[SNEAK PEEK] SUAMI EKSPRES

9789670890142r-medium

SUAMI EKSPRES Oleh Fieyta An Nisa

MALAM ITU, sedang asyik Adriana mengemas barang-barang yang ingin dibawa pulang esok, dia menyambung kembali tugasnya yang tergendala pada petang tadi. Tiba-tiba pinggangnya dipeluk erat dari belakang. Tanpa menoleh ke belakang dia sudah tahu si empunya diri hanya dengan bauan minyak wangi. Lagi pula siapa yang berani memeluk erat dirinya kalau bukan suaminya sendiri.

“Abang… Riana tengah kemas barang ni,” tegur Adriana perlahan, mahu menyambung kembali kerja yang tergendala pada petang tadi. Faris semakin mengeratkan pelukan di pinggang Adriana. Dia sengaja mahu mengusik isteri solehahnya. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia kini seakan-akan tidak mahu berenggang dengan isterinya. Seakan-akan ada magnet yang menarik supaya dia selalu di samping isterinya itu. Mungkinkah ini dikatakan manisnya cinta kepada yang halal? Cinta selepas nikah, pada jalan yang halal. Kata Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, semakin banyak kemanisan yang kita teguk  sebelum bernikah, semakin banyak kepahitan yang terpaksa kita telan selepas bernikah.

“Abang tahu, sayang. Nak abang tolong tak?” bisik Faris.

“Tolong duduk jauh-jauh sikit. Sikit aje lagi yang Riana tak habis kemas ni,” ujar Adriana sambil berusaha merungkaikan pelukan di pinggangnya.

“As your wish, dear. Tapi jangan lama-lama tau. I have something for you, sayang. I’m waiting.” Faris mengalah, dirungkaikan pelukan di pinggang isterinya. Kakinya melangkah ke arah katil. Dia berbaring di atas katil sambil matanya ralit memerhati wajah Adriana yang bersungguh-sungguh mengemas  barang. Comel wajah isterinya. Beruntungnya dia memiliki isteri solehah yang sentiasa menjaga aurat dan  maruahnya.

‘Apa mahar yang diperlukan untuk meminangmu di syurga nanti, sayang?’ monolog Faris sendirian sedangkan matanya tidak lepas daripada memandang Adriana. Adriana menelan air liur yang seakan-akan tersekat di tekak. Renungan Faris mendebarkan. Dia sengaja berpura-pura tenang sedangkan hati hanya Ilahi yang mengerti.

Renungan suami yang mampu membuatkan dia seperti kekurangan oksigen di dalam bilik hotel itu. ‘Abang, tolong
jangan tenung Riana macam tu. Rasa macam nak tercabut dah jantung ni!’

Faris sedar tingkah laku Adriana mula gelabah apabila dia merenung isterinya lantas dia tergelak kecil melihat telatah isterinya itu. Sikap pemalu yang menebal itu kadangkala menyebabkan dia semakin sayang kepada bidadarinya itu. ‘Malu itu perisai orang beriman,’ bisik hati kecilnya perlahan.

“Sayang, dah sudah kemas?” soal Faris apabila dilihatnya barang-barang yang tersusun tadi kini sudah tersusun kemas.

“Dah!” Adriana menelan air liur. Dia menarik nafas untuk menenangkan hati  sendiri.

“Mari dekat abang…” ajak Faris sambil dikenyitkan matanya. Sengaja mahu mengusik Adriana yang nampak cemas. Adriana melangkah perlahan menuju ke arah Faris yang sedang berbaring di atas katil. Sengaja ditundukkan kepalanya memandang karpet, segan dengan renungan suami sendiri. Faris sudah tergelak kecil. Geli hati melihat telatah Adriana.

“Sayang, karpet tu lagi handsome daripada abang, ya?” Faris giat mengusik.

“Errr…” Adriana kelu sendiri. Mestilah Faris lagi kacak daripada karpet merah yang ditenungnya sebentar tadi.

“Meh, duduk dekat abang,” pelawa Faris sambil menarik perlahan tangan Adriana. Dia lantas duduk di atas katil itu. Adriana akur dengan permintaan Faris, sedar tanggungjawab seorang isteri untuk menghiburkan suaminya. Dia tersenyum manis sambil membalas renungan Faris sebentar tadi. Tidak sampai tiga saat, dia kembali melarikan pandangannya. Segan mahu terus membalas renungan Faris. Faris sudah mengukir senyum. Dia masih merenung wajah isterinya. Seakan-akan tidak puas merenung wajah polos itu. Seakan-akan ada kuasa yang mahu dia terus merenung wajah isteri kesayangannya itu. Nikmatnya apabila cinta itu sudah halal.

“Sayang… Abang ada something untuk sayang. Special for my dear. Hanya untuk bidadari kesayangan abang ni…” balas Faris lantas sempat dikucupnya dahi Adriana.

Kemudian dia bangun menuju ke almari solek. Adriana terpegun pada saat melihat Faris mengeluarkan sekotak hadiah dan sekeping kad yang berwarna ungu. ‘Arggghhh, romantiknya Mister Faris a.k.a suami soleh aku ini.’
Faris sudah tersenyum melihat Adriana yang kelihatan terpegun. Bulat terus mata isterinya pada saat itu. Nampak makin comel pula. Sedang asyik dia menyusun langkah menuju ke arah Adriana, kakinya tersadung karpet merah tadi. Bagai nangka busuk jatuh menyembah bumi apabila badannya jatuh terjelepok di hadapan isterinya sendiri. Malu jangan cakaplah, sudah setebal Kamus Dewan dirasakan pada saat itu. Masa nak tunjuk macho ni jugalah dia nak jatuh, kan? Sumpah dia rasa segan! Hilang terus suasana romantis sebentar tadi. Adriana mula panik. Cepat-cepat dia bangun, mahu membantu suaminya.

‘Faris jatuh? Okey ke tak suami aku ni? Mana aku larat nak angkat tubuh sasa suami aku jika kecederaannya serius. Hesy, apa yang aku merepek ni?’ Adriana menepuk perlahan dahinya. Bertuah punya isteri! Suaminya sedang sakit boleh pula otaknya melayang ke tempat lain.  Astaghfirullahalazim…

“Abang okey tak?” soal Adriana risau. Dahi Faris sudah berkerut menahan kesakitan. Dia cuba mengukir senyuman walaupun dia tahu senyumannya hambar pada saat itu. Adriana cuba membantu Faris untuk bangun. Kasihan melihat suaminya yang jatuh terduduk sebentar tadi. ‘Isy, macam manalah Mister Faris ni boleh jatuh?’

“Abang, are you okay?” tanya Adriana lagi, risau melihat Faris yang masih tidak menjawab soalannya sebentar tadi. Faris melemparkan senyuman, tidak mahu Adriana terlampau panik melihat keadaannya. ‘Sayang juga Adriana dekat aku, kan?’

“I’m okay, sayang. Cuma punggung ni rasa kebas sikit.” Bibir Faris masih lagi mengukir senyuman. Sudah berkurang sedikit kesakitan yang dialaminya. ‘Alahai, macam manalah dia boleh jatuh?’ Rasa malu akibat jatuh tadi melebihi rasa sakit yang dialaminya sebentar tadi.

“Betul ni?”

“Betullah sayang…” Faris mencubit perlahan pipi Adriana. Adriana menghela nafas lega. Alhamdulillah… Sempat pula Faris mencubit pipinya sebentar tadi, petanda yang suaminya benar-benar okey.

“Sayang… Ni untuk sayang. Just for you.” Faris mengambil hadiah yang terjatuh sebentar tadi.

“Thanks abang…”

“Sayang suka?” tanya Faris. Tangannya mula bermain-main dengan rambut Adriana. ‘Gulp! Alamak! Mood romantis Faris sudah datang kembali.’

“Mestilah suka. Hadiah free, kan?” sakat Adriana. Lama sudah dia tidak menyakat Faris. Selalunya Faris asyik menyakat dia. Mungkin hobi terbaru Faris menyakat dia agaknya.

“Amboiii, nakal…” balas Faris.

“Boleh Riana buka sekarang?” pinta Adriana.

“Boleh, Riana.”

Adriana terpegun pada saat dia membuka hadiah daripada Faris. ‘Eh, Faris hadiahkan aku bantal peluk? Uniknya. Jarang suami nak hadiahkan bantal. Selalunya orang kasi bunga.’ Tapi bagi Adriana yang alahan dengan bunga, dia bersyukur Faris tidak menghadiahkan dia bunga. Memang sejak kecil dia alahan dengan bunga. Jika perempuan di luar sana lebih menggemari bunga, tetapi tidak dia.

“Bantal peluk?” soal Adriana. Dibeleknya bantal  peluk yang bersaiz kecil itu. Cantik, ada gambar kartun lelaki dan perempuan yang di tengah-tengahnya ada bentuk hati. Unik sekali bantal peluk yang berwarna merah jambu itu.

“Haah, kenapa? Tak suka? Nak tahu kenapa abang  bagi bantal peluk?”

“Mestilah Riana suka. Suka sangat-sangat. Kenapa abang?”

“Sebab nanti bila Riana dah balik universiti, Riana tidur sorang-sorang, kan? Abang tak ada nak temankan Riana. So, bila rindu bolehlah Riana peluk bantal tu. Tapi kalau abang ada, jangan harap Riana boleh peluk bantal tu,” bisik Faris nakal. Adriana menggaru kepala yang tidak gatal. ‘Eh, kenapa tak boleh nak peluk pula? Habis tu hadiah ni nak buat apa? Perhiasan?’

“Kenapa tak boleh pula?” tanya Adriana tidak puas hati.

“Sebab abang nak Riana peluk abang. Bantal tu letak tepi, ya sayang.” Faris sudah tergelak nakal.

Adriana sudah termalu sendiri. ‘Amboi, nakalnya Faris… Rancangan baik punya.’ Cepat-cepat tangan Adriana mencapai sekeping kad yang dihadiahkan oleh suaminya sebentar tadi. Mahu mengusir malu yang sudah bertandang. Kemudian dia membaca ayat yang tertulis di dalam kad tersebut.

Tiba-tiba aku jatuh cinta,
Bukan sekali,
Tetapi berkali-kali,
Kepadamu bidadariku,
Aku kasih…

Tiba-tiba aku jatuh cinta,
Ketika kau sujud kepada Tuhanmu,
Sewaktu tulus dalam doamu,
Kepadamu isteri solehahku,
Aku terpesona…

Tiba-tiba aku jatuh cinta,
Bukan pada wajah,
Pun bukan pada harta,
Tapi pada agama yang ada dalam dirimu,
Aku rindu…

Tiba-tiba aku jatuh cinta,
Pada dirimu isteriku,
Terasa tenang melihat wajahmu,
Apabila kau dan aku bersatu,
Kerana cintakan Dia yang satu,
Aku cinta kepadamu…

Much of love,
Faris Ar Rayyan.

Air mata Adriana menitis perlahan, terharu dengan bait-bait cinta nukilan daripada suaminya. ‘Aku cinta kepadamu, wahai bidadara syurgaku.’

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90652/Suami-Ekspres