[SNEAK PEEK] VELVET

9789670954233-medium

EBUKU VELVET oleh Ikmal Ahmad

29 DISEMBER

“Tidak akan tercipta sebuah kehidupan yang sempurna walaupun asas kehidupan itu dibina berteraskan sebuah siri kehidupan yang pahit atau apa yang dinamakan sebagai pengalaman kerana nikmatnya itu adalah terlalu rapuh untuk dipertahankan…” zikir aku sambil berlegar-legar di halaman rumah sepanjang pagi.

Baunya hanyir, kata Aqil. Menurut sains, hanyir adalah hasil bauan apabila berlakunya proses pereputan dan ia dapat diterangkan melalui tindakbalas kimia dan biologi. Maka, untuk menuduh Cikgu Hisham atau Cikgu Ros sebagai person of interest dalam merancang permainan ini semakin kuat.

“Aku rasa aku kena pergi rumah Cikgu Hisham atau rumah Cikgu Ros. Aku nak minta maaf lepas tu nak minta mereka hentikan kegilaan ini. Aku rasa aku nak menyerah diri.”

“Tadi kau cakap kau taknak menyerah kalah.”

“Menyerah kalah dengan menyerah diri tu lain. Aku tak rasa aku kalah. Kalau menyerah diri dapat selamatkan orang, itu dikira menang pada aku.”

“Tapi kau yakin ke pembunuh tu salah seorang daripada cikgu kita?”

“Aku positif.”

“Langkah kau ni mulia tapi macamana kalau dia bunuh kau serta-merta lepas dia nampak muka kau?”

Ouch.

Betul kata Aqil. Ada kemungkinan riwayat aku akan tamat di rumah cikgu. Aku belum puas menikmati kehidupan di dalam dunia yang penuh dengan kepura-puraan ini. Aku ada banyak angan-angan lain yang belum aku laksanakan. Tetapi sekarang ini nyawa Solihin, Aqil, dan Mira dalam bahaya. Aku sanggup mempertaruhkan nyawa aku sendiri untuk menyelamatkan mereka.

“Kalau dendam dia terlaksana dengan membunuh aku dan nyawa kau orang selamat, itu berita baik pada aku. Aku kena bertanggungjawab atas tindakan aku. Aku taknak orang lain jadi collateral damage sebab kesilapan aku.”

“Kalau Solihin ada dekat sini, aku tarik balik bet yang aku buat dengan dia. Kau dah dewasa, Akim. Sifat protective kau sangat tebal. Aku bangga dengan kau.”

Seorang kawan tak akan mengenal kawannya jika dia tidak melihat kawannya mengharungi belantara yang penuh dugaan. Aku sering menimbulkan masalah tetapi masalah tidak pernah mengganggu aku sehingga aku betul-betul terhantuk melihat dunia sebenar seperti sekarang. Ini kali pertama Aqil melihat aku dalam bentuk lelaki dewasa.

“Tak payah nak puji aku melambung.”

“Sorry, aku dah sebutkan pujian tu, aku tak dapat nak tarik balik. Kau nak pergi rumah cikgu, kan? Aku ikut kau.”

“It’s my mess. I’ll handle it alone. Kalau aku tak balik hari ini, kau anggap jelah aku dah mereput dekat mana-mana.”

“Cibs. Kau jangan takutkan aku, boleh tak?”

“Kau sendiri yang cakap pasal kemungkinan aku kena bunuh, kan?”

“Sekarang kau nak buat lawaklah ni?”

“Tak pun. Tapi serius, kau jangan ikut aku.”

“Macamana kau nak jumpa cikgu dua orang tu?”

“Aku kena pergi sekolah.”

****

Sekolah Menengah Kebangsaan Sinar Ilmu. Tempat berkerumunnya hampir 700 remaja yang bersaing sesama sendiri untuk menjadi pelajar terbaik dalam tingkatan masing-masing. Itu cuma pada teori. Hakikatnya, SMKSI ini adalah antara sekolah tercorot di Muara Lumpur. Ilmu tidaklah bersinar seperti yang diilhamkan oleh namanya. Hanya ada beberapa orang yang mempunyai rekod cemerlang dari segi akademik dan aku salah seorang daripadanya, walaupun mempunyai rekod disiplin yang teruk. Pada aku, nakal itu optional, pandai itu mandatori.

Hanya tinggal beberapa hari lagi, sekolah akan memulakan sesi baru. Jeritan pelajar yang baru sahaja melalui fasa akil baligh tidak kedengaran, cuma bayang-bayang guru yang berkeliaran. Masing-masing bertungkus-lumus untuk membuat persiapan pembukaan sesi baru.

Aku masuk melepasi pagar sekolah dan ditahan pengawal keselamatan. Bangla baru yang mengisi jawatan yang diamanahkan untuk menjaga para ‘pemimpin’ masa hadapan. Bagus cadangan itu. Sistem barter dilakukan dengan menyerahkan kad pengenalan untuk mendapatkan pas pelawat, kemudian aku dilepaskan bebas untuk berlegar-legar di dalam kawasan sekolah.

Setibanya di hadapan bilik pengetua, kedengaran suara-suara yang menyambut sesama sendiri menembusi ruang bawah pintu bilik pengetua. Pengetua sedang menghibur tetamunya. Aku tahu jika dibandingkan masalah aku dengan isu yang sedang diperbincangkan pengetua dan tetamunya, aku lebih memerlukan pengetua sekarang ini. Akan tetapi, aku biarkan sahaja perbualan mereka diteruskan atas kapasiti aku ingin menjadi seorang orang yang beradab.

Aku tinggalkan bilik pengetua lalu pergi menyelusuri susur gajah dan memori bersamanya. Kaki berpijak di atas rumput padang sekolah yang merupakan satu-satunya tempat di mana cikgu tidak mempunyai kuasa untuk mengawal kebuasan pelajar-pelajarnya. Terpancar imej silam di mana aku dan rakan sekelas termasuk yang telah mati beberapa hari yang lalu digelar sebagai “lalat yang mengejar tahi” oleh cikgu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sewaktu kami bermain bola. Mengusik cikgu adalah kepakaran kami sekelas tetapi bermain bola secara taktikal, kami amat jahil sekali. Kami bukannya ingin jadi pemain bola. Bermain bola hanya untuk memperoleh kecemerlangan dalam beriadah. Jadi, apa yang hendak dirungutkan oleh cikgu PJK?

Perjalanan diteruskan menuju ke kantin sekolah dengan melintasi ruang legar bilik darjah. Terpancar pula detik pertembungan fizikal antara dua kaum yang berbeza bahasa ibunda di dalam kelas sehinggakan semua budak kelas mendapat habuan daripada ustaz disiplin. Kami semua disebat tiga kali di bahagian punggung. Sekali lagi, mana itu keadilan? Ironinya di sini ialah, iman yang dimomokkan oleh ustaz dalam ajarannya tidak dimiliki olehnya kerana menyalah-gunakan kuasa untuk mengawal keadaan. Seorang ustaz diktator.

Akhirnya aku tiba di kantin sekolah. Aku melihat sekawanan guru yang sedang menjamah sarapan pagi menghentikan kunyahan dan perbualan apabila melihat aku jalan berselisih dengan meja mereka.

Eh! Apa hal tah tenung aku macam tu? Aku bukannya penculik budak-budak untuk diperdagangkan pun.

Jelingan mereka diabaikan kerana tidak mengenyangkan dan aku bukannya datang ke kantin untuk ditenung. Aku terus mendapatkan nasi lemak bungkus RM1 yang kuantitinya hanya sesuai untuk sesiapa yang mempunyai saiz perut bayi. Dipesan bersama segelas teh tarik. Selepas mendapat pesanan itu, aku duduk di meja makan jauh di curuk kantin, kerana di situ adalah tempat aku berehat sewaktu zaman sekolah aku dulu.

Tiada apa yang boleh diharapkan dengan nasi lemak RM1 itu. Lemak yang entah ke mana. Ikan bilis hanya tiga ekor, empat kalau bertuah. Kacang pun tak ada rupa kacang tanah. Sambalnya pula pedas semata-mata. Aku bersyukur sewaktu aku menjadi pelajar di sini, nasi lemaknya cukup melegakan nafsu makan yang membuak-buak disebabkan aku tidak mengambil sarapan di rumah.

Dihirup sekali-sekala air teh panas yang kehilangan panasnya secara mendadak dek kerana dipukul angin kipas yang hampir masuk ke dalam kategori F1 menurut Skala Fujita. Tiba-tiba pengetua datang berteduh di bawah bumbung kantin. Juga ingin mencari sesuap nasi. Pengetua kini tidak ditemani sesiapa. Aku terus tinggalkan nasi lemak yang sungguh bosan lagi menghampakan itu untuk menyapa pengetua. Siti Zalikha namanya.

Aku tak memberi kata-kata sapaan kepada pengetua. Sebaliknya, aku terus duduk di hadapannya.

“Kenapa saya rasa muka kamu macam pernah saya nampak?”

“Orang kacak pandai macam saya ni memang susah nak dilupakan.”

“Bukan. Saya susah nak lupa orang jenis narsisis. Puas jumpa pakar psikiatri untuk buang ingatan pasal orang narsisis ni tapi tak berjaya pun,” kata Pengetua Zalikha sambil melampiaskan senyumannya. “Mustakim apa khabar?”

Pengetua masih ingat siapa aku. Aku memang berlaku adil dengan Cikgu Zalikha dan sentiasa menjaga batas guru-pelajar. Aku tidak pernah buat sebarang masalah dekat Cikgu Zalikha. Setahun selepas aku bergraduasi, Cikgu Zalikha yang mengajar aku Sejarah dinaikkan pangkat menjadi pengetua sekolah. Disebabkan aku bukan lagi pelajar SMKSI, aku tak dapat meraikan majlis kenaikan pangkatnya.

“Akim lah, cikgu. Mustakim tu bunyi tak berapa nak urban. Tapi narsisis tu saya terima. Khabar tak baiklah, cikgu. Saya datang sini pun dengan harapan cikgu boleh tolong saya.”

“Tugas saya mendidik sahaja. Bukan menyelesaikan masalah. Tahu kan peribahasa orang putih pasal bagi ikan dengan tangkap ikan tu?”

“Saya datang ni nak suruh cikgu ajar saya tangkap ikan lah ni. Tapi bukan ikan, haiwan yang lagi menakutkan daripada ikan.”

“Seriusnya bunyi tu.”

“Kalau tak serius, saya tak datang cari cikgu.”

Pengetua mengalah. Dia menyuruh aku menceritakan apa jenis bantuan yang aku perlukan. Aku buka sedikit kisah yang menghantui aku dan sudah pastinya pengetua tidak boleh tahu kesemuanya.

“Cikgu ingat tak cerita Cikgu Hisham dengan Cikgu Ros?”

“Cerita yang paling sedih pernah saya dengar.”

“Cikgu tahu tak apa yang berlaku sebenarnya?”

Pengetua hanya menggeleng dan kemudiannya menujah kepalanya ke hadapan. Telinganya pasti mematikan segala bunyi gangguan di sekeliling kami untuk memberi fokus terhadap suara yang bakal dikeluarkan aku.

“Sebenarnya, cikgu, tak ada gangguan seksual pun. Saya dengan Azma saja mengusik cikgu-cikgu tu.”

“Ya Tuhan. Jahatnya kamu, Akim. Kamu tahu tak dia orang tu bercerai lepas insiden tu?”

“Saya tahu. Tapi saya tak tahu pun perbuatan saya tu buat dia orang bercerai.”

“Sebab tu kita kena berfikir dulu sebelum buat apa-apa. Lagi-lagi kalau bab nak mengusik orang.”

“Damage has been done, cikgu.”

Pengetua mencebik. Aku tahu dia dalam keadaan terperanjat sekarang ini, cuma tidak dizahirkannya.

“Kamu ingat saya boleh ajar kamu untuk satukan dia orang berdua tu?”

“Bukan macam tu. Saya nak mintak maaf dekat cikgu-cikgu tu. Lepas saya dapat akal, setiap hari saya menyesal dengan perbuatan saya,” kata aku penuh dengan penipuan.

“Dah lebih sedekad baru nak minta maaf?”

“Lebih baik sedekad daripada langsung tak minta maaf. Masuk kubur dengan dosa macam ni, macamana saya nak masuk syurga?”

Pengetua tertawa kecil. Mungkin dia tak percaya lidah aku mampu untuk mengeluarkan kata-kata berunsurkan agama.

“Saya cuma nak minta alamat Cikgu Hisham dengan Cikgu Ros je. Boleh cikgu tolong saya? Tak! Cikgu kena tolong saya juga.”

“Sebab kamu cakap kamu nak minta maaf, saya akan tolong. Tapi saya tak tahu kalau dia orang tu dah pindah.”

Aku berikan kad bisnes aku yang tertera padanya nombor telefon aku dan jawatan aku sebagai seorang penyiasat. Aku bernasib baik kerana pengetua tidak menyoal aku bermacam-macam. Katanya dia akan menghantar alamat kediaman Cikgu Hisham dan Cikgu Ros kepada aku melalui SMS.

“Thanks, cikgu. You are a life saver.”

****

Pengetua hanya memberikan aku satu alamat kerana Cikgu Hisham dan Cikgu Ros memberikan alamat sama di dalam maklumat peribadi mereka. Suami-isterilah katakan. Tanpa membuang masa, aku terus menuju ke alamat rumah yang diberikan.

Perkara yang menghalang sebuah kemaafan adalah pintu rumah cikgu yang tertutup rapat. Berminit-minit juga masa diambil untuk menekan loceng rumahnya. Itu adalah perkara yang paling menakutkan yang pernah aku putuskan. Ini semua salah Aqil kerana menakutkan aku. Tetapi detik ini mampu mengubah nasib Solihin, Aqil, dan Mira; aku terpaksa bersemuka dengan detik yang mendebarkan ini.

Loceng dibunyikan. Pintu terbuka. Cikgu Ros yang sedang mengalami penuaan, kedutan pada mukanya kelihatan begitu jelas, berdiri di belakang pintu. Sejurus melihat wajah aku, Cikgu Ros terus menghempas pintu rumahnya sekuat hati. Aku menekan loceng sekali lagi. Cikgu Ros tidak mahu membukanya. Dia memang tidak mahu melihat muka aku lagi. Akan tetapi, aku tetap tidak berputus asa.

“Cikgu Ros, saya datang ni dengan satu niat sahaja. Niat saya baik,” jerit aku mengharapkan Cikgu Ros mendengar apa yang aku ingin sampaikan.

Cikgu Ros membuka pintu. Mukanya kelihatan merah padam. Marah menguasai dirinya dan rupanya seperti harimau yang sedang memerhati mangsanya untuk diterkam.

“Baik kepala otak kau! Kau nak musnahkan rumah aku pula sekarang ni?”

“Tak, cikgu. Saya nak minta maaf. Saya tahu jahat saya bagi kesan melampau dekat cikgu.”

“Maaf kau tak dapat pulangkan anak aku balik. Jahat kau cakap? Kau sebenarnya syaitan!”

Jika kemarahan Cikgu Ros boleh diukur menggunakan termometer, mesti bacaan suhu telah menjangkau 85°C.

“Kau tahu tak aku nyaris bunuh diri sebab kau?” sambung marahnya sambil menitiskan airmata.

“Ya Allah!”

“Tak payah nak ya Allah ya Allah sangat. Kau bukannya baik pun. Kau nak tahu apa yang buat aku terus hidup sampai hari ini? Sebab kalau aku mati, aku tak boleh nak doakan kecelakaan kau.”

95°C.

“Saya tahu cikgu rancang untuk rosakkan perkahwinan saya macam saya rosakkan perkahwinan cikgu, dan cikgu nak bunuh kawan-kawan saya. Saya ada dekat rumah cikgu sekarang ni. Cikgu boleh buat apa sahaja dekat saya. Bunuh saya dan lepaskan kawan-kawan saya.”

Oh shit. Kenapa aku tawarkan diri macam ni?

“Bukan ke itu berita baik? Tak sangka Tuhan panjangkan umur aku semata-mata nak bagi aku tengok karma menghukum kau. Betul orang kata, doa orang teraniaya dimakbulkan Tuhan. Tak sia-sia aku berdoa selama ni. Sekarang kau dah rasa kan perasaan gila yang orang gila rasa?”

Cikgu Ros masuk ke dalam rumahnya membiarkan pintu terbuka seluas-luasnya. Aku tahu Cikgu Ros sebenarnya menjemput aku masuk tanpa perlu mengucapkannya. Aku masuk dan berdiri di hadapan skrin TV. Cikgu Ros masuk ke dapur dan keluar sambil memegang pisau pemotong seramik.

God, help me.

Aku memang suruh dia bunuh aku tapi aku langsung tak maksudkannya. Aku mengharapkan Cikgu Ros menerima maaf aku dengan cara baik. Aku dah tersilap langkah. Peluh mula keluar dari kelenjarnya. Dahi mulai basah dan mengalir ke pipi. Kalau diikutkan hati, aku akan melawan untuk menyelamatkan diri tetapi aku tak tahu bagaimana untuk aku teruskan hidup aku dengan label pemusnah rumahtangga dan pembunuh. Dosa terlalu tebal untuk dikikis. Melihat Cikgu Ros yang telah lebih sedekad merana disebabkan aku, aku terima sahaja nasib aku.

“Kau nak penghujung, kan?” tanya Cikgu Ros membiarkan pisau seramiknya menari tango di permukaan tengkuk dan leher aku. “Sekarang kau kena terima seksaan sebenar untuk seumur hidup kau!”

 

****

30 DISEMBER

Hari baru. Ayah ada menyebut kata-kata pujangga beberapa hari lepas iaitu hari baru adalah hari untuk kita ulang semula dan buat dengan lebih baik. Pengajarannya amat berat untuk diterapkan kerana manusia sering terganggu dengan perkara silam. Aku tahu ayah sendiri sebenarnya takut untuk memainkan semula sejarah penculikannya kerana tidak mahu aku berasa risau. Bukan salah ayah.

Tetapi hari ini bercanggah dengan apa yang dikatakan ayah. Bukan akan menjadi lebih baik. Malah, hari ini akan menjadi lebih buruk berbanding semalam. Hari ini adalah hari di mana Aqil akan menemui ajalnya.

Bertemankan pen, buku, dan kad RSVP di atas meja bersama-sama segelas kafein untuk mengekalkan konsentrasi, segala pemerhatian yang dilakukan dan perincian pembunuhan diturunkan ke atas lampiran buku.

Serbuk putih. Batang pokok yang bukan daripada pokok kelapa sawit. Air laut. Lemak sayuran dan tebu. Cecair oren yang hanyir. Ladang kelapa sawit dengan lembu, susu lembu, dan bau wangi.

“Tidak akan tercipta sebuah kehidupan yang sempurna walaupun asas kehidupan itu dibina berteraskan sebuah siri kehidupan yang pahit atau apa yang dinamakan sebagai pengalaman kerana nikmatnya itu adalah terlalu rapuh untuk dipertahankan keindahannya…”

Jadi, apa yang kau nak cakapkan ni aku tak akan dapat kehidupan yang aku impikan sebab aku rosakkan hidup kau? Atau ada sebab lain?

Enam mayat dengan enam kad RSVP yang langsung tidak menggambarkan apa yang ingin disampaikannya. Ya, motifnya dendam. Aku tahu dia adalah Cikgu Hisham dan ini pembalasan yang aku kena tanggung. Aku cuma tidak tahu apa pentingnya isi mesej itu sehinggakan ia dipecah-pecah sebegitu.

Melihat tulisan sendiri tidak memungkinkan puzzle ini dibongkar dengan sendirinya. Aku tinggalkan meja makan sambil membawa kopi yang masih berasap ke luar rumah untuk duduk di kerusi malas. Pintu rumah dibuka. Dua biji mata ini dikejutkan dengan dua buah pandangan yang tidak menarik. Satu, kepekatan silauan cahaya matahari menikam kornea sehingga tertutupnya kedua-dua mata aku dan kedua, berdirinya sebatang cangkul di hadapan pintu pagar rumah.

Cawan kopi tadi diletakkan di atas rak kasut lalu aku terus pergi mendapatkan cangkul itu.

Siapa letak ni?

Terikat pada batang cangkul itu, sekeping lagi kad RSVP.

Kenapa aku boleh tanya soalan macam tu? Mestilah Cikgu Hisham.

Aku menterbalikkannya dan membaca isi yang tertulis di belakangnya.

“…apabila wujudnya dendam yang menggelegak…”

Kad ini berbeza dengan kad RSVP yang lain. Ayat yang diberikan kali ini jelas menceritakan segalanya. Motifnya untuk membalas dendam, aku telah tahu sejak hari pertama lagi. Tetapi apa yang menghairankan, kad ini tidak dibayar dengan nyawa.

Semua kad RSVP aku dapat lepas jumpa mayat. Kecuali yang ni. Dia tak tunjuk aku Aqil, bermaksud Aqil masih hidup. Tapi mana Aqil?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/71843/velvet