[SNEAK PEEK] BANGKIT

9789670954493-medium

BANGKIT Oleh Appy Mohd Hapizan

Final exam tinggal beberapa hari sahaja lagi, malam itu Fatihah belajar bersama Syafiq sahaja di bilik belajar 24 jam di sebelah perpustakaan kampus.

Seperti kehendak Syafiq, Nurul tidak join bersama. Dia memberi alasan sakit perut dan belajar di dalam bilik sahaja.
Fatihah pula tidak mahu memungkiri janji untuk belajar bersama Syafiq. Dia tidak mahu mengecewakan hati seorang kawan. Ternyata, rancangan Syafiq berhasil. Seperti dijanjikan, Syafiq sudah berada di bilik 24 jam sebelum Maghrib lagi. Fatihah pula akan menyusul selepas Isyak. Jika mereka lambat sedikit, pasti tiada meja kerusi kosong lagi untuk mereka duduk belajar. Meja dan kerusi hanya disediakan sebanyak lebih kurang 20 buah.

Fatihah berjalan dari biliknya ke bilik 24 jam seorang diri. Bertudung coklat, mengenakan cardigan hitam serta seluar tracksuit. Seliparnya pula agak besar, bahagian tapak kaki selipar lebih sedikit dari tapak kakinya. Buku di dalam pelukannya bersama pencil box comelnya.

Setiap langkahnya dia disapa oleh pelajar perempuan, Fatihah tidak dapat cam siapa yang menegurnya kerana dia seorang yang rabun, lagi pula waktu itu malam, agak kabur sedikit pandangannya, tetapi dia tetap membalas sapaan itu kerana dia tidak mahu menjatuh air muka orang dan tidak mahu orang menganggapnya sombong. Fatihah agak dikenali di kampus kerana dia senior, juga ada jawatan untuk fakultinya. Fakultinya mempunyai pelajar yang
agak banyak.

Fatihah singgah sebentar di kedai runcit di hadapan Youth Floor untuk membeli makanan ringan dan minuman. Buku serta pencil box-nya ditinggalnya di rak beg di depan kedai. Fatihah ke ruangan snek, melihat-lihat makanan yang dikenannya. Niat nak membeli roti ataupun keropok, tetapi dia baru sahaja lepas dinner bersama Nurul
tadi. Lalu dia mengambil sebungkus M&M dan pergi ke bahagian belakang untuk membeli air. Terlalu banyak pilihan, akhir sekali air Milo yang menjadi pilihannya. Fatihah membuka peti ais dan mengambil satu tin Milo. Dia membawa kedua-dua barangan itu ke kaunter. Waktu itu, cuma dia seorang pelanggan kedai itu.

Fatihah memberi sekeping not RM10 ringgit kepada pekerja kaunter, pekerja itu memberi wang baki tanpa senyuman, bermuka masam, langsung tiada adab berjual-beli! Tidak pada Fatihah, dia memberi senyuman kepada pekerja itu walaupun dia tahu senyumannya bakal tidak berbalas. Fatihah mengambil plastik yang berisi makanan
dan minuman yang sudah dibungkus pekerja tadi di atas kaunter. Straw pula diambilnya dari dalam kotak straw dan diletakkan di dalam plastiknya yang berwarna pink.

Fatihah keluar dari kedai itu dan mengambil bukunya tadi. Dia pun menuju ke bilik 24 jam. Youth Floor agak sunyi waktu itu, tiada kelibat manusia kelihatan menari, menyanyi atau melepak di sana, mungkin mereka sedang belajar, tambahan pula, lampu tidak berfungsi, mungkin ditutup oleh pihak kolej.

Tidak lama kemudian, Fatihah masuk ke dalam bilik 24 jam, dia melihat Syafiq jauh di sudut belakang bilik, Fatihah menghampirinya. Tanpa meminta izin untuk duduk, Fatihah terus meletak buku di atas meja dan menarik kerusi di hadapan Syafiq. Syafiq baru perasan dengan kehadiran Fatihah dan memberi senyuman kepadanya.

Tiba-tiba Fatihah tersedar sesuatu. Dia baru perasan bahawa pencil box-nya tiada. Dia memeriksa di bawah meja dan jalan yang dilaluinya di dalam bilik 24 jam. Syafiq hairan.

“Kenapa ni?” soal Syafiq.

“Pencil box saya hilang.” Fatihah gelisah. Barang kesayangannya hilang!

“Awak yakin awak ada bawak?”

Baru Fatihah teringat dia meninggalkan pencil box-nya di rak beg hadapan kedai runcit tadi. Tanpa berlengah, dia berlari menuju ke kedai. Syafiq ditinggalnya begitu sahaja. Untuk menunjukkan keprihatinannya, dia pun mengekori Fatihah. Sebenarnya dia masih dalam keadaan blur, entah kenapa Fatihah tiba-tiba berlari.

Tiba di kedai runcit, Fatihah melihat tiada apa di rak itu. Dia masuk ke dalam kedai runcit itu dan bertanya tetapi pekerja itu hanya mengangkat bahu memberi isyarat dia tidak tahu. Fatihah geram sedikit dengan perangai pekerja
itu, namun dia tetap memberi ucapan terima kasih.

Fatihah kesal. Walaupun tiada barang berharga ataupun duit di dalam pencil box itu tetapi pencil box itu sendiri yang amat berharga baginya, ia adalah hadiah pemberian bapanya. Sudah lama dia menggunakan pencil box itu. Walaupun bertahun riwayatnya, kondisinya masih baik kerana Fatihah cermat menjaganya. Fatihah menarik pintu kedai itu dan keluar dengan muka kecewa.

“Dah dapat jumpa tadi ka?” Syafiq di luar kedai runcit itu bertanya.

“Takda, takpalah jak, tapi pencil box itu bapak saya yang bagi.” Tampak sugul Fatihah dengan kehilangan pencil box itu. Ingin sekali Syafiq memeluk Fatihah agar hilang kesedihan itu, tetapi ia hanya dalam imaginasinya.

“Nak buat macam manalah kan, dah nak hilang.”

“Hmm, macam ya lah upa ye.”

Mereka pun berjalan sama menuju ke bilik 24 jam untuk membuat revision untuk final exam. Focus serta mood Fatihah agak down tetapi dia berlagak okay kerana dia bersama Syafiq. Dia tidak mahu Syafiq mengalami kejanggalan. Rasa kesal Fatihah belum dapat dia hilangkan, tetapi dia mencuba menghilangkan rasa hibanya supaya dia dapat memahami bait-bait nota yang dibacanya.

Satu persatu Fatihah menjelaskan kepada Syafiq apa yang Syafiq tidak faham. Syafiq menjadi seronok kerana belajar bersama Fatihah. Tahap keseronokan dalam belajarnya meningkat. Isu pencil box yang hilang tadi seolah lenyap seketika. Mereka hanyut dalam sesi pembelajaran itu. Namun Fatihah sahaja yang teruja mengajar, sementara Syafiq pula mabuk cinta. Haru sebenarnya.

Mereka juga bersama-sama membuat latihan previous semester final exam question. Fatihah tidak lokek berkongsi ilmu dengan Syafiq, malah dia mengajar Syafiq sehingga Syafiq benar-benar faham dan menjawab dengan betul.

──♦──

Warga UiTM yang belajar di dalam bilik 24 mula bersurai. Tinggal beberapa orang sahaja termasuk Fatihah dan Syafiq. Fatihah mengajak Syafiq untuk balik kerana sudah mengantuk, dan Syafiq bersetuju. Jam juga sudah menunjukkan pukul 3 pagi.

Mereka mengemaskan meja mereka yang berselerak dengan kepingan nota. Fatihah hanya membawa buku untuk balik, Syafiq memasukkan nota-nota ke dalam begnya. Selesai mengemas, mereka pun keluar dari bilik 24 jam. Sampah-sampah seperti plastik makanan dan bekas tin air dibuang ke dalam tong sampah.

Syafiq membuka pintu untuk Fatihah untuk menunjukkan sifat gentleman-nya. Dua langkah dari pintu bilik 24 jam, tiba-tiba Fatihah dan Syafiq terlihat satu objek terjatuh dari atas ke depan pintu perpustakaan; mereka terkejut.

Mereka melihat ke atas, tiada apa kelihatan. Fatihah menghampiri objek itu, ia kurang jelas, Syafiq agak gugup. Lampu kawasan perpustakaan sudah ditutup pihak kolej menyebabkan kawasan setempat agak gelap.
“Apa tu, Tihah?” Syafiq bertanya sambil mendongak memerhati.

“Sik tau lah,” jawab Fatihah ringkas.

Fatihah semakin hampir dengan objek kecil itu, dia seperti mengenalinya. Ya, dia mengenalinya, ia adalah pencil box miliknya! Tapi bagaimana ia tiba-tiba jatuh dari atas? Siapa yang membalingnya? Persoalan itu menjadi tanda tanya di dalam kepala Fatihah.

“Syafiq! Inilah pencil box saya! Alhamdulillah dah jumpa balik!” Fatihah excited.

“Bagus la pia oo. Tapi sine pencil box ya datang? Siapa curik tek? Motip?” soal Syafiq bertalu-talu.

Fatihah mengangkat bahu. Dia mengajak Syafiq untuk menyambung perjalanan mereka. Tiba-tiba bunyi kibaran sayap yang agak kuat didengari mereka, secara automatik mereka menoleh ke atas. Hairan. Tiada apapun
kelihatan. Gelap saja.

“Tihah, jangan ditegur, balik jak kita.” Syafiq menjadi takut. Dia teringatkan pesanan neneknya, jika ada mendengar,
menghidu atau melihat apa-apa yang pelik, jangan tegur.

“Ye.” Fatihah tidak takut, sebaliknya perasaan ingin tahunya membuak-buak.

Tanpa disedari, mereka diperhati satu makhluk. Makhluk itu berada di atas zink perpustakaan. Makhluk itulah yang sebenarnya membaling pencil box Fatihah tadi. Dia sudah lama memerhati mereka sejak tadi, malah dia jugalah yang memerhati Fatihah selama ini.

──♦──

Sebaik sampai di bilik, Fatihah meletakkan bukunya di atas katil lalu duduk di atas kerusi belajarnya. Dia meletakkan pencil box-nya di atas meja. Nurul yang sudah lena diulit mimpi tidak sedar dengan kehadiran Fatihah. Fatihah membuka zip pencil box itu dan memeriksa barang miliknya, tiada apapun yang hilang, tiada yang kurang. Tibatiba dia terjumpa sesuatu, sekeping kertas dengan sebaris ayat dalam tulisan jawi:

 

 

Fatihah mengerutkan dahinya, apa maksud semua itu? Siapakah yang memberinya? Bulu romanya meremang. Tak tercapai dek akalnya. Saban hari semakin banyak perkara pelik berlaku kepadanya.

Fatihah menyimpan kertas itu ke dalam laci lokernya, sejurus itu dia ke bilik mandi untuk mencuci muka dan selepas itu dia tidur.

──♦──

Fatihah membuka mata, terkebil-kebil matanya kesilauan. Fatihah melihat ke kiri ke kanan, tempat yang sangat asing. Tidak pernah dia pergi atau singgah di tempat itu, kini dia sedang berdiri di atas kawasan rumput yang lapang, seperti taman bunga, sangat cantik. Bunga-bunganya ganjil, tidak seperti yang pernah diketahui Fatihah. Warna yang beraneka, aromanya yang menyatu, begitu wangi. Seolah berada di syurga, fikir Fatihah. Namun ia mustahil. Setiap langkah akan menerbitkan satu aroma aneh. Dan sekuntum bunga akan gugur. Janggal. Tempat itu seolah bergerak selari dengan perbuatannya. Ganjil.

“Assalamualaikum, Fatihah.”

Fatihah menoleh ke belakang.

“Waalaikumsalam.” Fatihah mengundurkan kakinya sedikit demi sedikit.

“Kamu siapa? Saya berada di mana sekarang?”

Seorang lelaki sasa berjubah hitam berada di hadapan Fatihah. Fatihah tidak mengenali lelaki itu, tetapi dia seakan pernah berjumpa dengan lelaki itu. Lembut cahaya wajahnya, menenangkan. Sesekali angin menderu, membuatkan jubah hitam yang dikenakan beralun lembut.

“Kamu berada di alam mimpi sekarang. Jangan risau. Saya Raqib, juga makhluk ciptaan Tuhanmu.”

Fatihah menggigil ketakutan. “Mengapa saya di sini? Apa yang awak nak?”

“Saya ingin berpesan, berhati-hatilah. Kamu diancam bahaya, namun jangan risau, saya akan menjagamu dengan izin Tuhan kamu akan selamat,” kata Raqib sambil tersenyum.

Tiba-tiba Raqib mengibarkan sayapnya lalu dia terbang ke atas.

Fatihah terkejut melihatnya! Dalam masa yang sama dia terpegun. Dia menggosok-gosok matanya, tiba-tiba dia terdengar suara azan berkumandang. Pandangan Fatihah semakin pudar lalu gelap.

Fatihah bangkit. Suara azan masih kedengaran. Dia melihat ke luar jendela, masih gelap. Rupanya dia bermimpi tadi. Nurul sudah tiada di katilnya. Fatihah mendengar bunyi air paip, mungkin Nurul sedang mengambil wuduk.

Fatihah menekan suis lampu biliknya dan menuju ke bilik mandi. Nurul sudah siap berwuduk menuju ke dalam bilik. Kebiasaan mereka akan solat bersendirian.

──♦──

Oleh kerana banyak kelas yang sudah tamat kerana bermulanya study week, Fatihah dan Nurul meluangkan masa itu dengan belajar. Mereka tidak sesekali akan membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah dan melekakan.

Fatihah merancang untuk belajar dengan Nurul sahaja hari seterusnya. Dia tidak mahu digelar ‘palat’ oleh sahabatnya. Tambahan pula mereka sudah lama belajar bersama dari awal sem lagi.

Fatihah dan Nurul memasang niat Qiamullail. Selepas solat Isyak tadi, mereka melelapkan mata dan berniat untuk bangun tengah malam. Cara itu membuatkan mereka tidak bergantung kerana jika diteruskan belajar dalam mengantuk, ilmu sukar untuk masuk dan payah untuk faham apa yang dibelajar.

Oleh itu sebaiknya mereka tidur dulu sekejap untuk merehatkan badan dan bangun semula untuk mengulangkaji pelajaran.

Fatihah sedang fokus belajar, begitu juga Nurul. Handset mereka disimpan di dalam loker kerana tidak mahu diganggu. Mereka sudah siap menelefon ibubapa masing-masing untuk meminta restu selepas solat Isyak tadi.

Tahap ketekunan mereka amat padu. Jika ada bom yang meletup, pasti mereka tidak sedar. Dari luar tingkap, makhluk bersayap memerhati Fatihah. Namanya Raqib, dari kelompok manusia bersayap, sesekali ghaib, sesekali kelihatan jelas pada pandangan manusia. Fizikalnya masih manusia, hanya sayap putihnya laksana merpati, cantik bulu pelepahnya. Seperti garapan dari syurga. Matanya melilau memerhatikan persekitaran dan kelihatan ribuan
makhluk-makhluk ghaib berlegaran. Namun majoriti makhluk-makhluk itu tidak mengganggu manusia. Hanya segelintir yang mahu
membuat kacau. Dan fokus mereka pada Fatihah. Itu merisaukannya.

Dua makhluk, botak kepalanya, kurus tetapi tinggi, kelihatan tegap pula. Sejak dari tadi dua ekor makhluk itu sedang memerhatikan Fatihah yang sedang belajar bersama Nurul. Tubuh mereka fleksibel, sesekali melonjak dan memanjat pohon dengan penuh kelembutan tanpa meleraikan pandangan pada Fatihah.

Kelibat dua makhluk botak dapat dilihatnya dari jauh, dia tahu kedua makhluk itu ada niat jahat terhadap Fatihah. Mujur saja Raqib ada melindungi Fatihah. Lalu dia mendekatkan dirinya pada makhluk botak itu, agar niat mereka terbantut. Fatihah harus diselamatkan.

Raqib terapung dengan bantuan sayapnya. Kedua botak itu, orang bawahan musuh yang sudah lama diperangi puak Raqib, juga terapung dengan bantuan sihir syaitan. Desir daun dan juga angin yang bertiup mengelus lembut tubuh mereka bertiga. Bunyi cengkerik langsung mati. Setiap haiwan yang patutnya berlegar mendiamkan diri. Mereka sedar malam itu kejam. Punya makhluk yang tidak suka diganggu.

“Dah banyak orang kami kau bunuh,” kata salah seekor dari makhluk botak sambil menjelir lidahnya serta membesarkan mata merahnya. Giginya seperti buaya, kekuningan menonjol sekali. Raqib hanya mendiamkan dirinya. Dia tahu, pertempuran bakal berlaku. Dia hanya bersiap-siaga.

“Huh! Burung patut berkicau. Bukan bisu.” Si botak membuka mulut kerana kata-kata temannya tidak dijawab Raqib. Dia memandang botak yang satu lagi memberi isyarat menyerang!

Dengan sepantas kilat kedua botak itu menyerang Raqib. Raqib melarikan diri jauh dari kawasan hostel, takut mereka menarik perhatian pelajar dan orang lain. Ketika itu dia tidak pasti adakah dua botak itu berusaha untuk mengaburi pandangan orang awam dari melihat mereka. Dia harus mencari tempat pertarungan yang sesuai agar
tidak diketahui orang. Apabila peluang menjelma, nyawa dua makhluk botak itu akan melayang. Itu tekadnya.

“Pengecut!” si botak menjerit sambil ketawa seperti pontianak. Dia tidak tahu muslihat Raqib menjauhkan perkelahian itu dari khalayak ramai. Otak mereka tidak menghadam tindak-tanduk musuh, hanya niat
mahu membunuh. Tidak licik, kosong seperti kepala mereka yang botak. Berkilat tidak bercorak.

Kedua botak itu semakin dekat dengan Raqib. Raqib sengaja memperlahankan geraknya. Dikelilingi pokok-pokok nan rimbun dan ruang lantai hutan yang luas, memberinya keyakinan. Pantas dia meluru, sayapnya sengaja
diluruskan agar jatuhannya lebih jitu. Tanpa mampu mengelak, salah satu makhluk botak mendapat habuannya. Raqib menyiku muka salah satu dari botak itu. Tersungkur makhluk itu dibuatnya lalu mencium tanah. Lehernya terkehel tetapi nyata ia bukan masalah besar. Dalam seimbas, bunyi tulang leher yang patah kedengaran sekali lagi lalu si botak itu kembali menyeringai.

Tanpa menunggu rakannya, botak yang satu lagi mencakar Raqib dengan kukunya yang panjang, berjaya dielak Raqib dengan mendaratkan dirinya. Memandangkan kestabilan graviti menyokong gerak tubuhnya, Raqib menyambar tangan makhluk botak itu, lalu melontar tubuh makhluk itu ke salah satu pokok besar berhampiran. Berdentuman bunyinya, tetapi tidak cukup untuk menumbangkan pohon itu. Sebelum sempat tubuhnya mencium tanah, dia lekas-lekas melonjakkan dirinya ke udara.

Sementara itu, makhluk yang disiku tadi kian menyinga. Tubuhnya mengapung tinggi dengan pantas dengan niat mahu menyerang dengan kelajuan.

Setelah dirasakan sasarannya tidak dapat mengelak, dia pun menjunamkan dirinya ke bawah. Raqib tersenyum. Musuh kali ini begitu mudah dibaca geraknya. Dungu tidak berbatas.

“Bodoh!” Si botak yang masih terapung terlihat perbuatan temannya. Mereka mempunyai pantang, andai mereka memijak tanah, kuasa sakti mereka akan berkurangan. Dia cuba menghalang. Rakannya yang mencium tanah mula
meronta-ronta. Kali kedua sudah menginjak tanah, kuasanya merosot banyak. Seksa benar kelihatannya.

Dengan kalimah Bismillah, Raqib melompat dan menyambar pula si botak yang masih berlegaran di udara. Dia mencekik si botak itu dan memusingkan badannya ke atas manakala belakang si botak menghadap ke bawah, selepas itu mereka pun menjunam ke tanah.

Dengan lafaz kalimah suci, Raqib terus mencekik makhluk botak itu yang turut meronta-ronta kesakitan. Tidaklah mereka mampu membantu antara satu sama lain. Bumi tidak akan menerima tubuh mereka. Ajal kian dekat.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/80112/BANGKIT