[SNEAK PEEK] Nyctophilia

Nyctophilia oleh Ayeshah Amani

KHEN tenang memandu Mustang kesayangannya. Walaupun beberapa kali dia mendengus kasar saat melalui jalan kampung yang banyak berlubang, dia cuba untuk bersabar asalkan dia dapat memandu kembali kereta kesayangannya itu.

Dari ekor mata, dia perasan terdapat banyak mata-mata penduduk kampung di sini ternganga luas apabila melihat kereta miliknya melintasi kawasan rumah mereka. Sebelum ini mereka tidak bersikap sebegitu kerana dia menggunakan perkhidmatan bas henti-henti di sini untuk menuju ke bandar.

Menjeling ke tempat duduk belakang, bayangan beg membeli-belah pelbagai saiz yang datang dari pelbagai jenama mewah membuatkan dia mengherot senyum. Bukan sahaja dia membeli pakaiannya sahaja, pakaian Anggun turut sama dibeli. Rimas biji matanya melihat bayangan T-shirt lusuh dan kain batik yang tersarung pada tubuh isterinya itu. Terlalu kampung dan tidak menepati seleranya.

Membelok masuk ke simpang rumah Anggun, bayangan beberapa buah kereta yang terparkir dalam halaman rumah membuatkan banyak tanda soal mula terlakar dalam kepala. Menarik turun brek tangan, enjin kereta mula dimatikan. Membuka pintu kereta, leher Khen mula memanjang menjenguk ke dalam rumah melalui jendela yang terpelohong luas. Automatik perbualan demi perbualan menerjah kokleanya.

“Kau dah buat apa dekat muka anak aku ni hah, Anggun? Kau tengok, kau tengok! Pecah dah muka anak aku ni. Katanya ada jantan yang pukul dia masa dia nak ke sini. Aku nak tahu siapa jantan tu? Kau simpan ke jantan tu dalam rumah ni?”

Suara Zaiton mula nyaring bergema ke pelosok rumah. Dengan berdiri mencekak pinggang, tangannya sekejap mengunjuk ke situ dan ke sana. Tangannya bergerak seiring dengan kata-kata yang terpacul dari bibirnya.

Ishaq yang duduk di sisi emaknya hanya mampu menunduk diam. Namun tanpa emaknya menyedari, sempat senyum mengejek terukir pada bibirnya. Mahu menyinis malapetaka yang menimpa Anggun disebabkan oleh dirinya.

Rasakan! Siapa suruh kau tolak aku pada malam tu, betina.

“Demi Allah, mak long. Anggun tak tahu apa yang mak long cakapkan ni…” Perlahan suara Anggun menutur kata. Sudahlah dia keseorangan di sini. Amani masih belum pulang dari kerja. Jika tidak, selalunya sepupunya itu ada di sisinya untuk menemankan.

Bush!

Bahu Anggun ternaik apabila rasa terkujat menyerang diri. Gelas air masak yang disediakan buat ibu saudaranya itu kini sudah selamat tersimbah pada wajahnya. Habis tudung dan bajunya basah.

Namun begitu, tangannya tetap terkial-kial naik menyeka cairan yang membasahi raut wajahnya.

“Jangan guna nama Tuhan untuk tutup perangai sundal kau tu lah, betina! Kau dengan mak kau, dua-dua sama. Aku tak tahulah kenapa bapak kau tu menikah senyap-senyap dengan mak kau tu dekat Thailand sana. Tok abah dan tok mek pun tak restulah perkahwinan orang tua kau yang dah mampus tu. Sepatutnya, kau pun ikut sekali mak dan bapak kau mati. Hidup tak habis-habis menyusahkan!” Tangan Zaiton menunjal kasar sisi kepala Anggun.

Anggun menggenggam sisi baju kurungnya dengan bibir yang terketap kejap. Juring mata yang panas ditahan supaya tidak menakung cairan jernih. Ya Rabbi, kuatkanlah aku…

“Jumpa tak lelaki tu dalam rumah ni, Zakaria?”

“Tak ada, along. Puas dah aku geledah. Tak jumpa apa-apa.”

“Kau Zul, jumpa tak apa-apa?”

“Sama. Tak ada jugalah, along.”

“Kau…” Zaiton sudah pun menarik sanggul Anggun yang terlindung balik tudung. “…cakap dengan aku, mana kau sorokkan jantan tu?”

“Ta… tak, maklong…”

Pang!

Anggun jatuh terduduk apabila tamparan Zaiton melekat pada wajahnya.

“Kau betina sundal, aku tahu kau ada sorokkan jantan dalam rumah ni. Anak aku sendiri cakap dia nampak kau berduaan dengan jantan tu dalam rumah ni. Bagitahu cepat! Kalau tak…”

“Kalau tak, apa?” soal Khen dingin. Menyeluk kedua belah tangan ke dalam poket jeans miliknya. Wajahnya yang tadinya menunduk sudah pun tegak merenung satu demi satu wajah manusia di hadapannya itu. Urat biru sudah pun timbul pada dahi luasnya. Rahang simetri itu sudah pun bergerak-gerak.

Ishaq yang sewaktu itu sedang duduk di sisi emaknya terus sahaja bangkit dari duduk. Menjuih bibir, jari telunjuknya diarahkan kepada Khen yang berdiri di juring pintu rumah.

“Inilah jantan tu, mak. Ishaq sendiri nampak dia ada dalam rumah ni dengan Anggun.”

Bang!

Ishaq terlolong kuat apabila sebutir peluru sipi-sipi menembusi hujung cuping telinganya. Terus sahaja tangannya naik menekup telinganya yang berdarah itu. Cairan darah segar memancut deras membasahi baju dan kusyen yang didudukinya.

“Ya Allah, Ishaq!” Zaiton sudah pun mendapatkan anak lelakinya yang sudah terkulai layu itu. Wajah Ishaq yang sedang menahan sakit dan wajah Khen dipandang silih berganti. Tubuhnya mula meligih menahan rasa takut yang menghentam diri apabila melihat wajah dingin Khen.

“Kau tengok apa tu, Zul dengan Zakaria?! Cepatlah buat apa-apa!” Suara Zaiton sudah pun ternaik seoktaf. Panas hatinya melihat kedua-dua orang adik iparnya itu hanya memencilkan diri di penjuru ruang tamu.

Zul dan Zakaria tidak berani berbuat apa-apa. Ekor mata mereka jelas dihidangkan dengan sepucuk pistol di tangan Khen. Mereka tidak mahu menempah maut secara percuma.

Gila ke apa nak tolong? Nyawa kot!

Dengan wajah bengis, Khen membawa langkahnya merentasi satu demi satu manusia yang berada di dalam rumahnya. Penuh berhati-hati dia memaut tubuh Anggun yang jatuh terduduk itu merapat ke sisi.

“Once you touch what is mine, all of you will die. Perempuan yang kau hina-hina ni, isteri aku. Kau boleh tanya dekat Zuhair dan Zaleha. Siapa yang berani sentuh Anggun, this gun will talk to your head, fuckers!”

Mendengar itu, Zaiton terus sahaja memaut tubuh Ishaq segera keluar dari rumah itu. Tidak lupa juga dengan Zul dan Zakaria. Terus sahaja mereka membawa langkah seperti lipas kudung apabila ugutan Khen menerjah pendengaran mereka.

“Kenapa awak tembak Ishaq?” soal Anggun senada. Menengadahkan kepala, kedua belah anak matanya lurus ke hadapan. Bibir dikemam penuh kejap. Kedua belah tangan dikepal kuat.

Terasa kukunya mencengkam perut tangannya. Perit. Tetapi, perit lagi rasa sakit yang menjalar di perdu hatinya disebabkan Khen.

Khen tidak menjawab. Sebaliknya dia berdiri tegak di hadapan Anggun. Wajah merah itu kini menjadi persinggahan anak matanya.

“Mind your own business.”

“Lepas ni awak nak bunuh siapa pula? Mak su saya, pak su saya? Ke, saya?” soal Anggun bertalu-talu. Dadanya semakin dihimpit rasa sakit apabila pertanyaannya tadi dijawab penuh angkuh oleh Khen.

Kaki Khen yang mahu melangkah ke luar rumah automatik terhenti. Melekapkan tangan pada dinding, bahunya kini mula menegang.

Bait bicara Anggun yang menujah pendengarannya membuatkan emosinya yang mula reda kini melahar kembali.

“I will kill you if you disobey my orders, Anggun. You need to know that. Don’t make me angry if you didn’t want me to make you suffer. I really mean it what I’m saying just now,” tutur Khen di sebalik gigi yang terkacing rapat.

“Bunuh sahaja saya. Tak perlu sentuh ahli keluarga saya yang lain!” Bibir Anggun mula meligih halus. Tekaknya bagai dijerut pasir apabila mengenangkan betapa peritnya apa yang dia lalui ketika ini.

Sudahlah dia tidak mampu melihat, dikurniakan pula lelaki panas baran seperti Khen menjadi suaminya. Ya, memang dia minta lelaki itu mengahwininya untuk menghalalkan apa yang haram.

Tetapi, jika terus-menerus lelaki itu menyeksanya dengan cara sebegitu, perlukah dia mencabut jantungnya yang berdenyut lagu perit itu dari soketnya? Ya Tuhan…

Sakit! Ia terlalu sakit untuk ditanggung.

“Mean people like them. You call them your family? Kau sedar tak apa yang kau cakap ni?” Suara Khen sudah melengking tinggi.

“Buruk mana pun mereka, mereka tetap darah daging saya. Even though you are my husband, I know that you will leave me after this. Jangan lindungi saya. Jangan buat seolah-olah awak kisahkan hidup saya sedangkan awak tak maksudkannya! We are totally different. Mungkin hati awak tak mampu merasakan apa yang saya rasa. Tapi… tak bermaksud awak boleh sesuka hati sakitkan saya.” Sebaik sahaja menuturkan kata-kata itu, cecair jernih sudah selamat menerjuni ceruk pipi Anggun. Bahunya mula terhinggut halus menahan emosi yang membedil dada.

Awak tak faham saya ke Zaheen? Susah sangat ke awak untuk jaga hati saya?

Di birai pintu, pautan tangan Khen pada dinding semakin mengejap. Urat tangan dan bahunya kian menegang apabila kata-kata itu menyapa hujung telinganya.

Memusing tubuh, langkah kaki galahnya sudah pun dibawa ke arah kerusi yang diduduki Anggun. Menarik kepala Anggun, kedua belah tangannya dibawa rapat ke sisi kepala isterinya.

Dahinya ditemukan pada dahi luas itu.

“I will eliminate every one who hurts my own belongings. So, show me that you don’t want to be mine. If not so, your heart is gonna get hurt.” Memejamkan mata, kata-kata itu dibisik keras buat pendengaran Anggun. Serta-merta, pautannya pada sisi wajah Anggun dileraikan.

Mendengar itu, Anggun terus sahaja menekurkan wajah ke bawah. Air mata yang mahu mengalir automatik terhenti.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/342592/NYCTOPHILIA