[SNEAK PEEK] YANG TERTULIS KELMARIN

YANG TERTULIS KELMARIN Oleh Tina Derika

 

GADIS itu membuka matanya perlahan-lahan memandang siling yang bercahaya. Di manakah dia sekarang? Ya Allah! Sakitnya kepala. Dia merenung sekeliling ruang wad. Di depannya ada seorang doktor berjubah putih sedang tersenyum manis. Kacaknya! Sempat matanya mengerling tanda nama di baju lelaki tegap berambut kemas itu. Harraz Nazran! Seperti seorang jejaka yang dikirim dari alam kayangan.

“Anak umi dah sedar?” Puan Ashikin merapati anaknya. Mujur kain pembalut kepala sudah ditanggal sebelum anaknya sedar. Gadis itu mengelak dari disentuh. Siapa mereka semua? Macam mana dia boleh berada di atas katil hospital?

“Awak semua ni siapa, ya?” Berkerut kening meneliti satu per satu wajah yang berdiri di tepi katilnya. Tangannya menyentuh dahi. Ada calar-calar luka yang tergores di kepala. Jantungnya berdegup kencang.

“Kau orang semua siapa?” Seram sejuk dia tiba-tiba.

Puan Ashikin mencapai tangan anaknya. Kepala Hana yang dibaluti tudung diusap lembut. Menahan air mata daripada luruh ke pipi. Yusnita turut menahan sebak. Tak sampai hati melihat Hana sakit begitu. Ya Allah!

“Okey, awak bawa bersabar dulu.” Harraz tampil dengan santun kata yang begitu lembut dan sopan. Lelaki itu tersenyum panjang melihat raut Hana yang berkerut-kerut.

“Doktor, siapa dia orang?”

Harraz ketawa kecil. Menyorokkan perasaan gelisah. Ikhlaskah dia? Terpaksa! Dia sendiri tersepit. Tak tahu apa lagi cara yang terbaik. Adakah mungkin ini takdirnya sebagai insan biasa yang sering melakukan kesalahan? Kesalahan yang berbingkai. Celaru fikirannya!

“Eh, Hana! Awak dah lupakan saya ke?”

Gadis itu jongket kening. Sungguh! Dia kurang faham dengan apa yang sedang doktor itu katakan. Harraz duduk di birai katil.

“Kita pernah jumpa? Saya tak ingat.”

“Sampainya hati awak cakap kat saya macam tu. Awak pengsan tadi. Tak keruan jantung ni ha…” Harraz menekan dadanya. Manalah tak gelabah.

Dia buat satu perkara yang dia sendiri tak suka. Nafasnya ditarik dalam-dalam

“Nasib baik keadaan awak tak apa-apa. Lama umi, ayah dan Kak Ita tunggu awak sedar. Alhamdulillah akhirnya awak selamat.”

Hana memandang dua orang perempuan yang lebih tua daripadanya dan seorang lelaki separuh usia. Mengapa dua wanita bertudung itu sedang menahan tangisan? Apa yang sedih sangat?

“Umi dan ayah rindukan Hana. Kakak pun rindukan Hana juga.” Mereka bertiga memeluk tubuh Hana dengan ucapan syukur yang tak putus-putus.

“Umi? Ayah?” soal Hana bingung.

“Kita orang semua rindukan Hana,” tambah Harraz sekadar menambah perisa agar Puan Ashikin lebih gembira. Terbukti benar. Wanita itu mengerling ke arahnya. Perlahan dia angguk. Harraz sekadar tersenyum nipis. Hana tak beranjak merenung raut tenang Harraz. Sukanya dia melihat penampilan lelaki itu. Segak berjubah putih. Harraz menyembunyikan sepasang tangannya di dalam kocek jubah. Menggigil!

“Harraz,” sebut Hana perlahan. Cukup jelas di telinga Yusnita.

“Hana… Harraz kan kawan Hana sendiri. Kenapa pandang dia macam tu?”

Puan Ashikin menjegilkan sedikit matanya memberi isyarat pada Harraz supaya jejaka itu melakukan sesuatu untuk anaknya.

“Hana?”

Adiknya menggeleng. Entahlah! Terpukau sekejap melihat tingkah laku Harraz yang lembut begitu. Pelikkah lelaki bersopan santun? Taklah!

“Oh! Hana suka tengok dia. Sopan aje lelaki ni. Doktor…”

“Janganlah panggil saya doktor. Terasa kelakar pula. Selalunya awak panggil nama saya aje. Haih! Macam tak biasa pula, eh?” Harraz muncung sedepa. Pandai dia berlakon. Terpaksa dan dipaksa! Tak buat kena ugut. Nak tak nak, terpaksa juga pakai ‘topeng palsu’ di muka. Harap-harap Hana akan faham apa yang sedang dia sandiwarakan ini. Maaf, Hana.

Hana ketawa. Walaupun mindanya kosong. Tak tahu-menahu, dia sedikit terhibur dengan keletah lelaki itu.

“Eee… Comellah! Hehe…”

“Erk!” Merona merah muka Harraz menerima pujian spontan begitu.

BAGASI pakaian dia letakkan di tepi dinding. Matanya melilau ke segenap ruang bilik yang nampak baru itu. Cadar katil tegang, lantai pun berkilat. Kipas siling juga bersih. Dia tersenyum sendiri. Dia dekati bingkai-bingkai gambar yang tersusun kemas di atas meja dan rak. Tangannya menyentuh kepala. Foto pertama, dia dan keluarga. Kedua, dia bersama kakaknya. Ketiga? Dia dengan Harraz. Hana tersenyum. Jiwanya tenang sahaja. Kata Puan Ashikin, mereka memang dah setahun menetap di rumah itu.

“Hana…” panggil Puan Ashikin. Hana memandang wajah wanita itu..

“U… Umi.” Matanya kembali meneliti raut-raut dalam setiap bingkai gambar itu. Puan Ashikin mengusap kepala anak perempuannya. Sebulan Hana berada di hospital, Puan Ashikin berpindah rumah supaya dapat sembunyikan Hana daripada Rizal. Dia akan takluk fikiran anaknya hingga gadis itu hanya mengingati apa yang dia lalui sekarang bukan sebelumnya.

Puan Ashikin mahu berikan ‘hadiah’ terbaru untuk anaknya. Nama, tempat tinggal, juga teman. Namun, di sebalik ‘kisah baru’, segala itu dia mengandaikan seperti telah lama berlaku. Puan Ashikin tahan air mata dari terus mengalir. Wajah anak perempuannya ditenung dalam-dalam. Dia lebih rela anaknya hidup sebagai Hana selama-lamanya.

Dia mahu Harraz membawa anaknya pergi jauh daripada hidup yang pernah dialami oleh Hana sebelum ini.

“Umi, kenapa umi suka sangat dengan Harraz tu?” soal Hana sambil tuding jari pada foto jejaka berpakaian seperti seorang doktor. Serba putih, ceria sahaja wajahnya.

“Sebab dia layak disukai oleh sesiapa pun. Harraz seorang lelaki yang baik.”

Biar anak aku kenangkan Harraz sentiasa daripada mengingati lelaki pengkhianat tu! bicara hati kecil Puan Ashikin.

“Oh!” Hana angguk.

“Tapi kenapa kadang-kadang Hana rasa kekok dengan dia? Hana tahu dia baik, cuma ada sikit rasa janggal dengan dia. Dia pun macam tu. Adakala terpinga-pinga dengan tindakan dia. Kelakar.”

“Lama-lama nanti Hana biasalah. Hana kan masih sakit. Mungkin dia pun terkejut dengan semua kejadian ni,” ujar Puan Ashikin ringkas.

“Oh! Mungkinlah kut. Harap-harap Hana dan Harraz akan jadi kawan karib selama-lamanya. Hana akan cuba layan dia baik-baik macam mana dia layan Hana.”

Puan Ashikin tersenyum nipis. Ya Allah! Sedihnya akan takdir yang menimpa anaknya. Tak mengapalah jika itu yang terbaik. Rizal… Huh! Dia memang punca! Puan Ashikin menggenggam tangannya.

“Hana kena selalu ada dengan Harraz sampai bila-bila, tahu?”

Anak perempuannya tak mengangguk, tak juga menggeleng. Hana menuju ke bagasi pakaian. Tiba-tiba ada satu tangan yang menghulurkan sesuatu. Kotak kasut Bata. Hana mendongak memandang kakaknya, Yusnita.

“Nah, ambillah.”

“Apa ni?”

Puan Ashikin menghenyak punggung di birai katil.

“Tu hadiah daripada Harraz.”

Perlahan-lahan Hana buka penutup kotak itu. Betapa tertegun dia melihat kepingan kad ucapan yang unik terkumpul di dalamnya. Kreatif! Setiap coretan yang tertulis menggambarkan sebaris madah semangat buatnya.

“Umi, Kak Ita, biar betul ni semua Harraz yang bagi?”

“Ya, Hana.” Yusnita memeluk bahu adiknya itu.

“Tiap-tiap malam dia tulis kad tu untuk Hana. Sebelum dia balik dia akan selitkan kat bunga di atas meja wad. Hana tak perasan ke?”

Hana menggeleng. Satu jawapan mudah. Kalau dia sedar hal itu, mana mungkin dia nafikan. Dan tak perlu juga kakaknya bersusah payah mengutip satu per satu kad ucapan itu. Apapun dia hargai apa yang telah diberikan oleh Harraz.

“Hana hargai semua ni. Terima kasih ya, kak, umi sebab simpankan kad-kad ni. Esok, Hana akan pergi jumpa dia nak ucapkan terima kasih juga. Tadi tak sempat jumpa.” Hana terus buka kepingan kad yang tak beralamat itu.

Yusnita dan Puan Ashikin saling bertaut pandangan. Ada makna tersirat di sebalik renungan antara mereka. Hana menghayati bibit-bibit ayat yang tercoret. Segala yang tertulis terlalu istimewa. Tak akan pernah dia sesali persahabatannya bersama Harraz.

Hanya Tuhan aje yang dapat gantikan ganjarannya buat awak, Harraz.

“Baiknya Harraz. Rajin pula dia tuliskan kad ni setiap hari untuk Hana.”

Puan Ashikin belai rambut hitam anaknya.

“Hana mesti jaga hati Harraz baik-baik. Jangan hampakan perasaan dia.”

“Umi, Hana kan kawan aje dengan dia. Raz yang penat lelah, siang-malam jaga Hana kat hospital tu.”

Yusnita mencelah. Dia sokong hasrat Puan Ashikin yang mahu Harraz menjadi teman setia Hana. Dia tak akan izinkan sama sekali Rizal dekati adiknya lagi. Dah lima bulan. Eloklah! Tak lama kemudian, adiknya ditimpa kecelakaan hingga melenyapkan ingatannya.

“Memanglah dia kawan Hana. Tapi tak semestinya kita kena sakitkan hati dia, kan? Harraz tu bukan macam…”

Puan Ashikin cubit lengan Yusnita yang hampir terlanjur kata. Anak sulungnya terus berdalih.

“Bukan macam lelaki lain. Lelaki sekarang ramai yang tak boleh dipercaya.”

Hana senyum nipis. Rasa terharunya belum habis.

Yusnita berdehem. Suara hatinya menyoal. Kalaulah Hana tahu itu semua pelan yang dirangka mereka semua demi membuka kehidupan yang baru untuk Hana, apakah reaksi adiknya kelak? Marah? Sedih? Ah! Moga-moga Hana tak akan cuba merisik apa-apa daripada mereka.

“Isy, Kak Ita! Tak mungkin Hana akan sakitkan hati dia. Umi jangan risau. Harraz selamanya kawan Hana.”

Puan Ashikin hanya diam. Maafkan umi, Hana. Maaf sebab umi yang minta bantuan Harraz untuk mengaku bahawa dia kawan Hana. Umi turut mohon kepada Harraz supaya jangan tinggalkan Hana. Umi risau kalau suatu hari, anak umi jumpa Rizal lagi. Tak! Janganlah pisang berbuah dua kali. Lebih baik matikan saja nama Rizal itu selamanya. Biar nama Harraz Nazran saja yang duduk di dalam memori anaknya, sementara ruang ingatan Hana masih kosong.

“Ha… Nanti umi telefon Harraz, ya? Umi beritahu dia yang umi akan hantar Hana ke tempat yang kau orang nak jumpa.”

“Hana boleh pergi sendiri.”

Lekas Yusnita menghalang. Mesti adiknya tak tahu selok-belok bandar Kuala Lumpur. Kalau adiknya sesat, satu masalah nak mencari

“Eh Hana, janganlah. Kat sini bahaya, Hana kan masih sakit.”

Adiknya berkerut.

“Alah, jumpa Harraz aje. Bukan ke mana-mana.”

“Tak apalah, umi hantarkan.”

Tanpa membantah Hana bersetuju.

“Terima kasih, umi.”

Hana pegang tangan ibunya.

“Umi, boleh tak Hana cari kerja?”

Cari kerja? Cepatnya! Puan Ashikin geleng. Tak benarkan.

“Tak payahlah kerja. Hana duduk ajelah rumah dengan umi. Biar Kak Nita yang kerja.”

Hairan. Kakaknya boleh pula bekerja. Hana sedikit kecewa. Kenapa dia tidak dibenarkan untuk bekerja?

SEHELAI salinan surat beranak Puan Ashikin tenung dengan rembesan air mata. Nama anaknya diteliti Nur Hana Binti Mohd Rashidi. Beratnya untuk dia lalui semua ini. Dia perlu menyemaikan memori pada ingatan anaknya semula.

“Umi…” Hana masuk ke bilik solat.

“Hana.” Puan Ashikin dongak pandang anaknya.

Anaknya merenung wajah ibunya yang basah.

“Kenapa umi menangis?” Matanya tumpah kepada helaian di tangan Puan Ashikin.

“Umi buat apa dengan surat beranak Hana tu?”

Puan Ashikin lekas menyeka air matanya.

“Sebab umi rindukan Hana.” Pendek jawapannya.

“La, Hana kan dah balik. Umi janganlah sedih-sedih.”

Puan Ashikin amat senang dengan kepulangan Hana ke rumah. Setiap kali dia bersama anaknya, dia rindukan dua nama yang berbeza daripada anak gadisnya itu. Dia rindukan diri Hana, dalam masa yang sama dia kasihankan nasib Hana yang dahulu. Ya, tekadnya ingin mengubah sejarah anaknya!

“Umi, esok Hana keluar pagi. Kak Ita dah telefon Harraz tadi. Harraz kirim salam kat umi.”

“Waalaikumussalam.”

“Ha, umi. Ni telefon siapa?” Hana hulurkan sebiji telefon bimbit yang dia terjumpa di dalam laci meja di bilik tidurnya.

“Tu telefon Hana la. Ayah yang belikan sebab telefon lama Hana rosak.”

Oh! Jadi betullah kata Yusnita. Telefonnya jatuh terhempas semasa dia berada di hospital.

Puan Ashikin lemparkan anak matanya kepada rak buku di sebelah kanan ruangan itu. Telefon lama Hana dah dibuang ke sungai. Gambar-gambar gadis itu bersama kekasih gelap tak layak ditenung semula oleh Hana. Peti-peti mesej yang terkandung dalam alat itu, segalanya memedihkan hati seorang ibu.

“Oh! Tapi kenapa nombor-nombor dalam telefon ni, ada nama orang yang Hana tak tahu? Mak Su Timah, Wan Amira. Siapa dia orang, umi?”

“Tu saudara-mara kita.”

“Hah? Ada ke?”

Puan Ashikin terus tarik tubuh Hana rapat ke dalam dakapannya. Tak larat lagi mahu melayan pertanyaan Hana yang seakan anak kecil. Suka menyoal itu dan ini. Hana balas pelukan ibunya.

“Hana janji dengan umi, untuk selalu ada bersama Harraz. Dengar cakap umi, ayah, Kak Nita dan Harraz. Faham?”

“Umi, Hana dan Harraz takkan lebih dari tu. Takkan lebih, umi.”

“Harraz satu-satunya lelaki yang umi percaya. Umi kenal dia sangat. Kau orang kawan dari dulu lagi, Hana. Dia memang baik orangnya.”

Hana terbisu mendengar bicara yang dirasakan tulus dari jiwa uminya sendiri. Patutlah begitu sayang Puan Ashikin terhadap Harraz.

“Dia kawan Hana yang dah menjadi seorang doktor. Dia yang jaga Hana, dia juga kawan yang takkan pernah tinggalkan Hana. Percaya cakap umi. Sebab tu umi tak teragak-agak suruh dia rawat Hana.”

Kali ini Hana tewas. Lidahnya kelu. Akhirnya dia angguk walau satu per tiga jiwanya tetap merasakan Harraz merupakan seorang doktor yang dah banyak menolong. Huh! Seharian, nama lelaki itu sahaja yang meniti di bibir orang tua dan kakaknya.

****

SELESAI sarapan, Hana bersiap mengenakan pakaian yang sesuai di tubuhnya. Tudung yang sedondon dengan baju dipadankan. Sejurus selepas itu, Puan Ashikin terus menghantar anaknya. Tiga puluh minit Hana menunggu Harraz di lobi hospital. Dia menghenyakkan punggung di atas sofa sambil menyelak majalah. Ada kalanya, dia memandang makhluk yang keluar masuk dari pintu utama. Hana hela nafas seraya mengetuk-ngetuk jari di atas naskhah majalah yang dipegang.

Tiba-tiba kepalanya terasa sakit. Hitam putih bayangan sesuatu yang sukar untuk dijelaskan melintasi mindanya. Dia seakan ternampak kelibat seorang lelaki. Siapa? Dia menggesa otaknya untuk ingat jejaka itu. Argh! Tangannya memicit dahi. Mukanya mulai pucat.

“Hana,” tegur satu suara yang agak garau dari belakang. Harraz menanggalkan jubah putihnya. Dia menghampiri pesakit yang pernah dirawat sebulan lalu. Tak keruan dibuatnya.

“Awak tak apa-apa? Kita naik atas dulu, jom. Saya cek keadaan awak.” Harraz sedikit cemas melihat wajah Hana yang berpeluh. Perempuan itu menggeleng. Dia tak mahu. Tak nak buang masa dengan rawatan.

“Tak nak. Saya datang sini nak jumpa awak.” Hana kuatkan diri. Harraz hembus nafas. Degil pula pesakitnya hari itu. Dia terus berdiri sambil membetulkan pakaian yang sedikit berkedut. Lengan kemeja disingsingkan hingga ke paras siku. Stetoskop dia masukkan ke dalam kocek jubah.

“Erm, okey saya tahu. Kakak awak pun ada beritahu semalam yang awak teringin nak jumpa saya. Tapi kalau apa-apa jadi kat awak, saya yang kena bertanggungjawab. Jadi sebelum kita keluar, apa kata awak ikut saya ke bilik rawatan sekejap.”

Hana tegar terhadap pendiriannya. Dia sudah letih dengan rawatan. Lantas dia melangkah keluar dari bangunan itu. Harraz mengejar perempuan bertudung itu dari belakang. Apa angin Hana siang-siang itu? Tersalah minum atau makan ke? Laju saja tapak kakinya meluru tanpa menghiraukan seruan Harraz.

“Hana!” panggilnya.

Hana terus memekakkan telinga. Menuruni anak tangga. Berselisih sesama manusia yang mendaki tangga.

“Hana…” Beg yang tersangkut di bahu gadis itu ditarik. Menghentikan perbuatan Hana daripada terus melangkah. Anak mata mereka saling bersabung. Renungan mengancam dari perempuan itu menyapa kerutan di dahi Harraz.

“Okey, okey.” Harraz angkat sepasang tangannya mengaku kalah. Entah mengapa Hana sudah tak mahu mendengar kata. Yalah, dia faham. Sedangkan diberi ubat pun, pesakit malas mahu makan. Inikan pula sakit yang seperti Hana.

Harraz mengeluh.

“Sekarang awak nak pergi mana?”

Reaksi Hana serius. Badan tegap Harraz dipandang atas bawah.

“Saya nak awak temankan saya cari kerja.”

“Kerja? Kat mana awak nak kerja?” soalnya sedikit tak percaya. Kepala yang tak gatal digaru. Apa yang Hana merepek ni?

Hana angguk mengeyakan.

“Mana-mana pun boleh.” Sepatah yang ditanya sepatah yang dijawab. Hana memandang Harraz yang jelas risau. Apalah yang dirisaukan sangat? Dia hairan, mengapa uminya dan lelaki itu asyik melayannya seperti kanak-kanak? Dia bukannya anak kecil yang belum cukup akal. Dia perlukan ruang untuk belajar makna berdikari. Bukan mengurung diri sepanjang hari.

Harraz menguak anak rambutnya. Haih! Lagi satu masalah. Bibirnya diketap rapat.

“Hei, awak baru aje keluar dari hospital. Awak tak boleh melulu macam ni.”

“Kenapa tak boleh? Saya dah okey. Saya nak awak temankan saya, itu aje. Dua hari duduk kat rumah sangat membosankan saya.” Hana pusing tubuh meneruskan perjalanan. Harraz mengejar Hana. Kali ini dia benar-benar hairan. Degilnya Hana.

“Hana, awak nak cari kerja kat mana?” Untuk kedua kali dia bertanya. Hana angkat sebelah kening. Harraz pelik melihat gelagatnya. Begitu juga dengan Hana. Banyak pula perkara yang lelaki itu mahu tahu.

“Sebab tu saya ajak awak temankan saya. Kita cari ajelah kat mana-mana. Awak boleh tak jangan banyak tanya pasal kerja apa yang saya nak cari?” tegas Hana yang agak geram.

Mendengarkan suara Hana yang dah mula emosi, Harraz lekas mengangguk. Dia bersetuju juga. Perempuan itu tersenyum dalam hati. Umpannya berhasil jua. Dia acu jari telunjuk lurus ke muka doktor yang seorang itu. Harraz jongket kening.

“Awak jangan cakap kat umi saya tentang hal ni. Saya tak nak dia tahu. Lepas dapat kerja nanti, baru saya akan cakap sendiri kat dia.”

“Tapi…” Bicaranya pantas dipotong oleh Hana.

“Harraz, awakkan kawan saya. Macamlah awak tak kenal perangai umi saya. Dia tu susah nak lepaskan saya sejak kebelakangan ni. Saya pun peliklah. Saya tak suka tahu, orang buat saya macam ni.”

Kawan? Harraz memutar ayat yang sama seperti diluahkan Hana sebentar tadi berulang kali dalam benaknya. Dia ketap bibir. Hakikatnya, dia mengenali diri Hana semasa gadis itu menjadi pesakit di hospital tempatnya bekerja. Harraz terdiam.

“Umi awak bukan tak mahu lepaskan awak. Dia bimbang, lagi-lagi awak baru aje sihat. Tunggu sebulan dua lagilah, Hana,” pujuk Harraz lagi. Hana rimas. Sudahlah tercegat di atas anak tangga itu tanpa tujuan. Sekadar mahu berborak kosong di situ? Haih, buang masa, buat lenguh kaki saja.

“Awak nak temankan saya atau tak? Kalau tak, saya boleh pergi sendiri. Habis cerita. Daripada berdiri kat sini, bertekak dengan awak.”

“Haih, Hana. Awak memang degil hari ni. Tapi sebelum tu, saya kena beritahu pihak hospital dulu yang saya nak keluar. Atas urusan peribadi.”

“Errr, tak boleh main pergi aje ke?”

“Haah yalah, hospital ni memang mak bapak saya yang punya. Suka hati aje nak main pergi aje. Kan?” Harraz keluarkan gugusan kunci kereta dari poket sebelah kiri seluarnya. Punat pada alat itu dipicit. Dia mengajak Hana menuju ke kereta Toyota Corolla yang terpakir kemas di hadapan bangunan hospital itu. Tanpa disedari, senyuman di bibir merah Hana kian memanjang.

“Tak payah senyum-senyum sangatlah. Awak tunggu dalam kereta kejap. Nanti saya datang.”

DARI satu ke satu pusat membeli belah mereka singgah. Hana gembira. Sepanjang perjalanan dia tersenyum. Hampir satu Kuala Lumpur mereka ronda. Kepala lutut? Huh! Memang rasa nak tercabut. Fahrenheit 88 Mall, Hartamas Shopping Center, Low Yat Plaza, Berjaya Times Square, The Curve dan macam-macam lagi tempat yang tak larat untuk dihafal.

Boleh tahan stamina perempuan itu. Tak penat ke dia berjalan tanpa henti merantau dari suatu ke suatu bangunan yang agak jauh jaraknya? Memanglah naik kereta, tapi… Hana melangkah ke hulur ke hilir. Nampaknya, Hana tak bergurau. Berpuluh-puluh kedai minyak wangi, kedai jam, kedai alat solek yang dia tanya, semuanya tak memerlukan pekerja tambahan. Pun begitu, Hana tak kecewa. Nak buat macam mana, rezeki untuk hari itu belum ada. Harraz terus berjalan seiring dengan Hana.

“Aduh, nak cari kat mana lagi ya?” Matanya mendongak. Melihat lampu-lampu yang menyala di segenap bangunan The Curve. Sesekali dia pandang Harraz yang bagai hilang selera.

“Awak penat?”

Harraz senyum perli. Ringan sahaja dia menggeleng. Tak mahu mengaku. Hana menjuih bibir. Menyakat.

“Tak. Tak penat pun. Tak penat langsung Cik Hana, oi. Nak tercabut kaki ni tahu? Semua tempat tak ada kerja kosong.”

Hana memuncung.

“Itulah. Eh, tapi tak apa. Hari ni tak dapat, esok boleh lagi.”

Harraz mengusap dagu. Hana ini, tak pernah putus asa.

Seimbas, sesuatu muncul dalam fikiran gadis berhijab itu.

“Haaa. Jom saya belanja awak makan donat. Nak?” Hana mempelawa. Cadangan yang bagus, fikirnya.

Ibarat disimbah air ke muka. Terus segar ekspresi muka Harraz. Lelaki itu menepuk-nepuk tangan tanda puas hati. Memang dia mengidam untuk makan donat.

“Big Apple!”

“Huh? Apa tu?” Epal besar? Hana tak tahu. Ada pula nama kuih donat serupa buah?

“Hai la, kunonya awak ni. Jom saya bawa awak pergi sana. Lepas tu awak belanja. Saya dah lapar ni…” Harraz melajukan langkahnya. Hana hanya mengekori dari belakang. Isy! Harraz, kalau bab makan laju aje. Kadang-kadang mulut lelaki itu membebel serupa macam perempuan.

Hurmmm… Hana teringat kembali kata-kata uminya awal pagi tadi sebelum menghantarnya berjumpa Harraz. Dia percaya seratus sepuluh peratus pesanan Puan Ashikin yang mengatakan lelaki itu sentiasa jujur.

Hana rasa bertuah. Untung dia ada sahabat bernama Harraz Nazran. Dia menghampiri Harraz. Mereka berjalan seiring menuju ke kedai donat.

“NAH.” Secawan minuman Cappuccino diletakkan di atas meja. Harraz berlagak selamba. Dia labuhkan punggungnya bertentangan gadis itu. Dia tahu, sebelum pesakitnya melahirkan hidup yang baru sebagai insan bernama Hana Mohd Rashidi, dia tak pernah sukakan perisa itu. Tapi Harraz tetap akan cuba ubah selera Hana. Mudah-mudahan gadis itu akan ketagih perasa yang dia pesan di kaunter seminit tadi.

Sepanjang Hana terlantar di atas katil wad, banyak yang telah Harraz pelajari mengenai gadis di hadapannya. Apa makanan kegemaran yang menjadi pilihan hati Hana, jenama pakaian, destinasi pelancongan yang paling membuatkan perempuan itu jatuh cinta dan sebagainya.

“Terima kasih. Perisa apa ni?” Hana ambil bau sebelum hirup.

“Cubalah minum dulu. Barulah tahu.”

Hana membaca bismillah kemudian dia menyuakan cawan itu ke mulutnya. Urmmm… Sedap!

“Wah! Sedaplah.”

Sedap? Harraz menggesa bibirnya untuk mempamerkan senyuman. Bagaimana boleh jadi enak di lidah perempuan itu? Ya, dia memang mahu Hana bertukar selera, namun dia agak pelik. Ah! Pedulikan.

“Minumlah lagi kalau sedap. Habiskan. Jangan tinggalkan walau setitik. Sebab air tu saya yang belanja.”

“Okey. Awak pun, kena habiskan donat ni semua, sampai kenyang. Jangan tinggalkan sedikit pun. Sebab makanan ni, saya yang belanja.” Dia tergelak.

Hana ambil sebiji donat coklat dari dalam kotak. Dia mengunyah sambil menikmati kemanisan inti yang berkrim.

“Hari ni awak makan puas-puas tau, Raz. Awak boleh oder apa saja.”

Lelaki itu angguk kepala. Wah! Lagak Hana acah-acah seperti seorang pekerja yang baru dapat gaji.

“Ermmm, Harraz… Kak Ita kata, masa kita kecil-kecil dulu awak selalu bawa saya jalan-jalan naik basikal. Betul ke?”

Huh! Mahu tercekik Harraz dibuatnya. Keceriaan yang terserlah pada raut Hana amat menyentap dadanya. Dia hanya mampu menghulurkan sebaris senyuman tak bergula kepada gadis itu.

“Muka dah merah maknanya betullah tu,” duga Hana.

“Patutlah umi sayangkan awak. Dia selalu cerita, awak rajin tolong dia masa saya sakit. Terima kasih, Raz sebab tak pernah tinggalkan saya.”

Harraz berlagak selamba. Dalam hati? Bagai ada ombak memukul-mukul dada. Hari ini, dia tidak akan tinggalkan Hana. Akan datang? Siapa yang bakal tinggalkan siapa?

“Hari ni memanglah tak pernah tinggalkan. Nanti bila awak dah sembuh, jangan awak pula yang tinggalkan kawan awak ni.”

Gadis itu senyap sejenak.

“Awak ni teruk betullah. Awak, saya nak tanya awak… Awak pernah rasa tak atau awak pernah bayangkan tak apabila kita hilang seseorang? Tak kesahlah kawan ke atau sesiapa yang dekat dengan kita. Pernah rasa tak?”

Pandangan mata gadis itu direnung dalam. Jujur, Harraz terseksa dengan mengikat janjinya terhadap Puan Ashikin untuk tidak menghampakan perasaan gadis itu.

Segala kisah silam gadis itu sebelum dirinya bergelar Nur Hana, Harraz sudah tahu. Tentang Rizal, sebab keluarga Hana berpindah ke tempat baru yang berdekatan dengan hospital, segalanya telah diterangkan.

“Setakat ni belum. Tapi saya tahulah perasaannya. Meninggalkan tu susah. Kehilangan tu pun susah. Kenapa semua orang akan saling meninggalkan antara satu sama lain? Sebab hidup kita ni bukan kita yang atur. Aturan hidup ni semua kekal tau. Bergantung kepada Allah juga. Dia yang merancang. Kita bukannya ada hak.” Minuman panas dalam cawan lantas dihirup. Jantungnya berdebar-debar.

Harraz akui, dia seorang pembohong besar. Jika suatu hari nanti ingatan Hana pulih, dia bersedia untuk dibenci gadis itu. Hatinya terbelah dua. Rasa bersalah menggunung tinggi pada Hana. Tapi ini amanat. Argh! Berat. Payah. Terbeban.

Dulu Yusnita pernah beritahu Harraz bahawa Hana yang sebelum ini tidak akan pernah memandang mana-mana lelaki selain Rizal. Sayangnya, lelaki itu telah silap mentafsir perasaannya sendiri sehingga mengecewakan hati mereka sekeluarga. Kata Puan Ashikin pula, hanya Rizal yang menjadi teman mimpi tidur anaknya. Cuma Eddy Rizal seorang.

Malangnya, sebaik sahaja Rizal ghaib entah ke mana, sesuatu yang tak disangka berlaku. Selepas mendengar semuanya, Harraz terpaksa mengajar Hana menelan semua yang ada di hadapan mata walau segalanya sakit dalam dada. Dia akan mengotakan apa yang telah dilafazkan kepada keluarga gadis itu untuk mencipta ingatan pesakitnya dengan kenangan indah.

“Betul juga cakap awak tu. Kita tak ada hak. Saya cuma nak cakap satu aje kat awak. Esok-esok kalau awak dah ada kekasih hati, bagi tahu saya, tau. Tak adalah saya susahkan awak lagi nanti.” Hana tayang muka hampa. Harraz garu kepala.

“Yang awak ni dah kenapa tiba-tiba? Hei, dahlah. Habiskan air tu. Lepas tu boleh balik.”

Hana keluarkan sekeping kad daripada beg tangannya. Beberapa keping nukilan comel ditayangkan semula kepada Harraz.

“Ni kad yang awak buat. Eh, awak nak tahu, kata-kata awak buat saya jadi bersemangat.”

“Bagus! Simpan, jangan buang. Lenguh tahu, tangan ni menulis semata-mata untuk awak. Tak pernah dibuat orang.” Harraz kunyah donat kacang. Sabar sajalah buat masa ini. Simpati pada diri sendiri. Hana ketawa.

“Kesian, awak. Sanggup tulis tiap-tiap malam pula

tu. Umi pun tak kasi saya buang. Umi tu suka sangat dengan awak. Pelik, kan? Apalah yang istimewa sangat awak ni kat mata dia? Awak ni dahlah kuat membebel.”

“Awak pun sama. Kuat sangat mengarut. Tak larat saya nak layan.” Riaknya selamba tapi jiwanya gundah.

Rancangan Puan Ashikin, dia mahu menghancurkan imej Rizal dalam minda anaknya. Harraz diminta untuk gantikan dirinya sebagai ‘pelapis’ selepas kemunculan Rizal. Apakah dia umpama Eddy Rizal versi kedua? Mana mungkin! Sedangkan dia tak kenal sama sekali siapa gerangan bekas kekasih Hana. Selebihnya, ada hal yang masih Harraz tak tahu tentang niat Puan Ashikin.

Tanpa mereka sedar, ada yang memasang telinga sambil memakukan pandangan pada mereka berdua dari jauh. Sakit pula hati melihat perempuan itu ketawa riang. Sekali pandang tidak terlintas langsung dalam fikiran sesiapa bahawa hubungan mereka sekadar sahabat.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203427/Yang-Tertulis-Kelmarin