[SNEAK PEEK] FARIZ, THE TROUBLEMAKER

Fariz, The Troublemaker Oleh Rafina Abdullah

Amylia buat muka sinis. Sedikit pun dia tak hairan. “Hek… apehal aku lak? Aku tak ada kena mengena dengan perbuatan jahat yang kau buat.”

“Tak ada kena mengena kau kata? Orang lain kau bagi makan mi spaghetti tapi aku, kau bagi nasi dengan kuah spaghetti. Itu kau cakap tak ada kena mengena?!”

“Ek eleh orang tua ni… aku sebat kang!” Amylia bengang. Dia dah tak peduli jika dia bersikap kurang ajar. Lagipun, Fariz pernah suruh dia melawan. Jadi, hari ini dia akan melawan. Setelah melihat sendiri kezaliman yang dilakukan Puan Exora terhadap Sara, dia dah tak kisah kalau dia terpaksa bersikap kurang ajar.

“Riz tengoklah perangai sebenar isteri kesayangan Riz ni. Berani dia nak pukul mama? Dia ingat mama ni kawan-kawan dia ke?!”

“Apa, kau ingat aku tak berani? Kalau kau boleh pukul menantu kau sesuka hati, jangan fikir tak ada orang lain yang berani pukul kau, tau. Si Samad bapak tiri aku, tergolek-golek dia atas lantai sebab kena tibai dengan aku. Ini kau setakat perempuan tua, ingat aku takut?” Amylia terus melawan. Dia dah tak peduli apa-apa. Kekejaman Puan Exora terhadap Sara, mesti dituntut bela. Saat itu, dia terbayang-bayang wajah arwah ibunya yang terlalu lama menderita dek angkara Samad.

“Berani kau?? Dasar tomboy!” Terus Puan Exora menampar Amylia.

“Mama! Cukuplah!” Fariz hilang sabar. Terpaksa dia tinggikan suara di hadapan mamanya.

Amylia pegang pipi. Pijar terasa seluruh mukanya akibat ditempeleng.

“You okey, sayang?” Fariz mendapatkan Amylia. Pipi Amylia yang putih kini bertukar merah. Perlahan dia mengusap pipi Amylia.

Amylia menolak perlahan tubuh Fariz. Dia tidak mahu ditenangkan oleh suaminya itu. “Aku dah cakap dengan kau, kan? Lebih baik kita pindah aje!”

“Jangan, Riz! Jangan ikut cakap dia. Mama ni perempuan yang melahirkan Riz. Sanggup Riz nak tinggalkan mama?”

“Selagi mama tak insaf, selagi mama tak sedar diri dan selagi mama tak minta maaf dengan Kak Sara, Riz tak teragak-agak akan tinggalkan mama,” ugut Fariz. Itu saja caranya untuk buat mamanya berbaik-baik dengan Fiza dan Sara.

Puan Exora melutut. Dia memaut kedua-dua kaki Fariz dengan erat. “Riz… mama dah tak ada anak lain yang mama boleh harap. Cuma pada Riz saja. Tolong jangan pindah. Duduklah sini selamanya dengan mama. Please… mama merayu dengan Riz. Tolonglah jangan pergi.” Puan Exora mengongoi. Jatuh sudah egonya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/351842

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *