[SNEAK PEEK] KALAU SAYANG JANGAN MARAH

Kalau Sayang Jangan Marah Oleh Ezdiani

 

MENGGIGIL tubuh aku apabila melihat lelaki itu terus berbual-bual mesra dengan emak. Bukan main lagi emak melayan. Siap jemput makan malam bersama. Sakit jiwa aku apabila mamat sengal ni berada di sini.

Sebaik sahaja emak berlalu ke dapur, dia menjeling ke arah aku. Siap dikenyit-kenyit matanya. Gatal! Aku cucuk dengan lidi baru tahu.

“Kau dah buka hadiah yang aku bagi tadi? Padan tak?” soalnya dengan sengihan di muka.

“Awak ni jahat tau. Gatal!” Aku bulatkan mata. Geram juga. Adakah patut diberikan aku coli? Ada tiga warna. Pink, hitam dan coklat lembut.

“Dah cuba? Padan tak?” soalnya lagi. Memang tak tahu malu.

“Entah. Nanti awak ambil balik. Saya tak nak hadiah awak tu.” Aku tarik muka.

“Aku beli khas untuk kau. Untuk kau pakai hari-hari. Kalau kau ingat kat aku, kau pakailah. Nanti kau akan rasa yang aku sentiasa dekat dalam hati,” jawab lelaki itu selamba. Mujurlah ada emak. Kalau tak memang dah kena dia dengan aku.

“Tak kuasa saya nak pakai.”

“Pakailah… Ke nak aku pakaikan? Jom…” Dia kenyitkan mata dan tersenyum galak.

“Yani! Panggil Naqib ke dapur. Mari kita makan sama-sama. Dah siap ni!” jerit mak dari bahagian dapur.

“Ya, mak. Sekejap!” balas aku.

“Mulut awak tu jaga sikit ya. Jangan main lepas cakap aje di depan mak saya. Jangan nak tunjuk galak sangat. Nanti mak saya cakap saya ni berkawan dengan lelaki gila pula. Tak kuasa! Jom!” Aku bingkas bangun selepas memberi pesanan kepada dia. Dia? Nama dia… Naqib.. Huh, lantaklah nama apa pun. Tak penting pun.

Nasi goreng kampung yang mak masak memang sedap. Terasa hangat kepedasan cili padi yang ditumbuk hingga terasa asap keluar dari telinga. Memang meletup. Tapi apabila melihat Naqib terkebil-kebil di hadapan masakan emak membuatkan hati aku terasa hangat.

“Eh, Naqib… Kenapa tak makan?” soal emak.

“Dia selalu makan yang mahal-mahal. Makan masakan mat salih!” sinis aku. Sempat lagi aku menjeling ke arah Naqib. Nak makan pun susah. Memang outlah lelaki macam ni nak jadi suami aku.

“Eh, saya makanlah. Cuma terkejut tengok masakan mak cik ni. Ala-ala macam kat restoran.”

“Ya ke?”

“Ya, mak cik. Hiasan macam hotel 5 bintang,” puji Naqib lagi membuatkan aku nak gelak besar.

“Apa kata awak rasa dulu. Rasanya macam hotel 5 bintang tak?” Naqib mengangguk. Nampak macam nak telan ketulan batu masuk ke dalam mulut. Nak ngangakan mulut pun kejung satu badan. Hotel 5 bintanglah sangat. Nak makan pun takut.

“Makanlah. Sedap ni.” Aku menyuap nasi goreng ke mulut dengan begitu selera sekali.

Aku melihat Naqib mula menjamah nasi goreng kampung mak yang meletup ni. Mata dan hidungnya sudah berair. Mulutnya sudah ternganga. Tisu di atas meja disambarnya. Baru padan muka kau! Pedas menyengat.

“Kenapa awak?” soal aku.

“Boleh hulurkan air?” pintanya gelisah.

Air kopi panas aku hulurkan kepadanya. Kalut dia menghirup. “Panaslah!”

“Panas? Kalau macam tu minum air kosong aje.”

Aku hulurkan air kosong. Naqib terus meneguk air kosong dengan rakus.

“Naqib, makan pelan-pelan,” tegur mak.

“Sedap, mak cik. Tapi pedas berasap,” jawab Naqib jujur. Nampak berselera juga Naqib menjamah nasi goreng kampung ini. Dari perlahan, makin laju dia menghabiskan makanannya. Agaknya terseksa kut nak habiskan.

“Masakan mak memang semuanya pedas. Kami suka. Kalau boleh, biar sampai telinga berasap.”

“Saya tak berapa makan makanan pedas. Tak biasa. Tapi sekali-sekala makan, sedap!” puji Naqib.

Aku hanya mengangguk. Boleh tahan mamat di depan aku ni. Ingatkan kepala sengal, tak tahu beradab. Pandai hormat dan ambil hati emak lagi.

“Alhamdulillah. Kalau tak biasa makan pedas, kena biasa-biasakanlah. Yani hari-hari makan nasi kena ada sambal belacan. Nanti kalau kahwin dengan Yani, Naqib kena hadap sambal belacan. Jangan pelik pula.” Bersungguh emak menerangkan.

Naqib tersenyum. Kepala terangguk-angguk. “Hari ni saya dah mula belajarlah, mak cik. Selama ni Yani tak pernah beritahu pun makanan kesukaannya. Memang langkah kanan hari ni dapat kenal bakal isteri lebih dekat lagi.”

“Baguslah. Yani pun kenalah tahu juga apa yang Naqib suka. Nanti bolehlah belajar masak makanan kesukaan bakal suami.”

Isy, emak pun sama naik dengan Naqib… omel aku dalam hati. Dari tadi lagi aku menahan telinga.

“Yani orang Melayu tulen. Makan pun selera orang Melayu. Tak naklah belajar masak makanan yang bukan ikut selera,” balas aku. Tak inginlah nak bersuamikan dia.

“Isy, Yani. Ada pula cakap macam tu.” Mak jegilkan mata.

“Mak… Kita ni orang Melayu. Kenalah ikut cara orang Melayu,” balas aku lagi. Menyampah pula aku apabila lelaki di depan aku ni tak pandai makan masakan Melayu. Sedangkan orang Cina, India, Iban, Kadazan dan yang lain-lain pandai makan masakan Melayu. Mat salih celup!

“PEDAS betul masakan mak. Naik bengkak bibir aku ni.” Naqib mengadu.

“Mak saya, bukan mak awak!”

“Eh, mak kau ke? Ingatkan mak kita.” Naqib tersengih sambil tergaru-garu kepala.

“Mak saya! Tak naklah saya kongsi mak dengan awak. Tak ingin saya nak ada ikatan dengan awak. Menyusahkan, tahu tak?!” bentak aku. Hati aku cukup menggerutu apabila berhadapan dengan Naqib. Harap muka aje kacak tapi akal pendek.

“Nanti kita kongsilah. Mak kau akan jadi mak aku juga. Mummy aku, jadi mummy kau juga,” jawab Naqib sambil tersengih.

“Tak kuasa!”

“Aku kuasa nak jadi suami kau. Jom kita kahwin! Seronok juga kalau dapat kahwin dengan perempuan macam kau. Kasar… Garang… Aku suka!”

Gila! Bengkak pula hati ni nak menghadap orang yang tak berapa nak betul. Sesuka hati nak ajak kahwin. Ingat aku ni anak patung Barbie? Boleh jalanlah!

“Kau dengar tak? Aku nak kahwin dengan kau ni.”

“Awak gila ke? Kalau gatal sangat nak kahwin, cari perempuan lain yang sepadan!”

Naqib tersengih lebar. “Aku ni gatal nak kahwin dengan kau. Rasa tercabar. Seronok pula kalau kahwin dengan perempuan yang kasar-kasar ni.”

“Saya tak kasar! Saya lembut. Awak buta ke?” Malas aku nak melayan lelaki tiga suku ni. Aku terus menutup pintu pagar kemudian cepat-cepat aku mangga pintu pagar.

“Yani! Nanti kita jumpa lagi.” Besi pagar dipegangnya.

“Tak naklah jumpa awak lagi. Baik jumpa orang gila daripada jumpa awak,” balas aku. Kemudian aku tayang muka garang.

“Akulah orang gila yang kau nak jumpa tu… Okey, sayang. Abang balik dulu. Jangan lupa hadiah tu. Nanti bila pakai, boleh rasa kehangatan pelukan abang.”

Argh! Gila. Takut pula aku dengar. Macam lelaki miang pun ada. Ya Allah, Kau selamatkan aku daripada gangguan manusia yang berhati busuk. Jauhkanlah dia dari hidup aku, doa aku dalam hati.

Lega rasanya apabila Naqib sudah balik. Terasa aman aje rumah. Hati aku juga aman. Kalau tidak otak aku serabut. Kemudian aku terus rebahkan badan yang mula terasa letih. Mata pula tidak lepas menyorot ke kaca televisyen.

“Dah balik si Naqib tu?” soal mak.

“Dah,” jawab aku. Mata terus aku pejamkan. Mak mesti nak tahu fasal Naqib. Nak korek rahsialah tu.

“Segak kawan kamu tu, Yani. Muka macam pelakon. Macam orang putih pun ada juga.”

“Apa-apa ajelah mak. Yani bukan kenal sangat pun.”

“Berkawan sampai dah nak menikah pun tak kenal lagi?” Mak sudah menjegilkan biji mata. Kepala sudah menggeleng perlahan.

“Yani kenal gitu-gitu aje,” jawab aku jujur. Mak menjuihkan bibir. Macam tak percaya aje apa yang aku cakapkan ni. Tak tahu nak terangkan macam mana lagi kat emak. Rasanya dah cukup jelas dah.

“Tak payah nak sorok-sorok. Mak suka dengan Naqib tu. Baik budak tu.” Pujian sudah tinggi melangit.

“Mak! Pujilah lebih-lebih.” Bulat aku jegilkan biji mata.

“Puji sebab dia bakal menantu mak. Mak suka dia. Hormat dan pandai jaga hati mak.” Kalau mak dah mula puji tahap begitu, memang emak dah mula suka si Naqib tu.

“Tak sukalah asyik cakap fasal dia.”

“Ya ke tak suka?”

“Mak ni… Itu yang malas nak ajak kawan datang rumah. Bila datang, mak suka lebih-lebih pula.” Aku tarik muka.

“Tak payah nak malu-malu. Kalau mak dah suka, kiranya mak tunggu aje. Rombongan datang mak terus terima.” Teruja betul mak nak terima menantu sampaikan si Naqib pun dia dah berkenan.

Mak! Dia bukan sesiapa kepada Yani. Kalau lelaki macam tu yang mak nak Yani pilih sebagai suami, Yani rela terjun bukit, sambung aku dalam hati.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278603/Kalau-Sayang-Jangan-Marah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *