Dengan kiraan tiga, Sakti berlari mendapatkan pintu gudang. Badannya tersandar di dinding tepi untuk seketika, sambil sebelah tangan menarik pedangnya keluar. Perlahan supaya tiada yang mendengar. Hujung mata pedang dimasukkan di ruang tengah-tengah antara dua pintu besar itu. Dengan satu senjahan yang kuat, rantai besi yang mengikat dua pintu itu terus terbelah dua.
Sakti menendang pintu dengan kuat dan terus melangkah masuk.
Nella terkejut. Melihat kelibat Sakti, dalam kepalanya cuma ada perkataan signal. Signal! Signal!
Nella menjerit dengan kuat. “Tolong! Tolong saya! Please!”
Mana Noah? Harap-harap dia dengarlah!
“Tolong! Tolong!” Nella sambung menjerit. Belasah sajalah. Dah terlambat nak fikir signal lain.
Sakti tidak bertangguh. Pedangnya dimasukkan semula ke dalam sarung sementara sebilah pisau yang terselit di butnya dikeluarkan untuk memutuskan ikatan tali di kaki dan tangan Nella.
“Lari! Pergi dari sini!” arah Sakti kuat.
Nella tidak sempat bangun apabila Jon dan Rafael tiba-tiba muncul dengan pistol masing-masing terhala ke arah Sakti.
“Jangan bergerak! Letakkan senjata!”
Sakti tersentak. Sedar dirinya sedang dikepung dari arah kiri dan kanan, kedua-dua tangan diangkat. Hati menyumpah. Kata nalurinya tadi bahawa ada sesuatu yang tidak kena memang tepat!
“Nell!” Rafael memberi isyarat mata supaya Nella bertindak menggari tangan Sakti.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com