[SNEAK PEEK] NOTA CINTA ORIGAMI

NOTA CINTA ORIGAMI Oleh Ruby Hazri

PROLOG

Lima tahun lalu…

BARU beberapa jam tadi mereka berpamitan salam dan berkongsi gelak ketawa dalam kereta. Malah, pesanan isterinya masih kukuh terlekat dalam minda.

“Jangan lupa pula hadiah hari jadi tu.” Pandangan Aina Sophia sekilas mengerling tempat duduk belakang terutama pada sebuah kotak berbalut kertas comel.

Faris angguk, patuh.

“Hmm… Pandu kereta hati-hati, ya bang,” pesan isterinya.

Dia yang gemar berjenaka terus membuat aksi tabik hormat. Masih terngiang-ngiang ilai tawa wanita yang telah berkongsi kasih dengannya sejak lebih dua tahun lalu. Belakang tangannya masih terasa hangat ciuman isterinya. Namun dalam sekelip mata, panggilan dari ibu pejabat polis tiba-tiba meranapkan seluruh sejarah beberapa jam lalu. Aina Sophia sudah menjadi arwah.

Telefon bimbit dalam genggaman menggelongsor jatuh ke lantai. Sampul coklat di genggaman terjatuh dari tangan. Dirinya bagaikan hilang ampu untuk berdiri. Kepala lututnya berasa longgar. Jari-jemarinya menggigil tanpa sebab. Hanya sesekali telinganya mendengar sayup-sayup suara pegawai polis menyebut ‘helo’ berkali-kali dari telefon bimbitnya. Tapi, bibirnya tidak berupaya lagi mengeluarkan sepatah perkataan pun.

“Faris!” Satu suara memanggil namanya, nyaring. Zikri, rakan setugasnya berlari laju ke arahnya. Tubuhnya yang tadi kehilangan daya terasa dipaut untuk bangkit semula.

“Kenapa ni, Faris?” Tiada jawapan.

Zikri membantunya untuk bangun dan berjalan menuju ke bilik. Seluruh beban bagai dilepaskan ke dalam pautan tangan rakan setugasnya.

“Telefon aku.” Hanya dua patah kata itu mampu dikeluarkan. Itu pun kerana terpaksa demi melihat telefon bimbitnya tersadai di lantai.

Zikri berpusing ke belakang. Matanya berjaya menemui telefon bimbit temannya itu sedikit terlindung di bawah sehelai sampul surat coklat. Zikri mengambil lantas menerkap telefon itu ke telinga. Senyap. Taliannya telah terputus.

“Aina, Zikri!” Faris cuba menjelaskan beberapa minit kemudian.

“Okey… okey, kita masuk ke bilik dulu,” arah Zikri tidak mahu berbual di luar bilik ini. Menyaksikan keadaan Faris tadi yang hampir jatuh, Zikri tahu ada masalah besar telah menimpa sahabatnya ini.

Sebaik pintu bilik Zikri ditutup rapat, Faris terus memegang kedua-dua belah bahu Zikri. Kolam matanya rasa teramat berat kini.

“Aina meninggal dunia, Zikri.” Terketar-ketar suara Faris memaklumkan.

“Meninggal dunia?” Zikri terpinga-pinga. Tidak sanggup untuk dia mengucapkan innalillah… Fikirannya sendiri seperti tidak boleh menerima.

MELISSA mengelap bibirnya dengan napkin berona pic, sebelum meletakkan cermat di sisi kanan pinggan makannya. Dia mengerling sekilas lelaki di hadapan. Lelaki itu makan tanpa sedikit pun memandangnya. Cuma dia yang terhegeh-hegeh menolak rasa malu berbual itu dan ini. Melissa menyilangkan garpu dan pisau di atas pinggan yang masih berbaki lebih separuh daging stiknya. Setelah menyisip sedikit air putih dari gelas tinggi, dia tiba-tiba berdiri. Matanya memandang kiri kanan kurang selesa jika aksinya mendapat perhatian orang sekeliling ruang restoran.

Lelaki bernama Faris di hadapan terkejut. Menyedari ada beberapa pasang mata memberikan tumpuan kepadanya, dia memaniskan wajah serta-merta. Dengan tertib, dia mengambil tas tangan di sisi kerusi.

“I nak ke washroom sekejap,” pintanya lembut. Butir bicaranya tidak mendapat reaksi balas. Melissa mendengus geram.

Dengan langkah yang sengaja diatur gemalai, dia masih mampu menjaga gengsi saat berjalan menuju ke arah pintu bilik air. Mata-mata yang memerhati masih melihatnya sebagai seorang yang menjaga tertib. Langkahnya tidak terkocoh-kocoh seperti orang dikejar sesuatu. Adapun hatinya mendesak benar-benar untuk berlagak begitu.

Terlihat sahaja pintu tandas wanita, dia terus menerpa masuk. Nafas yang ditahan-tahan dilepaskan sepuas hati. Tapak kasutnya menghentak lantai jubin beberapa kali. Dia mengerang sakit hati.

“Bodoh! Bodoh!” Dia melepaskan kemarahan.

Rambut gaya Bob Hairstyle separas dada ikut mengerbang. Melissa membetulkan dengan jari-jemarinya. Kemudian, dia meraba-raba isi tas tangan Coach. Blackberry Classic dibawa keluar. Telunjuknya berlari-lari di skrin sesentuh sambil beralih ke cermin besar di singki. Wajahnya ditilik berkali-kali ketika menanti panggilannya bersambut. Sebelah tangannya masih membetulkan gaya rambut. Panggilannya tidak berjawab. Sekali lagi dia mencuba. Juga gagal.

Buat meredakan rasa sakit hati, bibirnya dilekap buat meratakan warna gincu yang mungkin tersisih ketika makan tadi. Alis mata dikuis. Mata dikelipkan beberapa kali kalau-kalau maskara tidak sekata. Kemudian, Blackberry Classic dimasukkan kembali ke dalam Coach. Tangannya mencari-cari benda lain di situ. Akhirnya, Chanel lipstik daripada jenis Rouge Allure Velvet dari warna 40 La Sensuelle dioles ke bibir. Lagi sekali kedua bibirnya melekap meratakan warna gincu. Bedak kompak daripada jenama sama juga dikeluarkan. Wajahnya mula nampak berminyak biarpun berada di dalam restoran berhawa dingin.

Belum sempat dia mendandan semula wajah sendiri, Blackberry Classic berbunyi nyaring. Bedak kompak diletak ke tepi. Sekali lagi dia meraba-raba tas tangan. Dia membetulkan suara terlebih dahulu setelah melihat paparan nama pada skrin pemanggil.

“Helo, mami!” Suaranya kembali mesra. “Ha’ah… Lisa call tadi,” jawabnya bersopan santun. “Masih kat restoran,” terangnya. Dia mula mengezip tas tangan sebaik bedaknya dimasukkan semula. Dia berjalan ke arah pintu keluar.

“Sekejap lagi.” Suaranya diiringi ketawa halus. Seolah-olah penawar sakit hatinya telah ditemui dengan hanya berbual dengan suara pemanggil bernama mami.

“Doa-doakan kami ya, mami.” Dia meletakkan sebuah harapan. Suaranya bersulam ketawa. Kakinya riang me­langkah semula ke dalam restoran. Matanya kembali bercahaya memberi perhatian kepada lelaki tampan yang duduk bersendirian di meja yang ditinggalnya sekejap tadi. Hati yang meronta-ronta sakit sebelum ini pulih dalam sekelip mata. Bibirnya mengoyak senyuman.

“YOU bawa kereta, kan? Tumpangkan I balik… tadi I datang dengan teksi.”

Faris tidak jadi melangkah. Tiba-tiba tubuhnya menjadi keras. Badannya secara automatik berpusing ke belakang.

“Apa?!” Kedua keningnya hampir bertaut. Matanya singgah sekejap ke wajah Melissa sebelum memandang kiri kanan. Mulut Faris sedikit terlopong. Dia tidak tahu hendak memilih perkataan apa. Hanya tangannya mencekak sebelah pinggang.

Melissa menggigit bibir sendiri. Dia tidak sedar mengeluarkan permintaan itu di depan lelaki seperti Faris.

“M… Mami yang…” Lontaran kunci kereta daripada Faris pantas mematikan ayatnya. Nasib baik juga dia sempat menyambut lontaran itu.

“Kereta aku di B1. Nanti kuncinya beri kepada mami.”

Bulat mata Melissa mendengar butir perkataan Faris. Belum pernah dia mendapat kata-kata dan cara sekeji itu daripada mana-mana lelaki. Sebal rasa hatinya. Mahu saja dia menendang lelaki yang sedang menuju ke pintu lif.

Namun, dia tahu siapa Faris. Faris bukan jenis lelaki romantik dan lemah lembut dengan perempuan. Sudah beberapa kali dia keluar dengan Faris. Melissa memandang kiri kanannya, kalau-kalau ada yang mengesani tindakan dia dimalukan. Mujurlah rakyat Malaysia ini jenis buat tidak kisah.

Melissa memilih menggunakan eskalator sahaja. Dia malu tiba-tiba untuk menggunakan lif. Segan untuk berhimpit-himpit di dalam lif dengan adanya Faris di situ. Ayat terakhir Faris jelas menunjukkan pertemuan mereka telah pun tamat.

Di depan pintu lif, Faris menoleh seketika pada Melissa. Perempuan itu sedang menapak ke arah eskalator ke tingkat bawah. Pintu lif terbuka. Faris tidak jadi memasukinya. Sebaliknya, dia menuju ke pintu masuk utama bangunan. Dia membawa keluar Samsung Galaxy S6. Ibu jarinya bergerak di skrin sesentuh. Nama Zikri dicari dalam senarai call log.

“Zikri, kau dah masuk pejabat?”

“Datang ambil aku sekejap.”

“Ya, sekarang.”

“Aku kat entrance.”

“Okey.”

Faris melepaskan keluhan. Gara-gara perempuan, dia harus menjarakkan hati sebegini rupa. Akibat daripada seorang perempuan juga, dia bukan lagi seperti Faris lima tahun dulu.

“SAJA-SAJA dia tu, Lisa.” Mami June cuba berdiplomasi. Suaranya dilunakkan. “Okeylah, nanti mami ke sana,” janji Mami June. “Jangan ambil hati sangat dengan Faris tu. Dia memang selalu macam tu. Tapi hatinya baik tau, Lisa.” Apa lagi yang mampu Mami June jual? Tentulah dengan perkataan baik itu sahaja untuk Faris. Sedangkan ‘baik’ itu telah beberapa tahun hilang daripada diri Faris.

Setelah beberapa ayat bertukar antara mereka dan berpamitan salam, Mami June menamatkan panggilan. Dia mengeluh kecewa. Nasib baiklah Faris tidak ada di depannya sekarang. Jika tidak, mulutnya ini mahu juga meluahkan kata-kata tidak puas hati.

Adakah patut Faris meninggalkan keretanya kepada Melissa? Dia sedarkah siapa Melissa itu? Dia ingat Melissa itu pemandunya atau mekaniknya? Lama berfikir, Mami June kembali ke dada komputer ribanya.

 

Jururawat Peribadi Wanita Diperlukan

Tugas menjaga seorang wanita yang sedang

koma berusia 57 tahun.

Keutamaan kepada wanita belum berumah tangga.

Waktu bekerja lima hari seminggu (8.00 pagi hingga 6.00 petang).

Tidak perlu memasak dan membuat kerja rumah.

 

Tugasan:

Membersihkan badan ( tukar lampin pakai buang, lap badan, syampu rambut, potong kuku dan beberapa lagi)

Membantu melakukan latihan pergerakan secara berskala setiap hari

Mengawasi keadaan pesakit dari semasa ke semasa.

Gaji : RM900.00 (sebulan)

Pengangkutan : RM10 (sehari)

Kerja lebih masa hujung minggu (Sabtu dan Ahad) : RM7 (sejam)

Makan minum disediakan

 

Masuk kali ini telah tujuh kali dia mengiklankan jawatan sama. Semuanya masih belum mendatangkan hasil. Belum ada seorang pun yang sanggup menyahut cabaran jawatan ini. Hendak menggaji pembantu rumah luar negara, dia kurang yakin. Malah di rumah ini, Mak Jah – pembantu rumah mereka semenjak dahulu lagi tidak pernah bertukar. Hanya disebabkan usia Mak Jah yang tidak lagi segagah dululah, Mami June harus mencari orang lain untuk menjalankan tugas-tugas rutin di kamar kakaknya itu.

Bukannya tidak ada langsung yang sanggup membuat kerja ini. Ada. Malangnya semua sempat bertahan untuk sebulan dua sahaja. Semuanya disebabkan mulut bisa anak saudaranya. Kalaulah ada robot yang boleh buat kerja macam itu, pasti dia tidak berhempas pulas mencari orang. Bila dia merungut begitu di depan anak saudaranya itu, Faris meradang.

Lagi sekali dia membaca iklan yang bakal diiklankan di akhbar nanti. Iklan sama juga dua bulan lepas. Hanya terdapat beberapa tambahan di imbuhan termasuk bayaran kerja lebih masa dan pengangkutan. Segala-galanya untuk menarik perhatian. Lumayan betul sekarang sumber pendapatan kerja di Malaysia.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203283/Nota-Cinta-Origami

[SNEAK PEEK] SALAFI

SALAFI Oleh Shaz Johar

“Abang, you nak tanya I apa lagi? Dah sah-sah ustad salafi tu yang bunuh adik dia. I tau tu semua bukannya kemalangan. Please lah!” Kimk menjeling tajam kepada pegawai polis itu. Rokok yang ada di atas meja, dinyalakan sebatang.

“Awak tau kan tuduhan awak tu berat? Awak tau apa hukumannya orang yang menuduh tanpa bukti?”

“Masuk neraka?” soalnya semula.

“Well, ya, betul… tapi dalam undang-undang kita…”

Dia mendengus, “Ah, undang-undang! Undang-undang Malaysia ni sesiapa je boleh tukarlah, Bang. Undang-undang ikut mood.”

Pegawai polis itu berdehem.

“So you nak bukti apa lagi? Sepanjang Fatihah hidup dalam keluarga tu, dia beritahu I yang dia tak pernah sekalipun rasa happy. You tau tak dia pernah sampai nak bunuh diri sebab stress dengan hidup?”

“Damn, Kim. Kau dah janji jangan beritahu sesiapa hal ni!” teriakku.

“Bunuh diri?” tanya pegawai polis itu semula. Matanya mengecil.

“Yes!”

“Bunuh diri macam mana? Awak pernah nampak?”

“Yes.”

“Kim! Jangan cerita!” tegahku.

“Kat mana?”

“Please, Kim.”

Nafasnya dihela perlahan. Dia memandang ke bawah. “I think I am done speaking,” jawabnya tiba-tiba sambil membetul-betulkan duduk.

“Alright. Kalau awak tak nak cerita kat sini, maybe awak boleh cerita kat court nanti,” kata pegawai polis itu ketika menarik sebatang rokok di atas meja itu juga.

Kimk hanya mengangkat bahu.

Selesai menyalakan rokoknya, pegawai polis itu cuba menanyakan soalan yang lain pula. “Encik Qayyum…”

“Kim, please.”

Pegawai polis itu tersenyum sambil menggosok-gosok hidung. “Awak tau Bukhari tu ada anak yang masih kecil, kan?”

“Ya.”

“Awak sedar tak tuduhan awak boleh buatkan dia terpisah dengan keluarga dia? Kalau dia didapati bersalah, mungkin dia akan meringkuk lama dalam penjara. Atau dihukum mati. Awak boleh bayangkan kehidupan anak kecil dia nanti? Membesar tanpa bapa?”

“Boleh. I pun membesar tanpa bapak. In fact, I tak tau pun siapa bapa I. So?”

Pegawai polis itu merenung tajam.

“Abang, I nak lelaki tu mati. Biar dia dapat balasan yang sama dengan apa yang dia dah buat dekat Fatihah. Faham?” soalnya lagi sebelum mencucuh rokok di jarinya ke ashtray.

──♦──

Lapan bulan sebelum itu.

Esoknya aku pergi ke pejabat seperti biasa. Biasanya Abang yang menghantar dan menjemputku tetapi hari itu aku bekerja syif tengah hari, jadi aku terpaksa berjalan untuk menaiki tren.

Aku baru sebulan bekerja di situ, sebuah syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan keperluan rencam dan perkhidmatan pelanggan. Seminggu pertama bekerja, aku dilatih dan diperkenalkan dengan ciri-ciri dan tugas asas. Tugasku mudah, hanya melayan kerenah pelanggan yang kaya di telefon, periksa akaun dan uruskan segala permintaan bodoh mereka. Hari pertama aku dilatih bagaimana menggunakan sistem. Hari kedua dan ketiga, aku diajar pula tentang servis dan produk. Hari keempat dan kelima, aku sudahpun berada di ‘call floor’, duduk di sebelah pekerja senior, menyaksikan bagaimana mereka melayan panggilan.

Aku dipasangkan dengan Kimk. Pekerja contoh, kata bos. Juga seorang pelakon yang hebat, kata-kata rakan sekerja lain. Mulutnya manis ketika di talian, sehalus sutera nadanya, tetapi setiap kali dia menekan butang mute atau hold, dia akan menyumpah-seranah pelanggan itu. Dan sebaik saja talian bersambung semula, automatik suara halus manjanya menjelma.

Aku perhatikan dia memang begitu saban hari, tidak pernah gembira dengan apa yang dilakukan. Kata Kimk, niatnya bekerja di situ hanya untuk mengumpul duit untuk membesarkan buah dada dan membetulkan hidung di Bangkok. Apabila cita-citanya tercapai nanti, dia akan mula mencari kerja di bidang lain pula.

Aku doakan semoga dia berjaya.

Dia seorang yang lucu. Tidak pernah kami semua, rakan sepejabat, tidak terhibur dengan kehadirannya. Jika dia bercuti atau tidak hadir, aku rasa seolah-olah satu bangunan itu seperti diserang garuda. Dia sering mengajarku cara bekerja dengan betul. “Nok, bos nak kau datang on time je hari-hari. Lepas tu, jangan amik MC. Kau stay back sampai tengah malam pun, tapi kalau kau datang lambat, MC, kau ingat dia nak pandang ke usaha gigih kau tu?” pesannya. “Lepas tu segala mak bapak claim, OT ke, taxi ke, mileage ke, claim betul-betul. Kau kena simpan satu copy. Kau jangan percaya sangat dengan HR tu. Dia orang tu kerja nak berangaaaan je… plus, dia orang bukannya jaga claim kau sorang, so chances nak buat silap tu banyak,” tambahnya cuba memberikan tips.

Dia juga suka menceritakan tentang perihal seorang demi seorang rakan sekerja. Yang mana yang kena dijaga, yang mana yang harus diperhati, yang mana yang perlu dirapat, dibodek atau dielakkan. Dia tidak mahu aku terjebak dalam kumpulan yang salah.

“Kat sini kau buat hal kau dah. Siapkan kerja kau, balik. Esok, start hari baru. Tak payah nak pening-pening dengan hidup orang lain. Kalau kau tak puas hati, kau email kan je kat bos. Tapi satu je aku nak pesan, bos bukannya suka sangat pun kalau kau rajin e-mail dia. Kau kena tunjukkan jugak yang kau rajin buat kerja. Orang yang kaki komplen macam Chan ni, tapi kerja sendiri pun to the sea, kuat tidur, mak pun rengsa, nyah! Eh, tersebut nama pulak,” guraunya walaupun Chan ada di sebelah waktu itu.

Chan hanya menjeling. Dia memang kaki tidur, dengkurnya boleh terdengar hingga ke pejabat sebelah.

Hari itu sewaktu aku melangkah masuk ke dalam pejabat, aku lihat tempat duduk di sebelahnya kosong. Tempat duduk kami di dalam pejabat itu sering bertukar. Sistem itu dipanggil hot seat kerana konsepnya bebas, terpulang kepada sesiapa yang mahu duduk di mana asalkan kerja mereka langsai. Ada juga yang suka book tempat duduk sendiri walaupun perbuatan itu dilarang. Kebiasaannya pekerja senior yang suka membuat perangai begitu.

Kata Kimk, “Kau persetankan saja mereka. Yang penting kau log-in on time. Tak payah nak tawaf satu ofis ni cari tempat duduk semata-mata nak jaga tempat orang. Kau rebut je mana yang kosong. Kalau orang tu bising, kau beritahu bos. Simple.”

Dan aku simpan kemas nasihatnya itu jauh di lubuk hati.

“Ada sesiapa yang duduk kat sebelah kau?” soalku ketika meletakkan beg di bawah meja.

“Tak,” jawab Kimk sambil mencabut earphone di telinganya. Telefon bimbitnya disorokkan di celah pahanya yang tebal. Kami tidak dibenarkan bermain telefon bimbit ketika bertugas tetapi tiada seorang pun yang patuh pada peraturan itu.

“Banyak call?”

“OK lah. Manageable.”

“Siapa MC hari ni?”

“Seperti biasa Joseph, Raja MC. Dengan Tasha, wanita no show. Dah dua hari dia no show tapi kau tengoklah, esok dia datang, mulalah dia keluarkan drama dia. Mak sakitlah, datuk meninggallah, masuk hospitallah. Tak faham!” Dia menjeling.

“Dulu kat tempat kerja lama aku, kalau dua hari no show dah consider self-termination dah. Kenapa kat sini dia orang tak kena buang lagi?”

“Bos kau kan maha penyayang?”

Aku mengangguk. “Pastu susahkan yang lain sebab kena cover kerja orang yang tak datang ke camna?”

“Ha, macam tu lah nampaknya.”

“Kau orang tak komplen ke?”

“Nok, dah berbuih dah mulut aku ni komplen. Setiap meeting cerita benda yang sama je. Malas dah aku. Lagipun kau ingat lipstick Kylie yang aku pakai ni murah ke kalau kerja aku nak membebel je?”

Aku tersenyum. Walhal setiap hari memang kerjanya membebel pun di telefon. “Mak kau camne? Dah OK dah?”

“Dah OK dah. Akak aku ada tolong jaga dia. Eh, kau ni dah log-in ke belum? Dah pukul berapa dah ni?”

Ya tak ya juga, leka berbual kadang-kadang buat aku lambat log-in. Lambat log-in bermaksud aku lambat memulakan tugas. Tiga kali lambat memulakan tugas aku bakal dikenakan coaching letter.

Lalu cepat-cepat aku menukar status di sistem telefon itu kepada Agent Available.

“Golden Card Services, my name is Farrah, how can I assist you?” ucapku pada panggilan pertama yang tiba-tiba masuk.

──♦──

Waktu makan aku dijadualkan sekitar pukul 4 petang. Hari itu sekali lagi aku keluar sendirian kerana yang pertama, aku malas hendak menunggu orang lain untuk keluar bersama-sama. Kedua, aku malas mahu mengikut kerenah mereka ke hulu ke hilir membuang masa. Ketiga, aku memang lebih senang seorang diri. Dan keempat, aku mahu ke kafe Ali untuk mendapatkan pumpkin pie percuma seperti yang dijanjikan.

Aku keluar selepas selesai menjawab panggilan seorang pelanggan yang mahu aku aturkan limosin mewah dari lapangan terbang untuk pulang ke rumahnya. Pelanggan itu seorang selebriti tanah air, bekas pelakon 90-an yang telah pun mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki kaya. Orangnya cantik, sentiasa lemah-lembut di telefon.

Sebelum masuk ke kafe Ali, sempat aku singgah ke dalam tandas dahulu. Aku mahu sapukan gincu Maybelline yang aku beli dari Watsons untuk kelihatan lebih berseri. Itu saja alat mekap yang aku reti guna selain bedak. Jangan disuruh aku tampalkan muka dengan foundation, blusher ataupun maskara kerana aku memang fail. Kening pun aku biarkan saja tebal tidak berusik. Sering juga Kimk memarahiku kerana tidak menarah kening sepertinya tetapi aku bimbang Abang mengamuk jika dia terlihatnya nanti.

Bukankah mencukur kening itu satu dosa?

Seperti biasa kafe Ali kelihatan sibuk ketika aku melangkah masuk. Aku tercari-cari juga Ali tetapi dia tiada di situ. Hati berkira-kira sama ada mahu terus beratur membeli roti dan kopi atau pergi saja ke gerai berhampiran untuk membeli nasi campur, tapi baru saja aku membuat keputusan untuk keluar, kedengaran satu suara lembut menyapa dari belakang.

Aku tersenyum sebelum berpaling.

“Awak boleh duduk dulu. Kejap lagi saya hantar pesanan awak,” kata Ali.

“Saya belum pesan apa pun lagi,” jawabku cuba mengawal suara dengan ayu.

“Tak apa. Saya dah buat something special untuk awak,” balasnya sambil mengangkat kening.

Dengan hati yang berbunga-bunga, aku mencari tempat duduk selepas itu. Aku tidak tahu apa sajian istimewa yang dibuatnya tetapi terus-terang aku katakan yang aku cukup teruja diperlakukan sedemikian rupa. Bukan apa, perempuan kampung macam aku memang jarang-jarang dipandang istimewa oleh orang lain, apatah lagi lelaki kota seperti dia.

Lalu aku memilih untuk duduk di sebuah meja kosong di tepi tingkap. Panas sedikit kerana tepat dipancar sinar mentari tetapi hanya itu meja yang belum bertuan. Sambil menunggu, aku terus termenung, berangankan tentang lelaki itu dan apa lagi yang kurang dengannya. Wajahnya manis, tutur katanya lembut, apa tidak sesuaikah untuk aku jadikan teman lelaki sendiri?

Kemudian belum jauh lamunan itu melayang, wajah Abang datang menyergah di tengah-tengah. Dia kelihatan cukup serius memandang Ali dan aku dari atas ke bawah. Dari riaknya aku tahu dia tidak setuju dengan pilihan aku. Aku dapat rasakan yang dia menganggap Ali masih belum cukup bekalan agama untuk membimbing aku dan keluarga kami nanti ke syurga.

“Excuse me. Jauhnya termenung…” sindir Ali sambil membawakan sedulang pumpkin pie dan ice blended mango ke depan muka.

“Sedapnya nampak… berapa ni?” soalku semula, berpura-pura terkejut.

“On us. Don’t worry about it.”

“Thanks.”

“Happy belated birthday. Makanlah. Saya nak gi layan customer lain, jap.”

“OK,” jawabku ringkas, memandang saja dia pergi. Bontotnya yang kecil itu berlenggang sedikit ketika melangkah, membuatkan aku tersengih. Comel.

Ali tidak datang selepas hampir sejam aku duduk di meja itu. Aku tidak salahkan dia kerana pelanggan terlalu ramai, jadi aku faham jika dia terpaksa memberi layanan yang lebih kepada orang yang berbelanja daripada aku yang makan secara percuma saja.

Setelah waktu rehatku tinggal lima minit saja lagi, aku cuba mengangkat tangan untuk memanggilnya. Aku tidak mahu terlambat masuk dan dalam masa yang sama aku juga tidak mahu terus pergi tanpa mengucapkan terima kasih.

Tetapi dia tidak perasan. Sekejap dia berlari ke dapur. Sekejap dia ke belakang kaunter. Sekejap lagi dia hilang. Kerana tidak mahu terus menunggu, aku tinggalkan saja piring dan mug yang telah kosong di atas meja begitu saja. Aku pandang sekali lagi ke belakang sebelum melangkah keluar tetapi kelibatnya masih tiada di situ.

Dengan hampa, aku berlalu pergi.

──♦──

Malam, selepas syifku tamat, aku sekali lagi berjalan ke kafe itu. Entah kenapa selepas masuk semula ke pejabat tadi hatiku rasa lain macam, antara rasa bersalah dan kempunan kerana tidak dapat berbual lama dengan Ali. Aku mahu tahu lebih lanjut tentang dirinya, tentang asal-usulnya dan yang paling penting, apakah dia masih belum berpunya kerana aku tak mahu merampas hak orang.

Dalam hati berharap sangat agar status kami sama: masih bujang dan sedang mencari.

Di dalam lif, sekali lagi aku sapukan gincu dan bedak sedikit ke wajah biar nampak segar. Aku tidak mahu kelihatan kusam setelah seharian bekerja. Minyak wangi Dato Vida yang aku beli dari rakan sekerja disembur ke seluruh badan biar wangiannya melekat. Setiba di bawah aku terus mengatur langkah ke kafe itu dengan satu niat, semoga Ali masih belum habis bekerja.

Aku intai kafe itu dari jauh. Hanya ada seorang dua pekerja di kaunter dan tiada seorang pelanggan pun. Dia aku lihat sedang tekun mengemas kini buku log panjang warna biru gelap.

“Assalamualaikum,” panggilku.

“Waalaikumsalam… eh hai… ada apa yang boleh saya bantu?” soalnya semula dengan tersenyum meleret.

“Tak ada apa-apa. Saya nak ucap terima kasih je.”

“Pasal?”

“Pasal lunch tadi.”

“Ah, no problem la. Kan saya dah kata saya nak belanja…”

Aku tersenyum. “Pukul berapa balik ni?”

“Nak baliklah kejap lagi ni. Awak?”

“Dah balik dah.” Abang telah beritahu tidak dapat menjemputku pulang malam itu, jadi aku terpaksa balik sendiri naik tren.

“Terus balik ke? Tak gi mana-mana?” soalnya.

Aku menggeleng. “Tak taulah. Macam malas nak balik tapi laparlah pulak…” Sengaja aku berikan jawapan sebegitu dengan harapan dia akan berkata, “Jomlah kita pergi makan? Saya pun lapar…”

Tetapi sangkaanku meleset. Dia sebaliknya berkata, “Malam ni tunang saya nak belanja saya makan. Hari ni hari jadi saya.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203221/salafi

[SNEAK PEEK] NASI LEMAK IKAN PEKASAM

NASI LEMAK IKAN PEKASAM Oleh Ahmad Safarman

KISAH AIMAN membawa katak ke sekolah mendapat pelbagai reaksi cikgu-cikgu di situ. Ada yang khusyuk bercerita. Ada yang diam membisu. Ada yang memasang telinga saja. Bahkan ada yang sedikit pun tidak ambil tahu. Bagi mereka itu perkara biasa yang mereka jumpa. Ada lagi kisah murid yang lebih teruk daripada itu.

Mungkin sebagai cikgu baharu, Cikgu Ezudin menganggap itu adalah satu perkara luar daripada kebiasaan. Sebaliknya, guru-guru lain mengatakan itu perkara biasa. Tak ada apa yang istimewanya. Biasalah murid sekolah. Nakal dan degil ibarat isi dengan kuku.

Itu mereka tapi tidak bagi Cikgu Ezudin. Bahkan sebagai denda, dia telah menyuruh Aiman ketuk ketampi dan melompat macam katak. Bahkan di buku tulisan, mengarahkan menulis perkataan katak sebanyak dua muka surat. Itu sebagai pengajaran.

“Cikgu ni tak biasa dengan kehidupan kampung. Biasalah tu mereka membawa katak ke sekolah,” tegur Miss Marsha selaku guru Bahasa Inggeris berasal dari Sarawak itu.

“Tapi, apa mereka buat dengan katak itu?”

“Cikgu, tu perkara biasa saja kat sini. Tu belum tengok kes bawa lastik, batu, botol, biji getah, ikan pelaga, cicak ke sekolah.” Miss Marsha tersenyum.

“Cicak pun ada ke? Tapi apa mereka buat dengan semua tu? Apa mereka buat kat katak tu? Bukannya boleh makan.” Cikgu Ezudin bertanya bagaikan orang bodoh. Dia betul-betul tak tahu. Sukar menduga perangai anak muridnya.

Guru-guru lain seakan tergelak dengan jawapan itu. Sambil memeriksa buku, mereka tetap mencelah untuk menghangatkan perbualan. Menceritakan kepada cikgu baharu itu akan rentak dan langkah murid-murid di sekolah itu. Cikgu Ezudin masih lagi kebingungan.

“Tak apalah. Cikgu masuk kelas nanti, tanyalah. Apa mereka buat dekat katak tu? Apa mereka buat pada haiwan lain? Banyak kepentingan katak ni kepada murid sekolah. Bahkan ada yang tak boleh hidup tanpa benda-benda macam tu.” Miss Marsha memujuk lembut.

Sesekali dia berpaling ke arah cikgu-cikgu lain. Ada yang tertunduk. Ada yang tersengih. Ada yang tersenyum sinis.

“Nak buat eksperimen subjek Sains ke?” soal Cikgu Ezudin lagi.

“Hahaha!” Sekali lagi Cikgu Ezudin digelakkan oleh rata-rata guru. Ada yang menyampuk kuat. Ada yang tersenyum saja. Ada yang menggeleng kepala. Cikgu Ezudin merasakan dia dimalukan. Semakin ditanya semakin kuat gelak ketawa.

“Cikgu, masa saya mengajar di sekolah di Kapit satu ketika dulu macam-macam lagi berlaku.” Miss Marsha menyambung cerita. Mata guru-guru terarah kepada guru Kristian itu.

“Apa yang berlaku?” Cikgu Ezudin bertanya. Cikgu lain memasang telinga. Agak menarik bunyinya.

“Masa tu saya mengajar kat Kapit. Murid-murid begitu kampung dan jakun sekali. Rata-ratanya murid Kristian macam saya. Ada beberapa orang saja murid Melayu. Ketika itu pertengahan tahun persekolahan. Dan guru besar sedang menerima hadiah daripada murid-muridnya.”

“Hari Guru ke?”

“Ya cikgu. Ni kisah Hari Guru.”

“Wah, mesti hebat cerita kamu ni Marsha.” Guru yang lain bersuara.

Cikgu Ezudin memandang tepat ke arah guru yang masih bujang itu dan selalu disindir dengan gelaran andartu. Umur sudah mencecah 30 tahun, masih tak kahwin-kahwin lagi. Cantik memang cantik. Kulit putih gebu. Menunggu putera kayangan agaknya. Teringat dia akan bekas kekasihnya, Fatin di Kuala Lumpur.

“Salmi, anak kepada seorang pemilik kedai bunga memberi guru besar hadiah. Guru besar menggoyangkan kotak hadiah itu. Memegangnya di atas kepala, dan berkata, aku yakin aku tahu apa ini. Beberapa kuntum bunga? Itu benar, tapi bagaimana cikgu tahu? Salmi bertanya. Oh, hanya meneka, kata guru besar.

Murid berikutnya ialah anak perempuan kepada seorang pemilik kedai manisan. Guru besar memegang hadiah itu. Menggoyangkannya dan berkata, saya yakin saya boleh meneka apa ini. Sebuah kotak yang penuh berisi gula-gula? Itu benar, tapi bagaimana cikgu tahu? tanya murid itu. Oh, hanya meneka, kata guru besar. Guru besar itu mengucapkan terima kasih.

Hadiah berikutnya adalah daripada anak seorang pemilik kedai minuman keras. Guru memegang kotak hadiah itu, tapi kotak itu bocor. Dia menyentuh setitik kebocoran itu dengan jarinya dan menyentuh ke lidahnya.

Apakah anggur? Guru besar itu bertanya. Tidak, jawab anak murid itu dengan gembira. Guru mengulanginya. Mengambil cairan daripada kotak yang bocor itu ke lidahnya. Apakah champagne? dia bertanya. Tidak, jawab anak murid itu dengan lebih lebar senyumannya.

Guru besar merasai cecair itu lagi sebelum menyatakan, saya menyerah kalah. Apa di dalam bungkusan ini? Anak murid itu menjawab, itu anak anjing!”

“Hahahaha! Sangat kelakar la cerita kamu ni Miss Marsha.” Guru-guru di situ memuji cerita yang disampaikan itu. Cikgu Ezudin ketawa dengan kuatnya. Bilik guru menjadi kecoh seketika.

“Jadi guru besar itu sudah merasa air kencing anjinglah ya? Hahaha!” Cikgu Ezudin ketawa besar. Guru-guru lain menyambung ketawa.

“Tak sanggup! Tak sanggup!” Guru-guru perempuan bersuara dan menunjukkan reaksi muka masing-masing.

“Kalau terkena kat saya, mahu saya sembelih pelajar itu!” Cikgu Ezudin melepaskan keluhan. Dia ketawa. Sekali-sekala dia membetulkan tali leher yang dipakai. Sedikit panas.

“Jadi, Cikgu Ezudin rasa cerita kamu dengan cerita saya mana lagi hebat? Setakat katak tu saya tak hairan.”

“Dengar tu apa Miss Marsha cakap tu, cikgu. Selaku orang berpengalaman. Banyak cerita. Belum ada yang bawa anjing lagi bagi hadiah kat cikgu kan? Saya harap lepas ni cikgu tak terima hadiah katak!” Ustaz Fakri yang diam dari tadi mencelah. Membuatkan suara ketawa lagi kuat bergema.

Cikgu Ezudin pura-pura ketawa. Tapi hatinya sedikit panas. Mungkin ini caranya kaedah buli yang digunakan oleh guru lama kepada guru baharu sepertinya.

“Cikgu teguhkanlah keperibadian anda. Setiap orang adalah berbeza. Anda merupakan sesuatu yang lain daripada yang lain.” Terdengar suara lembut bersuara. Cikgu Ezudin hanya memerhati tuan punya suara itu. Begitu cantik sekali.

“Tidak seorang pun yang menyerupai kita dalam catatan sejarah kehidupan ini. Belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan kita. Dan tidak akan pernah ada orang yang akan serupa dengan kita di kemudian hari. Jadi, kalau anak murid cikgu degil, terimalah keunikan dia.” Ustazah Humaira menyambung lagi. Dari tadi lagi dia asyik mendengar saja. Kali ini dia bersuara. Mungkin untuk memberi sedikit nasihat kepada Cikgu Ezudin.

“Betul cakap ustazah tu, cikgu. Jadi cikgu jangan melenting tak tentu fasal. Kalau cikgu tengah panas, cubalah minta hadis-hadis atau doa penenang hati daripada ustazah kita ni.” Ustaz Fakri mengusik. Cikgu Ezudin memerhati ke arah Ustazah Humaira yang memberikan sekuntum senyuman. Dia membalasnya. Guru-guru lain mula cuba mencipta gosip baharu.

“Kalau rapat dengan ustazah, suami dia tak marah ke?” jujur Cikgu Ezudin bertanya.

“Hahaha! Jangan risau, suami dia tak marah. Bahkan suami dia suka lagi.” Ustaz Fakri mengusik lagi membuatkan guru-guru sekali lagi ketawa besar.

“Lagi elok, kata suaminya.” Miss Marsha mencelah. Diikuti gelak ketawa. Cikgu Ezudin kebingungan.

“Saya masih cik la. Saya mana ada suami lagi.” Ustazah Humaira yang bertudung labuh berwarna merah jambu itu malu-malu. Merah juga muka Cikgu Ezudin dengan jawapan itu.

“Cikgu ni jangan tertekan sangat. Apa kata cikgu pergi jalan-jalan kat sini. Kat pekan Gerik ke?” Ustaz Fakri cuba lari daripada topik. Dia tidak mahu daripada gosip berlakunya fitnah. Daripada fitnah berlakunya pergaduhan.

“Oh, saya tak sempat lagi melawat kawasan di sini. Saya tak tahu lagi apa itu pekan Gerik. Menarikkah?”

“Menariklah cikgu. Kalah Kuala Lumpur. Kalah Dataran Merdeka.” Miss Marsha memberitahu.

“Ya ke? Tak apalah, nanti saya sendiri pergi tengok.”

“Cikgu, Gerik merupakan bandar yang terletak di tengah-tengah perjalanan dan kedudukannya amat strategik sama ada anda dari arah utara, timur, selatan atau barat Semenanjung Malaysia.” Ustaz Fakri cuba menerangkan dengan penuh semangat.

Bagaikan mengajar anak murid di dalam kelas. “Ustaz, kalau ikutkan, dulu saya pun tak tahu apa itu Gerik. Tapi selepas datang sini saya ada la baca sikit sejarahnya.”

“Apa yang cikgu tahu?”

“Kira-kira seratus tahun dahulu, tempat yang sekarang bernama Gerik itu masih diliputi hutan belantara dan masih terletak di bawah pemerintahan Raja Reman. Dalam tahun 1870, beberapa orang telah datang dari Patani mengikut Sungai Hangai, lalu meneroka hutan di kuala sungai tersebut untuk dijadikan kampung. Mereka diketuai oleh seorang tuan bernama Tok ‘Ad,” terang Cikgu Ezudin.

“Betul tu cikgu. Ni mesti banyak membaca.”

“Saya buat sedikit pembacaan sebelum datang ke sini, ustaz.”

“Ceritalah lagi, cikgu.” Miss Marsha ingin tahu. “Tidak berapa lama selepas itu, Raja Reman yang bernama Tuan Jagong datang memburu gajah di Gunung Tujuh berhampiran dengan Kuala Kenderong. Baginda mendengar cerita bahawa tidak jauh dari situ ada perkampungan yang terletak di tengah-tengah hutan. Ketika Raja Reman menghampiri kampung tersebut, baginda mendengar suatu bunyi yang ganjil terbit dari perdu serumpun buluh.” Cikgu Ezudin menyambung lagi.

“Bunyi apa yang ganjil tu?” Ustazah Humaira yang berasal dari Kelantan juga turut bertanya. Topik berilmu seperti ini begitu menarik minatnya. Mana tahu dia boleh menceritakan kepada murid-murid nanti. Dalam masa yang sama juga dia ingin menambah ilmu.

“Kemudian baginda memerintahkan supaya dipagarkan keliling perdu buluh itu dengan sasak dan menyuruh orangnya menggali di situ untuk mengetahui apakah benda yang mengeluarkan bunyi yang ganjil itu. Setelah habis digali hingga ke pangkal perdu buluh itu, maka kelihatanlah berpuluh-puluh ekor dekan sedang mengerit umbi buluh. Oleh kerana umbi buluh itu sangat keras, maka terbitlah bunyi yang ganjil apabila digerit oleh dekan-dekan itu.”

“Oh, sebab itulah dia dipanggil Gerik? Tapi siapa yang menamakan tempat ini dengan nama tu?” tanya guru yang lain.

“Cikgu, Gerik ni sebenarnya Raja Reman telah menamakan sebagai Kampung Gerit. Sebutan ‘Gerit’ itu telah digunakan beberapa lama dan kemudiannya sebutan dan ejaannya diubah daripada ‘Gerit’ menjadi ‘Grik’, kemudian menjadi ‘Gerik’ seperti yang digunakan sekarang.” Tambah Ustaz Fakri.

“Ustaz, dekan tu apa ek? Tak pernah dengar pun?” Ustazah Humaira bertanya lagi.

“Sejenis haiwan seakan-akan tikus. Sekarang masih boleh ditemui di Hutan Belum.” Ustaz Fakri cuba menerangkan. Biar semua tahu. Ilmu harus dikongsi. Sejarah harus dihayati. Dikenang sepanjang zaman buat generasi akan datang.

“Takutnya saya dengan tikus. Geli!” Miss Marsha mencebikkan mukanya.

“Sekarang Gerik telah membangun dengan pesat dan banyak kemudahan, bangunan-bangunan kedai, pusat membeli-belah, serta kawasan-kawasan perumahan baharu telah wujud. Gerik terletak di tengah-tengah lebuh raya yang menghubungkan Butterworth dan Kota Bharu.” Ustaz Fakri meneruskan penceritaan. Ternyata ramai lagi yang tidak tahu tentang sejarah Gerik. Orang Gerik sendiri pun tidak tahu apatah mereka yang duduk di luar.

“Macam tu ke ustaz? Wah, ada sejarah tersendiri Gerik ni. Satu ilmu yang saya dapat hari ini. Tapi ustaz, pernah tak Aiman bawa dekan ke sekolah?” Cikgu Ezudin bertanya. Nada suaranya kali ini lembut. Teratur sekali. Takut benar tersalah cakap. Takut dipersendakan kawan-kawan.

“Hahaha! Kamu ni. Aiman tu budak kampung. Budak hutan. Bukan setakat benda tu je dia bawa. Macam-macam lagilah. Pernah sekali dia bawa beruk ke sekolah.” Ustaz Fakri memulakan cerita.

“Beruk?” Cikgu Ezudin ternganga. Namun dia cepat-cepat menutup. Takut andai cikgu-cikgu lain perasan.

Ustaz Fakri mengiakan, “Ya, dia tambat di belakang sekolah. Apabila duduk dalam kelas dia akan jenguk-jenguk ke luar kelas. Dia tengok beruk dia sedang buat apa.”

“Macam-macam.” Cikgu Ezudin melepaskan keluhan.

“Kalau cikgu nak tahu lagi tentang jalan di Gerik ni ataupun Tasik Banding, cikgu boleh tanya Ustazah Humaira. Dia setiap bulan balik ke Kelantan. Dia orang Kota Bharu. Orang Pasir Tumbuh. Nanti bolehlah ustazah tunjukkan jalan ke tasik tu. Nak balik ke rumah ustazah pun boleh,” usik Miss Marsha sambil memandang Ustazah Humaira. Ustazah Humaira hanya tersenyum menerima gurauan itu.

“Tasik Banding? Cantik ke?”

“Sebab tu la saya suruh cikgu pergi. Kalau cikgu tengok tasik tu sah-sah cikgu tak nak balik. Cantik dan mendamaikan.” Miss Marsha menerangkan lagi. Cikgu Ezudin terbayang-bayang akan keindahan Tasik Banding itu. Adakah secantik Tasik Titiwangsa atau Tasik Permaisuri? Suatu hari nanti dia mesti pergi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185111/nasi-lemak-ikan-pekasam

[SNEAK PEEK] GADIS BERTUDUNG MERAH

GADIS BERTUDUNG MERAH Oleh Jill Naura

DIA DUDUK di situ sendirian, tanpa mahukan teman. Buat pertama kali dalam hikayat hidupnya, dia seronok tidak berteman. Terasa tenang tanpa gangguan sesiapa. Komputer riba yang terletak kemas di dada meja di hadapannya ditenung kosong. Nafsu untuk melangsaikan tugas kerja bagaikan mati tidak bernyawa. Dirinya juga bingung. Sedangkan deadline kian hampir.

“Kau termenung kenapa?” sapa Joey dengan satu tepukan lembut di bahunya. Segera dia tersentak. Terkebil-kebil dia melihat kawan karibnya itu yang tiba-tiba muncul di hadapannya tanpa sebaris ucapan salam.

“Aku menung tunggu kau la,” jawab Idzrie spontan. Komputer ribanya segera ditutup dan pelayan kafe yang dia kenal sebagai Jack dipanggil. Pesanan minuman diambil sebelum memulakan bicara antara mereka.

“Lama tak jumpa kau. Apa khabar kau sekarang?” soal Joey setelah selesa melabuhkan punggungnya di hadapan tempat duduk Idzrie.

“Aku sihat. Steady je macam dulu,” jawab Idzrie ringkas.

“Punyalah kita lama tak berjumpa, khabar kau sihat je?”

“Kau tak suka aku sihat? Aku taulah aku tak sihat macam kau.” Kali ini Idzrie pula bergurau. Kalimah itu diluahkan dengan mata memandang tubuh Joey yang kelihatan lebih berisi berbanding dulu. Joey hanya tersengih sumbing.

“Orang gembira memang macam ni,” luah Joey yang masih belum lekang dengan senyuman. Hatinya yang berbunga terpancar di wajahnya yang berseri-seri.

Dalam waktu yang sama, dia menghulurkan satu sampul kepada Idzrie. Idzrie senyum. Dia tahu apa yang berada di dalam sampul itu. Pun begitu, sampul itu tetap dibuka dan kandungannya dibaca.

“Tahniah. Nak kahwin dah kawan aku sorang ni,” ucap Idzrie. Satu tepukan mesra hinggap di lengan Joey. Dia sendiri bagaikan tidak percaya hari yang pernah mereka bincang sewaktu belajar dulu tiba untuk Joey dahulu. Joey tersipu-sipu.

“Kau bila lagi?”

“Aku lambat lagi. Relaks dulu,” jelas Idzrie selamba. Minuman coklat panas yang dipesannya tadi dikacau-kacau tanpa tujuan, cuba menyorokkan hakikat yang terbuku dalam hati.

“Kau dengan Mona macam mana?” Dengan sengaja soalan itu diluahkan daripada mulut Joey. Ingin benar dia mengetahui perkembangan terkini tentang diri Idzrie.

“Aku dengan dia dah habis.” Tenang sahaja ayat itu dimuntahkan. Tak ada walau sekelumit pun rasa hiba terselit di suaranya.

“Kau buat perangai ke dia buat perangai?” Joey ingin merisik punca.
Idzrie membisu tanpa sebarang kata. Matanya tajam merenung pemandangan di luar kafe. Dia bagaikan terpukau pada sesuatu.

Joey mengalihkan pandangannya ke arah yang sama. Namun, dia belum pasti arah tujunya. Terlalu banyak perkara yang boleh diperhatikan. Joey akhirnya melambai-lambaikan tangannya di hadapan muka Idzrie untuk mendapatkan kembali perhatian rakannya itu.

“Kau tengok apa?” Joey aneh akan sikap Idzrie yang serba tidak kena. Sejak tadi Joey merenung raut wajah Idzrie yang keruh tidak bermaya. Sensitif sangatkah soalan aku tadi tu? Sampai dia ni mengelamun tak menentu? Persoalan itu hanya mampu bermain dalam minda Joey sahaja.

Idzrie mengerling seketika ke arah Joey sebelum kembali memandang ke luar. Kerlingan itu sekadar isyarat dia mendengar setiap bibit perkataan yang diluahkan Joey. “Aku tengok perempuan tu,” jawab Idzrie tanpa menudingkan jarinya. Hanya lirikan matanya menjadi pembayang kepada teka-teki yang masih belum terjawab pada Joey.

Joey mengerutkan kening tanda hairan namun tetap juga dia menoleh untuk melihat.

“Yang bertudung lilit warna merah tu.” Idzrie membisikkan pembayang kedua.

Pantas pandangan milik Joey menangkap kelibat yang dimaksudkan itu. Dia meneliti gadis kemas bertudung merah itu. Tidak dinafikan, dia turut terpegun dengan gadis tersebut. Bahasa tubuhnya menggambarkan dia seorang gadis yang tegas tetapi ada lembutnya. Blaus berwarna putih bercorak geometri kemerahan dan skirt labuh berona hitam yang dipadankan tampak anggun dengan kaki yang beralaskan kasut but platform sederhana tinggi. Selesai menelaah penampilan, Joey beralih pula pada wajah gadis yang berdiri di hadapan butik pakaian Muslimah yang bertentangan dengan kafe itu.

Wajah gadis itu memang tidak kurang cantiknya. Joey meneka gadis itu kacukan Cina kerana sepasang matanya yang kecil itu tidak sepet. Anak matanya pula besar seperti anak patung. Dengan bibir yang mongel dan kulit yang putih gebu, dia memiliki wajah persis pelakon Korea. Tapi, raut wajah itu kelihatan seperti biasa dilihatnya. Apabila memori tentang gadis tinggi lampai itu mula menyapa, dia ternganga sendiri. Idzrie yang masih khusyuk memerhatikan gadis itu dilihat dengan ekor matanya.

“Kau minat budak tadi tu eh?” Joey bertanya setelah gadis itu berlalu.
Idzrie tersipu-sipu mengangguk.

“Sejak bila?” Joey bertanya lagi. Dirinya dibaluti perasaan ingin tahu.

“Sejak setahun yang lalu,” luah Idzrie selamba. Hakikatnya, dia cuba menyembunyikan perasaan yang bergelojak dalam jiwanya. Rasa teruja apabila dapat menceritakan perasaannya terhadap seseorang kepada orang lain setelah lama perasaan itu dipendam.

“Setahun???” Joey terkejut beruk. Matanya terbeliak kurang percaya akan fakta yang dijelaskan oleh Idzrie. Sahabatnya yang dikategorikan sebagai hunk itu selalunya jaguh dalam perihal memikat wanita. Manakan tidak, dia memiliki paras rupa yang menawan; bersama sepasang anak mata yang bundar dan hidung mancung dengan kulit yang cerah bercahaya. Sekujur tubuh yang tegap dan tinggi menambahkan lagi ciri-ciri kelakian anak kelahiran Melaka itu. Dengan ciri-ciri fizikal sebegitu, siapa yang boleh menafikan kemampuannya untuk mencairkan hati kaum Hawa.

“Who are you? What did you do to my bestfriend?” soal Joey. Jelas dalam nada suaranya dia sukar mempercayai kenyataan yang diluahkan oleh salah seorang insan yang paling dia percayai dalam hidupnya.

Idzrie ketawa kecil. Dia sudah menyangka reaksi sebegitu akan dia terima.

“Kau putus dengan Mona sebab dia ke? Kalau ya, kau memang gila. Kalau kau dah dapat dia lainlah cerita walaupun kalau kau buat macam tu kau memang teruk!” omel Joey lebih pada dirinya sendiri. Idzrie mengerutkan keningnya. Sepatah pun dia tak faham kata-kata Joey. Ayat tunggang terbalik!

“Kau membebel apa? Aku dengan Mona putus dengan aman la. Aku tak menduakan dia, dia pun tak menduakan aku. Dia putus dengan aku sebab dia setuju dengan lelaki pilihan keluarga dia,” terang Idzrie cuba membuang sangkaan buruk Joey.

“Kau tak sedih?” Bebola mata Joey merenung tajam mata Idzrie cuba mencari bibit-bibit kedukaan yang mungkin sedang disorokkan oleh rakannya itu. “Sedih tapi tak la frust menonggeng. Kalau dia tak minta putus pun, mungkin esok lusa aku yang akan minta putus dengan dia. Sebab hati aku dah dicuri orang lain. Time aku tengah cari kekuatan untuk putus dengan dia, dia yang minta putus dengan aku dulu. So, kira okeylah. Dia tak perlu tahu perasaan aku padanya dah hilang.” Panjang lebar Idzrie berhujah.

“Habis yang kau masih berseorangan di sini setelah hatimu dicuri sang puteri rembulan bertudung merah tu kenapa? Kau nak Mona ingat kau frust menonggeng ke?” bebel Joey dengan kata-kata pujangga yang mengusik hati Idzrie. Dia hanya mampu mengulum senyuman.

“Usyarlah dia! Kau kan hero bab pikat-memikat orang ni.” Dalam sindiran, Joey seolah-olah mendesak. Senyuman yang sedari tadi telah sedia terukir di bibir Idzrie kini menampakkan pula sebaris giginya yang putih bak mutiara.

“That’s the problem. I don’t know why I can’t find even the slightest courage to try and get closer to her,”ulas Idzrie dengan ton merendah diri. Terasa lebih rendah dia apabila meluahkan kata-kata itu sebagai seorang lelaki. Mujur yang mendengar seorang yang amat memahami dirinya. Taklah jauh sangat jatuh martabat tu! Tetapi benar, dia terasa dirinya tidak layak berdampingan dengan gadis bertudung merah itu. Alasannya? Masih kabur….

“Ooo… no courage? I’ll give you a hint of courage.” Joey merenung dalam-dalam mata Idzrie.

Idzrie menelan air liur. Entah kenapa dia terasa khuatir untuk melakukan cadangan yang diusulkan oleh Joey. Kelakiannya sudah menerawang entah ke mana. Dia sendiri terasa pelik. Selalunya dia tak macam ni.

“Aku kenal perempuan tu…” kata Joey yang duduk berhadapan dengannya itu.

Kecut perut Idzrie mendengar kenyataan itu. Kenal? Biar benar? Persoalan itu dibiarkan sahaja bermain di minda. Tidak diluahkan seuntai kata kerana dia tahu ayat Joey itu masih tergantung.
“… dan kau pun kenal dia.”

Terbeliak biji mata Idzrie cuba memahami kenyataan itu. Betulkah? Lidahnya kelu. Matanya yang terbeliak masih merenung kosong wajah Joey seolah-olah meminta penjelasan yang lebih mendalam.
“Daripada reaksi kau, aku rasa kau memang tak ingat kat dia. Atau dalam waktu kita dah lama tak berjumpa ni kau hilang ingatan?” sindir Joey.

Idzrie menggeleng. Tak membantu langsung Joey ni. Dah aku tak ingat tolong la ingatkan. Ke situ pulak dia.

“Siapa minah tu? Macam mana kau kenal dia?” Idzrie berusaha mencungkil kisah.

“Dia classmate kita waktu degree dulu. Namanya Marliya. Ingat tak?”

Nama yang disebutkan itu bunyinya tidak asing pada Idzrie. Satu per satu wajah pelajar perempuan yang sekelas dengannya yang mengambil Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik diimbas dalam memori namun nama Marliya tidak dapat diletakkan pada wajah yang diingatnya. Ada antara pelajar-pelajar itu yang dia ingat nama, tapi tak ingat rupa. Ada yang dia ingat rupa, tak ingat nama. Sememangnya ingatannya terhadap Marliya telah pun kabur setelah berapa lama mereka tidak ketemu atau berhubung.

“She does look kind of familiar. Tapi, aku tak berapa ingat. Balik kang aku refreshlah balik.” Ujar Idzrie ringkas.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185105/gadis-bertudung-merah

[SNEAK PEEK] DANDELION DITIUP ANGIN

DANDELION DITIUP ANGIN Oleh Aidah Bakri

WAJAH PUTIH bersih bayi lelaki yang baru dilahirkan, direnung dengan segenap rasa. Hilang segala rasa sakit melahirkan, apabila wajah sebesar tapak tangan itu damai dalam tidurnya. Tanpa diduga, rasa sayang… tunas kasih mula bertapak di mimbar hatinya.

Terasa indah yang tiada tara. Sejak mereka ditolak keluar dari wad bersalin dan ditempatkan di wad 6 dua belas jam yang lalu, bayinya itu asyik tidur sahaja. Menurut kata doktor sebentar tadi, tempoh tidur bayi yang baru lahir adalah sekitar enam belas jam dalam sehari. Mungkin sebentar lagi dia akan terjaga untuk menyusu.

Dini masih menatap wajah bayinya yang sedikit pun tidak berkutik. Tidak terusik langsung dengan rasa sejuk bilik yang berpenyaman udara itu. Segala-galanya baharu bagi dia. Mujur juga ada jururawat yang bernama Suhaini yang sudi mengajar bagaimana mahu membedung bayi sekecil itu.

Sungguh dia tidak tahu apa-apa tentang pengurusan bayi. Mujur juga ada Ibu Rasyidah yang sudi menyediakan segala kelengkapan bayi. Kain bedung, kain lampin, barut… perkataan-perkataan itu pun tidak ada dalam kamus perbendaharaan hidupnya. Inikan pula mahu menggunakannya. Sungguh dia tidak tahu! Dia langsung tidak ada pengalaman menguruskan seorang bayi. Dan kehadiran bayi ini terlalu awal dalam hidupnya.

Dini mengeluh tiba-tiba. Hatinya disagat pilu yang teramat. Kepiluan yang terus menjeruk hati sehingga menjadi kering dan layu. Hampir-hampir tangkainya tanggal, menanti masa untuk tersungkur ke bumi. Mujur sahaja ada Ibu Rasyidah yang sudi memberi sedikit yakin dalam dirinya. Meniup bilah-bilah semangat dalam dirinya yang sudah kehilangan payung untuk berlindung.

“Hai baby….” Suara yang kedengaran tiba-tiba mengejutkan Dini daripada lamunan yang panjang.

“Puan sihat hari ini?” tanya doktor muda yang sedang mengira kadar denyutan nadi Dini. Doktor Irdina. Nama itu tertulis di tag nama yang tersangkut di bajunya.

Dini sekadar menganggukkan kepalanya. Wajah cantik doktor muda itu, dipandang sekilas.

“Baby asyik tidur saja. Puan dah bagi dia susu?” tanya Doktor Irdina lagi. Dini menggeleng pula. Masih tidak bersuara.

“Dah pandai menyusukan baby?” Paras Dini dibelek lama. Sejak semalam sudah terbetik musykil di hati kecilnya.

“Pandai jugak… Nurse Suhaini dah ajar malam tadi.” Jawab Dini perlahan. Biarpun dia merasa kekok, namun dia tetap mahu mencuba. Dia merasa puas apabila melihat bayinya tidur kekenyangan setelah menyusu.

Tiba-tiba wajah arwah ibunya menyapa ruangan ingatan. Ada rembesan air mata di tubir matanya. Hatinya diseret kesal. Hiba yang teramat. Kalaulah arwah ibunya melihat dia dalam keadaan yang begini….

“Tekanan darah puan normal, baby pun sihat. So… tengah hari nanti puan boleh keluar. Suami puan belum datang lagi?” Lembut suara Doktor Irdina membuatkan Dini tersedar.

Suami??? Ruang hatinya terus menjadi kosong apabila perkataan itu disebut.

Suami??? Relung-relung hatinya luka lagi… luka yang tidak nampak darahnya. Luka yang hanya ada sakit dan perit. Luka yang tidak mungkin akan sembuh sampai bila-bila.

“Suami puan tak ada di sini?” Ayat tanya itu menyapa lagi cuping telinganya.

Mereka berpandangan seketika. Doktor Irdina mengerutkan dahi. Keliru memikirkan makna diam ibu muda di hadapannya itu. Sejak nama Dini didaftarkan untuk ditempatkan di wad bersalin, dia tidak nampak pun kelibat seorang lelaki yang layak digelar sebagai suami wanita muda ini.

“Puan?”

Dini menundukkan wajahnya. Terasa tebal kulit pipinya. Malu untuk berterus terang pada doktor cantik yang masih berdiri di tepi katilnya.

Sekejap lagi keluarga saya datang. Saya dah boleh balik, kan doktor?”

Doktor Irdina mengangguk sambil tersenyum. Mengerti bahawa Dini sedang menyembunyikan sesuatu. Namun siapalah dia untuk terus mendesak walaupun teringin benar rasa hatinya mengetahui mengapa raut wajah Dini bersalut sendu tatkala soal suami dibangkitkan. Perasaannya disapa simpati buat Dini. Baru berusia sembilan belas tahun sudah bergelar ibu. Terlalu muda untuk memikul tanggungjawab rumah tangga yang padanya terlalu banyak menuntut pengorbanan daripada seorang wanita.

Doktor Irdina berlalu ke katil yang seterusnya setelah menitipkan beberapa nasihat buat Dini. Pandangan Dini kembali jatuh pada bayi di sebelahnya. Matanya yang terpejam rapat, bibirnya yang comel kemerahan dan keningnya yang halus terbentuk… benar-benar menyentuh tangkai hatinya.

Dan apabila pandangannya jatuh pada hidung yang terukir indah menghiasi wajah putih bersih itu, dia teringat kembali pada seraut wajah. Menghantar seluruh ruang ingatannya pada lelaki yang telah mengubah hampir tiga ratus enam puluh darjah arah kehidupannya. Kalaulah tangkai hatinya boleh patah, sudah lama ia terputus… tanggal dan gugur daripada tangkainya.

“Hoi… mengelamun saja.” Dini tersentak dengan suara yang tiba-tiba menyergah cuping telinganya.

“Mana ada. Kau baru sampai ke? Dah tak reti bagi salam… main sergah saja. Ibu mana?”

“Hehehe… ibu ada dengan Doktor Irdina kat sana tu. Kau menungkan apa? Aku tengok kusut saja muka kau ni.” Iffa menatap wajah sahabatnya lama. Garis-garis luka kian terserlah di wajah kusam Dini. Kesian sahabatnya yang seorang ini. Besar sungguh dugaannya.

“Kau okey tak ni? Sekejap lagi boleh discharge kan?” Khuatir Iffa apabila melihat Dini lebih banyak diam. Diam Dini bermakna dia sedang memendam rasa. Memendam rasa seorang diri memang tidak baik untuk Dini dalam keadaan dia yang sebegini. Menurut ibunya tadi, hati dan perasaan orang yang dalam pantang bersalin sensitif dan cepat terasa.

“Aku okey la. Dah tak sabar nak balik rumah. Kau ingat enjoy ke duduk kat sini? Seksa tau nak turun naik katil ni.” Tutur Dini cuba menyembunyikan duka.

“Aku cuba untuk percaya kata-kata kau. Apa pun, aku harap kau jangan tunjukkan muka kusut kau tu kat depan ibu. Nanti dia risau. Tak fasal-fasal darah tinggi dia naik. Kita jugak yang susah nanti.” Pinta Iffa perlahan.

“Aku memang dah banyak susahkan kau Iffa… susahkan ibu. Aku tak patut libatkan kau dalam masalah aku. Tapi aku tak ada siapa-siapa, Iffa. Aku cuma ada kau, ada ibu kau….” Dini kembali sebak. Mengepung rasa rindu yang tidak pernah padam pada arwah ibunya, membuatkan jiwanya longlai tiba-tiba.

“Syyyh… dahlah. Jangan layan sangat perasaan sedih. Kau kan dalam pantang, tak elok tau. Aku tetap ada untuk kau, Dini. Aku tak peduli apa orang lain kata tentang kau, aku tetap percaya kau sahabat yang terbaik buat aku. Aku tak akan biarkan kau seorang diri membesarkan baby ini, Dini. Kita jaga dia sama-sama, ya.” Janji Iffa ikhlas.

Dini kian terharu mendengar kata-kata Iffa. Terharu kerana masih ada seorang sahabat yang tetap sudi bersamanya. Biar dalam susah ataupun dalam senang. Sanggup menerima dia walau dalam apa pun keadaannya.

“Terima kasih, Iffa.” Mereka berpelukan erat.

“Ada drama apa pulak kat sini? Ada adegan peluk-peluk pulak tu…” usik Ibu Rasyidah yang baru sampai. Bahagia benar hatinya melihat keakraban dua anak gadis di hadapannya. Ikatan perasaan mereka mengalahkan saudara seibu seayah. Dini pantas mengambil tangan Ibu Rasyidah lalu dikucup lama.

“Terima kasih ibu…” tuturnya perlahan. Ibu Rasyidah duduk di sisinya lalu memeluk erat bahunya.

“Sama-sama. Tahniah sebab selamat melahirkan baby yang cute ni. Maknanya ibu dah jadi neneklah ya.”

Ibu Rasyidah mengangkat bayi yang masih dalam ikatan kain bedungnya. Wajah mulus yang putih bersih itu ditatap lama. Ada rasa bahagia di kotak hatinya walau tidak dapat dinafikan, sebahagian hatinya menyimpan rasa simpati dan kesal yang tidak berkesudahan.

“Iffa, kemas barang-barang Dini. Kita dah boleh keluar sekarang. Dini nanti ibu bantu turun katil perlahan-lahan ya. Jaga-jaga kaki tu.”

Ibu Rasyidah meletak bayi Dini sebentar. Dia turut membantu Dini turun dari katil.

SEJAM KEMUDIAN mereka selamat sampai di rumah. Di rumah teres dua tingkat itulah tempat Dini berteduh sejak dia kehilangan segala-galanya. Memang nasibnya masih dikira beruntung jika dibandingkan dengan gadis-gadis yang senasib dengannya. Kalaulah tidak ada Iffa dan Ibu Rasyidah, pasti hidupnya musnah sama sekali. Mungkin terus terbiar di lorong-lorong sepi tanpa ada yang sudi mengutip.

“Dini duduk di bilik bawah saja ya. Ibu dah kemaskan bilik itu pagi tadi. Orang dalam pantang tidak boleh banyak bergerak, apatah lagi turun naik tangga. Boleh kan?” tanya Ibu Rasyidah sambil memandang wajah bersih di hadapannya. Dini semakin banyak berdiam. Menjadi lebih pendiam daripada hari-hari sebelumnya.
“Dini tak kisah, ibu. Kat mana-mana pun Dini tak kisah. Asalkan ibu dan Iffa ada dekat dengan Dini.” Emosi Dini hiba tiba-tiba. Juring matanya terasa hangat. Keikhlasan dua beranak yang sanggup menerima segala kepayahannya, sungguh-sungguh menyentuh hati.

“Kami sentiasa ada dengan kau, Dini. Kami dah anggap kau macam keluarga kami sendiri. Kita hadapi semua ini sama-sama.” Iffa memeluk bahu Dini erat.

“Terima kasih Iffa… terima kasih ibu…” luah Dini terharu.

“Dah, jom berehat dalam bilik. Dini kena banyak berehat. Pulihkan semula tenaga yang dah hilang tu. Ibu nak ke dapur, tanak nasi.” Ibu Rasyidah beredar ke dapur. Sementara Iffa dan Dini berlalu masuk ke bilik.

“Kau kena banyak rehat. Jangan fikirkan yang bukan-bukan. Nanti kita sama-sama cari nama untuk baby boy yang cute ni ya.” Ujar Iffa sambil meletak bayi yang sedari tadi dalam dukungannya ke katil bayi yang diletakkan di sudut bilik. Dini duduk di birai katil. Kedua-dua belah kakinya terasa lenguh. Sengal seluruh tubuhnya belum surut lagi.

“Macam mana kita nak daftarkan nama dia Iffa, sedangkan surat nikah pun aku tak ada.” Luah Dini tiba-tiba. Menyimpan sebak dalam-dalam.

Lama mereka berpandangan. Masalah itulah yang selama ini membebani fikiran Dini. Apa butiran yang harus diisi dalam ruangan maklumat bapa dalam sijil kelahiran anaknya itu nanti.

“Kau tetap tak mahu beritahu dia? Dia ada hak Dini. Anak ini pun ada hak. Kita perlu beritahu dia.” Pujuk Iffa lembut.

Dini menekur lantai. Perdu hati diserbu pilu. Hak??? Hak apa yang mahu dituntut daripada lelaki itu???

Sekali dia diusir, tidak mungkin dia akan memunculkan diri lagi. Tidak untuk seumur hidupnya. Biar segala-galanya berkubur walaupun limpahan kasih sayang di rumah mewah itu sering kali menggamit ruang sepinya. Rasa rindu hanya mampu terkurung dalam bingkai pilu. Memang benar, apabila kita rasa rindu yang sangat dalam, barulah kita tahu seberapa besar makna dan erti seseorang itu bagi kita. Dini hanya mampu menyimpan rindu… pada umi dan pada abinya.

“Dini?”

“Dia tidak pernah mahukan hak itu, Iffa. Dia sengaja perangkap aku. Atas dasar apa… aku sendiri pun tak tahu.”

“Mungkin dia akan ubah fikiran apabila nampak anak ini. Mungkin hatinya akan lembut. Kita beritahu dia ya.” Pujuk Iffa lagi.

“Mungkin??? Mungkin Iffa? Aku tak sanggup maruah aku tercalar lagi dengan apa pun kemungkinan. Kalau dia dengan mudah menghancurkan hidup aku, aku sejuta kali tak ingin berdepan dengan dia lagi. Aku tidak ingin jumpa dengan dia lagi seumur hidup aku.”

“Dah tu, macam mana nak daftarkan kelahiran anak kau ni? Kau sanggup tengok butiran ‘maklumat bapa tidak diperoleh’ dalam ruang maklumat bapa dalam sijil kelahiran anak kau, Dini?”

Dini merenung wajah bayinya lama. Rasa pilu bersatu dengan rasa simpati terhadap bayinya sendiri. Maafkan mama sayang….

“Aku buntu, Iffa.”

“Kau tergamak biarkan anak kau dianggap anak tidak sah taraf sedangkan dia ada bapa yang sah, Dini?”

Pertanyaan Iffa yang agak keras membuat hati Dini tersentak. Jiwanya disagat lagi. Anak tidak sah taraf’? Dia meraup wajahnya berkali-kali. Rasa ngilu di hatinya lebih pedih daripada rasa sakit melahirkan semalam.

“Dahlah… kau rehat dulu. Kita bincang lain kali. Kita ada masa empat belas hari untuk buat keputusan tentang hal ini. Apa pun keputusan yang bakal kau ambil nanti, kau kena fikir tentang kebajikan anak kau, Dini. Bayi ini tak bersalah. Aku keluar dulu. Nanti aku ambil makanan untuk kau.”

“Tak payah layan aku macam tu. Aku boleh makan kat dapur saja nanti.”

“Mana boleh! Kau baru dua hari bersalin tau. Tak boleh banyak bergerak. Bentan nanti, kau jugak yang susah. Lagipun, kita masih muda. Banyak lagi perkara yang hendak kita buat. Kalau kau tak jaga diri kau sendiri, siapa lagi yang kau harapkan?”

“Baiklah cik doktor tak bertauliah. Saya ikut saja kata doktor, ya.” Jawab Dini dalam gurauan. Malas dia hendak mendengar leteran sahabatnya itu. Kalau dia membantah, lagi panjang leterannya nanti. Bernanah telinganya nanti. Bentan? Takut juga dia apabila memikirkan jika sakitnya datang semula.

Iffa berlalu meninggalkan Dini sendiri merenung masa. Terasa pantasnya masa berlalu. Seolah-olah baru semalam semua rentetan itu berlaku. Terkenang saat-saat akhir dia di rumah mewah Datuk Mazlan. Masih terbayang wajah luka arwah ibunya, saat peristiwa hitam itu singgah di celah-celah hidupnya.

Ampunkan Dini, ibu… rintih hatinya berkali-kali. Dini tak salah….

“KENAPA Dini sanggup buat ibu macam ni? Dini tak kesian kat ibu ke?” Suara arwah ibunya masih terdengar-dengar di deria dengarnya, menghiris luka hatinya hingga ke relung yang paling dalam. Hendak bernafas pun terasa sukar.

“Dini tak salah ibu. Dini tak buat apa-apa. Percayalah cakap Dini, ibu.”

“Macam mana ibu nak percaya Dini? Semua orang dalam rumah ini nampak apa yang Dini dan Rifqi buat. Sampai hati Dini buat ibu macam ni. Dini sedar tak kita hanya menumpang dalam rumah besar ini. Sampai hati Dini lukakan hati umi… hati abi.” Ibu Fatimah bersuara lirih.

Sesal datang bertimpa-timpa. Kalaulah dia tahu musibah ini akan berlaku, pasti tidak akan ditinggalkan Dini seorang diri di rumah tadi. Pasti akan dibawanya Dini menemaninya.

“Ampunkan Dini, ibu…” Dini memeluk ibunya erat.

Rasa kesal dan marah menunjal-nunjal kotak hatinya. Kalau diikut rasa hatinya, mahu sahaja lelaki itu ditampar dan diterajang dengan segenap rasa.

“Ibu tak boleh kata apa lagi, Dini. Esok lepas zuhur, Dini kena nikah dengan Rifqi. Abi sedang uruskan semuanya. Dini dah hampakan ibu, hampakan umi… dan semua orang yang sayang kat Dini. Puas hati Dini kan???” tempelak Ibu Fatimah lagi.

“Ya Allah ibu… tolonglah Dini, ibu. Dini tak mahu nikah dengan dia… dengan sesiapapun. Dini nak belajar lagi… keputusan SPM Dini dua bulan lagi ibu.” Meraung Dini dengan keputusan Datuk Mazlan, lelaki yang dipanggil abi olehnya.

“Ibu tak boleh buat apa. Ini keputusan Datuk dan Datin. Muktamad!”

“Ibu… ibu tolonglah pujuk umi dan abi. Dini tak mahu ibu. Tolonglah Dini ibu…” rayu Dini dalam sedu tangisnya dengan suara yang terputus-putus.

“Ibu dah cukup malu dengan apa yang terjadi. Ibu kecewa sangat. Dini keluarlah dari bilik ibu ini. Tinggalkan ibu sendiri.”

Ibu Fatimah naik ke atas katil. Merebahkan badan dalam keadaan menghereng lalu menutup seluruh tubuhnya dengan kain selimut. Dini tiada pilihan. Dia melangkah keluar meninggalkan ibunya yang sudah tidak mahu memandang wajahnya lagi.

TANGISAN BAYI membuatkan Dini kembali ke alam sedar. Dia mengesat sisa air mata yang masih berbekas di pipi. Menangis macam mana sekalipun, apa yang pernah dimilikinya satu ketika dulu, tidak mungkin dapat diraih kembali. Merintih macam mana sekalipun, ibunya tidak akan hidup kembali.

Hanya hitam
Menatap langit terukir gelap
Bintang pun turut enggan
Memberi cahaya walau sedikit
Terbiar hati dipujuk pedih

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/185103/dandelion-ditiup-angin

[SNEAK PEEK] MUNGKINKAH DIA

MUNGKINKAH DIA Oleh Anis Ayuni

Suara azan berkumandang, tapi aku rasa tidak berdaya hendak bangun. Kepala terasa berat dan berdenyut-denyut. Ini mungkin kesan daripada tidur yang tidak lena dan asyik terjaga. Gelisah dan serba tak kena. Semalaman yang meresahkan.

Aku memicit-micit tengkuk, namun denyutannya tidak juga reda. Aku menarik-narik rambut hingga terasa sampai macam hendak tercabut kulit kepala.

“Tolonglah hamba-MU ya ALLAH! Tolonglah redakan rasa sakit ini,” rayuku.

Akhirnya, aku menggagahkan diri bangun. Berpaut pada birai katil sebelum berjalan terhuyung-hayang ke bilik air. Mandi dan berwuduk, namun denyutan di kepala tidak juga reda.

Kalau diikutkan rasa sakit, terus saja aku lontarkan tubuh di atas katil. Tapi kenangkan manalah tahu kalau-kalau ini merupakan solat subuhku yang terakhir, aku kuatkan juga semangat. Walaupun berdiri membuatkan aku rasa seperti hendak tumbang, tetap aku bertahan hingga selesai solat dua rakaat.

Aku cuba meredakan pening dengan menyapu minyak angin di dahi, tengkuk dan hujung mata. Kemudian, diikuti dengan urutan lembut. Adalah rasa lega sedikit. Ketika ini baru aku terfikir, mungkin perut yang kosong membuatkan angin naik ke kepala. Selain itu, penanggungan rasa kecewa tahap maksima memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan jiwa.

Ketika mata hampir terlayang, aku terdengar bunyi ketukan di pintu. Hendak diabaikan saja, rasa tidak sampai hati pula. Lalu, aku gagahkan diri bangun membuka pintu.

“Nisa baru bangun ke?” terpa mama sebaik-baik saja daun pintu terkuak.

Aku menggeleng.

“Dah pukul berapa ni belum siap lagi?”

Tubuh terasa sangat lemah hingga aku rasa macam hendak rebah.

Lalu, aku bertongkat tangan di jenang pintu.

“Tak sihat. Hari ni tak pergi kerja.”

“Demam ni,” kata mama setelah dia mendemah dahi.

Aku mengangguk lesu.

“Nak baring,” maklumku dalam suara yang antara dengar dengan tidak. Terus aku berbaring di atas katil.

“Bila nak pergi klinik?”

“Tunggu dululah ma. Sekarang ni nak jalan pun tak daya.”

“Rasanya dalam peti ais ada mama simpan ubat demam, nanti mama pergi ambil.” Seiring melahirkan kata-kata, mama terus keluar dari bilik.

Berselang lebih kurang lima minit, mama muncul semula dengan sebuah dulang kecil. Terus diletakkan di atas meja di sisi katil. Ada air coklat, roti bakar dan satu plastik kecil berisi ubat.

“Nah, makan dulu… lepas tu baru boleh makan ubat!” suruh mama sambil menyuakan piring berisi roti bakar.

Walaupun tekak terasa kelat dan pahit, namun aku unggis juga sedikit sebagai tanda menghargai susah payah mama menyediakan dan membawanya hingga ke bilik.

“Malam tadi makan ke tak?”

Aku menggeleng.

“Haa, tu akibat tak makan… angin dalam perut tu dah naik ke kepala sebab tu pening.”

Memang aku sudah agak mama akan merumus begini. Dari dulu lagi itulah modalnya apabila aku mengadu sakit kepala.

“Tapi, demam ni?”

“Penyakit ni berkait-kait. Mula-mula pening, demam ….” jawab mama. Dibiarkan ayatnya tidak sempurna.

“Dah, habiskan cepat roti… lepas tu boleh makan ubat!” tambah mama setelah dia berjeda seketika.

‘Licik sungguh mama ni!’ Agaknya tidak dapat hendak menjelaskan dengan pasti, disuruhnya aku cepat-cepat habiskan roti.

Memang rasa tidak tertelan, jadi aku tolak dengan air coklat. Akhirnya habis juga sekeping roti. Aku menggeleng apabila sekeping lagi mama hulurkan.

“Mana kenyang makan sekeping,” omel mama sambil dia menghulurkan ubat.

Aku senyum saja. Selepas makan ubat, aku berbaring semula.

“Rehatlah,” pesan mama sebelum dia keluar sambil menatang dulang.

Aku menghantar mesej kepada Encik Mahasan dan Ren Effazulita untuk memaklumkan yang aku terpaksa mengambil cuti kecemasan selama dua hari. Selesai urusan itu, telefon bimbit aku letak semula di atas meja. Walaupun ada banyak mesej yang kalau dijumlahkan mungkin lebih daripada seratus, tapi aku tidak ada mood hendak baca.

‘Dua hari,’ ulangku mengenangkan mesej yang aku kirim tadi.

Dua hari sebagai waktu untuk bertenang dan muhasabah diri. Bukan waktu ‘berkabung’ kerana aku tidak tahu status hubungan kami. Tapi sejujurnya, aku sudah tawar hati. Selepas ini, hendak jadi apa jadilah. Aku tidak menaruh harapan lagi. Cuma, rasanya aku perlu beri peluang kepada Qashfi untuk membela diri.

Hingga ke waktu itu, aku tidak mahu fikir apa-apa kerana beriya sangat mengerah otak memikir itu dan ini, sudahnya kepala aku jadi pusing. Aku perlu berehat. Seiring itu aku memejamkan mata rapat-rapat. Belum pun lama membayangkan padang menghijau yang luas terbentang, aku sudah terlena.

Kala terjaga, jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.00 pagi. Lama juga aku tidur. Lena kerana tiada yang mengganggu. Kalau ada pun, memang aku tidak sedar bahana dek ubat yang aku makan tadi.
Aku mendemah dahi. Sudah suam-suam kuku. Tidak lagi panas seperti tadi. Kalau diukur dengan jangka suhu, bacaannya hampir normal. Kepala pun sudah terasa ringan. Syukur Alhamdulillah.

AKU mencapai telefon bimbit. Mencari daripada sejumlah nama pengirim mesej, belum ada daripada Qashfi. Barangkali dia masih tercari-cari alasan dalam usaha untuk menyelamatkan hubungan kami.

Tapi, dia harus fikirkan juga tentang penerimaan aku. Tidak semudahnya boleh aku terima kecuali kalau Qashfi dapat buktikan yang dia tidak bersalah.

“Ah, tepuk sebelah tangan masakan boleh berbunyi!” ejekku dalam nada jengkel.

Lalu sekilas persis terlayar di tubir mata hal yang terjadi, namun cepat-cepat aku usir pergi. Tidak aku izinkan melintas, walaupun hanya dalam bayangan.

Tentang keluarga kami yang sudah lama saling mengenali, terpulanglah kepada penerimaan dan cara mereka meladeni. Yang melakukan cela ialah Qashfi, bukan ibu bapanya. Tapi, tempiasnya kepada mereka juga. Apa pun alasan Qashfi, perkara itu memang sangat memalukan. Dia sudah menconteng arang ke muka keluarga.

Malas memikirkan hal yang berkait-kait itu, telefon bimbit terus aku matikan. Biarlah seketika memisahkan aku daripada dunia luar yang terlalu banyak drama dan sandiwara yang menekan jiwa.

‘Biarlah. Biarlah nak jadi apa pun, jadilah…’ Aku pasrah. Aku tidak sanggup lagi menanggung sakit kepala dek kerana terlalu tertekan memikirkan hal ini.

AROMA ikan goreng yang harum semerbak membuatkan aku berasa lapar. Memang logiklah kerana sejak petang semalam hinggalah pagi ini, hanya sekeping roti yang singgah di dalam kantung perutku.

“Demam lagi?” tanya mama sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dapur.

Aku menggeleng sambil menarik kerusi, lalu duduk.

“Nak bawak ke mana pulak dulang ni?” Aku bertanya soalan yang sudah aku jangka jawapannya.
“Ingatkan tadi nak bawak ke atas. Ni dah turun, makan ajelah kat sini.”

Pada mulanya aku mempamer reaksi enggan. Sejurus kemudian, aku mencapai pinggan. Tanpa diminta, mama mencedukkan nasi. Beginilah apabila sakit. Selalu dimanjakan.

“Lepas makan ni bolehlah pergi klinik.”

Aku menggeleng.

“Dah okey!”

Sungguh, aku tidak perlu pergi ke klinik kecuali yang merawatnya doktor cinta. Namun, belum tentu sembuh. Jadi, aku akan rawat sendiri, malah takkan aku biarkan diri lama terkurung dalam nestapa.

Hidup ini terlalu singkat untuk aku persia dengan mendera akal dan hati meratapi cinta yang tidak kesampaian atau memikir tentang dia yang berpaling tadah.

“Demam ni jangan buat main. Kalau yang sekejap demam sekejap baik ni tanda demam denggi. Kena check darah baru tau.”

Kalaulah mama tahu rasa kecewa dan terkejut mendengar kisah yang dibawa Arief yang membuatkan aku sampai demam, mungkin mama pun pitam. Jadi, biarlah mama tidak tahu. Untuk setakat ini, biarlah aku rahsiakan dahulu.

“Kalau lepas ni demam balik, baru pergi klinik.”

“Degil ni ikut perangai siapalah agaknya!” omel mama dalam keluhan.

Aku tertawa kecil kerana tahu gerangan yang dimaksudkan. Yalah, siapa lagi kalau bukan abah!

Selepas makan, aku berehat dan menonton televisyen. Seharian itu saja kerja aku. Membawa ke malam pun begitu juga. Walaupun terasa sangat aneh apabila telefon bimbit ‘tidak bernyawa’, tapi aku biarkan saja hingga akhirnya rasa aneh itu berlalu.

Rupa-rupanya tanpa telefon bimbit, aku mempunyai banyak masa untuk diriku sendiri. Selepas solat Isyak, aku baca surat khabar. Kemudian, barulah aku tidur.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/183249

[SNEAK PEEK] SELINGKUH

SELINGKUH Oleh Aini Marisha

“Hai Encik Hazlan. Ingat saya lagi?” Farisya menegur Hazlan yang sedang menunggu di KLIA bersama seorang wanita yang Farisya percaya adalah Rania. Hmm…cantik orangnya tapi masih tidak boleh mengalahkan aku. Aku masih muda dan bergetah….tukas Farisya dalam hatinya.

Hazlan terkejut apabila tiba-tiba Farisya menegurnya. Dadanya berdebar kencang. Dia menggelabah kerana Rania berada di sebelahnya.

Aku juga turut menoleh apabila seorang gadis muda memperkenalkan diri kepada Hazlan. Hairan juga kerana ini pertama kali seorang Peramugari MAS menegur Hazlan begitu. Aku memandang wajah Hazlan, meminta penjelasan.

“Err….oooo. Ya. Cik Farisya kan. You yang tolong I masa dalam flight ke Sydney dulu. Of course I remember.”

“Kenapa abang?” Aku bertanya untuk kepastian.

Hazlan meletakkan tangannya di belakangku kemudian memperkenalkan gadis itu. Farisya pula sedaya upaya cuba mengawal perasaan cemburu yang sudah memenuhi seluruh tubuhnya. Jika diikutkan hati mahu sahaja dia menarik Hazlan pergi jauh dari situ dan memeluknya untuk menghilangkan rasa rindu. Tetapi jelingan mata Hazlan difahami oleh Farisya. Dia cuba mengawal sikap dan cuba untuk mengukir senyum walaupun serba sukar.

“Sayang, ni Farisya. Masa abang naik flight ke Sydney ada masalah sikit kat dalam flight. Cik Farisya ni lah yang tolong abang.”

“Masalah? Masalah apa? Kenapa abang tak cerita pada sayang?”

Farisya menoleh ke arah lain apabila mendengar perkataan “Sayang” yang diucapkan oleh Hazlan. Farisya mencebik bibir. Meluat! Dan Sakit Hati! Lelaki ini memang pandai bermain helah. Dia memanggil mereka berdua dengan panggilan sayang bagi mengelakkan tersasul nama mereka. Ahhh!!! Tetapi walau apapun, dia tetap mahukan Hazlan dalam hidupnya. Dan itu membuatkan dia semakin marah!!!

“Abang pening kepala dan sakit perut. Tak tahu kenapa…salah makan kot. Jadi Cik Farisya yang tolong bagi ubat semua. Abang pun lupa nak cerita sebab dah lama.”

Aku mengangguk. Berpuas hati dengan cerita yang disampaikan oleh Hazlan. Aku senyum dan menghulurkan tangan ke arah gadis itu.

“Saya Rania, isteri Hazlan. Terima kasih sebab bantu suami saya hari tu.” Aku memperkenalkan diri. Tanganku disambut dengan senyuman oleh Farisya.

“Nice to meet you puan Rania.” Walaupun mulutnya berkata begitu tetapi dalam masa yang sama dia menjeling ke arah Hazlan yang kelihatan serba tidak kena. Farisya semakin panas hati.

“Err…saya pergi dulu lah Encik Hazlan, Puan Rania. Flight nak berlepas sikit masa lagi.”

“Hari ni terbang ke mana?” Aku bertanya sekadar untuk bermesra.

“Ke Sydney jugak. Next week baru tukar jadual ke Bangkok.”

“Really? My husband pun akan ke sana jugak untuk attend meeting.”

“Oo…ye ke? Encik Hazlan meeting ke?” tanya Farisya dengan senyuman lebar.

Hazlan mengangguk pantas. Bimbang juga dia sekiranya perbualan Rania dan Farisya akan membuka cerita yang tidak sepatutnya kerana dia cukup tahu tujuan Farisya menegurnya hari ini. Hazlan tahu Farisya sengaja mengenakan pakaian seragam MAS nya semata-mata untuk bertemu dengan Hazlan di sini kerana dia tahu Rania akan ada bersama.

“Ooo…meeting. Baguslah kalau meeting. Jangan kahwin lari pulak kat Siam nanti dah lah.”

Aku terkejut mendengar kata-kata Farisya. Aku terus memandang gadis itu dengan rasa ingin tahu. Dalam masa yang sama aku juga berasa pelik kerana gadis ini begitu berani bergurau dengan Hazlan walaupun mereka hanya berjumpa sekali sahaja semasa di dalam kapal terbang.

“Ehhh…sorry Puan Rania. Saya bergurau saja. Hidup ni kalau tak bergurau rasa macam bosan saja kan. Saya ni memang jenis ceria macam ni.” Farisya ketawa kecil kemudian memegang tanganku.
Aku berasa lega mendengar kata-kata Farisya kemudian turut ketawa bersama. Hazlan hanya tersenyum pendek.

“Then…have a safe journey ya En. Hazlan. Kalau terjumpa saya di Bangkok nanti tegur-tegur lah ya.”

Hazlan mengangguk dan tersenyum. Farisya terus meninggalkan mereka.

“Such a nice and beautiful lady…” Aku memuji. Langkah Farisya masih ku ikuti dengan pandangan mata.

“Dia dah kahwin ke abang?” Tiba-tiba soalan itu terpacul dari mulutku.

“Eh sayang ni. Manalah abang tahu. Kalau abang tahu dia dah kahwin ke tak…tu dah lain jadinya. Nanti sayang jugak yang cemburu.”

Aku ketawa kecil. Betul jugak…fikirku. Tetapi aku bukanlah wanita yang suka cemburu tanpa usul periksa. Aku kenal hati budi Hazlan. Lagipun cara kerjanya memang memerlukan Hazlan bergaul dengan ramai orang tidak kira lelaki atau wanita. Memang Hazlan juga sering bertemu pelanggan dan sahabat perniagaannya di luar pejabat untuk berbual tentang perniagaan dan bagi tujuan pemasaran perniagaan. Aku tidak pernah mengesyaki apa-apa yang buruk. Dan ternyata sehingga kini Hazlan tetap setia padaku.

Farisya pula terus menarik beg rodanya ke bilik air. Dia menyalin pakaian seragamnya dan memakai pakaian biasanya semula. Hatinya panas tetapi puas juga kerana rancangannya untuk bertemu dengan Hazlan sebelum lelaki itu berlepas tercapai juga.

“What have you done?”

Hazlan menghantar pesanan whatsapp. Farisya segera menjawab dengan perasaan yang marah.

“Sanggup abang tinggalkan I macam tu saja malam tadi. I call banyak kali abang tak jawab. Then abang tanggung la kesannya.”

“That’s too much Farisya.”

“Habis tu abang nak sayang diamkan saja bila abang seronok-seronok dengan perempuan tu? Jangan lupa abang dah banyak janji dengan sayang.”

Selepas itu tiada lagi jawapan dari Hazlan. Farisya cuba menelefon Hazlan tetapi talian sudah ditutup. Mungkin kapal terbang telah berlepas. Perasaan bimbang terus melatari diri Farisya. Bimbang jika Hazlan betul-betul marah dengannya kali ini. Kalau itu yang berlaku pasti dia juga yang rugi. Pasti habislah segala kemewahan yang dikecapinya selama ini jika lelaki itu mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengannya.

“Tidak! Dia tidak akan berani buat macam tu sebab segala bukti kecurangannya ada padaku. Kalau dia berani, Rania akan dapat tahu. Dia sangat sayangkan Rania kan. Pasti dia tak nak Rania tahu apa yang dia telah lakukan…….”

Farisya senyum panjang apabila perkara itu bermain di fikirannya. Untuk mengekalkan kemewahan yang sedang dikecapinya sekarang dia sanggup melakukan apa sahaja. Dia juga sanggup merendahkan egonya untuk menakluk semula hati Hazlan. Lelaki itu sempurna di mata Farisya. Tampan, kaya, bergaya dan penyayang. Dengan Hazlan dia bukan setakat cintakan kekayaannya tetapi juga dia benar-benar cintakan lelaki itu. Cintanya memang benar!

Farisya segera menghantar semula pesanan whatsapp. Dia pasti Hazlan akan membacanya apabila mendarat di Bangkok nanti.

“Abang….I’m so sorry. Sayang buat semua ni sebab I cintakan you sangat-sangat. I sanggup buat apa saja untuk you. Don’t get mad okey. Next week I jumpa you di sana. Lagipun I ada big surprise for you. – Love.”

Farisya menarik nafas panjang. Dia segera keluar dari bilik air dan melangkah pantas ke keretanya. Hari ini banyak perkara yang perlu diuruskan. Ahhh…, tidak sabarnya menghitung hari untuk bertemu Hazlan di sana.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/183540/selingkuh