Kru Paranormal: Hantu Air

. . .

Chun Ting berhenti seketika meninjau keadaan Pak Kum. Sepatutnya dia melepaskan tembakan asakan ke atas pihak musuh bagi membolehkan Pak Kum melarikan diri ke pinggir sungai. Namun, dia tidak berhasrat melakukannya. Dia tahu itu akan hanya merendahkan peluangnya untuk melepaskan diri. Biar Pak Kum terus menghadapi pasukan keselamatan itu. Pak Kum akan mati, tetapi dia akan selamat! Dan dia berhasrat menggunakan peluang ini untuk melarikan diri meninggalkan hutan Ulu Kinta ini dan kembali ke pangkuan masyarakat.

Perlahan-lahan Chun Ting meninggalkan kawasan itu dan menelusuri tebing sungai. Bunyi tembakan masih kedengaran. Malah, dia dapat mendengar suara Pak Kum memanggil-manggil namanya. Mungkin Pak Kum mahu tahu jika dia berjaya ataupun tidak sampai ke pinggir sungai. Namun, dia tidak pedulikan Pak Kum. Langkahnya semakin pantas menjauhkan diri dari medan pertempuran. Semakin jauh dia melangkah, semakin sayup kedengaran bunyi tembakan. Dan akhirnya bunyi tembakan itu terhenti. Dia yakin Pak Kum sudah mati ditembak pihak berkuasa.

Chun Ting berhenti seketika. Nafasnya turun naik. Botol air di pinggang dicapai dan dibuka penutupnya sebelum meneguk air di dalamnya. Lega benar apabila tekaknya dibasahi air. Nafasnya kembali stabil. Dia memerhatikan keadaan sekeliling, mahu memastikan tidak ada kelibat musuh yang mengejarnya. Tanpa dijangka, dia merasa sesuatu yang sejuk dan tajam menghiris lehernya. Darahnya yang suam terpancut. Dalam kesakitan dan panik Chun Ting cuba mencapai raifalnya, namun raifalnya itu telah dirampas seorang lelaki. Lelaki beruniform serba hijau itu menggenggam sebilah pisau berlumuran darah. Chun Ting yakin lelaki itulah yang mengelar lehernya. Chun Ting terbaring ke atas tanah sambil memegang lehernya yang basah dengan darah. Lelaki itu hanya memerhatikannya tanpa peduli untuk membantu, membiarkan Chun Ting bergelut dengan maut.

Beberapa minit kemudian nafas Chun Ting terhenti. Dengan kakinya, lelaki itu menolak tubuh Chun Ting ke dalam sungai. Mayat Chun Ting hanyut dibawa arus. Menjelang malam hari, mayat Chun Ting tersangkut di sebatang pokok yang tumbang merentang sungai. Mayatnya terbiar di situ buat beberapa ketika. Tiba-tiba muncul sesuatu di tepi mayat itu. ‘Benda’ itu berada betul-betul di sisi kepala mayat Chun Ting. Ia cuma merenung. Beberapa ketika kemudian ia kembali menyelam ke dalam sungai perlahan-lahan dan mayat Chun Ting bagai ditarik sama agar terlepas daripada terus tersangkut pada pokok tumbang itu.

Keesokan harinya mayat Chun Ting ditemui beberapa orang lelaki berbangsa Cina di tebing sungai.

“Tarik mayat dia naik ke atas!” arah seorang daripada mereka. Dua orang lagi rakannya segera menarik mayat Chun Ting agar jauh dari tebing. Lelaki itu meneliti mayat itu.

“Siapa tu, Chi Ho?” tanya salah seorang rakannya. Lelaki bernama Chi Ho itu tidak segera menjawab. Dia meneliti kesan kelar pada leher Chun Ting.

“Chun Ting!” jawab Chi Ho.

. . .

Baca selanjutnya di e-sentral.com

Penulis: Khairul Nizam Khairani
Penerbit: PTS Publications