[SNEAK PEEK] RINDU AWAK 200%

RINDU AWAK 200% Oleh Liyana Zahim

Prolog

KAMERA polaroid Fujifilm Instax 8s berwarna kuning yang sering dikelek ke mana-mana itu dibelek seketika. Habuk-habuk halus yang melekat di lensa ditiup beberapa kali. Tali kasut yang sudah terlerai diikat kemas.

Seketika kemudian, Armel melepaskan keluhan berat sambil meliarkan pandangan ke sekitar Taman KLCC yang mula dipenuhi dengan orang ramai. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 5.30 petang.

Dompet duit di dalam beg sandangnya dikeluarkan. Ada tiga keping not RM10 di dalamnya hasil pendapatan hari ini. Dia mengeluh. Dia perlu mencari wang lagi untuk menampung perbelanjaan hariannya.

Semenjak peristiwa perselisihan faham dengan mamanya seminggu yang lalu, dia memboikot seisi rumah, tidak mahu menerima wang belanja dari sesiapa pun. Walau setiap hari ada sejumlah wang yang ditinggalkan oleh papanya di meja ruang tamu, namun dibiar tidak berusik. Buku-buku rujukan dan perbelanjaan lain-lain semuanya ditanggung sendiri.

Tengkingan mama yang menusuk sehingga ke jantung tempoh hari masih terngiang-ngiang di telinga. Kata-kata mama yang pedas cukup membuatkan hatinya terasa panas.

Seminggu lalu dia ditangkap oleh guru disiplin atas kesalahan merokok di kawasan sekolah. Akibat kesalahan itu, dia digantung sekolah selama dua minggu. Mengamuk sakan mamanya. Kerana itu dia nekad mencari wang dengan usaha sendiri dengan menggunakan kamera polaroid yang sudah dibeli setahun yang lalu.

Dia mahu membuktikan pada mamanya yang dia mampu memperoleh wang perbelanjaan sendiri tanpa mengharapkan ihsan mama dan papa. Biar mama tahu, dia lebih dari mampu untuk hidup berdikari.

Bebola mata Armel terpandang sepasang kekasih yang baru sahaja melabuhkan punggung di sebelahnya, berhampiran dengan bangku panjang di tepi pancuran air. Seketika Armel membiarkan mereka mendapatkan tempat duduk yang selesa. Memerhati gerak geri kedua-duanya untuk beberapa waktu.

Beberapa minit memerhati gerak-geri pasangan di sebelahnya itu, perlahan-lahan Armel bangun mencapai begnya lalu disangkut ke bahu. Dia menghampiri kedua-duanya dengan senyuman seikhlas yang mungkin.

“Hai, mintak maaf kalau saya menganggu sekejap ya. Akak dengan abang berminat tak nak ambil gambar macam ni? Murah aje. Satu keping RM4. Kalau dua keping, RM7,” tutur Armel mesra sambil menunjukkan contoh gambar yang tersisip di tempat letak kad di tali yang tergantung di lehernya.

Pandangannya tertancap pada pasangan muda yang tampak terpinga-pinga disapa itu. Si gadis tampak sopan mengenakan blaus labuh separas lutut dan tudung biru, manakala si lelaki tampak segak mengenakan jeans dan baju-T berkolar berwarna hijau lumut.

“Satu keping RM4, kalau dua keping RM7?” soal lelaki itu meminta kepastian.

“Yup! It’s affordable tau, abang? Murah aje saya offer. Haa… nanti bolehlah simpan dalam wallet buat kenangan, kan? Saiz gambar polaroid ni biasanya memang muat-muat untuk letak dalam wallet. Lagipun gambar dia dah nampak macam dalam frame,” kata Armel sambil membetul-betulkan rambut pendek paras telinganya yang menutupi sebahagian muka tatkala ditiup angin.

“Hmm… cantik jugakkan,” ujar si gadis sambil memandang lelaki itu seraya tersenyum.

“Adik ni student lagi ke?” soal lelaki itu ramah.

“Ha’ah… Nak ambil SPM tahun ni. Saja cari duit lebih nak beli buku sekolah,” jawab Armel lembut. Walhal cara pergaulannya yang sebenar jauh berbeza dengan caranya bertutur sekarang. Hakikatnya, dia ialah ketua segala keganasan yang selalu mendatangkan masalah kepada orang sekeliling. Tidak kira di sekolah mahupun di rumah.

“Oh.. pandai awak cari duit ya? Hmm, okey… bolehlah… Akak ambil dua keping.”

“Allright!” Armel mengangguk sambil tersenyum.

“Okey, abang dengan akak posing cantik-cantik tahu? Keep smiling…”

Lensa kamera ditarik keluar. Matanya difokuskan pada viewfinder. Seketika dia menggerakkan kepala mencari sudut yang terbaik. Tingkahnya mengalahkan jurugambar professional sahaja.

“Satu… dua… tiga.” Sesaat dua kemudian, jarinya menekan punat di depan kamera. Satu gambar mereka terakam. Sekeping filem yang keluar dari atas kamera ditarik lalu dikibas-kibas perlahan dan kemudian dihulurkan kepada wanita di hadapannya itu.

“Akak tiup-tiup sikit gambar tu. Cuba tengok okey tak,” pinta Armel sambil menanti respon wanita bertudung biru itu.

“Hmm, cantik,” puji perempuan itu ceria sambil menunjukkan gambar yang terakam itu kepada sang lelaki.

“Tak terang sangat, kan?” Armel meminta kepastian. Sebetulnya dia takut juga seandainya gambar yang dirakam tidak menepati kepuasan pelanggannya.

Harga filem itu bukan seringgit dua. Satu kotak filem polaroid yang mengandungi 10 keping filem menelan belanja RM30 ke atas. Itu pun bergantung dengan jenis kedai.

Kalau gambar tidak jadi terpaksalah dia menanggung kerugian untuk sekeping filem dalam lingkungan harga RM2.50. Namun, setakat itu belum pernah mana-mana orang yang ditemuinya tidak berpuas hati dengan hasil tangannya.

“Okey dah ni. Cantik!” Gadis itu bertutur sambil mengangguk-angguk.

“Okay then. One more. Hmm… abang dengan kakak duduk dekat sikit boleh tak?” Ah, memandai-mandai aje aku menyuruh orang.

“Kita orang kawan aje, tak boleh duduk dekat-dekat, dik,” seloroh lelaki itu lalu tertawa. Si gadis di sebelahnya hanya tersipu-sipu.

“Oh ya ke. It’s okay then. Okay… ready ya? One… two… three!”

Punat rakam di hadapan kamera ditekan dan sejurus kemudian filem yang sudah tercetak dengan gambar itu menjulur keluar dari mulut kamera. Filem itu diserahkan kepada si lelaki pula. Seketika Armel menanti respon pemuda itu sebelum beredar pergi.

“Hmm… cantik. Pandai awak ambil gambar, kan?” puji lelaki itu pula sambil tersenyum memandang ke arahnya. Kemudian dia mengeluarkan dompet duitnya dari poket seluar. Dua keping not RM10 dihulurkan kepada Armel. “Just keep the change…”

“Eh, RM7 aje abang,” ujar Armel tidak menyambut huluran lelaki itu.

“Tak apa… yang ni abang kasi. Buat belanja beli buku sekolah ya?”

Armel mula tidak betah. “No no no… Thanks but no thanks. Saya tak boleh ambil duit abang ni. Kalau abang nak, saya boleh ambil gambar abang dengan akak dua keping lagi. Nak tak?”

Sesengkek-sengkek mana sekalipun, dia tidak akan pernah menerima wang dari orang lain apatah lagi dari orang yang tidak dikenali seperti itu. Itu bukan prinsip hidupnya.

“Tak apa dik… abang ikhlas nak bagi. Lagipun abang tahu filem kamera ni mahal, kan?”

Armel menggeleng seraya melemparkan senyuman. Dia enggan menerima pemberian lelaki itu kalaupun ikhlasnya sepenuh jiwa sekalipun.

“Saya mintak diri dulu. Nice meeting both of you.” Dia berkira-kira ingin beredar dari situ. Tiba-tiba laju sahaja tangan wanita bertudung itu menarik tangannya lantas meletakkan dua keping not RM10 ke dalam tangannya.

“Ambil duit ni ya? Anggap aje hadiah dari kita orang. Terima kasih tau?” ucap wanita itu dengan segaris senyuman sambil menepuk-nepuk tangan Armel.

Armel terpinga-pinga seketika. Entah kenapa hatinya terasa cukup tenang melihat raut wajah bersih milik perempuan itu. Belum pernah dia bertemu dengan orang sebaik itu sepanjang dia menjadi jurugambar polaroid jalanan. “Terima kasih banyak-banyak. Saya pergi dulu. Bye…” Tanpa menanti lagi Armel terus beredar pergi tanpa sedikit pun berpaling. Sungguh dia malu sendiri.

*****

1

PALUAN kompang yang bergema menyambut kedatangan mempelai, menarik perhatian tetamu yang hadir. Masing-masing berpusu-pusu mahu melihat pasangan raja sehari yang sedang diarak ke pelamin yang dihias cantik di luar rumah.

Selesai sesi bergambar bersama rakan-rakan, sanak-saudara dan sebagainya, Nazneen dan Fahmi dibawa ke meja makan beradab bersama keluarga Fahmi yang lain. Kedua-dua mereka yang mengenakan persalinan berwarna kuning emas tampak ceria melayan sahabat handal dan saudara mara yang hadir.

Zill Faezrul menarik kain pengesat yang tersangkut di bahu untuk mengesat tangan yang basah.

“Abang Zahar, saya nak ke depan sekejaplah. Nak tengok-tengok orang sekejap. Kot-kot ada anak-anak mak cik yang berkenan ke nanti mana tahu, kan?” seloroh Faezrul. Sudah sejam dia duduk di situ membersihkan pinggan-pinggan kotor. Punggungnya sudah naik kematu. Kepalanya juga terasa berpinar-pinar seperti hendak pitam.

“Pergilah, Zill… Mana tahu ada jodoh terpijak hang kat depan tu. Tak payah hang nak cari jauh-jauh lagi dah,” balas Azhari kemudian tersengih memandang sepupunya itu.

Faezrul hanya ketawa kecil lantas bingkas mengatur tapak ke depan rumah untuk melihat Nazneen dan Fahmi yang masih duduk di meja makan pengantin.

Seketika matanya menyorot ke arah wajah Iqbal yang sedang duduk di anjung rumah berbual-bual dengan tetamu. Tanpa mengendahkan ayahnya, dia menapak mendekati Nazneen dan Fahmi yang baru sahaja selesai menjamu selera. Renek-renek peluh di dahi dikesat dengan tuala di tangannya.

“Selamat pengantin baru,” sapa Faezrul lantas bersalaman dengan Fahmi. “Eeii… jangan-jangan. Badan berpeluh ni. Hilang bau minyak wangi pengantin tu kang.” Faezrul menghalang tatkala Fahmi mahu mendakap tubuhnya.

“Alah, bukan peluh orang lain pun. Peluh abang ipar sendiri jugak. Peluh berkat orang kata,” balas Fahmi sambil ketawa mengekek. Didakap juga tubuh Faezrul yang sudah basah bermandikan peluh itu.

“Banyaklah hang punya berkat!” Bahu Fahmi ditepuk Faezrul.

“Hai adiknya dah lepas, abangnya pulak bila lagi?” Terdengar-dengar suara saudara-mara yang di sekelilingnya menegur.

“Abang saya ni nak tunggu puteri bongsu dari kayangan datang pinang dia dulu, mak cik. Kalau tak ada, tak kahwinlah dia sampai ke tua,” sampuk Nazneen sambil menepuk-nepuk bahu Faezrul.

“Hang tengok bini hang ni. Kalau bab-bab mengata, nombor satu,” ujar Faezrul, memandang Fahmi sambil menuding jari ke arah Nazneen.

“Habis tak betul apa Neen cakap? Sepatutnya abang dah kahwin, dah ada anak dah. Tengok, Neen yang kahwin dulu. Nasib baik tak payah bagi cincin langkah bendul. Kalau tak, lari bajet kahwin kita kan, abang?” gurau Nazneen.

Bukan tidak ada yang berkenan mahu bermenantukan Faezrul. Malah pernah beberapa kali abangnya itu dirisik mak cik-mak cik di kampung untuk dijodohkan dengan anak-anak gadis mereka. Namun, sikap Faezrul yang tidak ambil pusing akan orang dan keadaan sekeliling langsung tidak memberi sebarang impak kepada dirinya.

Bila dijinak-jinakkan dengan perkara kahwin, ada sahaja alasannya untuk mengelak dan paling ekstrem dia boleh menjadi seperti seketul batu. Langsung tidak mahu bercakap.

Beberapa minit kemudian, Faezrul kembali menyambung kerjanya, mengutip pinggan-pinggan kotor dan membersihkan meja pengantin.

Nazneen dan Fahmi perlu beredar untuk melayan sanak saudara dan kenalan yang lain. Tambahan lagi, jurugambar-jurugambar yang ditempah oleh mereka sedang menanti untuk outdoor shooting.

Menjelang petang, tetamu mula beransur pulang.

“Zill, kemari sekejap…” Iqbal menggamit ke arah anak lelaki tunggalnya yang sedang membersihkan sampah sarap di laman.

Sambil menyeka peluh di leher Faezrul mengorak langkah naik ke anjung rumah. “Ada apa abah?” soalnya sebaik sahaja dia berdiri di hadapan Iqbal. Matanya terkalih pada wajah seorang lelaki dan wanita yang duduk berhadapan dengan ayahnya. Macam kenal.

“Ni, ingat lagi tak Pak Cik Zahirin dengan Mak Cik Raziqah yang baik dengan arwah mak kau?”

“Ooh… patutlah rasa macam kenal tadi. Pak cik dengan mak cik apa khabar?” Faezrul menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Zahirin dan kemudian duduk di sisi Iqbal.

“Sihat, alhamdulillah. Kamu apa khabar? Lama betul pak cik tak jumpa kamu,” ujar Zahirin sambil memandang wajah anak muda itu dengan senyuman di wajah. Seingatnya, kali terakhir dia bertemu dengan Faezrul ketika anak muda itu berusia 12 tahun.

Faezrul tertawa. “Alhamdulillah… sihat. Itulah… saya pun dengar-dengar cerita abah aje pak cik datang rumah. Tapi tak pernah sempat nak jumpa. Ni pak cik dengan mak cik dari KL lah ya?” Dia berbasa-basi.

“Ha’ah… dari KL. Pak cik sebenarnya memang dah lama nak balik kampung jumpa abah kamu ni. Datang-datang ingatkan kamu yang kahwin. Rupanya adik yang kahwin. Kamu bila pulak?”

“Insya-ALLAH… dua tiga tahun lagi. Seru tak sampai lagi, pak cik.” Jawapan klise yang dirasakan dapat menutup terus topik pertanyaan agar tidak diulang soalan-soalan lain yang berkaitan. Namun, siapa jua tahu rasa hati yang disimpan selama bertahun-tahun.

Beberapa lama mereka berbual di anjung rumah. Keramahan Raziqah dan Zahirin menjadi perbualan mereka seperti tidak ada noktah. Tidak sedar hari menginjak senja.

“Tidur sini ajelah, Zahirin. Dah lewat ni. Esok pun cuti. Dok kalut nak balik awal pasai apa?” Iqbal melarang.

“Ha’ah… alang-alang dah sampai kat sini pak cik. Bukan selalu pun pak cik dengan mak cik datang sini. Lagipun hari dah lewat ni. Pukul berapa pulak nak sampai KL nanti?” celah Faezrul pula. Ketika itu Raziqah dan Zahirin sudah bangun untuk mengundur diri.

“Hisy, tak apalah. Kami tak nak menganggu. Penat-penat nanti, co-driver ni ada,” balas Zahirin sambil memandang Raziqah di sebelahnya.

“Menganggu apa pulaknya? Macam tak biasa pulak. Bilik pun banyak kosong. Budak-budak ni biasa tidur dekat luar aje… Balik esok ajelah ya?” pujuk Iqbal lagi.

Raziqah dan Zahirin berpandangan. Serba salah pula dibuatnya diasak sebegitu rupa.

“Zill, pergi ajak mak cik dengan pak cik masuk dalam. Bawak dia orang dekat bilik depan tu,” arah Iqbal tidak mahu berkompromi lagi dengan alasan kedua-duanya.

Zahirin dan Raziqah bungkam. Tidak mampu beralasan lagi.

RIUH-RENDAH suara di kediaman Iqbal dengan suara anak cucunya ketika sesi membuka hadiah oleh Nazneen dan Fahmi. Melihat anak cucunya berkumpul, hatinya jadi gembira tak terkata. Jarang-jarang sekali dapat melihat kemeriahan suasana seakan itu.

Sambil berbual dengan Zahirin dan Raziqah, sesekali matanya terpacu pada anak, cucu dan menantu yang sedang berkumpul di hujung ruang tamu.

Seketika kemudian, bebola matanya terpandang pada Faezrul yang baru muncul dari dapur. Sepanjang hari, anaknya itu mengemas rumah tanpa henti. Langsung tidak ada rehat sejak sebelum majlis berlangsung lagi.

Orang lain sibuk berkumpul, dia sibuk di dapur menyusun pinggan dan sebagainya. Kalau boleh semua benda mahu dibereskan hari ini. Matanya bukan boleh lihat benda-benda semak. Rajin mengalahkan adik dan kakak-kakaknya lagi.

“Tak ada ura-ura lagi ke nak terima menantu perempuan, Abang Iqbal?” soal Zahirin sambil matanya tertunak pada Faezrul yang duduk meriba salah seorang anak buahnya yang masih kecil.

“Entahlah, Zahirin. Yang ni lain sikit…” balas Iqbal.

“Lain yang macam mana pulak?” Raziqah kelihatan berminat untuk mengambil tahu. Pada matanya, anak lelaki tunggal Iqbal itu berbeza benar sifatnya dengan anak-anak muda yang biasa ditemui. Raut wajahnya cukup damai, menyejukkan mata yang memandang. Mustahil pemuda seperti itu tidak ada sesiapa yang mendiami hatinya. Dan mustahil juga tidak ada anak gadis yang berkenan dengan anak muda seperti Faezrul.

Pandangan Iqbal masih tidak berkalih pada wajah Faezrul. Setiap kali memikirkan soal anaknya yang seorang itu, hatinya jadi walang tak bertepi. Dia tahu apa yang tersimpan di hati anak lelakinya selama beberapa tahun. Malah dia mengerti sepenuhnya apa yang dialami oleh Faezrul.

“Ikutkan dulu memang nak kahwin dah.” Iqbal berjeda. Seakan-akan sengaja memberi ruang kepada kedua-duanya menyoal. Sebetulnya dia tidak mahu mengungkit kisah lama. Apatah lagi perihal itu hanya menjadi rahsia keluarga. Namun, entah kenapa hatinya terasa begitu ingin meluahkan apa yang terbuku di dada selama ini.

“Habis tu, kenapa pulak tak jadi?” soal Zahirin.

“Sebelum ni dia dah pernah bertunang. Abang buat kecik-kecik aje, Zahirin. Saudara mara dekat-dekat kampung ni aje yang tahu. Tapi umur tunangnya tu tak panjang. Tak lama sebelum dia orang nak kahwin, tunang dia meninggal, accident.”

Kenyataan Iqbal membuatkan Raziqah dan Zahirin tergamam beberapa ketika.

“Dia merana hati sampai sekarang. Itu yang tak kahwin-kahwin. Abang tak boleh nak cakap apa dah, Zahirin. Dah berbuih mulut ni bercakap. Penyudahnya, biarkan macam tu ajelah…”

“Dah lama ke tunang dia meninggal, Abang Iqbal?” tanya Zahirin.

“Nak dekat lima tahun. Entahlah, belum ada jodoh lagi kot? Abang pun malas nak masuk campur. Biarlah dia ambik masa. Dia pun sibuk dengan kerja dia. Sekali sekala aje dia balik kampung.”

“Dia kerja apa kat sana?”

Soalan Zahirin membuatkan Iqbal terdiam. Kalaulah kedua-duanya tahu betapa sulitnya diri seorang Zill Faezrul. Kalau boleh semua perkara hendak diselindungkan. Selama lima tahun jiwanya sudah jadi lembah yang tandus dengan rasa-rasa hati insani. Hanya dia dengan dunianya sahaja.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/124975/rindu-awak-200

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *