[SNEAK PEEK] Sejuta Nafas Cintamu

Sejuta Nafas Cintamu oleh Kay Delaila

SETELAH penat mengulang kaji hingga ke subuh, Aufa menarik selimut. Dia ingin qada tidur hingga ke petang. Ada dan tiada dia di rumah pun, tiada siapa ambil peduli. Jadi biarlah ini menjadi rutin hidupnya kini. Bergelumang dengan buku untuk memperkemaskan diri menghadapi peperiksaan akhir tahun.
“Aufa Alia!!!” jerit Rais menggegarkan kesunyian rumah.
Album yang tadinya terletak kemas di dalam kotak berbalut reben indah itu kini sudah dicampak ke lantai. Sakit dan pijau urat saraf Rais ketika melihat kepingan gambar lucah Aufa bertaburan di lantai. Tangisan halus Dalilah yang turut sama melihat gambar itu buatkan rasa marah lagi membuak dalam diri Rais. Anak celaka!
“Kenapa ni, papa?” soal Azman yang berlari anak masuk ke dalam bilik bacaan Rais. Diikuti oleh dua lagi adiknya Adra dan Aida yang terpinga-pinga.
“Man. Kau tengok apa adik kau dah buat? Papa dan mama sibuk cari duit untuk membesarkan dia, dia pulak mengongkek liar di luar sana. Dah macam pelacur!” marah Rais.
Azman membongkok mengutip satu per satu gambar Aufa yang berselerakan di lantai. Adra dan Aida pun sama membongkok dan mengutip baki gambar. Terbeliak mata mereka. Mereka saling berpandangan.
Dada Azman mulai berombak marah apabila sekeping lepas sekeping gambar ditatapnya. Ini ke adiknya yang naif? Ini ke adiknya yang bijak? Ini ke adiknya? Arghhhhhh… Betina sundal! Marah hati Azman. Terus dia berlari naik ke tingkat atas. Bilik tidur Aufa menjadi sasarannya.
Pintu bilik Aufa ditendangnya hingga terbuka pintu. Terkejut Aufa yang sedang mamai di atas katil. Bingit telinganya mendengar jeritan tiba-tiba Rais tadi. Nak bangun mata pula tak terangkat. Mengantuk sangat.
Tangan kiri Aufa terus ditarik kasar oleh Azman. Aufa diseret hingga ke bilik bacaan yang terletak di tingkat bawah sebelah ruang tamu. Kesakitan diseret menuruni tangga taklah sesakit dibiarkan hatinya yang sunyi di rumah besar ini. Kerana dia sudah dapat agak, apa yang menyebabkan semua orang berperangai kasar padanya.
“Abang Man, apa ni? Sakitlah. Lepaskan Ufa. Nak suruh Ufa ke mana cakap saja, tak payah main seret-seret macam ni,” marah Aufa yang sakit tangannya dicengkam menuruni anak tangga. Nak nangis? Bukan pada hari ini. Itu tekad Aufa.
“Nak ke sini je kan, cakap jelah. Macam orang tak ada kaki.” Aufa mengomel geram sambil melihat pergelangan tangannya yang merah. Terkena kuku Azman agaknya.
“Kau diam! Perangai mengalahkan pelacur!” herdik Azman yang sudah hilang rasa sabar dalam dirinya. Kalau ikutkan hatinya, memang lunyai Aufa disepak terajangnya sepuas hati. Buat malu keluarga saja.
“Siapa pelacur? Ufa bukan pelacur,” tukas Aufa dengan suara yang mulai meninggi. Merah garang mata Azman, menala garang juga balasan daripada Aufa.
Belum pun sempat Azman menjawab, pipi Aufa menjadi sasaran penampar Rais di kiri dan kanan.
Terdiam Aufa seketika. Namun matanya tajam beralih pandang ke arah papanya.
Pipinya yang putih sudah berbekas tapak tangan yang merah. Tangisan halus Dalilah terhenti tiba-tiba. Tergores hati si ibu melihat anak bongsu yang ditatang bagai minyak yang penuh telah menconteng arang di mukanya. Rasa jijik sudah terbit di hati Adra dan Aida pada Aufa, adik kandung mereka sendiri.
Hanya melalui gambar, mereka menjatuhkan hukum padanya? Sungguh tidak wajar. Keluh hati kecil Aufa.
“Anak kurang ajar! Dah lama buat kerja ni? Papa suruh Ufa belajar, bukannya suruh Ufa jadi pelacur!” herdik Rais dengan menunjal kepala Aufa berkali-kali.
Aufa diam tak menangis. Melihat reaksi Aufa yang diam melawan itu lagi buatkan Rais panasaran. Ditamparnya sekali lagi pipi kanan Aufa. Berbirat terus pipi putih Aufa.
“Ufa bukan pelacur!!! Berapa kali Ufa kata Ufa bukan pelacur!” jerit Aufa tak mahu kalah.
“Kalau bukan pelacur, semua ni apa? Apa
Ufa? Cakap! Bukan pelacur ke ni?” soal Azman yang menunjal-nunjal kepala Aufa. Geram dan marahnya tak terkawal. Ikutkan hati, memang mati Aufa dibelasahnya.
“Shut up, Abang Man!” tengking Aufa.
Kesabarannya sudah hilang langsung. Semua terdiam. Aufa yang sebelum ini penuh santun dan cakap penuh tertib sudah berubah kulit.
“Ufa bukan pelacur… Dan Ufa tak pernah jadi pelacur. Ufa tak pernah ingkar cakap papa dan mama. Pernah Ufa melawan cakap papa? Cakap mama. Tak pernah! Tak pernah sekali pun Ufa meninggikan suara. Pernah Ufa lawan cakap Abang Man, Kak Adra atau Kak Aida? Tak pernah. Ufa pun tak pernah abaikan pelajaran Ufa. Semua yang diharapkan dan diimpikan oleh keluarga Dato’ Rais dan Datin Dalilah ni, Ufa turutkan tanpa banyak soal. Tapi pernah tak, sesaat dalam diri papa dan mama bertanya…. Ufa sihat ke kat rumah? Ufa makan ke kat rumah? Ufa buat apa kat rumah? Tak pernah! Tak pernah sama sekali. Ufa ditinggal bulat-bulat dengan bibik. Bibik itu. Bibik ini. Siapa Ufa ni? Anak siapa Ufa ni? Adik siapa Ufa ni? Cakap!”
Terdiam seketika semua. Terkejut amat agaknya dengan kelantangan suara Aufa yang bergema.
“Kenapa semua diam?”
“Kurang ajar!” Sekali lagi pipi Aufa ditampar oleh Azman pula namun sempat ditahan oleh Aufa.
“Ufa!” jerit Dalilah yang terkejut melihat reaksi Aufa yang agresif. Hilang terus sikap Aufa yang tenang, sopan dan pendiam.
Tangan Azman yang ditahan Aufa tadi dihempas kasar. Wajah Azman lagi menyinga dari tadi. Egonya sebagai abang dicabar oleh si adik bongsu yang naif.
Rais memandang tanpa kelip. Dia pun terkejut melihat perubahan sikap Aufa yang agresif. Adra dan Aida diam menikus. Aufa menjeling beberapa keping gambar di tangan kakak-kakaknya dan di atas meja di tepi papanya. Dia sengih di dalam hati. Dia yang hantar gambar-gambar itu ke alamat rumah sendiri. Biarpun dia bertopeng di dalam gambar itu, tapi dipastikan ada tanda yang jelas menyatakan itu adalah dirinya. Orang lain tidak tahu itu dirinya tapi papa dan mamanya pasti kenal.
“Ya. Itu memang gambar Ufa. Gambar Ufa dengan boyfriend Ufa. Salah ke? Ufa sunyi di rumah. Ufa hanya nakkan kasih sayang dan perhatian. Boyfriend Ufa je yang sudi luangkan masa untuk Ufa, sayangkan Ufa. Orang dalam rumah ni semua macam tak sayangkan Ufa. Semuanya sibuk hingga tak ada langsung masa walaupun lima minit untuk Ufa. Setiap hari Ufa menumpang kasih dengan bibik je di rumah. Ufa macam tak wujud langsung dalam rumah ni… Tak wujud langsung dalam hidup papa dan mama… I really hate this family. I really hate you, you, you, you and you!” jerit Aufa sambil tunjukan terakhirnya ke arah Rais.
“Ufa!!!” jerit Rais.
“Tak guna dah papa nak herdik dan tampar pipi Ufa ni. Tak guna dah mama nak marahkan Ufa. Kalau benda ni tak muncul, ada tak orang dalam rumah ni nak bertegur sapa dengan Ufa. Ada nak tanya Ufa ni sihat ke tidak? Tak ada! Tak pernah ada. Jadi salah ke Ufa lakukan semua ini agar semua orang dalam rumah ni sedar akan kewujudan Ufa. Salah Ufa ke? Salah Ufa ke nak dapatkan perhatian daripada keluarga Ufa sendiri?” soal Aufa.
Semua yang berada dalam bilik bacaan itu terdiam. Rais yang tadinya tegak berdiri kini sudah terduduk di kerusi kerjanya. Dalilah yang tadinya teresak sedih dan kecewa terhenti esakannya. Azman, Adra dan Aida tertunduk memandang lantai.
“Kenapa semua diam? Kenapa semua tunduk? Sebab baru tersedar kan? Baru tersedar yang dalam rumah ini masih ada lagi seorang anak remaja yang baru meningkat dewasa. Anak remaja ni perlukan kasih sayang, perhatian dan bimbingan untuk menentukan arah tuju hidupnya…” lepas Aufa sepenuh hatinya. Puas hatinya meluahkan apa yang terbuku selama ini. Memang ini yang dia rancang, yang dia nantikan. Jadi tidak nampak kegugupannya langsung. Bersedia sangat untuk menghamburkannya.
Haji Abbas dan Hajah Aminah yang baru sampai dari Pulau Pinang terdiam di luar pintu bilik bacaan. Setiap patah perkataan yang diluahkan Aufa begitu nyaring di telinga mereka. Setiap satu menusuk jantung hati tua mereka. Air mata dikesat lembut oleh Hajah Aminah sambil memandang pada Haji Abbas yang berubah kelat wajahnya.
“Kita balik ya bang,” bisik Hajah Aminah.
“Tak. Aku tak akan biarkan cucu aku dibiarkan sendiri macam tu. Kita masuk,” tegas Haji Abbas. Belum pun sempat Hajah Aminah nak bersuara, Haji Abbas terlebih dahulu menghulurkan ucapan salam.
“Assalamualaikum,” sapa Haji Abbas mengejutkan semua. Balasan salam pun lemah oleh mereka. Setiap satu wajah ditentang oleh Haji Abbas dan akhirnya jatuh ke wajah Aufa. Menunduk gadis remaja tersebut.
Rais yang melopong tadinya, terus bangun dan bersalaman dengan abah dan emaknya itu. Begitu juga dengan Dalilah, Azman, Adra dan Aida. Masing-masing terlupa yang hari ini memang telah dimaklumkan akan kedatangan Haji Abbas dan Hajah Aminah ke rumah mereka.
Aufa diam kaku tak bergerak. Haji Abbas berjalan menuju ke arah Aufa yang dah terkedu. Aufa sendiri, tidak menyangka yang Haji Abbas ada mendengar luahan katanya tadi. Tubuh Aufa ditarik dan dipeluk erat oleh Haji Abbas dengan deraian air mata. Esakan tanpa suara Haji Abbas buatkan hati keras dan degil Aufa cair. Air matanya turut berderai di pipi diiringi dengan esakan halus.
“Kenapa Ufa? Kenapa malukan keluarga macam ni?” soal Haji Abbas berbisik lembut. Dia ingin mencungkil kisah kehidupan dari sudut pandangan mata Aufa.
“Ufa terpaksa, atuk. Ufa terpaksa,” bisik Aufa lemah.
“Siapa yang paksa Ufa? Boyfriend Ufa?” soal Haji Abbas lagi. Pelukan dilerai.
“Bukan… Bukan sesiapa tuk. Tapi, keadaan dalam rumah ni yang paksa Ufa. Rasa sunyi dalam diri Ufa ni yang memaksa Ufa. Atuk rasa kalau Ufa tak buat macam ni, mereka ni semua akan ingat tak yang tiga bulan sudah adalah hari jadi Ufa? Papa dan mama tak ingat tuk… Semua tak ingat…” Sebaknya bergayut.
Sayu hati Haji Abbas mendengarnya. Dia pun tak ingat. Cucunya bukan seorang. Anaknya juga bukan seorang. Wajarlah dia tak ingat tapi Rais tak kan tak ingat ulang tahun kelahiran anak bongsu sendiri. Haji Abbas toleh seketika Rais yang senyap.
“Mereka ni semua tahu tak berapa umur Ufa sekarang?” Aufa menggeleng. Dia yakin, abang dan kakak-kakaknya tidak tahu pun sebab masa dia di tahun enam pun, tiada seorang pun yang bertanya berapa keputusannya. Orang pertama yang bertanya adalah bibik. Mama ada bertanya tapi ketika tergesa-gesa hendak menghadiri satu majlis. Hanya ucap tahniah dan terus pergi.
“Mereka tahu tak yang perawan Ufa hilang dalam majlis hari jadi yang dianjurkan oleh orang yang Ufa baru kenal.” Aufa sudah tidak malu lagi bercakap tentang kegadisannya di hadapan semua.
Dalilah mengesat hidung yang berair dan meleleh hingus. Tersentap hatinya ini. Macam-macam rasa ada sebenarnya.
“Mereka di luar sana lebih prihatin, mengambil berat dan sanggup berkongsi kasih sayang mereka dengan Ufa. Tiga tahun Ufa duduk diam, tuk. Tiga tahun Ufa perhati dan perhati. Ufa pernah merayu pada papa minta selitkan masa main golf papa tu dengan Ufa jadi kedi, tapi papa gelakkan Ufa… Ufa pernah desak untuk membeli masa mama yang sibuk di syarikat dengan menemani mama setiap pagi dalam perjalanan ke sekolah. Tapi mama kata, waktu kerja mama tak sama dengan waktu Ufa ke sekolah.”
Aufa biarkan air matanya menjujuh laju kali ini.
“Ufa pernah cakap pada Abang Man, Kak Adra dan Kak Aida untuk turut sama bersama mereka menonton wayang. Mereka balas, Ufa budak kecik, tak sesuai menonton wayang bersama mereka. Untuk menebus semua tu, papa bagi duit. Mama pun tinggalkan kredit kad. Abang Man tinggalkan duit. Kak Adra dan Kak Aida pun sama, tinggalkan duit pada Ufa. Alasan mereka mudah, Ufa keluarlah dengan kawan-kawan sekolah Ufa.”
Haji Abbas memandang pada Rais yang menunduk sekali lagi. Kemudian pandangan matanya berkalih pada Dalilah yang sedang ditenangkan oleh Hajah Aminah. Satu keluhan berat dilepaskan. Bukan niatnya nak campur tangan urusan anak-beranak Rais. Tapi, setelah mendengar cerita Aufa, hati kecilnya merintih pedih. Azabnya dugaan hidup cucu bongsunya ini. Hidup dalam rumah besar yang tersedia segala kemewahan hidup tapi kosong.
“Atuk minta maaf. Atuk tak tahu yang Ufa sunyi tinggal sorang-sorang di rumah. Kalau Atuk tahu, memang tiap-tiap minggu atuk datang sini.” Jenaka Haji Abbas yang sedang cuba membeli hati Aufa semula.
Aufa hanya geleng kepala. “Semuanya sudah terlambat, tuk. Nasi sudah jadi bubur.” Dia sudah tak punyai apa-apa sebagai gadis suci.
Semua diam mendengar perbualan Aufa dengan Haji Abbas. Rais membelek kembali gambar Aufa satu demi satu. Kemudian kepalanya digelengkan.
“Is akan hantar Ufa ke rumah pemulihan akhlak. Biar dibetulkan sikit kewarasannya berfikir tentang baik dan buruk sesuatu tindakan tu,” putus Rais.
Haji Abbas geleng kepala lagi. Ingatkan Rais nampak jalan penyelesaian yang terbaik buat Aufa. Rupanya tidak!
“Kau rasa betul ke, Is?” soal Haji Abbas yang sedang berusaha menyedarkan Rais.
“Betullah, bah. Rumah macam tu memang dibina untuk membentuk akhlak remaja yang terlanjur macam Ufa ni. Is dan Dali memang tak ada masa untuk buat semua tu. Masa kami memang tak boleh dikompromi dengan perkara remeh-temeh macam tu. Kami tak berdaya,” ucap Rais penuh yakin.
Masalah itu bukan kemampuannya. Masalah ini perlu disalurkan pada orang yang lebih berpengalaman. Dia punyai wang. Baginya, wang mampu selesaikan semua masalah.
Bertambah berdarah hati Haji Abbas mendengar kata-kata anak kandungnya itu. Aufa bukanlah orang lain. Itu darah dagingnya sendiri. Hajah Aminah tersentap mendengar kata-kata Rais. Mengalir air matanya. Pincangnya rumah tangga anak lelaki kesayangannya ini. Kemewahan, pangkat dan harta telah buatkan mereka lupa siapa diri mereka. Harta lebih penting daripada anak kandung? Mana perginya sifat kasih sayang yang diterapkan masa mereka kecil dulu? Semuanya mahu diselesaikan dengan wang ringgit!
“Rais!” seru Hajah Aminah penuh kecewa. Tidak tahan hatinya ini yang menggelegak.
“Ami,” panggil Haji Abbas sambil menggelengkan kepala.
Hajah Aminah terus tertunduk. Sedih dan kecewa hatinya bukan kepalang. Dalilah yang duduk di sisinya dipandang. Mana pergi menantunya yang lembut dan penuh kasih sayang sebelum ini? Mana perginya menantu yang dulu lantang bersuara memperjuangkan kasih sayang.
“Kau jangan hantar Ufa kat rumah pemulihan akhlak tu, Rais. Abah tak benarkan. Dia bukannya salah apa pun. Dia tersilap ambil langkah untuk katakan pada kamu yang dia perlukan kasih sayang. Abah takut bila dah masuk sana, dia akan jadi lebih teruk. Kamu tahu ajelah budak yang masuk dalam tu, pengalaman mereka mungkin lebih teruk dan buruk daripada Ufa,” nasihat Haji Abbas pada anak lelaki sulungnya ini.
Kedatangan kali ini, bagaikan merobek jantung Haji Abbas. Harapannya untuk duduk bersenang di laman rumah, sambil mendengar cerita Aufa tentang sekolah dan pelajarannya sudah hilang. Harapannya nak bermanja dengan anak cucu, musnah. Sekiranya dia lewat tiba tadi, memang lunyai Nur Aufa Alia dibelasah dek kerana geram dan marah.
“Abah, sekarang ni saya dan Dali memang tak ada masa untuk Ufa. Itu saja pilihan terbaik yang boleh saya fikirkan sekarang ni. Kami tak mampu nak pantau dia 24 jam. Itu saja jalan yang kami ada untuk kebaikan Ufa,” cerita Rais mengundang keluhan yang panjang buat Haji Abbas.
Anak sudah memprotes macam ini pun, dia masih tak nak fikir betul-betul. Betullah sudah sampai akhir zaman, duit dan kemewahan lebih penting daripada kasih sayang dan didikan agama buat anak-anak.
Aufa yang mendengar bagaikan sudah lali. Namun tetap pedih, malah terlebih dalam lukanya kerana bagaikan tiada jalan penyelesaian untuknya dengan pengorbanan gila yang telah dibuat tiga bulan lalu. Papa dan mamanya semakin mahu menjauhkan diri daripadanya.
“Rais….”
“Abah, saya terpaksa bah.”
“Kalau macam tu kata kau, biarlah Ufa ni tinggal aje dengan aku kat Penang sana. Biar saja aku dan mak kau yang jaga dia,” putus Haji Abbas yang tak sanggup melihat Aufa melakukan pemberontakan yang lebih hebat lagi. Budak tu betul-betul nekad untuk menuntut kasih sayang daripada ibu bapanya. Tapi tuntutannya tak berbayar. Malah dia disingkirkan pula daripada keluarga.
“Betul ke ni, bah? Abah tak malu ke ada cucu perangai macam Ufa tu?” Terus Rais menyoal.
“Malu? Astaghfirullahalazim. Kenapa pulak aku harus malu? Dan kenapa pulak kamu nak malu bila Ufa berperangai macam tu?” soal Haji Abbas yang sudah dapat menangkap maksud tersirat dalam hati anak sulungnya itu.
“Taklah, cuma terkilan. Terfikir juga Is, apa pulak kata kawan-kawan Is dan Dali, bila mereka tahu yang Ufa berperangai mengalahkan pelacur kelas atasan. Mana Is nak letak muka, bah? Anak Dato’ Rais perangai macam pelacur,” ucap Rais.
“Astaghfirullahalazim. Rais! Budak yang kamu hina ni, anak kamu. Darah daging kamu. Silap langkah dia, bukan salah dia. Tapi salah kamu sebagai mak bapak dia. Sudah Ami bawa Ufa ni naik atas. Kemas semua kain baju, kita balik Penang sekarang ni juga. Lagi lama aku duduk sini, lagi sakit hati aku. Anak aku ni memang dah mati hatinya. Semua mati disebabkan duit.”
Haji Abbas terlalu marah. Tiada siapa yang mampu bersuara, bila bekas pegawai polis ini bersuara. Ketegasan dan disiplin Haji Abbas memang semua ahli keluarga sedia maklum.
Aufa Alia terkedu mendengar bait kata Rais. Jatuh bersepai hatinya yang rapuh inginkan kasih sayang keluarga. Justeru itu, dia menurut saja perintah Haji Abbas. Hatinya cukup berdarah. Hatinya lebih sakit apabila mamanya pun tidak mahu membela dirinya. Mana perginya kasih seorang ibu pada seorang anak yang rindukan kasih ibu? Nak menangis air mata darah sekali pun, kekesalan tak mampu dipadam dalam benak hati Aufa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/340913/Sejuta-Nafas-Cintamu