Media sosial Ancam Kegiatan Membaca di Malaysia

Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia UNESCO

 

Jumaat, 22 April 2022, Cyberjaya – Tanggal 23hb April setiap tahun telah ditetapkan sebagai Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia anjuran UNESCO. Hari ini didedikasikan untuk setiap negara meraikan kegiatan membaca buku, dan juga untuk merenung semula kesihatan budaya membaca sesebuah negara itu.

Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia digalakkan oleh UNESCO sebagai penanda aras sosio-ekonomi terhadap tahap pendidikan sebuah masyarakat, serta kemajuan industri penerbitan dan perpustakaan sebuah negara itu.

Bertemakan topik yang sama, menurut Faiz Al-Shahab, Pengarah Urusan stor eBuku e-Sentral, walaupun kegiatan membaca telah mendadak beralih media dari cetak ke digital, namun budaya membaca negara adalah dalam paras merbahaya.

“Kegiatan membaca tidak mendapat sambutan dalam kalangan generasi digital native kerana golongan ini telah dilatih membaca oleh media sosial, dan tidak dilatih untuk membaca teks panjang yang memerlukan daya tumpuan dan daya imaginasi yang lebih tinggi. Ramai yang berfikir jika mereka boleh membaca, tidak buta huruf, maka mereka tidak perlu membaca buku lagi. Apa yang tidak dijelaskan adalah kepentingan untuk membaca teks panjang seperti membaca buku kerana kegiatan ini adalah senaman untuk minda dan fikiran kita”, kata Faiz.

Faiz, 42, juga turut mengatakan bahawa kegiatan membaca berebut masa dengan kegiatan media sosial, dan kini, media sosial memonopoli masa belia dan anak-anak kita.

“Dalam dunia dahulu, waktu anak-anak terbahagi dengan waktu sekolah, waktu bermain, waktu menonton TV, dan waktu untuk buat kerja sekolah. Masih boleh diselit waktu untuk membaca dicelah-celah waktu ini. Kini, waktu anak-anak terbahagi kepada waktu sekolah, waktu untuk buat kerja sekolah, dan waktu terpaku bersama peranti dan media sosial. Waktu untuk membaca buku terus terkubur,” tambah Faiz. 

Selain daripada ancaman media sosial memonopoli masa, dorongan untuk membaca bagi murid-murid turut merosot setelah Covid19 melanda Malaysia. Sekolah-sekolah Malaysia tidak mendorong lagi kegiatan di perpustakaan, maka minat untuk murid-murid mengangkat buku juga turut terhad. 

Apabila ditanya berkenaan langkah-langkah yang dapat dilakukan untuk membaiki budaya membaca di Malaysia, Faiz mengatakan bahawa kempen membaca dalam negara tidak berkesan kerana tiada penekanan diberikan untuk membuat orang awam faham tentang kebaikan membaca.

“Kita sering dengar bahawa membaca itu baik, tetapi jarang sekali kita dengar mengapa membaca itu wajib dilakukan. Malaysia perlukan lebih banyak pihak yang ketengahkan bahawa membaca teks panjang merupakan senaman wajib untuk minda, bahawa membaca teks panjang mendorong fikiran kognitif, memupuk daya imaginasi, daya tumpuan, dan kebolehan berfikir. Sama seperti tubuh badan yang lain, otak kita juga perlukan senaman supaya ianya sentiasa sihat dan berfungsi. Membaca buku adalah senaman untuk otak kita…”, tegas Faiz.

“Legasi dan daya tahan sebuah tamadun itu berlandaskan warisan sastera, kepintaran masyarakatnya, dan daya saing teknologi. Bagaimanakah tamadun Malaysia berdaya tahan jika masyarakatnya tidak mempunyai daya fikir, dan leka dengan media sosial sahaja?”, Faiz mengajukan soalan.

Faiz Al-Shahab merupakan tokoh teknologi digital yang telah membawa prasarana industri perbukuan Malaysia ke dunia digital melalui stor ebuku e-Sentral dan perpustakaan digital ELIB. Sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2022, kedua-dua platform ini telah mencapai 1.1juta pengguna di tanah air.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *