Prosidur Memohon e-ISBN untuk eBook Daripada Perpustakaan Negara

ISBN-cover

Pertama sekali, prosidur ini adalah langkah-langkah yang kami lalui bersama penulis-penulis bebas yang menghantar e-book mereka ke E-Sentral.com. Apa yang dapat kami katakan, pada ketika penulisan ini, inilah kaedahnya. Dan kaedah ini mungkin bertukar mengikut polisi dan orang-orang di dalam Perpustakaan Negera Malaysia (PNM).

Baiklah, pertama sekali, hampir semua maklum bahawa ISBN adalah nombor rujukan khas kepada sesebuah buku. Dan terdapat juga e-ISBN yang digunakan untuk e-book. e-ISBN adalah berbeza dengan ISBN untuk buku fizikal. Maka, sekiranya anda sudah mempunyai buku yang sudah mempunyai ISBN, anda masih perlu memohon e-ISBN untuk pengedaran dalam bentuk elektronik.

Langkah 1: untuk Penerbit Baru

Adakah anda pernah mendapatkan ISBN daripada PNM sebelum ini? Sekiranya belum, anda perlu mengisi dua borang berbeza. Borang tambahan yang perlu diisi itu adalah borang penerbit baru. Tidak kira sama ada anda seorang individu, perniagaan milikan tunggal, syarikat Sendirian Berhad, syarikat tersenarai di papan utama, mahupun koperasi ataupun persatuan, anda boleh mendaftar sebagai penerbit dengan PNM. Tapi kalau boleh saya cadangkan, eloklah mendaftar sebuah milikan tunggal daripada menggunakan nama peribadi sebagai penerbit.

Borang Penerbit Baru : http://www.pnm.gov.my/download.php?FilePoolID=88

Penerbit baru perlu menyediakan dokumen-dokumen berikut:

  • salinan sijil pendaftaran syarikat
  • salinan kad pengenalan

Langkah 2: Borang e-ISBN

Di PNM, borang e-ISBN adalah sama dengan borang ISBN. Bezanya adalah di mana penerbit perlu meletakkan alamat laman web di mana ebook akan dijual, atau diedarkan. Siapkan maklumat-maklumat ini untuk permohonan e-ISBN anda:

  • halaman hakcipta daripada ebook anda
  • rekabentuk kulit buku untuk ebook anda
  • alamat URL di mana ebook akan dijual atau diedarkan

Borang Permohonan (e-)ISBN : http://www.pnm.gov.my/download.php?FilePoolID=85

Bagi penulis bebas yang menjual di E-Sentral.com, kami boleh bantu menyediakan alamat URL untuk ebook anda, untuk permohonan e-ISBN ini. Sekiranya anda berminat untuk menjual ebook melalui E-Sentral.com, anda boleh mendaftar secara percuma di http://publisher.e-sentral.com.

Langkah 3: Hantar Borang

Borang yang sudah lengkap boleh dihantar dengan dua cara, faks atau ke kaunter.

Faks Borang ISBN ke PNM: +603-26811676

Untuk menghantar sendiri borang, anda boleh ke pejabat PNM dan terus ke kaunter Pusat Bibliografi Negara. Biasanya anda boleh terus menerima nombor e-ISBN anda apabila ke pejabat PNM.

Pusat Bibliografi Negara
Perpustakaan Negara Malaysia
Aras 3, Anjung Bestari
No. 232, Jalan Tun Razak, 50572 Kuala Lumpur

Bagi permohonan melalui faks, biasanya ianya tidak mengambil masa lebih dari seminggu.

Maklumat lanjut berkenaan e-ISBN juga terdapat di http://www.pnm.gov.my/main.php?Content=vertsections&SubVertSectionID=97&VertSectionID=3&CurLocation=95&IID=

TAMBAHAN 25 Mac 2013

Di peringkat antarabangsa dan di Internet, terdapat banyak syarikat yang menawarkan khidmat mendapatkan nombor ISBN atau e-ISBN. Tapi perlu berhati-hati kerana biasanya ianya akan dipohon di negara syarikat itu didaftarkan dan di bawah nama syarikat tersebut. Apabila demikian, ebook kalian seperti diterbitkan oleh mereka di negara mereka. Ini tidak menjadi masalah dalam kebanyakan hal, tetapi kelak apabila kita mahu mengedarkan buku tersebut ke pasaran lain seperti di E-Sentral.com nombor ISBN itu tidak boleh digunakan kerana ia merujuk kepada syarikat yang mendaftarkannya.