[SNEAK PEEK] LA TASTASLIM

La Tastaslim Oleh Farid Rashidi

 

DILEMA LAMBAT JODOH

“Tolong carikan saya pasangan hidup.”

“Insya-Allah.”

Saya diam sejeda.

“Bukan tidak mahu berkahwin, tetapi masih tidak punya calon yang sesuaI,” luah individu lain.

“Adalah nanti, mungkin Allah mahu menguji atau ada hikmahnya, barangkali akan dapat pasangan yang lebih serasi.” Itu adalah jawapan biasa yang saya berikan.

Dalam diam, rupanya ramai dalam kalangan masyarakat kita, baik lelaki mahupun wanita, menghadapi masalah tidak bertemu jodoh, lambat mendapat pasangan atau berkahwin pada usia lewat akibat mengalami masalah-masalah yang menyebabkan gerbang perkahwinan sukar dibina.

Apabila menyelami rasa hati mereka, terbit rasa kasihan atas nasib yang menimpa. Mereka itu bukan dalam kalangan golongan biasa-biasa. Mereka mempunyai jawatan tinggi, bergaji besar, mempunyai pekerjaan tetap dan lengkap, malah memenuhi pakej yang diimpikan setiap lelaki dan wanita.

Kegusaran dalam hati mereka tampak ketara tatkala usia menjengah ke angka 30-an. Saat itu emosi mereka bertambah kecamuk apabila termakan ‘cakap-cakap orang’ tidak pernah diam.

“Ish, dah jadi anak dara tua dia.”

“Tengoklah si polan, sibuk kerja hingga tidak sempat berkahwin.”

“Agaknya dia terkena buatan orang?”

Masing-masing membuat konklusi tersendiri apabila berhadapan dengan golongan lewat bertemu jodoh. Sebenarnya konklusi berbaur cemuhan demi cemuhan itu bukanlah suatu motivasi yang baik kepada mereka, bahkan implikasinya bakal menambah resah gelisah, duka nestapa dan kesedihan kepada mereka berganda-ganda.

Raut wajah dan jiwa dalaman mereka menceritakan segala-galanya. Dibimbangi jika masalah ini berlarutan, bakal menatijahkan gejala tidak sihat kepada hati. Hati akan menjadi kerdil dan mengecil daripada mendekati Ilahi. Alhasil, sifat-sifat tidak enak seperti putus asa, kemurungan, kesedihan berpanjangan, dan mahu bunuh diri yang dibayangi syaitan akan bersarang untuk merencanakan sesuatu perkara durjana pula.

 

Berusaha dan Tadahkan Doa Selalu

Apabila jodoh lambat tiba, jangan sesekali berputus asa. Kuatkan hati, tabahkan diri untuk membikin motivasi. Perbetulkan persepsi minda, bahawa jarak jodoh yang agak lama itu adalah sebuah medan Tuhan menguji diri. Bukan medan untuk engkau menyalahkan perancangan Ilahi.

 

Percayalah, apabila engkau kuat berusaha dan selalu memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT sambil bertawakal kepada-Nya, pasti Allah SWT akan mengurniakan permintaan engkau kelak.

Setelah itu, tentu awan kedukaan akan berarak pergi, lantas sinar mentari akan muncul memberikan senyuman bahagia.

Namun, usaha yang bagaimana untuk mendekatkan jodoh? Adakah perlu mencari teman berkasih-kasihan dulu, kemudian barulah terus berkahwin? Atau menebalkan muka menawarkan diri kepada khalayak?

Tidak.

Tidaklah sampai begitu sekali. Di sini, suka untuk saya kongsikan beberapa tip mendapatkan jodoh. Mana tahu, dengan usaha yang kita lakukan, Allah SWT temukan kita dengan pasangan sehidup semati hingga ke syurga abadi?

 

Tip Bertemu Jodoh

01. Bergaul dengan masyarakat sekeliling.

Maksudnya, jangan lokek untuk menceburkan diri bersama masyarakat dan selalu melakukan aktiviti berfaedah. Sekurang-kurangnya, apabila anda berbuat jasa kepada orang, orang akan melihat siapa diri anda sebenar. Insya-Allah, masyarakat akan cuba membantu menolong mendapatkan jodoh sekiranya anda masih belum berpunya. Bagi yang lelaki, jangan segan untuk bergaul dengan jemaah masjid dan selalulah menaburkan jasa bakti di sana. Barangkali dengan asbab itu, ada jemaah yang berbesar hati menawarkan anak gadisnya kepada anda.

02. Meminta ibu bapa carikan calon pasangan yang sesuai.

Terkadang, pilihan ibu bapa ini juga sedikit sebanyak membantu kita untuk mendapatkan calon suami isteri. Khususnya buat kaum hawa. Mungkin agak segan anak dara menawarkan diri di khalayak ramai, tetapi melalui perantaraan ibu bapa, ia lebih mudah dan berkesan.

03. Khidmat orang tengah.

Menggunakan bantuan orang tengah yang berpengalaman, boleh dipercayai, amanah dan sudah berumah tangga adalah salah satu cara mendapatkan calon. Di sana, mereka siap sedia membantu anda mendapatkan jodoh masingmasing. Apa yang penting, jangan terlalu memilih kerana manusia biasa tidak ada yang sempurna. Cukuplah sesuai dengan ciri-ciri yang digariskan Rasulullah SAW dan sejuk mata memandang. Insya-Allah, akan kekal hingga ke syurga.

04. Menggunakan perantaraan Internet.

Zaman sekarang, dunia semakin canggih. Manusia berhubung tanpa batasan menggunakan media sosial. Justeru, gunakan sebaik mungkin medium ini untuk mendapatkan jodoh yang sesuai. Anda boleh ikuti page dan group yang bermanfaat. Kongsikan pengajaran dan nasihat. Dan selidiki (lebih baik menggunakan orang tengah) calon yang anda minati. Ingat, walaupun mediumnya adalah Internet (tanpa batasan) anda harus jaga tatasusila perhubungan dan batasan agama. Elakkan meluahkan perasaan di depannya. Apabila sudah bersedia, majukan impian anda ke dunia realiti dengan berjumpa kedua-dua belah pihak keluarga. Di sana, anda boleh berbincang mengenai tindakan selanjutnya seperti meminang dan berkahwin.

Berserah kepada Pemilik Cinta

Allah SWT adalah Maha Segala Cinta. Dia pemilik segenap kasih dan cinta dari petala langit yang tujuh hingga lapisan bawah bumi yang tujuh pula. Dia jugalah yang memegang kunci-kunci cinta yang dimiliki makhluk segenap cakerawala alam.

Bahkan setitik cinta yang terlukis pada hati manusia juga milik-Nya. Biarpun cinta itu adalah kepada ibunda dan ayahanda, kaum kerabat keluarga, sanak saudara, berlainan jantina, flora dan fauna atau alam seluruhnya. Semuanya wajib dilatari pemilik cinta. Bukan selain-Nya.

Jika anda memohon restu cinta selain daripada-Nya, bererti anda telah curang dan merobak-rabikkan kesucian cinta. Tentu sekali ini juga dinamakan syirik dalam bercinta. Mahukah anda memperolehi kemurkaan daripada Allah SWT kerana setitis cinta jijik yang anda bina?

Jangan. Jangan sesekali anda mencuba, kerana kepedihan azab seksa-Nya lebih dahsyat daripada anda merentas lautan api dalam! Oleh itu jangan sesekali berputus asa memohon cinta kepada-Nya biarpun berkali-kali. Pasti kelak dia memberikan haruman cinta yang tak mampu terungkapkan dengan bait-bait kata. Pasti!

Ingat, kerana kita ada Allah SWT.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277273/la-tastaslim

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *