Hari ini, sebuah rakaman perjalanan dari masa hadapan datang menjenguk diri kita sewaktu berada di fasa usia 11-16 tahun. Tidak lupa juga ketika menyambut ulang tahun kelahiran kesepuluh, terujanya bukan kepalang bila saatnya angka umur bertukar ke dua digit.
Menurut Hurlock dalam buku Psikologi Perkembangan: Suatu Pendekatan Sepanjang Rentang Kehidupan, seseorang individu yang telah melewati fasa remaja akan mencapai fasa awal dewasa yang berusia di antara 20-40 tahun. Seseorang yang berada pada usia awal dewasa ini akan mula memikul tugas seperti mencari pekerjaan, menjalin hubungan dengan pasangan, bersedia membina rumah tangga dan peranan lain.
“Maka akhirnya… aku dah besar!” Aku mahu ratah Milo sepuas-puasnya tanpa perlu bersembunyi lagi. Tidur seawal jam sepuluh malam itu apa?
Dapat nombor satu dalam kelas setiap kali ujian peperiksaan, itu semua tidak perlu dirunsingkan lagi. Bangun tidur aku boleh bergaya sebebasnya dan pergi ke pejabat untuk bekerja. Dapat gaji beribu-ribu setiap bulan dan boleh beli apa sahaja yang dimahukan selama ini. Ya, aku dah besar!
Naif. Sentiasa berangan, dengan kawan-kawan melakarkan bermacam impian, tidak sabar-sabar untuk memasuki alam kedewasaan.
Lalu kita tergelak terbahak-bahak melihat diri yang polos itu dan tanpa sedar, air mata pula jatuh. Dunia orang dewasa ternyata sebuah perjalanan panjang yang melelahkan. Penuh dengan penipuan, konspirasi serta kekacauan yang sungguh kontradiksi seperti apa yang dibayangkan. Sekadar dapat memenuhi keinginan untuk membeli itu dan ini tidak dapat menutupi segala kegelapan, kacau bilau yang sedang membelah dunia.
Sewaktu di awal remaja atau masih kanak-kanak, kita boleh lakukan apa sahaja. Mencuba pelbagai perkara. Membuat kesilapan demi kesilapan. Terjatuh sebanyak-banyak kali. Banyak peluang terhidang di depan mata yang menunggu untuk dipilih. Belajar dan terus belajar tentang bermacam benda baharu. Masa terus berlalu sehinggalah kita memasuki alam dewasa.
Nah, ketika inilah kita bagai terperangkap dalam satu rutin hidup yang seolah sama sahaja berputar setiap hari. Bangun seawalnya untuk meraih rezeki, pulang ke rumah usai gelap malam. Setiap hari merupakan satu perjuangan.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com