[SNEAK PEEK] ALAHAI, MAT SALIH!

EBUKU Alahai, Mat Salih! oleh Zan Zarida

EBUKU Alahai, Mat Salih! oleh Zan Zarida

HARI ini Kak Sha, setiausaha Zafri mengadakan kenduri kesyukuran sempena berpindah ke rumah baru di Sri Gombak. Sebelum ini, hampir lima tahun juga Kak Sha dan keluarganya menetap di Bandar Baru Selayang. Selain ahli keluarga, Kak Sha turut menjemput rakan sepejabat termasuk Zafri.

Patutnya Zafri tiba dalam pukul 1.00 seperti yang dijanjikan. Namun, secara tidak sengaja dia terjumpa pula kawan lamanya di Bangsar. Padahal Zafri ke sana hendak mencari bunga idaman tetapi terjumpa kumbang pula.

Rugi betul apabila hari ini tidak berpeluang dan tidak sempat hendak meninjau taman. Anak buahnya juga terpaksa ditinggalkan di rumah Kak Jah kerana si kecil tidak mahu ikut. Mujur pada hari ini Kak Jah tiada urusan lain, bolehlah menjaganya.

Borak punya borak tidak sangka pula masa berlalu begitu pantas. Sedar-sedar jam telah menunjukkan pukul 2.30 petang. Kesesakan jalan raya ditambah dengan hujan yang turun mencurah-curah menyebabkan Zafri lewat tiba di rumah Kak Sha. Mujur juga hujan telah berhenti ketika tiba di Sri Gombak. Walaupun jarang sampai ke Sri Gombak, tidak sukar mencari rumah Kak Sha.

“Sila-sila Encik Zafri, kenapa lambat?” tanya Kak Sha sambil mempelawa bosnya masuk.

“Sorry la Kak Sha, tadi terjumpa kawan lama di Bangsar. Asyik sangat berborak, terleka pulak,” jawab Zafri sambil duduk di sofa.

“Tak apa, janji datang tapi itulah, kawan-kawan pejabat semua dah balik. Tinggal saudara-mara saya saja, takut Encik Zafri yang segan. Makanan pun tinggal saki-baki,” terang Kak Sha sambil mengemas meja yang sedikit berselerak.

“It’s okay, Kak Sha,” ujar Zafri sambil tersenyum. Tiba-tiba Zafri tersiku bingkai gambar yang diletakkan di atas meja sisi. Dia membetulkan semula kedudukannya sambil mengamati gambar tersebut. Tidak berkelip mata Zafri memandangnya.

“Itu gambar semasa Kak Sha pergi ke Butchart Gardens kira-kira lima tahun yang lalu. Waktu itu Kak Sha bekerja dengan syarikat lama,” terang Kak Sha apabila menyedari Zafri seakan berminat dengan gambar tersebut

Oh! It’s really beautiful…” ujar Zafri, namun ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Walaupun tidak berapa jelas, gadis dalam gambar itu macam pernah tengok sahaja.

“Gambar pemandangan yang cantik atau orang dalam gambar tu yang menarik?” duga Kak Sha.

“Hehe… dua-dua,” jawab Zafri sambil meletak semula bingkai gambar tersebut. Hatinya masih tertanya-tanya apakah hubungan Kak Sha dengan gadis itu.

“Tak nak tahu ke siapa gadis sebelah Kak Sha tu? Kalau berkenan boleh Kak Sha kenalkan. Orangnya masih belum berpunya,” sakat Kak Sha.

“Kak Sha ni… ke situ pulak,” tingkah Zafri, namun dalam hati cepatlah perkenalkan, tidak sabar rasanya.

“Yalah… Zafri kan masih sendiri, Aira pula solo. Apa salahnya kalau Kak Sha rekomen,” cadang Kak Sha.

“Aira? Sedap namanya,” ujar Zafri sambil otaknya cuba mengingat sesuatu.

“Ingatkan tak berminat. Sebenarnya nama penuh gadis sebelah Kak Sha tu, Aira Latisha. Walaupun kulitnya lebih kurang Queen Latifah, namun manis orangnya.”

“Aira Latisha? Macam pernah dengar saja nama tu,” ujar Zafri pula.

“Ai, baru balik Malaysia dah familiar dengan nama gadis Melayu? Pelik…” Sengaja Kak Sha mengusik.

“Duduk luar negara tak bermakna saya tak ambil tahu langsung tentang bangsa dan negara asal saya,” balas Zafri pula, tidak mahu mengalah.

“Hmm… andai dah berkenan janganlah segan. Nanti melepas pula,” usik Kak Sha lagi.

“Okeylah. Kalau Kak Sha dah sudi membantu, saya lagi sudi menerima. Frankly speaking, saya macam pernah saja jumpa kawan Kak Sha tu, tapi tak ingat di mana,” ujar Zafri berterus terang

“Suatu perkembangan yang menarik. Kalau Encik Zafri betul-betul berminat, Kak Sha boleh mainkan peranan sebagai orang tengah,” ujar Kak Sha menawarkan diri.

“Iya, kena pengeras tak?” tanya Zafri bagai tidak sabar-sabar pula.

“Tak main la pengeras-pengeras. Itu zaman Tok Kaduk. La ni zaman cyber, Kak Sha nak iPad2 boleh?” Saja Kak Sha hendak pekena Zafri cukup-cukup. Lagipun bukan selalu.

“Amboi, macam rasuahlah pulak!” perli Zafri, padahal dia sendiri yang bertanya. “Dah Encik Zafri tanya pasal pengeras, kenalah minta yang canggih-canggih sebagai balasan,” jawab Kak Sha.

“Kalau pasal Kak Sha, bukan setakat iPad2, kalau nak airport pun saya boleh sediakan,” jawab Zafri sambil tertawa gembira.

“Alangkah bagusnya andai Encik Zafri datang awal, boleh terus Kak Sha perkenalkan. Ini kena cari masa lain pulak untuk kenalkan korang berdua. Kempunan la Kak Sha…” keluh Kak Sha

***

Sebenarnya selain dengan Zura, Aira juga rapat dengan Kak Sha dan Suria. Satu persamaan mereka berempat adalah mereka ini memang gila kerja sampai tidak fikir sangat pasal kahwin. Sebab itu walau sudah masuk 30 tahun, masih solo lagi.

Kak Sha bertemu jodoh dengan duda tiada anak ketika berumur 32 tahun. Sama seperti Kak Sha, Suria juga berkahwin ketika berumur 32 tahun tetapi dengan duda beranak satu. Sementara Zura yang berusia 33 tahun pula baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan duda beranak dua.

Kini cuma tinggal Aira seorang yang masih belum bertemu jodoh. Nampaknya jodoh Aira pasti dengan duda juga seperti tiga lagi sahabatnya tetapi masakan dengan duda beranak tiga pula? Bagi Aira, walau terdesak sekalipun dia tidak akan setuju langsung.

Tiba-tiba Aira teringatkan Abang Lokman yang merupakan jiran sekampung yang dijumpanya di Anjung Putrajaya pada minggu lepas.

Kebetulan pada masa itu Abang Lokman hendak makan tengah hari lalu mempelawa Aira sekali. Orang sudah hendak belanja masakan mahu menolak pula. Abang Lokman seorang ahli perniagaan yang berjaya. Dia yang telah berpindah ke Kajang mempunyai tiga orang anak. Dengar cerita isterinya sudah lima tahun menderita sakit buah pinggang.

Berbagai isu dibualkan termasuk perkembangan kampung Aira di Gopeng, Perak. Tiba-tiba Abang Lokman bertanya kenapa sampai sekarang Aira masih tidak kahwin-kahwin. Seperti biasa jawapan Aira pastilah tiada jodoh. Jawapan standard yang akan diberi tidak kira siapa yang bertanya.

“Susah-susah abang pinang Aira sajalah.” Aira hanya tertawa kerana tahu Abang Lokman hanya bergurau. Namun, apabila diingat kembali, manalah tahu umur isterinya tidak panjang dan dia benar-benar meminang Aira? Oh, tidak!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66579/alahai-mat-salih