinggang dihamparkan menutup kepala Saleh sehingga ke dada. Daun-daun kering di sekitarnya dicabut dan ditabur di atas jasad Saleh yang sudah tidak bernyawa. Setelah dipastikan susuk tubuh tadi ditutup hampir sempurna, Mat Ali berdiri. Batang kayu yang digunakan untuk memukul Saleh dipatah empat.

Salakan anjing kedengaran mendayu-dayu. Tapi Mat Ali tak peduli. Mulutnya lancar membacakan ayat Kursi lalu dia mencacakkan empat batang kayu tadi di segenap penjuru tubuh kawannya yang sudah dikiamkan. Dengan tangan kanan yang digenggam erat, Mat Ali mula berjalan mengelilingi jenazah itu diiringi ayat Kursi.

“Wala ya uduhu hifzuhuma wahual ‘aliyul ‘azim.” Mat Ali menghembus ke udara sesudah ayat terakhir ayat Kursi dibaca. Dan dia meneruskan langkahnya mengelilingi arwah Saleh sehingga genap tujuh kali. Mujur arwah Tok Wan nya pernah mengajarkan cara untuk memagar. Sekurang-kurangnya, dia berharap, ‘pagar’ yang dia buat ini mampu menangkis iblis dari kembali merasuki jasad ini.

Mat Ali duduk sebentar setelah segalanya selesai. Sungguh dia tak menyangka ini yang akan terjadi apabila dia membuat keputusan untuk lari daripada penjara. Sekarang, untuk dia berundur ke belakang, sudah terlewat. Dia harus segera mencari jalan keluar. Perlahan dia bangun dari duduk, dan tangannya menyeluk ke poket. Rokok daun terakhir dibakar.

Ketika dia melangkah, dia terasa ada angin yang mengikutnya dari belakang. Angin yang meniup-niup tengkuknya, dan hanya tengkuknya saja. Tidak pula terasa sejuk lengannya. Mat Ali yakin, iblis laknatullah yang masuk ke tubuh Saleh tadi masih tidak serik-serik. Mat Ali berpaling laju. Dan ketika itu, dia dapat melihat satu bayang besar yang dia sendiri tidak tahu sampai ke mana tingginya, berhadapan dengannya.

Dada Mat Ali bergetar hebat. Entah kenapa, perasaan berani yang tadi berkumpul di jiwa, hilang tiba-tiba. Mat Ali berlari menyelamatkan diri. Dia berlari sekuat hati sehinggalah kakinya tersadung pada akar pokok dan dia hampir tersungkur. Namun dia dapat mengimbangkan diri sebelum terjatuh ke lubang hitam.

“Allaahhh..” Keluh Mat Ali berat. Tangannya memegang tusukan kayu tajam di perutnya. Hanyir darah mula terbau di hidungnya, pekat. Mat Ali terbaring lemah. Dia tahu, dia sudah terjatuh ke dalam perangkap pemburu. Mat Ali terus mengeluh lemah, membiarkan air mata mengalir membasahi pipinya. Perlahan, matanya mulai terpejam.

 

“Mat!”

Satu suara kedengaran. Mat Ali tersedar. Wajah Saleh yang begitu hampir dengannya menyentak tangkai jantung. Mat Ali menggelupur ketakutan dan terus terjatuh dari katil.

Saleh mengerutkan kening. Mat Ali ni mengigau ke?

“Kau ni dah kenapa?” Saleh bertanya. Hairan juga dia melihat Mat Ali yang terkenal dengan keberaniannya, kini ketakutan seperti terserempak hantu. Tapi dia tak peduli semua itu. Yang penting sekarang, jam sudah hampir ke pukul 7 malam. Lelaki-lelaki yang bermain sepak raga sudah mulai pulang ke bilik masing-masing, bersiap sedia untuk solat Maghrib. Rancangan mereka berdua perlu diteruskan.

“Cepatlah, Mat. Aku dah sediakan selimut macam yang kau cakap tu.” Saleh terus bersuara apabila dia melihat Mat Ali yang kebingungan, perlahan-lahan berdiri. Kain pelikat yang dipakai Saleh diangkat tinggi, menyerlahkan selimut yang membaluti kakinya.

Mat Ali menelan liur pahit. “Kita batalkan rancangan kita. Aku tak sanggup. Aku tak sanggup.” Mat Ali terus melemparkan bantal ke atas katil dan berjalan keluar dari bilik yang menempatkan katil-katil yang tersusun rapi.

Saleh terdiam, mengetap bibir. Punya susah dia lipat-lipat selimut, pakai macam dia pakai kain pelikat, lepas tu pakai kain pelikat lagi, tiba-tiba Mat Ali cakap, rancangan batal. Selimut yang dipakai, direntap kuat sehinggakan kain pelikat turut tercabut.

Saleh terus duduk di atas katil milik Mat Ali, mengenangkan keenakan nasi lemak maknya di rumah, yang kini hanya tinggal kenangan

 

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/64969/disember

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *