[SNEAK PEEK] Mr. & Mrs. Hot

Mr. & Mrs. Hot oleh Amarilis Rahim

ANAK bujang Puan Julia masuk ke rumahnya dengan langkah lesu. Telefon bimbit dan kunci kereta diletakkan ke atas meja sudut sebelum dia duduk menyandar di sofa panjang. Perasaan penat mula menjalar di dalam diri malah semakin tegar menguasai urat-urat sarafnya. Paling tenat sekali adalah hatinya yang nazak menanggung bebat-bebat rindu di pundak kalbu.

“Eilmi mabuk ya pagi tadi?” tanya Puan Julia agak meninggi. Anak mudanya yang hampir saja terlelap itu kembali terjaga. Renungannya membidik muncung di mulut Puan Julia. “Eilmi tak mabuklah mama,” jawab lelaki itu lemah. Tangannya menopang di ruas dahi.

“Dah tu… Zara mengadu dengan mama! Dia jumpa Eilmi keluar dari pub di Bangsar sebelum kejadian pagi semalam!”

Zara langsung menampakkan diri setelah namanya disebut-sebut. Penampilannya jauh berbeza dengan apa yang dilihatnya kira-kira lima jam lepas. Sopan dengan baju kurung.

“Answer me!” tengking Puan Julia seraya menggoncang kasar bahu anak bujangnya yang hampir saja ketiduran. “Dalam situasi begini pun, mama lebih percayakan orang luar daripada anak kandung mama sendiri,” suara Eilmi memuput kecewa sebelum kelibatnya bingkas dari sofa itu. Langkahnya menyusun terus ke anak-anak tangga.

“Habis tu, kenapa bila Zara tegur Eilmi, Eilmi boleh tak kenal dia?” Puan Julia masih ingin bertekak. Eilmi menggisal rambut di kepala. Soalan demi soalan yang diajukan oleh Puan Julia membuatkan fikirannya jadi tertumpu terus pada peristiwa beberapa jam lepas.

“Eilmi ingat Eilmi salah orang. Eilmi kira perempuan yang Eilmi lihat semalam pelanduk dua serupa. Bukan main mesra lagi, berpelukan macam suami isteri tapi Eilmi kenal sangat dengan lelaki tu. Anak sulung Datuk Ungku Ismail! CEO Emerald Butique! Dan Eilmi tak sangka, rupanya perempuan tu anak gadis kesayangan Datin Nora. Rasa-rasanya, mama kenalkan mereka tu?” tanya Eilmi sinis. Pandangan matanya mencerlung ke wajah Zara.

“Jangan fikir saya cemburu, Zara. Sekelumit rasa pun tak ada. Awak nak berpeluk sampai berguling atas lantai pun, itu hal awak cuma saya minta kita putuskan pertunangan kita secara rasminya!” sambung Eilmi lagi. Kali ini renungannya berpindah ke muka Puan Julia.

“Eilmi dah jawab kesemua soalan dengan jelas dan terang. Puas hati Puan Julia?” soal Eilmi sinis sebelum kakinya melangkah naik ke tingkat atas. Puan Julia tergamam. Pandangannya singgah tepat ke muka Zara.

“Betul ke ni Zara? Kenapa Zara sanggup buat macam ni? Kenapa Zara tak berterus terang saja dengan mama? Mama tak pernah nak paksa Zara kahwin dengan anak mama. Kalau Zara dah ada pilihan lain, Zara patut beritahu mama. Jangan sembunyi-sembunyi macam ni,” suara Puan Julia bersama sebak di dada.

“Maafkan Zara, mama. Zara tahu dalam hal ni, Zara yang bersalah. Zara janji akan pulangkan cincin pertunangan kami secepat mungkin,” jawab gadis itu lalu beredar keluar dari kediaman Puan Julia dengan langkah yang tergesa-gesa. Puan Julia terduduk di sofa panjang. Kepalanya bertambah pusing.

“Lepas satu, satu masalah yang menimpa, Ya Allah,” rintih wanita itu. Air matanya menitis jatuh. Kasihan Eilmi… bisik hatinya berkali-kali.

“Dari dulu lagi saya dah cakap dengan awak. Hubungan mereka tu memang dingin tapi awak nak juga mereka mencuba hingga berhasil. Sudahnya, beginilah…” Syarahan yang tiba-tiba daripada Tuan Zakarian mengembalikan suasana yang tidak sunyi. Puan Julia tidak berupaya lagi untuk membahaskan perkara yang sama.

“Dah cukup pening saya ni, bang. Janganlah abang tambahkan lagi,” rayu wanita itu dalam tangis sendunya. Tuan Zakarian meletakkan punggungnya di sebelah isteri kesayangannya. Bahu itu dipaut erat bila simpatinya sudah mula melurut jatuh.

“Abang cuma meluahkan apa yang abang perhatikan selama ini, bukannya abang suka-suka nak membebel. Sayang pergilah berehat. Nanti naik pulak darah tinggi sayang tu,” nasihat Tuan Zakarian penuh perhatian dan cinta. Puan Julia tidak berdaya untuk bangun. Dia langsung baring di pangkuan suaminya. Sedu sedan rasa di jiwa turut sama terperuk di situ.

“Sayang cuma nak tengok anak kita bahagia bang, sebelum mata sayang ni tertutup,” luah Puan Julia. Tuan Zakarian terkesima. Dia tidak suka hal-hal yang berkaitan dengan kematian dibangkit. Dia pernah merasai kehilangan yang besar tika kedua-dua orang tuanya pergi menemui Ilahi. Dan untuk merasai kehilangan yang sebegitu berat buat kesekian kali, dia masih belum bersedia!

Julia adalah satu-satunya wanita yang dimilikinya hingga ke saat ini. Tempat untuk dia bergantung kasih selagi usianya ada. Suka duka yang mereka tempuh hampir 40 tahun bersama dalam mendirikan mahligai rumah tangga merupakan kenangan terindah yang tak bisa diluputkan daripada ingatan. Biarpun sepanjang usia dan kerjayanya, dia acap kali digoda oleh perempuan yang jauh lebih muda namun cintanya tidak pernah tercalar.

“Eilmi tu macam suka dengan Widad lah bang. Saya boleh nampak perasaan dia pada Widad. Kita pinang sajalah si Widad tu untuk dia, ya bang,” usul Puan Julia tiba-tiba. Tuan Zakarian nampak mengangguk walau lamunannya tadi masih belum berkesudahan.

“Secepat mungkin tahu bang. Kalau boleh minggu ni juga,” sambung wanita itu.

Tuan Zakarian mengangguk lagi walau hatinya berasa kurang setuju dengan tindakan terburu-buru isterinya. Putus tunang pun belum lagi secara rasmi, baru cakap di mulut, dah nak pinang anak dara orang lain pulak. Julia… Julia… keluh hatinya sendiri tanpa dapat diperangi, takdir yang melingkari hidup anak bujangnya. Siapa lagi kalau bukan si bertuah tu, Tuan Eilmi Zahrin!

TINGKAP kayu di ruang tamu masih jua dibiarkan terbuka. Angin malam yang menerpa masuk ke teratak itu membuai lembut rambut Widad yang ikal beralun. Yong Lijah baru usai daripada solatnya. Dia langsung duduk di kerusi rotan demi membuang lelah yang sedikit. Sesekali, batuknya kedengaran. Batuk yang berjejeran hingga menarik perhatian Widad.

“Opah dah makan ubat?” Pertanyaan Widad bercampur nada-nada risau. Yong Lijah mengangguk walau batuknya masih belum berhenti. Widad langsung meluru turun ke dapur. Air suam panas ditatang dengan langkah yang cepat, dihulurkan kepada wanita tua di hadapannya. Yong Lijah meraih cawan itu lalu diminumnya juga seteguk dua.

Widad meletakkan cawan batu ke tepi dinding. Belakang Yong Lijah dilurut lembut hingga batuknya beransur-ansur hilang. Dia jadi lega dengan situasi itu. Kemudian, Widad duduk melutut di hadapan opahnya. Senyuman di bibir dibiarkan menipis bersama secangkir rasa yang sangat manis. Yong Lijah hanya meramas-ramas kepala lututnya.

“Tua sangat dah opah ni, Widad.” Suara wanita itu serak kesan dari batuknya tadi. Widad kembali menayang senyum yang sama. Tangannya turut sama meramas lembut lutut Yong Lijah yang sudah keras kematu.

“Tua-tua opah pun, opah masih kuat lagi,” tepis Widad sekadar menyedapkan hati. Wanita berusia lewat tujuh puluhan itu menggeleng. Sepertinya, dia tidak bersetuju dengan kenyataan yang keluar dari mulut mongel Widad tadi. Matanya merenung sayu ke wajah cucu kesayangannya.

“Orang kampung dah mula bertanya pada opah… bila lagi nak dilangsungkan pernikahan kamu yang tertunda hari tu,” cerita Yong Lijah. Widad terkedu. Difikirnya tadi Yong Lijah tidak akan membangkitkan hal tersebut. Dek kerana itu, pandangan Widad terlari terus ke sudut lain.

“Dah tiga bulan lebih dah ni, Widad. Mulut-mulut orang kampung pun dah tak boleh nak tutup. Ada je yang bercerita itu ini. Mereka sudah mula berfikir yang bukan-bukan. Ramai juga yang bertanya keadaan bakal suami kamu tu pada opah akibat daripada kemalangan tu tapi opah hanya boleh menjawab yang dia masih belum pulih sepenuhnya. Apa lagi yang opah boleh cakap?” tanya Yong Lijah terus kepada Widad. Gadis itu terkemam lagi. Terasa berat mulutnya untuk menceritakan hal yang sebenar.

“Pernikahan yang kita tunggu-tunggu tu takkan berlangsung, opah. Sebenarnya, Aaron tak kemalangan pun. Itu cuma cerita bohong Wafa untuk menutup malu kita pada hari besar tu setelah Aaron membatalkan pernikahan kami tanpa sebab.”

Yong Lijah tercengang. Direnungnya wajah Widad dengan mata yang mencari. Mencari sebuah kepastian mungkin.

“Kenapa pula dia batalkan? Apa salah kita?” Yong Lijah bertanya setelah Widad masih bersikap mendiamkan diri. Gadis itu menggeleng sebak. Air matanya menitis jatuh. Berlinang menelusuri susur lekuk di muka dengan derasnya.

“Widad juga tidak tahu kenapa. Tiba-tiba saja opah, dia membuat keputusan begitu.”

Yong Lijah mengemam bibir yang kering. Pandangannya terbawa ke sudut lain bila kelopak matanya turut menakung titis-titis jernih. Hatinya makin dipaut bimbang. Andai pernikahan yang tertunda itu tidak akan berlangsung, apa lagi yang nak diharapkan dari lelaki itu? Bagaimana pula dia mahu menutup mulut-mulut murai di kampungnya?

“Opah jangan menangis. Kita tak rugi apa pun. Widad masih punya maruah diri. Widad tak pernah menodai kesucian Widad sebagai seorang gadis. Widad selalu ingat pada pesanan opah yang satu itu.” Widad minta dipercayai. Yong Lijah mengangguk. Diraihnya kepala Widad sebelum dahi itu diciumnya berkali-kali.

“Opah tak malu kalau dia batalkan pernikahan kamu tapi opah akan malu kalau kamu memberikan kegadisan kamu kepada yang bukan hak. Opah bangga dengan kamu Widad. Walau bertahun-tahun lamanya kamu tinggal di negara orang tapi pesan opah kamu tak pernah abaikan. Opah doakan semoga jodoh kamu dengan orang yang baik-baik seperti anak lelakinya Hajah Basra,” ucap Yong Lijah sambil melurut-lurut rambut cucunya.

Widad terdiam. Dia cuba untuk senyum tapi kata-kata terakhir pada ucapan Yong Lijah itu mengingatkannya pada rombongan meminang Puan Hajah Basra semalam.

Pelik pula dia. Opah tahu dia masih ‘tunangan’ orang tapi kenapa menerima rombongan meminang itu? Resah yang bertumpu di wajah gagal disingkir jauh bila senyuman manis Eilmi terimbau di dalam kenangan. Widad jadi rindu pula. Rindu yang sangat hebat hingga igauan itu membebat jenak malamnya.

“Opah,” panggil Widad. Yong Lijah pantas saja menghadapkan mukanya ke muka Widad. Pipi yang kebasahan itu diseka dengan ruas ibu jarinya. “Cincin yang Hajah Basra bawa semalam, tak muat di jari manis Widad,” sambungnya teragak-agak. Nadanya berbaur di hujung. Yong Lijah menguntum senyum bersama raut muka yang sangat melucukan.

“Siapa kata cincin tu untuk Widad?” tanya Yong Lijah memutik rasa hairan. Widad terpinga. Direnungnya wajah itu dengan renungan yang tidak mengerti. “Hajah Basra datang semalam untuk meminang Wafa sebagai calon isterinya Imam Maliq. Kan mereka hanya tahu tunang Widad tak guna tu kemalangan, bukan batalkan. Gila apa, mereka nak meminang ‘tunang’ orang,” jelas Yong Lijah lanjut.

Widad panar pula. Benarkah? Hatinya mencarik tanya. Lama-lama kemudian, dia tersenyum lucu. Betul juga penjelasan opahnya ini. Kenapalah dia bodoh pula kali ini?

Yong Lijah tersenyum lagi. “Wafa tak pernah beritahu Widad tentang hubungan cintanya dengan Imam Maliq?” Pertanyaan Yong Lijah masih dipaut hairan. Widad menggeleng. Ingatannya mempamerkan beberapa wajah. Kalau Wafa bernikah dengan Imam Maliq, makanya dia punya peluang untuk bernikah dengan Eilmi. Hati kecilnya membuat kesimpulan. Dia perlu kembali ke Kuala Lumpur dalam kadar yang segera demi sebuah penjelasan yang lebih.

Dan jika itu kebenarannya, tidak perlulah dia rasa bersalah terhadap ‘kebenaran’ yang tertutup oleh dirinya seorang. Kisah di Cherating. Kisah gadis bergaun merah dan berambut keriting. Tutup cerita itu!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/339693/Mr-Mrs-Hot’