[SNEAK PEEK] SWEET DREAM CINTA

9789670890081x-medium

SWEET DREAM CINTA Oleh Nina Kamal

Prolog

MOON berhati-hati supaya perbuatannya menghendap keluarga besar yang sedang berkumpul di hadapan serambi rumah yang luas terbuka itu tidak disedari oleh mana-mana ahli keluarga tersebut.
Dia menyembunyikan dirinya di belakang rumah yang berdekatan dengan pintu masuk ke dapur. Moon mula menunggu saat-saat yang paling digemarinya. Ketika dia berusia lapan tahun lagi, dia sentiasa berdiri dan mencuri pandang gelagat ahli-ahli keluarga itu berpelukan dan berbalas ciuman di pipi tatkala mengucapkan selamat tinggal. Walaupun Moon tahu perpisahan kadangkala menyakitkan, hanya dengan melihat perlakuan mesra antara ahli keluarga tersebut, dia dapat merasai keindahan perpisahan itu. Sudah hampir lima tahun dia melakukan kegiatan menghendap ini. Perbuatan ini hanya boleh dilakukannya ketika musim cuti sekolah kerana waktu itulah dua buah keluarga dari Kuala Lumpur akan ke sini untuk menghabiskan cuti sekolah di banglo yang terletak di sebuah kawasan perkampungan yang terletak di Jitra, Kedah.
Sesekali Moon menepis tangan sahabat baiknya, Cik Li yang cuba menarik lengannya supaya ke belakang sedikit.
Moon tahu yang Cik Li tidak mahu kalau perbuatannya itu dapat dikesan oleh tuan banglo ini. Mungkin kerana ibu Cik Li ialah pembantu rumah tersebut dan Cik Li sememangnya malu dengan tingkah laku Moon sekarang ini. Namun, Moon pasti tuan banglo ini tidak kesah dengan kehadiran dirinya. Moon kenal dengan pasangan suami isteri yang tinggal di banglo dua tingkat ini.
Pemilik yang berpangkat Datuk itu selalu berwajah serius dan tegas manakala isterinya pula seorang yang mesra dan peramah. Selama Moon menyelinap masuk ke dalam banglo mereka, pasangan suami isteri itu tidak pernah pula menegur atau memarahinya. Malah kedatangannya bersama Cik Li di ruang dapur selalu disambut dengan senyuman mesra oleh Datin tersebut.
Pasangan yang bahagia ini mempunyai dua orang anak lelaki yang sudah berkeluarga serta mempunyai beberapa orang cucu. Moon amat tertarik dengan kehidupan mereka. Mereka ada harta, ada rupa dan sentiasa sahaja dengan gelak ketawa. Apa yang paling menarik minat Moon ialah cucu lelaki nombor dua pasangan tersebut. Walaupun Moon masih lagi kecil, dia sudah terpikat dengan ketampanan jejaka belasan tahun itu.
Melihat sahaja lelaki itu dari jauh pun buat dia rasa berdebar-debar. Moon tersenyum-senyum teringat akan pertemuan dengan orang yang diminatinya itu beberapa jam sebelumnya. Sayang sekali kerana lelaki itu akan pergi melanjutkan pelajaran ke luar negara. Terpaksalah dia menahan rindu buat seketika.
“Jomlah kita pi, Moon. Hang dah tengok depa lama sangat tu. Aku takut sat gi depa perasan hang dok kat sini,” bisik Cik Li di telinga Moon. Sekali lagi Cik Li menarik lengannya.
“Shhh… Cakap pelan-pelanlah sikit. Takut depa dengar sat gi. Hang kacau betoilah. Kalau hang tak mau depa nampak hang, pi la masuk kat dalam tu.”
“Lama lagi ka depa nak pi tu?”
“Dah ada yang masuk dalam kereta. Bagilah aku tengok sampai habih. Bukan senang nak jumpa depa tu. Lepas ni pun aku tak tau dia balik ka dak. Hang bagilah chance kat aku. Biaq aku tengok muka dia puas-puas,” rayu Moon perlahan tanpa melepas pandang lelaki yang disukainya itu.
Moon takut kalau lelaki itu masuk ke dalam kereta tanpa sempat dilihatnya. Bukan selalu dia dapat berjumpa dengan pujaan hatinya itu. Moon tunggu seketika. Matanya tidak beralih arah sehinggalah kedua-dua buah kereta besar itu meluncur jauh meninggalkan kawasan banglo itu. Moon bersandar ke dinding. Tiba-tiba terasa sebak di dalam dada.
“Kali ni dia bagi tau apa pula kat hang?” tanya Cik Li apabila melihat kawannya itu seperti hendak menangis sahaja. Inilah pertama kali dia melihat Moon berkeadaan sedemikian. Usianya mungkin masih terlalu muda untuk memahami sikap kawannya. Tetapi, dia tahu ada yang tidak kena dengan kawannya yang seorang itu.
“Dia kata aku kecik lagi.”
“Memang pun hang kecik. Kita kan baru tingkatan satu,” ujar Cik Li.
“Dia kata aku tak sama macam budak-budak kat KL. Tak outstanding pun. Outstanding tu apa Cik Li?”
“Mana aku tau… Tapi macam pernah dengaq. Sat ni hang balik, hang tanyalah kat Mak Su Na. Dia tau kut outstanding tu apa. Tapi kalau out tu keluar dan standing tu berdiri. Takkan hang kena pi keluaq berdiri kut. Entahlah Moon. Aku tak gheti sangatlah.”
“Mungkin cantik atau pandai kut?”
“Mungkin jugalah. Aku tak taulah.”
“Aku tak cantik ka?”
“Pasai pa hang cakap macam tu? La ni pun hang dah cantik. Sat ni bila hang dah besaq sikit, aku tau sangatlah, hanglah yang paling cantik kat sini,” kata Cik Li dengan bersungguh-sungguh.
“Kalau macam tu, pasai pa dia kata dia malas nak tengok muka aku?”
“Dia cakap macam tu ka? Bila? Tadi ka?”
Moon angguk. Air matanya mula bergenang.
“Mungkin dia kata pasal benda lain kut. Mungkin dia tak suka kat hang sekarang kut.”
“Pasai pa dia tak suka kat aku?”
“Manalah aku tau. Mungkin hang tak besaq lagi kut.”
“Aku dah nak besaq dah ni. Kali ni aku suka kat dia sungguh.”
“Hang habaq kat dia yang hang suka dia ka?”
“Aku tak bagi tau.”
“Gagap lagi ka?”
Moon angguk. Cik Li geleng kepala. Kesian juga dia dengan Moon. Entah kenapa setiap kali kalau Moon bercakap dengan abang kacak itu, pastinya Moon tiba-tiba gagap. Kalau bercakap dengan sesiapa sahaja, biasa sahaja. Lancar tutur kata. Hanya dengan lelaki itu sahaja yang dia seperti tidak tahu bercakap secara normal.
“Apa kata hang tulis surat. Bila dia mai lagi kat sini, hang bagilah kat dia. Tak payahlah dia nak dengar hang cakap tergagap-gagap lagi.” Cik Li memberikan cadangan.
“Hang rasa dia suka ka kalau aku tulis surat kat dia?”
Cik Li tidak berani memberitahu perkara yang sebenar. Biar berbohong sunat asalkan satu-satunya kawan yang dia ada itu berasa gembira.
“Mungkin dia suka kalau hang tulis betoi-betoi.”
“Kalau macam tu, sat ni juga aku tulis,” kata Moon. Hatinya mula melonjak gembira.

****

Bab 1

ADRIAN EUSOFF hanya mendiamkan diri. Dia mengeluh panjang. Perjalanan balik ke kampung masih jauh dan dia sudah merasa kurang selesa dengan ejekan abangnya, Aidan. Malah Norman, satu-satunya sepupu yang paling akrab dengannya turut mengenakan dirinya. Kalau bab mengutuk orang, serahkan sahaja kepada Norman. Abangnya pun dua kali lima sama sahaja dengan Si Norman. Mereka berdua memang sengaja menguji kesabaran dirinya. Ian… Itulah panggilan mesra dirinya dalam kalangan keluarga dan teman-teman yang rapat.
Ian cuba untuk tidak mengendahkan soalan dan ejekan yang keluar dari mulut Norman. Dia hanya memandang ke hadapan dan tidak peduli dengan perbualan yang berlaku antara Aidan dan Norman. Mereka masih bercerita tentang dirinya.
Kereta Suzuki Swift biru milik Aidan yang mereka naiki ialah kereta terakhir yang menyertai konvoi balik kampung untuk percutian hari raya tahun ini. Terdapat tiga buah kereta yang berada di hadapan kereta mereka. Kereta yang paling hadapan ialah Toyota Alphard putih milik Encik Muhsin, papanya dan diikuti oleh Audi pacuan empat roda berwarna hitam yang membawa keluarga Norman manakala Honda merah yang dipandu oleh kakak Norman, Nisrina pula membawa beberapa orang anak gadis termasuk adiknya, Camelia.
Keempat-empat kereta daripada dua buah keluarga ini telah memulakan perjalanan hampir dua jam dari Kota Kemuning, Shah Alam untuk menuju ke pekan Jitra, Kedah.
Sudah menjadi kemestian untuk kedua-dua buah keluarga ini berkumpul di rumah datuk dan nenek mereka apabila menjelang hari raya.
Seingat Ian, tahun ini sudah masuk tahun yang keempat belas mereka balik beraya ke Jitra. Datuknya, tok bah yang merupakan bekas panglima tentera udara yang pernah bertugas di Kem Sungai Besi juga pernah ditugaskan ke negeri jelapang padi.
Kini tok bah sudah beberapa tahun bersara dari kerjayanya. Tok bah dan nenek Ian iaitu Nona jatuh cinta dengan pekan Jitra dan terus membuat keputusan untuk menetap di sana. Walaupun mereka jauh di Kedah, Encik Muhsin mahupun adiknya, Encik Muiz selalu juga berulang-alik ke sana sama ada atas urusan kerja mahupun peribadi.
Ketika mereka kecil, Ian dan adik-beradik serta sepupunya paling suka apabila balik ke kampung yang terletak di sebuah perkampungan yang menghijau. Sungguh berbeza dengan kehidupan di kota raya yang sesak dengan manusia dan bangunan pencakar langit.
Ketika berada di kampung, mereka bebas untuk buat apa sahaja. Kadangkala Ian, Aidan dan Norman bermain bola sepak dengan budak-budak kampung di padang yang berdekatan dengan sebuah sekolah rendah.
Adakalanya mereka memanjat pohon jambu batu di kebun milik tok bah dan ada ketikanya memancing ikan atau pun mandi di sungai. Walaupun sudah bersara, tok bah masih lagi menabur bakti dengan Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia sebagai tenaga pengajar di sana sambil mengusahakan kebun buah jambu pada masa lapang. Kebun jambu yang dimiliki oleh tok bah agak luas, malah tok bah menggajikan dua orang pekerja untuk membantunya menguruskan kebun tersebut.
Nona pula seorang wanita berketurunan Cina yang dibesarkan oleh keluarga Melayu. Semua cucu-cucunya memang amat selesa dengan Nona kerana dia seorang nenek yang begitu lembut dan bersikap terbuka. Nona suka memasak dan kepakarannya adalah membuat kek dan biskut. Atas minatnya itu, Nona telah membuka sebuah kedai bakeri di pekan Jitra. Nona juga seorang ibu mentua yang amat disayangi oleh kedua-dua orang menantu perempuannya, malah setiap kali cuti sekolah, mama pasti mengajak papa balik ke Kedah untuk menghabiskan cuti sekolah di sana. Mama juga lebih mesra dengan Nona. Mungkin kerana mama tiada keluarga kecuali seorang kakak yang sibuk berkerjaya.
Ian amat menghormati dan menyayangi datuk dan neneknya. Walaupun kedua-dua mereka bukan anak jati Kedah, mereka berdua amat dihormati di kawasan kejiranan mereka. Bukan kerana banglo tok bah yang paling besar di situ tetapi kerana sifat tok bah dan Nona yang mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Sebab itulah rumah tok bah akan dikerumuni oleh jiran tetangga pada setiap kali hari raya.
Agenda untuk balik ke kampung pada hari raya pertama sudah menjadi suatu kemestian. Mama lebih suka balik ke Kedah kerana kakaknya, Cik Pat tidak pernah menyambut hari raya bersama keluarga mereka. Selalunya seminggu sebelum raya, Cik Pat pasti akan ke luar negara untuk bercuti. Mami Ina iaitu isteri Uncle Muiz juga tetap akan beraya di Kedah pada raya pertama. Kemudian keluarga mereka akan berangkat ke rumah keluarga Mami Ina yang terletak di Taiping pada hari raya kedua.
“Kau dah lama tak balik, Ian. Dah berapa tahun budak perempuan tu cari kau. Kau dah prepare ke nak jumpa bakal isteri kau tu?” Aidan masih lagi mahu mengusik adiknya.
“Aku tak sabar nak tengok apa pula dia nak buat kali ini,” balas Norman.
“Aku ingat lagi empat tahun lepas, aku tertangkap budak tu masuk bilik. Panik betul aku masa tu. Manalah tahu dia tak jumpa kau, dia cari aku. Lepas tu bila aku tau dia cari kau, dia bagi satu benda kat aku. Rupa-rupanya dia nak hantar surat cinta. Siap dengan gambar dia pose sikit punya baik. Tapi sayang kau tak ada. Dia mati-mati ingat kau dah balik ke sini masa tu,” tambah Norman lagi.
“Itulah first time aku tengok Facebook wall kau paling banyak likes. Gara-gara surat cinta tu,” tambah Aidan pula.
“Dan tak pasal-pasal aku kena shut down Facebook aku. Ini semua kau punya pasallah, Norman!”
“Relakslah dude. Aku tak bermaksud nak kenakan kau… Tapi sebab surat tu punya pasal, aku kena upload juga. Memang jiwang habis surat tu.”
“Surat tu bukan sebarang surat cinta. Surat proposal ajak kau kahwin dengan dia,” tambah Aidan lagi.
“Nak kata dia desperate, dia masih budak mentah lagi. Siap suruh kau tunggu sampai dia habis belajar supaya kau boleh kahwin dengan dia. Kalau ikutkan aku, tahun ni dia dah form five. Tak lama lagi bolehlah kau kahwin dengan dia.”
“Mengarutlah kau, Norm!”
“Aku cakap betul ni. Budak tu macam serius betul nak kahwin dengan kau. Sejak kecil lagi dia asyik ikut kau ke mana saja. Kalau dia tahu kau balik tahun ni, aku nak sangat tengok apa yang akan terjadi. Aku pun dah lama tak jumpa dengan dia bila balik kampung. Nona kata dia tak datang pun kalau tau kau tak ada. Dia tunggu kau sajalah tu.”
“Couple years ini aku ada dengar daripada geng bola sepak kita yang dia dah bukan budak-budak lagi. Satu kampung kenal dia. Budak glamor. Dia orang kata dia cun gila sekarang. Aku pun nak tengok juga. Manalah tau kalau betul-betul cun, aku boleh buat dia jadi awek masa balik kampung. Itupun kalau kau bagi izinlah,” kata Norman sambil ketawa terbahak-bahak. Kemudian dia berhenti ketawa dan menyambung kata-katanya semula.
“Aku pun nak tengok juga reaksi budak tu kalau dia tahu kau balik dengan Mia. By the way, kau dah beritahu Mia ke pasal budak tu? Aku takut nanti Mia salah faham pula. Manalah tahu budak tu terus attack kau depan Mia nanti,” tambah Aidan.
Ian terdiam sekali lagi. Dia teringat beberapa peristiwa lampau yang pernah dialaminya. Budak mentah atau bakal isteri yang diceritakan oleh Aidan dan Norman ialah seorang budak perempuan yang paling dibencinya. Buat sakit hati sahaja apabila teringat tentang budak itu. Tahun ini merupakan kali pertama dia balik ke kampung setelah empat tahun berada di Amerika. Kalau ikut kemampuan, dia boleh sahaja balik ke kampung setiap kali menyambut hari raya.
Apatah lagi apabila mama selalu mendesaknya untuk pulang bercuti di Malaysia. Namun, dia berikan alasan untuk menyambut hari raya di perantauan sepertimana yang pernah dilakukan oleh Aidan ketika abangnya belajar di Boston dahulu. Bukan sebab budak perempuan itu, tetapi hakikat yang sebenar ialah dia ingin merasa kehidupan di perantauan. Merasa kebebasan yang sungguh menyeronokkan.
Ian tidak dapat menafikan rumah tok bah dan pekan Jitra sungguh istimewa. Masalahnya, setiap kali dia balik ke kampung pasti budak perempuan itu akan berada di mana-mana sahaja. Ian naik menyampah dengan perangai budak itu, malah budak itu memang bebas keluar masuk ke dalam rumah Nona. Penghendap peribadi. Itulah gelaran yang diberikan oleh Nisrina dan Camelia.
Pergi ke mana sahaja, pasti Ian dapat merasakan dirinya diekori. Bukan setakat menghendap, malah budak itu pasti akan berada di kawasan persekitaran ketika dia melakukan aktiviti luar seperti bermain bola. Pada mulanya dia tidak peduli. Lama-kelamaan, keadaan semakin merimaskan. Mujurlah dia ke luar negara. Tidak teringat langsung tentang budak perempuan itu sehinggalah Norman dan Aidan membangkitkan hal tentangnya sekarang ini.
Kereta di hadapan tiba-tiba membelok ke kiri. Aidan cepat-cepat memberi signal ke kiri dan mengekori kereta yang masuk ke kawasan R&R Tapah.
“Apalah Nis ni, ada lesen pun tak pandai nak bagi signal,” keluh Aidan.
“Kak Nis memang macam tu. Orang Kedah kata kalut sungguh,” kata Norman sambil menggeleng.
“Kau orang tolong tengok mana-mana parking yang ada. Penuh sesak ni.”
Setelah beberapa minit mencari parkir, akhirnya mereka parkir di kawasan utama R&R itu.
Ketiga-tiga anak teruna itu keluar dari kereta dan mencari kereta yang dipandu oleh Nisrina. Norman terlebih dahulu nampak kereta kakaknya yang berada hampir dengan sebuah pokok. Perlahan-lahan mereka menuju ke situ. Cuaca yang panas pada bulan puasa ini serta kesesakan jalan raya juga memang agak meletihkan mereka. Namun, dua daripada mereka bertiga tidak kelihatan letih langsung, malah lebih bersemangat apabila melihat beberapa orang gadis keluar dari perut kereta Honda merah itu.
Terdapat dua orang gadis cantik bersama Nisrina dan Camelia. Salah seorangnya ialah Nurul Hanim yang bakal bertunang dengan Aidan sebulan selepas hari raya nanti manakala seorang lagi ialah Mia Qistina, teman wanita Ian.
“Hah, jangan layan dia orang tu. Jom kita pergi toilet dulu,” ajak Nisrina kepada Nurul Hanim dan Mia Qistina.
Nurul Hanim dan Mia saling berpandangan dan tersenyum mendengar ajakan Nisrina. Mereka hanya melambaikan tangan kepada teman lelaki masing-masing sambil berjalan menuju ke arah bangunan R&R. Kaum lelaki juga bergerak menuju ke arah yang sama iaitu ke tandas awam.
Keluar sahaja dari bilik air, beberapa ahli keluarga sudah pun berkumpul di satu sudut. Ian mendekati mamanya yang sedang berbual dengan Hanim dan Mia. Ian berdiri di belakang Mia sambil berbisik sesuatu ke telinga Mia.
“I miss you.”
“Shhh…” balas Mia tanpa melihat Ian. Fokusnya kepada perbualan antara Puan Linda dan Nurul Hanim.
“I miss you so much,” bisik Ian sekali lagi sambil meniup ke cuping telinga Mia.
“Ian!” tegur Mia sedikit terkejut dengan perbuatan berani Ian di hadapan mamanya. Puan Linda hanya tersenyum melihat kelakuan nakal anak bujangnya itu. Satu jelingan amaran turut diberikan.
“What?” soal Ian apabila melihat jelingan mamanya.
“Hormat sikit bulan puasa ni, Ian.” Mamanya memberi ingatan.
“Ian tak buat apa pun,” balasnya.
“Mama nampak apa kamu buat. Jaga sikit kelakuan kamu tu. Dah nak masuk dua puluh tiga tahun pun masih macam budak-budak.”
“Yalah… Dah besar pun perangai macam budak-budak,” ejek Mia tanpa rasa malu.
“Mama nampak tak ada perempuan lain selain mama yang berani tegur Ian?”
Puan Linda menggeleng. Sama sahaja perangai Ian dengan abangnya Aidan. Manja dan kuat menyakat. Namun dalam tempoh setahun ini, Puan Linda dapati perangai Aidan semakin matang. Mungkin kerana Nurul Hanim. Puan Linda arif tentang hubungan cinta Aidan dan Nurul Hanim yang sudah mula berputik sejak zaman persekolahan lagi. Nurul Hanim juga merupakan anak gadis kepada salah seorang kenalannya. Jadi apabila kedua-dua mereka membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga, Puan Linda amat bersyukur. Memang selama ini dia mendoakan jodoh Aidan dengan Nurul Hanim. Gadis di hadapannya itu bukan sahaja cantik dan berpelajaran tinggi, malah sungguh bersopan santun dan berbudi bahasa.
Puan Linda memandang ke arah Mia yang sedang rancak berbual dengan Ian. Mia, seorang gadis cantik dan agak lincah. Kali pertama dia berjumpa dengan Mia ketika dia melawat Ian di Amerika setahun yang lalu. Ian lebih nakal berbanding abangnya. Ketika mereka bersekolah menengah, Ian lebih banyak menerima hadiah dan panggilan telefon daripada gadis-gadis yang meminatinya berbanding Aidan.
Sikap nakal Ian memang terkenal di sekolah mahupun di kawasan perumahan mereka. Puan Linda pasti suatu hari nanti akan ada anak gadis yang berjaya memikat hati anaknya itu. Kenal sahaja dengan Mia, Puan Linda sudah mengagak Mia sudah mendapat tempat dalam hati Ian.
Mia merupakan anak bongsu kepada Datuk Doktor Shahidan Razak yang merupakan salah seorang ahli lembaga pengarah di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Keluarga mereka dan keluarga Mia juga sudah saling mengenali.
Pada mulanya, Puan Linda keberatan juga apabila Ian memberitahu tentang hasrat untuk membawa Mia berhari raya di Kedah. Tetapi setelah keluarga Datuk Shahidan sendiri meyakinkan bahawa tiada masalah untuk Mia mengikuti mereka, barulah lega sedikit hati Puan Linda. Rupa-rupanya keluarga Mia juga seperti sesetengah golongan yang menyambut hari raya dengan bercuti di luar negara.
“Mama. Pukul berapa nak sampai rumah tok bah?”
Puan Linda tersenyum melihat anak bongsunya, Nia Tatiana yang baru berusia sebelas tahun. Jauh beza umur Nia dengan Anna Camelia yang sudah hampir mencecah dua puluh tahun. Puan Linda tidak menyangka ada lagi rezeki yang datang ketika usianya lewat tiga puluhan. Ingatkan Camelia anaknya yang terakhir.
“Lama lagi, sayang… Macam mana, larat lagi tak nak puasa?” soalnya kepada anak gadis itu.
“It’s okay, ma. Nia boleh tahan. Nia nak belajar berpuasa. Nia kan dan besar. Lagipun, nanti mama juga dapat pahala.”
“Pandai anak mama. Kalau Nia tak larat, beritahu mama. Kalau nak buka puasa pun tak apa. Jauh lagi nak sampai rumah tok bah.”
Puan Linda bimbang juga kalau Nia penat berpuasa. Maklumlah, anak-anaknya daripada Aidan sehinggalah ke Camelia, tiada yang pernah berpuasa penuh seperti Nia. Sehingga sekarang pun Puan Linda syak anak-anaknya itu tidak berpuasa penuh kecuali Aidan. Mungkin kerana Aidan ada ‘pengawas manis’ yang menjaga dan mengingatkannya kepada hukum yang wajib itu. Puan Linda menarik nafas lega. Adakalanya Puan Linda rasa bersalah. Mungkin sebagai seorang mualaf, dia juga ada kekurangannya. Dia memeluk agama Islam semata-mata hendak berkahwin dengan Encik Muhsin.
Pada mulanya Puan Linda menganggap menukar agamanya kepada Islam sebagai tuntutan untuk ikatan perkahwinan yang disyaratkan di negara berdaulat ini. Lama-kelamaan, dia jatuh cinta dengan agama itu sendiri. Walaupun dia mungkin terlewat dalam mendidik anak-anaknya ke arah agama yang dicintainya itu, dia kini berdoa agar mereka dapat mendalami Islam dengan sepenuhnya.
“Jom, ma… Papa dah panggil tu,” ajak Nia apabila melihat papanya melambai-lambai ke arah mereka untuk meneruskan perjalanan.

“YOU dengan Aid dah ada tarikh ke nak bertunang?” soal Nisrina kepada Nurul Hanim yang duduk di kerusi belakang.
“Bulan depan. Tiga puluh hari bulan, insya-allah,” balas Nurul Hanim.
“You pula Mia? Dah ada pelan ke dengan Ian?” Mia ketawa kecil.
“Awal lagilah. We all kan masih lagi belajar. Lepas belajar, nak kena fikir pasal kerja. Lagipun kita orang masih muda. Awal lagilah nak fikir pasal hal tu,” balas Mia.
“Ian setuju ke?” soal Camelia.
“Ian dengan I sama-sama fikir macam tu.”
“Tak kesahlah you all nak steady dulu. Our grandparents are open minded people. Dia orang mesti faham punya. Elok juga you kenal dengan dia orang. At least you tahu tentang our family kalau you pelan nak masuk in this family.”
“I tak kesah. Tak salah kalau kenal dengan famili you all. Lambat laun pun kena kenal juga, kan. Lebih baik kenal sekarang,” balas Mia.
Nisrina mengangguk. Dia kurang senang dengan jawapan yang diberikan oleh teman wanita sepupunya itu. Nisrina memang rapat dengan Ian kerana mereka lahir pada tahun yang sama. Kedua-dua mama mereka berpantang selang sebulan sahaja. Sebab itulah hubungan mereka lebih kepada sahabat daripada sepupu.
Begitu juga dengan Aidan, Norman dan Camelia. Sepupu dan sahabat sedari kecil lagi. Rumah mereka di Kota Kemuning pun sebelah-menyebelah sahaja. Kelima-lima mereka juga bersekolah di sekolah yang sama. Jadi Nisrina lebih selesa dengan Nurul Hanim yang dikenalinya ketika zaman persekolahan dulu. Nisrina rasa sedikit kurang selesa apabila berbual dengan Mia. Pada fikirannya, Mia agak sombong sedikit dan kurang mesra serta sedikit bermuka-muka. Bukan dia seorang sahaja yang berperasaan begitu terhadap Mia. Pendapatnya sama dengan Camelia.
“You mesti suka tok bah dan Nona kami. They are friendly people.” Camelia pula bersuara.
“Kenapa grandparents you tak stay KL? Ada apa di Jitra tu sampai they all sanggup tinggal di situ?” Mia menukar topik. Dia tidak kesah untuk berjumpa dengan datuk dan nenek Ian, tetapi perjalanan yang jauh sewaktu bulan puasa ini agak mencabar dan membuatkan dia rasa kurang sabar. Dia tidak faham kenapa keluarga Ian sanggup mengharungi kesesakan balik kampung sebegitu. Bukankah lebih cepat dan selesa kalau menaiki kapal terbang sahaja?
“Mereka suka sangat dengan negeri Kedah tu. Mungkin kita orang muda ni tak berapa faham sangat. Lainlah mereka yang sudah lama kenal dunia,” balas Nisrina.
“By the way Mia, ada Ian cerita dekat you tentang adik angkat dia di kampung we all?” Sebaik sahaja Camelia buka mulut, Nisrina mula ketawa.
“Ian ada adik angkat? Tak pernah dia cerita pun,” balas Mia.
“Ada seorang budak kampung ni. Masa kecil-kecil asyik ikut Ian ke sana sini. Mula-mula kami ingatkan dia nak main-main dengan kami semua. Rupa-rupanya dia nak main dengan Ian saja. Masa kecil tak apa lagi. Bila dia dah besar jadi lain macam sikit. Kalau balik kampung saja, inilah perkara yang we all suka nak tengok. Apa budak ni nak buat pada Ian?”
“Budak tu ada masalah mental ke?” soal Mia.
“Rasanya normal. Cuma dia obsess dengan Ian. Masa umur dia sepuluh tahun, dia beritahu Nona yang dia nak kahwin dengan Ian. Mana Ian tak kecut perut. Budak kecil macam tu dah ada cita-cita nak kahwin dengan dia.”
“I pernah dengar cerita pasal budak tu daripada Aid. Sebenarnya apa hubungan dia dengan you all?” soal Nurul Hanim pula.
“Tak ada hubung kait pun,” jelas Camelia.
“Nama dia Moon. Nenek dia bidan kerajaan dan mak saudara dia kerja dengan Nona. Dulu masa mama bersalinkan Nia, dia selalu ikut nenek dia datang ke rumah Nona sebab nenek dia mengurut mama. Masa tu kali pertama kami jumpa dia. Lepas tu, bila-bila sahaja kami balik ke kampung, dia pasti datang ke rumah Nona. Mak Cik Esah yang kerja di rumah Nona tu mak kawan dia, jadi dia selalu jugalah lepak di situ.”
“Habis tu kalau Ian balik kampung, dia selalu ada di sana ke?”
“Setiap hari dan setiap saat. Bila time nak tidur aje dia balik ke rumah dia.”
“Mak bapak dia tak kesah ke?”
“Tak tahulah. Dengar cerita parents dia dah bercerai. Masing-masing dah kahwin lain dan ada keluarga sendiri. Dia tinggal dengan nenek dan mak saudara dia. Rumah dia orang tak jauh dari rumah Nona. Nona pula jenis tak kesah langsung. Nona juga jenis suka kalau ada orang bertandang ke rumah dia. Jadi budak perempuan tu bebas keluar masuk rumah Nona sampai sekarang.”
“Berapa umur dia sekarang?”
“Rasanya tahun ni dah tujuh belas tahun, betul tak Cam?” tanya Nisrina kepada Camelia yang mengangguk-angguk setuju.
“Agak-agaknya apa yang dia nak buat kalau dia tahu Ian balik tahun ni?” Nisrina memandang ke cermin kereta untuk melihat reaksi Mia dengan soalan yang baru diajukan tadi.
“Budak tu cantik ke?” tanya Nurul Hanim.
“Mmm… Tak surelah nak kata cantik ke tidak. Masa dia kecil dulu memang comel juga. Bila dia besar sikit, selalu datang rumah bersolek sampai ke telinga. Nak kata comel, kelakar pun ada juga,” balas Nisrina sambil ketawa berdekah-dekah.
“Muka macam badut betul. Lepas tu bukannya pandai sangat. Mak Som yang masak di rumah Nona tu pernah cakap budak tu masuk kelas dengan anak dia yang selalu failed bila exam. Dahlah hodoh, lembab pula tu,” tambah Camelia yang turut ketawa.
“Kalau depan Ian, nak bercakap pun dia tergagap-gagap. Kesian juga kadang-kadang tengok dia tu. Kadang-kadang naik menyampah pun ada.”
“Kalau dengar dia berbual dengan orang lain, okey aje. Pandai pasang ayat.”
“Nona suka betul dengan budak tu sebab dia memang pandai ambil hati Nona. Mak saudara dia kerja di kedai bakeri Nona… Jadi budak tu selalu juga tolong-tolong di sana.”
“Tapi Cam, Nis rasa kali ni budak tu pasti mengaku kalah sebab kali ni Ian balik bawa Mia. Tentu budak tu give up.”
“Wah! Tak sabar nak tengok drama. Sorrylah Mia, tapi I kena cakap ni. You akan jadi watak utama kali ini. Sorry ya, Hanim… Sebab you dengan we all yang lain ni akan jadi watak sampingan aje kali ni.”
“Tak apa, Nis. I lagi suka jadi penonton,” balas Nurul Hanim sambil ketawa. Tangan kanannya menepuk lembut paha Mia untuk memberikan semangat.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90604/Sweet-Dream-Cinta