[SNEAK PEEK] Abang Romantik Rumah Sebelah

Abang Romantik Rumah Sebelah oleh Ezdiani Abd Rahman

LUTH tersenyum-senyum sendiri sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Ada-ada sahaja alasan Faisha menjawab. Jual mahal betul. Lagi Faisha jual mahal, lagi dia tercabar nak memikat hati batu milik gadis itu.

Terbayang wajah Faisha dalam benaknya. Parah. Memang dia asyik terbayangkan wajah manis Faisha. Garang-garang macam Faisha pun dia boleh terpikat. Tergelak Luth bila teringat reaksi Faisha tadi. Siap jengul kepala di daun tingkap yang terbuka. Terkejut juga dia bila disergah Faisha.

Melihat wajah Faisha yang garang membuatkan Luth makin ingin mendekatinya. Selalunya gadis yang berhati keras ini dia lebih tahu menjaga diri. Tidak melayan lelaki di luar sana sesuka hati. Biar nampak sombong asalkan maruah diri terjaga dengan baik.

Luth merebahkan badannya. Wajah mulus Faisha benar-benar sudah mencuri hatinya. Gadis itu betul-betul sudah berjaya mengetuk pintu hatinya. Walaupun Faisha garang, Luth dapat merasakan kelembutan yang disembunyikan Faisha. Mungkin kisah lalu Faisha yang membuatkan dia berubah jadi begitu.

Sedikit sebanyak kisah perjalanan hidup Faisha yang didengarnya itu membuatkan dia dapat mengagak Faisha bagaimana orangnya. Hati itu pernah terluka dan dilukai. Sebab kisah lalu itulah Faisha menjauhkan diri daripada insan yang bergelar lelaki.

“Faisha… kita berdua sama sahaja. Kau dan aku pernah rasa kecewa dikhianati. Kalau kita bersama, pasti perasaan pedih itu tak mengganggu hidup kita.” Luth bercakap sendiri sambil menatap wajah Faisha yang dirakam di dalam telefonnya.

Skrin telefon yang memaparkan wajah Faisha itu ditenung redup. Kata hatinya kuat mengatakan Faisha adalah pengganti yang bakal memecahkan tembok duka dalam hatinya. Faisha bakal menghapuskan rasa duka yang singgah dalam hidupnya. Dan dia yakin dapat menghapuskan kedukaan yang dialami Faisha.

“Assalamualaikum.”

Luth mengerutkan dahinya. Siapa yang memberi salam di luar? Luth menjengah melalui tingkap ruang tamu rumahnya, berselindung di sebalik tirai.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/345053

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *