K-POP GIRL : Atiny Yang Tabah (Sneak Peek)

. . .

Puan Nora bergegas ke hospital bersama anak bongsunya, Rayyan, selepas menerima panggilan yang mengatakan bahawa Encik Jamal dan Rin terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta dipandu dengan laju, bersama air mata yang bercurahan dari tubir mata.

Rayyan yang duduk di sebelah pula terasa kecut perut. Walaupun dia tidak nampak apa-apa kerana keadaannya yang buta sejak lahir, dia tetap merasa gerun dengan situasi itu. Manakan tidak, mereka baru menerima berita buruk dan kini ibunya pula memandu seolah-olah mahu menempah katil di hospital.

“Ibu, bawalah kereta elok-elok. Adik takut.” Budak lelaki berumur 10 tahun itu cuba mengingatkan ibunya.

“Kita kena cepat sampai ke hospital, dik. Ayah dan kakak perlukan kita,” balas Puan Nora dengan suara yang bergetar. Ternyata wanita itu cemas sekali.

Rayyan langsung diam. Dia mengerti semua itu. Dia juga risaukan keadaan ayah serta kakaknya.

Rayyan cuba mengingat semula — kakaknya dan Encik Jamal mahu ke pusat membeli-belah untuk membeli hadiah hari lahir Puan Nora. Rin meminta Rayyan untuk merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan ibu mereka kerana mahu membuat kejutan. Tetapi sekarang, kejutan itu datang dalam bentuk yang lain pula.

Rayyan bermain dengan jari-jemarinya, cuba untuk menghilangkan kecut perutnya.

“Maafkan saya, puan. Kami dah cuba sehabis daya kami, tapi Allah lebih sayangkan suami puan.”

Kata-kata doktor lelaki itu membuatkan kaki Puan Nora terasa lembik sepenuhnya. Dia jatuh melutut seraya menangis semahu-mahunya.

Rayyan yang terkejut mendengar rintihan ibunya secara tiba-tiba itu, terus sahaja mengambil tongkatnya dan mendekati Puan Nora. Dia mengikut suara ibunya sebagai pemandu arah. Tubuh Puan Nora dipeluk dan ibunya membalas pelukan itu seerat-eratnya. Bahu si anak habis lencun dengan air mata.

“Ayah dah tak ada dik… Ayah dah tak ada…,” Puan Nora merintih pilu.

Rayyan terkesima. Sebaik sahaja mendengar kata-kata itu, air matanya turut jatuh.

Doktor tadi memandang sayu ke arah mereka berdua. Dia faham betapa peritnya hendak menerima kenyataan tatkala orang yang disayangi telah meninggal dunia.

“Anak puan pula stabil. Dia masih tak sedarkan diri, tapi dia stabil,” beritahu doktor itu lagi.

Puan Nora mengelap air mata dengan hujung lengan blaus yang dipakainya. Dia berdiri sambil memegang tangan Rayyan.

“Boleh saya jumpa dia, doktor?”

Doktor tersebut mengangguk lalu membawa mereka ke bilik wad yang menempatkan Rin. Masuk sahaja ke dalam bilik, Puan Nora terus menghampiri anak sulungnya.

Doktor itu mula rasa serba salah, kerana ada lagi satu berita buruk yang harus diberitahu.

“Puan, maafkan saya, tapi ada satu lagi berita buruk yang puan kena tahu.”

Puan Nora memandang tampang muka doktor itu. Matanya berkaca semula.

“Anak puan mengalami kecederaan yang teruk pada saraf tunjangnya. Maka dia disahkan lumpuh dari pinggang ke bawah.”

“Allah.…” Satu keluhan terluah daripada bibir Puan Nora. Air liur terasa cukup kesat untuk ditelan. Dia tersandar di dinding bersebelahan katil Rin sambil memegang kepala yang terasa semakin memberat dan berdenyut-denyut seakan mahu pecah.

Rayyan pula berdiri kejung dek terlalu terkejut. Puan Nora memandang Rin yang tertutup rapat matanya. Dada gadis itu berombak perlahan.

Sekali lagi Puan Nora terduduk. Badannya lesu, hatinya pilu.

. . .

Baca selanjutnya di e-sentral.com

Penulis: Natasha Mazya
Penerbit: Bookiut PTS Publications