Sneak Peek – Bergaji & Pokai

. . .

2.3 Cabaran Urus Gaji: Bila Kecil, Perit. Bila Besar, Boros?

Bagi yang bekerja, duit datang daripada gaji dan daripada gaji inilah kita menentukan perbelanjaan dan simpanan. Apabila kita mampu mengambil kembali kawalan terhadap kewangan kita dan berada dalam zon ‘bebas kewangan’, barulah kita tak merasa kesempitan wang pada setiap hujung bulan. Oleh sebab kita tak lagi merasa pokai, barulah kita rasa mampu untuk menyimpan lebih daripada apa yang kita telah buat dalam lima langkah sebelum ini.

Namun, realitinya tidak begini kerana antara perkara utama yang selalu disebut adalah gaji kecil dan tiada pilihan untuk menyimpan. Jadi dalam bahagian ini, saya ingin bercerita tentang dua perkara ini, iaitu gaji dan simpanan.

Memang Menyimpan Duit Lebih Senang Kalau Gaji Besar

Saya nak bagi tahu sesuatu. Jangan terus panik ya.

Setakat ini, kita dah bercakap tentang pentingnya untuk menyimpan duit, kan? Ini bukan rahsia pun, mesti anda pernah dengar nasihat yang sama daripada ibu bapa, kawan, mahupun daripada mana-mana rencana kewangan. “Binalah tabiat menyimpan duit,” katanya. Biasakanlah menabung. RM10 sebulan pun tak apa.

Memang betul pun – menyimpan RM10 sebulan memang lebih baik daripada tak menyimpan langsung, terutama untuk orang yang bergaji rendah.

Akan tetapi, secara idealnya, kerja anda (kerja utama dan pendapatan sampingan, kalau ada) perlu membolehkan anda menyimpan sekurang-kurangnya RM500 hingga RM1,000 sebulan. Lebih banyak, lebih baik.

Jangan panik. Saya tahu amaun ini agak besar bagi ramai orang. Mungkin ada sesetengah anda yang gaji sekarang tak cukup untuk keperluan pun, apatah lagi untuk simpanan. Kalau dapat, RM10 sebulan pun sudah cukup bagus. Itu pun kalau ada – mungkin pada bulan-bulan tertentu anda terpaksa meminjam duit daripada kawan dan keluarga, sementara menunggu gaji diterima.

Kalau Gaji Tak Cukup, Bagaimana Nak Simpan Duit?

Tak dinafikan, gaji orang Malaysia memang rendah. Cuma orang yang bergaji tinggi (dan yang pandai menyimpan duit) yang mampu membuat banyak simpanan.

Ini bukan pendapat, ini fakta. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, purata gaji orang Malaysia turun sembilan peratus pada tahun 2020 daripada tahun yang sebelumnya, iaitu daripada RM3,224 sebulan kepada RM2,933 sebulan.

Walau bagaimanapun, data yang lebih baik untuk dilihat ialah data median. Pada tahun 2020, gaji penengah turun 15.6% daripada RM2,442 sebulan kepada RM2,062 sebulan. Penengah ialah nilai yang paling kerap timbul dalam kumpulan data itu.

Maksudnya, pada tahun 2020, 50% daripada pekerja Malaysia mempunyai gaji kurang daripada RM2,062 sebulan – 50%! Dan kalau kita lihat data bagi tahun 2020:

  1. Hanya orang Malaysia yang berada di bawah kategori mahir sahaja yang mempunyai gaji penengah sekitar RM4,000. Orang yang ada pendidikan tertiari pun, gaji penengahnya hanya sekitar RM3,500.
  2. Kebanyakan mereka yang separuh mahir, berkemahiran rendah dan berpendidikan menengah dan ke bawah hanya bergaji sekitar RM1,200 hingga RM1,600 sahaja.
  3. Gaji penengah orang Malaysia yang berumur 34 tahun dan ke bawah hanya sekitar RM2,000

. . .

Ingin tambahkan ilmu kewangan anda? Dapatkan versi penuh di SINI

Penulis: Suraya Zainudin
Penerbit: Iman Publication