[Sneak Peek] Derita Sebuah Kisah

Derita Sebuah Kisah
-karya Eyra Shazleyra

. . .

DADA AKU yang pertama mengalami perubahan. Aku tahu apa yang sedang berlaku. Tak perlu buat pemeriksaan doktor sekalipun aku yakin dah mengandung. Walaupun belum masuk dua bulan aku dan Razman dinikahkan. Apatah lagi haid aku tiba-tiba terhenti.

Demi berita gembira itu, aku ke farmasi berdekatan untuk membeli kit penguji kehamilan. Aku tak pandai nak order di kedai atas talian. Mujur rumah yang aku huni sekarang terletak di kawasan bandar. Dikelilingi segala jenis kemudahan. Dalam hati, aku tak sabar mahu menyampaikan berita gembira itu kepada Razman. Aku harap dia suka.

Tiba di rumah, kereta Razman terparkir di pekarangan. Pintu depan dan pagar grill kelihatan terbuka luas. Aku berasa agak pelik memandang waktu masih awal. Mengingau agaknya masa ni dah balik ke rumah. Dah tak ada kerja nak buat?

Dah dia kata dia keluar pergi kerja, aku iakan saja. Lebih-lebih bertanya nanti, penampar juga yang laju naik ke muka aku.

Heret tangan Nadia, aku laungkan salam sambil melangkah masuk ke dalam rumah.

Perasaan aku terus bertukar lega kerana cuaca panas dan perit di luar sana. Namun, ucapan selamat sejahtera aku tadi dijawab dengan tapak tangan yang tiba-tiba sampai ke pipi. Aku langsung tak bersedia nak menerima impak itu. Sudahnya tersungkur aku ke lantai bersama barang-barang di tangan.

“Ibu!” Nadia lantang menjerit. Terkejut. Dia menerkam dapatkan aku yang sedang mengalami dengung kuat pada bahagian telinga.

“Kau dah pandai nak keluar tak beritahu aku sekarang, ya? Dah pandai merayap cari jantan!” Wajah menyinga Razman aku pandang dengan biji mata terkebil. Sungguh. Aku langsung tak faham apa yang dia cakap.

Otak masih bergegar. Tak mustahil tulang rahang aku dah terkehel gara-gara kekasaran yang diterima. Memang. Bukan kali pertama dalam hidup pipi dicium tapak tangan Razman yang selebar seludang.

“Kenapa dengan awak ni? Apa yang awak merepek? Saya keluar beli barang aje, bila masa keluar cari jantan? Saya dah WhatsApp…” Ayat aku terhenti setelah Razman melelar pergelangan tanganku dengan rakus. Tegak tubuh aku walaupun punggung masih rapat di lantai.

Tanpa sempat berbuat apa-apa, tangan kiri Razman pula yang melayang.

“Ibu!” Nadia yang menjadi saksi sudah meraung.

“Kau diam!” Tercerlung biji mata Razman dengan telunjuk yang menuding keras. Terus aku menolak pegangan dia lalu meraih Nadia ke dalam dakapan.

“Awak ni dah kenapa? Hilang akal? Kenapa pukul saya tak tentu pasal? Lepas tu merepek yang bukan-bukan.” Aku masih tak berpuas hati selagi tak beroleh jawapan.

Aku juga bukan perempuan lemah yang tak akan melawan. Sakit pada pipi pun tak aku kisahkan. Paling penting, alasan kenapa Razman naik hantu tiba-tiba? Seorang suami yang aku harap dapat melindungi kami walaupun aku masih tak mengenali peribadinya.

“Kau pergi mana, keluar tak beritahu aku?” Masih memetir suara Razman. Muka merah tanda amukan di dada.

“Saya pergi kedai beli barang. Nanti nak masak, nak bagi awak makan.” Nah! Aku bagi jawapan mudah.

“Kau memang pandai menjawab, kan?”

“Saya beritahu benda betul…” Ayat aku sekali lagi tak ketemu titik setelah pipi kembali ditempeleng. Tak cukup dengan itu, Razman angkat kaki tinggi.

“Man!” Aku menjerit nyaring. Tubuh Nadia kudakap erat demi mengelak daripada disakiti. Saat yang sama aku teringat nyawa baru di dalam rahim.

“Man, saya mengandung!” Aku menjerit lantang. Memberitahu semua itu dalam kesempatan yang ada supaya Razman tak meneruskan tingkah rakusnya. Tingkah yang tak pernah aku tahu dimiliki oleh lelaki itu.

Dan aku berjaya setelah kaki Razman yang sudah mencecah belakang badan aku menjadi tolakan perlahan. Merebahkan tubuh ke lantai bersama Nadia yang sudah menangis teresak-esak dalam pelukan.

“Saya mengandung, Man. Jangan buat saya macam ni.” Aku harap dengan berita itu akan menyejukkan sedikit hati membara Razman yang tak aku tahu puncanya. Namun, ternyata aku silap buat percaturan.

Tangan Razman rakus mencengkam belakang kepala aku. Ditarik rapat kepadanya yang sudah mencangkung di sisi.

“Kau cakap apa?” Berbinar biji mata Razman memandang. Turun ke bahagian perut yang aku lindungi dengan tangan kanan.

“Saya mengandung.” Aku ulang ayat yang sama. Bibir sempat mengukir senyum nipis. Hati berharap semuanya baik-baik saja.

“Bodoh! Bangang!” Dan ayat-ayat seterusnya yang penuh carutan.

Semakin erat aku mendakap Nadia. Apatah lagi melihat Razman yang dah macam tak waras dengan tingkah ke hulu hilir. Caci maki terus kedengaran keluar dari mulutnya bak bertih jagung yang sedang meletup-letup ketika dimasak dalam kuali.

Saat yang sama aku mengeluh kesal. Menangisi nasib diri.

Eh! Kau ingat aku kahwin dengan kau nak suruh buat anak? Eh! Kau memang nak menyusahkan aku, kan? Memang sial kau ni!”

“Kalau macam tu, awak hantar saya balik ke rumah mak long saya.” Aku tersenyum lebih manis bersama ayat yang meluncur dari ulas bibir.

Ayat yang mampu membuatkan tingkah Razman sekali lagi terhenti. Kemudian dia berkalih memandang.

Aku tak kisah kalau dia nak terajang aku sekarang. Aku pun tak main-main dengan ayat yang dah aku sebut tadi. Aku lebih rela kena maki dengan mak long daripada lelaki asing walaupun Razman sudah menjadi suami. Janji-janji yang pernah dia lafaz sewaktu akad nikah lebih sebulan lalu hanyalah sekadar ayat untuk melengkapkan majlis. Adat semata-mata kerana tak pernah dikota.

Razman senyap. Lagak tergamam. Kesempatan yang ada, aku berbisik kepada Nadia. Menyuruh anak aku tu naik ke biliknya di tingkat atas. Masuk, kunci pintu ketat-ketat kemudian duduk di situ diam-diam. Jangan keluar. Selagi aku tak pergi panggil.

Namun, semakin menjadi-jadi tangisan Nadia. Kepala digeleng tanda enggan sambil dia mengeratkan rangkulan pada batang tubuh aku.

. . .

Dapatkan versi e-book penuh di e-sentral.com

Penerbit: RMA Studio
Penulis: Eyra Shazleyra