[SNEAK PEEK] MAAF SAYA TAK SENGAJA

Maaf Saya Tak Sengaja oleh Akira Dorayaki

 

HARI ini Aina Cempaka melangkah masuk ke dalam pejabat agak lewat daripada biasa. Nasib baik hanya beberapa orang sahaja staf yang kelihatan. Nampaknya, dia tidaklah begitu lambat.

Aina Cempaka cuba membetulkan kain baju kebaya labuhnya yang singkat sebelah akibat ditiup angin semasa menunggang skuter tadi. Mana tidaknya, dia terpaksa membuat aksi perlumbaan Formula One. Memecut laju mengalahkan Michael Schumacher!

Pandangan mata Aina Cempaka terpaku seketika. Seorang wanita berbaju kebaya ketat dan kelihatan sangat bergaya berada di dalam bilik Faiz Iqbal. Hati Aina Cempaka mula tertanya-tanya. Perasan akan kewujudan Aina Cempaka, wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu keluar dari bilik pejabat dan menghampirinya.

“Cik Aina Cempaka, kan?” soal wanita itu agak mesra. Dia tersenyum manis merenung wajah Aina Cempaka.

“Ya, saya. Boleh saya tahu… Puan ni siapa?”

“Saya Datin Mariam. Mak saudara Iqbal. Anak perempuan kepada Tan Sri Berahim. Hurmm… macam mana kerja awak sekarang, okey tak?” Agak aneh sedikit soalan yang dirasakan oleh Aina Cempaka.

“Errrr… okey.”

“Ada tak dia marah-marah?”

“Sikit…”

“Sikit macam mana tu?”

“Biasalah… kalau saya ada apa-apa tersilap, mesti kena betulkan.”

“Ada dia cakap nak pecat awak?”

“Tak. Errmm… kenapa ya?” soal Aina Cempaka. Tidak selesa apabila disoal bertubi-tubi. Sudah macam wartawan majalah hiburan pula.

“Tak ada apa-apa. Pukul berapa dia selalu masuk ofis?”

“Aaaaa… Datin, sekarang ni waktu pejabat belum mula lagi. Sekarang baru pukul 7.50.” Aina Cempaka menunjukkan jam tangan yang dipakainya. Kalau boleh dia mahu mengelak soalan tersebut. Malas merumitkan keadaan. Nanti tidak pasal-pasal kena marah dengan Faiz Iqbal. Dicap sebagai ‘tukang report’ pula. Oh, simpang malaikat 44!

“Ooo… ya ke? Maaf, saya tak perasan. Awak nak breakfast dulu ke ni?” soal Datin Mariam, mencuri pandangan pada bungkusan polistirena di atas meja Aina Cempaka.

“Ya… nasi lemak sambal sotong. Datin nak join sekali?” agak kekok Aina Cempaka menjemput. Bukan niat hendak ajak betul-betul, buat manis mulut aje. Ajak-ajak ayamlah katakan.

Datin Mariam menelan air liur. Teringin juga dia sebenarnya.

“Tak apalah. Saya tak makan nasi lemak. It contains too much fat. Lebih baik awak jangan makan tiap-tiap hari. Nanti obesiti,” bisik Datin Mariam perlahan.

Aina Cempaka mengangguk. Rasa macam kelakar pun ada.

Hakikatnya, Datin Mariam hanya mahu menduga. Ingin melihat reaksi yang ditunjukkan oleh Aina Cempaka. Berkenan pula dia dengan setiausaha yang baru ini. Berbeza dengan yang lain-lain. Harap muka aje cantik, tapi kalau tidak ada budi bahasa, tidak guna juga. Berbeza dengan gadis muda di hadapannya ini. Nampak jujur dan berpenampilan biasa-biasa saja. Mungkin sedikit dandanan mampu mengubah rupa luarannya. Fikir Datin Mariam dalam hati.

“Datin nak jumpa Encik Iqbal sekarang ke? Selalunya 15 minit sebelum ofis hour dia dah ada. Mungkin kejap lagi ada kut. Nak saya buatkan kopi?” kejut Aina Cempaka. Baru Datin Mariam tersedar daripada lamunannya.

“No… no… bagi saya air suam aje,” pinta Datin Mariam.

Aina Cempaka melangkah masuk ke dalam pantri. Memenuhkan gelas kaca daripada alat penapis air. Sebaik sahaja minuman diserahkan kepada Datin Mariam, Faiz Iqbal muncul di hadapan mereka. Panjang umur betul lelaki ini.

“Mak ngah buat apa datang ofis pagi-pagi buta ni?” soal Faiz Iqbal. Pelik pula melihat Datin Mariam. Jarang wanita ini datang bertandang kecuali kalau ada hal-hal penting.

“Nak jumpa anak saudara sendiri pun salah ke? Betul ke salah, Aina?” Datin Mariam merenung wajah Aina Cempaka yang kelihatan makin serba salah, tidak berani bersuara. Hanya mampu tersengih-sengih macam kerang busuk.

“Tak salah… mak ngah. Masuklah,” kata Faiz Iqbal. Membuka pintu pejabatnya dan masuk.

Datin Mariam melangkah masuk dengan lagak biasa.

Aina Cempaka sudah menghembuskan nafas lega. Tidak tahu hendak layan macam mana lagi. Dia terus kembali ke meja kerja.

“Apa sebenarnya hajat mak ngah datang ni? Nak buat spot check ke apa?” Faiz Iqbal menyorongkan kerusi kepada wanita itu.

Datin Mariam duduk tersenyum di hadapan Faiz Iqbal.

“Bukan spot check, cuma nak pastikan yang secretary ni okey ke tak. Itu aje.”

“Sekarang macam mana? Okey?” soal Faiz Iqbal tidak puas hati.

“Mmmm… okey sangat. Lebih baik daripada yang sebelum ni. Low profile… taklah berlagak diva sangat,” komen Datin Mariam.

Datin Mariam cukup meluat dengan setiausaha Faiz Iqbal sebelum ini. Kebanyakan mereka terlalu menjaga penampilan. 24 jam asyik menghadap cermin. Sampai tetamu lain yang datang pun tidak perasan. Pernah juga Datin Mariam dimarahi oleh setiausaha Faiz Iqbal. Alasannya? Sebab Datin Mariam memandai-mandai masuk ke dalam bilik Faiz Iqbal tanpa kebenaran. Apibila sudah tahu identiti sebenar Datin Mariam, barulah dia tergagap-gagap. Cuba membodek. Itu semua menjengkelkan!

“Tapi, ingat… Iqbal takkan bertanggungjawab kalau dia yang nak berhenti sendiri.”

“Yup, janji tetap janji. Mak ngah tahu tu. Tak payahlah Iqbal nak ingatkan mak ngah banyak-banyak kali. Mak ngah ni memang setia pada janji. Iqbal tu… entah ya, entahkan tidak.”

“Of course yes. The 30 percent is always in my dream. But I don’t want it to remain just in my dream…”

“Yes. Itu semua akan jadi realiti. Itu pun kalau Iqbal tetap pendirian. Anyway, dengar cerita semalam hari terakhir Encik Latif bekerja kat sini. Tak beritahu mak ngah pun. Kata bulan depan nak resign. Macam mana Iqbal boleh approved ni?” soal Datin Mariam.

“Dia cakap nak buat umrah dengan anak isteri dia. Iqbal terpaksalah lepaskan dia. Nak buat macam mana lagi?”

“Okey… alasan diterima. Lagipun mak ngah tengok budak Aina tu macam boleh buat kerja aje.”

“Memang boleh buat kerja pun…” bisik Faiz Iqbal perlahan tapi penuh makna.

“Apa?”

“Tak. Mmmm… tok wan sihat?” alih Faiz Iqbal.

“Tok wan… biasalah. Tak nak makan ubat. Bila dipaksa sikit, mulalah. Maki hamun orang sana sini. Mak ngah pun tak tahu nak buat macam mana lagi. Nasib baiklah sekarang ni dia dah boleh duduk atas kerusi roda. Tak adalah mak ngah risau sangat.Hurmm… malam ni Iqbal nak pergi dengan siapa?”

“Pergi mana pulak ni, mak ngah?” Faiz Iqbal menaikkan keningnya. Tak faham. Apalah yang Datin Mariam merepek ni?

“Eh, lupa ke sengaja buat-buat lupa ni? Malam ni kan ada anniversary dinner kat Hotel Grand Sapphire Diamond. Iqbal kena datang tau. Kita mesti tonjolkan penglibatan syarikat kita,” jelas Datin Mariam.

Faiz Iqbal menepuk dahi. Hampir terlupa dia mengenai majlis ulang tahun ke-15 hotel terkemuka itu. Hotel yang merupakan sebahagian daripada pelaburan saham Ibunda Corporation. Mahu atau tidak, Faiz Iqbal mesti membuat keputusan cepat. Selain tok wan, Datin Mariam juga antara individu yang boleh dikategorikan sebagai ‘ahli kumpulan pendesak’ yang berpengaruh. Setiap kata mereka mesti dipenuhi. Tiada jalan keluar.

“Ingat sikit ke modal yang kita dah laburkan kat situ?” tekan Datin Mariam lagi.

“Ya… Iqbal tahu. Malam nanti mak ngah temankan Iqbal ya?” pancing Faiz Iqbal. Sudah dapat meneka apa yang bermain dalam fkiran Datin Mariam.

“Ini majlis berprotokol, sayang… Apa pulak mak ngah yang nak kena temankan?Ex-girlfriend Iqbal kan berlambak-lambak kat luar tu. Ajaklah diaorang. Takkanlah sorang pun tak lekat.” Sinis Datin Mariam.

Faiz Iqbal terus terdiam. Kumpul suara untuk bercakap.

“Itu dulu. Mak ngah pun tahu Iqbal macam mana sekarang ni, kan? Iqbal benci dengan semua perempuan tu. Tak ada kualiti langsung. Semua kaki cukur,” bidas Faiz Iqbal membuat alasan.

Kalau dulu, sebut saja pasal perempuan, Faiz Iqballah orang pertama yang akan mara ke depan. Tidak kisahlah kaki cukur ke apa, asalkan mereka dapat penuhi keinginan Faiz Iqbal sebagai seorang lelaki. Itu sudah cukup! Tapi, sekarang semuanya sudah lain. Sejak Faiz Iqbal terlibat dalam kemalangan jalan raya, dia terus jadi trauma. Tambahan lagi kalau mimpi ngerinya bertandang. Hendak pandang perempuan cantik lebih-lebih sangat pun dia jadi menggeletar. Macam orang terkena sawan. Faiz Iqbal lebih rela tidak kahwin sampai mati.

“Tak pun, ajaklah minah cun yang kat luar sana tu,” kata Datin Mariam, menjuihkan bibirnya ke arah luar sambil tersengih-sengih.

“Tasnim?” soal Faiz Iqbal, melihat Tasnim yang sedang berbual-bual bersama Aina Cempaka di luar.

“Bukanlah… yang itu isteri orang. Nak buat apanya? Maksud mak ngah yang pakai baju kebaya tu. Tu, tu, tu…” Datin Mariam main tunjuk-tunjuk pula.

“Apa-apa ajelah, mak ngah. Mmmm… mak ngah tak nak balik ke? Iqbal banyak kerja nak kena settle ni,” alih Faiz Iqbal. Malas mahu layan.

“Aik, belum panas punggung lagi dah menghalau?”

“Bukan menghalau, cuma risau tok wan kat rumah tu. Takkan nak harapkan nurseaje. Sekali-sekala nak kena ada orang lain jugak yang jenguk.” Faiz Iqbal membuat alasan.

“Risaulah sangat! Dahlah tu… mak ngah pun nak keluar ni. Nak shopping sikit. Bila senang nanti, datanglah rumah. Jenguk tok wan.”

“Itu pun kalau dia suka Iqbal datang. Iqbal ni kan anak angkat aje.”

“Dia sukalah Iqbal datang. Cuma dia malas aje nak tunjukkan.” Jawab Datin Mariam.

Faiz Iqbal mencebik bibir. Tanda meluat.

“Mmmm… kalau macam tu, mak ngah balik dululah.

Penatlah bercakap dengan Iqbal ni!” rungut Datin Mariam. Bosan dengan perangai Faiz Iqbal yang suka mengungkit tentang status dirinya. Sebelum Datin Mariam berlalu, sempat juga dia melemparkan senyuman manis kepada Aina Cempaka.

Beberapa minit kemudian, interkom di atas meja berbunyi. Pantas Aina Cempaka menekan butang menjawab.

“Aina, masuk kejap.” Suara garau Faiz Iqbal terlebih dahulu kedengaran. Tidak sempat pun Aina Cempaka mahu bertanya apa-apa.

“Okey.” Aina Cempaka meletakkan gagang. Bangun dan mengetuk beberapa kali sebelum membuka pintu bilik Faiz Iqbal.

“Kau tak ada baju lain ke nak pakai?” soalnya sinis sebaik sahaja Aina Cempaka melangkah masuk.

“Kenapa pulak?”

“Kejap lagi ikut aku pergi beli baju.”

“Baju kebaya ni okeylah, Encik Iqbal. Apa masalahnya?”

“Kuno. Macam orang tua. Malam nanti teman aku pergi hotel.”

“Errrr… Encik Iqbal dah gila ke? Ingat saya ni perempuan apa? Saya tak semurah itulah!” marah Aina Cempaka, bercekak pinggang. Pantang betul dengan lelaki yang suka mengambil kesempatan. Dasar tidak tahu malu. Buaya tembaga!

Faiz Iqbal mengeluh sakit hati. Banyak songeh pula perempuan ini. Kena cium nanti, baru tahu. Dia ingat Faiz Iqbal tidak mampu hendak buat itu semua?

“Aku nak kau temankan aku pergi dinner malam ni. Syarikat akan sambutanniversary kat Hotel Grand Sapphire Diamond. Anyway, kau memang selalu dressingmacam ni ek?” Faiz Iqbal memandang Aina Cempaka dari atas ke bawah.

Aina Cempaka terpaksa menahan sabar. Kalau ikutkan hati, hendak saja dipulas-pulas muncung lelaki itu. Mulut minta dicabai!

“Saya tak suka dengan cara Encik Iqbal bercakap tu. Saya ada baju sendiri. Terima kasih ajelah,” balas Aina Cempaka melepaskan geram.

Faiz Iqbal mencebik bibir, tanda mengejek.

“Well… see you tonight.” Nada suara Faiz Iqbal berubah agak lembut. Namun, masih dalam mood mengejek.

Aina Cempaka meninggalkan Faiz Iqbal. Tidak ingin dia memberi sebarang reaksi. Dalam mindanya kini ligat berfkir. Entah apalah baju yang hendak dipakai malam ini. Sudahlah beritahu last minit. Menyusahkan orang betul!

***

“SURPRISE!” JERIT Suzy sebaik sahaja Aina Cempaka membuka pintu rumah.

Penat baru pulang dari pejabat pun belum habis, tiba-tiba disergah dengan hantu berambut kerinting. Nasib baik dia tidak terbagi penampar Jepun. Kalau tidak, jadi bisulah Suzy seumur hidup.

“Terkejut aku. Kau ni dah kenapa?” Aina Cempaka mengurut dada. Kalaulah dia lemah semangat tadi, mesti sudah jatuh pengsan dia dibuatnya.

“Tadaa!” Suzy mengeluarkan sesuatu dari belakang pinggulnya. Di tangan kanannya terdapat sebuah beg plastik berisi kotak nipis dan agak lebar.

“Apa ni?” soal Aina Cempaka.

“Dress.”

“Dress?”

“Sorry… aku terbuka tadi. Tak tahan. Lagipun tak ada pembalut. Tapi jangan risau, aku tak sentuh pun kad ni.”

Suzy mula mengedik. Menghulurkan sekeping sampul kecil berwarna merah jambu.

“Siapa yang bagi ni?”

“Driver dia aje yang keluar. Aku tak perasan pulak siapa yang duduk kat dalam kereta tu tadi. Dia cakap, ini untuk kau,” jelas Suzy sambil mengingati kembali kereta mewah bercermin gelap yang singgah di hadapan rumah mereka. Hanya pemandunya sahaja yang keluar memberikan bungkusan itu.

Aina Cempaka membuka isi kad.

“Ini mesti daripada bos aku ni…” ucap Aina Cempaka kerana hanya ada kesan cap syarikat yang kelihatan.

“Apalah bos kau ni, nak mengurat pun tak pandai. Ada ke guna cap syarikat nak bagi hadiah. Tak romantik langsung,” rungut Suzy.

“Baju ni untuk dinner malam nantilah. Aku pun tak pasti nak pergi ke tak.”

“Dinner? Best tu… kat mana?”

“Hotel Grand Sapphire Diamond.”

“Aku pernah dengar nama hotel tu. Itu hotel five star, kan?”

Aina Cempaka hanya mengangguk dengan soalan Suzy.

“Pergilah. Bukan senang nak bergaul dengan VIP ni tau. Kebetulan, esok aku ada seminar kat Penang. Bolehlah aku tolong hantarkan kau malam ni,” tambah Suzy penuh teruja.

“Seminar apa? Kau tak pernah cakap pun yang kau ada seminar esok,” soal Aina Cempaka. Agak aneh. Selalunya Aina Cempakalah orang pertama yang mengetahui segala perkembangan dan tindak-tanduk Suzy.

“Errr… sorrylah beb. Sebenarnya, aku pun baru dapat tahu hari ni. Sebab itulah aku tak cakap kat kau.” Suzy tersengih-sengih sambil menggaru-garukan kepalanya.

“Berapa lama kau pergi?”

“Ala… tak lama pun. Tiga hari aje. Kenapa? Nanti kau rindu kat aku ek?”

“Eeee… tolonglah. Kau ingat, kau siapa? Aku cuma rindu kat masakan kau ajelah!” Aina Cempaka mengusik. Mencuit pipi Suzy.

“Eh, cubalah tengok dress ni cepat. Mesti kau yang paling cantik nanti. Tambah-tambah kalau aku yang make-over kau.” Teruja betul Suzy, mengalahkan tuan punya badan.

Aina Cempaka membuka kotak nipis itu. Sehelai gaun berwarna putih dan agak labuh dikeluarkan.

“Cantik, kan? Siap berlabuci-labuci lagi. Ni barulah meletop.” Suzy memuji.

Aina Cempaka tersenyum lemah. Sebenarnya, hati dia berat hendak pergi. Apabila sudah disokong Suzy, mungkin dia lebih bersemangat. Mungkin inilah masanya untuk dia kembali menyerlah. Dia mesti buktikan kemampuannya kepada Faiz Iqbal. Eleh! Setakat dinner aje pun. Bukannya teruk sangat. Pergi… makan… kemudian balik ke rumah. Settle!

***

FAIZ IQBAL mengerling jam di tangan. Segak mengenakan tuksedo yang baru dibelikan oleh Datin Mariam ketika membeli-belah petang tadi. Majlisnya sebentar lagi akan bermula, namun bayang Aina Cempaka masih belum muncul-muncul. Hampir patah rasa kakinya duduk terpacak di hadapan pintu masuk lobi hotel.

Beberapa minit kemudian, sebuah kereta Kancil berwarna hitam memasuki pekarangan pintu masuk. Seorang wanita yang mengenakan gaun putih melangkah keluar dari perut kereta. Kelihatan cantik dengan rambut hitamnya yang mengurai panjang. Jarang sekali dia melihat Aina Cempaka melepaskan ikatan rambutnya begitu. Selalunya gadis itu lebih gemar bertocang kuda.

Mata Faiz Iqbal jadi terpaku. Jantungnya berdegup laju. Dia menyentuh dadanya sendiri. Aneh! Mengapa tubuhnya tidak menggeletar? Kenapa dia tidak rasa takut? Perasaan ini benar-benar aneh! Langkah Aina Cempaka semakin menghampirinya. Air liur ditelan. Bagaikan dirasuk tidak boleh bergerak, hanya bibir terketar-ketar, tidak bersuara.

“Encik Iqbal?” Aina Cempaka mengipas tangannya pada muka Faiz Iqbal.

“Errrr… lambatnya! Kau ingat aku ni tunggul kayu ke apa? Nak tunggu kau kat sini lama-lama!” jerit Faiz Iqbal. Membetulkan kolar lehernya.

“Maaflah, saya lambat sikit. Tadi jalan sesak.”

“Mana dapat baju ni? Macam tak kena aje.”

“Kan Encik Iqbal hantar petang tadi.”

Faiz Iqbal terdiam.

‘Ini mesti kerja mak ngah. Hesy! Macam mana dia boleh agak aku nak bawak Aina Cempaka pulak ni? Isy, buat membazir duit aje!’ bentak hati Faiz Iqbal.

“Dah. Jom masuk.” Faiz Iqbal menghalakan lengannya kepada Aina Cempaka. Minta dikepit. Aina Cempaka mula teragak-agak.

“Hari ni aje kau boleh pinjam lengan aku. Esok dah tak ada. Cepat!” arah Faiz Iqbal.

Aina Cempaka terpaksa juga menurut. Berjalan seiring menuju ke dewan makan hotel. Suasana mewah dengan lampu malap yang agak romantik membangkitkan lagi perasaan berdebar-debar. Hiasan meja makan eksklusif dengan seni kulinari yang sangat kreatif membuatkan Aina Cempaka berasa lebih cuak. Bukannya dia tidak pernah makan di hotel. Tapi, jujur! Sepanjang hidupnya, inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke hotel mewah.

Faiz Iqbal menghulurkan pinggan putih kepada Aina Cempaka.

“Makan cepat sampai kenyang. Ini sebahagian daripada tugas.” Bisiknya perlahan ke telinga Aina Cempaka. Faiz Iqbal berlalu pergi meninggalkan Aina Cempaka di tempat bufet untuk menyapa tetamu lain yang hadir.

“Lantaklah.” Aina Cempaka memenuhkan pinggannya dengan bermacam juadah. Kuih-muih dan makanan ringan semua jadi pilihannya. Walaupun ini hanyalah hidangan pembuka selera, peduli apa? Biar bertimbun macam Gunung Everest. Bukannya selalu dapat makan macam ini. Alang-alang sudah datang, lebih baik penuhkan sahaja pinggan.

“Hai.” Datuk Mazlan menyapa dari belakang.

Aina Cempaka menoleh. Hanya senyum sekilas dan menyambung semula memasukkan beberapa biji pai nanas comel ke dalam pinggan. Lelaki tua kerepot berkot hitam yang tidak dikenalinya itu asyik memerhatikan Aina Cempaka dari atas hingga ke bawah. Aina Cempaka sudah rasa tidak selesa. Dia mesti cepat meninggalkan kawasan ini.

Belum pun sempat Aina Cempaka melangkah pergi, Datuk Mazlan sudah menghalang.

“Air?” Datuk Mazlan menghulurkan segelas jus oren.

Aina Cempaka memandang wajah lelaki berkumis itu. Hairan. Kenal pun tidak, tiba-tiba sahaja datang menyibuk.

“Orange juice for you,” sambung Datuk Mazlan lagi. Lembut.

“Thanks.” Gelas bertukar tangan. Aina Cempaka mengambil tempat duduk di sebuah meja bulat berdekatan. Orang tua yang tidak dikenalinya itu tetap mengekori. Mengambil tempat di sebelah Aina Cempaka. Aina Cempaka terpaksa berlagak biasa walaupun dalam hatinya tidak keruan. Kurang selesa.

“I tak pernah tengok you kat sini pun. You ni anak Datuk mana? Ke… kerabat?” Datuk Mazlan ketawa.

Menjengkelkan betul mimik mukanya.

“Saya secretary biasa aje.” Ringkas. Tidak kuasa Aina Cempaka hendak melayan.

“Company mana?”

“Ibunda Corporation.” Jawab Aina Cempaka sambil melemparkan pandangan ke arah lain. Perlahan-lahan pai nanas disuap ke dalam mulut.

“Mmmm… you mesti kenal Faiz Iqbal, kan?”

Aina Cempaka mengangguk sambil anak matanya mencari-cari kelibat Faiz Iqbal yang hilang entah ke mana.

“You tahu tak? You ni cantiklah… macam anak patung. Comel!” Datuk Mazlan ketawa lagi.

Aina Cempaka berhenti mengunyah, menjeling lelaki tua itu tajam. Nasib baik dia berkain hari ini. Kalau tidak, pasti diayunnya kaki kanan ke celah kelengkang orang tua ini. Biar mandul seumur hidup!

“Kenapa you tengok I macam tu? Tak apa, kalau you nak tengok, tengoklah puas-puas.” Datuk Mazlan mendongakkan wajahnya ke arah muka Aina Cempaka. Kelopak mata dikerdip-kerdipkan.

“Maaf encik, saya tak suka buat kacau kat dalam majlis orang. Kalau encik rasa nak makan penampar Jepun, saya boleh bagi. Kita tengok, siapa yang tengok siapa nanti?” gertak Aina Cempaka. Agak tegas nada suaranya.

Datuk Mazlan hanya tersengih. Macam kerang busuk. Suka betul dia dengan perempuan sensitif macam Aina Cempaka ini. Lagi garang, lagi dia suka.

“Okey, I’m sorry. I bergurau aje. Takkan itu pun you nak ambil hati.” Datuk Mazlan cuba memujuk. Namun, tiada respons yang ditunjukkan oleh Aina Cempaka. Dia hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap hidangan di atas meja.

Datuk Mazlan mengusap lembut lengan Aina Cempaka. Pantas Aina Cempaka menepis.

“Dah gila ke?” Segelas jus oren disimbah tepat ke muka Datuk Mazlan. Habis basah lencun orang tua itu. Mata Aina Cempaka menjeling tajam. Rasakan! Baru dia puas hati. Itu baru jurus simbahan air. Belum lagi teknik tendangan kupu-kupu.

Datuk Mazlan tetap tersengih. Menjilat bibirnya. Buat gaya menggoda.

Seorang pelayan hotel menghampiri meja makan. Menghulurkan sekeping nota kecil kepada Datuk Mazlan dengan sopan. Pantas Datuk Mazlan menyambutnya. Matanya tidak lekang memandang wajah Aina Cempaka.

Capture2

Nota bertulis tangan itu direnyukkan oleh Datuk Mazlan. Sakit hati betul dia dengan mesej yang diterima. Mata galaknya melilau mencari kelibat Faiz Iqbal. Sah! Memang si keparat itulah pengirimnya.

Faiz Iqbal hanya melambaikan-lambaikan tangannya dari selang beberapa buah meja yang tidak jauh daripada mereka. Datuk Mazlan bengang. Tapi hendak buat macam mana lagi? Janji tetap janji. Dia perlu bersabar. Ikan yang diimpi, ikan yang susah hendak dapat. Jadi, dia perlu mengalah kali ini.

Datuk Mazlan bingkas bangun. Segera meninggalkan Aina Cempaka di situ. Aina Cempaka sempat menjeling dari sisi ekor matanya. Menarik nafas lega kerana si tua kutuk itu sudah beredar. Mungkin lelaki itu sudah berputus asa, fikir Aina Cempaka. Dia menyambung makan. Perut yang lapar perlu segera diisi.

“Banyaknya kau makan. Boleh habis ke satu malam macam ni?” tegur Faiz Iqbal, menarik semula kerusi yang menjadi tempat duduk Datuk Mazlan sebentar tadi.

“Dah Encik Iqbal suruh saya makan sampai kenyang, saya makanlah. Takkan nak membazir pulak,” ucap Aina Cempaka dengan mulut yang masih penuh.

“Aku suruh kau makan, bukannya mencekik.”

“Makan cepat sampai kenyang. Ini sebahagian daripada tugas… bukan ke Encik Iqbal yang cakap macam tu tadi?” pintas Aina Cempaka. Cuba mengajuk semula kata-kata Faiz Iqbal dengan gaya-gaya matanya sekali.

“Ah, whateverlah! Cepat sikit. Aku hantar kau balik.”

Faiz Iqbal bosan menunggu wanita itu menghabiskan sisa makanannya. Makan pun macam siput. Lembab!

Sebenarnya, ada perkara lain yang membuatkan Faiz Iqbal lebih bimbang. Dia baru sahaja mendapat panggilan daripada Datin Mariam bahawa tok wan akan datang juga malam ini. Sudah ditegah Datin Mariam, tapi tok wan masih berdegil. Dia tetap mahu datang. Kononnya hendak bagi sokongan.

‘Poodah! Menyibuk betullah orang tua ini. Dah sakit-sakit macam tu pun ada hati nak meraikan majlis. Taasub sangat dengan share saham gamaknya!’ fikir Faiz Iqbal.

Faiz Iqbal pantas menarik lengan Aina Cempaka.

“Apa ni Encik Iqbal?” Belum pun sempat Aina Cempaka menjamah sebiji lagi pai nanas di tangan kanannya, dia diheret oleh Faiz Iqbal keluar dari dewan makan menuju ke lobi hotel.

“Lepaslah!” Aina Cempaka merentap tangan kirinya. Cuba melarikan diri. Manalah tahu kut-kut ini satu perangkap. Entah-entah Faiz Iqbal sudah naik gila. Mahu mengapa-apakannya. Aina Cempaka masih ada maruah. Dia bukan perempuan murahan. Ah! Tak semudah itu. Jangan harap kau Faiz Iqbal!

Faiz Iqbal cuba mengejar dari belakang. Langkahnya terlalu pantas sehingga dia terpijak kaki gaun Aina Cempaka yang menyapu lantai. Aina Cempaka hilang pertimbangan dan jatuh tertiarap. Habis terpelanting dan bertaburan pai nanas yang dipegangnya ke atas lantai. Aina Cempaka mengaduh kesakitan.

Ketulan pai nanas yang pecah itu bertaburan betul-betul di hadapan seorang lelaki tua berkerusi roda. Datin Mariam yang mengiringi juga turut sama terkejut melihat aksi badut pasangan tidak sebulu itu. Ini bukannya rancangan hiburan Just For Laughs!

“Apa hal ni Iqbal?” Datin Mariam menghampiri, lalu memapah Aina Cempaka untuk bangun.

Wajah Aina Cempaka terkulat-kulat menahan malu dengan rambutnya yang serabai. Faiz Iqbal pula menekup muka. Keliru. Tidak tahu hendak jelaskan apa kepada Datin Mariam.

“Awak okey tak, Aina?” Datin Mariam mengemaskan rambut Aina Cempaka.

“Saya okey.”

“Macam mana boleh jatuh? Iqbal tolak ke?”

“Errrr… tak. Saya tergelincir tadi. Kasut ni tinggi sangat.” Aina Cempaka cuba berbasa-basi.

“Nasib baik tak cedera teruk. Lain kali jalan hati-hati sikit,” balas Datin Mariam sambil membuat isyarat supaya Faiz Iqbal membantunya menolak kerusi roda tok wan di belakangnya.

Faiz Iqbal menurut. Menolak kerusi roda tok wan mengekori Datin Mariam dan Aina Cempaka menuju ke dewan makan semula.

“Perempuan mana pulak ni?” soal tok wan perlahan. Faiz Iqbal serba salah. Hilang akal hendak bercerita. Nanti apa pulak yang tok wan fkir.

“Dia kawan Iqbal… baru balik dari overseas.”

“Aku ingatkan perempuan simpanan kau tadi. Tak nampak macam taste kau pun.” Perli tok wan.

“Maksud tok wan?”

“Dulu kau kan suka angkut perempuan liar. Entah berapa banyak, aku pun tak tahu.”

“Sudahlah tok wan. Iqbal malas nak cari gaduh kat sini. Jangan sampai orang lain nampak kita bermasam muka.”

“Biarlah! Biar satu Malaysia ni tahu yang kau tu cuma anak angkat aje. Bukan waris halal keturunan aku!” cemuh tok wan.

Faiz Iqbal diam. Diam lebih baik. Kalau dilayan, memang tidak akan habis kata-kata kesat orang tua itu.

Sebaik sahaja sampai ke dalam dewan makan, mereka mengambil tempat di sebuah meja bulat berhadapan pentas utama sambil menikmati persembahan nyanyian artis jemputan. Aina Cempaka terpaksa duduk diapiti Faiz Iqbal dan Datin Mariam sebagaimana yang telah diarahkan.

“Macam mana, cantik tak baju yang saya pilih ni?”

“Cantik. Saya suka. Datin ke yang bagi?” soal Aina Cempaka.

Datin Mariam mengangguk.

“Ingatkan… errr… tak apalah. Baju Datin pun nampak cantik,” puji Aina Cempaka ikhlas. Patutlah! Ingatkan semua ini daripada Faiz Iqbal.

“Lupa pulak saya nak kenalkan. Ini Tan Sri Berahim, CEO dan pengasas Ibunda Corporation. Ayah saya… datuk kepada Iqbal,” perkenal Datin Mariam kepada Aina Cempaka.

“Saya Aina… Aina Cempaka. Apa khabar Tan Sri, sihat?” sapa Aina Cempaka. Tok wan menganggukkan kepala tanda menjawab.

“Dengar cerita, kamu baru balik dari luar negara. Kat mana tu?” soal tok wan.

Mata Aina Cempaka terkebil-kebil. Bila masa pulak dia pergi overseas?

Faiz Iqbal menendang kaki Aina Cempaka. Pantas Aina Cempaka menoleh ke arahnya. Faiz Iqbal membuat mimik muka, suruh menjawab pertanyaan tok wan. Aina Cempaka keliru. Tidak faham apa maksud yang cuba disampaikan.

“Dia baru balik dari UK. Dulu menetap kat sana, sekarang dah pindah kat KL,” jawab Faiz Iqbal.

“Aku tanya orang lain, orang yang lain pulak menjawab,” rungut tok wan.

Datin Mariam tersenyum. Faham akan tembelang Faiz Iqbal. Memang dia sudah mengagak. Faiz Iqbal memang tidak salah memilih Aina Cempaka sebagai peneman. Jarang sekali tok wan ingin bertegur sapa dengan mana-mana perempuan yang dibawa pulang oleh Faiz Iqbal sebelum ini. Aina Cempakalah orang pertama yang berjaya membuatkan tok wan tertanya-tanya.

“Keluarga kamu buat bisnes apa?” soal tok wan lagi.

“Errr…” Aina Cempaka semakin kalut.

“Apalah ayah ni… bagi soalan yang macam tu. Aina dah tak ada siapa-siapa lagi kat dalam dunia ni. Dia sebatang kara. Dia ni memang suka merantau kat luar negara. Nasib baik dulu arwah ayah dia ada tinggalkan beberapa aset dan sebuah syarikat perkapalan kat UK. Tapi, semua tu pengurus mereka yang uruskan,” tambah Datin Mariam, membuat cerita.

“Kenapa Aina tak uruskan sendiri aje?” soal tok wan.

Ketiga-tiga mata merenung wajah Aina Cempaka. Minta jawapan dari bibir yang terkunci rapat itu.

“Errrr… saya lebih suka hidup berdikari. Mula dari bawah. Takkanlah nak harapkan usaha yang sedia ada pulak. Kita mesti cuba sesuatu yang baru, kan?” Aina Cempaka mengatur kata. Menipu sunat dan menunggu reaksi tok wan.

“Bagus! Tok wan suka dengan orang muda macam Aina ni. Bijak berdiri atas kaki sendiri. Taklah nak harapkan business family aje.” Lelaki tua itu ketawa besar.

Tergamam mereka dengan reaksinya lalu turut ketawa bersama.

“Tak payahlah panggil Tan Sri. Panggil tok wan aje. Lagi selesa. Lagipun kamu berdua dah kenal lama.”

“Yalah, tok wan.” Agak kekok Aina Cempaka membahasakan orang tua itu.

“Nampak? Kan senang kalau panggil macam tu. Lain kali, ajaklah Iqbal datang rumah tok wan. Kita boleh borak lebih sikit.” Agak mesra nada tok wan.

Aina Cempaka mengangguk perlahan dengan senyuman. Tidak sangka, taktik penipunya menjadi pula.

Mereka menikmati hidangan makan malam di meja bulat itu sambil menyaksikan persembahan untuk satu jam dan diserikan lagi dengan dua orang pengacara majlis lelaki yang sangat menghiburkan.

Selepas tamat majlis, Faiz Iqbal dan Aina Cempaka mengiringi tok wan bersama Datin Mariam keluar dari hotel.

“Bila ada masa lapang nanti, Aina jangan lupa pulak datang rumah tok wan. Kita boleh berborak panjang sikit. Ajak Iqbal sekali.” Tok Wan tersenyum lebar, menampakkan gigi palsunya yang berwarna keemasan.

“Insya-Allah… tok wan.” Aina Cempaka menyambutnya sopan.

Faiz Iqbal membantu datuknya masuk ke dalam kereta. Sempat juga Datin Mariam melambaikan tangannya kepada Aina Cempaka sebelum pemandu mereka menghidupkan enjin dan meninggalkan pekarangan hotel.

“Nak aku hantarkan kau balik ke?” soal Faiz Iqbal.

“Tak apalah Encik Iqbal. Nanti kawan saya datang ambil.”

“Pukul berapa?” Aina Cempaka mengangkatkan bahunya. Tanda tidak pasti bila Suzy akan datang menjemputnya.

Faiz Iqbal mengeluh bosan.

“Kalau tak tahu, calllah. Itu pun susah ke? Dahlah, jom aku hantar kau balik.”

“Tak payahlah. Saya boleh balik sendiri,” bantah Aina Cempaka. Cuba mempertahankan egonya. Sebenarnya hatinya masih sakit. Yalah, bengang betul dia dengan tindakan Faiz Iqbal tadi. Dia bukannya barang mainan hendak main tarik-tarik. Sakit jatuh tertonggeng, boleh lagi ditahan. Tapi, muka dia ini hendak letak kat mana?

“Kalau kau nak sangat tidur kat sini, go ahead… I don’t care,” tegas Faiz Iqbal. Dia meninggalkan Aina Cempaka sendiri dan terus melangkah masuk ke dalam keretanya.

***

AINA CEMPAKA berjalan lemah longlai di bahu jalan. Gaun putih yang meleret dan menyapu jalan itu dibiarkannya sahaja ditiup angin malam. Bunyi bingit dan silauan lampu-lampu kenderaan yang lalu-lalang tidak dihiraukannya lagi. Dia sudah nekad tidak akan berpatah balik ke hotel itu lagi. Moga-moga ada teksi atau orang yang nampak jujur untuk dia tumpang.

Telefon bimbit di tangannya digenggam erat. Kalau hendak telefon Suzy pun sudah tidak guna masa ini. Bukannya dia ada kat sini pun. Baru dia teringat yang Suzy ada seminar di Penang selama tiga hari mulai esok.

‘Sekarang ini sudah pukul berapa ya? Sudah hampir pukul dua pagi? Siapa lagi aku nak minta tolong ni? Mohsin! Ya, Mohsin!’

Langkah kaki Aina Cempaka berhenti seketika. Telefon bimbit dicari dan laju jari-jemarinya mencari nama Mohsin dalam senarai buku telefonnya. Tersenyum lebar dia sebaik sahaja menemui nama lelaki itu.

“Helo Sin. Kau kat mana sekarang?” pantas sahaja Aina Cempaka bersuara.

“Ermm… sekarang? Sekarang aku ada kat luar.”

“Luar kat mana tu? Aku nak minta tolong ni…” rayu Aina Cempaka.

“Tolong? Tapi, sekarang ni aku ada kat Penang Airport.”

“Penang? Apa kau buat kat sana? Tak beritahu aku pun.”

“Aaa… sebenarnya aku aku kena pergi tengok tapak. Kerja last minit. Biasalah. Ermm… kau nak minta tolong apa ni?” tanya Mohsin.

Jadi serba salah pula Aina Cempaka dibuatnya. Kalau beritahu mengenai situasinya sekarang, pasti Mohsin risau. Dia masak sangat dengan perangai lelaki itu.

“Eh, tak ada apa. Tak penting pun. Tak apalah. Aku letak telefon dulu.” Aina Cempaka mematikan talian lalu satu keluhan dilepaskan. Saat genting macam ini pulalah, Mohsin ada hal. Malang betul!

‘Hendak telefon siapalah lagi ni? Burn? Ya, Burn!’

Pantas sahaja Aina Cempaka mencari nama lelaki itu. Yalah! Kalau di pejabat, dengan Burn sahaja yang Aina Cempaka ngam. Burn bukanlah orang yang kedekut jasa, pasti dia boleh tolong.

Belum pun sempat Aina Cempaka menekan butang mendail, satu cahaya dari belakang menyuluh terang. Suluhan lampu kereta itu menyilaukan pandangan matanya. Pintu kereta dikuak perlahan. Terkebil-kebil mata Aina Cempaka ingin melihat siapakah gerangan manusia yang baik hati itu.

“Kau ni memang dah gila, kan? Nasib baik aku jumpa. Kalau perogol ke, pembunuh ke culik kau, baru tahu!” jerit Faiz Iqbal lantang.

“Yang Encik Iqbal ni suka sangat menyibuk apasal? Biarlah! Encik Iqbal peduli apa?Go ahead… I don’t care!” balas Aina Cempaka. Memulangkan paku buah keras.

Faiz Iqbal mengetap bibir. Geram pula dengan perempuan kepala batu ini.

“Kenapa degil sangat ni? Jangan jadi bodoh, boleh tak?”

“Bodoh? Siapa yang bertindak bodoh? Saya ke, encik Iqbal?” jerkah Aina Cempaka.

Faiz Iqbal menghembuskan nafas panjang. Semakin sakit pula hatinya.

“Ingat! Tugas kau tak selesai lagi. Jangan nak banyak dalih sangat. Cepat!” Faiz Iqbal merentap lengan Aina Cempaka. Memaksanya masuk ke dalam perut kereta. Aina Cempaka terpaksa menurut. Dia sudah tiada pilihan lain.

Sepanjang perjalanan, mereka hanya diam. Masing-masing membawa perasaan sendiri. Tiada mood untuk bertekak lagi.

“Mana rumah kau?” soal Faiz Iqbal setelah kereta yang dinaiki mereka menyusuri kawasan perumahan kos sederhana.

“Masuk kanan, rumah warna putih tu,” balas Aina Cempaka perlahan.

Faiz Iqbal memberhentikan keretanya di hadapan rumah Aina Cempaka. Aina Cempaka membuka pintu kereta. Lemah.

“Nanti kejap.” Halang Faiz Iqbal. Hanya kaki kiri Aina Cempaka sahaja yang sempat keluar. Pandangannya menghala keluar kereta. Tidak mahu bertentangan mata dengan Faiz Iqbal.

“Aku harap apa yang berlaku hari ni bukan alasan untuk kau berhenti kerja. Kalau kau tetap nak berhenti, aku tak boleh buat apa-apa.” Buat pertama kalinya nada suara Faiz Iqbal bertukar lembut.

Aina Cempaka diam. Tidak menjawab sepatah pun. Melangkah keluar lalu menutup pintu kereta Faiz Iqbal. Dia membuka pagar dan terus masuk ke dalam rumah.

‘Apa yang kau merepek ni, hah? Kalau dia nak resign, biarlah! Yang kau sibuk sangat ni, apa hal?’ Faiz Iqbal memukul kecil kepalanya. ‘Aku dah gila gamaknya!’ bentak hati kecilnya lalu berlalu pergi meninggalkan kawasan perumahan itu.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/266166/maaf-saya-tak-sengaja