[SNEAK PEEK] TUAN ANAS MIKAEL

9789670567549-medium

Ebuku TUAN ANAS MIKAEL Oleh Syamnuriezmil

YA Allah Ya Tuhanku… Kau tetapkanlah hati aku! Kau tebarkanlah rezeki Kau di mana-mana. Nanti aku usahakan sendiri. Insya-Allah. Kalau tak boleh, paksa sampai boleh!

Mak tengok jam di dinding kemudian memandang aku semula.

“Tak pi?”

“Tak.”

Selalu jam pukul lapan pagi, mak sudah keluar. Kalau aku nak kerja dengan Tuan Anas Mikael tu, aku kena keluar sama waktu macam mak keluar. Oleh kerana aku buat keputusan tak mahu kerja dengan Tuan Anas Mikael tu, aku pun melepaklah di rumah. Siap-siapkan sarapan.

“Sungguh ke ni?”

“Mak… Kalau kita buat sesuatu keputusan, kita kena confident. Kalau tak confident, macam manalah Tuhan nak tolong kita? Kalau mak takut mak tak dapat pencen, mak tok sah risaulah. Nanti orang dapat kerja, orang ganti balik

duit pencen mak tu. Bukan Tuan Anas tu saja boleh bagi. Ni, Puan Ayu pun boleh, haihhh… Mak tolong doa saja orang dapat kerja.”

Mak mencebik bibirnya. Kalau tak dapat restu ni, macam mana? Makan apa aku dengan mak nanti kalau aku masih tak dapat kerja?

“La ni kerja bukan senang, Ayu oi…”

“Adalah sangkut kat mana-mana nanti. Bukan sikit orang hantar resume tu, mak. Banyak. Kalau niat kita untuk majukan keluarga kita, insya-Allah, Tuhan tolong. Yakin saja. Mak sendiri bagi orang mengaji tinggi-tinggi, tak nak bagi anak mak kerja tukang cuci. Sekarang mak pula pusing niat mak. Mana boleh lagu tu!”

Mak diam.

“Dahlah. Tak payah nak kalutlah. Kalau dia tu berhati-perut, kan mak… Dia bagi mak pencen mak tu. Kalau tak, tak payahlah mak nak agung-agungkan majikan mak yang pasal tangga pun nak pecat mak tu!”

Tak habis isu salah tangga. Nak saja aku haramkan semua tangga di dalam Malaysia ni. Tapi, kalau tak ada tangga, macam mana nak naik bangunan pencakar langit tu? Lagipun, aku bukannya PM yang orang nak dengar kata aku.

“Suka hati Ayulah.”

“Tak apalah, mak… Rezeki ada kat mana-mana. Mana tau sat lagi ada panggilan kerja? Orang bukannya bodoh sangat sampai satu pun tak dak tersangkut. CGPA, 3.80 kut!”

“Mak sukalah dengan confident kamu tu, Ayu. Tapi jangan nak confident sangat… CG kaaa… PA kaaa… Kalau tak dak usaha, tak daklah mai kerja!”

Aku angguk-angguk. “Tau haih… Orang dah pelan pagi ni nak menghala ke mana. Kalau boleh nak cari kerja yang dekat-dekat dulu. Motor arwah ayah tu bukannya boleh buat jalan jauh. Nanti ada duit sikit, orang pi cari kereta second-hand.”

“Yalah.”

“Mak rehatlah. Tak payahlah kerja. Ini masanya orang balas pula jasa mak bagi orang berjaya sampai sekarang.”

Mak senyum. Nampak garis tua di pipinya. Aku peluk bahu mak. Aku suruh dia duduk dan menjamah nasi goreng yang aku buat. Adalah rezeki tu kat mana-mana… Tak dapat jadi penasihat kewangan kat bank… jadilah financial controller pun tak apalah. Tak dak semua tu akauntan bodoh buat buku tunai pun jadilah! Kalau nak jadi gabenor bank negara teruihhh… tak dak kekosongan lagi. Heh, tak agak-agak punya tahap keyakinan aku ni!

Seharian aku dekat kafe siber tengok JobStreet. Aku dah hantar semua resume. Sambil tu aku pusing-pusing rumah kedai berhampiran rumah aku, tanya nak pakai pekerja ke tak. Susah sikit pun tak apalah. Asalkan tak tunduk pada ego Tuan Anas Mikael tu.

Masuk… seminggu. Aku masih tak dapat juga kerja. Dapat temu duga tapi semuanya tangguhkan keputusan. Tak apa, aku masih bersabar. Duit tabungan masih cukup nak bagi makan mak lauk sedap-sedap lagi.

“Mak rasa, mak dah sihat. Mak pi cari kerja, ya? Tolong Ayu?”

“Eh, tak payah.”

“Tak apalah, Ayu. Mak kuat lagi ni. Kalau duduk di rumah, lagi sakit-sakit badan mak ni.”

Aku terdiam. “Mak nak pi cari kerja mana?”

“Tengoklah.”

“Jangan nak pergi rumah Tuan Anas mak tu.”

“Dia ada telefon mak semalam…”

“Dia call mak?”

“Ya…”

“Dia cakap apa?”

“Dia cakap… anak Cik Su ada hutang tak berbayar. Bila nak bayar?”

Kurang ajarrr!!!

Memang tak makan dek ajar betul. Apa yang aku hutang dia? Setahu aku dah selesai semua. Kalau aku tak terima tawaran dia, mak aku diberhentikan kerja. Kan itu namanya hutang langsai. Apa masalah Tuan Anas ni?

“SAYA nak jumpa Tuan Anas Mikael. Ini kad pengenalan saya, pak cik!”

“Tuan Anas tak nak jumpa sesiapa terutamanya kamu.”

“Fine. Saya nak jumpa dia selesaikan hutang tapi dia tak nak jumpa saya. So, satu sama.”

“Apa? Nak selesaikan hutang?”

“Yalah.”

“Kalau macam tu, Tuan Anas menunggu kamu di dalam.”

“Pula!”

Dengar saja kata-kata aku nak jumpa nak bayar hutang, cepat saja pak guard kekwat tu kata aku boleh masuk. Sah, skrip ini dibuat oleh Tuan Anas. Sama kekwatlah macam majikannya juga!

“Tapi dengan syarat…”

“Apa syaratnya?”

“Penyelesaian hutang bukan dengan wang ringgit tapi dengan menggantikan tempat Cik Su.”

Macam mana dia tahu aku nak bayar ganti rugi rawatan dia pi hospital atau klinik atau bayaran kepada doktor peribadinya, gara-gara dia jatuh tangga kerana aku? Aku dah pecahkan tabung Hello Kitty aku tadi. Dapatlah dalam lima ratus ringgit. Takkan jatuh sikit nak kena pakai sampai lima ratus, kan… Paling kurang pun seratus lima puluh ringgit. Tapi, aku bawa jugalah lima ratus ringgit di dalam poket ni. Tuan Anas ni scan kepala otak aku ke?

“Hesy…”

“Macam mana?”

“Macam mana pun, saya dah tak boleh larilah ni?”

“Tak boleh. Hutang perlu dibayar!!!”

Suara Tuan Anas dari walkie-talkie pak guard kekwat tu, berbunyi. Ceh! Main cak-cak pula. Aku lantas memegang walkie-talkie tu dan memandang ke arah CCTV yang ada di atas kepala aku.

“Saya ada degree tau. Apa hal pula saya nak kena kerja tukang cuci dekat rumah tuan pula?!”

“Degree awak tu standard degree tukang cuci rumah saya saja.”

Memang kurang ajar betul mulut mamat tu! Penat-penat aku belajar, dia kata ijazah aku standard tukang cuci rumah dia. Haih, kalaulah ada cili api dekat tangan aku sekarang ni, memang aku cili walkie-talkie tu!

Kalau aku tak bayar dengan tulang empat kerat aku ini, sahlah Tuan Anas tu tak akan berhenti menggunakan tulang empat keratnya mengugut mak. Sudahlah mak tu tak boleh nak stres. Apabila stres, darah dia naik. Nanti aku juga yang susah hati. Kalau aku terima kerja dekat rumah Tuan Anas, aku pula yang stres dan darah aku pula yang naik. Tapi, biarlah darah aku yang naik… asal bukan mak. Lagipun aku bukannya ada kerja apa-apa. Duit simpanan pun semakin menipis.

Nak tak nak…

“Baiklah. Kali ini saya mengalah pada ego tuan. Hari ini, hari tuan.”

Aku dengar tawa Tuan Anas kuat dari corong walkie-talkie tu membuatkan aku betul-betul sakit hati. Ya Allah, Ya Tuhanku… Aku tak tahulah kenapa jalan ke rezeki ini yang Kau bukakan untuk aku. Mungkin ada hikmah di sebaliknya.

Haipppp… Mungkin… Mungkin apa dia? Kau kena yakin, Ayu!

“HAI… Saya Kay.”

Aku berjabat tangan dengan seorang perempuan berskirt pendek dan berambut panjang. Sesuailah dengan nama dia yang moden itu.

“Saya PA kepada Tuan Anas. Segala hal di dalam rumah dan di luar rumah, saya yang akan laporkan kepada

Tuan Anas.”

Aku mengangguk-angguk.

“Pencen Cik Su telah pun saya masukkan ke dalam akaun Cik Su. Surat penamatan perkhidmatan Cik Su telah pun saya courier ke rumah. Ini pula surat pelantikan untuk Cik Ayu. Sila baca surat dan perjanjian ini kemudian tandatangan di muka surat paling belakang.”

Aku membaca surat itu dengan perlahan. Dahi mula berkerut. Kemudian aku pandang Kay. “Awak salah taip gaji ni kut…”

Kay tersenyum. Dia menggeleng.

“Takkan sepuluh ribu sebulan kut. Standard gaji tukang cuci yang saya tahu dekat Malaysia ni dalam sembilan ratus. Tu minima. Kalau ada pengalaman mungkin seribu hingga seribu lima ratus ringgit. Tak pernah dengar sepuluh ribu kut!”

“Ini gaji awak, Cik Ayu. Gaji awak setimpal dengan kerja yang awak kena buat. Bacalah JD awak tu…”

Aku terdiam. Memang berhelai-helai job description yang aku kena buat tu… tapi…

“Sebelum saya sain, saya nak tahu, Tuan Anas ni bukannya pengedar dadah, kan? Saya bukannya kena jadi keldai dadah, hantar dadah ke Afrika, kan? Atau cuci duit dia daripada duit haram kepada duit halal?”

Kay ketawa. “Tak adalah. Tuan Anas bukan seperti yang Cik Ayu fikirkan.”

“Manalah tahu. Kaya sangat sampai tak tahu duit tu nak buat apa. Sampai bagi gaji mengarut-ngarut. Mana tahu nak bersihkan duit…”

Selamba saja aku menuduh. Bukannya nak toleh,

kanan kiri. Sekali…

“Kenapa? Kalau awak rasa waswas, saya boleh saja kurangkan satu kosong!”

Tuan Anas muncul. Aku terdiam. Itulah, mulut tak ada insurans!

****

BANYAK kut perbezaan kalau buang satu kosong. Memang taklah aku nak tolak. Sudah pasti aku akan terima punya. Kawan-kawan aku yang grad sama dengan aku pun belum tentu boleh dapat gaji banyak macam tu. Kalau jadi pegawai bank pun dalam dua ribu lima ratus ringgit gitu. Tapi aku boleh dapat sepuluh ribu! Nampaknya, bulan pertama gaji saja dah bolehlah aku beli kereta dan rumah sendiri nanti. Mulalah tu nak berangan.

Tapi…

Untuk mendapatkan gaji sepuluh ribu sebulan tu bukan kerja senang. Bukan hanya menjadi tukang cuci. Sahlah kerja pun kerja yang berharga sepuluh ribu sebulanlah. Tengoklah JD yang diberikan kepada aku. Mak yang baca pun… tak tertelan air liurnya! Mulanya aku pun tak yakin tapi oleh kerana aku tak ada pilihan lain, aku sain sajalah. Boleh ke tak boleh ke… itu belakang kira! Paling teruk pun kena pecat saja. Kalau kena pecat, lebih baiklah! Tak payah kerja dengan Tuan Anas Mikael kekwat meluat tu!
Job Description.

Ayu Maisarah binti Ayman.

Kerja bermula pukul empat pagi, berakhir pada waktu tidak diperlukan.

Aku baca itu saja, aku dah menelan air liur. Empat pagi tu tak apa lagi, tapi berakhir pada waktu tidak diperlukan? Itu memang gila. Aku dapat bayangkan dua puluh empat jam aku akan duduk bersebelahan dengan dia. Mana taknya, kalau tengok senarai JD aku… dah macam kerja jadi isteri dia pula.
1. Jam empat pagi, ketuk pintu bilik. Kejutkan bangun pagi. Sediakan pakaian untuk bersenam.

2. Rumah perlu dibersihkan sebelum jam tujuh pagi. (Sila tengok lampiran.)

Aku buka lampiran. Cadar perlu ditukarkan setiap hari Ahad, setiap lima bilik. Lantai perlu disapu dan mop setiap hari. Susun atur jangan diubah. Kalau senget, sengetlah! Dahi berkerut… Pula?
3. Sarapan perlu disediakan sebelum jam tujuh setengah pagi. (Sila tengok menu di lampiran.)

Menu! Makkk aiii…

Ni semua aku kena masak ke? Apa kejadah? Green Chile Tortilla Scramble? Errr… Pesto Scrambled Eggs? Tak boleh ke roti canai cecah kari?
4. Siapkan baju untuk ke tempat kerja setiap jam lapan pagi. Sila pilih baju mengikut kod. (Sila tengok senarai kod di lampiran.)

Aku selak lampiran. Sekali lagi aku menelan air liur. Sebulan punya senarai. Isnin lain… Rabu lain… Hari-hari lain! Berapa besar mamat tu punya almari baju? Huh!
5. Update semua appointment dengan Kay.

6. Siapkan makan tengah hari sebelum pukul satu petang. (Sila tengok menu di lampiran.)

Menu lagi…

Tak ada maknanya mamat ni makan makanan Melayu! Semua makanan berbelit-belit nak menyebutnya. Dah serupa menonton MasterChef dah! Kalau dah namanya orang kaya berlagak… macam inilah, Ayu oiii… Apalah kau nak harapkan?
7. Hantar dobi, ambil dobi. Baju semua dry clean. Sila susun ikut kod.

8. Sediakan makan petang tepat jam lima petang. (Sila tengok menu di lampiran.)

Kuat betul mamat ni makan. Kali ini makanan untuk minum petang tak panjang. Satu saja. Karipap inti daging cincang dan kentang. Itu sajalah masakan Melayu yang aku tengok. Hemmm… Ada apa dengan karipap inti daging cincang dan kentang ni?
9. Semua kenderaan di basement perlu berjalan dua kali sebulan. Pastikan semua kenderaan mempunyai minyak secukupnya. Jangan lupa untuk cuci dan servis bila tiba masanya. Take note bila kena renew road tax dan insurans. (Senarai ada di lampiran.)

Aku buka lampiran. Kenyang telan air liur sendiri! Sepuluh buah kereta dan lima buah motor berkuasa besar… Gila!
10. Bersihkan set golf setiap kali selepas permainan.

11. Makan malam pukul tujuh malam. Segelas susu dan sekeping biskut oat.

12. Pastikan rumah berkunci dan alarm on sebelum tidur.

13. Kerja-kerja adhoc lain.

Huh!

Nampak macam sikit. Nampak macam senang. Tapi, aku rasa sangat sibuk. Setiap jam ada saja kerjanya. Nombor tiga belas tu paling nayalah. Seram pula apabila aku fikirkan hari esok!

Tapi, sepuluh ribu punya pasal…

“Kenapa? Kalau awak rasa waswas, saya boleh saja kurangkan satu kosong!”

“Tak baik kalau dah bagi, tarik balik. Buruk siku kepala lutut namanya!”

Tuan Anas Mikael serius saja memandang aku. Dia langsung tak senyum. Sikit pun tak ada. Aku dengar dia gelak pun dari walkie-talkie tu. Itupun aku tak yakin dia yang gelak. Mungkin dia suruh sesiapa menyamar. Boleh ke dia gelak kalau dia serius saja macam ni? Tangannya asyik berpeluk tubuh. Bererti dia ialah seorang yang sangat kejam. Orang yang suka berpeluk tubuh ni orang yang tak ada keyakinan diri. Tapi mata redup dan tajam memandang dengan kening lebat dan tersusun. Buat lagi seram! Tapi setakat dia ni… apa ada hal? Aku lagi takut Tuhan!

“Jangan lupa buat full medical check up selepas ini sebelum dia sain surat ni, Kay. Takut kita lantik orang kepala otak tak betul buat kerja! Jangan buat rugi 0.0001 peratus duit saya!”

“Kalau saya tak betul pun, bukan kerana dilahirkan tak betul. Tapi ditakdirkan berjumpa dengan tuan,” bebel aku perlahan.

“Apa awak cakap?”

“Terima kasih tuan sebab bagi saya kerja.”

Aku pusing. Heh… Mampuih kalau dia dengar!

“Dalam rumah ni ada banyak CCTV. Kalau awak buat macam-macam, Cik Ayu… Awak tahulah nasib awak. Pergi buat medical check up. Kalau approved, sila sain surat itu. Pindah masuk hari ini juga dan bersedia untuk bayar hutang awak esok!”

Keras arahan Tuan Anas Mikael. Jadi, tadi Kay bawa aku pergi klinik dan buat pemeriksaan kesihatan. Aku lulus dengan cemerlang dan bolehlah Tuan Anas Mikael tu nak belasah tulang empat kerat aku yang terlebih kalsium ni.

“Tuan Anas tu baik orangnya.”

“Ada CCTV ke dalam kereta ni, Kay?”

Kay ketawa. “Saya memuji bukan sebab saya nak gaji lebih. Tapi dia memang seorang majikan yang baik hati. Dia prihatin dengan kesihatan Cik Su. Itu sebab dia suruh Cik Su buat kerja ringan-ringan saja. Kalau tak siap pukul sepuluh pagi, rehat, pukul dua belas tengah hari buat pula.”

Aku terdiam.

Yalah tu. Baik ada maknaaa…

AKHIRNYA, aku dan mak aku pindah juga ke rumah Tuan Anas. Mak… seronok. Rumah yang aku dan mak duduk itu memang bersambung dengan rumah Tuan Anas. Bahagian dapur ke dapur. Agak besar juga. Cukuplah aku dengan mak. Rumah sedia ada yang aku dan mak tinggal pun rumah sewa saja. Tak apalah. Nanti gaji, kumpul-kumpul, aku beli rumah untuk mak.

“Tidurlah. Esok nak bangun pukul empat pagi.” Mak menguak pintu bilik aku.

“Hemmm…”

Aku masih melipat baju kemudian masukkan ke dalam almari. Aku baru selesai membaca senarai kerja itu sekali lagi. Sajalah… Sambil lipat baju, sambil rancang apa yang aku nak buat esok. Aku memang suka merancang dulu. Jadi, tak adalah kelam-kabut dan tak yakin dalam menyiapkan kerja.

“Kerja elok-elok, Ayu. Jangan sia-siakan peluang ni. Walaupun kerjanya renyah, setimpallah dengan apa yang Ayu dapat.”

“Orang kaya, mak… Kalau tak dapat nak belit, bukan orang kayalah, mak. Tapi kalau orang beriman, maaf itu sudah cukup. Orang yang memberi maaf itu bukan saja menghapuskan dosa, tapi memudahkan jalan ke syurga tau!”

Mak senyum. “Jadi… anak mak kenalah mula dulu. Maafkanlah dia!”

Memang taklah!!!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66769/tuan-anas-mikael