APA dosa abang pada Hani sampai Hani sanggup buat abang macam ni?” soal Hazry perlahan. Dia sudah memakirkan kereta sport putih di sebuah kawasan lapang. Bandar raya Kuala Lumpur kini berada di hadapan mereka. Pemandangan malam yang amat cantik untuk dinikmati, namun kegalauan hati masing-masing menjadikan suasana itu suram.
Menitik lagi air mata Hani Mariya.
“Ikut kata hati ni, abang nak aje belasah Zamil sampai patah riuk sebab ganggu isteri orang. Kalau tak fikir itu tempat orang beradab makan dan Hani ni ramai orang yang kenal, malam ni tak mungkin berakhir begini. Takkan!” sambung Hazry lagi. Suara masih perlahan. Namun, keras di akhir bicara.
Kecut perut Hani Mariya mendengarnya. Hazry tidak pernah seserius ini. Biar hanya dengan kata-kata, tajamnya menikam ke perdu hati. Mengenangkan bicaranya bersama Zamil, Hani Mariya lebih kebimbangan. Kutukan Zamil tentang Hazry dan perkahwinan mereka dan maklumat ‘siapa Zamil’ yang tidak pernah dikongsi selama ini, boleh menjadikan hal ini isu yang lebih besar sebenarnya. Tidak mustahil, Hazry sanggup ‘bergasak’ dengan Zamil. Memang Hazry tenang orangnya, tetapi, lelaki tetap lelaki. Ego masing-masing tetap ada.
Bukan Hani Mariya mahu menyebelahi Zamil, dia hanya tidak mahu apa-apa yang buruk terjadi pada suaminya. Aduh! Makin gerun hati wanita ini. Air mata yang mengalir tanpa henti di pipi sudah cukup menjadi bukti.
“Jangan menangis, sayang,” pujuk Hazry. “Kita bincang. Abang tanya, Hani jawab. Hani tanya, abang jawab…” Tangan Hani Mariya diramas perlahan. “Apa dosa abang, Hani?”
Hani Mariya mampu menghidu kemarahan yang meningkat suhunya. Biar tidak terserlah di wajah, muka Hazry serius semacam dan pandangan matanya tajam menikam. “Maafkan, Hani…”
“Itu bukan jawapan pada persoalan abang,” tegur Hazry.
“Bukan salah hubby. Salah Hani sebab ikut rasa hati,” jawab Hani Mariya.
“Ada Hani rasa bersalah ketika melakukannya?” soal Hazry.
Hani Mariya mengangguk. Perlahan.
“Siapa yang ajak keluar?”
“Zamil…” balas Hani Mariya. Pahit. “Tapi, dua minggu lepas, Hani yang ajak.” Jujur dia mengaku. Lebih pahit.
Terangkat kening Hazry. Beristighfar dia di dalam hati berkali-kali. “Dah berapa kali Hani drive tanpa izin abang?”
“Dua.”
Hazry melepaskan nafas berat. “Dah berapa kali Hani jumpa Zamil tanpa izin abang?”
“Dua!”
“Abang marah!” Itu yang terlafaz di bibir Hazry.
“Hani tahu…” Lirih semula suara Hani Mariya. Dia pesalah. Hanya layak untuk menerima hukuman.
“Marah dan kecewa dengan apa yang Hani lakukan…” sambung Hazry lagi.
Hani Mariya sudah teresak-esak.
“Beri abang satu alasan kenapa Hani buat semua itu?” soal Hazry. Dia cuba untuk memahami.
“Dua minggu lepas, Hani drive keluar untuk dinner dengan hubby. Hani nampak hubby dan ayah Jehan di depan kafe. Hati Hani sakit. Hani nak surprisekan hubby, tapi…”
Berkerut dahi Hazry. “Tapi apa?” Tinggi suaranya kerana tidak sabar mendengar penghujung cerita.
Hani Mariya terdiam tiba-tiba. Lebih kecut perutnya. Nada suara Hazry lebih tinggi daripada biasa.
“Kenapa Hani nak sakit hati?” soal Hazry lagi. Cuma kali ini suaranya lebih rendah. “Ayah Jehan tu kan lelaki?”
“Sebab dia ayah Jehanlah. Hani marah! Hani cemburu! Kalau ayah orang lain, Hani tak kisah,” jawab Hani Mariya. Jujur dan polos suaranya. “Pada masa yang sama Hani tak nak hubby tahu Hani drive kereta tanpa izin hubby. So, Hani terus pergi. Hani call Zamil dan kami dinner di restoran kat Kinrara Town.”
Hazry menggeleng. Macam tak percaya dengan apa yang terjadi. Semudah itu? “Kenapa Hani call Zamil? Kenapa bukan Rossa atau Ziana?”
Hani Mariya terdiam. Dia tiada jawapan untuk itu. ‘Kenapa Zamil?’ Dia tertanya pula pada dirinya sendiri. Peliknya, dia memang tiada jawapan.
“Hmm… Kalau Hani datang terus pada abang malam tu, Hani kurang sakit hati dan tak bertepek-tepek salah Hani hingga ke hari ni,” sahut Hazry kesal. “Haji Hanafi dah kenal abang sejak kes Jehan kena ragut. Dia ke KL kerana ada urusan keluarga. Dia saja singgah ke kafe untuk bertanya khabar.”
“Tapi, kenapa hubby tak pernah cakap pun tentang hal ni dengan Hani? Kenapa hubby macam nak rahsiakan?” soal Hani Mariya tidak puas hati. Sakit hatinya kerana Hazry menganggap hanya dirinya yang bersalah.
“Kerana perkara itu hal remeh bagi abang, sayang. Hal remeh bagi kita.”
Hani Mariya tertunduk lesu. Hatinya dibaluti rasa sesal dan malu yang tebal.
“Kasihan baby kita. Setiap langkah Hani berdosa. Tak berkat apa yang Hani buat. Jangan ulang lagi,” sambung Hazry lagi. Ada nada berbaur amaran pada hujung bicaranya.
“Maafkan Hani, hubby,” tangis Hani Mariya bersungguh. “Hani berdosa dengan hubby.”
Hazry diam. Dia keluar lantas berdiri sambil menyandarkan tubuh pada badan kereta. Matanya memandang ke bulan. Mengambang dengan cahaya yang indah sekali. Namun, itu semua tak dapat memujuk hatinya.
Hani Mariya pantas menurut. “Hubby, maafkan Hani,” ucapnya. Tangan Hazry diraih dan diletakkan di dada.
“Abang tahu Hani drive dua minggu lepas.”
“Hubby tahu?!” soal Hani Mariya terkejut. Rasa berdosanya mula berganda. Kerana sepanjang waktu itu, dia buat-buat tak tahu.
“Ya! Abang tahu. Abang perasan Hani parking kereta tak macam biasa. Lepas tu, abang double check dengan pak guard papa. Abang tertunggu-tunggu bila Hani nak buat pengakuan. Kenapa Hani buat macam tu? Kenapa ingkar nasihat abang? Hani nak abang cakap macam mana lagi?
Abang dah cuba nasihatkan Hani pada hari kedua selepas kita bernikah. Betapa agama, cinta dan kejujuran yang buat kita tenang semasa berjauhan. Dan sekali lagi bila abang kata, ALLAH nampak apa juga yang abang buat di kafe atau apa yang Hani buat di rumah. Hani ingat tak?” Serius wajah Hazry mengingatkan semua perkara yang pernah ditegurnya.
“Hani ingat!” jawab si isteri. Terus sahaja kepalanya ditundukkan hingga dahinya menyentuh dada Hazry. Tak sanggup dia memandang wajah suami. Air matanya tak jemu membasahi pipi. “Maafkan Hani, hubby,” rayunya.
“Abang pentingkan keselamatan Hani,” ucap Hazry. Permintaan Hani Mariya sengaja dibiarkan sahaja. Ada perkara lagi yang mahu diperkatakan. “Tak mustahil papa marah abang kalau papa tahu hal ni. Hani dah jadi amanah papa pada abang sekarang.”
“Hani tahu!”
“Kalau Hani tahu, kenapa ini yang Hani buat?” Sempat dia menyergah. “Seronok sangat dapat makan dan berborak dengan Zamil?”
Hani Mariya panggung wajah. Dia memerhatikan mata Hazry dalam-dalam. Sah! Hazry tidak mendengar apa yang dia dan Zamil bicarakan. Sedikit sebanyak hatinya melega. “Maafkan Hani, hubby.” Lebih bersungguh-sungguh dia meminta. Hal ini cukup setakat ini. Itu yang pasti.
Masa berjeda seketika. Hati Hani Mariya berdebar menanti jawapan.
“Abang dah maafkan,” ucap Hazry perlahan. “Abang cuma harap Hani tak ulangnya lagi. Menyakiti hati abang akan buat Hani berdosa. Itu bukan ketetapan abang. Itu ketetapan ALLAH. Abang pulak lelaki biasa, Hani. Lelaki biasa yang berjawatan suami.”
****
KECEWA dengan tindakan Hazry, tidak mengubah pendirian Hani Mariya untuk mendekati suaminya. Layanan yang dingin langsung tidak mematahkan semangat.
Masuk hari ke enam, dia memberanikan diri meminta Hazry ke kedai. “Hubby, tolong belikan ikan tilapia yang fresh. Hani teringin nak goreng dan masak sambal.”
“Hmm…” Itu jawab si suami.
Sementara menunggu Hazry pulang dari kedai, Hani Mariya tetap ke rumah sebelah untuk belajar memasak menu yang baharu. Serunding kelapa dan sayur goreng.
“Eh! Ini lauk nasi ambeng, kan?” soal Hani Mariya teruja. Sungguh! Dia terlalu ingin menikmatinya.
“Ha’ah… Sengaja Mak Em nak ajar Hani,” jawab Hajah Em. “Balik KL nanti, bolehlah Hani masak sendiri.”
“Terima kasih, Mak Em!” ucap Hani Mariya. Kelapa parut yang digoreng tanpa minyak di atas kuali dibalik-balikkan.
“Hani teringin nak makan nasi ambeng, ya?” soal Hajah Em. Sebagai wanita yang pernah berbadan dua, dia perasan keterujaan Hani Mariya setiap kali ‘nasi ambeng’ menjadi topik perbualan mereka.
Wanita yang sibuk di hadapan kuali itu sekadar mengangguk.
“Alhamdulillah… Rezeki Hani mudah nampaknya. Khamis ni ada kenduri nasi ambeng kat masjid. Abah Afiq yang beritahu malam tadi,” beritahu Hajah Em. “Nanti, kita pergi sama-sama. Bolehlah Mak Em tunjukkan Hani, nasi ambeng tu macam mana. Boleh juga Mak Em kenalkan Hani dengan jemaah perempuan kat masjid nanti.”
Hani Mariya tersenyum lebar. Gembira dia dengan berita yang dia dengar.
“Ada orang letak duit sampai seribu ringgit dalam kotak tabung masjid minta buat kenduri tahlil. Tahlil untuk siapa tak pula ditulisnya. Tapi, orang tu memang minta jamuan nasi ambeng,” cerita Hajah Em lagi. Pelik dia. Seribu ringgit tunai di dalam tabung masjid? Itu memang satu peristiwa luar biasa.
“Cukup ke duit banyak tu nak buat kenduri untuk satu kampung?” soal Hani Mariya dengan kerut di dahi. Wajah Hajah Em yang sibuk mengopek bawang tidak dipandangnya.
Tertawa kecil Hajah Em. “Cukup sangat! Orang kampung ni bukannya ramai. Rumah memang banyak, tapi yang tinggal banyak orang tua. Orang muda ramai yang dah berhijrah ke luar.”
“Kalau tak tulis untuk siapa, nanti doanya macam mana?” soal Hani Mariya lagi.
“Jawatankuasa masjid kata, doakan untuk semua arwah yang jenazahnya ditanam kat kubur kampung ni.”
“Itu termasuk arwah mak dan ayah Abang Hazry?” soal Hani Mariya. Serius wajahnya kali ini.
Hajah Em mengangguk. “Termasuk arwah mak dan abah Mak Em dan abah Afiq sekali.”
‘Alhamdulillah…’ ucap Hani Mariya di dalam hati. Tentu sahaja dia gembira. Dialah orang yang memasukkan duit sebanyak itu ke dalam kotak derma semalam. Senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa. Ketika itu, Hajah Em sibuk menyapu koridor masjid selepas mereka bersama-sama mencuci toilet. Untuk menulis nama ibu dan ayah Hazry, dia bimbang, Hazry tentu akan perasan. Lelaki itu rapat dengan Imam Johar. Lalu, tiada nama yang dicatatkan. Namun, dia memberanikan diri menulis ‘Jamuan Cadangan: Nasi Ambeng’ di bawah kertas nota yang dikepilkan bersama. Terkecur air liurnya setiap kali membayangkan hidangan Jawa itu. ‘Macam mana agaknya rupa nasi ambeng tu ya?’
SELESAI memasak bersama Hajah Em, Hani Mariya pelik kerana Hazry masih belum pulang. Hari sudah menjengah zuhur. “Lamanya ke kedai…” rungutnya sendirian sambil menjengah ke laman rumah. Kedai itu bukannya jauh sangat. “Hubby singgah ke mana ni?” Hatinya tertanya-tanya.
Rasa lapar buat Hani Mariya mengambil keputusan untuk makan tengah hari terlebih dahulu. Ah! Hazry pun masih belum sudi memakan hidangan yang disediakannya selain daripada bubur kacang durian beberapa hari lepas.
Menggeleng Hani Mariya sebaik melihat Afiq dan Hazry muncul di laman rumah. Jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang.
“Nah! Ikan tilapia… Fresh,” ucap Hazry selamba.
“Hubby beli kat mana?” soal Hani Mariya. Beberapa ekor ikan tilapia di dalam beg plastik diperhatikan. Masih cukup semua sifat si ikan. “Kenapa tak suruh orang kat kedai bersihkan terus?” Dia masih belum pakar menyiang ikan.
“Abang pancing kat kolam. Bukan beli kat kedai. Hani kata nak yang fresh!” Selamba nada suara si suami buat Hani Mariya ingin menepuk dahi sendiri. Namun, letihnya wajah suami buat dia menahan perasaan.
“Maaflah lambat. Abang tak nak asyik bergantung dengan usaha orang,” sambung Hazry.
Itu buat Hani Mariya panas hati tiba-tiba. Entah mengapa dia terasa tersindir. Sudahnya ikan itu segera dibawa ke singki. Akan di’kerja’kan dengan sepenuh hati!
PELIKNYA, malam itu Hazry tidak ke mana-mana. Masakan Hani Mariya sudi dinikmati. Biarpun dalam keadaan serba bisu, tanpa pujian atau kritikan. Itu buat Hani merasa tegangnya hubungan mereka mampu mengendur.
Seusai makan malam, secawan air kopi O disediakan buat Hazry. Perlahan Hani Mariya menghidangkannya di atas meja kopi di hadapan suami yang leka membaca majalah Umpan. Kemudian, dia mengambil tempat di sisi suami. Membelek iPadnya. Laman sesawang resepi masakan Melayu menjadi perhatian. Ingin sekali dia berbicara tentang kemaafan dengan lelaki di sebelah. Tetapi, naluri wanitanya menghalang. Sabar! Biar suami selesa dahulu.
“Terima kasih sebab carikan ikan tilapia yang fresh untuk Hani.”
“Hmm…” Itu reaksi si suami. “Esok, Hani ada nak lagi apa-apa yang fresh?”
“Err… Hani nak makan ayam.” Teruja si isteri menyahut. “Tapi, hubby tak perlu tangkap kat reban. Cukup beli kat kedai, buang kulit, potong 12…” Tertawa kecil dia ketika menyebutnya. “Boleh tak, hubby?”
“Abang nak tidur. Hani masuk. Tutup pintu. Kunci!” arah si suami. Tegas.
Berkerut dahi Hani Mariya. Berlainan benar arahan itu. ‘Bilik pun nak kena dikunci? Kalau dia nak ambil barang, macam mana?’ soalnya di dalam hati. Namun, dia akur sahaja. Tindakan Hazry memang tak dapat dijangka, begitu juga arahannya yang macam-macam.
Awal pagi itu, Hani Mariya terjaga kerana mahu ke bilik air. Terkejut dia melihat Hazry tiada di ruang tamu sebagaimana biasa. Diberanikan hatinya untuk menjengah ke bilik hadapan. Berkerut dahinya melihat Hazry tidur sambil memeluk beberapa gulungan pakaian ibu dan ayahnya. “Hubby terlampau rindu pada arwah ibu dan ayah hubby ya…” Perlahan-lahan dia memanjat katil yang tinggi itu. Dia berbaring di sebelah suaminya. Diselimutkan suaminya penuh hati-hati. Apabila lengan suami dalam pelukan, mudah sahaja matanya terpejam. Dalam sesaat dia terlena.
SIMPATI dengan Hazry buat Hani Mariya menyatakan hasrat untuk menziarahi kubur mertuanya. Sayangnya, kekenduran semalam menegang semula. Ketika itu mereka sedang menikmati makan tengah hari bersama. Lauknya, kari ayam dan kangkung goreng.
“Tak perlu!” tegas Hazry menjawab. Itu balasan kerana Hani Mariya pandai-pandai tidur sekatil dengannya. Terkejut dia melihat si isteri pulas lena di sisi.
“Kenapa?” soal Hani Mariya.
“Tak semua arahan ada alasan!” Libas si suami. Keras suaranya.
Tertelan air liur Hani Mariya. Hazry seperti sudah berubah menjadi seorang ditaktor.
“Tak payah pelik kenapa abang jadi macam ni,” ucap Hazry tiba-tiba. Dia seperti mampu membaca riak hati isterinya yang terkulat-kulat menghadap hidangan.
“Hani yang buat hubby jadi macam ni… Hani keluar rumah tanpa izin. Hani drive tanpa izin. Hani cari Zamil tanpa izin,” ucap Hani Mariya penuh hati-hati. Menitik air matanya. “Maafkan Hani, hubby. Hani tahu itu kali yang ketiga.”
“Makan! Lap air mata tu,” arah si ditaktor lagi.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/111314/sorry-aku-bukan-dia