. . .
Makan Babi
Dalam masa pantang banyak lagi cabarannya. Saya dijaga oleh ibu mertua. Mengikut cara orang cina, tidak boleh mandi. Satu perkara yang mencabar bagi saya.
Bayangkan kita tidak mandi selama 40 hari. Tak sanggup, kan?
Cabaran yang menggerunkan adalah makanan. Orang cina sangat suka makan babi, mereka menganggap babi itu daging yang penuh gizi dan baik untuk kesihatan. Jadi bila saya berpantang, mak mertua masak untuk saya semua menggunakan babi. Boleh dikatakan satu ekor babi dari luar hingga dalam dia masak untuk saya. Dari kaki sampai isi dalam perutnya. Kalau makan kaki babi kaki boleh kuat. Kalau makan perut babi baik untuk dalaman kita. Sampai telinga babi pun dia masak baik untuk pendengaran katanya.
Adoooi… Selama tiga hari ibu mertua masakkan untuk saya, saya tidak sentuh. Dia marah kenapa saya tidak makan. Alasan saya tak lalu makan padahal saya tak boleh nak telan.
Akhirnya saya sepakat dengan suami untuk memberitahu pada ibunya yang saya ini muslim dan tidak makan babi.
Pagi itu selepas mandi saya dan suami meminta mak dan bapak duduk bersama sebab saya ada hal nak sampaikan. Pada mulanya saya risau dan takut penerimaan beliau nanti tapi perkara ini memang tidak dapat nak simpan lebih lama lagi. Apa pun yang terjadi saya harus beritahu mereka. Kami pun siap sedia menghadapi risikonya nanti.
Kalau sebelum ini bila makan bersama saya masih ada pilihan saya boleh makan ikan atau ayam yang tersedia. Tapi bila masa pantang ibu mertua menyediakan khusus untuk saya babi sebab ayam dan ikan dalam pantang tak boleh makan katanya. Dengan hati yang berdebar-debar saya memberitahu ibu mertua saya.
“Mama, saya bukan tak suka makan masakan you tapi saya mintak maaf saya tak boleh nak makan sebab saya orang islam. Islam tak boleh makan babi”
“Hayoo, kenapa tak cakap. Saya boleh masak lain kasi you makan ma” Tidak ada muka marah pada kedua wajah mertua saya malah dia memberitahu “Esok saya masak ikan haruan kasi you makan. Ini baik untuk orang lepas bersalin.”
Sejak itu hari-hari seterusnya mama tak masak babi lagi untuk saya. Saya gembira dapat mak mertua yang memahami saya. Kami masih tinggal bersama dengan sikap saling bertoleransi dan menghormati agama masing-masing.
. . .
Baca selanjutnya di SINI
Penulis: Ema Ariani
Penerbit: Ooi Chooi Beng