[SNEAK PEEK] SHORT BUT SWEET

Short But Sweet Oleh Maria Qay

 

DI DALAM kereta, kami bertiga sama-sama diam. Mungkin kami semua masih terperanjat dengan apa yang baru kami dengar seketika tadi. Tetapi jujur aku rasakan agak hairan dengan sikap Shafiq malam itu. Dia tidak peramah seperti selalu.

“Kita singgah makan malam dulu. Tak payah awak berdua keluar lagi.” Shafiq akhirnya bersuara.

“Boleh hantar saya balik dulu tak? Sakit perutlah pula,” kata Intan dengan cepat.

Aku toleh ke arah Intan. Agak terkejut dengan situasi itu. Benarkah Intan sakit perut?

Tetapi apabila aku pandang Intan, Intan tersengih pula.

Shafiq mendongak sedikit lalu memandang cermin pandang belakang untuk melihat Intan.

“Sakit sangat ke? Perlu pergi klinik?”

“Tak payah! Hantar saya balik rumah pun dah cukup. Awak berdua pergilah makan. Kalau rajin tu bungkus-bungkuskanlah untuk saya ya?” jawab Intan.

Aku toleh ke arah Intan lagi sekali. Pandai sungguh dia mengaturkan agar aku keluar dengan si ketot malam itu. Dia tak tahu ke yang aku juga tahu penat? Tetapi Intan terus mengerutkan dahinya sebagai isyarat aku ikut sahaja aturannya.

Aku jadi faham bahawa Intan mahu aku berterus-terang dengan Shafiq pada malam itu.

Setibanya di hadapan rumah, Intan terus melompat turun dari kereta Shafiq. “Lepas makan hantar dia balik tau! Jangan balik lambat sangat, tak elok.”

Aku angguk sahaja. Kalau boleh ingin aku tarik Intan sekali tetapi aku tahu kalau aku tarik pun, Intan pasti menolak kerana ini hal kami berdua sahaja, tak perlu melibatkan dia.

“Saya boleh tunggu di sini,” kata Shafiq kepadaku pula.

Aku pandang dia dengan wajah yang bingung.

“Tunggu apa?”

“Awak tak nak solat Maghrib dulu? Pergilah dulu, saya tunggu sini. Saya boleh solat di surau taman ni nanti,” jawab Shafiq.

Oh! Aku jadi malu sendiri.

“Awak… pergilah solat. Saya….”

Aku telan air liur. Kalau dengan abang dan ayahku sendiri pun aku malu nak beritahu aku sedang period, ini kan pula pada dia. Aku takkan sebut apa-apa tapi kalau dia bijak, tentu dia faham perkara itu.

Shafiq hanya ketawa kecil. Entah apa yang melucukan, mungkin juga sedang mentertawakan kebodohan dirinya sendiri kerana tidak menjangkakan soal itu.

Setelah Intan selamat masuk ke dalam rumah, baru Shafiq menggerakkan keretanya pergi dari situ dan menuju pula ke arah sebuah surau yang disediakan untuk penduduk taman perumahan di situ untuk bersolat.

Aku menunggu di dalam kereta sambil berfikir. Bagaimana aku nak beritahu dia nanti ya?


HAMPIR sejam selepas itu, aku dan dia berada di dalam sebuah restoran makanan Arab yang berhawa dingin. Aku bukanlah suka sangat dengan makanan Arab tetapi tidaklah pula menolak sewaktu dia mencadangkan tempat itu.

Tempat itu pun bukanlah buruk sangat. Malah tenang dan damai kerana tak ramai pelanggan di dalamnya sewaktu kami tiba ke situ.

“Saya ada perkara nak cakap pada awak,” kataku sementara menanti nasi habsha yang dipesan tiba ke meja. Aku yakin aku sudah bersedia untuk berterus-terang pada dia.

“Saya akan beritahu keluarga saya malam ni,” balasnya dengan tenang. “Awak… tak perlu risau soal tu.”

Untuk sesaat aku bingung seketika. Apa yang dia cakap ni? Apa yang dia akan beritahu pada keluarga dia? Adakah kerana insiden aku dengan Azhary tadi maka dia berubah fikiran? Aku rasa amat malu. Mungkinkah maruahku sudah tercalar di matanya?

“Apa maksud awak?” Aku sedikit marah dan kecil hati. Aku yang nak tolak dia, dia pula yang tolak aku dulu?

Dia angkat muka memandangku. Pandangan matanya penuh kelembutan walaupun sinar kegembiraan tidak lagi terpancar seperti kali pertama kami bersua muka di The Curves tempoh hari.

“Awak… tak dapat menerima saya, kan?”

Aku telan air liur. Leherku terus terasa kejang sehingga aku tidak dapat mengangguk atau menggeleng. Akhirnya aku duduk tegak memandangnya sahaja. Bukan itu ke?

“Saya tak marah. Bukan sekali dua saya ditolak. Mungkin belum ada yang dapat menerima saya seadanya.” Dia berkata lagi. Kali ini pandangan matanya sudah tunduk memandang meja.

Aku rasa nak ketawa dan pada masa yang sama berasa sangat kasihan pada dia. Tetapi eloklah jika dia sudah maklum yang aku tak boleh menerima dia tanpa perlu kuberikan alasan apa-apa. Senang sedikit kerja aku malam itu.

“Saya minta maaf,” kataku akhirnya. Mungkin itu sahaja yang dapat aku berikan kepada dia sebelum segalanya menghampiri titik noktah.

Dia pantas menggeleng.

“Dari mana datangnya bahagia jika tiada rasa sayang… dari mana datangnya cinta jika hati tak suka? Tapi saya tak salahkan awak. Tak perlulah awak minta maaf.”

Aku diam sahaja. Suaranya kedengaran amat santai dan ikhlas tetapi entah kenapa ada rasa sedih yang menyelinap di segenap lipatan hatiku. Seolah-olah aku berpisah dengan sesuatu yang aku… sayang. Ah! Merepek saja.

“Terima kasih kerana memahami,” balasku pula. “Saya doakan satu hari nanti awak akan bertemu dengan seorang gadis yang boleh menerima awak. Pasti ada di luar sana.”

Sedih lagi aku rasakan. Sepertinya aku sedang melepaskan sesuatu yang sangat berharga. Ya, aku sedar. Dia lelaki yang cukup sabar dan baik, sayangnya…. Maka bertuahlah gadis yang akan mendapatkan dia nanti. Aku?

Maka malam itu, kami berdua makan tanpa banyak bercakap lagi. Dia juga aku lihat lebih banyak memandang nasi daripada memandang wajahku.

Sedihkah dia? Kecewakah dia? Aku ketepikan segala pertanyaan itu kerana apa pun jawapannya tidak boleh memadamkan hakikat yang satu itu. Dia ketot!


KIRA-KIRA pukul 9.30 malam, aku sudah sampai semula di hadapan rumahku. Jika dikira, sudah tiga kali dia muncul di situ sepanjang hari itu tetapi aku yakin dia tidak akan muncul lagi di situ selepas ini.

“Terima kasih. Saya minta maaf kerana menyusahkan awak beberapa hari ni,” kataku sebelum turun meninggalkan keretanya. Mungkin itu juga kali terakhir aku menaiki kereta itu.

Dia angguk dan tersenyum. Namun aku dapat merasakan bahawa itu senyuman yang terpaksa.

“Rina….” Dia panggil namaku sebelum sempat aku menutup pintu. Lalu aku pun menjenguk sedikit di tingkap.

“Semoga berjumpa lagi,” katanya tenang sambil menatap wajahku lama-lama.

Aku senyum. Sejujurnya aku tidak tahu mahu membalas apa. Semoga berjumpa lagi? Mahukah dia melihat muka aku lagi setelah aku tolak dia tanpa sebarang alasan?

Setelah itu, aku hanya dapat melihat keretanya menderu laju meninggalkan aku di situ. Aku tidak melambainya dan dia juga tidak melambaiku.

Perpisahan kami terasa sangat formal dan matang namun sejujurnya aku ada merasakan sedikit kehilangan apabila keretanya menghilang. Ah! Entah apa-apa sahaja hatiku ini.

Mungkin aku sudah mula berasa simpati kepada dia dan simpati bukannya sayang atau cinta. Itu cuma emosi yang akan ditelan waktu… aku percaya esok lusa aku akan melupakan dia dan tak berasa apa-apa lagi.

“Ya, mak,” jawabku di telefon apabila telefonku berbunyi.

“Ni mak nak bagitahu. Hujung minggu ni, hari Ahad, rumah kita nak buat kenduri cukur rambut anak abang long Rina. Nak buat akikah sekali. Rina jangan lupa balik. Ajak Intan Sekali tau,” balas ibuku.

“Ahad ni?”

“Haah. Kenapa? Jangan kata Rina tak boleh balik pula.”

“Boleh… Ahad ni Rina tak ke mana-mana,” jawabku senang walaupun bayangan Shafiq masih terbayang-bayang di ruang mata. Ah! Emosi.

“Satu lagi mak nak pesan.”

“Mak nak Rina beli apa?” Aku mula terbayang beberapa barang yang ibuku akan pesan untuk kubeli dan dibawa balik nanti ke sana. Selalunya begitulah.

“Bukan suruh beli barang… tapi nak suruh Rina ajak orang tu sekali datang kenduri nanti. Boleh juga keluarga kita kenal-kenal. Hari tu masa mak ayah dia datang, dia kan tak datang sekali?”

Ha? Aduh… aku lebih rela disuruh beli beras sepuluh guni kalau macam ni.

“Jangan lupa tau!” pesan ibuku lagi apabila aku tetap mendiamkan diri. “Hari tu Ira kata dah terjumpa dia di IKEA. Tu kami pula nak jumpa ni.”

Gulp! Terasa nafasku tersekat di kerongkong, Mula terfikir, entah apa ceritanya yang disampaikan oleh Kak Ira kepada ibu dan ayah di kampung. Sayangnya itu takkan dapat menyelesaikan masalahku malam itu.

“Tengoklah dulu, mak. Tak pasti dia boleh datang ke tak nanti.”

Aku berhelah supaya ibu di kampung tak terlalu berharap untuk berjumpa dengan dia kerana sememangnya aku takkan telefon dan ajak dia ke sana. Dan sekiranya ada yang bertanya kelak, aku akan kata… aku terlupa nak ajak!

“Itu saja mak nak cakap. Tapi Rina jangan lupa balik dengan Intan dan dia. Mak nak sangat jumpa,” pesan ibuku lagi sebelum menamatkan panggilan.

Aku terduduk di luar rumah. Kalaulah ibuku tahu segalanya sudah berakhir.

“MACAM MANA? Dah settle?” tanya Intan sebaik sahaja menyedari yang aku sudah balik dan sedang duduk termenung di atas kerusi besi di luar rumah. Malam itu suasana sangat nyaman, bulan pula sedang separuh penuh.

Aku angguk perlahan. Memang soalku dengan Shafiq sudah selesai tetapi itu tidaklah membuatkan aku terlalu suka. Jauh di sudut hatiku masih mengharapkan Mr. Perfect aku akan muncul segera supaya aku tak perlu lagi merenung bulan keseorangan seperti itu. Bosan.

“Dia boleh terima?”

Aku angguk lagi. “Dia dah jangka. Jadi aku tak perlu beritahu apa-apa.”

“Dia dah jangka?” Intan bertanya semula. “Dia bijak dan gentleman. Kau tak suka, dia tarik dirilah. Tu juga tanda dia sayangkan kau sepenuh jiwa.”

“Pandailah kau….,” balasku.

“Iya… dia sanggup mengalah daripada menyakiti hati kau. Dia sedia beralah semata-mata supaya kau gembira hidup tanpa dia.”

Aku mengeluh. Kata-kata Intan selalu buat aku seperti orang salah sahaja. Tak tahu ke dia yang aku ni bukan jahat sangat? Aku cuma tak boleh terima Shafiq sebab dia… rendah. Salah ke?

“Kau telah melepaskan sesuatu yang sangat berharga, Rina. Cuma kau tak sedar,” kata Intan lagi.

“Kau cakaplah apa saja, semuanya sudah berakhir,” balasku. “Aku sudah bebas. Pada hujung minggu ini aku akan beritahu mak ayah aku di kampung soal ini.”

“Kau nak balik kampung?”

Aku tepuk peha Intan. “Mak aku buat kenduri Akikah anak abang aku. Mak aku jemput kau sekali. Kau ikut aku balik ya?”

“Okey,” balas Intan tanpa reaksi gembira.

Aku tarik nafas sedalam-dalamnya. Sepatutnya aku berasa amat lega. Setelah dua minggu berhadapan dengan masalah itu, kini aku telah bebas. Sayangnya… bukan itu yang aku rasa. Aneh.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277719/SHORT-BUT-SWEET