[SNEAK PEEK] Rasa Paling Indah

9789831247914-medium

EBUKU Rasa Paling Indah oleh Durrah Fatiha

DIA bangkit dari duduknya yang hanya sekejap lalu bergerak menuju ke tingkap. Langsir itu diselak sedikit. Amani melemparkan pandangan ke arah taman yang teratur dan kemas di luar rumah.  Perlahan dia berusaha menghirup udara segar yang berlegar di taman yang berlanskapkan pepohon hijau dan pelbagai bunga yang sedang memekar. Jiwa kembali tenteram dihidangkan dengan pemandangan indah berwarna-warni yang diselang-seli dengan kehijauan. Sungguh harmoni. Amani tunduk mengamati pakaian yang tersarung di tubuhnya pula. Dres labuh longgar berlengan panjang dihiasi corak bunga-bunga kecil warna merah jambu, coklat muda dan maroon. Dres potongan empat tingkat bermula dari bawah dada itu dimaniskan dengan sulaman riben satin berwarna maroon di setiap tingkat. Sesuai dengan potongan badannya yang tinggi langsing. Amani membuka almari, memeriksa tudung warna coklat muda yang baru semalam dibeli dari butik Ariani. Memang sepadan! “Macam mana penampilan aku, ek? Okey ke?” Cepat dia bergerak dari almari pakaian menuju cermin meja solek di hujung bilik yang luas itu. Mengamati diri dari situ. Amani pantas merapikan penampilannya. Hati puas. Cuba membayangkan senyuman suami tatkala pandangan singgah di wajahnya, seolah-olah lelaki itu sedang berdiri di hadapan mata. Ada rasa teruja dengan pertemuan yang bakal berlangsung, tetapi dalam masa sama gemuruh di dada tetap mengombak. Bagaimana perasaan suami terhadapku? Betul ke dia sayangkan aku? Mungkin dia hanya mahu membuktikan kemampuan dirinya? Ataupun… dia berkahwin sekadar untuk puaskan ego lelakinya? Ya, egonya memang beratus tan! Ah, lelaki memang begitu. Amani menggeleng dalam sinis. Namun bila teringatkan kesungguhan lelaki itu menjadi imam solat mereka, hatinya tersentuh. Sejurus kemudian dada Amani berkocak lagi. “Ya ALLAH, apakah pilihan yang kubuat ini tepat?” soalnya kepada diri sendiri. Dalam tempoh perpisahan mereka selama sepuluh hari ini, dia banyak menyoal diri. Sudah pastikah aku dengan hati ini? Sejauh mana aku menerima si dia yang bergelar suami ke dalam hidupku? Dengan penuh kecintaan? Ya ke? Mungkin bibit-bibit cinta itu datang setelah melalui pelbagai kerenah dalam hubungan kami. Mungkin tidak. Hingga kini Amani tidak pasti akan perasaan suami terhadap dirinya. Benarkah dia menyayangi aku seperti kata Haifa? Walaupun nampak dari perlakuannya seperti lelaki itu memang sayangkan dia, tetapi entahlah… Amani melabuhkan punggung ke atas kerusi kayu jati di tepi tingkap. Menyandarkan tubuh ke belakang sambil mata dipejamkan. Dia menarik nafas panjang dan dilepaskan sedikit demi sedikit. Fikirannya menemui titik tenang semula. Perlahan-lahan mindanya hanyut ditelan memori, memfokus kepada rentetan peristiwa yang dilalui hingga termetrai ikatan perkahwinannya dengan lelaki yang kini bergelar suami. Kini minda Amani menyelami semula kisah mereka..

****

PAGI itu Amani dan suaminya agak kelam-kabut kerana terlewat bangun. Tanpa sempat bersarapan masing-masing bergegas memasuki kereta untuk ke tempat kerja. Setiap hari berkongsi kenderaan yang diserahkan oleh bapanya untuk kegunaan mereka.  Sheikh Iqbal mempunyai beberapa buah kereta yang diatur di halaman rumahnya. Dia juga boleh dikatakan tokoh perniagaan yang berjaya menerajui syarikat sendiri, walaupun tidak sebesar kepunyaan Datuk Syed Yusoff, ‘besan tak jadinya’.  Sebaliknya, Sheikh Abu Wasim yang menjadi besannya sekarang bukanlah ahli perniagaan seperti mereka. Sebaliknya lelaki itu menjawat jawatan tinggi di sebuah syarikat bertaraf antarabangsa. Itu menjadi sebab dia sentiasa sibuk. Kadangkala ke luar negara untuk beberapa lama. “Sejak dua hari ni saya tengok selera awak dah bertukar kepada kereta kecil. Ada sebab tertentu ke? Minggu lepas elok aje kita guna BMW lama tu,” komen Amani setelah mereka berada di dalam kereta untuk ke pejabat.  Sejak berkahwin Amani tidak dibenarkan memandu ke pejabat. Isyraf menetapkan, dia akan menghantar dan mengambil Amani dari tempat kerja. Alasan? Dia mahu bersamanya di dalam kereta. “Ni pun kira baik saya tak pakai motor. Awak nak rasa pengalaman naik motor?” balas Isyraf tersengih nakal.  Sebelum berkahwin dahulu, Isyraf gemar menunggang motosikal ke pejabat. Cara berkesan untuk mengelak dari terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Tetapi sekarang tidak mungkin dia menghantar Amani ke pejabat menaiki motosikal. Mati kena sergah dengan babah kelak! Kadang-kadang dia gemar juga meminjam kenderaan walid. Namun, sudah dua hari berturut-turut selera Isyraf bertukar kepada Mini Cooper kepunyaan Fikri yang dikebas. “Kereta kecik ni kan bagus. Jimat minyak.” Isyraf menyambung penjelasannya setelah melihat mata Amani yang mencerlang. Tau takut! “Kereta ni nama aje kecik tapi kuasanya tinggi. Jimat sangatlah tu,” balas Amani dalam cebikan sinis. Dia menjeling sekilas kepada Isyraf sebelum pandangannya dikalih ke luar tingkap. “Hmm…” Isyraf tersengih nakal.  “Kereta kecik ni sempit, kan. Tulah best. Saya boleh selalu dekat dengan awak. Kita duduk himpit-himpit sampai berlanggar kepala lutut.” Serentak itu Isyraf menggerakkan tangannya hingga tersentuh peha Amani. Satu perbuatan yang sengaja dan bertujuan menyerlahkan maksud kata-katanya. Terkesima sejurus Amani yang menerima perlakuan tak senonoh itu. Huh, tak habis-habis dengan perangai gatal dia! Memang sahlah perangai dia dulu-dulu macam ni, getus Amani dalam diam. “Amani, kita pindah duduk asing nak?” Tiba-tiba sahaja timbul usul sebegitu yang diajukan Isyraf. Perkahwinan mereka sudah masuk ke bulan kedua. Kadang-kadang mereka pulang ke rumah ibu bapa Isyraf dan ada masanya tinggal di rumah ibu bapa Amani. Setakat ini mereka belum memutuskan untuk terus menetap di mana. Isyraf sendiri lebih suka mereka tinggal terus di rumah ibunya tetapi dia harus memikirkan perasaan Amani juga.

Terpegun Amani mendengarnya. Baharu dua bulan menjadi suami isteri, dia dah tak sabar nak berpindah keluar dari rumah orang tua? “Pulak? Awak ni kenapa?” Kerut di dahi Amani begitu ketara. “Alah, kita dah kahwin. Saya rasa nak belajar hidup sendirilah. Susah senang kita sama-sama tanggung. Lagipun ada privasi.” Isyraf tersengih nakal menghabiskan ayat terakhir itu. Di dalam kereta yang sempit itu, laju sahaja tangan kirinya menjalar ke peha Amani. “Hey, tangan tu kat sterenglah. Cepatlah pandu. Saya dah lewat nak masuk pejabat, tau. Ni semua awak punya pasallah.” Amani mengingatkan.  Bibirnya sudah muncung empat belas. Serentak itu dikuis tangan Isyraf yang masih berlabuh di atas pehanya. Nanti tak pasal-pasal terlanggar kereta depan. “Saya pula dituduh lewat. Awak tu apa kurangnya?” Isyraf tersengih-sengih mengingatkan keadaan mereka yang terlewat bangun pagi tadi. “Awak tu kerja dengan Ammi Yusoff, pukul berapa masuk ofis pun dia tak kisah. Tapi saya kerja dengan orang, tau. Ada peraturan,” sergah Amani. Sengaja tidak mahu dilayan omelan Isyraf yang menjadi-jadi sejak pulang dari New Zealand. “Okay Mrs. Amani… at your service, ma’am.” Serentak itu Isyraf menambah tekanan pada pedal minyak dan keretanya menyusup laju di celah-celah kenderaan yang berderet-deret. Amani menahan nafas. Ngeri! “Cuba awak fikir… kalau tak nak duduk asing, kita nak duduk mana? Tentulah umi dan babah nak kita tinggal dengan mereka. Sebaliknya, mama dengan walid saya macam mana pula?” Isyraf kembali menyambung cerita tadi.  Setelah beberapa lama mengharung jalan yang amat sesak, dia berputus asa dan mengikut rentak lalu lintas yang sudah merangkak-rangkak. Tiada guna mencelah dan membahayakan mereka dalam keadaan sesak begini sedangkan sudah sah mereka akan lewat! Lama kedua-duanya berdiam diri, Isyraf memberi ruang untuk isterinya berfikir dan menimbangkan cadangan tersebut. “Betul juga kata awak. Kita tak mahu mana-mana pihak berkecil hati. Nampaknya jalan terbaik adalah dengan kita berpindah duduk asing. Macam tu maksud awak?” Amani sudah menangkap maksud di sebalik cadangan suaminya. “Tahu tak apa!” Isyraf tersenyum ceria. Dia sebenarnya tidak mahu ada pihak yang berkecil hati. Lagipun, dia ada perkara yang mahu dirahsiakan daripada kedua-dua belah keluarga.  Dengan tinggal berasingan dari keluarga masing-masing, dia berharap hal Erina mampu ditanganinya tanpa pengetahuan sesiapa. Yang paling mahu dielakkan ialah Erina mengganggu isterinya.  Isyraf berjanji akan memastikan Erina tidak mengenali Amani, jauh sekali untuk mengetahui lokasi di mana mereka tinggal. Gadis itu boleh bertindak apa sahaja, tidak mustahil jika satu hari nanti dia akan mencari Amani dan bercerita yang bukan-bukan mengenai hubungan silam mereka. “Awak menantu kesayangan walid dengan mama. Jadi awaklah yang kena pujuk dia orang,” putus Isyraf yang sudah mengenyit mata. Hee… dia ni. “Kenapa saya pulak yang kena buat kerja sensitif tu?” Amani mengerutkan dahi seraya mencebirkan bibir. “Sebab saya tahu awak dah tawan hati walid dengan mama. Dia orang pandang tinggi pada awak. Dia orang lebih dengar cakap awak dari saya. Babah dengan umi tu perkara kecik aje.” Laju sahaja Isyraf menawarkan hujahnya. Isterinya hanya menjeling sambil menghadiahkan cebikan. Nyata, tidak senang dengan saranan itu. “Awak kan peguam, gunalah hujah-hujah yang kaw-kaw dan kreatif untuk pujuk. Please…” rayu Isyraf dengan senyuman penuh menggoda di wajahnya yang kacak itu. Ah… susahnya bila dia cakap please macam tu, sahut hati Amani. Jiwa semakin kacau dengan gelagat suami yang menawan kalbu.  Kini wajah Thaqif semakin jauh dari mindanya. Amani mula membuka ruang di hatinya untuk menerima kasih sayang suami.

DENGAN kebijaksanaan Amani yang memujuk kedua-dua belah pihak keluarga, akhirnya dia dan Isyraf berpindah ke sebuah taman perumahan yang tidak berapa jauh dari rumah keluarganya. Hanya lima belas minit perjalanan. Rumah baharu itu kepunyaan babah yang kebetulan baharu beberapa bulan diserahkan kunci oleh pemaju. Kini kuncinya bertukar tangan kepada mereka pula.  Itu adalah syarat daripada keluarga mereka. Jika tidak mahu tinggal di situ, jangan harap walid mahupun babah akan benarkan mereka berpindah keluar. Petang itu Isyraf pulang dari pejabat lebih awal dari biasa. Selesai memparkir kereta di garaj dan mematikan enjin, dia menyandarkan tubuh ke belakang. Lama dia melengung di dalam kereta baharu yang dihadiahkan babah kepadanya. Lega kerana dia dapat bersendirian memandangkan Amani awal-awal lagi meminta izin untuk pulang ke rumah umi pada petang itu bersama Fikri. Abang iparnya itu sudah dua hari balik bercuti dari Sabah. Dia sendiri akan menyusul selepas solat maghrib. Isyraf melayan fikiran yang berkecamuk disebabkan insiden yang tercetus sejak beberapa hari yang lalu. Tidak mampu diketepikan lagi, perlahan-lahan mindanya memainkan semula apa yang berlaku sewaktu lawatan ke New Zealand tidak lama selepas majlis perkahwinannya selesai.   “I SAYANG you. Sungguh, I tetap sayangkan you. Tapi kita tak mungkin bersama lagi. I’m sorry love.” Kepada Erina dia menyampaikan keputusan. Itulah hajat sebenar kedatangannya ke New Zealand.  Hanya beberapa hari sebelum perkahwinannya berlangsung, dia menghubungi Erina melalui e-mel, menjemput gadis itu ke majlis hari bahagianya. Sekali gus memaklumkan tentang perkembangan dirinya.  Dia tahu Erina tidak akan dapat menghadirinya kerana gadis itu masih di New Zealand. Tujuan sebenar adalah bagi membuatkan Erina faham bahawa hubungan mereka benar-benar telah bernoktah, sementalah Erina sendiri yang memutuskannnya tempoh hari. Namun balasan e-mel dari gadis itu membuat hatinya resah. Erina seolah-olah tidak dapat menerima status baru mereka sebagai kawan biasa. Dia mengugut untuk ‘menggegarkan’ perkahwinan Isyraf apabila balik nanti. Jika tidak diselesaikan hal antara mereka, dikhuatiri Erina akan mengganggu hidupnya sesudah berkahwin kelak.  Itu sesuatu yang harus dielakkan. Nyata telahan dia benar apabila berhadapan dengan keengganan Erina melepaskan dirinya. “Isyraf! You… you tak maksudkan apa yang you cakapkan ni, kan? You’re just joking, right? Please…” Erina tersengih lucu mendengar kata-kata Isyraf. Ia sesuatu yang tidak mungkin. “I’ve never been more serius, Erina.” “Tapi muka you tak nampak serius pun. Janganlah macam ni, Isy. Let’s continue where we left off. Macam dulu-dulu. I menyesal dengan keputusan yang I buat hari tu.” Jemari Erina menyentuh pipi Isyraf. Dielus lembut dan perlahan. Gaya memujuk yang selalu digunakan terhadap lelaki .Isyraf mengelakkan diri dari sentuhan tangan itu dengan bertindak bangkit dari sofa. Tidak wajar begini, desis hatinya. “Erina, kali ni I betul-betul minta maaf. I meant every word I’ve just said.” Isyraf bernada serius. Dia mengangkat serta mendepangkan kedua-dua telapak tangan memberi isyarat dia sudah cukup dengan semua ini. Dah muak, dah bosan. Erina menggeleng beberapa kali, berusaha mengusir kenyataan yang menusuk telinganya. Sungguh dia tidak percaya dan tidak mahu mendengar kata-kata tersebut. Mana mungkin hubungan dia dengan Isyraf berakhir selamanya?  Sudah beberapa kali kasih mereka terpisah, namun setiap kali tetap bertaut semula. Dan hari ini juga masih serupa. Dia sering mampu memujuk Isyraf dengan gaya manjanya untuk menyambung semula hubungan mereka.  Pasti kali ini tiada bezanya, tekad Erina. Akan digunakan daya pujuknya untuk mengembalikan cinta mereka ke era dulu. “It’s over. Erina, I love you, but not like before. Sekarang ni kasih I pada you hanya sebagai kawan…” Isyraf bersuara dalam lembut. Ayatnya tergantung apabila Erina mencelah. “Syyh…” Segera tangan Erina berlabuh di bibir Isyraf. Menghalang jejaka itu dari bersuara lanjut. Isyraf yang tidak selesa dilayan begitu hanya membiarkan keadaan dalam sepi buat seketika. Dalam hatinya dia telah nekad. Harus diluahkan juga apa yang bersarang di minda. Harus diselesaikan misi kedatangannya ke sini. Direnung Erina dengan pandangan yang redup. “Dengar sini Erina… I tak cintakan you macam dulu lagi. Cinta kita yang tu dah lama berakhir. Dah padam.” “Tidak,” geleng Erina beberapa kali.  “It cannot happen.” Tangannya lembut merayap ke dada Isyraf. Tidak dipedulikan reaksi lelaki itu yang berundur dua langkah kerana rimas dengan tindakannya. Erina tidak mahu melepaskan Isyraf, semakin merapatkan jarak antara mereka. “Erina, listen to me…” Isyraf memegang kedua-dua lengan Erina erat lalu direnggangkan bagi menghentikan perbuatan gadis itu yang hampir menyembamkan wajah ke dadanya. Kini anak matanya ditala kepada anak mata Erina. “Semuanya dah berakhir sejak perpisahan kita beberapa minggu sebelum I balik Malaysia hari tu. Tak mungkin diperbaharui, Erina. You sendiri yang putuskan masa tu, bukan I.” Nadanya ditegaskan walau suaranya masih berlembut.  Dia harus bersabar dengan kerenah Erina dalam rangka membuat gadis ini faham dan sedar akan perkara yang baru disampaikannya. Perpisahan mereka untuk kali ini telah menemui jalan mati. Tidak mungkin diperbaharui. Dia sudahpun berumah tangga. Tidak dihiraukan kata-kata lelaki itu, Erina terus merenung wajah di hadapannya dalam mata yang seolah-olah merayu. Operasi memujuk dan menggoda harus bermula secepat mungkin! Dari sekarang. “Isyraf, dulu kita pernah berpisah. Malah beberapa kali… tapi lepas tu kita berbaik semula. Apa bezanya untuk kali ni?” Erina menghamburkan senyuman ceria. Senyuman yang dulu sering mengundang bahagia di wajah jejaka ini. Mustahil Isyraf tidak terkesan dengannya. Dia bergerak memaut mesra pinggang jejaka itu. “Dulu, mungkin ya. But not for this time, Erina. You sendiri yang buat keputusan tu, ingat tak?” Isyraf masih mengekalkan nada suaranya yang lembut namun tegas.Perlahan dileraikan tangan Erina yang berada di pinggangnya. Matanya menikam pandang anak mata Erina dalam usaha menyampaikan maksud. Hati berdebar juga. Takut andainya benteng pertahanannya ampuh bila berdepan dengan pujuk rayu Erina.  Erina memang juara dalam hal pujuk-memujuk sejak dulu lagi. Tetapi hari ini dia nekad untuk tidak tunduk kepada godaan mahupun rajuk manja Erina. Dia bukan lagi Isyraf yang meninggalkan bumi Kiwi ini enam bulan yang lalu.  Kini dia adalah Isyraf yang lebih bertanggungjawab, yang sudah berubah menjadi lelaki sopan lagi beradab.  Isyraf sekarang adalah yang lebih pentingkan solat dan amal kebajikan, yang menepati janji, yang lembut tutur kata dan sentiasa hormatkan orang lain terutama sekali kedua-dua ibu bapanya.  Dia berazam menjadi manusia yang memberi manfaat kepada orang lain, menjadi suami yang penuh tanggungjawab dan dihormati. Demi Amani, dia mahu menjadi kekasih yang setia. Ya, dia berusaha membetulkan dirinya supaya menjadi Muslim yang bermaruah! Dalam beberapa hari kebelakangan ini, dialog sebegitu sudah kerapkali berulang. Tetapi hingga sekarang ia berlarutan tanpa sebarang kata putus.  Dia sudah pening memikirkan bagaimana untuk menoktahkan segalanya. Namun setiap kali tiba ke penghujung, ia sering temui jalan untuk berbalik ke pangkal.  Pujuk rayu Erina membuatkan dia berasa bersalah terhadapnya. Erina seolah-olah bertekad mendapatkan semula dirinya sekalipun tahu dia sudah berkahwin.

Mungkin kini Erina menyedari hakikat bahawa dia memang bersungguh-sungguh dan muktamad dalam menerima pengakhiran hubungan mereka beberapa minggu sebelum pulang ke Malaysia dulu.  Tetapi, kenapa dia tidak rela menerima perpisahan ini? Kenapa dia masih menagih kasih?   ISYRAF membuka matanya setelah dipejamkan untuk beberapa waktu. Dia hanya tidur-tidur ayam, langsung tidak dapat nyenyak. Dikerling ke kiri setelah agak lama menyedari bahunya terasa berat.  Erina di sisinya masih terlentok dalam lena yang nyenyak. Isyraf membiarkan sahaja, tidak sampai hati mengejutkannya.  Dia membuang pandang ke luar tingkap pesawat. Masih gelap. Penerbangan dari Christchurch mengambil masa hampir 12 jam untuk tiba ke Kuala Lumpur. Diamati jam di pergelangan. Kira-kira satu jam lagi mereka akan mendarat di KLIA. Hatinya walang memikirkan duduk perkara… bagaimana setelah menjejakkan kaki kelak? Dahi Isyraf mula berpeluh. Bagaimana mahu menjelaskan tentang kepulangannya bersama gadis ini? Jika diketahui walid dan mama… mampus aku! Ya ALLAH, bantulah aku tangani kemelut ini dengan sebaik-baiknya. Panjang monolog Isyraf sementara kapal terbang terus membelah awan. “Oh, you dah bangun, Isy. Berapa lama lagi kita nak sampai?” Erina terus berpaut kepada lengan jejaka itu sebaik sahaja membuka mata. Suara Erina memecah haluan fikirannya. Isyraf melepaskan keluhan kecil.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66584/rasa-paling-indah