[SNEAK PEEK] AKU ALERGIK CINTA

AKU ALERGIK CINTA Oleh Ilyana Hani

PENAT Aizam berjalan menemani Aifa. Adiknya itu kalau sudah mula membeli-belah, bukannya satu kedai dijelajah, sepuluh kedai pun belum tentu dapat memuaskan hatinya. Masuk kedai pertama, tidak minat! Katanya baju terlalu ikut bentuk badan. Masuk kedai kedua, masih sama, tidak minat! Katanya baju terlalu banyak labuci. Masuk kedai ketiga, tidak minat juga! Katanya warna baju terlalu terang. Masuk kedai keempat, masih sama tidak berminat! Jika tadi baju terlalu terang, sekarang alasannya baju terlalu pudar.

Aduh, dia sendiri tidak tahu cita rasa Aifa. Susah benar mahu mencari baju yang menepati cita rasa gadis itu.

“Lambat lagi ke? Lepas ni, Aifa beli baju hujanlah. Senang sikit! Tak payah guna payung. Ataupun, Aifa beli baju tidur pergi kerja. Balik aje dari kerja, terus tidur. Bangun aje tidur, boleh terus pergi kerja. Tak payah nak beli baju banyak-banyak.”

Jelingan tajam yang dihadiahkan Aifa tidak dipedulikan. Perkara yang lebih penting sekarang, kakinya sudah kebas. Sudahlah Aifa berseronok membeli-belah, barang-barang yang dibeli dia juga kena pegang. Menonong Aizam mengikut langkah kaki Aifa. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meninggalkan semua barang Aifa. Biar adiknya membawa barangnya yang berat berkilo-kilo itu sendiri.

“Kalau abang bosan, tinggalkan aje Aifa di sini. Nanti pandai-pandailah Aifa balik sendiri naik teksi,” ujar Aifa tanpa memandang sekilas pun pada Aizam.

Tumpuannya hanyalah pada baju yang menarik perhatiannya.

Aizam mencebik. Bolehlah adiknya bersuara begitu, kerana ibu dan ayah sudah memberi amanah untuk dia menemani Aifa membeli-belah hari ini. Kenapalah dalam banyak-banyak perkara yang boleh dibuat, ibu dan ayah meminta dia menemani Aifa membeli belah? Dia lebih rela mop lantai keliling pusat beli-belah daripada menyuruh menemani Aifa. Sama sahaja penatnya. Jika dia mop lantai, dia perlu mengelilingi pusat beli-belah hanya sekali. Tetapi jika menemani Aifa, dia perlu mengelilingi lebih daripada sekali.

Hati Aifa bukan boleh diduga. Andai hatinya kembali tertarik kepada baju yang dia lihat di kedai sebelumnya, dia akan mencari kembali kedai itu dan membeli baju berkenaan. Waimanya, berpusing-pusing kiri, kanan, atas dan bawah pun dia sanggup asalkan dia dapat membeli baju itu. Susah betul kalau membeli-belah dengan gadis bernama Aifa ni!

“Mengumpat dalam hatilah tu!” Aifa menyergah dari belakang.

“Dah tu, shopping mengalahkan anak jutawan. Kita keluar rumah pukul 2.00 tadi tau. Sekarang dah hampir pukul 5.00. Asar pun belum lagi ni. Jom pergi solat dulu. Lepas tu, kalau Aifa nak sambung shopping sampai subuh pun ikutlah. Tapi jangan lupa, solat maghrib dan isyak dulu,” bebel Aizam.

“Over!” Hanya sepatah Aifa membidas sebelum berjalan meninggalkan lelaki yang masih elok duduk di kerusi itu. Jeritan Aizam yang memanggil namanya tidak dipedulikan. Biarkan lelaki itu penat mengejarnya. Padan muka!

“Kebas kaki ni kalau ikut Aifa shopping. Lain kali, lebih baik shopping online aje. Badan pun tak penat, kaki tak letih, jiwa tak terseksa. Betullah orang cakap, kalau perempuan shopping memang susah nak diduga.” Mulut Aizam masih tidak berhenti membebel apabila dia berjaya menyaingi langkah Aifa. “Jom solat.” Dia kembali bersuara apabila Aifa masih diam.

“Abang pergilah solat. Aifa nak sambung jalan-jalan tengok baju.”

“Solatlah dulu. Baju tu, lepas solat boleh tengok.”

“Aifa cuti. Abang pergilah surau dulu. Nanti dah habis solat, abang telefon Aifa. Kita catch up dekat mana-mana, okey?”

Langkahnya kembali diatur laju meninggalkan Aizam. Baru tiga tapak melangkah, dia kembali menoleh ke belakang.

“Barang-barang Aifa tu abang pegang dulu ya. Abang seorang yang gentleman, kan? Tolonglah pegangkan, ya. Bye!” Tangannya dilambai-lambaikan, sengaja mahu menambah darjah kepanasan di hati Aizam.

“Nasib badan!” Aizam merungut. Inilah yang membuatkan dia malas mahu menemani Aifa membeli-belah. Sukar benar mahu penuhi keinginannya. Dia mengatur langkah ke surau.

AIZAM meletakkan barang-barang yang dibeli di kerusi sebelum dia duduk berhadapan Aifa. Makanan di atas meja dipandang dengan senyuman. Inilah kelebihan Aifa. Adiknya itu tahu benar cara mengambil hatinya. Makanan kegemarannya sudah siap berada di atas meja.

“Terima kasih sebab teman Aifa petang ni. Sayang abang!” Suaranya dilunakkan. Inilah strateginya, selepas membuli dia akan kembali membeli hati. Hebatkan Aifa Nabila? Kalau bukan Aizam yang menemaninya membeli belah, siapa lagi mahu diharapkan?

“Waktu sekarang baru nak sayang abangkan? Kalau tak, asyik cari gaduh aje.” Dia bersuara tanpa memandang sekilas pun pada Aifa. Tumpuannya sudah beralih ke arah makanan yang berjaya membuatkan perutnya bertukar irama keroncong.

“Gaduh-gaduh sayang tu perlu, supaya kita jadi lebih mesra.” Mata Aifa dikenyit nakal.

Dia tahu… jauh disudut hati, Aizam benar-benar menyayanginya. Cuma, biasalah bebelan kecil kerana letih menemaninya membeli-belah itu selalu didengarnya. Kerana itulah ibu dan ayah jarang benar mahu menemaninya membeli-belah.

“Aifa, dah tahu ke belum esok ada orang baru nak masuk rumah Syafiq?” Aizam mengubah topik perbualan. Malas dia mahu mempersoalkan mengenai letih menemani adiknya yang seorang itu. Kalau sejuta kali dia menyebut letih sekalipun, dia masih perlu menemani Aifa juga. Eh, bukan perlu tetapi wajib! W.A.J.I.B.

“Fiq nak kahwin ke?” soal Aifa teruja. Sudu dan garpu diletakkan di bibir pinggan. Dia mahu fokus mendengar berita panas ini.

“Agak-agaklah kalau nak tanya soalan.” Aizam melepaskan tawa, menampakkan barisan giginya. Kelakar benar soalan Aifa.

“Apa yang lawaknya?” Aifa bengang. Betullah soalan yang dia tanya.

“Tak logik betul! Esok dah masuk orang baru, tiba-tiba tanya Fiq nak kahwin ke? Tak mungkin dia kahwin dalam masa sehari aje. Tak jemput kita pula tu!” Tawa Aizam masih bersisa.

Aifa mencebik. Menyampah dia dengar tawa yang masih bersisa itu. “Siapa tahu kalau tiba-tiba Fiq kahwin tak jemput kita.” Dia masih mahu mempertahankan kata-katanya.

“Fiq tu nama aje ada girlfriend, tapi ura-ura nak kahwin tak dengar langsung,” bidas Aizam.

“Siapa tahu kalau mak ayah dia carikan calon? Sekarang ni pun masih ada orang kahwin dengan calon pilihan mak dan ayah. Bahagia sampai ke akhir hayat tau,” bidas Aifa, masih tidak mahu mengalah. ‘Ini Aifa! Pantang menyerah! Juara petah bicara sewaktu zaman tadika tau!’

“Kalau macam tu, bolehlah abang suruh ibu dengan ayah carikan jodoh untuk Aifa. Kahwin, dan insya-ALLAH bahagia sampai ke akhir hayat.”

Aifa menjeling Aizam dengan tajam. Alamak, dia tersalah cakap lagi! Pantang betul adiknya itu diutarakan topik seperti ini. Entah bila prinsip Aifa akan berubah?

“Nak sambung kes pagi tadi ke?” Sinis soalan yang ditanya. Kalau lelaki di hadapannya ini mahu meneruskan gelanggang perdebatan, dia sanggup!

“Abang mengalah!” Kedua-dua tangan, Aizam angkat. Lemah benar dia dengan isu ini.

Aifa tersenyum. “Abang, nampak tak kedai buku dekat tingkat atas tadi?”

“Tak payah buat soalan poyo, cakap ajelah nak abang temankan beli novel baru. Jom! Lepas ni cakap tu biar terang, tak payah nak belok-belok. Abang dah kenal Aifa luar dan dalam. Cakap belok kiri kanan pun abang faham maksud dia.”

Aifa tersengih. Oh, inilah abang terbaik di dunia! Sudah arif benar dia dengan niat adiknya. Dia bangun saat Aizam sudah mula menapak keluar daripada food court itu. Baru sahaja dia mahu mengatur langkah, tubuhnya dilanggar dari belakang dan serentak itu dia merasakan tubuhnya sejuk disiram air.

“Maaf, saya tak sengaja. Cik okey ke?”

Suara lelaki memohon maaf jelas kedengaran di telinganya. Aifa pantas berpaling ke belakang. Sakit hatinya. Habis baju putih bercorak bunga kecil bertukar menjadi tompok-tompok perang. Tak pasal-pasal petang ini dia dimandikan dengan air teh ais!

“Maaf kau kata? Kau buta ke apa? Tak nampak aku nak jalan tadi?” Mencerlang matanya memandang lelaki yang memandikannya tadi.

“Maaf… saya betul-betul tak sengaja, cik. Cik yang jalan mengejut tadi. Tak sempat saya nak brek. Sebab itu saya terlanggar. Saya minta maaf sekali lagi.” Tisu yang kebetulan berada di tangan, digunakan untuk mengesat baju gadis di hadapannya.

“Kau dah kenapa? Ambil kesempatan nak raba badan aku ke?” Suara Aifa kembali menyinga. Tidak dipedulikan orang sekeliling yang memandang pelik ke arahnya.

Aizam yang melihat adegan sebabak itu terus berpatah balik mendapatkan adiknya. Aifa ini tidak boleh dibiarkan berseorangan dengan lelaki. Nanti habis semua lelaki akan dibuat musuh. Apatah lagi dengan lelaki yang mula mencipta sejarah buruk pada kali pertama bertemu seperti ini.

“Saya cuma nak kesat air, itu aje. Tak adanya saya nak ambil kesempatan.” Lelaki tu membela diri. Gadis di hadapannya dipandang dengan riak terkejut. Masih wujud golongan garang seperti ini! Hanya kerana tertumpahkan air, garangnya bagaikan ibu singa yang mengamuk kerana anaknya diganggu.

Aizam segera mendekati Aifa. “Sudahlah tu. Jom balik” Tangannya menarik lengan Aifa mengisyaratkan untuk balik tetapi gadis itu masih tidak berginjak seperti tadi.

“Kesat air konon. Macam aku tak tahu jenis lelaki macam kau ni memang suka ambil kesempatan pada kaum wanita. Tapi kau silap oranglah nak try. Aku bukan jenis perempuan macam tu. Faham!” Jari telunjuknya dihalakan tepat di hadapan wajah lelaki yang menumpahkan air tadi.

Tangan Aizam yang sedari tadi menarik lengannya agar mengikut dia beredar dari situ langsung tidak dihiraukan.

Aizam menggeleng kesal. Nampaknya Aifa kembali memulakan sengketa. Tanpa segan atau malu memulakan drama sebabak di food court. Tiba-tiba dia pula yang berasa malu kerana menjadi perhatian orang ramai.

“Saya tak ada niat lain. Kalau cik nak double minded bukan dengan saya sebab saya ni jenis straight to the point, tak pandai nak kelok-kelok. Kalau betul saya nak ambil kesempatan sekalipun, saya tak akan buat dekat orang macam cik. Saya tak berminat, maaf.” Suara lelaki itu yang pada mulanya keras mula berubah menjadi nada sinis. Masih wujud perempuan seperti ini? Kolot benar fikirannya.

“Maaf, encik! Kami pergi dulu. Maafkan adik saya.” Aizam yang sedari tadi diam mula bersuara apabila melihat drama sebabak adiknya bertambah kecoh. Tangan Aifa ditarik agar mengikuti langkahnya. Semakin lama dia membiarkan Aifa di situ, semakin teruk adegan sebabak itu akan berlangsung. Cukuplah Aifa menjadi pelakon tak berbayar di situ tadi.

Lelaki itu sekadar memandang gadis singa tadi ditarik oleh abangnya. Secara tiba-tiba dia merasakan hatinya berdebar laju. Kenapa ya? Mungkin berdebar kerana malu apabila melakonkan adegan sebabak tadi.

Gadis singa, wajahnya manis dan cantik dipandang. Tetapi perangai bengisnya itu menyesakkan jiwa. Gadis singa yang cun, sedap nama tu! ‘Ah, biarlah!’ Lelaki itu meninggalkan gelas teh ais yang masih berbaki separuh sebelum berjalan meninggalkan food court tersebut.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/75675/aku-alergik-cinta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *