[SNEAK PEEK] NOTA CINTA ORIGAMI

NOTA CINTA ORIGAMI Oleh Ruby Hazri

PROLOG

Lima tahun lalu…

BARU beberapa jam tadi mereka berpamitan salam dan berkongsi gelak ketawa dalam kereta. Malah, pesanan isterinya masih kukuh terlekat dalam minda.

“Jangan lupa pula hadiah hari jadi tu.” Pandangan Aina Sophia sekilas mengerling tempat duduk belakang terutama pada sebuah kotak berbalut kertas comel.

Faris angguk, patuh.

“Hmm… Pandu kereta hati-hati, ya bang,” pesan isterinya.

Dia yang gemar berjenaka terus membuat aksi tabik hormat. Masih terngiang-ngiang ilai tawa wanita yang telah berkongsi kasih dengannya sejak lebih dua tahun lalu. Belakang tangannya masih terasa hangat ciuman isterinya. Namun dalam sekelip mata, panggilan dari ibu pejabat polis tiba-tiba meranapkan seluruh sejarah beberapa jam lalu. Aina Sophia sudah menjadi arwah.

Telefon bimbit dalam genggaman menggelongsor jatuh ke lantai. Sampul coklat di genggaman terjatuh dari tangan. Dirinya bagaikan hilang ampu untuk berdiri. Kepala lututnya berasa longgar. Jari-jemarinya menggigil tanpa sebab. Hanya sesekali telinganya mendengar sayup-sayup suara pegawai polis menyebut ‘helo’ berkali-kali dari telefon bimbitnya. Tapi, bibirnya tidak berupaya lagi mengeluarkan sepatah perkataan pun.

“Faris!” Satu suara memanggil namanya, nyaring. Zikri, rakan setugasnya berlari laju ke arahnya. Tubuhnya yang tadi kehilangan daya terasa dipaut untuk bangkit semula.

“Kenapa ni, Faris?” Tiada jawapan.

Zikri membantunya untuk bangun dan berjalan menuju ke bilik. Seluruh beban bagai dilepaskan ke dalam pautan tangan rakan setugasnya.

“Telefon aku.” Hanya dua patah kata itu mampu dikeluarkan. Itu pun kerana terpaksa demi melihat telefon bimbitnya tersadai di lantai.

Zikri berpusing ke belakang. Matanya berjaya menemui telefon bimbit temannya itu sedikit terlindung di bawah sehelai sampul surat coklat. Zikri mengambil lantas menerkap telefon itu ke telinga. Senyap. Taliannya telah terputus.

“Aina, Zikri!” Faris cuba menjelaskan beberapa minit kemudian.

“Okey… okey, kita masuk ke bilik dulu,” arah Zikri tidak mahu berbual di luar bilik ini. Menyaksikan keadaan Faris tadi yang hampir jatuh, Zikri tahu ada masalah besar telah menimpa sahabatnya ini.

Sebaik pintu bilik Zikri ditutup rapat, Faris terus memegang kedua-dua belah bahu Zikri. Kolam matanya rasa teramat berat kini.

“Aina meninggal dunia, Zikri.” Terketar-ketar suara Faris memaklumkan.

“Meninggal dunia?” Zikri terpinga-pinga. Tidak sanggup untuk dia mengucapkan innalillah… Fikirannya sendiri seperti tidak boleh menerima.

MELISSA mengelap bibirnya dengan napkin berona pic, sebelum meletakkan cermat di sisi kanan pinggan makannya. Dia mengerling sekilas lelaki di hadapan. Lelaki itu makan tanpa sedikit pun memandangnya. Cuma dia yang terhegeh-hegeh menolak rasa malu berbual itu dan ini. Melissa menyilangkan garpu dan pisau di atas pinggan yang masih berbaki lebih separuh daging stiknya. Setelah menyisip sedikit air putih dari gelas tinggi, dia tiba-tiba berdiri. Matanya memandang kiri kanan kurang selesa jika aksinya mendapat perhatian orang sekeliling ruang restoran.

Lelaki bernama Faris di hadapan terkejut. Menyedari ada beberapa pasang mata memberikan tumpuan kepadanya, dia memaniskan wajah serta-merta. Dengan tertib, dia mengambil tas tangan di sisi kerusi.

“I nak ke washroom sekejap,” pintanya lembut. Butir bicaranya tidak mendapat reaksi balas. Melissa mendengus geram.

Dengan langkah yang sengaja diatur gemalai, dia masih mampu menjaga gengsi saat berjalan menuju ke arah pintu bilik air. Mata-mata yang memerhati masih melihatnya sebagai seorang yang menjaga tertib. Langkahnya tidak terkocoh-kocoh seperti orang dikejar sesuatu. Adapun hatinya mendesak benar-benar untuk berlagak begitu.

Terlihat sahaja pintu tandas wanita, dia terus menerpa masuk. Nafas yang ditahan-tahan dilepaskan sepuas hati. Tapak kasutnya menghentak lantai jubin beberapa kali. Dia mengerang sakit hati.

“Bodoh! Bodoh!” Dia melepaskan kemarahan.

Rambut gaya Bob Hairstyle separas dada ikut mengerbang. Melissa membetulkan dengan jari-jemarinya. Kemudian, dia meraba-raba isi tas tangan Coach. Blackberry Classic dibawa keluar. Telunjuknya berlari-lari di skrin sesentuh sambil beralih ke cermin besar di singki. Wajahnya ditilik berkali-kali ketika menanti panggilannya bersambut. Sebelah tangannya masih membetulkan gaya rambut. Panggilannya tidak berjawab. Sekali lagi dia mencuba. Juga gagal.

Buat meredakan rasa sakit hati, bibirnya dilekap buat meratakan warna gincu yang mungkin tersisih ketika makan tadi. Alis mata dikuis. Mata dikelipkan beberapa kali kalau-kalau maskara tidak sekata. Kemudian, Blackberry Classic dimasukkan kembali ke dalam Coach. Tangannya mencari-cari benda lain di situ. Akhirnya, Chanel lipstik daripada jenis Rouge Allure Velvet dari warna 40 La Sensuelle dioles ke bibir. Lagi sekali kedua bibirnya melekap meratakan warna gincu. Bedak kompak daripada jenama sama juga dikeluarkan. Wajahnya mula nampak berminyak biarpun berada di dalam restoran berhawa dingin.

Belum sempat dia mendandan semula wajah sendiri, Blackberry Classic berbunyi nyaring. Bedak kompak diletak ke tepi. Sekali lagi dia meraba-raba tas tangan. Dia membetulkan suara terlebih dahulu setelah melihat paparan nama pada skrin pemanggil.

“Helo, mami!” Suaranya kembali mesra. “Ha’ah… Lisa call tadi,” jawabnya bersopan santun. “Masih kat restoran,” terangnya. Dia mula mengezip tas tangan sebaik bedaknya dimasukkan semula. Dia berjalan ke arah pintu keluar.

“Sekejap lagi.” Suaranya diiringi ketawa halus. Seolah-olah penawar sakit hatinya telah ditemui dengan hanya berbual dengan suara pemanggil bernama mami.

“Doa-doakan kami ya, mami.” Dia meletakkan sebuah harapan. Suaranya bersulam ketawa. Kakinya riang me­langkah semula ke dalam restoran. Matanya kembali bercahaya memberi perhatian kepada lelaki tampan yang duduk bersendirian di meja yang ditinggalnya sekejap tadi. Hati yang meronta-ronta sakit sebelum ini pulih dalam sekelip mata. Bibirnya mengoyak senyuman.

“YOU bawa kereta, kan? Tumpangkan I balik… tadi I datang dengan teksi.”

Faris tidak jadi melangkah. Tiba-tiba tubuhnya menjadi keras. Badannya secara automatik berpusing ke belakang.

“Apa?!” Kedua keningnya hampir bertaut. Matanya singgah sekejap ke wajah Melissa sebelum memandang kiri kanan. Mulut Faris sedikit terlopong. Dia tidak tahu hendak memilih perkataan apa. Hanya tangannya mencekak sebelah pinggang.

Melissa menggigit bibir sendiri. Dia tidak sedar mengeluarkan permintaan itu di depan lelaki seperti Faris.

“M… Mami yang…” Lontaran kunci kereta daripada Faris pantas mematikan ayatnya. Nasib baik juga dia sempat menyambut lontaran itu.

“Kereta aku di B1. Nanti kuncinya beri kepada mami.”

Bulat mata Melissa mendengar butir perkataan Faris. Belum pernah dia mendapat kata-kata dan cara sekeji itu daripada mana-mana lelaki. Sebal rasa hatinya. Mahu saja dia menendang lelaki yang sedang menuju ke pintu lif.

Namun, dia tahu siapa Faris. Faris bukan jenis lelaki romantik dan lemah lembut dengan perempuan. Sudah beberapa kali dia keluar dengan Faris. Melissa memandang kiri kanannya, kalau-kalau ada yang mengesani tindakan dia dimalukan. Mujurlah rakyat Malaysia ini jenis buat tidak kisah.

Melissa memilih menggunakan eskalator sahaja. Dia malu tiba-tiba untuk menggunakan lif. Segan untuk berhimpit-himpit di dalam lif dengan adanya Faris di situ. Ayat terakhir Faris jelas menunjukkan pertemuan mereka telah pun tamat.

Di depan pintu lif, Faris menoleh seketika pada Melissa. Perempuan itu sedang menapak ke arah eskalator ke tingkat bawah. Pintu lif terbuka. Faris tidak jadi memasukinya. Sebaliknya, dia menuju ke pintu masuk utama bangunan. Dia membawa keluar Samsung Galaxy S6. Ibu jarinya bergerak di skrin sesentuh. Nama Zikri dicari dalam senarai call log.

“Zikri, kau dah masuk pejabat?”

“Datang ambil aku sekejap.”

“Ya, sekarang.”

“Aku kat entrance.”

“Okey.”

Faris melepaskan keluhan. Gara-gara perempuan, dia harus menjarakkan hati sebegini rupa. Akibat daripada seorang perempuan juga, dia bukan lagi seperti Faris lima tahun dulu.

“SAJA-SAJA dia tu, Lisa.” Mami June cuba berdiplomasi. Suaranya dilunakkan. “Okeylah, nanti mami ke sana,” janji Mami June. “Jangan ambil hati sangat dengan Faris tu. Dia memang selalu macam tu. Tapi hatinya baik tau, Lisa.” Apa lagi yang mampu Mami June jual? Tentulah dengan perkataan baik itu sahaja untuk Faris. Sedangkan ‘baik’ itu telah beberapa tahun hilang daripada diri Faris.

Setelah beberapa ayat bertukar antara mereka dan berpamitan salam, Mami June menamatkan panggilan. Dia mengeluh kecewa. Nasib baiklah Faris tidak ada di depannya sekarang. Jika tidak, mulutnya ini mahu juga meluahkan kata-kata tidak puas hati.

Adakah patut Faris meninggalkan keretanya kepada Melissa? Dia sedarkah siapa Melissa itu? Dia ingat Melissa itu pemandunya atau mekaniknya? Lama berfikir, Mami June kembali ke dada komputer ribanya.

 

Jururawat Peribadi Wanita Diperlukan

Tugas menjaga seorang wanita yang sedang

koma berusia 57 tahun.

Keutamaan kepada wanita belum berumah tangga.

Waktu bekerja lima hari seminggu (8.00 pagi hingga 6.00 petang).

Tidak perlu memasak dan membuat kerja rumah.

 

Tugasan:

Membersihkan badan ( tukar lampin pakai buang, lap badan, syampu rambut, potong kuku dan beberapa lagi)

Membantu melakukan latihan pergerakan secara berskala setiap hari

Mengawasi keadaan pesakit dari semasa ke semasa.

Gaji : RM900.00 (sebulan)

Pengangkutan : RM10 (sehari)

Kerja lebih masa hujung minggu (Sabtu dan Ahad) : RM7 (sejam)

Makan minum disediakan

 

Masuk kali ini telah tujuh kali dia mengiklankan jawatan sama. Semuanya masih belum mendatangkan hasil. Belum ada seorang pun yang sanggup menyahut cabaran jawatan ini. Hendak menggaji pembantu rumah luar negara, dia kurang yakin. Malah di rumah ini, Mak Jah – pembantu rumah mereka semenjak dahulu lagi tidak pernah bertukar. Hanya disebabkan usia Mak Jah yang tidak lagi segagah dululah, Mami June harus mencari orang lain untuk menjalankan tugas-tugas rutin di kamar kakaknya itu.

Bukannya tidak ada langsung yang sanggup membuat kerja ini. Ada. Malangnya semua sempat bertahan untuk sebulan dua sahaja. Semuanya disebabkan mulut bisa anak saudaranya. Kalaulah ada robot yang boleh buat kerja macam itu, pasti dia tidak berhempas pulas mencari orang. Bila dia merungut begitu di depan anak saudaranya itu, Faris meradang.

Lagi sekali dia membaca iklan yang bakal diiklankan di akhbar nanti. Iklan sama juga dua bulan lepas. Hanya terdapat beberapa tambahan di imbuhan termasuk bayaran kerja lebih masa dan pengangkutan. Segala-galanya untuk menarik perhatian. Lumayan betul sekarang sumber pendapatan kerja di Malaysia.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203283/Nota-Cinta-Origami

[SNEAK PEEK] SALAFI

SALAFI Oleh Shaz Johar

“Abang, you nak tanya I apa lagi? Dah sah-sah ustad salafi tu yang bunuh adik dia. I tau tu semua bukannya kemalangan. Please lah!” Kimk menjeling tajam kepada pegawai polis itu. Rokok yang ada di atas meja, dinyalakan sebatang.

“Awak tau kan tuduhan awak tu berat? Awak tau apa hukumannya orang yang menuduh tanpa bukti?”

“Masuk neraka?” soalnya semula.

“Well, ya, betul… tapi dalam undang-undang kita…”

Dia mendengus, “Ah, undang-undang! Undang-undang Malaysia ni sesiapa je boleh tukarlah, Bang. Undang-undang ikut mood.”

Pegawai polis itu berdehem.

“So you nak bukti apa lagi? Sepanjang Fatihah hidup dalam keluarga tu, dia beritahu I yang dia tak pernah sekalipun rasa happy. You tau tak dia pernah sampai nak bunuh diri sebab stress dengan hidup?”

“Damn, Kim. Kau dah janji jangan beritahu sesiapa hal ni!” teriakku.

“Bunuh diri?” tanya pegawai polis itu semula. Matanya mengecil.

“Yes!”

“Bunuh diri macam mana? Awak pernah nampak?”

“Yes.”

“Kim! Jangan cerita!” tegahku.

“Kat mana?”

“Please, Kim.”

Nafasnya dihela perlahan. Dia memandang ke bawah. “I think I am done speaking,” jawabnya tiba-tiba sambil membetul-betulkan duduk.

“Alright. Kalau awak tak nak cerita kat sini, maybe awak boleh cerita kat court nanti,” kata pegawai polis itu ketika menarik sebatang rokok di atas meja itu juga.

Kimk hanya mengangkat bahu.

Selesai menyalakan rokoknya, pegawai polis itu cuba menanyakan soalan yang lain pula. “Encik Qayyum…”

“Kim, please.”

Pegawai polis itu tersenyum sambil menggosok-gosok hidung. “Awak tau Bukhari tu ada anak yang masih kecil, kan?”

“Ya.”

“Awak sedar tak tuduhan awak boleh buatkan dia terpisah dengan keluarga dia? Kalau dia didapati bersalah, mungkin dia akan meringkuk lama dalam penjara. Atau dihukum mati. Awak boleh bayangkan kehidupan anak kecil dia nanti? Membesar tanpa bapa?”

“Boleh. I pun membesar tanpa bapak. In fact, I tak tau pun siapa bapa I. So?”

Pegawai polis itu merenung tajam.

“Abang, I nak lelaki tu mati. Biar dia dapat balasan yang sama dengan apa yang dia dah buat dekat Fatihah. Faham?” soalnya lagi sebelum mencucuh rokok di jarinya ke ashtray.

──♦──

Lapan bulan sebelum itu.

Esoknya aku pergi ke pejabat seperti biasa. Biasanya Abang yang menghantar dan menjemputku tetapi hari itu aku bekerja syif tengah hari, jadi aku terpaksa berjalan untuk menaiki tren.

Aku baru sebulan bekerja di situ, sebuah syarikat yang bertanggungjawab mengendalikan keperluan rencam dan perkhidmatan pelanggan. Seminggu pertama bekerja, aku dilatih dan diperkenalkan dengan ciri-ciri dan tugas asas. Tugasku mudah, hanya melayan kerenah pelanggan yang kaya di telefon, periksa akaun dan uruskan segala permintaan bodoh mereka. Hari pertama aku dilatih bagaimana menggunakan sistem. Hari kedua dan ketiga, aku diajar pula tentang servis dan produk. Hari keempat dan kelima, aku sudahpun berada di ‘call floor’, duduk di sebelah pekerja senior, menyaksikan bagaimana mereka melayan panggilan.

Aku dipasangkan dengan Kimk. Pekerja contoh, kata bos. Juga seorang pelakon yang hebat, kata-kata rakan sekerja lain. Mulutnya manis ketika di talian, sehalus sutera nadanya, tetapi setiap kali dia menekan butang mute atau hold, dia akan menyumpah-seranah pelanggan itu. Dan sebaik saja talian bersambung semula, automatik suara halus manjanya menjelma.

Aku perhatikan dia memang begitu saban hari, tidak pernah gembira dengan apa yang dilakukan. Kata Kimk, niatnya bekerja di situ hanya untuk mengumpul duit untuk membesarkan buah dada dan membetulkan hidung di Bangkok. Apabila cita-citanya tercapai nanti, dia akan mula mencari kerja di bidang lain pula.

Aku doakan semoga dia berjaya.

Dia seorang yang lucu. Tidak pernah kami semua, rakan sepejabat, tidak terhibur dengan kehadirannya. Jika dia bercuti atau tidak hadir, aku rasa seolah-olah satu bangunan itu seperti diserang garuda. Dia sering mengajarku cara bekerja dengan betul. “Nok, bos nak kau datang on time je hari-hari. Lepas tu, jangan amik MC. Kau stay back sampai tengah malam pun, tapi kalau kau datang lambat, MC, kau ingat dia nak pandang ke usaha gigih kau tu?” pesannya. “Lepas tu segala mak bapak claim, OT ke, taxi ke, mileage ke, claim betul-betul. Kau kena simpan satu copy. Kau jangan percaya sangat dengan HR tu. Dia orang tu kerja nak berangaaaan je… plus, dia orang bukannya jaga claim kau sorang, so chances nak buat silap tu banyak,” tambahnya cuba memberikan tips.

Dia juga suka menceritakan tentang perihal seorang demi seorang rakan sekerja. Yang mana yang kena dijaga, yang mana yang harus diperhati, yang mana yang perlu dirapat, dibodek atau dielakkan. Dia tidak mahu aku terjebak dalam kumpulan yang salah.

“Kat sini kau buat hal kau dah. Siapkan kerja kau, balik. Esok, start hari baru. Tak payah nak pening-pening dengan hidup orang lain. Kalau kau tak puas hati, kau email kan je kat bos. Tapi satu je aku nak pesan, bos bukannya suka sangat pun kalau kau rajin e-mail dia. Kau kena tunjukkan jugak yang kau rajin buat kerja. Orang yang kaki komplen macam Chan ni, tapi kerja sendiri pun to the sea, kuat tidur, mak pun rengsa, nyah! Eh, tersebut nama pulak,” guraunya walaupun Chan ada di sebelah waktu itu.

Chan hanya menjeling. Dia memang kaki tidur, dengkurnya boleh terdengar hingga ke pejabat sebelah.

Hari itu sewaktu aku melangkah masuk ke dalam pejabat, aku lihat tempat duduk di sebelahnya kosong. Tempat duduk kami di dalam pejabat itu sering bertukar. Sistem itu dipanggil hot seat kerana konsepnya bebas, terpulang kepada sesiapa yang mahu duduk di mana asalkan kerja mereka langsai. Ada juga yang suka book tempat duduk sendiri walaupun perbuatan itu dilarang. Kebiasaannya pekerja senior yang suka membuat perangai begitu.

Kata Kimk, “Kau persetankan saja mereka. Yang penting kau log-in on time. Tak payah nak tawaf satu ofis ni cari tempat duduk semata-mata nak jaga tempat orang. Kau rebut je mana yang kosong. Kalau orang tu bising, kau beritahu bos. Simple.”

Dan aku simpan kemas nasihatnya itu jauh di lubuk hati.

“Ada sesiapa yang duduk kat sebelah kau?” soalku ketika meletakkan beg di bawah meja.

“Tak,” jawab Kimk sambil mencabut earphone di telinganya. Telefon bimbitnya disorokkan di celah pahanya yang tebal. Kami tidak dibenarkan bermain telefon bimbit ketika bertugas tetapi tiada seorang pun yang patuh pada peraturan itu.

“Banyak call?”

“OK lah. Manageable.”

“Siapa MC hari ni?”

“Seperti biasa Joseph, Raja MC. Dengan Tasha, wanita no show. Dah dua hari dia no show tapi kau tengoklah, esok dia datang, mulalah dia keluarkan drama dia. Mak sakitlah, datuk meninggallah, masuk hospitallah. Tak faham!” Dia menjeling.

“Dulu kat tempat kerja lama aku, kalau dua hari no show dah consider self-termination dah. Kenapa kat sini dia orang tak kena buang lagi?”

“Bos kau kan maha penyayang?”

Aku mengangguk. “Pastu susahkan yang lain sebab kena cover kerja orang yang tak datang ke camna?”

“Ha, macam tu lah nampaknya.”

“Kau orang tak komplen ke?”

“Nok, dah berbuih dah mulut aku ni komplen. Setiap meeting cerita benda yang sama je. Malas dah aku. Lagipun kau ingat lipstick Kylie yang aku pakai ni murah ke kalau kerja aku nak membebel je?”

Aku tersenyum. Walhal setiap hari memang kerjanya membebel pun di telefon. “Mak kau camne? Dah OK dah?”

“Dah OK dah. Akak aku ada tolong jaga dia. Eh, kau ni dah log-in ke belum? Dah pukul berapa dah ni?”

Ya tak ya juga, leka berbual kadang-kadang buat aku lambat log-in. Lambat log-in bermaksud aku lambat memulakan tugas. Tiga kali lambat memulakan tugas aku bakal dikenakan coaching letter.

Lalu cepat-cepat aku menukar status di sistem telefon itu kepada Agent Available.

“Golden Card Services, my name is Farrah, how can I assist you?” ucapku pada panggilan pertama yang tiba-tiba masuk.

──♦──

Waktu makan aku dijadualkan sekitar pukul 4 petang. Hari itu sekali lagi aku keluar sendirian kerana yang pertama, aku malas hendak menunggu orang lain untuk keluar bersama-sama. Kedua, aku malas mahu mengikut kerenah mereka ke hulu ke hilir membuang masa. Ketiga, aku memang lebih senang seorang diri. Dan keempat, aku mahu ke kafe Ali untuk mendapatkan pumpkin pie percuma seperti yang dijanjikan.

Aku keluar selepas selesai menjawab panggilan seorang pelanggan yang mahu aku aturkan limosin mewah dari lapangan terbang untuk pulang ke rumahnya. Pelanggan itu seorang selebriti tanah air, bekas pelakon 90-an yang telah pun mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki kaya. Orangnya cantik, sentiasa lemah-lembut di telefon.

Sebelum masuk ke kafe Ali, sempat aku singgah ke dalam tandas dahulu. Aku mahu sapukan gincu Maybelline yang aku beli dari Watsons untuk kelihatan lebih berseri. Itu saja alat mekap yang aku reti guna selain bedak. Jangan disuruh aku tampalkan muka dengan foundation, blusher ataupun maskara kerana aku memang fail. Kening pun aku biarkan saja tebal tidak berusik. Sering juga Kimk memarahiku kerana tidak menarah kening sepertinya tetapi aku bimbang Abang mengamuk jika dia terlihatnya nanti.

Bukankah mencukur kening itu satu dosa?

Seperti biasa kafe Ali kelihatan sibuk ketika aku melangkah masuk. Aku tercari-cari juga Ali tetapi dia tiada di situ. Hati berkira-kira sama ada mahu terus beratur membeli roti dan kopi atau pergi saja ke gerai berhampiran untuk membeli nasi campur, tapi baru saja aku membuat keputusan untuk keluar, kedengaran satu suara lembut menyapa dari belakang.

Aku tersenyum sebelum berpaling.

“Awak boleh duduk dulu. Kejap lagi saya hantar pesanan awak,” kata Ali.

“Saya belum pesan apa pun lagi,” jawabku cuba mengawal suara dengan ayu.

“Tak apa. Saya dah buat something special untuk awak,” balasnya sambil mengangkat kening.

Dengan hati yang berbunga-bunga, aku mencari tempat duduk selepas itu. Aku tidak tahu apa sajian istimewa yang dibuatnya tetapi terus-terang aku katakan yang aku cukup teruja diperlakukan sedemikian rupa. Bukan apa, perempuan kampung macam aku memang jarang-jarang dipandang istimewa oleh orang lain, apatah lagi lelaki kota seperti dia.

Lalu aku memilih untuk duduk di sebuah meja kosong di tepi tingkap. Panas sedikit kerana tepat dipancar sinar mentari tetapi hanya itu meja yang belum bertuan. Sambil menunggu, aku terus termenung, berangankan tentang lelaki itu dan apa lagi yang kurang dengannya. Wajahnya manis, tutur katanya lembut, apa tidak sesuaikah untuk aku jadikan teman lelaki sendiri?

Kemudian belum jauh lamunan itu melayang, wajah Abang datang menyergah di tengah-tengah. Dia kelihatan cukup serius memandang Ali dan aku dari atas ke bawah. Dari riaknya aku tahu dia tidak setuju dengan pilihan aku. Aku dapat rasakan yang dia menganggap Ali masih belum cukup bekalan agama untuk membimbing aku dan keluarga kami nanti ke syurga.

“Excuse me. Jauhnya termenung…” sindir Ali sambil membawakan sedulang pumpkin pie dan ice blended mango ke depan muka.

“Sedapnya nampak… berapa ni?” soalku semula, berpura-pura terkejut.

“On us. Don’t worry about it.”

“Thanks.”

“Happy belated birthday. Makanlah. Saya nak gi layan customer lain, jap.”

“OK,” jawabku ringkas, memandang saja dia pergi. Bontotnya yang kecil itu berlenggang sedikit ketika melangkah, membuatkan aku tersengih. Comel.

Ali tidak datang selepas hampir sejam aku duduk di meja itu. Aku tidak salahkan dia kerana pelanggan terlalu ramai, jadi aku faham jika dia terpaksa memberi layanan yang lebih kepada orang yang berbelanja daripada aku yang makan secara percuma saja.

Setelah waktu rehatku tinggal lima minit saja lagi, aku cuba mengangkat tangan untuk memanggilnya. Aku tidak mahu terlambat masuk dan dalam masa yang sama aku juga tidak mahu terus pergi tanpa mengucapkan terima kasih.

Tetapi dia tidak perasan. Sekejap dia berlari ke dapur. Sekejap dia ke belakang kaunter. Sekejap lagi dia hilang. Kerana tidak mahu terus menunggu, aku tinggalkan saja piring dan mug yang telah kosong di atas meja begitu saja. Aku pandang sekali lagi ke belakang sebelum melangkah keluar tetapi kelibatnya masih tiada di situ.

Dengan hampa, aku berlalu pergi.

──♦──

Malam, selepas syifku tamat, aku sekali lagi berjalan ke kafe itu. Entah kenapa selepas masuk semula ke pejabat tadi hatiku rasa lain macam, antara rasa bersalah dan kempunan kerana tidak dapat berbual lama dengan Ali. Aku mahu tahu lebih lanjut tentang dirinya, tentang asal-usulnya dan yang paling penting, apakah dia masih belum berpunya kerana aku tak mahu merampas hak orang.

Dalam hati berharap sangat agar status kami sama: masih bujang dan sedang mencari.

Di dalam lif, sekali lagi aku sapukan gincu dan bedak sedikit ke wajah biar nampak segar. Aku tidak mahu kelihatan kusam setelah seharian bekerja. Minyak wangi Dato Vida yang aku beli dari rakan sekerja disembur ke seluruh badan biar wangiannya melekat. Setiba di bawah aku terus mengatur langkah ke kafe itu dengan satu niat, semoga Ali masih belum habis bekerja.

Aku intai kafe itu dari jauh. Hanya ada seorang dua pekerja di kaunter dan tiada seorang pelanggan pun. Dia aku lihat sedang tekun mengemas kini buku log panjang warna biru gelap.

“Assalamualaikum,” panggilku.

“Waalaikumsalam… eh hai… ada apa yang boleh saya bantu?” soalnya semula dengan tersenyum meleret.

“Tak ada apa-apa. Saya nak ucap terima kasih je.”

“Pasal?”

“Pasal lunch tadi.”

“Ah, no problem la. Kan saya dah kata saya nak belanja…”

Aku tersenyum. “Pukul berapa balik ni?”

“Nak baliklah kejap lagi ni. Awak?”

“Dah balik dah.” Abang telah beritahu tidak dapat menjemputku pulang malam itu, jadi aku terpaksa balik sendiri naik tren.

“Terus balik ke? Tak gi mana-mana?” soalnya.

Aku menggeleng. “Tak taulah. Macam malas nak balik tapi laparlah pulak…” Sengaja aku berikan jawapan sebegitu dengan harapan dia akan berkata, “Jomlah kita pergi makan? Saya pun lapar…”

Tetapi sangkaanku meleset. Dia sebaliknya berkata, “Malam ni tunang saya nak belanja saya makan. Hari ni hari jadi saya.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203221/salafi

[SNEAK PEEK] PUAKA

PUAKA Oleh Sahidzan Salleh

Guruh berdentum. Hujan turun. Petir menyambar sepohon pokok lalu terbakar. Nyalaan api menerangi kepekatan malam. Imam Jali menjulang tangan kanannya ke udara, tangan kiri disemat ke dada, menjerit takbir berulang kali. Disahut hilai tawa Maimunah, terawang-awang di depan pokok kayu yang menyala-nyala.

“Keluar kamu dari tubuhnya, Iblis Laknatullah!” Imam Jali melontar seketul batu kecil ke arah Maimunah, persis para haji melontar jamrah di Mekah.

Batu kecil yang mengena tubuh Maimunah itu umpama hujung pedang yang menusuk tubuhnya. Badannya melentik-lentik terapung di udara menahan sakit.
Dan ketika itu Imam Jali datang merapat, merentap kaki Maimunah untuk menariknya jatuh ke tanah.

Dia berpaling ke belakang lalu menjerit, “Razak! Cepat tahan isteri kamu ni!”

Razak yang berdiri ternganga dari tadi bingkas mendekati Imam Jali.

“Tahan badan isteri kamu, jangan biarkan dia bergerak.”

Razak sedaya upaya menurut arahan imam itu, menahan tubuh isterinya yang kerasukan.

Imam Jali beralih tempat. Dari kaki, dia pergi ke kepala Maimunah dan memegang dahi perempuan itu yang masih kuat meronta-ronta. Dia mula membacakan ayat penghalau jin dan syaitan berserta surah Yassin sementara Razak sampai keluar urat dahi dan lengan menahan kekuatan luar biasa isterinya itu.

Maimunah membuntangkan matanya, menjerit kesakitan berkali-kali. Dia merasakan tubuhnya sedang dipanggang di atas api. Sesekali dia memandang Razak dan riak wajahnya berubah, meminta simpati daripada suaminya itu agar dia dilepaskan. Dan setiap kali itu jugalah, Imam Jali berpesan pada Razak, jangan sesekali lepaskan isterinya itu. Itu bukan isterinya lagi!

Isteri aku dah mati! Maimunah dah mati! bisik Razak dalam hati dan cuba untuk tidak melihat wajah isterinya itu.

“Allahuakbar!!” Imam Jali bertempik takbir buat kali terakhir.

Hujan tiba-tiba saja berhenti. Angin kencang reda. Api yang membakar di pokok ara itu padam perlahan-lahan.

Maimunah menutup mata, kaku tidak bergerak lagi. Razak menangis teresak-esak sambil memeluk jasad isterinya dan menjerit tanpa suara. Fokus kamera bergerak menjauhi Razak lalu malap perlahan-lahan.

“Sesungguhnya, syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia…”

Lampu menyala berserta sorak-sorai para penonton tayangan perdana filem Hantu Maimunah. Kebanyakan penonton bangun dari tempat duduk dan memberikan standing ovation kepada sutradaranya Farouk Husin, dan Farouk Husin pun bangun menunjuk ke arah barisan pelakon yang sedang melambai-lambai ke arah penonton di sekeliling mereka.

“See… I dah kata, filem kita kali ni meletup,” ujar Rita yang memegang watak Maimunah pada Amirul Amir.

“You memang mantap,” puji Amirul pula sambil tersenyum.

“Ah! Come on. Orang nak tengok filem ni sebab you, kot.”

Jeritan peminat makin mengisi ruang panggung. Kebanyakannya memuji lakonan mantap Amirul Amir yang memegang watak sebagai Razak. Namanya yang sudah lama dikenali di persada seni tanah air kian mekar. Dia telah memenangi pelbagai anugerah sejak beberapa tahun kebelakangan dan tidak mustahil tahun itu, namanya sekali lagi akan dinobatkan sebagai pelakon filem terbaik negara.

Percikan lampu kamera meletup-letup menangkap gambar Amirul keluar dari panggung. Peminat yang mula mengerumuninya terpaksa dikawal petugas. Jeritan pujian terus bergema namun segala jeritan dan percikan lampu kamera itu tiba-tiba saja lenyap bila dia terpandang kelibat seorang perempuan sedang memerhatikannya di satu sudut panggung.

Perempuan itu tersenyum kepadanya.

Wajahnya berkerut. Langkahnya dimatikan. Dia cuba lihat betul-betul perempuan itu namun pandangannya terhadang oleh seorang fotografer.

“Senyum sikit Amirul!” arah fotografer itu sambil membidik kameranya.

Beberapa fotografer lain juga muncul.Dia memanjangkan leher tercari-cari perempuan yang tersenyum kepadanya tadi tetapi perempuan itu sudah tiada lagi di situ. Tangannya mula berasa sejuk.

“Mirul! Berdiri rapat sikit dengan Rita, please!” jerit seorang fotografer dan tiba-tiba saja lengannya dipegang seseorang sehingga membuatkan dia tersentak.

Rita berdiri di sisinya sambil tersenyum manis pada percikan-percikan kamera di depan mereka. Dia kekok, masih tertoleh-toleh ke sana sini mencari kelibat perempuan tadi.

Tidak jauh dari tempatnya berdiri, dia nampak Patrick sedang mesra bersembang dengan beberapa krew penerbitan filem Hantu Maimunah. Sambil tersenyum pada kamera, dia keluarkan telefon bimbitnya dan menghubungi Patrick. Dia dapat lihat wajah Patrcik berkerut menatap telefonnya itu lalu memandang ke arahnya. Dia angkat tangan dan memberikan signal agar mereka segera beredar dari situ.


“Apasal you diam je ni?” tanya Patrick.

Amirul hanya mengeluh. Fikirannya masih terganggu.

“Tadi I tengok Rita tu bukan main mesra lagi berkepit dengan you,” kata Patrick lagi sambil tertawa. “Nak menumpang kasihlah tu.”

Amirul masih juga berdiam diri. Dia hanya merenung kerdipan neon di tepi jalan.

Kereta mereka dipandu Patrick meluncur laju menuju ke Emerald Condo.

Patrick berasa pelik melihat Amirul yang diam membatu. Aku ada buat salahkah? Dia berdehem.

“Takkan you jealous kot I sembang dengan Liu tadi?”

Dahi Amirul berkerut, menoleh ke arah Patrick di bangku pemandu. “I don’t give a shit you nak bersembang dengan siapa pun.”

“Woah! Apasal marah sangat ni?” Patrick menggeleng. “Ni betul ke nak balik terus ni? Kita singgah supperlah kat mana-mana dulu?”

Amirul menarik nafas panjang. “I penat okey. I takde mood. Hantar je I balik.”

Sebagai PA pada pelakon terkenal itu, Patrick akur. Mungkin Amirul memang betul letih tapi dia tak pernah melihat Amirul hilang mood sebegitu, apatah lagi pada malam tayangan perdana filem lakonannya.

Tiba di Emerald Condo, Patrick mahu menemani Amirul naik ke atas tapi Amirul mengelak. “I perlukan masa untuk bersendiri malam ni,” jelasnya. “Kita jumpa esok saja.”

Patrick tiba-tiba berasa tersisih. Dia menanti saja Amirul melangkah masuk ke lif, dan bila pintu lif tertutup baru dia beredar dari situ.

Masuk saja ke rumah, Amirul bergegas ke bilik tidurnya. Dia menarik laci di bahagian bawah katil. Lipatan cadar dan selimut di situ dialihkan dan tangannya meraba-raba ke dalam laci itu. Terpegang saja benda yang dicari, tangannya ditarik keluar.

Hatinya lega bila melihat sebuah peti kecil di tangannya. Sambil duduk di lantai dan menyandar ke katil, dia membuka peti kecil itu dan mengeluarkan bungkusan kain kecil warna kuning. Peti kecil itu diletakkan ke lantai. Bungkusan kain kuning itu pula dibuka perlahan-lahan. Melihat kandungan bungkusan kain itu, dia menarik nafas dalam. Kepalanya ditoleh ke sisi untuk memandang kalendar di atas meja di tepi katil.

Shit!

Dia masukkan semula bungkusan kain itu ke dalam peti. Kemudian dia bangun dan keluarkan telefon bimbit. Belum sempat dia menghubungi sesiapa, telefonnya berdering tanpa sebarang nombor terpapar di skrin. Butang jawab disentuh lalu telefon itu dirapatkan ke telinga. Dia menanti suara si pemanggil namun tak kunjung tiba, seolah-olah si pemanggil juga sedang menantinya bercakap dahulu.

“Hello?” Akhirnya dia mengalah.

“Hello.” Suara lelaki.

“Siapa ni?”

Senyap. Hanya dengusan nafas yang kedengaran.

“Patrick?”

“Patrick tiada di sini, Amirul,” jawab si pemanggil.

Dia cuba mengecam suara itu yang perlahan-lahan kembali muncul di ingatan.

“Cepat betul kau lupakan aku,” sambung si pemanggil itu sebelum ketawa.

“Jack… Jack D?”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/201552/puaka

[REVIEW] NIKAHI AKU KERANA DIA

NIKAHI AKU KERANA DIA Oleh Teja Elliza

“Siapa yang buntingkan kau? Cakap!”

Semuanya bermula atas dasar salah meneka. Dek tindakan orang lain terhadap MARYAM DARLEENA, akhirnya dia yang menerima akibatnya. Sakit, kecewa dan sengsara dibawanya bersama meninggalkan semua yang pernah disayanginya. Semenjak peristiwa itu, dia selalu mengingatkan orang lain, bahawasanya apa yang kita lihat tak semestinya menunjukkan perkara sebenar.

MARYAM DARLEENA cuba melalui masa depannya tanpa memikirkan tentang kekurangannya itu. Tapi setiap kali dia jatuh cinta, itulah perkara pertama yang ditakutinya. Sehinggalah… jodoh itu menariknya kuat dan takkan mampu dielak. Mampukah Maryam Darleena terus sendiri tanpa cinta, hanya disebabkan kenangan hitam itu?

“Jangan, bang. Cukuplah sekali Mar kecewa. Mar tak mampu untuk kecewa kali kedua. Mar tak sempurna untuk abang. Jangan memberi harapan kepada diri sendiri mahupun Mar. Abang cuma bersimpati. Bila simpati hilang, abang akan membenci Mar.”

TUAH ITHAR sangat menyayangi gadis itu. Namun akibat tak sabar menanti lebih lama, gadis itu meninggalkannya tanpa kata. Sedang merawat kekecewaan, dia dipertemukan dengan seorang gadis lain yang sangat tabah. Dan dia yakin itulah gadis yang tepat untuk dilindunginya sekaligus melengkapi dirinya. Mengapa sukar sekali hendak mendapatkan jiwa itu? Jika lafaz cinta diterima, mengapa seolah-olah menindakkan perasaan?

Tuah Ithar buntu dengan gadis penuh rahsia itu, bertambah kusut apabila satu persatu masalah datang tanpa disangka. Dan jika gadis yang menjadi pilihan hati Tuah Ithar itu menerimanya dengan rela, adakah Tuah Ithar mampu menerima hakikat yang segala impiannya tidak akan menjadi kenyataan?

“Abang lelaki yang tidak sempurna. Abang cuba menjadi sempurna tetapi jangan biarkan abang lemas setelah abang karam. Tariklah tangan abang supaya abang dapat bernafas semula.”


Buku ni admin tertarik untuk beli disebabkan tajuknya. Macam tajuk cerita indon gitu. Contohnya macam ayat-ayat cinta. Ternyata admin tak silap memilih. Admin andaikan yang cerita ini berat tapi admin salah. Admin merasai pelbagai rasa. Ada sedih dan ada lucu.

Cerita mengisahkan Ithar yang berkahwin dengan Maryam walaupun dia tahu Maryam tiada rahim. Pada mulanya mereka hidup bahagia tetapi bekas tunang Ithar datang menjadi orang ketiga menyebabkan rumahtangga mereka bergoyang. Maryam redha kerana dia tahu wanita tanpa rahim sepertinya takkan mengecap bahagia.

Lekir, adik Ithar berkahwin dengan Darfina akibat fitnah. Walaupun Darfina marah dengan perkahwinan itu tetapi Lekir menjaga Darfina dengan baik.

Admin tak pandai nak review cuma admin suka garapan penulis. Dalam kesedihan, penulis telah mencipta watak Makcik Wok yang bisa buat stress admin hilang akibat geram akan konflik yang melanda.

Jika mahu lebih lagi sila dapatkan buku ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/58261/nikahi-aku-kerana-dia

[SNEAK PEEK] AKU ALERGIK CINTA

AKU ALERGIK CINTA Oleh Ilyana Hani

PENAT Aizam berjalan menemani Aifa. Adiknya itu kalau sudah mula membeli-belah, bukannya satu kedai dijelajah, sepuluh kedai pun belum tentu dapat memuaskan hatinya. Masuk kedai pertama, tidak minat! Katanya baju terlalu ikut bentuk badan. Masuk kedai kedua, masih sama, tidak minat! Katanya baju terlalu banyak labuci. Masuk kedai ketiga, tidak minat juga! Katanya warna baju terlalu terang. Masuk kedai keempat, masih sama tidak berminat! Jika tadi baju terlalu terang, sekarang alasannya baju terlalu pudar.

Aduh, dia sendiri tidak tahu cita rasa Aifa. Susah benar mahu mencari baju yang menepati cita rasa gadis itu.

“Lambat lagi ke? Lepas ni, Aifa beli baju hujanlah. Senang sikit! Tak payah guna payung. Ataupun, Aifa beli baju tidur pergi kerja. Balik aje dari kerja, terus tidur. Bangun aje tidur, boleh terus pergi kerja. Tak payah nak beli baju banyak-banyak.”

Jelingan tajam yang dihadiahkan Aifa tidak dipedulikan. Perkara yang lebih penting sekarang, kakinya sudah kebas. Sudahlah Aifa berseronok membeli-belah, barang-barang yang dibeli dia juga kena pegang. Menonong Aizam mengikut langkah kaki Aifa. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meninggalkan semua barang Aifa. Biar adiknya membawa barangnya yang berat berkilo-kilo itu sendiri.

“Kalau abang bosan, tinggalkan aje Aifa di sini. Nanti pandai-pandailah Aifa balik sendiri naik teksi,” ujar Aifa tanpa memandang sekilas pun pada Aizam.

Tumpuannya hanyalah pada baju yang menarik perhatiannya.

Aizam mencebik. Bolehlah adiknya bersuara begitu, kerana ibu dan ayah sudah memberi amanah untuk dia menemani Aifa membeli-belah hari ini. Kenapalah dalam banyak-banyak perkara yang boleh dibuat, ibu dan ayah meminta dia menemani Aifa membeli belah? Dia lebih rela mop lantai keliling pusat beli-belah daripada menyuruh menemani Aifa. Sama sahaja penatnya. Jika dia mop lantai, dia perlu mengelilingi pusat beli-belah hanya sekali. Tetapi jika menemani Aifa, dia perlu mengelilingi lebih daripada sekali.

Hati Aifa bukan boleh diduga. Andai hatinya kembali tertarik kepada baju yang dia lihat di kedai sebelumnya, dia akan mencari kembali kedai itu dan membeli baju berkenaan. Waimanya, berpusing-pusing kiri, kanan, atas dan bawah pun dia sanggup asalkan dia dapat membeli baju itu. Susah betul kalau membeli-belah dengan gadis bernama Aifa ni!

“Mengumpat dalam hatilah tu!” Aifa menyergah dari belakang.

“Dah tu, shopping mengalahkan anak jutawan. Kita keluar rumah pukul 2.00 tadi tau. Sekarang dah hampir pukul 5.00. Asar pun belum lagi ni. Jom pergi solat dulu. Lepas tu, kalau Aifa nak sambung shopping sampai subuh pun ikutlah. Tapi jangan lupa, solat maghrib dan isyak dulu,” bebel Aizam.

“Over!” Hanya sepatah Aifa membidas sebelum berjalan meninggalkan lelaki yang masih elok duduk di kerusi itu. Jeritan Aizam yang memanggil namanya tidak dipedulikan. Biarkan lelaki itu penat mengejarnya. Padan muka!

“Kebas kaki ni kalau ikut Aifa shopping. Lain kali, lebih baik shopping online aje. Badan pun tak penat, kaki tak letih, jiwa tak terseksa. Betullah orang cakap, kalau perempuan shopping memang susah nak diduga.” Mulut Aizam masih tidak berhenti membebel apabila dia berjaya menyaingi langkah Aifa. “Jom solat.” Dia kembali bersuara apabila Aifa masih diam.

“Abang pergilah solat. Aifa nak sambung jalan-jalan tengok baju.”

“Solatlah dulu. Baju tu, lepas solat boleh tengok.”

“Aifa cuti. Abang pergilah surau dulu. Nanti dah habis solat, abang telefon Aifa. Kita catch up dekat mana-mana, okey?”

Langkahnya kembali diatur laju meninggalkan Aizam. Baru tiga tapak melangkah, dia kembali menoleh ke belakang.

“Barang-barang Aifa tu abang pegang dulu ya. Abang seorang yang gentleman, kan? Tolonglah pegangkan, ya. Bye!” Tangannya dilambai-lambaikan, sengaja mahu menambah darjah kepanasan di hati Aizam.

“Nasib badan!” Aizam merungut. Inilah yang membuatkan dia malas mahu menemani Aifa membeli-belah. Sukar benar mahu penuhi keinginannya. Dia mengatur langkah ke surau.

AIZAM meletakkan barang-barang yang dibeli di kerusi sebelum dia duduk berhadapan Aifa. Makanan di atas meja dipandang dengan senyuman. Inilah kelebihan Aifa. Adiknya itu tahu benar cara mengambil hatinya. Makanan kegemarannya sudah siap berada di atas meja.

“Terima kasih sebab teman Aifa petang ni. Sayang abang!” Suaranya dilunakkan. Inilah strateginya, selepas membuli dia akan kembali membeli hati. Hebatkan Aifa Nabila? Kalau bukan Aizam yang menemaninya membeli belah, siapa lagi mahu diharapkan?

“Waktu sekarang baru nak sayang abangkan? Kalau tak, asyik cari gaduh aje.” Dia bersuara tanpa memandang sekilas pun pada Aifa. Tumpuannya sudah beralih ke arah makanan yang berjaya membuatkan perutnya bertukar irama keroncong.

“Gaduh-gaduh sayang tu perlu, supaya kita jadi lebih mesra.” Mata Aifa dikenyit nakal.

Dia tahu… jauh disudut hati, Aizam benar-benar menyayanginya. Cuma, biasalah bebelan kecil kerana letih menemaninya membeli-belah itu selalu didengarnya. Kerana itulah ibu dan ayah jarang benar mahu menemaninya membeli-belah.

“Aifa, dah tahu ke belum esok ada orang baru nak masuk rumah Syafiq?” Aizam mengubah topik perbualan. Malas dia mahu mempersoalkan mengenai letih menemani adiknya yang seorang itu. Kalau sejuta kali dia menyebut letih sekalipun, dia masih perlu menemani Aifa juga. Eh, bukan perlu tetapi wajib! W.A.J.I.B.

“Fiq nak kahwin ke?” soal Aifa teruja. Sudu dan garpu diletakkan di bibir pinggan. Dia mahu fokus mendengar berita panas ini.

“Agak-agaklah kalau nak tanya soalan.” Aizam melepaskan tawa, menampakkan barisan giginya. Kelakar benar soalan Aifa.

“Apa yang lawaknya?” Aifa bengang. Betullah soalan yang dia tanya.

“Tak logik betul! Esok dah masuk orang baru, tiba-tiba tanya Fiq nak kahwin ke? Tak mungkin dia kahwin dalam masa sehari aje. Tak jemput kita pula tu!” Tawa Aizam masih bersisa.

Aifa mencebik. Menyampah dia dengar tawa yang masih bersisa itu. “Siapa tahu kalau tiba-tiba Fiq kahwin tak jemput kita.” Dia masih mahu mempertahankan kata-katanya.

“Fiq tu nama aje ada girlfriend, tapi ura-ura nak kahwin tak dengar langsung,” bidas Aizam.

“Siapa tahu kalau mak ayah dia carikan calon? Sekarang ni pun masih ada orang kahwin dengan calon pilihan mak dan ayah. Bahagia sampai ke akhir hayat tau,” bidas Aifa, masih tidak mahu mengalah. ‘Ini Aifa! Pantang menyerah! Juara petah bicara sewaktu zaman tadika tau!’

“Kalau macam tu, bolehlah abang suruh ibu dengan ayah carikan jodoh untuk Aifa. Kahwin, dan insya-ALLAH bahagia sampai ke akhir hayat.”

Aifa menjeling Aizam dengan tajam. Alamak, dia tersalah cakap lagi! Pantang betul adiknya itu diutarakan topik seperti ini. Entah bila prinsip Aifa akan berubah?

“Nak sambung kes pagi tadi ke?” Sinis soalan yang ditanya. Kalau lelaki di hadapannya ini mahu meneruskan gelanggang perdebatan, dia sanggup!

“Abang mengalah!” Kedua-dua tangan, Aizam angkat. Lemah benar dia dengan isu ini.

Aifa tersenyum. “Abang, nampak tak kedai buku dekat tingkat atas tadi?”

“Tak payah buat soalan poyo, cakap ajelah nak abang temankan beli novel baru. Jom! Lepas ni cakap tu biar terang, tak payah nak belok-belok. Abang dah kenal Aifa luar dan dalam. Cakap belok kiri kanan pun abang faham maksud dia.”

Aifa tersengih. Oh, inilah abang terbaik di dunia! Sudah arif benar dia dengan niat adiknya. Dia bangun saat Aizam sudah mula menapak keluar daripada food court itu. Baru sahaja dia mahu mengatur langkah, tubuhnya dilanggar dari belakang dan serentak itu dia merasakan tubuhnya sejuk disiram air.

“Maaf, saya tak sengaja. Cik okey ke?”

Suara lelaki memohon maaf jelas kedengaran di telinganya. Aifa pantas berpaling ke belakang. Sakit hatinya. Habis baju putih bercorak bunga kecil bertukar menjadi tompok-tompok perang. Tak pasal-pasal petang ini dia dimandikan dengan air teh ais!

“Maaf kau kata? Kau buta ke apa? Tak nampak aku nak jalan tadi?” Mencerlang matanya memandang lelaki yang memandikannya tadi.

“Maaf… saya betul-betul tak sengaja, cik. Cik yang jalan mengejut tadi. Tak sempat saya nak brek. Sebab itu saya terlanggar. Saya minta maaf sekali lagi.” Tisu yang kebetulan berada di tangan, digunakan untuk mengesat baju gadis di hadapannya.

“Kau dah kenapa? Ambil kesempatan nak raba badan aku ke?” Suara Aifa kembali menyinga. Tidak dipedulikan orang sekeliling yang memandang pelik ke arahnya.

Aizam yang melihat adegan sebabak itu terus berpatah balik mendapatkan adiknya. Aifa ini tidak boleh dibiarkan berseorangan dengan lelaki. Nanti habis semua lelaki akan dibuat musuh. Apatah lagi dengan lelaki yang mula mencipta sejarah buruk pada kali pertama bertemu seperti ini.

“Saya cuma nak kesat air, itu aje. Tak adanya saya nak ambil kesempatan.” Lelaki tu membela diri. Gadis di hadapannya dipandang dengan riak terkejut. Masih wujud golongan garang seperti ini! Hanya kerana tertumpahkan air, garangnya bagaikan ibu singa yang mengamuk kerana anaknya diganggu.

Aizam segera mendekati Aifa. “Sudahlah tu. Jom balik” Tangannya menarik lengan Aifa mengisyaratkan untuk balik tetapi gadis itu masih tidak berginjak seperti tadi.

“Kesat air konon. Macam aku tak tahu jenis lelaki macam kau ni memang suka ambil kesempatan pada kaum wanita. Tapi kau silap oranglah nak try. Aku bukan jenis perempuan macam tu. Faham!” Jari telunjuknya dihalakan tepat di hadapan wajah lelaki yang menumpahkan air tadi.

Tangan Aizam yang sedari tadi menarik lengannya agar mengikut dia beredar dari situ langsung tidak dihiraukan.

Aizam menggeleng kesal. Nampaknya Aifa kembali memulakan sengketa. Tanpa segan atau malu memulakan drama sebabak di food court. Tiba-tiba dia pula yang berasa malu kerana menjadi perhatian orang ramai.

“Saya tak ada niat lain. Kalau cik nak double minded bukan dengan saya sebab saya ni jenis straight to the point, tak pandai nak kelok-kelok. Kalau betul saya nak ambil kesempatan sekalipun, saya tak akan buat dekat orang macam cik. Saya tak berminat, maaf.” Suara lelaki itu yang pada mulanya keras mula berubah menjadi nada sinis. Masih wujud perempuan seperti ini? Kolot benar fikirannya.

“Maaf, encik! Kami pergi dulu. Maafkan adik saya.” Aizam yang sedari tadi diam mula bersuara apabila melihat drama sebabak adiknya bertambah kecoh. Tangan Aifa ditarik agar mengikuti langkahnya. Semakin lama dia membiarkan Aifa di situ, semakin teruk adegan sebabak itu akan berlangsung. Cukuplah Aifa menjadi pelakon tak berbayar di situ tadi.

Lelaki itu sekadar memandang gadis singa tadi ditarik oleh abangnya. Secara tiba-tiba dia merasakan hatinya berdebar laju. Kenapa ya? Mungkin berdebar kerana malu apabila melakonkan adegan sebabak tadi.

Gadis singa, wajahnya manis dan cantik dipandang. Tetapi perangai bengisnya itu menyesakkan jiwa. Gadis singa yang cun, sedap nama tu! ‘Ah, biarlah!’ Lelaki itu meninggalkan gelas teh ais yang masih berbaki separuh sebelum berjalan meninggalkan food court tersebut.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/75675/aku-alergik-cinta

[SNEAK PEEK] SUAMIKU MR. BLIND

SUAMIKU MR. BLIND Oleh Danisyarahmat

MENGENAI masalah yang dihadapi cucu pak cik, kami dah cuba sedaya upaya. Pak cik perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.” Doktor pakar mata yang bernama Farah itu lembut berbicara.

Haji Darus hanya diam membisu. Tidak tahu bagaimana hendak diterangkan kepada anak dan menantunya kelak. Tak sampai setengah tahun Aidil Zafran bersekolah di sini sudah begini nasibnya. Gerangan yang menganiaya cucunya itu pun dia tidak tahu. Puas ditanya empunya badan siapa punya angkara, jawabnya tidak tahu. Kusut fikirannya.

Tambah lagi, doktor itu mengatakan yang cucunya sudah tiada harapan hendak sembuh. Matanya rosak teruk. Hendak tak hendak, dia kena terima kenyataan yang Aidil Zafran akan kekal buta untuk seumur hidupnya kecuali jika ada insan sudi mendermakan mata.

“Doktor, tak dak cara lain ka? Kesian cucu pak cik… Dia muda lagi. Sekolahnya macam mana?” Soalan itu pula yang diulang-ulang tanya kepada Doktor Farah walaupun puas sudah doktor itu menyatakan bahawa Aidil Zafran sudah tiada peluang lagi.

“Macam ni la, pak cik. Saya keluarkan surat mengenai laporan mata Aidil Zafran. Lepas tu pak cik bawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat yang terdekat. Mereka tahu macam mana nak tolong. Pasal sekolah, pak cik tak perlu risau. Di Kedah ini pun ada sekolah yang sesuai untuk cucu pak cik. Nanti saya bagi nombor telefon St. Nicholas Home di Penang. Pak cik boleh dapat semua maklumat berkaitan OKU penglihatan ini daripada mereka,” terang Doktor Farah lembut. Mendengar penerangan doktor pakar itu, Haji Darus berasa lega. Tahulah dia macam mana untuk selesaikan masalah persekolahan Aidil Zafran.

AIDIL ZAFRAN masih lagi lemah. Matanya berbalut tebal. Dunianya kelam. Gelap gelita. Dia jadi takut. Bagaimana jika seumur hidupnya dia akan hidup dalam kegelapan? Katakata budak skema itu seakan-akan terdengar di pelupuk telinganya. Seperti sedang ketawa mengejek.

“Kalau kau buta lagi bagus. Tak adalah nak menyemak buat masalah di sekolah lagi.” Dia menekup telinga dengan kedua-dua belah tapak tangan. Tapi suara itu makin galak didengarinya.

“Aidil… Aidil… Ini tok wan, Aidil.” Suara garau datuknya lembut menyapa gegendang telinganya. Dia menggagau mencari tubuh tua datuknya. Orang tua itu pantas memegang tangannya.

“Aidil, lagu mana? Sakit lagi?” Aidil Zafran pantas menggeleng. Kesakitan petang tadi yang terasa seperti membakar biji matanya sudah tiada lagi. Sebaliknya matanya terasa sejuk. Dia berasa lega sekali.

“Tok wan, mama dan abah dah sampai?” soalnya pula.

“Tok wan dah tepon. Malam ni kut depa sampai. Kolumpuq nun bukan dekat. Kalau bertolak petang tadi, malam la kut nak sampainya.” Haji Darus bersuara lembut.

Tumpah rasa kasih kepada cucunya. Mula-mula dulu dia memang cukup bertegas dengan Aidil Zafran. Tujuan cucunya dihantar bersekolah di sini juga atas permintaan anak dan menantunya. Sikap nakal dan tidak berdisiplin cucunya itu sukar dikawal. Jadi, Aidil Zafran diletakkan di bawah jagaannya supaya kelakuannya dapat dibentuk. Namun sekarang, begini pula jadinya. Apa yang hendak dijawab jika anak dan menantunya bertanya?

“Aidil, tok wan nak tanya lagi sekali. Sapa yang buat naya kat Aidil ni? Kita tak boleh biaq dia lagu tu ja,” desak Haji Darus.

Aidil Zafran hanya diam membisu. Perlukah dia terangkan perkara sebenar? Sekarang dunianya sudah gelap. Berita yang disampaikan oleh doktor yang merawatnya tadi pun masih belum dapat diterimanya lagi. Dia masih mengharapkan agar kata-kata doktor itu hanya satu pembohongan. Tapi kalau betul macam mana? Dia buntu memikirkan cara untuk mengharungi dunia ini dalam kegelapan. Dia tidak mahu satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah itu ditarik balik.

“Aidil tak tau, tok wan. Jangan desak Aidil lagi.” Dia mengharapkan agar datuknya tidak mengulangi lagi persoalan itu.

Mungkin ini balasan daripada Allah kerana dosa-dosanya yang lalu. Dia lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai umat Islam. Dia lalai menggunakan nikmat yang diberikan oleh Allah ini untuk membuat kebaikan. Sebaliknya dengan mata ini dia melihat banyak perkara-perkara yang mungkar. Dunianya sudah pasti gelap. Tidak perlu dia menggelapkan masa depan budak skema itu pula. Biarlah dia merahsiakan siapa punya angkara sehingga akhir nafasnya nanti.

“Assalamualaikum, tok,” sapa satu suara mencecah gegendang telinga Aidil Zafran. Dia berkalih wajah mencari pemilik suara itu. Apa yang pasti, itu bukan milik abahnya.

“Waalaikumussalam. Eh… Mail, Ainon. Terima kasihlah mai tengok Aidil ni,” balas Haji Darus. Aidil Zafran hanya mendengar suara-suara yang bercakap dengan datuknya. Dia tidak pasti siapa gerangan Ismail dan Ainon itu, kerana selama dia tinggal bersama datuknya dia tidak pernah ambil tahu hal ehwal orang kampung yang berurusan dengan datuknya.

“Aidil sihat, ka?” Suara lembut Puan Ainon menyapa telinganya. Aidil Zafran hanya mengangguk. Moodnya benar-benar hilang. Dia sudah hilang rasa hendak berbual. Sebaliknya dia hanya melayan rasa sedih yang bertandang dalam hati.

“Aidil, ini Encik Ismail dan Puan Ainon. Depa ni mak ayah Ain Syuhada. Aidil kenai kut? Anak dia satu sekolah dengan Aidil,” terang Haji Darus mengenai tetamu yang melawatnya petang itu. Aidil Zafran sedikit terkejut apabila nama Ain Syuhada disebut oleh datuknya.

“Ain Syuhada budak tingkatan dua ke? Pengawas sekolah tu?” soal Aidil Zafran, inginkan kepastian.

“Hah, betullah tu. Hang kenai ka dengan anak pak cik tu?” Kali ini Encik Ismail pula menyoal Aidil Zafran.

“Kenal gitu-gitu aje, pak cik. Tau nama dia aje. Orangnya saya tak pernah jumpa.” Aidil Zafran berbohong.

Sebenarnya dia cuba menyembunyikan rasa sakit dalam hati. Nama itu bukan setakat melekat dalam hatinya, malah tuan empunya badan itu mempunyai hutang yang amat besar kepada dirinya. Kalau jadi hamba tebusan buat seumur hidup pun masih tak akan mampu melunaskan hutang yang dibuatnya itu.

“Aidil!” Suara lembut wanita yang selalu didengari semenjak kecil itu membuatkan dia menjadi rindu. Tangan lembut itu mengusap pipinya. Lalu badannya dirangkul dengan kemas. Tumpah air mata membasahi bahunya.

“Mama… Abah…” Aidil Zafran terkejut menerima kedatangan kedua-dua ibu bapanya yang tidak disangka-sangka. Dia menjangkakan malam nanti baru mereka sampai dari Kuala Lumpur.

“Aidil, siapa yang buat kamu macam ni, nak?” soal Tuan Mustafa tidak puas hati.

“Aidil tak tahu, abah.” Aidil Zafran masih lagi berbohong. Dia tidak mahu memanjangkan lagi perkara ini. Biar masa dan keadaan yang menentukan balasan buat budak skema itu.

“Cepatnya hangpa sampai? Ayah ingat malam nanti kut baru sampai.” Haji Darus bersuara memecahkan suasana kepiluan yang melanda Wad Optalmologi kelas satu itu.

“Kami naik kapal terbang, ayah. Dari airport Alor Setar terus ke sini dengan teksi,” terang Tuan Mustafa. Haji Darus mengangguk tanda faham.

AIN SYUHADA masih berdiri di depan pintu rumahnya. Sudah puas dia melihat ke jalan mini tar yang menghadap pintu pagar rumahnya. Kereta Proton Saga merah milik ayahnya masih juga belum muncul. Hatinya sudah tidak sabar hendak mengetahui khabar Aidil Zafran. Dia gelisah, takut pun ada jika ada sesuatu yang buruk berlaku kepada Aidil Zafran. Paling takut jika Aidil Zafran benar-benar buta. Kalau dia sanggup jadi hamba tebusan seumur hidup untuk membayar apa yang telah dilakukan kepada Aidil Zafran pun, masih tak akan mampu melunaskan hutangnya itu.

Dia meraup kedua-dua belah tapak tangan ke wajahnya sambil beristighfar. Jauh sangat rasanya dia melalut memikirkan yang bukan-bukan.

“Hai, kak. Termenung apanya?” sergah Muaz dari belakang membuatkan Ain Syuhada melompat terkejut.

“Mak hang terkejut… Hesy… Nasib baik tak dak sakit jantung. Hang ni pun… tak reti bagi salam, ka?” bebel Ain Syuhada sambil mencubit pipi adik bongsunya.

“Kak ni yang kuat berangan. Penat dah adik bagi salam. Naik lenguh mulut. Kak dok ralit buat tak tau. Ingat mata ayaq, ka?” tebak Muaz sambil mengenyitkan mata.

“Banyak la hang punya mata ayaq. Orang, kalau masuk dalam rumah ikut pintu depan, yang hang masuk ikut pintu belakang pasai apa?”

“Adik memanglah nak masuk pintu depan, tapi kak dok kawat depan pintu serupa bodyguard. Dah bagi salam pun buat dak ja… Adik pi masuk ikut pintu belakang la,” jawab Muaz panjang lebar sambil menarik muka masam.

Ain Syuhada menggaru kepalanya yang tidak gatal. Betul ke asyiknya dia berangan sampai Muaz bagi salam pun dia tidak perasan? Akhirnya dia menjongketkan bahu tanda malas untuk berfikir lagi. Muaz sudah mula menapak untuk keluar.

“Weh… Hang nak pi mana pula? Baru balik dari mengaji, nak keluar pi melewaq (merayau) pula.” Ain Syuhada menyambung bebelannya lagi.

“Orang tak pi manalah. Ni nak pi bagi ayam itik mak makan. Kak bukan tak tau. Satni mak balik, maunya dia memetir siap guruh kilat lagi. Sayang ayam itik lebih daripada anak lagi.” Kali ini Muaz pula membebel tidak puas hati.

“Baguih hang, noh? Kak baru nak sampai pesan mak. Hang dah tau, tak payah suruh. Ada pula pi kata macam tu kat mak? Sapa yang suka dok makan ayam itik tu? Hang juga… Eloklah kerja bagi makan ayam itik ni kat hang.”

“Kak ni pun samalah macam mak. Memetir aje kerja. Macam Puan Ainon juga,” balas Muaz sambil menyarung selipar untuk menuju ke reban ayam dan itik yang terletak di belakang rumah.

“Hang perlilah. Nanti kak repot kat Puan Ainon baru hang tau,” ugut Ain Syuhada sambil tayang giginya yang tersusun cantik.

“Repotlah, adik tak takut!” laung Muaz sambil menjinjing besen yang berisi makanan ayam dan itik.

Dari kejauhan Ain Syuhada sudah nampak kelibat Proton Saga Merah bergerak perlahan memasuki pekarangan rumahnya. Senyum Ain Syuhada semakin melebar. Tak sabar rasanya hendak mengetahui khabar Aidil Zafran.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90603/suamiku-mr-blind

 

[REVIEW] DEMI BAHAGIA INI

DEMI BAHAGIA INI Oleh Lynn Safiya

SOFIAH QISTINA, gadis yang dibesarkan dengan segala harta dan kemewahan. Namun dia hanya dahagakan kasih dan sayang papa dan mamanya. Paksaan papa Qistina, Tan Sri Ali Saifuddin, untuk mengahwini lelaki durjana bernama Remy tidak diendahkan demi menjaga maruah serta imannya. Maka dia lebih rela dihalau keluar dari rumah daripada berkahwin dengan Remy.

Lantas peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh Ian Iskandar tidak mahu dilepaskan. Dia lebih rela menjadi seorang peneman kepada ibu Ian Iskandar walaupun terpaksa meninggalkan bumi Malaysia dan berhijrah ke kota London.

IAN ISKANDAR, lelaki berdarah kacukan Melayu-Inggeris yang serius lagi tegas. Hidup di bawah satu bumbung bersama Qistina membuat hati lelakinya terusik. Buat pertama kali hatinya terbuka ingin memiliki dan dimiliki. Pertama kali jugalah dia merasakan apa itu kasih, sayang, cinta, marah dan cemburu, hanya kerana seorang gadis.

Kehidupan Qistina menjadi huru-hara dengan perhatian rapi yang diberikan Ian Iskandar. Sikap lelaki itu yang terlalu ingin memiliki Qistina mengiringi setiap langkahnya. Sifat cemburu Ian Iskandar terhadap hubungannya dengan Dr. Ilyas Khan benar-benar melemaskannya.

“Will you marry me, Qistina? Apa yang susah sangat nak faham, Qistina? Soalan simple macam tu pun awak tak boleh faham? Straight forward je kan? Takde bahasa kias, takde teka-teki…” – Ian Iskandar

Mampukah Qistina menerima Ian Iskandar setelah apa yang Remy lakukan terhadapnya? Mampukah Ian Iskandar menerima Qistina seadanya? Mampukah mereka pertahankan bahtera cinta mereka apabila mengetahui Remy masih memburu Qistina? Siapa pula Remy?

Betapa hebatnya cinta seorang lelaki bernama Ian Iskandar terhadap cinta hatinya. Demi Qistina, Ian Iskandar sanggup melakukan apa sahaja… apa sahaja demi kebahagiaan seorang isteri!


Dalam ada segalanya, tetap ada kepincangan. Selain dari mempunyai pelajaran tinggi dan kekayaan keluarga, Qistina juga mempunyai peribadi yang elok dan rupa yang menawan. Apa yang kurang adalah kasih sayang keluarga yang terlalu mementing darjat dan business marriage. Nilai-nilai agama tidak diterapkan dalam keluarga sehingga 5 rukun Islam juga tidak dipraktikkan melainkan diri Qistina sendiri. Dia dibesarkan oleh keluarga orang gajinya di rumah sendiri sebelum berangkat ke London untuk melanjutkan pelajaran.

Berlainan dengan Ian Iskandar, jejaka kacukan English-Malay dibesarkan oleh ibunya sendiri setelah berpisah dengan ayahnya. Semua nilai murni, ini dipraktiskan walaupun tidak lagi tinggal di Malaysia. Kerana kehancuran hubungan ibu dan ayahnya dan kemalangan ibunya yang menyebabkan dia lumpuh, Ian lebih senang menghabiskan masa dengan kerja. Dia mencari seorang pendamping bagi ibunya yang kesunyian.

Kerana enggan patuh pada kahwin kerana business, Qistina dihalau keluar dari rumah as soon as she graduated. Two weeks in fact. Dia berlindung di rumah Mak Esah sambil mencari pekerjaan. Secara kebetulan Ian yang mencari pendamping bagi ibunya terima dia bekerja di London after the 1st interview just because of love at 1st sight. Too beautiful too ignore.

Sepeninggalan Qistina, sedikit demi sedikit musibah melanda keluarganya. Ian, as always, jadi penyalamat dalam senyap. Dan siapa Ian dengan bekas tunang tak jadi Qis terbongkar. Segala yang terjadi dalam keluarga Ian 20 tahun lepas started to unravel too.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/55964/demi-bahagia-ini