[SNEAK PEEK] SUNYI

SUNYI Oleh Nuril Basri

Hari ke-21

Mereka bermalam di dalam sebuah pawagam di dalam sebuah pusat membeli-belah agak jauh dari pusat bandar. Kerusi pawagam itu boleh tahan selesanya dan mereka dapat tidur dengan nyenyak. Gelandangan yang dikejar Herwin tadi telah membawa mereka ke pusat membeli-belah itu. Pusat membelibelah itu masih banyak barang, mungkin tidak ramai yang tahu kerana kedudukannya yang agak jauh dan tersorok. Mereka masuk dan menemui sebuah restoran Itali yang mempunyai banyak stok makanan. Jadi selepas memasak makan malam, mereka mengajak gelandangan-gelandangan itu untuk turut sama makan. Kemudian semuanya tidur nyenyak di kerusi pawagam yang empuk.
Pagi menjelang. Matahari bersinar redup. Herwin yang bangun awal sedang menyelongkar dapur restoran Itali semalam. Aloysius di belakangnya menggosok-gosok mata sebelum mencuci muka. Kemudian duduk di sebuah sofa yang menghadap sebuah meja bulat.
Selepas berjaya menemui separuh bungkus serbuk kopi dalam bungkusan bergulung, Herwin mengambil gelas plastik di atas rak. Tanpa berfikir panjang, dia membancuh kopi itu dengan air sejuk. Kemudian mencicipnya. “Bleurghhh….” ujarnya sambil menjelirkan lidah. “Sedap.” Berbeza sekali dengan reaksinya sebentar tadi.
Dia menawarkan kopi itu pada Aloysius tetapi Aloysius menggeleng. Herwin membawa gelasnya ke meja dan duduk di sofa yang berhadapan dengan sofa yang diduduki Aloysius.
“Talking over coffee,” ujarnya sambil tersengih.
Aloysius tidak menjawab. Di dalam hatinya, dia sangat ingin untuk mendengar muzik. Sebelum ini dia suka melepak di café sambil mendengar lagu. Tetapi yang didengarnya hari ini hanya dengusan nafas Herwin yang kedengaran kasar dan mengganggu.
“Jadi sekarang apa?” tanya Herwin.
“Apa?”
“Apa lagi yang kita nak buat?”
“Tidak tahu.” Aloysius mengedikkan bahunya.
“Kau tidak ingin pulang berjumpa keluargamu?”
Aloysius memalingkan wajahnya. Kelihatan tidak bersedia untuk menjawab pertanyaan itu.
“Tapi kau ada keluarga?” tanya Herwin lagi.
“Tidak…” jawab Aloysius, “…tahu,” sambungnya perlahan.
Herwin mengerutkan dahi. Jawapan yang pelik. Dia meneguk lagi kopi yang pahit itu, cuba memahami. Kemudian dia bersandar dan menutup matanya. Dia duduk tegak sambil menggumamkan sesuatu. Selepas dua minit yang mendebarkan, Herwin membuka matanya. “Sudah,” ujarnya sambil tersenyum.
“Kalau tidur lagi, aku tinggalkan kau.”
“Bukan tidur. Tadi tu berdoa.”
Aloysius mendengus jengkel.
“Hari ini aku akan puasa, sampai kebuluran. Sampai ususku pecah,” ujar Herwin.
“Sebab?”
“Supaya Tuhan akan mengasihani aku. Dan kemudian mengkabulkan semua doaku.”
“Lawak. Minta dikasihani. Dasar pengemis,” ejek Aloysius.
“Aku berdoa supaya ingatanku kembali supaya aku boleh mengingat masa laluku. Jadi aku boleh mengingat kampung halaman. Ingat keluargaku. Atau sesiapa saja dari masa laluku. Supaya aku ada tempat untuk pulang.”
Kata-kata itu keluar dari mulutnya seperti banjir. Gelas di tangan digoyang-goyangkan sedikit. Aloysius menoleh ke arah lain, tidak mahu memandang wajahnya. Dia fikir Herwin itu terlalu naif, tetapi dia tidak mampu melakukan apa-apa untuk membantunya.
“Sebab aku tak ada arah tujuan, aku akan ikut ke mana engkau pergi,” lanjut Herwin lagi. “Aku akan jadi bayang-bayang kau. Aku akan ikut ke mana saja kau pergi.”
Aloysius menggeleng. “Tak mahu. Kau bayang-bayang yang menyusahkan.”
“Kalau macam tu, apa kata kau ikut aku?” tawar Herwin penuh semangat. “Aku tak kisah.”
“Aku tak nak ikut pengaruh buruk.”
Herwin berfikir sejenak. Kemudian dia mendekatkan wajahnya ke depan. Aloysius berkerut kehairanan.
“Apa?”
“Tengok muka aku. Nampak, kan?”
“Nampak. Jadi kenapa?”
“Kau rasa aku orang apa? Maksud aku, asal dari mana? Boleh teka tak?”
Kali ini Aloysius menatap wajah lelaki di hadapannya tepat-tepat. Setiap sisi diperhatikan. Warna kulitnya tidak gelap atau sawo matang. Agak cerah tetapi ada kesan dibakar matahari. Ada parut kecil di hujung bibirnya. Hidungnya terbentuk walaupun tidak terlalu mancung. Garis rahangnya tidak terlalu jelas. Yang menarik adalah kening sebelah kirinya. Kerana hujung keningnya menaik ke atas sedikit, seperti tanduk. Membuat keningnya tampak tidak seimbang. Namun secara keseluruhannya, wajahnya kelihatan menyenangkan. Tidak garang.
Selepas berfikir untuk beberapa ketika, Aloysius menggeleng.
“Sekarang lihat tubuhku. Boleh teka?” soal Herwin sambil berpusing-pusing di hadapan Aloysius, persis peserta pertandingan model.
Aloysius menggeleng lagi.
“Tahu tak?”
“Tak tahu,” sahut Aloysius malas. Tetapi memang benar. Tubuh Herwin tampak biasa saja. Sama seperti orang lain. Tidak gemuk tetapi tidak terlalu kurus. Tingginya sederhana. Semuanya tampak sama pada Aloysius.
“Kalau dengar pelatku bila bercakap?”
Aloysius menutup telinganya. “Sama macam orang lain di kota ini,” ujarnya cepat tanpa mahu mendengar Herwin yang diketahuinya boleh bercakap tanpa henti.
“Mungkin sebab aku dah terlalu lama di sini, kan?”
Aloysius mengangkat bahu. “Bukannya kau kata kau asal dari bulan?”
Herwin menggaru kepala. Dia duduk kembali lalu menepuk dahinya. “Betul kata kau. Aku hampir-hampir lupa,” ujarnya sebelum mencapai gelas kopi sejuk itu dan meneguknya lagi. “Tapi… walaupun aku dari bulan, aku rasa masa diturunkan ke bumi, mestilah ada keluarga yang menjagaku, kan? Tak masuk akal kalau dari bayi aku sendirian. Mesti ada yang jaga aku, kan?”
“Kalau kau tak ingat masa lalu kau, mungkin kenyataannya kau diturunkan ke bumi ketika kau sudah dewasa.” Entah kenapa Aloysius mengatakan perkara itu. Seolah-olah terjebak dengan cerita khayalan lelaki di hadapannya.
PAP! Herwin menepuk meja. “Hah! Tak mustahil!” ujarnya penuh semangat. Kemudian riak wajahnya berubah lagi. “Tapi rasanya tak juga. Rasanya aku masih ingat secara samar-samar ibu bapaku.”
“Ingat?”
Herwin mengingat. “Tapi sekarang dah lupa balik. Tadi ingat sekejap saja. Macam flash kamera.”
“Hah?”
“Kadang-kadang melalui mimpi. Aku seperti menonton filem tentang masa laluku. Ada ibu bapa dan adik-beradik lelaki. Tapi setiap kali terbangun, aku akan lupa tentang mimpi-mimpiku. Macam menggenggam pasir. Sekuat mana kau berusaha untuk mengingati mimpi, lama-lama kau akan lupa.”
Tiba-tiba cermin tingkap seakan bergetar. Sekaligus kedengaran denting gelas dan pinggan mangkuk. Kerusi mereka seakan bergoyang. Tetapi tidak lama, cuma tujuh saat.
“Gempa lagi,” keluh Herwin sambil memegang lengan kerusi.
“Kita kena keluar dari sini,” ajak Aloysius yang khuatir akan ada gempa susulan dan mereka akan terperangkap di situ.
Mereka keluar dari pusat membeli-belah itu untuk menemui jalan yang kelihatan kosong dan sedih. Persis seperti dalam filem di mana sesebuah tempat itu diserang raksasa ganas. Akhbar-akhbar lama berterbangan ditiup angin yang terasa semakin dingin. Herwin menarik zip jaketnya rapat ke atas.
“Sekarang aku rasa aku tahu ke mana aku akan pergi,” ujarnya tiba-tiba selepas beberapa ketika mereka terdiam.
“Ke mana?”
“Wherever… whatever. Have a nice day. Aku mahu mengumpulkan kepingan-kepingan masa laluku. Mahu mencari siapa diriku sebenarnya.”
“Huh!” Aloysius mencebik. Tak sangka dia akan pernah bertemu orang sentimental seperti Herwin. Sebenarnya dia boleh saja meninggalkan lelaki ini sekarang. Pergi ke arah yang lain. Tetapi pada saat ini rasanya dia tidak mahu berjalan sendirian. Bukankah lebih baik kalau ada satu tujuan? Dia sendiri pun tidak ada sesiapa yang ingin ditemui atau dihubunginya.
“Nak mula dari mana?” soal Aloysius kemudian.
“Dari jalan di depan sana,” tuding Herwin. “Aku bersahabat dengan alam. Aku ini kawan angin, kawan bulan. Aku boleh membaca dedaunan dan bercakap dengan cuaca. Dan haiwan-haiwan bercerita padaku.”
Herwin mula melangkah mengikut arah angin yang berhembus dan bersiul-siul, berlumba-lumba dengan carikan-carikan akhbar dan debu-debu yang berterbangan. Kalau melawan arah angin, rasanya akan lebih berat, fikirnya. Angin pasti mahu menghantarku ke sebuah tempat.
Dalam diam, Aloysius mengikutinya.
Mungkin angin tidak selamanya hanya mendinginkan hawa panas. Tidak selamanya menyumbang mual dan kembung. Angin itu membawa Herwin kepada sebuah kenderaan yang terparkir di pinggir jalan.
“Kereta,” ujar Herwin lalu berjalan menghampiri kereta itu. Dia menoleh ke belakang, memanggil Aloysius yang ikut berjalan menyamai langkahnya. “Kereta! Kereta!”

****

Hari ke-21, pagi

Mereka berdiri di hadapan sebuah van berwarna perak yang kelihatan masih elok. Herwin mengintai ke dalam van bercermin gelap itu. Kosong.
Aloysius mencuba membuka pintu, mahu melihat sama ada kunci van itu ada di dalam. Tiba-tiba van bergoyang kuat, membuat mereka berdua terperanjat.
HAH!
Seseorang melompat dari sebalik badan van dan menyergah Herwin. Herwin yang benar-benar terkejut terus jatuh dan tertidur selepas melihat wajah lelaki itu.
“Eh… pengsan…” ujar lelaki yang menyergah tadi. Wajahnya pucat, sebelah tangannya menutup mulut dan sebelah lagi menuding ke arah Herwin yang terbaring di atas jalan dengan mata tertutup.

──♦──

Herwin membuka matanya perlahan-lahan. Dia di dalam van yang sedang bergerak, terbaring di tempat duduk tengah. Tubuhnya bergoyang-goyang seiring gerakan kenderaan itu. Entah sudah berapa jam dia tertidur, dia tidak ingat.
“Monster…” getusnya. Samar-samar dia mula teringat apa yang terjadi. Van itu tadi tiba-tiba bergoyang kuat sebelum ada seseorang menyergahnya kuat. Perlahan-lahan dia bangun, mahu melihat siapa yang sedang memandu.
Rupanya Aloysius sedang memandu, pandangannya fokus ke hadapan. Herwin memegang kepalanya. Masih pening. Rasanya dia ingin tidur semula.
“Hai… dah bangun!” satu suara mengejutkannya. Herwin menoleh. Lelaki yang menakutkan itu duduk di sebelah Aloysius. Dia tersenyum namun kelihatan ngeri sekali. Giginya besar-besar. Suaranya serak dan kasar, tetapi nadanya mesra. Tidak sepadan dengan bentuk tubuhnya atau wajahnya yang lebar dipenuhi lubang-lubang bekas jerawat.
Herwin tersentak. Dia memejamkan matanya rapat-rapat sambil berharap itu semua adalah mimpi. Kemudian dia membuka matanya semula namun lelaki yang digelarnya raksasa itu masih di situ.
“Hello…” ujar orang itu lagi, masih tersenyum.
Herwin menjauhkan diri dari lelaki itu, pandangannya penuh waspada. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia membuka pintu van dan melompat keluar.
“Tolong!” tiba-tiba Herwin menjerit. Matanya terbeliak, penuh ketakutan. “Tolongggg!!”
“Hish! Kau ingat aku ni apa?” soal lelaki itu dengan riak tersinggung.
“Kau nak menculik kami ya? Toloooonggg!!!” pekik Herwin lagi. “Aloy! Al!” panggil Herwin tanpa mengalihkan pandangannya dari lelaki itu, risau akan diserang tiba-tiba.
“Eh, ingat aku tak ada kerja lain? Dasar kurang ajar.”
“Jangan merepek, Win. Kita bukan diculik,” ujar Aloysius tanpa menoleh. Nadanya tenang saja.
Jantung Herwin berdegup kencang, seakan mahu melompat keluar dari dadanya. “Jadi, kita sekarang dibawa ke mana? Kenapa aku diikat begini? Tak boleh bergerak, tau?” keluh Herwin takut-takut.
“Jangan merepek! Siapa yang ikat kau?” soal Aloysius lagi.
Herwin kemudian memeriksa kaki dan tangannya. Tidak terikat. Dia menoleh ke arah lelaki itu yang sedang memerhatikannya dengan muka masam. “Syaitan! Syaitan!” jeritnya lagi.
“Cakap elok-elok sikit…”
“Kita diculik syaitan!!” raung Herwin sambil menutup mukanya penuh dramatik.
“Hey! Aku tak menculik kau! Aku bukan syaitan!” tempik lelaki itu lagi.
Namun kata-kata itu tidak membuatkan Herwin tenang, sebaliknya dia semakin galak menjerit-jerit. Lelaki yang digelar syaitan tadi berdengus lalu kembali menoleh ke depan. Dia melirik ke arah Aloysius yang kelihatan selamba.
“Kawan kau tu belum makan ubat ke?” soalnya.
“Pedulikan dia. Nanti dia senyaplah,” sahut Aloysius tenang.
Lima minit kemudian, Herwin berhenti melaung-laung dan merepek-repek. Tiba-tiba dia rebah di kerusi, tubuhnya mengejang sebelum kemudian dia tertidur. Untuk beberapa ketika, keadaan di dalam van itu tenang. Aloysius meneruskan pemanduannya.

──♦──

Saat Herwin terjaga, van yang dipandu Aloysius tadi sedang berhenti di sebuah stesen minyak. Dia sendirian di dalam van. Bila menjenguk ke luar tingkap, dia melihat Aloysius dan lelaki aneh itu sama-sama keluar dari sebuah kedai kecil yang sudah licin isinya dikerjakan perompak.
Herwin membuka cermin tingkap. Ada tercetus di dalam kotak fikirannya untuk lari bersama van ini tetapi dia tidak boleh memandu dan tidak mungkin dia akan meninggalkan Aloysius dengan lelaki aneh itu yang mungkin sudah memukaunya.
“Hey!” jerit Herwin kuat, memanggil. Dia melambai-lambai mengajak pergi. Mungkin Aloysius bijak dan boleh melompat masuk ke dalam van dan terus memandu meninggalkan lelaki raksasa itu.
Namun Aloysius tetap santai. Tidak ada riak risau atau khuatir di wajahnya. Dia dan lelaki aneh itu terus memeriksa beberapa pam minyak yang nampaknya sudah tidak berfungsi. Kemudian mereka sama-sama menuju ke van dan masuk.
“Huh! Semua habis. Tak setitik pun yang tinggal,” keluh lelaki aneh itu. Dia tidak menoleh langsung ke belakang. “Macam mana sekarang? Minyak kita hampir habis.”
Herwin memerhatikan lelaki itu. Dia memakai seluar yoga yang ketat, mempertontonkan pahanya yang sebesar perut Herwin dan betisnya yang sebesar anak pokok pisang. Rambut ikal separas siku berwarna coklat terang itu pastilah rambut palsu. Dan sepasang kasut tumit tinggi yang nampaknya kelihatan seperti terlalu kecil untuknya nampak lusuh. Wajahnya dimekap tebal dan aneh, dengan bulu mata palsu seperti ulat bulu, gincu merah terang, pembayang mata warna hijau dan bedak putih dengan dua tompok merah di pipinya itulah yang membuat Herwin sampai menjerit-jerit ketakutan tadi.
Aloysius menghidupkan enjin van. “Mungkin nanti akan ada orang jual di tepi jalan,” ujarnya sebelum mula memandu.
“Hey! Heyyy!” tempik Herwin lagi.
“Apa?” lirik Aloysius.
“Kita nak ke mana? Kenapa syaitan ni masih ada dengan kita?”
Lelaki itu menoleh sebelum membeliak. “Kurang ajar. Aku dah tumpangkan kau, kau panggil aku syaitan?”
“Ratu syaitan marah-marah,” ujar Herwin yang sudah tidak setakut tadi. Sejak terbangun kali kedua dan dapat melihat wajah lelaki aneh itu lebih dekat, dia mendapat keberanian luar biasa. Setidaknya kalau lelaki itu mengamuk, akan ada Aloysius yang boleh membantunya sementara dia menarik rambut palsunya yang menjengkelkan itu. Semua pondan paling benci kalau rambutnya ditarik.
“Siapa yang syaitan?” tempik lelaki itu lagi.
“Kalau bukan syaitan, jadi apa? Pondan gila?”
“Siapa yang pondan? Aku ni showgirl! Performer!” bentaknya.
“Seram gila. Aku takut dimakan.”
Lelaki itu menjegil marah. “Kalau takut, turun di sini sekarang!”
Herwin terdiam seketika. “Tak nak. Aku tak mahu tinggalkan kawan aku sendirian. Nanti kau pukau dia.”
“Gila!” cemuh lelaki itu. “Siapa yang nak pukau kawan kau? Ingat aku tak ada kerja lain?”
“Kau nampak macam pondan gemuk yang jahat,” ujar Herwin perlahan.
Lelaki itu menoleh dengan mata terbeliak, ekspresi wajahnya menyeramkan. Seolah-olah asap keluar dari hidungnya dan rambutnya bertukar menjadi ratusan ekor ular. Herwin tertunduk ketakutan. “Mamaaaa….”
Tiada lagi kata-kata sepanjang perjalanan. Sunyi. Lelaki itu sudah kembali memandang ke hadapan. Herwin bersandar di kerusi sambil memandang ke luar. Entah ke mana arah tujuan mereka.
Angin berhembus melalui tingkap yang dibiar terbuka. Pendingin hawa sengaja dimatikan untuk menjimatkan minyak. Tiba-tiba Herwin menjengukkan kepalanya keluar tingkap sambil memicing-micingkan mata dan menjelirkan lidah.
“Hey! Kau buat apa?” bentak Aloysius dari depan.
“Aku jadi anjing,” ujar Herwin sebelum menyalak-nyalak. “Woof! Woof! Awoooo! Awooooo!”
“Dia ni memang dah gila!” cemuh lelaki aneh itu.
Setelah merasakan lidahnya kebas kerana diterpa angin dingin, Herwin kembali duduk dan mengecilkan bukaan tingkap agar tidak terlalu banyak angin yang masuk. Dia sendawa berkali-kali. “Kenyang makan angin. Boleh masuk angin,” gumamnya sendiri. Kemudian dia duduk diam. Menjadi anjing yang baik.
Mereka mula masuk ke lebuhraya. Melalui plaza tol yang tidak berorang. Semua palang besi terangkat jadi tiada halangan untuk mereka lalu.
Di jalanan, kadang-kadang terlihat satu dua kereta yang sedang memecut. Di pinggir jalan pula kelihatan kereta yang tersadai, cermin-cerminnya sudah dipecahkan. Mungkin kesan rompakan. Ada beberapa orang yang berdiri di tepi jalan sambil melambai-lambai. Mungkin berniat untuk menumpang. Tetapi lelaki aneh itu menghalang Aloysius daripada berhenti.
“Jangan pedulikan mereka! Jalan terus!”
“Tak nak ajak? Kesian tau,” getus Herwin.
“Biarkan saja. Entah-entah mereka orang jahat. Pura-pura meminta tumpang. Nanti bila dah masuk dalam kereta, mungkin mereka akan bunuh kita dan merampas bekalan makanan dan van ni. Jangan naif sangat. Dalam filem selalu terjadi macam ni,” sungut lelaki itu.
Mata Herwin bercahaya. “Ada makanan?”
“Bawah tempat duduk belakang kau. Ada biskut.”
Herwin menjenguk. Ada setin biskut yang belum dibuka. Dia mencapainya rakus.
“Jangan makan semua. Makan sikit-sikit,” tegur lelaki itu. Tetapi Herwin sudah mengunyah dua keping sekaligus.
“Sedapnya,” puji Herwin. Sekarang dia jauh lebih tenang dan mula lebih ramah pada raksasa yang rupa-rupanya baik hati itu. “Nama aku Herwin, boleh panggil Win. Aku asal dari koloni bulan.”
“Okay. Tadi kawan kau pun dah cerita pasal kau. Kau boleh panggil aku Lady Laser 2000 atau Lady Bazooka,” ujarnya dengan suara lembut yang dibuat-buat dan mata yang dikedipkan laju-laju.
“Apa tu?”
“Nama panggilan aku. Sebab selalu beraksi dengan senapang besar atau bunga api semasa pertunjukan. Jadi mereka beri aku nama gelaran tu.”
“Kenapa bukan Diplodocus?”
“Diplo…apa?”
“Diplodocus. Sejenis dinosaur. Badan besar tapi hatinya baik,” ujar Herwin sambil mengambil sekeping lagi biskut.
“Bagi tin biskut tu ke sini! Dasar kurang ajar. Dah diberi makan lepas tu mengejek-ejek orang.”
Herwin menyembunyikan tin biskut itu di belakang badannya. “Tak boleh. Barang yang dah diberi dengan orang tak boleh ambik balik. Nanti buruk siku. Tak takut buruk siku ke, Diplo? Nanti susah nak makan.”
Lelaki berbadan besar itu berpusing, cuba menggapai-gapai tubuh Herwin dengan geram. “Eh… ke sini kau! Nanti aku buat mulut kau jadi buruk!”
Herwin tertawa besar. Gembira kerana dapat mengenakan Lady Bazooka itu.
Sudah hampir sejam perjalanan mereka menyusuri lebuhraya. Beberapa kenderaan yang memotong membunyikan hon. Aloysius membalas dengan membunyikan hon sambil menjaga jarak antara van mereka dengan kereta-kereta lain. Memang tidak banyak kenderaan di jalan hari ini. Semalam pasti suasananya kecoh sekali.
Perlahan-lahan kelajuan van berkurangan. Van itu tersentak-sentak saat mereka keluar dari lebuhraya menuju ke jalan biasa. Kenderaan itu berhenti sepenuhnya, serentak menghentikan perbalahan antara Herwin dan Lady Bazooka. Mereka saling berpandangan sebelum menoleh ke arah Aloysius yang termangu di balik stereng.
“Minyak habis,” keluhnya.
Herwin menoleh ke arah Lady Bazooka. “Ni mesti kau yang minum minyak tu tadi kan, Diplo?”

──♦──

Mereka bertiga turun dari van dan memeriksa keadaan sekitar. Kehabisan minyak itu memang sudah dijangka tetapi mereka tidak jangka secepat ini dan sejauh ini dari tujuan mereka. Jalan memang sudah mula menanjak tetapi tidak bermakna mereka sudah hampir ke destinasi.
Mereka berdiri di tepi jalan. Sesekali Lady Bazooka berusaha menahan kenderaan yang lalu-lalang. Aloysius melirik tidak senang. Dia takut ada yang akan mengambil kesempatan ke atas mereka.
Melihat kerutan pada kening Aloysius, Lady Bazooka menjelaskan. “Mungkin ada yang ada minyak lebih, atau sudi tumpangkan kita,” jelasnya.
“Sebenarnya kita nak ke mana?” soal Herwin yang masih mengepit tin biskut di ketiaknya.
“Ke gunung. Aku perlu ke gunung,” sahut Lady Bazooka serius. “Oh… nak balik ke habitat asal ke?”
Nyaris saja kepala Herwin diketuk dengan penumbuk Lady Bazooka yang besar itu. Herwin lari agak jauh sambil ketawa terkekeh-kekeh. Lady Bazooka mahu mengejar tetapi teringat kasut tumit tinggi yang dipakainya, dia berhenti. Walaupun dia bukan di atas pentas, dia masih mahu menjaga keanggunannya sesuai dengan namanya, Lady.
Mereka terdiam sejenak. Lady Bazooka masih terjengukjenguk, menunggu kereta yang sudi berhenti.
“Tadi aku tertidur dua kali sebab diplodocus…”
“Kau diam!” bentak Lady Bazooka berang.
“Brrr… sejuknya,” ujar Herwin sambil memeluk erat tin biskut. “Kalau nak naik gunung, tak jauh lagi puncaknya,” ujarnya sambil memandang sekeliling. Sudah mula banyak pokok tinggi. “Kita boleh jalan kaki.”
“Ini bukan puncak gunungnya,” jelas Lady Bazooka. “Jauh lagi.”
“Kau mahu ke puncak mana? Sama saja gunung, kan?”
“Ini bukan puncak gunung. Kau kenal puncak gunung atau tidak?” sindir Lady Bazooka.
“Tahuuuuu… puncak. Di gunung. Kau nak buat apa atas gunung? Terjun bebas?”
“Banyak tanya pulak. Kenapa nak sibuk-sibuk urusan orang?”
“Huh!” keluh Herwin. “Tanya pun tak boleh. Ye lah, kita tahan kereta lain. Kalau perlu, kita berhenti di depannya. Pasang badan,” usulnya lagi.
Lady Bazooka tersengih. Dia melembutkan suaranya, tangannya dihayun-hayun meniru gaya perempuan. Bahu Herwin ditepuk. “La, takkan nak tinggalkan van ni? Nanti balik kampung abang nak naik apa?”
“Ish… seram…” ujar Herwin sambil menggigil.
Dia menoleh ke arah Aloysius yang diam sahaja dari tadi. Lelaki itu menggosok-gosok kedua-dua telapak tangannya sambil menghembus-hembus udara hangat dari mulut. Kedinginan. Mengingat kata Lady Bazooka tadi membuat hati Herwin tersentuh.
“Kampung tu apa? Aku tak ada kampung. Tak perlu berlagak bijak,” ujar Herwin agak kasar.
Lady Bazooka mencebik. “Tadi kawan kau kata kamu berdua perlu van ni untuk balik kampung. Jumpa orang tua, saudara-mara. Tapi ini van aku dan aku perlu pergi ke puncak gunung. Ada urusan penting. Lepas tu aku takkan perlukan van itu lagi. Jadi tadi perjanjian kami, kawan kau akan hantar aku ke gunung kemudian kamu berdua boleh bawak van ni pergi ke mana saja yang kamu suka. Faham?”
“Okay…” jawab Herwin acuh tak acuh. “Kau rasa minyak ni boleh diganti dengan air kencing tak? Dari tadi aku tahan kencing.”
“Gila!” bentak Lady Bazooka lagi. Dia menoleh ke arah Aloysius. “Kawan kau ni bodoh ke apa?”
“Sebaik-baiknya kita cari orang yang jual minyak dulu,” putus Aloysius.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96086/sunyi