[SNEAK PEEK] SEMANIS CINTA RED VELVET

Semanis Cinta Red Velvet oleh Aja

INI merupakan kali pertama mereka keluar makan tengah hari bersama-sama. Kekok bertindan dengan seram sudah kira boleh jadi perencah sup yang dia telan sekarang ini. Tidak lalu pula hendak makan apabila menghadap muka lelaki itu.

“Makan ajelah kalau tak biasa lunch dengan saya pun.”

Macam tahu-tahu saja apa yang dia rasa apabila Yoyo cakap begitu. Lelaki itu dilihatnya tenang menelan makanan.

“Saya rasa semua orang tengok kita. Eii…” Bulu roma Ofa meremang.

Yoyo mengangkat pandangannya ke arah manusia yang berada di sekeliling mereka. Tiada seorang manusia pun yang tengah tengok dia orang. Perasaan Ofa saja sebenarnya. “Makan aje. First time lunch sekali, memang rasa pelik.” Dia tahu apa yang sedang dia cakapkan sekarang sebab dia pun rasa macam tidak boleh telan sup. Pelik gila!

“Dia orang tak pernah tengok laki bini first time lunch ke?” Ofa sudah mula menyoal diri sendiri.

“Mana ada orang tengok. Makan ajelah.”

Ofa menjongket kedua-dua belah bahunya. Ala… makan dengan Yoyo saja pun. Bukannya makan dengan Tan Sri sampai kena rasa segan macam ini. Sudu yang terdampar di sebelah mangkuk diambil laju sambil mencebik bibir.

“Cantik design kedai ni. Beribu-ribu jugak habis kalau nak boleh sampai ke tahap ni.” Ini sajalah kerja yang dia selalu buat kalau mata itu sudah boleh tengok dunia luar. Cari inspirasi terbarulah katakan.

“Cantik rumah kita lagi.”

Ofa mencebik sambil menghirup sup. “Designer tak payah kena bayar. Mestilah cantik.” Dia tunjuk diri sendiri. “Tapi saya rasa macam nak renovate sikit kat ruang tamu tu. Moden sangatlah. Kita ni dahlah tinggal berdua. Tambah GRO seekor, kiranya tinggal bertigalah. Awak tak rasa macam luas sangat ke?”

Yoyo hanya bagi respons angkat kening sahaja.

“Nanti-nantilah saya fikir.” IPhone yang baru sahaja masuk mesej dibuka perlahan. Mahu tergelak dibuatnya apabila membaca mesej mama. “Mama awak ni merapu mendalah, Yoyo? Hari-hari asyik merapu dengan saya.” Jari-jemarinya laju menaip mesej untuk dibalas kembali.

Satu-satunya anak lelaki Puan Sri Zulaikha tercengang-cengang di situ. “Sejak bila pula bermesej dengan mama?”

“Lapan bulan dah kut. Sejak bila tu agak-agak?”

Tidak tahu kenapa, soalan Ofa tadi mampu buat Yoyo berfikir seketika. “You mean, sejak kita kahwin?”

“Dah tu? Takkan sejak sebelum kita kahwin lagi saya boleh mesej mama awak pulak? Logik la, der. Awak ingat selama ni, kita boleh duduk asing-asing dengan dia orang sebab apa?”

“Mean?” Yoyo masih lagi tidak faham.

“Dia orang follow kita punya trail la.” Mesej mama dibalas sekali lagi. Tidak tahu kenapa, mak mentua dia sekarang semakin menjadi-jadi perangainya. “Awak tengok ni dia balas apa.” Skrin iPhone disuakan ke arah Yoyo.

– mama xthu apa mslh dia. Knp xusung hospital?

“Siapa kena pergi hospital?”

“Awaklah. Saya cakap awak selalu kat pejabat. Mama suruh saya test awak. Mana tahu soul awak dah terbang mana-mana yang tak dapat dikesan ke. Ke awak nak jumpa bomoh terus?”

Yoyo tidak mahu ketawa. Dia tidak berapa setuju kalau orang lain mempertikai cara dia bekerja. “Selalu ke awak mesej mama?”

“Wajib dah benda tu. Kenapa? Takut saya report awak selalu tak balik rumah ke?”

Diam.

“Tak payah risaulah. Saya ingat kontrak kita. Benda tu selalu dalam kepala saya tau. Jangan awak berani-berani nak pandang rendah kat saya.” Penuh bangga Ofa memberitahu. Lebihan nasi yang ada ditolak perlahan sambil menggeleng perlahan. “Tak habislah. Kenyang sangat.”

Yoyo masih lagi tidak mengeluarkan apa-apa suara. Pelik dia dengan Ofa. Kalau hendak diikutkan secara logik akal, anak kandung mama dan papa kan dia? Sudah itu, kenapa Ofa boleh pula rapat dengan dia orang? Dengan dia, Ofa tidak mahu rapat pun. Sesiapa saja yang ada kat sini boleh nampak betapa tidak adilnya Ofa. Papa itu bukan orang lelaki juga ke?

Satu lagi yang buat dia tidak puas hati ialah kenapa mulut Ofa asyik-asyik sebut pasal kontrak saja? Sikit-sikit, kontrak. Senyum-senyum sikit, kontrak. Bergaduh sikit pun kontrak juga. Apa yang perempuan ini mahukan sebenarnya?

“Fikir pasal kerjalah tu.” Ofa menebak sambil mencebik bibir. “Memang businessman sejati betul. I’m marrying a machine, y’know? A machine. Not human.”

“Kalau tak tahu apa-apa, jangan cakaplah.”

Ofa mencebik lagi. Jus kiwi yang berada di dalam gelas diputar-putarnya menggunakan straw. “Kepala awak senang tekalah. Tak payah nak berahsia sangat. Ke awak tengah mengutuk saya tadi?”

Diam.

“Tak kut ya? Tapi, boleh aje awak nak kutuk. Saya tak masukkan dalam kontrak pun pasal benda kutuk-mengutuk saya ni.”

Yoyo sudah naik fed-up. “Habiskan makanan tu.”

“Tak habis, orang cakap.” Sebenarnya tadi, dia sudah makan mi hailam sebelum datang ke sini.

“Tak sayang ke membazir?”

“Eh, helo… ‘berhenti sebelum kenyang’. Remember?”

Lelaki itu mengeluh dalam diam. “Marilah saya makan.” Bekas isteri saja pun. Bukan orang lain.

“Tak payah nak romantik-romantik sangat nak makan saya punya. Awak lapar, order lagi.”

“Dah tu, awak sukalah membazir?”

Dahi Ofa mula berkerut hebat. “What’s wrong with you nowadays?” Kenapa dia tengok Yoyo macam sudah aktif bercakap dengannya?

“What’s wrong with me, what?”

Oga menggeleng perlahan bersama-sama rasa cuak setaman. Dia tidak selesa melihat perubahan Yoyo begini. Betul ni kau orang, lelaki itu mulutnya sudah pandai menjawab. Hari itu keadaan mereka bukan macam ini, tau.

Sehari usia perkahwinan…

Cuak tahap hendak mati rasanya apabila dia dengar derapan kaki yang menghampiri pintu bilik yang diduduki sekarang. Ah, sudah! Apa yang perlu dia buat sekarang? Ofa segera bangun dengan penuh susah-payah supaya dia dapat menyambut kedatangan Amirul buat kali pertamanya ke dalam bilik mereka berdua.

Hisy, aku pelangkung jugak manusia yang reka baju ini kang! Emak bapak tauke labuci ke apa sampai kau letak satu tan labuci kat baju aku? Ke kau ada berdendam apa-apa dengan aku sebelum ini? Musykil betul!

Imej Yoyo yang segak berbaju Melayu putih gading segera menerjah masuk ke dalam retina Ofa sebaik sahaja lelaki itu membuka pintu bilik itu. Jantung si gadis semakin terasa degupnya. Teragak-agak dia mendekati Yoyo.

Yoyo menanggalkan songkok, lantas meletakkannya di atas meja kopi. Dia sedar Ofa kelihatan takut-takut dengan kemunculannya di situ, segera dia mengangkat tangan kanannya agar Ofa dapat merilekskan diri sendiri.

“Tak apa. Buat kerja sendiri aje.” Setelah itu, memang Yoyo betul-betul buat kerja dia sendiri pun! Bermula daripada pukul 10.30 malam sehinggalah ke pukul 4.00 pagi.

Ofa masih lagi berdebar-debar menunggu segala tindak-tanduk lelaki itu. Namun, apa yang dia dapat malam itu hanyalah menonton persembahan percuma orang tengah ralit menghadap kerja sahaja. Langsung tidak thrill.

Penat menunggu lagi, akhirnya, dia memutuskan untuk masuk ke bilik air. Mandi lagi bagus. Apabila melihat lelaki itu begitu fokus memeriksa sesuatu pada skrin Notebooknya, Ofa teragak-agak seketika untuk bersuara. “Nak tuala?”

Yoyo masih lagi beku menghadap kerjanya.

“Awak, saya nak tuala.”

Lelaki itu sedikit tersentak. “Hah? Oh, tuala?” Yoyo mengerling sekilas ke arah jam yang tercongok di atas meja. Pukul 4.30 pagi baru nak mandi? Biar betul minah gasar ini. “Selongkar wardrobe tu. Kalau tak pun, panggil Kak Nor tolong carikan.”

Ofa diam menerima arahan. Pagi-pagi hendak dekat Subuh ini mahu kejutkan Kak Nor? Hisy, memang taklah, kan? Jadi, dengan segala terkial-kial dan bersusah-payahnya, Ofa memanjat wardrobe itu. Akhirnya, dapat jugaklah tuala kat dalam tangan dia.

Usai mandi dan bersiap-siap, dia keluar semula ke tempat yang sama. Lelaki itu dilihatnya masih lagi statik. Wow! Memang patutlah dia bersungguh-sungguh ajak aku kahwin hari itu pun. Hutang dengan emak bapak sudah lepas, sekarang tinggal nak pulun hobi peribadi dia pulaklah.

TER – BA – IK!

Jadi, setelah penat dia bercerita tadi, kau orang boleh faham betapa peliknya Ofa rasa sekarang apabila tengok Yoyo? Yoyo yang sekarang jauh lebih menyeramkan daripada Yoyo yang dahulu. Menakutkan pun ada juga sikit-sikit. Agak-agak malam ini, dia kena tidur bilik asing-asing ke macam mana? Manalah tahu kut-kut dia betul-betul masuk hantu ke, kan? Aku ni dahlah jenis yang lemah semangat.

Hurm… kita tengok dululah kut? Lagipun, mungkin Yoyo banyak bercakap dengan dia tadi sebab Samsung S3 lelaki tu langsung tidak berbunyi apa-apa sejak mereka berada di dalam kereta lagi. Pelik! Selalunya benda tu masya-Allah, berbunyi tidak reti-reti berhenti!

Mungkin Nita cuti kut ya? Kalaulah betul Nita ambil cuti kecemasan, takkanlah Yoyo hendak bercakap dengan hantu pulak, kan? Nanti tak pasal-pasal dia lari 40 batu ke Antartika. Fikir positif, Ofa. Fikir positif.

“Apa?” soal Ofa lagi apabila Yoyo dilihatnya sedang termenung jauh. “Sorry la tanya masalah peribadi awak, tapi awak ada masalah ke?”

Diam.

“Ke awak ada berkenan dengan anak Tan Sri mana? Tapi, tak tahu nak campak saya kat mana.” Otak dia memang nombor satu kalau masuk bab-bab fikir jauh ni.

“Mana ada.” Yoyo menjawab malas.

“Dah tu, ada masalah dengan colleagues?”

Diam sambil kali ini menjeling tajam. “Nak tahu masalah peribadi saya, buat apa? Awak kira dah langgar kontrak ni.”

“Pehh! Macamlah saya nak tahu sangat. Hei, saya tengok awak lain macam aje baru saya tanya. Ingatkan dah tak ingat pasal kontrak dah. Kalau awal-awal cakap macam ni kan tak apa. Mati-mati saya ingat nak pindah bilik malam ni. Seram.”

Yoyo sedikit terpaku dengan kata-kata itu. Kenapa nak pindah bilik? Hati dia mula berasa tidak sedap. “Bilik kat rumah tu berlambak lagi tak guna. Pindahlah kalau nak pindah. Apa saya peduli?”

Ofa tersengih selamat. “Kira selamat lagilah ni saya sebilik dengan awak?” Dia bukan mengadang-ada sangat nak tidur sebilik, sekatil dengan Yoyo. Tapi, susah nak mengaku yang dia takut sebenarnya nak tidur seorang diri. Kalau hilang apa-apa barang nanti, siapa yang nak jadi saksi dia nanti? Ahh… daripada tak boleh tidur terus, lebih baiklah dia tidur kat sebelah Yoyo. Lagipun, Yoyo bukannya ada nafsu dengan dia. Sikit pun tak ada. Sakit hati aje…

“Nak pindah, ikut suka. Tak nak pindah, duduk aje kat situ. Bukannya saya hingin pun.”

“Amboi, mulut… body saya hot kalah Christina Aguilera awak tak hingin?” Dia sudah tersedak sebab ketawa tiba-tiba. Gay ke laki aku? Hahahaha…

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/269185/semanis-cinta-red-velvet