eSentral di Digital Lifestyle Expo – Hari Terakhir

Semalam adalah hari terakhir PC Fair dan juga Digital Lifestyle Expo. Kami yang turut serta bersama-sama SKMM telah mengambil bahagian sejak Jumaat. Yang istimewa tentang hari terakhir ini adalah di mana eSentral mempunyai slot membentangkan woksyop berkenaan Digimag yang kami bangunkan. Digimag adalah produk terbaru eSentral yang mengetengahkan majalah digital interaktif dengan teknologi HTML5. Woksyop telah disampaikan oleh CEO kami, Faiz Al-Shahab di pentas utama pameran SKMM.

Memang majalah digital interaktif yang dibina untuk tablet sudah banyak di pasaran. Namun eSentral meletakkan keyakinan pada teknologi HTML5 dan bukannya PDF mahupun Flash untuk membinanya, yang mana berbeza daripada kebanyakan pengeluar lain. Menggunakan teknologi HTML5, majalah yang dibina bukan sahaja interaktif malah juga ringan dan bersaiz kecil. Tambahan lagi, dengan teknologiĀ responsive layout, majalah juga boleh dibaca dengan selesa menggunakan telefon pintar yang berskrin bersaiz kecil. Adalah biasa sebuah majalah digital bersaiz 50MB hingga 200MB. Namun dengan Digimag, penerbit boleh membina sebuah majalah lengkap pada saiz 5MB hingga 20MB sahaja. Selain itu, Digimag eSentral ini turut menggunakan platform eSentral yang sama, yang digunakan untuk membaca eBook di portal kami.

Kami rasa bertuah kerana turut dikunjungi wartawan TV3 untuk membuat liputan woksyop ini. Cumanya kami tidak tahu dalam rancangan dan segment mana ianya akan disiarkan kelak.

Pada hari terakhir ini, nampak PC Fair dan Digital Lifestyle Expo menerima lebih ramai pengunjung berbanding hari-hari sebelumnya. Melihat kepada keseluruhan acara ini, dari Jumaat hingga ke Ahad, usaha SKMM bersama PC Fair ini sangat bagus. Ianya mengetengahkan projek-projek kerjasama kerajaan dan swasta, dan juga projek-projek kerajaan sendiri dalam memperbaiki mutu perkhidmatan mereka dan juga menambahbaik tahap kehidupan umum dengan penggunaan teknologi.

Selain berpeluang memperkenalkan eSentral kepada umum, kami sendiri mula mengenali pelbagai projek oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, JAKIM, MAMPU, PDRM, SIRIM dan lain-lain.