[SNEAK PEEK] SENGAL PUNYA MAMAT

9789678606998-medium

SENGAL PUNYA MAMAT! Oleh Ummu Wafa

SEPATUTNYA pagi ini Siti Ajira sudah sampai di Kota Bharu dengan menaiki bas dua tingkat Sani Express yang dijadualkan bertolak malam tadi. Namun semuanya tergendala disebabkan panggilan penuh misteri dari Mat lewat petang semalam. Zarina yang asalnya excited dapat balik bersama-sama terpaksa meneruskan perjalanannya sorang diri angkara panggilan tersebut. Berbuih mulutnya memarahi Siti Ajira.
“Apalah, cakap tak serupa bikin,” rungut Zarina, tatkala dia menghantar temannya itu di Hentian Putra.
“Sorrylah sis, janganlah kau nak marah sangat. Bukannya aku sengaja pun. Ini semua Mat punya pasal.”
“Yang kau percaya sangat dengan Mat Spanar tiga suku tu kenapa? Entah ya entah tidak dengan apa yang dikatakannya.” Berbelah bagi hati Siti Ajira bila Zarina cuba mempersoalkan apa yang diusulkan oleh Mat. Pada masa yang sama rasa bersalah terus bermain di benaknya kerana membiarkan kawannya itu balik sorang diri.
“Tapi, aku dengar bual dia tu macam serius aje. Penting benar bunyinya. Takkan aku tak nak percaya. Lagipun ianya melibatkan tanah pusaka aku. Sorrylah kerana terpaksa dan tak jadi balik sama. Last minute pulak tu. Maaf ya!” pinta Siti Ajira dengan penuh rasa bersalah.
“Habis, janji kata nak jumpa mak kau tu macam mana?”
“Tak jadilah nampaknya. Mungkin lain kalilah aku balik.”
“Hmm… ikut kaulah Jira, aku nak komen lebih-lebih pun aku tak reti. Aku harap Mat bersikap jujur. Tak apalah kalau macam tu. Aku naik bas dulu. Pesan aku, kau jangan nakal-nakal bila jumpa Mat pagi esok,” gurau Zarina sambil menjejaki tangga bas. Siti Ajira hanya menyengih.

BILA mana bas ke pantai timur itu mula bergerak, lamunannya terhenti dan dia kembali ke alam nyata, iaitu menunggu Mat yang entah bila akan tibanya.
Tidak lama kemudian, kedengaran deruan bunyi enjin kereta berhenti di hadapan rumahnya. Siti Ajira menjenguk ke luar jendela dan kereta Audi kuning sudah pun berada di sana. Cantik, bergaya, dan penuh keunggulan. Terbeliak biji mata Siti Ajira melihatnya. Kalaulah Zarina ada ketika ini, pasti gadis itu akan menjerit dek keterujaannya. Siti Ajira membuka pintu dan melolos keluar, kemudian mengunci semula pintu rumahnya, lantas menghampiri kereta tersebut.
“Hai Mat! Cantik kereta kau,” sapa Siti Ajira tatkala dia menghampiri kereta Farhan.
“Alah… bukan kereta aku,” jawab Farhan menyengih.
“Habis tu kereta siapa, kereta Azli?” tanya Siti Ajira.
“Kereta bank. Selagi tak habis bayar, kira bank punyalah. Cuba kalau lambat dua tiga bulan, adalah orang datang tarik. Betul tak?” Ketawa Farhan dengan jenakanya sendiri.
“Huh! Loyar buruk tak habis-habis!”
“Masuklah,” suruh Farhan. Siti Ajira meluru ke pintu belakang dan membukanya.
“Amboi… kau ingat aku ni drebar kau ke datin?”
“Habis, aku nak duduk mana… dalam bonet, atas bumbung?” tanya Siti Ajira geram.
“Duduk depanlah datin oii! Lagi mau tanya. Dah, cepat masuk!” arah Farhan.
“Kau tak rasa weird atau rasa pelik ke?” tanya Siti Ajira sebaik saja dia melabuhkan punggungnya di seat hadapan.
“Weird pelik apanya?”
“Aku dan kau. Takkan tak perasan, macam beauty and the beast, cuma terbalik aje bro!”
“Hisy, kau ni dah mula nak merepek,” tegur Farhan.
“Apa pulak merepeknya. Aku seganlah nak jalan dengan kau. Kau ni pun satu, tak boleh ke sembang kat kawasan ni aje, depan tu ke?”
“Tak boleh, mana boleh. Aku kena pilih tempat yang sesuai. Tempat yang tenang dan tempat yang lapang untuk berbincang dengan kau ni,” jawab Farhan dengan senyuman.
“Kenapa spesifik benar lokasi yang nak dicari?”
“Sebab hangin kau tu bukannya boleh dibuat kira. Silap haribulan boleh jadi puting beliung kalau tak kena cara.” Ketawa Farhan bila melihat Siti Ajira sudah pantas menjeling.
“Dah tu, ke mana kau nak bawak aku ni?” tanya Siti Ajira.
“Putrajaya. Kau pernah sampai sana tak?”
“Belum lagi.”
“Ha… elok sangatlah tu,” kata Farhan.
Audi kuning Sportsnya mendesup laju menuju ke destinasi yang hendak dituju, dan Siti Ajira tersandar di dalamnya bersama pelbagai persoalan.
Lajunya kereta Mat, dengar lagu pun belum puas, dah pun sampai. Bestnya Putrajaya…
Di Putra Klasik Cafe keduanya mula mengambil tempat. Duduk menghadap tasik yang indah lagi permai. Saat menu yang dipinta sampai di meja mereka, tiba-tiba Siti Ajira rasa hilang selera, fikirannya bekerja keras mencari solusi di sebalik perbuatan dan tindak-tanduk Mat.
“Hik… hik… hik…” Tak semena-mena, tak ada lawak tak ada apa, tiba-tiba Siti Ajira mengekek sambil menekup mulut. Farhan terkesima.
“Apa hal kau ketawa?” Pelik pulak Farhan menengoknya.
“Kau tak perasan ke, orang keliling sedang melihat kita? Aku dah cakap dah, kau tak percaya.”

“Ah, peduli apa? Pedulikan… yang pentingnya kita lepak, kita enjoy makanan kita, dan kita enjoy view yang cantik tu. Cuba la rasa, sedap ni,” jawab Farhan yang tak kisah, buat muka selamba aje dengan mamat dan minah urban yang berada di sekeliling mereka.
“Kau ni, bila nak beritahu aku pasal benda mustahak yang kau nak bincang dengan aku tu?” tanya Siti Ajira tak sabar. Mat relaks aje, sambil makan dengan penuh selera.
“Bawak bertenang sikit Siti. Kau kasi habis makanan kau tu dulu. Kalau aku beritahu kau sekarang pun, buat susah berdiskusi aje kata orang. Cekik apah pun tak dapat. Hospital jugak pergi.” Farhan meneruskan makannya sambil tersengih-sengih. Lepas tu dia ketawa. Manakala Siti Ajira menguis-nguis dengan garfu makanan dalam pinggan besar yang berada di hadapannya. Fikirannya terus berputar, apalah yang si Mat ni sedang sembunyikan daripadanya?

****

SELEPAS selesai dessert, latte dan akhirnya settle bil yang reasonable, Farhan mengajak Siti Ajira lepak-lepak di tepi tasik. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk dia membongkar segala cerita dan rahsianya. Farhan menarik nafas panjang dan dalam, kemudian dihembusnya perlahan-lahan.
“Siti, sebenarnya aku ada masalah. Aku nak mintak tolong kau.”
“Ha… ha… ha… aku, nak tolong kau? Apa sangatlah yang aku boleh buat? Alahai… gelinya hati aku.” Lama Siti Ajira ketawa, rasa lawak sungguh.
“Tolong jadi isteri aku,” kata Farhan lagi.
Mulut Siti Ajira yang riuh dengan gelak ketawa tadi terkunci dengan sendirinya. Tapi matanya membulat, terkejut dengan permintaan gila dari Farhan.
“Kau jangan nak buat lawak dekat sini ya. Karang aku tolak masuk tasik baru padan muka kau,” marah Siti Ajira yang merasakan permintaan tersebut adalah sendaan yang tidak berhati perut dari kawannya.
“Kau dengarlah dulu cakap aku. Aku baru aje nak start. Cepat benar kau nak sentapnya. Karang aku panggil kau Cik Bambam Sentap baru kau tau. Nak? Hari tu sedap aje kau cucuh nama aku, Mat Spanar Sentap. Sendiri punya sentap tak rasa.” Sedap melabel orang? Farhan ketawa.
“Hah, cubalah panggil kalau kau berani!” cabar Siti Ajira.
“Hisy, kau ni brutal betul, macam mana nak jadi bini aku ni,” usik Farhan lagi. Seronok sangat dia buat Siti Ajira marah.
“Eh Mat! Kau jangan duk sembang macam orang mabuk jus ketum. Kau cakap sekarang, apa yang membuatkan kau beria-ria sangat heret aku sampai ke sini.” Hangin betul Siti Ajira pada Farhan yang asyik nak main-main cakap. Dan-dan itu jugak dia bangun dari tempat duduknya.
“Okey-okey aku cerita, tapi kau kena duduk semula elok-elok,” suruh Farhan.
“Eh, kau ingat bila aku berdiri, telinga aku jadi pekak?”
“Tak adalah pulak, tapi duduklah dulu, barulah nampak sopan sikit bersembang.
Hmm… kau ni degil betul ya.” Ketawa Farhan dengan jawapan temannya yang terlampau tepu dengan angin kus-kusnya, sebab itulah kembang semacam.
“Apa kena-mengena degil aku dengan masalah yang kau nak cerita ni?”
“Kau ni banyak tanyalah. Cubalah dengar cakap orang sekejap.” Tinggi pula jadinya intonasi suara Farhan yang sudah geram dengan Cik Bambam yang banyak songeh ini.
“Yalah… aku dengarlah ni.” Siti Ajira memilih untuk duduk semula dan kemudiannya menjeling marah ke arah Farhan.
“Aku ada masalah besar ni, sampai aku tak tau nak mintak tolong siapa.” Farhan membuka cerita.
“Apa masalah kau?” tanya Siti Ajira yang mula kendur suaranya.
“Mama aku paksa aku kahwin. Sedangkan aku sendiri tak bersedia nak berumah tangga. Tak minat. Aku pun tak suka perempuan.”
“Kenapa yang kau tak suka perempuan?”
“Entahlah! Aku rimas, lemas dan menyampah.”
“Hai, peliknya. Kau ni lelaki jenis sempurna ataupun tidak ni?” tanya Siti Ajira mengusik.
“Tolong sikit ya, jangan sedap mulut aje nak ajukan pertanyaan macam tu,” marah Farhan. Siti Ajira ketawa. Puas hati dia bila dapat kenakan Mat Spanar yang banyak hal ni.
“Dah tu, apa pulak kaitannya aku dalam kisah hidup kau ni?”
“Lagi mahu tanya. Aku nak kau kahwin dengan akulah, supaya mama aku tak kahwinkan aku dengan Sarah,” beritahu Farhan dengan riak muka yang bersungguh.
“Ha… ha… ha… kau ni ‘pomen’ kereta ke atau contestant Maharaja Lawak Mega ke apa? Adoyaii, gelinya buah pinggang aku.” Kuat Siti Ajira ketawa, sampai meleleh air matanya.
“Apa yang lucu sangat?” marah Farhan bila rasa dipersenda.
“Kau tulah yang lucunya. Tengokkan rupa, masya-ALLAH… handsome habis! Nampak tip-top, fit, badan sasa dan siap six-packed lagi. Gaya ‘abam sado’ gitu. Wow! Dah tu kereta sport, fast car kata orang, berdesup perginya, tapi dalam hati ada taman. Wakaka… sedihnya aku.” Ketawa Siti Ajira bersambung lagi.
“Eh, diamlah Bambam. Tak payah nak mengata. Sedap aje nak mengata orang. Lebih baik kau dengar dulu rancangan aku ni,” kata Farhan yang panas hati bila dah kena kutuk kaw-kaw.
“Aik… ini dah lebih. Sekali lagi kau panggil aku macam tu, siap kau!” giliran Siti Ajira pula yang bengang. Farhan menyeringai bila Siti Ajira menjeling. Padan muka kau!
“Setuju tak kau tolong aku?”
“Tolong apanya?” Kali ini hati Siti Ajira jadi berdebar. Takkanlah si Mat ni betul-betul serius dengan merepeknya.
“Tolong jadi isteri aku?” pinta Farhan sekali lagi. Sungguh-sungguh, terpancar kesungguhannya.
“Kenapa aku? Kenapa tak cari aje orang lain?” Tergagap-gagap Siti Ajira bertanya. Dah naik seram pulak dia. Bukan ‘keroje’ main-main ni nak kena kahwin.
“Sebab, tak ada orang lain yang boleh aku percaya. Aku juga dengar cerita kau ni suka tolong orang. Lagi satu sebab yang kuat kerana nenek aku yang suruh!”

“Huh! Nenek kau suruh? Biar betik! Hisy tak percayalah. Kau jangan nak membohong. Kau ingat aku nak percaya?” tolak Siti Ajira.
“Nenek aku kata, kalau aku ‘berjaya’ kahwin dengan kau, dia akan bagi aku cash RM100 ribu.” Senyum lebar Farhan bila dapat mencelarukan kepala otak Siti Ajira.
“Bila masa pulak nenek kau kenal dengan aku.”
“Kat mana kau ‘beranak’? Tak masuk akal langsung,” kata Siti Ajira.
“Hmm… takkanlah kau tak kenal dengan Nek Jah. Perempuan tua yang selalu kau tolong dulu. Ingat tak peristiwa yang boleh meragut nyawa dan cucu lelakinya yang kau raduk-raduk dengan penyapu sawang yang panjang berdepa dulu tu. Cuba recalled, takkan cepat benor lupusnya memori kau? Itulah suka sangat makan kepala ikan. Kismis jarang makan. Air ada semut suka sangat telan.” Giliran Farhan pula ketawa apabila melihat Siti Ajira yang sudah terkejut macam anak gajah hilang emak. Terlopong seminit dua dia seketika.
“Kau… kau… kau… cu… cu… cucu Nek Jah?”
Hah? Gagap terus lady gugup. Padan muka banyak sangat bual.
“Iya… aku cucu Nek Jah. Dia suruh aku kahwin dengan kau kalau aku nakkan offer RM100 ribu tu. Kalau jadi, insya-ALLAH separuh dari duit tu nanti akan aku pinjamkan kat kau, bagi menyelesaikan masalah tanah kau tu. Amacam, setuju?”
“Agrhhh… pening kepala aku. Biar aku bertenang sekejap. Kau ni betul-betul buat aku terkejut. Nak tercabut nyawa aku dibuatnya, tau!” Siti Ajira mula duduk bersila di atas rumput sambil mengurut-ngurut dada.
“Kenapa, tak sangka ya?” usik Farhan lagi.
“Kau memang sengaja nak kenakan aku ya?” soal Siti Ajira sambil menatap wajah temannya.
“Bukan sengaja, tapi ada sikit tipu. Tipu sunat, hukum-hakam Melayu jangan dilupa,” lawak Farhan.
“Maknanya, kau dari dulu lagi dah kenal akulah ya?”
“Yup, dari hari pertama aku repair pikap kau tu lagi.”
“Jadi, kau sengaja nak main-mainkan akulah ya?” marah Siti Ajira.
“Habis, yang kau tak kenal aku tu kenapa? Kau pun pernah jumpa aku, kan! Siap berpedang lagi. Bukannya aku pakai topeng. Kenapa buat tak ingat?” Sengaja Farhan menguatkan suaranya.
“Yang kau marah aku kenapa? Ikut suka akulah!
Aku ni sejak azali memang susah nak cam orang. Kalau sekali tengok, memang takkan cam punya. Aku ni kira okey jugaklah. Kalau member aku kat sekolah dulu tu, jumpa dia kat KB, sepuluh kali aku lalu-lalang depan muka dia pun dia tak kenal. Dalam kes ni, aku rasa kau tu yang salah, buat-buat tak kenal aku pulak apa hal?” marah Siti Ajira balik.
“Dahlah! Kalau asyik duk tuduh-menuduh bila nak selesai masalah.”
“Itu masalah kau, bukan masalah aku.”
“Ho… ho… ho… sedap ‘kecek’ nampak.
Habis, kau dah ada duit ke nak settlekan hutang bank kau tu? Atau tanah pusaka kesayangan kau tu biarkan aje kena lelong. Atau bagi free aje pada pak ngah kau tu?” gertak Farhan. Siti Ajira terdiam dan lama dia termenung, lima minit ada. Fikirannya bercelaru dan bercampur baur dengan kejutan yang baru dia terima.
“Siti, mula-mula aku nak mintak maaf banyak-banyak dengan kau sebab merahsiakan banyak benda dari kau. Serius… bukan niat aku nak menipu. Tapi sekadar nak melihat sejauh mana kejujuran dan keikhlasan kau sepertimana yang digembar-gemburkan. Sama tak diri kau yang sebenar seperti yang dicanangkan oleh nenek aku itu. Nenek selalu puji kau melangit sampai aku pun naik dengki dibuatnya. Apa pun hingga setakat ni sebenarnya kau telah lulus ujian aku.”
“Cakap, apa benda lagi yang kau dah tipu aku?”
“Sebenarnya kedai spare parts, aksesori dan bengkel tu aku yang punya. Azli hanyalah pekerja aku, bukannya bos seperti yang kau sangka. Saja aku berpakat dengan dia orang supaya tak beritahu kau,” cerita Farhan sejujurnya, dan dia tekad untuk tidak berahsia lagi.
“Oh, sampai hati kau Mat. Aku ikhlas berkawan dengan kau atau dengan sesiapa saja. Hina sangat ke aku ni, sampai aku diberi ujian yang sebegitu rupa?” kata Siti Ajira dengan suara yang lirih. Matanya mula bergenang, bila-bila masa saja airnya akan tumpah.
“Maafkan aku sekali lagi. Aku tak bermaksud begitu. Kau jangan salah faham.” Farhan mula rasa bersalah. Hati kawannya telah pun tergores.
“Betul juga prinsip yang aku pegang selama ini. Bahawa, kaum lelaki sememangnya tidak boleh dipercayai. Aku tengokkan gaya, aku ingat kau ni lain dari yang lain. Rupanya, kau sama saja seperti lelaki lain yang telah aku cop, cuma versinya aje berbeza. Aku rasa terhina sangat,” bancuh Siti Ajira yang telah pun terluka.
“Siti aku mintak maaf, tak ada niat pun aku nak menghina kau, percayalah!”
“Okeylah Mat. Sudahlah tu! Aku nak balik sekarang. Kalau kau tak nak hantar pun tak apa, aku cari bas.” Siti Ajira bangkit dan terus melangkah.
“Okey, okey, jom! Jom kita balik. Tapi, macam mana permintaan aku tu.” Gusar hati Farhan.
“Entah, aku pun tak tau. Kau tunggu ajelah qadak dan qadar ALLAH.”
“Siti please…” rayu Farhan.
“Balik!” Tegas Siti Ajira yang menonong pergi. Nak tak nak terpaksa Farhan mengikut langkah kawannya yang sudah tidak mahu bertoleransi lagi.
‘Badan besar, hati kecik. Cepat benor nak sentapnya,’ kutuk Farhan dalam hati.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79971/sengal-punya-mamat