[SNEAK PEEK] Halyn Di Bawah Langit Barcelona

 

Halyn di Bawah Langit Barcelona
karya: Ann Hann


. . .

Aku masih dihantui ugutan Encik Aart. Di sebalik sikapnya yang begitu mempertahankan maruah, aku ‘dibuang’ ke New York tanpa beg pakaian dan telefon.

Masih memakai sweater berwarna coklat dan baju dua lapis, aku menahan kedinginan yang menyelubungi pagi di ibu kota yang terkenal di seluruh dunia itu. Encik Aart beruntung semalam kerana passportku masih berada di dalam beg dan memudahkan semua urusannya.

Itu memang tidak adil langsung. Lelaki itu terlalu pengecut! Bertindak diam-diam di belakang Kaizil.

Rasa tertekan dan tidak puas hati, membuat aku mendengus nafas tegang sebaik saja keluar dari kawasan ketibaan. Penumpang lain kelihatan semuanya ada urusan, kecuali aku yang terpaksa berhenti melangkah.

Beg tangan aku geledah. Dalam dompet cuma ada £200 pound sterling. Cukuplah untuk mendapatkan teksi. Tapi aku perlu menukarnya dalam dolar Amerika Syarikat.

Pantas aku berjalan mencari di mana kaunter pertukaran wang dalam Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy ini. Dan aku berjaya menemuinya selepas bertanya kepada pegawai polis.

Setelah berjaya membuat tukaran wang, aku keliru lagi. Bila tidak ada telefon, maksudnya tidak ada informasi. Aku langsung tidak ingat nombor telefon Hensen ataupun Darren. Tidak pernah berniat menghafal nombor telefon pun semenjak telefon pintar dicipta. Situasiku sekarang terlalu berserah. Aku tidak dibenarkan menghubungi Kaizil demi keselamatan Julia. Aku benar-benar bersendirian seperti seorang pendatang tanpa izin yang tiada tujuan pasti. Alamat kediaman Hensen pun aku tak ingat.

‘Oh, Halyn… kenapalah malang sangat nasibmu? Macam mana dengan High Style Jr? Macam mana dengan karierku? Macam mana dengan Kaizil? Adakah mereka akan menyedari kenapa aku tiba-tiba menghilang?’

T entu Mrs. B menuduh aku pekerja yang paling teruk pernah berkhidmat kepadanya. Tentu Kaizil menyangka aku melupakan segala janji kami dan meninggalkannya tanpa sebarang pesan.

Aku tidak menolak prasangka kalau Encik Aart dapat mendominasi fikiran Kaizil dengan mudah. Encik Aart boleh mengatakan apa pun tentang aku, termasuk mereka-reka cerita palsu.

Semua fikiran-fikiran penuh prasangka semakin membakar perasaan. Pandanganku kabur kerana air mata yang bergenang, sebelum akhirnya tumpah membasahi wajah. Dalam sebak aku mengelap air mata. Nafas bagai tersepit di celah dada.

Berkali-kali aku menarik nafas untuk melegakan rasa sakit dalam dada yang datang kembali. Perlahan, aku memukul dada di bahagian kiri. Cuba melonggarkan rasa terhimpit sambil bersandar di tepi tiang bulat.

Seperti ada luka yang telah membocorkan oksigen, paru-paruku tidak cukup kuat untuk membuat aku bernafas. Dengan pedih kelukaan yang mendalam sebegini, barangkali tidak akan sembuh.

Ia akan menjadi ingatan luka yang paling aku gerun dan takut. Aku takut takkan mampu menghadapinya seorang diri.

“Boleh saya tolong cik? Cik sakit ke?” Tanya seorang kakitangan wanita yang tiba-tiba datang menerpa.

Aku hanya menggeleng, menolak bantuannya dan memutuskan untuk mengambil udara di luar. Lalu petugas tadi pun beredar meninggalkan aku. Di luar, berkali-kali aku menarik nafas panjang sehingga terasa sedikit lega.

Aku kini berada di negara tanah tumpah darahku. Berada dekat dengan abang kandung sendiri, tentu akan menjadikan aku lebih kuat. Encik Aart takkan berani dengan adanya Hensen di sisiku.

Lantas aku berjalan ke arah kawasan teksi yang diparkir mengikut giliran. Sebaik saja pintu teksi dibuka, aku mula ragu-ragu mahu beritahu ke mana arah tuju.

“Err... Stewart?” Nada suaraku jelas kedengaran tidak meyakinkan dan tidak tahu ke mana aku nak pergi sebenarnya.

“Cik nak ke mana?” Tanya pemandu teksi itu, pelik.

“Apartment Stewart, lebih kurang begitu. Saya tak ingat alamatnya. Err… bangunannya putih?”

“70 East… 10th street.” Pemandu lelaki yang separuh usia itu menekan huruf-huruf pada telefon pintarnya.

“Ya.”

A ku yakin kerana pernah terbaca alamat yang disebutkan di dalam surat bil elektrik rumah Hensen musim panas lalu. Kalau pemandu teksi itu tidak menyebutnya, tentu aku langsung tak ingat.

“Pertama kali datang ke New York?”

T anya pemandu teksi itu lagi setelah aku masuk ke dalam teksinya.

“Tak, ini kali kedua.”

“Oh, urusan kerja?”

“Ya.” Aku berbohong dan kembali hanyut dalam fikiran-fikiran yang menyedihkan dan begitu membosankan.

Daun-daun berguguran ketika perjalanan itu melintasi taman-taman riadah yang terus sahaja mengingatkan aku pada London. Pemandangannya indah, berangin dan dingin.

Namun, ingatan tentang London hanya membuatkan aku disentap rindu dan derita yang serentak datang menghuni hatiku yang tiba-tiba sebu. Rasa sakit itu bertambah perit apabila memikirkan Hensen.

Dia pasti akan mencurigai kemunculanku yang secara tiba-tiba itu. Sesuatu yang bertentangan dengan rancangan asalnya. Dan lebih teruk lagi, aku perlu merahsiakan apa yang telah Encik Aart lakukan kepadaku. Julia mesti kekal selamat sehingga dia pulih sepenuhnya.

Hampir setengah jam perjalanan, destinasi yang kutuju kini tepat di depan mata. Dengan berat hati, aku turun dari teksi selepas membayar lebih $80 dolar caj perkhidmatan.

Kepala ikut tertoleh memandang teksi tadi keluar dari perkarangan apartment sebelum menghilang di jalan besar. Kemudian beberapa saat berlalu, aku kembali keliru. Jelas tidak tahu apa yang telah aku buat.

Aku bertanya kepada diriku kembali. Kenapa aku berada di sini? Kenapa aku terpaku berdiri di hadapan apartment mewah ini? Benarkah?

Tubuhku benar-benar berdiri di sini, tetapi tidak jiwaku. Aku betul-betul tidak bermimpi yang aku datang kembali ke apartment cantik ini. Bangunannya yang putih bersih, sama dengan warna rumahku.

Bukan! Itu rumah Kaizil!

. . .

Dapatkan versi e-book penuh di e-sentral.com

Penerbit: Kaseh Aries Publication
Penulis: Ann Hann