[SNEAK PEEK] Pencuri Hati vs Penembak Cinta

EBUKU Pencuri Hati vs Penembak Cinta oleh Ailah Diela

EBUKU Pencuri Hati vs Penembak Cinta oleh Ailah Diela

MULUT menyanyi-nyanyi kecil mengikut rentak lagu dari corong radio. Brek tangan ditarik apabila kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat yang bertukar warna merah. Tangan menyelongkar beg tangan di kerusi penumpang. Bibir menguntum senyuman apabila telah jumpa apa yang dicari. Wajah dipandang di cermin pandang belakang.

Street!!!

Bunyi brek yang nyaring mengejutkan dirinya yang sedang leka mencalitkan lipstik ke bibir. Akibat kejutan itu, sasaran lipstik tersasar ke tepi bibir.

“Arghhhh…” gumamnya geram.

Mata memandang tajam ke sebelah kanan, melihat ke arah kereta yang dibrek secara mengejut sebentar tadi.

Dah buta ke mata tu tak nampak lampu isyarat berwarna merah. Kenapa tak brek awal-awal? Lepas tu brek mengejut. Yang jadi mangsanya dia juga. Dari dalam kereta, dia dapat melihat ada seorang gadis cantik di bahagian sebelah penumpang.

Kereta Honda Sivic Type R hitam berkilat itu dipandang dari hadapan sehingga ke belakang. Wah… meriahnya dengan stiker naga. Naga warna merah menyala pula tu. Kongsi gelap ke apa ni?

“Helo…” Tingkap dibuka dan tangan dilambai-lambai ke arah kereta gadis tersebut.

Setelah dua tiga kali dia melambai, barulah gadis itu menurunkan tingkap. Gulp! Air liur ditelan apabila terpandang wajah gadis tersebut. Cantiknya… Eh, tapi aku lagi cantik… gumam Maira perlahan.

“Yes, miss…” soal gadis itu bersama senyuman di bibir.

“Ehem, ehem…” Maira berdehem perlahan sebelum menyambung kata.

“Errr…” Teragak-agak Maira untuk berkata. Takut juga kalau ini orang kongsi gelap. Mahu melayang nyawanya nanti.

“What’s wrong…” soal satu suara yang datang dari arah sebelah gadis cantik berkenaan. Sudah semestinya

pemandu kereta naga berkenaan.

Terbeliak mata Maira.

“Awak bawa kereta macam jalan ini ayah awak yang punya. Pagi-pagi lagi dah buat pencemaran bunyi,” marah Maira.

Tadi tak adalah nak marah sangat. Tapi bila tengok aje muka lelaki berkenaan, terus menggelegak darahnya. Geram dengan kejadian semalam pun tidak habis lagi. Hari ini sekali lagi, lelaki yang sama hampir memusnahkan lipstik kesayangannya.

“So, apa masalahnya?” soal lelaki itu dengan muka berlagaknya.

“Memang masalah. Masalahnya sekarang, awak dah mengganggu mood tenang saya pada pagi ini,” jeritnya

keluar tingkap.

Menyampah betul dia melihat muka lelaki tersebut yang beriak selamba. Seolah-olah tidak mengenalinya. Adakah lelaki itu telah lupa? Ah, ini betul-betul boleh mendatangkan kemarahan. Boleh pula lelaki itu tidak mengingati wajahnya yang cantik menawan itu.

Seperti semalam juga, lelaki itu tetap beriak tenang.

“Yang nak mengadu kat aku pula apa hal? Ini bukan kaunter aduan. Mood kau nak jadi puting beliung pun bukan masalah aku.” Eh, ber ‘aku’ ber ‘kau’ pula mamat ni.

“Awak ini memang berlagak betul! Adik, kesian betul sebab awak dapat teman lelaki yang macam ni. Dahlah perangai macam penyamun. Rambut macam rumput kena racun. Muka pula tak usah nak cakap la… masam macam kelubi. Cari orang lain la dik, jangan membazir masa dengan spesies lelaki penyamun macam ini,” jerit Maira geram.

Sempat dia mengutuk lelaki tersebut. Tidak tahulah kenapa menyampah betul dia melihat muka lelaki berkenaan.

Kelihatan gadis cantik tersebut tersenyum-senyum memandang ke arahnya dan kekasihnya silih berganti. Eloklah itu, seorang tidak berperasaan. Seorang lagi pula asyik tersenyum memanjang. Orang kutuk teman lelaki dia pun masih nak senyum-senyum. Memang pasangan gila agaknya mereka berdua ini.

“Dear, jangan dilayan orang gila! Tengok daripada gaya macam baru keluar dari hospital mental aje…”

Berasap! Wah… Dia sikit punya ayu boleh dikatakan baru keluar hospital mental. Dia tu yang mental.

“Eh, penyangak mulut busuk! Suka hati awak saja kan mengata saya? Depan-depan pula tu!”

“Mulut busuk? Weh, kau tu yang mulut bau tangki najis. Bukan setakat mulut, hati kau tu sekali busuk. Jangan dilayan perempuan OKU ni, Fetty. Tutup tingkap tu,” arah lelaki tersebut kepada gadis cantik yang sedari tadi hanya terkebil-kebil melihat perbalahan mereka.

Maira mencebik menyampah. Kalah la tu… tahu takut. Dengan kekasih, bukan main lagi cakap macam orang tak ada gigi. Nak selindung perangai sebenar la tu… hipokrit.

“Oh, wait. Sebelum lupa… kau nampak cantik hari ini. Belajar dari sekolah mana pakai lipstik macam tu? Kesian, baru nak belajar berfesyen agaknya.”

Terkebil-kebil Maira mendengar kata-kata lelaki tersebut.

Dia lantas memandang ke arah tingkap kereta lelaki berkenaan yang telah ditutup rapat. Wah… hari ini semua orang puji aku cantik. Haruslah… ini kan Ara si pencuri hati.

Mata menjeling dengan riak angkuh kereta sebelah. Tetapi apabila terpandangkan isyarat gadis cantik itu dari dalam kereta, dia segera memandang cermin.

Owh, my lipstick! Ya Allah… malunya. Macam mana dia boleh lupa lap tadi. Itulah, teruja sangat nak menghamburkan kemarahan. Mesti orang fikir dirinya betul-betul gila. Hampeh! Ini semua si penyangak itu punya pasal.

Terkial-terkial Maira memasukkan gear sebelum keretanya turut bergerak menuju ke Sekolah Menengah (P) Hamuddin Bistari. Tangan lincah mengelap calitan lipstik yang telah tersasar ke dagu. Bad day!

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/64270/pencuri-hati-vs-penembak-cinta