[SNEAK PEEK] HEI… AKU KENAL CINTA

HEI… AKU KENAL CINTA Oleh Xeera Feeqa

SUASANA di Tasik Shah Alam itu sungguh tenang dan nyaman. Lanskap yang indah dan cantik mampu membuatkan hati yang resah menjadi damai dan tenang, setenang air di tasik. Kelihatan beberapa orang tukang kebun sedang sibuk membuat kerja pembersihan di kawasan itu. Kawasan tasik memang agak lengang pada waktu pagi begini.

Sudah beberapa minit berlalu, Ashriq dan Ellisa masih diam membisu. Masing-masing melayani perasaan sendiri. Ellisa masih memikirkan tentang segala apa yang didengarnya secara tidak sengaja sebentar tadi. Mungkin TUHAN ingin menunjukkan kepadanya bahawa sangkaan buruk terhadap Ashriq selama ini adalah tidak benar sama sekali.

Dia masih ingat ketika itu dia sibuk ingin mencari Ashriq di fakulti lelaki itu sehinggalah seorang pelajar junior memberitahunya bahawa Ashriq berada di dalam salah sebuah kelas di tingkat 1. Setibanya dia di kelas tersebut, telinganya menangkap suara-suara dari dalam. Dan dari situlah dia terdengar semua yang dibualkan oleh Ashriq dan Arianna tadi.

Ashriq pula tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan. Justeru dia mengambil keputusan untuk membiarkan Ellisa memulakan bicara. Dia tahu Ellisa sedang resah dan celaru dengan keadaan yang menimpanya kini. Jika dia di tempat Ellisa pun, dia pasti berkelakuan seperti sekarang. Sekejap-sekejap dia memandang Ellisa yang sedari tadi begitu asyik merenung tasik di hadapan mereka itu. Kalaulah dia diberikan kuasa untuk membaca fikiran manusia, ingin sahaja dia mengetahui apa yang sedang difikirkan oleh gadis itu sehingga membuatkan dia berdiam diri sejak dari tadi.

“Awak masih nak teruskan rancangan awak tu?” Tiba-tiba soalan itu terpacul daripada mulut Ellisa.

“Huh?!” Ashriq terkejut. Dia memandang Ellisa tetapi Ellisa langsung tidak mengalihkan pandangan daripada tasik di hadapannya.

“Saya tak suka apabila dia merendah-rendahkan saya sampai macam tu sekali!” Tegas nada suara Ellisa.

“Err… saya tak sangka pulak awak ada kat situ tadi. Awak janganlah nak fikirkan sangat benda tu. Saya pasti semuanya akan kembali normal selepas ni. Lagipun, tiada apa yang telah dan akan berlaku antara kita, kan?” Ashriq cuba menenangkan hati Ellisa. Dia tidak tahu sama ada kata-katanya itu berkesan atau tidak.

“Saya setuju ikut rancangan awak semalam.”

“Saya tahu awak terasa… What?!” Ashriq terkejut dengan apa yang didengarnya itu. Dia tahu dia tak salah dengar. Ellisa bersetuju untuk mengikut rancangannya? Ellisa, gadis yang sedang berdiri di hadapannya itu… dia cakap dia bersetuju kan? Betul kan?

“Saya nak tunjuk kat dia yang dia tak ada hak nak cakap saya macam tu. Saya tak suka orang yang tak kenal saya cuba untuk bercakap buruk tentang saya.” Kali ini Ellisa mengalihkan sepenuh perhatiannya kepada Ashriq yang ternyata masih terkejut dengan keputusannya itu. Eh, mamat ni memang dari tadi tak tutup mulut ke? Ternganga bukan main besar lagi! Tak payahlah nak melebih-lebih sangat reaksi tu!

“Tapi… awak okey ke dengan benda-benda macam ni? Awak pun tahu kan dia orang ni macam mana?” Ashriq cuba mendapatkan kepastian Ellisa. Setelah dengan segala apa yang berlaku, dia tidak mahu memaksa Ellisa untuk meneruskan rancangan ini.

Lama Ellisa terdiam. Dia memikirkan kata-kata Ashriq itu. Pandangannya dialihkan semula ke arah tasik yang tenang itu. Sesungguhnya memandang tasik itu membuatkan hatinya lebih tenang berbanding memandang muka Ashriq. Padahal kedua-duanya adalah ciptaan TUHAN Yang Maha Esa.

“Daripada saya kena seranah sebab perkara yang saya tak buat, lebih baik saya buat betul-betul. Sekurang-kurangnya, berbaloilah jugak kalau saya kena kutuk pun,” katanya dengan selamba.

Ashriq hanya tersenyum. Nampaknya, Ellisa benar-benar akan membantunya. Dia mula berasa lega kerana akhirnya dia boleh kembali pada rancangan asalnya.

“Betul? Awak pasti?”

Ellisa mengangguk demi menjawab pertanyaan Ashriq itu. “Tetapi janji tetap janji. Awak tetap kena tolong saya dalam Battle of the Band tu. Dan saya tak memerlukan sesen pun duit daripada awak. Awak simpan sajalah duit tu elok-elok.”

Ashriq mengangguk sambil tersenyum. Syarat Ellisa itu langsung tidak memberikan masalah kepadanya. “Tentang battle tu awak jangan risau. Saya ni seorang yang berpegang pada janji.”

“Dan terima kasih kerana mempertahankan saya tadi,” kata Ellisa sambil tersenyum. Sekarang, benda yang aku patut risau adalah macam mana nak terangkan pada Acha, Wanie dan Yulia tentang hal ni.

Tak mungkin dia mampu menyembunyikan perkara seperti ini daripada pengetahuan mereka bertiga. Ya ALLAH… tolonglah hamba-MU ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/95575/hei-aku-kenal-cinta