[Sneak Peek] Magika Puteri Legenda: Dunia Walinong Sari

Sneak Peek e-book bertajuk, "Magika Puteri Legenda: Dunia Walinong Sari"
Magika Puteri Legenda: Dunia Walinong Sari
-karya: Arif Zulkifli

. . .

“Mari kita buka gelanggang terlebih dahulu.”

Aja dan rakan silatnya yang lain menutup mata dan menundukkan muka. Mereka mula membaca Surah al-Fatihah sekali, Surah al-Ikhlas sebelas kali, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, dan berdoa agar sesi latihan mereka dapat diteruskan lancar dan tanpa gangguan. Begitulah rutin mereka setiap kali hendak memulakan latihan — gelanggang akan dibuka dengan mengingati Tuhan dan Rasul.

“Baik. Hari ni, kita akan belajar teknik Kunci Mati Buah 19,” Abang Azizan memulakan latihannya dengan sebuah pengenalan. Matanya memandang tepat satu per satu murid silat yang sedang duduk di hadapannya. Dia memang begitu setiap kali mahu mengajar jurus atau buah silat yang baharu kerana ingin memastikan setiap orang sedang memberikan fokus sepenuhnya terhadap apa-apa yang mahu diajar.

Abang Azizan boleh tahu jika minda anak muridnya sedang menerawang ke tempat lain — mata mereka akan kelihatan kosong dan jauh. Dia akan menganggap mereka yang tidak fokus sebagai seorang yang tidak serius, lalu orang itu akan disuruhnya pulang. Baginya, tiada guna orang itu berada di situ, jika mindanya tidak ditumpukan seratus peratus kepada sesi latihan yang bakal berlangsung. Begitulah tahap keseriusan Abang Azizan dalam mengajar kumpulan silat SMK Bukit Gembira itu.

“Teknik Kunci Mati Buah 19 ini ialah teknik yang akan mengunci tubuh pihak lawan, membuatkan dia susah hendak bergerak. Beberapa bahagian sendi yang penting akan dikunci menyebabkan dia tidak dapat berbuat apa-apa dan hanya boleh berserah kepada takdir selepas itu.”

Kami semua sudah berdiri menghadap pasangan masing-masing. Tadi Abang Azizan sudah menunjukkan demo secara perlahan, cara untuk melakukan teknik Kunci Mati Buah 19. Kali ini, dia mahu melihat anak-anak muridnya melakukan buah silat itu secara amali pula.

Basyirah sudah siap berdiri di hadapan Aja dengan kuda-kudanya yang terpasak kukuh. Sesekali dia akan melompat-lompat, bersedia untuk menyerang Aja. Kali ini, Aja yang akan menerima serangan dan melakukan teknik Kunci Mati tersebut kepada Basyirah.

Aja mengangguk tanda dia sudah bersedia. Basyirah terus melepaskan tumbukan dengan tangan kanannya ke arah Aja. Aja mengilas tapak kaki dan mengalihkan badannya ke kiri sebelum “menetak” rusuk kanan Basyirah dengan tangan kanannya. Kemudian, tangan kiri Aja terus menangkap pergelangan tangan kanan Basyirah dan mengilaskan tangan Basyirah ke belakang, sambil tangan kanan Aja menahan siku Basyirah, memudahkan proses kilasan tangan berlaku.

Selepas itu, Aja mengayunkan sikunya ke arah pelipat siku Basyirah lalu menguakkan lengannya, menyebabkan tangan Basyirah terkilas sehingga ke belakang kepala, mengunci pergerakannya. Bahagian belakang kepala Basyirah dicengkam sebelum belakang lutut gadis itu disepak Aja, membuatkan Basyirah melutut. Tangan kiri Aja yang masih bebas, dibawa ke bawah dagu Basyirah dan menolaknya ke bawah, sehingga akhirnya Basyirah terbaring dengan segala anggota badannya terkunci, tidak boleh digerakkan.

Semua gerak-geri itu dilakukan secara perlahan-lahan dan berhati-hati supaya Basyirah tidak tercedera, tetapi melihatkan gaya Basyirah yang terkapai-kapai seperti ikan yang terlantar di darat, Aja cepat-cepat melepaskan kuncinya pada badan Basyirah. Basyirah tergeletak di atas lantai.

“Basyirah! Awak okey ke?”

. . .

Dapatkan versi e-book penuh di e-sentral.com

Penerbit: PTS Publications
Penulis: Arif Zulkifli