[SNEAK PEEK] PROJEK SERAM : TEROWONG

Projek Seram : Terowong Oleh A. Darwisy, Zaifuzaman Ahmad, Syasya Bellyna

 

SEKUMPULAN pemuda berjubah dan berketayap putih memasuki tren. Berjanggut kemas dan bercelak di bawah mata. Beberapa orang penumpang berasa kurang senang dengan kehadiran mereka. Ada yang terus bangun dan segera berpindah duduk di tempat lain.

Syed dan kawan-kawan buat-buat tidak endah lalu melabuhkan punggung seperti biasa. Mereka sudah betah dengan penerimaan umum sebegitu. Orang sekarang mudah takutkan sesuatu yang mereka tidak tahu. Dan suka meletakkan penilaian tertentu berdasarkan penampilan luaran seseorang.

“Pandang kita macam nampak hantu,” bisik Hidhir, jengkel.

“Abaikan… bukan kita buat salah pun,” pujuk Syed, malas hendak ambil pusing.

Dia mengitari suasana di dalam tren itu sebelum arah matanya terhenti pada susuk tubuh yang sedang duduk beberapa langkah darinya. Dia seperti mengenali wajah itu.

Syed yakin sekali itu kawan sekolahnya dari tingkatan satu hingga lima. Dia nekad hendak menegur.

“Azlan kan?” sapa Syed.

Azlan yang sedang termenung dek leka memandang butiran air hujan yang melekap di cermin gerabak tren, sedikit tersentak. Latifah yang duduk di sebelah, baru saja terlena.

Azlan mengangguk. Dahinya sedikit berkerut menatap lelaki berjanggut dan berpenampilan Islamik itu. Setelah diperhati lama, wajah di hadapannya itu seperti mengingatkan dia kepada sahabat lama sewaktu di bangku sekolah.

“Syed ke ni? Syed Munawar?”

“Betullah tu! Lamanya kita tak jumpa. Habis SPM, terus lost contact. Kita sekarang pun dah 27 tahun… maknanya dah 10 tahun bro!”

Azlan dan Syed berdakap. Dulu, mereka boleh dikatakan agak rapat berdua.

“Maaflah, lambat sikit nak cam muka kau. Kau dah jauh berubah. Suara kau tu yang buatkan aku masih ingat. Aku habis sekolah, balik kampung. Ni pun baru biasakan diri hidup di bandar. Kau buat apa sekarang?”

“Aku mengajar di sekolah agama. Kau, Lan? Mesti kerja bagus dah ni.”

“Kalau kerja bagus, taklah aku pergi balik naik LRT tiap-tiap hari Syed. Ha… ha… ha… aku kerja biasa aje.”

“Tak apa… asal kerja yang kau buat tu diredai, berkat rezeki dan lapang hidup kau. Syukurlah.”

“Amin, terima kasih Syed.”

Syed memperkenalkan Azlan kepada kawan-kawannya yang lain. Mereka saling berjabat tangan. Dalam pada mereka rancak bersembang, salah seorang kawan Syed yang bernama Hidhir berkerut-kerut hidungnya. Dia terbau sesuatu. Terbongkok-bongkok dia hendak mengintai cermin luar, mencari papan tanda stesen.

“Kita kat mana dah ni?”

“Baru aje lepas stesen KLCC. Lepas ni, stesen Ampang Park. Kenapa, Hidhir?”

Lelaki itu cuma mengangguk. Bau harum mirip bauan bunga kuburan terus-terusan menusuk ke lubang hidungnya. Awalnya, Hidhir mahu mendiamkan saja tetapi apabila kawan-kawannya yang lain turut terhidu bau yang sama, mereka saling berisyarat mata.

Azlan yang menyedari akan tingkah Syed yang seperti menyembunyikan sesuatu, digaru-garu perasaan ingin tahunya.

“Syed, apa yang kau bisikkan dengan kawan-kawan kau tu?”

Syed serba salah hendak memberitahu. Dia merapati Azlan.

“Kami tercium bau wangi. Kau tak bau ke?”

Azlan menggeleng. Tidak pula dia terhidup bau apa-apa. Aneh. Dalam pada Syed, Hidhir dan lain-lain mencari punca bau wangi itu dari mana, suara tangisan bayi hinggap di pendengaran mereka semua.

Syed dan kawan-kawannya pula sudah memandang sesama sendiri. Sehinggalah Azlan sendiri ternampak satu susuk wanita berkerudung di kepala, sedang menimang bayi yang sedang menangis sakan, duduk di bangku paling hujung berdekatan dengan pintu di gerabak sebelah. Kelibat wanita itu membelakangi mereka. Barangkali naik di stesen sebelum ini tadi. Fikir Azlan.

“Anak akak tu yang menangis kuat,” beritahu Azlan kepada Syed.

Tangisan bayi itu semakin lama kedengaran semakin merengsakan. Kasihan kepada si ibu yang cuba menenangkan tetapi kian menjadi-jadi pula esakannya. Syed terpanggil untuk datang menolong. Bayi kalau menangisnya luar biasa, kemungkinan ada sesuatu yang mengganggu.

“Puan,” sapa Syed pendek. Salam yang diberi tidak bersambut.

Wanita itu dilihatnya sedang bersungguh memujuk si anak supaya berhenti menangis. Sekali lagi, Syed memberi salam.

Si ibu berpaling. Perlahan-lahan menunjukkan sisi muka.

Syed terdorong beberapa langkah ke belakang. Meremang dia satu badan. Hampir-hampir hendak terjelepok. Wanita yang ditegurnya itu tidak berwajah. Kulitnya putih pucat serupa mayat. Dan bayi yang sedang didakap kelibat menyerupai wanita itu pula adalah batu nisan. Syed tergemap. Serentak itu juga keseluruhan lampu di dalam tren terpadam tiba-tiba.

Menjerit beberapa orang penumpang perempuan dek kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Pasangan ibu anak yang tertidur tadi, serta-merta terjaga dari lena dek kekecohan yang timbul. Begitu juga dengan Latifah. Celik saja mata, pandangannya jadi gelap. Menggagau dia mencari telefon bimbitnya.

“Lan, awak kat mana?” panggil Latifah, sudah cuak.

“Saya ada dekat sini. Jangan takut.”

“Kenapa gelap aje ni?”

“Saya rasa bekalan elektrik terputus. Tren pun tiba-tiba aje berhenti,” beritahu Azlan.

Masing-masing bergantung pada cahaya telefon bimbit untuk memeriksa apa yang sebenarnya sudah berlaku. Latifah memegang hujung baju Azlan. Nafasnya tercungap-cungap. Badannya sudah mula menggigil kecil.

“Stesen berikutnya, Kampung Baru.”

Pengumuman dari sistem hebahan tren berkumandang dari salah satu pembesar suara di dalam gerabak tren itu. Azlan berkerut dahi. Apa mungkin dia silap mendengar? Bukankah sepatutnya selepas stesen KLCC adalah stesen Ampang Park?

Baru berdetak rasa pelik di dalam hati, tren yang tadinya terberhenti secara tiba-tiba, meluncur laju sehinggakan hampir semua penumpang di dalam tren, terdorong ke belakang. Ada juga yang terjatuh di lantai gerabak dek tidak sempat memaut pada mana-mana tiang.

“Tren berundur ke belakang!” jerit satu suara, cemas.

Azlan dan Latifah tertelan air liur. Bagaimana sistem perjalanan tren yang sudah dikomputerisasi mengikut jadual sekian-sekian stesen, boleh berubah haluan dengan sendiri? Masing-masing kehairanan.

Tren terus bergerak laju menyongsang arah. Sehinggalah bunyi geselan besi rel berdentum kuat sekali gus membuatkan tren mendadak berhenti untuk ke sekian kali. Latifah terhantuk sisi kepalanya pada tiang dek momentum yang terhasil akibat perubahan halaju itu.

“Auch!” keluh Latifah sambil mengusap-usap bahagian kepalanya yang sakit.

Matanya kemudian melingas ke serata tempat. Keadaan lebih buruk dari sebelumnya. Kalau tadi, meski bergelap, masih ada tempias cahaya yang tembus masuk ke dalam tren itu. Tetapi sekarang, gelap sehingga mereka tidak nampak wajah sesama sendiri.

“Tren dah berhenti,” gumam Azlan.

“Lan, mari kita keluar dari sini. Saya tak boleh ada dalam tempat gelap. Saya fobia,” adu Latifah menunjukkan ciri-ciri seorang penghidap achluophobia.

Azlan mencari Syed dan kawan-kawannya. Dia melihat Hidhir dan dua orang lagi sahabat pemuda itu sedang mengerumuni seseorang. Bergegas dia ke sana.

“Kenapa ni?” celah Azlan apabila melihat riak muka Syed yang ketara nampak berubah.

“Tak ada apa-apa. Mari kita keluar dari sini lekas,” putus Syed tidak mahu memanjang-manjangkan isu.

Kelibat menyeramkan yang dia nampak beberapa minit lepas cuma diceritakan kepada kawan-kawannya.

Azlan, Latifah, Syed, Hidhir dan lain-lain bergerak masuk jauh ke dalam gerabak tren untuk bersama penumpang-penumpang yang lain. Masing-masing panik. Sudahlah tren itu dikendalikan secara automatik tanpa pemandu, dengan siapa mereka hendak meminta tolong?

Semua penumpang yang terkandas berkumpul di gerabak tengah. Azlan sempat mengira berapa orang yang ada ketika itu. 14 orang penumpang termasuk dirinya.

“Tren berhenti dalam terowong bawah tanah… berkemungkinan kita ada di pertengahan terowong di antara stesen KLCC dan stesen Kampung Baru,” ujar salah seorang penumpang.

Latifah sudah berasa sesak nafas. Suasana yang gelap dan terkurung, memburukkan lagi keadaan.

“Siapa tahu nombor telefon kecemasan Putra LRT?” soal Azlan, terfikir akan jalan penyelesaian yang satu itu.

Wanita yang bersama-sama kanak-kanak lelaki tadi, menyahut dari belakang.

“Saya ada nombornya,” jawab Mariam lalu memeriksa data simpanan nombornya.

Belum sempat nombor dihubungi, mereka terdengar bunyi letupan kecil di kepala gerabak diikuti percikan api.

“Tren terbakar!” laung Hidhir apabila memerhati percikan api yang datang dari kepala tren, semakin lama semakin melarat hingga deria hidu masing-masing sudah tercium bau asap. Barangkali kebakaran berlaku disebabkan masalah teknikal pada sistem tren. Atau mungkin disambar petir lantaran hujan lebat di luar sana. Sekali gus memutuskan bekalan eletrik. Segalanya boleh jadi punca.

Mariam lekas-lekas menghubungi nombor kecemasan LRT untuk meminta bantuan. Dia merengus tidak lama kemudian. Merungut-rungut.

“Kenapa kak?”

“Tak ada line lah. Saya sudah cuba lebih tiga kali!”

Semua yang berada di situ, segera mengeluarkan telefon bimbit masing-masing. Benarlah kata wanita itu, liputan isyarat telefon di dalam terowong bawah tanah itu lemah dan adakalanya terus tiada. Sekali gus memutuskan hubungan komunikasi mereka yang terperangkap di bawah tanah dengan orang di luar.

Syed tidak mahu tertegun tanpa berbuat apa-apa. Matanya meliar mencari sesuatu. Berlari dia ke hujung gerabak lagi satu. Bunyi kaca pecah merenggut perhatian semua orang. Pemadam api keselamatan di dalam tren itu ditarik keluar oleh Syed. Lalu bahagian belakang pemadam api dihentak ke permukaan cermin gerabak. Semua orang berundur ke belakang. Hentaman demi hentaman membuahkan hasil. Permukaan cermin mulai retak seribu. Syed menendang ke arah cermin itu sehingga pecah. Seorang demi seorang mulai membantu.

“Hati-hati. Jangan sampai terpegang kaca,” pesan Syed kepada para penumpang lain yang pakat-pakat menolongnya.

Sebaik sahaja terbuka satu cermin, Syed berlari ke kepala tren yang terbakar dengan membawa sekali pemadam api bersamanya. Berhati-hati Syed menarik pin keselamatan dan kemudian menekan pemicu. Muncung hos pemadam api dihalakan ke kawasan api yang merebak. Percik-percik api yang baru hendak merebak, beransur-ansur padam selepas itu. Masing-masing menghembus nafas lega.

“Kita kena keluar dari sini cepat, Syed. The worst can happen kalau pusat kawalan tak tahu kita terkandas kat sini, bila-bila masa saja tren lain akan hentam tren ni,” beritahu Azlan.

Boleh dikatakan setiap hari dia menggunakan perkhidmatan LRT itu. Perbezaan selang masa dan kekerapan tren pada waktu puncak dan di luar waktu puncak sudah terakam dalam kepala.

“Takkan sistem dia orang tak dapat kesan tren ni bermasalah?”

“Apa yang aku cakap tadi situasi paling buruk yang boleh berlaku. Kalau pusat kawalan dapat detect, lagilah bagus. Paling tidak, dia orang akan panggil pegawai bantuan untuk selamatkan kita. Apa pun, kita kena keluar dari tren ni sekarang,” saran Azlan.

Syed bersetuju. Mereka berdua bertindak sebagai marsyal. Menolong setiap seorang pengguna tren untuk lolos keluar dari tren itu dengan selamat.

“Semua melekap ke dinding terowong sewaktu berjalan. Sebolehnya, jangan pijak landasan. Takut terkena renjatan,” pesan Azlan.

Meskipun sudah jelas bekalan elektrik terputus tetapi risiko itu tetap ada. Empat belas penumpang tren yang terkandas itu berjalan lurus sehinggalah lebih kurang 10 minit kemudian, mereka akhirnya sampai di stesen Kampung Baru.

Malangnya, stesen itu adalah stesen bawah tanah. Ada pintu skrin platform yang memisahkan di antara bahagian dalam stesen dengan bahagian luar laluan tren.

“Pintu kaca ini tebal, macam mana kita nak pecah masuk?” celah satu suara daripada ramai-ramai itu.

Azlan dan Syed sudah memandang antara satu sama lain. Mereka buntu. Apa tindakan yang mereka perlu ambil lagi?

Dalam masa yang sama, Hidhir cuba mencari jalan masuk. Dia berjalan hingga ke hujung pintu skrin platform itu dan mendapati ada tangga kecil ke atas. Ada papan tanda yang tertulis, ‘Untuk Kakitangan Sahaja’ ditampal di pintu kaca. Hidhir melaung nama Syed.

“Pintu ni kaca dia tak tebal. Aku rasa kalau kita hentak guna pemadam api, mahu pecah,” usul Hidhir sebaik sahaja Syed dan semua yang lain sudah berkumpul di situ. Azlan menawarkan diri untuk berpatah balik ke tren. Pemadam api keselamatan ditinggalkan di dalam gerabak tren itu.

Hati-hati!” ujar Latifah apabila Azlan membuat keputusan untuk pergi sendiri.

Azlan mengangguk. Cahaya pada telefon bimbit dihidupkan. Dia perlu mengharungi terowong yang gelap itu sekali lagi.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266815/Projek-Seram-Terowong