Potensi e-book genre agama

RAMAI yang masih beranggapan dengan wujudnya sistem baru dalam industri buku dan percetakan hanya akan menghapuskan keluaran buku fizikal tanah air.

Berikutan itu, ramai penerbit berasa ragu-ragu untuk menerbitkan buku terbitan mereka melalui sistem digital tersebut atau dikenali buku elektronik (e-book) kerana dikhuatiri tidak mendapat sambutan.

Antara permasalahan yang turut dibimbangi seperti hasil karya mudah untuk diduplikasi, tidak memberi keuntungan dan menghilangkan budaya membaca tradisional bagi kalangan kanak-kanak pada masa akan datang.

Dilema sama turut dirasakan oleh segelintir penerbit buku genre agama di negara ini.

Namun, Pengarah Urusan Xentral Kaedah Sdn. Bhd., Faiz Al-Shahab berkata, sejak mula berkembang pada 2011, pasaran e-book genre agama menunjukkan sambutan memberangsangkan.

Malah, menurut pengendali portal e-book, e-Sentral itu, trend pembaca yang melanggan buku elektronik genre agama dan motivasi adalah setaraf novel.

“Berbeza semasa awal perkembangan e-book kira-kira setahun setengah lalu, trend pembaca yang melanggan buku melalui e-book terbitan syarikat penerbitan tempatan kini adalah jauh lebih tinggi.

“Ini menunjukkan pengguna sudah mengenali e-book dan mengetahui kelebihan yang boleh diperoleh berbanding buku berbentuk fizikal.

“Walaupun peratusan penggunaan e-book masih terlalu kecil, namun ia menunjukkan perkembangan yang positif. Antara genre buku yang dilihat paling popular adalah buku agama dan motivasi dengan setanding bacaan novel,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berlangsung baru-baru ini.

Walaubagaimanapun, trend langganan buku agama dan motivasi itu katanya masih kurang mendapat sambutan bagi golongan remaja dan kanak-kanak tetapi sebaliknya daripada golongan dewasa.

Oleh itu, Faiz berkata, orang ramai terutamanya penerbit perlu mengambil peluang cuba menerokai industri buku dan memanfaatkan transformasi percetakan tersebut dengan lebih meluas.

“Industri buku perlu berubah. Dalam mencetuskan transformasi ini, penerbit buku memainkan peranan dan dahulu perlu bertindak. Ini kerana apabila lebih banyak bahan menarik disediakan menerusi e-book, maka lebih banyak pembaca yang akan melanggan buku elektronik tersebut.

“Penerbit juga harus cuba memaksimumkan penggunaan teknologi dengan memanfaatkan segala kemudahan yang mampu dihasilkan e-book yang terbukti lebih fleksibel dan interaktif berbanding buku fizikal.

“Ini juga penting bagi menunjukkan kita juga umat Islam berdaya saing dan tidak ketinggalan dalam arus kemodenan semasa,” katanya.

e-Sentral merupakan sebuah portal e-book yang menyediakan pelbagai buku dalam bentuk digital yang boleh dilanggan dan dibaca menerusi komputer riba, tablet dan telefon bimbit.

Setakat ini e-Sentral menyediakan lebih 1,700 tajuk buku melayu yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan tempatan melalui jalinan kerjasama untuk disiarkan dalam bentuk e-book.
walaupun penggunaan e-book semakin popular, namun sambutan terhadap buku fizikal tetap memberangsangkan.

Persepsi negatif

Beliau turut menolak segala persepsi negatif e-book dan penggunaan yang mengaplikasikan perkhidmatan dalam talian tersebut dianggap akan menghapuskan percetakan buku fizikal.

Malah, beliau berkata, persepsi tersebut perlu disingkir daripada minda masyarakat supaya industri buku dapat berkembang pesat sebagaimana negara maju yang lain.

“Tanggapan negatif mengenai e-book tidak perlu ada dalam minda kita. Ini kerana, buku berbentuk fizikal telah wujud lebih 5,000 tahun lalu. Mustahil ia akan terhapus dengan kewujudan e-book, lebih-lebih lagi baru mula bertapak di negara ini.

“Cuba kita lihat situasi di negara barat yang industri e-book telah diperkenalkan dahulu sebelum Malaysia dan kini sudah kukuh dan pesat.

“Walaupun begitu mereka tetap tidak mengetepikan buku fizikal. Hanya sekitar 30 peratus sahaja pembaca e-book berbanding 70 peratus lagi masih mengamalkan buku fizikal.

“Ini kerana, setiap orang mempunyai minat dan kepuasan masing-masing, sama ada cenderung kepada buku fizikal atau buku elektronik” katanya.

Saling melengkapi

Sementara itu Pengarah Pemasaran Galeri Ilmu Sdn. Bhd., Mohd. Yusri Mohd. Yusof percaya perluasan pengunaan e-book tidak akan menghapuskan budaya membaca tradisional bahkan saling melengkapi satu dengan lain.

Ini katanya kerana kedua-duanya mempunyai kelebihan dan peminat masing-masing yang boleh merancakkan perkembangan lagi industri buku negara.

“Ada yang boleh diterbitkan dalam buku bercetak tidak boleh dikeluarkan secara digital, begitu juga siaran digital yang tidak boleh diterbitkan secara bercetak. Sudah pasti kedua-dua medium bahan bacaan itu mempunyai peminat yang tersendiri.

“Kesimpulannya masing-masing mempunyai kelebihan. Sebagai penerbit, kita perlu mengambil risiko untuk melangkah masuk kepada penerbitan e-book setelah mengambil kira semua aspek.

“Ini perlu bagi mengikuti peredaran semasa dan merancakkan lagi industri buku negara melalui transformasi buku berbentuk elektronik,” katanya.

Beliau berkata, menggunakan e-book diyakini mampu menarik minat lebih ramai pembaca dengan memfokuskan dakwah interaktif kepada generasi baru.

Source: Utusan Online – http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130514/ba_03/Potensi-e-book-genre-agama

utusan1