[SNEAK PEEK] BUNGA DI TAMAN LARANGAN

9789670907093-medium

BUNGA DI TAMAN LARANGAN Oleh Ayumi Syafiqah

“BARU hari pertama kerja dah beli handphone?”

Nada terkejut Idlan hanya dibalas dengan gelak panjang. “Apa salahnya?”

“Takkan kau dah dapat gaji kut?” Idlan masih lagi pelik.

“Advance.” Syarizad tergelak-gelak. Alah… biarlah, Idlan bukan tahu pun.

“Aku tahulah aku belajar tak tinggi. Pandai kau eh nak kelentong aku.”

Makin kuat gelak Syarizad.

“Tak adalah, kan aku kerja PA. Bos aku yang bagi handphone ni, senang untuk kegunaan aku nanti.” Pembohongan pertama selamat dicipta. Syarizad menyandar di sofa dengan bibirnya dikemam. Fokus mata tertancap pada skrin TV yang sedang menyiarkan drama Melayu lakonan Remy Ishak.

“Ohh…” balas Idlan. “Jadi kau okeylah kat sana? Tempat tinggal semua okey?”

Syarizad mengangguk. “Yup, okey sangat. Insya-Allah tak ada apa-apa,” ujarnya.

“Lega aku dengar. Bukan apa, takut jugak kalau-kalau kau sesat ke kat sana,” kata Idlan lalu ketawa sendiri.

“Kalau aku sesat, kau datanglah cari aku. Kau kan sayang aku…” Syarizad buat suara mengada-ada.

“Banyak cantik kau, Jad.”

Syarizad ketawa.

“Aku ada kerja ni. Nanti-nanti free, kau telefonlah aku ya…”

“Aku pulak telefon kau? Kaulah telefon aku, baru gentleman,” cebik Syarizad.

“Dengan kau tak payah nak gentleman sangat. Aku rasa macam kawan dengan orang lelaki jugak…”

“Kurang asam!”

Idlan ketawa berdekah-dekah sebelum mematikan talian.

Syarizad menyandarkan kepala sambil merenung skrin telefonnya. Berkira-kira sama ada perlu atau tidak dia telefon mak ngah. Kalau tak telefon, mesti mak ngah risau. Padahal dia dah janji akan selalu telefon orang tua tu. Malas berbolak-balik lagi, Syarizad akhirnya mendail nombor rumah mak ngahnya.

Agak lama menunggu, barulah suara mak ngah memberi salam kedengaran di talian.

“Waalaikumussalam, mak ngah. Ni Ijad…”

“Ijad? Ya Allah… Akhirnya Ijad telefon jugak. Lama mak ngah tunggu tau.”

Syarizad ketawa kecil. “Sorry, mak ngah… Ijad baru sempat nak telefon mak ngah…”

“Ijad sihat? Okey tak duduk kat sana? Ada masalah tak? Kerja macam mana?” Bertalu-talu soalan diajukan. Nampak sangat Rosni betul-betul risau apabila Syarizad hanya sepi tanpa khabar berita.

“Satu-satulah, mak ngah. Ni tanya banyak-banyak, mana satu Ijad nak jawab?” gurau Syarizad membuatkan mak ngah turut sama tertawa.

“Yalah, mak ngah cuma risau aje…”

“Ijad okey, mak ngah. Mak ngah tak payah risau ya…”

“Baguslah macam tu, lega mak ngah dengar. Ni, Ijad betul tak nak telefon Yana?”

Sebut aje nama Yana, Syarizad terus diam. Liyana Safirah, gadis yang sempurna segala segi. Ada sebab kenapa dia tidak mahu menghubungi Liyana, tapi biarlah hanya dia yang tahu apa sebabnya.

“Nantilah Ijad telefon dia, mak ngah…” Hanya itu yang mampu dijawab. Karang cakap tak nak, mak ngah kecil hati pula.

“Dah lewat ni, mak ngah. Ijad pun dah nak tidur ni. Lain kali Ijad telefon mak ngah lagi ya. Oh ya, mak ngah ambiklah nombor telefon Ijad ni.”

Rosni diam mencatat nombor yang diberikan Syarizad.

“Yalah, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.”

Syarizad hembus nafas panjang. Telefon ditinggalkan di atas sofa lalu dia berjalan masuk ke dalam bilik. Pintu almari dibuka luas-luas. Satu per satu baju di dalam almari itu dikeluarkan dan diacukan pada tubuhnya.

Dia memandang cermin sambil membuat macam-macam gaya. Senyuman mula terukir pada bibir. Hari esok, hari yang baharu untuk aku! Tekadnya dalam hati.

PAGI ESOKNYA Syarizad masuk kerja dengan semangat baharu. Mujurlah Kak Aiza pun sudah sampai lebih awal jadi dapatlah dia minta Kak Aiza tolong ajarkan mana yang patut. Paling penting kata Kak Aiza, setiap pagi segelas Nescafe wajib ada di atas meja Ben.

Setelah membancuh segelas Nescafe, Syarizad membawa mug di tangan ke arah bilik pejabat Ben. Pintu bilik itu diketuk tiga kali. Sempat nafas ditarik dan dihembus dalam-dalam sementara menunggu arahan masuk. Daun pintu ditolak ke dalam. Syarizad masuk dengan langkah yang sengaja dilenggokkan. Bibirnya pula diukir senyuman manis menggula.

“Nescafe, Encik Ben.” Lembut suara menuturkannya sambil meletakkan mug di tepi meja. Jari telunjuknya dimainkan di atas meja dengan gaya menggoda.

Ben yang perasan tingkah Syarizad itu panggung kepala. Tak cukup dengan main jari atas meja, jari kanannya pula menggulung-gulung hujung rambut. Ben mula terasa lain macam. Liur ditelan.

“Yes, ada apa-apa lagi?” tanya Ben. Walaupun terasa pelik, dia tetap menepis perasaan itu. Semalam bukan main lagi menggelabah, hari ini pula berani semacam PA baharunya itu.

Syarizad menggeleng manja.

“Tak ada apa. Saya keluar dulu ya,” ujarnya. Kemudian dengan penuh lenggok dia berlalu ke arah pintu. Sambil memegang daun pintu, sempat lagi dia menoleh ke arah Ben. Ternyata lelaki itu masih merenung ke arahnya tanpa kelip. Sebaik saja mata bertentang mata, Ben segera menundukkan muka. Syarizad sembunyi senyum.

“Encik Ben ada nak saya buat apa-apa ke?” tanya Syarizad dengan suara lembut. Entah dari mana dia dapat keyakinan untuk beraksi ‘berani mati’ macam tu. Hilang watak kasar, yang ada cuma watak manja yang entah dari mana dicungkil. Bakat terpendam mungkin.

“Err… tak, tak ada apa-apa,” jawab Ben. Muka Syarizad hanya dipandang sekilas kemudian kembali memandang skrin komputer.

Syarizad mengangguk dan terus keluar. Di depan pintu, senyumannya melebar. Wah, hebat kau, Ijad! Macam itulah baru betul-betul semangat nak jalankan misi. Silap hari bulan, watak penggoda dalam drama pun kau boleh pegang tau!

Syarizad berlalu ke arah mejanya dengan ketawa yang disimpan.

“SYARI…”

Syarizad angkat kepala. Muncul Ben di depan mata.

“Ya, Encik Ben?”

“Ikut saya pergi meeting kat KLCC,” ujar Ben.

Syarizad terkejut.

“Sekarang?”

“Ya, sekarang. Jom.” Ben malas menunggu lagi. Dah nama pun PA, haruslah Syarizad ikut ke mana saja yang dia pergi.

“Okey… okey…” kelam-kabut Syarizad bangun mencapai beg dan buku notanya. Dia tak tahu apa-apa tentang meeting yang Ben maksudkan. Tak apalah, nanti dalam kereta boleh tanya.

Syarizad hanya mengikut Ben di belakang. Masuk ke lif, lelaki itu cuma mendiamkan diri. Sikit pun tak cakap apa-apa. Tak sempat Syarizad buka mulut nak ajak berbual, pintu lif sudah pun terbuka. Terpaksalah dia ikut saja Ben keluar menuju ke tapak parkir.

Mulanya dia ingatkan Ben pakai pemandu, rupa-rupanya dia yang pandu sendiri. Mungkin dia jenis lelaki yang lebih suka memandu sendiri kut. Apa barang pakai pemandu? Kereta mahal tapi tak boleh pandu sendiri, baik tak payah. Sempat lagi Syarizad membebel sendiri dalam hati.

Masuk ke kereta, Syarizad melilaukan matanya ke seluruh ruang. Wah… ini baru betul-betul kereta mewah. Baunya saja pun sudah cukup untuk buat dia terpegun sendiri.

“Err… Encik Ben, nak tanya sikit boleh tak?” Syarizad bertanya sambil membetulkan duduknya. Sengaja nak bagi skirt yang sudah memang singkat jadi semakin singkat, menampakkan pahanya yang putih melepak.

“Tanya apa?” Ben berpaling sekilas ke arah Syarizad. Pura-pura tidak nampak paha Syarizad yang terdedah. Perempuan ni, makin lama makin menyeramkan pula. Manalah mummy jumpa dia ni?

“Nanti masa meeting tu, saya kena buat apa ya?” tanya Syarizad sambil menahan senyum. Dia nampak tingkah gelisah Ben. Jelas ketara lelaki itu sedang menahan debaran.

Soalan itu membuatkan Ben tertawa kecil. Mulalah dia rasa pilihan mummynya itu bukanlah pilihan yang terbaik. Tak apa, Ben. Bagi dia masa untuk sesuaikan diri dulu. Pujuk hatinya.

“Masa meeting tu nanti, awak cuma perlu catatkan apa-apa yang penting. Nanti bila dah habis, awak kena siapkan report dan hantar pada saya. Pasal report tu nanti, awak boleh tanya Kak Aiza tentang formatnya. Faham?” satu per satu Ben menjelaskan.

Syarizad terangguk-angguk.

“Okey… faham.”

“Good.” Ben tenang memandu.

Syarizad di sebelah mengitarkan pandangan ke luar cermin tingkap kereta, memerhatikan pemandangan Kuala Lumpur waktu siang. Cantik. Rasa terujanya jelas terbias pada wajah. Apabila orang yang selama ni duduk bawah tempurung tiba-tiba dapat keluar tengok sekeliling, inilah jadinya. Sebiji macam rusa masuk kampung.

Ben yang perasan tingkah gadis itu hanya tersenyum. Sahlah, perempuan ni bukan orang bandar. Kalau ikutkan dalam resume, dia asal dari Kedah. Satu kampung dengan mummy. Tapi kenapa mummy beria-ia sangat nak dia ambil Syarizad ni jadi PA? Entahlah. Sikit pun dia tidak nampak rasionalnya. Tapi tak apa, okeylah daripada tak ada langsung.

Audi A6 Ben berhenti betul-betul dalam petak parkir.

“Jom keluar,” ajaknya. Tali pinggang keledar ditanggalkan lalu pintu kereta ditolak ke luar.

Syarizad ikut keluar. Namun entah mana silapnya, hujung skirtnya tersepit ketika pintu ditutup. Belum sempat dia buka semula pintu, Ben sudah pun menekan kunci penggera. Syarizad terus menarik skirtnya tanpa berfikir panjang. Dek kerana tarikan yang kuat, hujung skirtnya koyak.

“Alamak!”

Ben terkejut. “Eh, kenapa?”

“Skirt saya!” Syarizad rasa nak menjerit masa tu. Skirt mahal okey. Walaupun dia tak tahu harga skirt tu berapa, tapi dia tahu harganya mahal. Memang tak patut koyak sebab tersepit pintu kereta. Grr!

Ben segera menghampiri Syarizad.

“Kenapa dengan skirt aw…” Kata-katanya terhenti di situ apabila terpandangkan skirt Syarizad. Dahlah singkat, terkoyak pula tu. Tertelan air liur dibuatnya. Cepat-cepat hatinya beristighfar. Wajah Syarizad yang cemberut dipandang.

“Macam mana boleh tersepit?”

“Manalah saya tahu. Encik Ben tu yang kunci cepat sangat,” rungut Syarizad. Hujung skirtnya dibelek-belek. Rasa nak mengamuk pun ada.

Kalau tidak dikenangkan Ben tu bosnya, memang sudah lama makan penangan ‘semburan’nya yang pedas berbisa. Disebabkan sekarang dia sedang memegang watak seorang gadis penggoda macam dalam drama-drama di TV, terpaksalah dia tahan amarah yang sudah hampir meletus.

“Awak salahkan saya?” Ben angkat dahi.

“Habis? Salah saya?” Syarizad tidak sedar nada suaranya sudah naik sedikit.

Ben tertawa kecil.

“Lain kali, turun tu cepat sikit. Ini tak, terhegeh-hegeh,” kutuk Ben masih dalam senyumannya.

“Saya tak kira. Saya nak Encik Ben belikan saya skirt baru!”

“Huh?” Ben ternganga sedikit.

“Bolehlah, Encik Ben. Please…” dengan berani Syarizad memainkan jemarinya pada lengan Ben.

Ben pantas melarikan lengannya.

“Yalah, yalah. Dahlah, saya dah lambat ni. Tak elok biarkan klien tunggu lama. Jom.” Terpaksalah bersetuju saja sebelum Syarizad bertindak lebih berani. Dia sendiri pun tak sanggup nak hadap.

Syarizad menahan senyum. Namun apabila tunduk memandang hujung skirtnya, pantas bibir diketap. Ni… skirt ni macam mana? Nak jumpa klien dengan skirt koyak macam ni? Tak ada pilihan, Syarizad bertindak menarik kesan koyakkan itu supaya tercarik sepenuhnya. Jadilah skirt itu semakin pendek. Nafas dihembus panjang.

Lantaklah… yang penting, dia tak perlu malu sebab pakai skirt koyak! Lagipun tak apa koyak sikit. Kan ke makin seksi? Syarizad tersengih. Memanglah kau ni makin berani Ijad!

Langkah dilajukan mengikut Ben dari belakang. Masuk ke sebuah restoran di KLCC, Ben terus menghulur tangan untuk bersalam.

“My PA, Syari.” Ben memperkenalkan Syarizad kepada Datuk Haslam.

Syarizad menyambut huluran tangan Datuk Haslam. Bibirnya diukirkan senyuman manis walaupun masih nampak canggungnya. Renungan semacam Datuk Haslam membuatkan bulu romanya meremang. Itu belum dikira lagi dengan senyuman yang jelas nampak gatal.

“Duduk,” pelawa Datuk Haslam.

Syarizad segera mengambil tempat di sebelah Ben. Dia perasan mata Datuk Haslam tidak lepas-lepas merenung ke arahnya. Kalau setakat tengok muka, dia tak kisah. Ini kalau dah asyik pandang bahagian kaki aje, manalah tak rasa macam nak bagi penyepak.

Duduknya sekejap-sekejap dibetulkan. Inilah padahnya pakai seksi. Padan muka kau, Ijad.

Bukan Ben tidak perasan ketidakselesaan Syarizad sepanjang perbincangan itu berlangsung. Satu yang dia pelik, kenapa mesti Syarizad rasa tidak selesa dipandang kalau dia sendiri yang nak berpakaian seksi? Diibaratkan yakin pergi terjun laut tapi sebenarnya tidak pandai berenang.

“Thank you, Datuk. Saya harap kerjasama antara kita ni akan berjalan lancar nanti.” Ben tersenyum menghulur salam setelah tamat perbincangan.

“Saya pun harap macam tu,” balas Datuk Haslam. Wajah Syarizad masih lagi direnung tanpa jemu.

Syarizad mengetap bibirnya. Cepatlah masa berlalu. Dia dah tak sabar nak blah dari situ. Eii, kalau tak fikir siapa lelaki tua gatal tu, dah lama lelaki tu kena penyepak dia tau!

“Let’s go.” Ben berbisik perlahan di telinga Syarizad.

Syarizad hanya mengikut langkah Ben keluar dari kompleks itu terus ke tapak parkir kereta.

“Petang ni lepas habis kerja, awak free tak?” Ben bertanya setelah masuk ke kereta.

“Hmm… free kut. Kenapa, Encik Ben?” Syarizad memandang Ben dengan mata membulat.

“Pergi beli skirt baru,” jawab Ben tanpa memandang Syarizad. Makin pandang, makin jantung bergetar satu rasa. Hesy… seram!

Syarizad tersenyum. Dalam hati bersorak gembira. Yesss!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79912/bunga-di-taman-larangan