[SNEAK PEEK] TAKDIR ITU MILIK AKU

Takdir Itu Milik Aku Oleh Siti Rosmizah

“Kita pergi hospital ya Nek Wan. Kita tengok Nek Tuk. Esok pagi-pagi baru kita pergi KL. Kita naik bas aje,” ujar Dian sayu.

Nek Wan tidak menjawab apa-apa. Hanya kepalanya dianggukkan. Mesti dia terlalu sedih pastinya. “Aku ikut kau sekali Dian. Aku pun nak tengok Nek Tuk. Esok kita bertolak sama-sama ke KL,” celah Maryam yang rupanya sedari tadi turut mendengar perbualan mereka.

Hati Dato’ Salleh terus mengucapkan kata syukur pada Penciptanya dan dalam masa yang sama hatinya juga tidak berhenti mendoakan keselamatan emak, isteri dan anaknya.

Mereka bergegas menuju ke wad kecemasan. Di wad inilah Nek Tuk, Zarif dan Datin Munirah ditempatkan. Dato’ Salleh tampak resah. Sekejap dia bangun, sekejap dia duduk dan sesekali dia mundar-mandir di luar pintu bilik kecemasan.

Nek Wan juga resah. Sedari tadi tidak henti-henti dia mengelap air matanya. Sedih benar hatinya. Dian bagaimana pula? Tidak resahkah dia? Tidak sedihkah dia?

Kelihatan Dian turut mengelap air matanya. Memang wajar untuk dia bersedih. Memang wajar untuk dia menitiskan air mata sebab mereka di dalam sana ada pertalian dengan dirinya. Lebih-lebih lagi lelaki yang bernama Zarif Adha. Suami pada dirinya.

Tidak! Tidak! Tidak sama sekali! Zarif Adha bukan suami aku! Dia dah mati! Macam mana matinya anak aku, macam itulah matinya lelaki ini dalam hati aku! Aku ada kat sini kerana Nek Tuk dan setiap titisan air mata aku yang menitis saat ini hanya untuk Nek Tuk! Tempik hati Dian sekuatnya.

Di kala itu seorang jururawat menghampiri Dato’ Salleh. Dia memegang beg plastik.

“Dato’…”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/342170