Dekad Baharu, Nekad Baharu

 

 

Dekad Baharu, Nekad Baharu

Faiz Al-Shahab

 

Mengimbas kembali dekad 2010an, selain daripada perkembangan teknologi yang rancak, bidang lain seperti dunia seni, sastera dan muzik secara keseluruhan tidak meninggalkan apa-apa yang betul-betul dikenangi sebagai persona abad ini.

Dunia teknologi kreatif dan peralatan dikejutkan dengan pelbagai inovasi namun saingan hangat arena ini terbantut apabila Steve Jobs meninggal dunia pada hujung tahun 2011.

Budaya seni dan muzik pula melihat gelombang Korean menawan benua apabila fenomena Hallyu menghantui dunia hiburan.

Namun dalam kalangan seniman dan ahli muzik Barat yang telah pun matang dan berperingkat melalui pelbagai fasa khususnya abad 70an, 80an, dan 90an, tidak menonjol pula abad ini malah tidak menghasilkan apa-apa yang gemilang.

Dunia konflik dan politik tidak kurang kemelutnya selama sepuluh tahun ini.

Paling ketara adalah gerakan Arab Spring yang bermula di Tunisia pada awal abad yang lepas, kesinambungan daripada peperangan di Syria dan Libya ini menyebabkan berjuta manusia mengambil jalan untuk menjadi pelarian di Eropah, alasan untuk fahaman sayap kanan berleluasa semula di negara-negara Barat.

Sehingga kini, Arab Spring masih meninggalkan kesan negatif dengan krisis kebuluran terbesar pada zaman moden yang kini masih berlangsung di Yemen dan disokong oleh kerajaan Saudi Arabia.

Dari segi fahaman dan haluan politik pula, dekad yang lalu tidak membawa apa-apa yang baharu dalam falsafah ataupun perjuangan.

Nada utama politik 2010an bertemakan kesempitan, khususnya ekonomi.

Kesempitan ekonomi menyebabkan Arab Spring tercetus.

Kesempitan nilai demokrasi menyebabkan mulut celupar Donald Trump memenangkan beliau kerusi presiden Amerika Syarikat.

Kesempitan ekonomi menyebabkan retorik pendatang asing mengambil peluang pekerjaan di United Kingdom menjadi isu popular dan seterusnya menyebabkan reforandum untuk meninggalkan Kesatuan Eropah.

 Kesempitan ekonomi dan harapan menyebabkan pilihanraya di Malaysia mengejutkan dunia dengan kemenangan persekutuan parti yang tidak masuk akal, demi menyelamatkan Malaysia daripada terus muflis.

Sementara itu, penduduk dunia teruskan gaya hidup moden yang terpaku pada media sosial dan seterusnya memendekkan daya pemerhatian.

Dalam keghairahan tamadun menerima teknologi sebagai cara hidup, manusia juga telah mengambil langkah kebelakang.

Manusia mempunyai daya perhatian yang pendek, lebih mementingkan diri sendiri (selfish), dan tidak memikirkan masa depan.

Tiada kajian yang mengetengahkan perkara-perkara ini, namun tidak dapat dinafikan firasat setiap manusia mengatakan bahawa tamadun yang baharu ini melalaikan manusia dengan kebendaan sahaja.

Perkara ini terlalu berleluasa sehingga memerlukan seorang budak belasan tahun dari Sweden bernama Greta Thunberg untuk mengingatkan semua bahawa masa depan manusia telah diabaikan. Lalu golongan dewasa pun terus bersorak dan menepuk tangan menyahut seruan Greta seolah-olah kenyataannya adalah penemuan yang baharu.

Walaupun kata-kata Greta adalah terang lagi bersuluh, namun ianya tidak masuk akal buat kebanyakan penduduk dunia.

Dekad 2010an telah mewariskan tamadun manusia yang merosot, yang dipenuhi oleh penduduk yang jadi sekadar robot mekanikal mengikut rentak teknologi tanpa berfikir.

Kita sering bangga mengatakan bahawa manusia moden mempunyai daya perhatian yang pendek, cepat bosan, dan perlukan bahan-bahan dalam bentuk snippet, video dan grafik sahaja.

Kendatipun begitu, daya perhatian yang pendek membuat manusia kurang berfikir dan mempunyai stamina minda yang rendah.

Agak berat sebelah untuk saya bercakap begini, namun faktor utama mengapa daya perhatian manusia menjadi singkat adalah kerana terlalu banyak membaca teks pendek.

Jika kita mengatakan bahawa kita tidak membaca, ianya tidak benar, malah manusia zaman sekarang membaca lebih banyak daripada manusia abad-abad sebelum ini kerana kita melekat pada peranti-peranti yang menyajikan mesej-mesej dan posting-posting setiap minit.

Walau bagaimana pun, kebanyakan yang dibaca kita hari-hari adalah teks pendek dan tidak berkhasiat untuk minda.

Pada masa yang sama, beribu-ribu kajian telah membuktikan jika kita membaca teks panjang, atau dalam bahasa Inggerisnya – Long Form Reading, minda kita akan sentiasa bekerja.

Apabila minda kita bekerja, imaginasi kita menjadi tinggi.

Daya fikir dan pemikiran kognitif juga akan terdorong, dan pemahaman kita mengenai dunia dan persekitaran akan menjadi lebih jelas.

Pada zaman ini, pendidikan formal dan gred yang bagus sahaja tidak memadai untuk memelihara nasib kita dan anak-anak kita.

Pendidikan formal yang berasaskan ujian adalah sekadar penanda aras sistem-sistem yang mengacukan manusia, dan sukar untuk proses ini menjadikan manusia pelbagai dan berdaya saing dalam hidup sebenar.

Oleh itu, apabila kita membaca dan melancong, perspektif hidup kita akan berbeza, dan kita mempunyai kelebihan berbanding orang-orang lain yang tidak membaca dan sekadar mengikut sistem.

Ibubapa serta khalayak umum sering mementingkan pendidikan dan kesihatan anak-anak kita, namun tidak memberi perhatian yang setimpal kepada budaya membaca teks panjang,

Sama seperti mengayuh basikal, berenang dan mengaji, tabiat membaca perlu dipupuk, dan tidak akan berlaku dengan senang.

Kerana ramai ibubapa juga bukan dari golongan yang membaca, ianya menjadi lebih sukar untuk mendorong anak-anak untuk membaca kerana nikmat membaca itu sendiri hilang daripada jiwa.

Akan tetapi faktor yang paling ketara adalah kerana membaca tidak menunjukkan hasil pulangan kebendaan dan status.

Sijil kolej dan universiti pada satu ketika dahulu dapat menjanjikan pekerjaan yang lebih baik untuk golongan muda, maka ibubapa pun tanpa berfikir panjang melabur untuk pendidikan tinggi anak-anak.

Membaca pula tidak memulangkan sebarang hasil yang langsung, oleh itu lebih sukar untuk ibu bapa dan khalayak ramai memahami mengapa ianya penting dalam kehidupan.

Oleh itu, dekad baharu ini, perlu dihiasi dengan nekad yang baharu, iaitu asahkan dua niat berikut; lebih banyak berjalan dan melancong, dan juga membiasakan membaca teks panjang untuk kesihatan minda kita dan seterusnya kesejahteraan Negara kita.    

Other articles by the Author:

Malaysia: The Inferior Nation Series

 

Artikel Bahasa Melayu

 

English articles