[SNEAK PEEK] SEJUJUR HATIMU

983124270x-medium

SEJUJUR HATIMU Oleh Umi Azrini

PROLOG

Pucuk paku, belimbing besi,

Bunyinya keras, rasanya lembut;

Tidak sehati, jiwa dikongsi,

Sentiasa panas, ego diturut.

REEN sebak setiap kali teringatkan dia. Sudah tiga hari dia menangis. Cukuplah. Air matanya kini sudah kering untuk lelaki itu. Muka macam hero, tetapi hati macam binatang! Dasar manusia tidak berhati perut! Bencinya bukan dibuat-buat. Marahnya meluap-luap. Dia telah diperbodohkan oleh sepupu sendiri. Jadikan saudara sendiri seperti barang permainan dan bahan ketawa. Maruahnya dipertaruhkan. Dia berasa cukup terhina. Hinaan paling besar kerana saudara sendiri yang melakukannya.

“Tak guna!” Reen menyumpah.

Hanya beberapa orang sahaja yang tahu hakikat permainan ini. Keluarganya langsung tidak tahu-menahu. Tetapi dia pasti, suatu hari nanti akan heboh jua. Biarlah anak ini melihat dunia dulu. Dia tidak akan sesekali membenarkan lelaki itu mendekatinya lagi. Dia akan pergi jauh dari sini. Biarlah kenangan pahit itu kekal di sini.

Cameron Highlands sekali lagi menyaksikan kesedihan Nik Nazrini. Lara hatinya dibawa ke tanah dingin ini dengan harapan akan sedikit sebanyak menyejukkan hati yang luka. Bila agaknya darah yang mengalir dari hati luka ini akan berhenti? Dia kurang pasti. Yang pasti, parut yang tinggal nanti tentu hodoh sekali. Dia bencikan parut yang bakal melekat dalam hatinya. Ia pasti akan menjadi dendam kesumat. Dendam pada manusia yang tidak berhati perut. Tergamak membakar impian orang lain semata-mata untuk menjaga ego sendiri.

“Argh… lelaki tak guna! Hipokrit!” Reen menjerit di dalam keretanya yang berhawa dingin itu. Stereng kereta dihentaknya sekuat hati. Empangan tubir matanya pecah buat kesekian kalinya.

Pasti lelaki itu puas mentertawakannya. Dia sepatutnya bertegas dari dulu lagi tentang pendiriannya terhadap perkahwinan ini. Tapi atas sebab tertentu, dirinya terjebak juga dalam mainan perasaan. Cukup perit, kerana pengorbanan cintanya mengorbankan jiwa sendiri. Dia nekad akan pergi jauh dari sini.

‘Ya ALLAH, ampunilah hamba-MU ini. Aku terima ujian yang ENGKAU berikan ini dengan hati yang reda. Namun, aku masih mengharapkan keampunan-MU terhadap dosa-dosaku.’ Doa Reen penuh dengan rasa insaf dan rendah diri. Hatinya masih luka. Jiwanya masih duka.

‘Baby, jangan bimbang. Mama sentiasa sayangkan baby. Kaulah bukti segala permainan papamu,’ detik hati Reen.

Inilah hakikat kehidupan sebenar, tiada pengakhiran yang indah seperti sebuah novel.

****

NIK NAZRINI menyingsing lengan bajunya yang pendek itu ke bahu, mendedahkan keseluruhan lengannya. T-shirt berwarna kuning terang itu memang sesuai dengan warna kulitnya yang cerah. Gambar PowerPuff Girls menghiasi keseluruhan bahagian hadapan baju itu. Baju paras lutut itu memang menjadi kesukaannya. Buka aurat pun, bukan orang nampak. Begitulah fikir Reen.

Rambutnya yang separas bahu juga dipinkan dengan penyepit rambut Powerpuff Girls. Reen memang gemarkan kartun itu. Comel! Lambang kuasa wanita moden. Nampak agak kurang sesuai dengan usianya yang sudah mencecah 27 tahun. Tapi itulah dirinya yang sebenar… kartun menceriakan hidupnya.

Bunyi loceng rumah tiba-tiba memecahkan suasana pagi yang tenang itu.

“Alaa…” keluhnya.

Dia lantas melepaskan langsir di tangannya dan membiarkan ia separuh tergantung di tingkap. Dia turun dari kerusi berhati-hati. Banyak benda tajam bersepah di lantai parquet biliknya itu. Pisau, gunting, penyangkut langsir dan macam-macam lagi.

Loceng menjerit lagi untuk kali yang kedua.

“Ya, ya! Kejap la,” sahut Reen sambil tergesa-gesa keluar dari bilik tidurnya menuju ke pintu utama. Dia mengintai dari lubang pintu. Anna!

Sebaik sahaja pintu dibuka, Anna sudah tersengih-sengih memandangnya.

“Morning!” ucapnya girang.

“Kau ni menyusahkan aku tau! Bukan tak boleh bukak sendiri rumah aku ni. Nak berting tong jugak,” omel Reen.

Anna tidak membalas. Terus saja dia masuk. Bibirnya menguntum senyum. Gadis berketurunan Cina Penang itu memang murah dengan senyuman. Pergaulan yang lebih banyak dengan orang Melayu menyebabkan dia mampu menguasai loghat Penang dengan begitu baik sekali.

Matanya begitu bulat dan besar. Kulitnya cerah bersih. Kedua ibu bapanya berbangsa Cina namun berbeza agama. Ayahnya beragama Buddha manakala emaknya Kristian. Kerana itu, semua perayaan di Malaysia ini boleh dia raikan.

“Oh… ni mesti kes nak tumpang breakfast kat sini lagi ni…” duga Reen sambil mengangkat sebelah keningnya. Dia memandang Anna yang masih tersenyum. Anna hanya memakai T-shirt tanpa lengan dengan seluar hitam berjalur kuning.

“Sorrylah Anna, pagi ni aku tak masak apa-apa pun. Awal pagi lagi aku dah kemas rumah dan tukar langsir. Tak sempatlah. Tapi kalau kau nak makan oat dengan susu segar coklat, ada kat dalam peti sejuk tu,” sambung Reen lagi.

“Patutlah lama… tukar langsir rupanya,” kata Anna. Langsung tidak menghiraukan cadangan yang disyorkan oleh Reen tadi. Sebaliknya, dia terus berjalan masuk ke bilik tidur Reen seperti biasa.

“Cantik!” puji Anna.

Kembang hati Reen mendengar pujian Anna terhadap hasil kerjanya yang masih separuh jalan itu.

“Apa pulak cantik, belum siap lagilah!” Reen membidas. Tidak mahu hanyut dengan pujian Anna yang jarang sekali dapat didengar.

Dekorasi putih memang diminati Reen sejak sekian lama. Cadar putih di atas katil masih belum dikemaskan. Biliknya agak berselerak.

“Aku puji warna putih tu yang lawa, bukannya bilik kau yang macam reban ayam nilah curry puff girl!” perli Anna.

Reen tersengih. Bantal-bantal bersarung putih dengan hiasan bunga-bunga kecil berwarna merah hati masih bertaburan di atas katil yang sederhana besar itu. Barang-barang yang bertaburan di atas lantai menyemakkan lagi keadaan biliknya itu.

“Serba putih bilik kau Reen. Nampak luas!” Anna terus memuji.

“Hmm… tengok oranglah,” balas Reen cuba berjenaka.

“Yalah… tengok kaulah, interior designer tak jadi! Tulah… asyik tengok kartun Powerpuff Girls aje, mana nak lulus periksa!” Anna mentertawakan rakannya itu.

Reen tersengih. Memang ada kebenaran pada kata-kata Anna.

Sejak tahun pertama dalam jurusan Perumahan, Bangunan dan Perancangan di Universiti Sains Malaysia (USM) lagi, Anna dan Reen sudah berkongsi azam yang sama. Selalu berusaha untuk berjaya dalam pelajaran dan memastikan kerja-kerja studio mereka antara yang paling cemerlang dan kreatif. Mereka bercadang memilih bidang hiasan halaman.

Mana tahu, hanya Anna yang masih meneruskan cita-cita dalam bidang tersebut. Manakala Reen pula menyambung pelajarannya dalam jurusan Ukur Bahan atas desakan keluarga; cadangan Abang Nash sebenarnya.

Abang Nash merupakan abang kedua Reen yang ketika itu baru saja menamatkan pelajarannya dalam bidang pengurusan projek di sebuah universiti di bawah tajaan sebuah syarikat pemaju terkemuka di Malaysia. Setelah bekerja dengan syarikat pemaju yang menaja pengajiannya, Abang Nashlah yang beria-ia menasihatkan Reen supaya meneruskan pengajian dalam jurusan Ukur Bahan.

“REEN, dengar cakap abang. Peluang kerja untuk graduan Ukur Bahan amat luas. It’s a demanding course right now,” ujar Abang Nash dalam satu perbualan telefon dengan Reen.

“Tapi, bang… Reen lebih suka hiasan dalaman. Interior designing profession is starting to grow!” tingkah Reen pula.

“Dalam keadaan pasaran ekonomi yang kurang stabil dan tak menentu ni, lebih baik Reen ikut saja cakap abang. Bayangkan betapa ramai siswazah yang menganggur disebabkan peluang kerja dalam bidang yang mereka ambil tu begitu terhad.” Abang Nash mengemukakan hujah-hujahnya.

“Bang… biarlah Reen tentukan sendiri masa depan Reen,” kata Reen tegas. Hatinya tetap tegar untuk memilih jurusan yang dia minati itu.

“Abang tak kisah kalau Reen nak tentukan masa depan Reen sendiri. Tapi jalan yang Reen pilih mesti betul. Abang tak nak Reen tergolong dalam sebahagian daripada statistik graduan yang menganggur nanti,” tutur Abang Nash tenang.

Pada waktu itu, Reen hanya menganggap Abang Nash sengaja ingin mengawal hidupnya. Sengaja mahu menunjukkan yang dia tahu tentang semua perkara.

Selepas bercakap dengan Abang Nash melalui telefon, Reen menghubungi emak di kampung, memohon restu tentang pilihan jurusan yang bakal didaftar keesokan harinya. Namun, tidak disangka Abang Nash bertindak lebih cepat mempengaruhi emak dan ayah di kampung. Akibatnya, mereka bertegas mahukan Reen mengambil jurusan Ukur Bahan juga. Semuanya kerana kredibiliti Abang Nash yang diyakini emak dan ayah.

“Reen, dengarlah nasihat emak dan ayah ni. Daftar untuk jurusan Ukur Bahan. Emak dan ayah tak nak Reen lepas habis belajar nanti, tak ada kerja. Jadi penganggur terhormat pulak kat rumah,” nasihat ayah.

Dalam diam, Reen memberontak. Dia sedar, setiap kata-kata ayah adalah titik noktah. Apatah lagi dalam keluarganya, tidak ada sesiapa yang berani menyangkal kata-kata ayah, Penghulu Kampung Pasir Putih yang cukup disegani ramai. Sebagai abang yang sudah membuktikan kemampuannya kepada keluarga, pastinya emak dan ayah menaruh kepercayaan tinggi terhadap Abang Nash. Mahu tidak mahu, Reen terpaksa akur dengan pilihan keluarganya.

Ternyata, rezekinya betul-betul sebagai Juruukur Bahan atau lebih dikenali dengan nama Quantity Surveyor (QS). Tamat sahaja belajar, dia berjaya menempatkan diri di salah sebuah syarikat terbesar di Kuala Lumpur. Walaupun tidak mengambil bidang Interior Designing, dia tetap berkebolehan dalam menghias rumah.

“KALAU kau letak border wallpaper pun lawa jugak, Reen. Warna krim dengan hijau atau coklat gelap dengan corak klasik. Lagipun dinding bilik kau ni dah ada warna pastel,” komen Anna mengejutkan Reen dari lamunan.

“Menarik jugak cadangan kau tu,” puji Reen. Cuba mengembalikan dirinya ke dunia sebenar.

“Lepas tu, letak satu pasu kaca besar dekat tingkap ni. Hiaskan dengan ranting-ranting kering. Mesti mengancam habis! Sekarang popular jugak gaya macam tu. Praktikal dan simple,” komen Anna lagi.

Reen cuba membayangkan idea Anna andainya dapat diaplikasikan untuk hiasan dalaman rumahnya itu.

“Aku cadangkan kau cat dinding bilik kau ni Reen.” Anna menyambung. Matanya masih meliar memandang sekitar rumah sewa Reen.

“Cat? Berapa pulaklah kosnya nanti. Upah orang mahunya terbang beratus. Buat sendiri, mana ada masa!” balas Reen. Sememangnya apa juga perancangan, pasti kos yang diperlukan akan difikirkannya terlebih dahulu. Sudah menjadi kebiasaannya membuat perancangan kos bagi setiap projek pembangunan di pejabatnya. Malah, dia juga biasa mengaplikasikannya dalam kehidupan biasa.

“Lagipun, memandangkan ini hanyalah rumah sementara, aku tak akan cat dinding rumah ini.” Reen memberi alasan lain.

“Well… you got your point, Reen!” balas Anna sambil mengangguk tanda setuju.

“Eh, apa hal sebenarnya kau datang rumah aku ni?”

“Err… sebenarnya, aku nak pinjam microwave kau. Aku ingat nak buat kek hari ni. Nak belajar. Lagipun, semalam aku ada beli buku resepi. Sedap aje nampak kek-keknya. Itulah yang nak cuba buat tu.” Anna berterus terang.

“Pilah ambik! Nanti kalau dah siap, mailah hantaq sini sebijik. Nak juga merasa hang punya kek tu,” seloroh Reen sambil mengajuk loghat utara temannya itu.

“Jangan bimbang, aku kan berkebolehan.” Anna meyakinkan. Ibu jarinya dinaikkan ke atas tanda beres.

“Apa-apa sajalah Anna,” balas Reen malas. Sudah lama rasanya dia bersembang dengan Anna, terbengkalai pula kerjanya nanti.

“Eh, Reen! Kau pergilah sambung kerja kau tu. Nanti lambat pulak siap. Biar aku ambik sendiri. Bukannya tak biasa,” ujar Anna kemudiannya.

“Hmm… okey.” Reen mengatur langkah ke bilik tidurnya kembali.

Anna Lim merupakan kenalan lama Reen sewaktu di univerisiti lagi. Berasal daripada keluarga sederhana, tetapi tunangnya seorang yang berada dan berpangkat. Rumah yang didiami Anna sekarang adalah antara satu rumah yang dimiliki oleh keluarga Raiyyan Ong, tunangnya yang juga pengurus sebuah syarikat hartanah terkemuka di Kuala Lumpur. Semasa mula bekerja dahulu, Reen tinggal bersama Anna. Tetapi setelah keadaan agak stabil dan dia sudah mampu menyewa sendiri, Reen berpindah dari rumah Anna. Kebetulan pula, memang ada rumah kosong yang berdekatan untuk disewa pada waktu itu.

Pada mulanya, Anna keberatan juga membiarkan Reen menyewa sendiri, tetapi Reen tidak mahu mengganggu privasi Anna. Malah, dia sememangnya suka tinggal sendiri. Hidup berdikari. Pada masa yang sama, dia juga segan. Setiap kali Raiyyan datang mahu bertemu Anna di rumahnya, dia kelam-kabut menyelamatkan diri. Mencari tudung atau menyorok sementara di mana-mana. Lagipun, itu rumah Raiyyan. Dia memang berhak. Cuma Reen yang kurang selesa.

Tinggal berhampiran Anna tidaklah terasa keseorangan sangat. Mereka saling berkunjung. Tapi biasanya, Annalah yang paling kerap berkunjung ke rumahnya. Anna tinggal di tingkat yang sama dengannya cuma selang serumah sahaja. Reen cuma menyewa di kondominium sederhana mewah itu tetapi Anna bakal menetap terus di kondo tersebut. Reen memang sukakan tempat itu. Agak selamat. Ada sekuriti dan prasarana seperti kolam renang dan gimnasium.

“Microwave kau belum ambik kat kedai lagi ke?” tanya Reen.

“Itulah… si Raiyyan tu sibuk betul. Dah dekat seminggu belum ada masa nak ambik lagi. Jumpa aku pun susah. Mesyuarat aje memanjang.” Anna membebel.

Reen berpaling ke arah Anna yang sedang berdiri menghadapnya.

“Yang kau tu pulak, tak boleh pergi ambik sendiri ke?”

“Alaah… Raiyyan kan ada,” balas Anna bersahaja.

“Hah! Dah naik lemaklah tu!” Reen mencebik. “Kau kalau tak jaga Raiyyan tu elok-elok, melepas nanti, baru kau tahu! Kau bukan tak pandai berdikari, Anna. Jangan terlalu bergantung sangat pada lelaki ni.” Reen terus mengomel.

“Reen…” panggil Anna. Reen menoleh. Kelihatan Anna sedang tersenyum memandangnya sambil menayangkan cincin tunang bermata berlian satu di jari.

Reen dapat mengagak itu pasti pemberian Raiyyan. Raiyyan memang jenis tidak berkira.

“Setakat cincin, jangan nak yakin sangat. Orang dah dapat dua tiga cincin pun boleh tak jadi. Apatah lagi kau! Baru satu cincin,” balas Reen. Agak tidak senang dengan sikap bergantung Anna pada teman lelakinya itu.

“Eh, salahlah Reen. Aku dah dapat empat cincin daripada Raiyyan, tau! Satu hadiah birthday, satu ulang tahun ketiga percintaan kami. Satu lagi, masa dia pujuk aku merajuk dan paling akhir, cincin tunang ni.” Nada Anna sengaja dibuat serius seperti menerangkan perkara yang penting. Reen hanya menggeleng sambil tersenyum.

Anna sememangnya seorang teman yang kelakar, berterus terang dan manja. Ditambah pula dengan mukanya yang agak comel itu menyerlahkan parasnya yang awet muda.

“Orang cakap, kalau dah kahwin nanti, mesti dapat tiga cincin tau!” Reen menyakat.

“Ring quantity is no limit, Reen. It’s infinity… not necessary three rings!” Anna membalas.

“Well… but you want to know what people said my dear, Anna?” Reen bertanya sambil mencari reaksi temannya.

“Hmm… apa dia?”

“First ring is the engagement ring, second ring is the wedding ring and the third ring is the suffer-ring.” Reen menerangkan. Kata-kata tersebut pernah dilafazkan oleh guru bahasa Inggerisnya sewaktu di universiti dulu.

“Suffer-ring? Hisy… ada pulak macam tu! Mengarutlah!” bangkang Anna tidak setuju. “Dah kahwin tentulah bahagia. Takkan derita pulak!”

“Atas kaulah nak percaya atau tak Mrs. Raiyyan,” perli Reen selamba. Dia tidak kisah. Dia hanya mahu berkongsi dengan Anna apa yang dia tahu. Hatinya sendiri membenarkan pernyataan itu. Dalam melayari rumah tangga, pastinya tidak dapat tidak, akan ada suffering. Namun, ia tidak semestinya hingga meruntuhkan rumah tangga.

“Bukan apa Anna. Perkahwinan tak semuanya menjanjikan kebahagiaan. Kebahagiaan itu perlu sentiasa dibina, diusahakan, bukannya sekali bahagia akan terus bahagia selamanya. Perkahwinan hanyalah satu ikatan suci. Satu peringkat dalam sesebuah kehidupan, bukannya titik noktah kebahagiaan. Bahagia perlu sentiasa dicari!” ujar Reen lagi.

Kakak Reen, Nik Nabila adalah seorang peguam syariah. Dia selalu menceritakan kepada Reen tentang realiti kehidupan hubungan lelaki dan perempuan. Setiap hari Nik Nabila berdepan dengan masalah rumah tangga orang.

“Carilah seseorang yang ada asas agama yang cukup kerana dialah yang akan mengemudi bahtera rumah tangga kita,” pesan Kak Nabila suatu waktu dahulu.

Sesungguhnya, Kak Bila cukup bertuah kerana suaminya merupakan pilihan hati sendiri dan direstui keluarga. Abang Zakuan seorang yang amat menghormati orang tua. Begitu juga dengan Abang Nazrin dan Kak Huda. Masih bahagia hingga sekarang. Kedua-duanya mempunyai dua orang cahaya mata. Kadang-kadang Reen cemburukan kebahagiaan mereka terutamanya apabila kesemua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai. Tinggal dirinya, Abang Nash dan Imah saja yang belum berkahwin.

“Alah Reen… kau ni serius sangatlah! Aku bukannya tak boleh ambik sendiri. Tapi kalau pergi dengan Raiyyan, rasa lagi seronok. Aku tak suka pergi pasar raya tu sorang-sorang. Ajak kau, kau pulak asyik kerja aje. Macam manalah Iqbal tu boleh tahan dengan kau, ya Reen?”

“Hah! Dah! Tak pasal-pasal Iqbal pulak yang kau sabitkan. By the way, setiap hari kami dating di pejabat, cukuplah lima hari seminggu, nanti jemu pulak.”

Kegembiraan Reen di pejabat separuhnya adalah kerana kehadiran Iqbal dalam hidupnya. Mereka bukan seperti remaja-remaja lain yang bercinta di taman bunga atau di tepi pantai. Kedua-duanya sudah cukup matang.

Anna keluar dari bilik Reen menuju ke dapur. Reen pula melangkah ke arah bangku di tepi jendela kaca.

‘Sambung kerja lagi baik,’ fikir Reen sebelum kakinya memanjat bangku. Dari atas bangku, dia menjengket sedikit untuk menyangkut kain jenis linen dan kapas itu.

“Reen, thanks!”

Reen menoleh. Kelihatan Anna sedang mengangkut microwavenya. Lapisan langsir yang nipis masih tergantung separuh. Langsir tersebut ditolak ke tepi. Sinar matahari pagi terus memancarkan cahaya menembusi ruang biliknya.

“Yalah,” balas Reen lalu menyambung kerjanya.

“Reen…” panggil Anna lagi.

“Apa hal lagi ni?” tanya Reen malas. Kali ini dia tidak berpaling lagi. Dia meneruskan kerjanya.

“Seksilah cara kau pasang langsir. Ada seni! Kalau Leonardo Da Vinci hidup lagi, mesti dia lukis gambar kau sekarang.”

Reen berpaling untuk membalas, tetapi Anna sudah keluar dari biliknya dengan ketawa yang kuat.

“Gila kau!” jerit Reen sudahnya. “Hei, Anna! Kau jangan lupa kunci pintu depan tu!” Dia melaung kuat agar pesanan itu sampai ke telinga Anna. Kemudian, dia menggeleng-geleng sambil tersenyum sendiri.

****

BERDIRI di atas bangku itu membawa banyak ilham baru dalam fikiran Reen untuk menghias rumahnya tika itu. Mungkin dengan cara meletakkan lebih banyak pokok hidup di dalam rumah dan juga bilik air dapat meredupkan suasana. Memelihara ikan emas di dalam balang kaca juga mampu memberi ketenangan kepada penghuninya.

Untuk beberapa ketika, dia begitu ralit dengan kerja dan angan-angannya untuk menghias rumah, sehinggalah…

“Reen…” Satu suara menegur dari belakang. Garau bunyinya. Yang pasti, bukan suara perempuan dan bukan suara Anna. Reen memusingkan tubuhnya dengan langsir yang masih di tangan. Entah apa malangnya pagi itu, kakinya tidak stabil akibat terkejut melihat wajah di belakangnya.

“Aaa… aahhh…!”

Bedebuk!

Fahrin bergegas meluru ke arah Reen.

“Aduh! Sakitnya… ya ALLAH…” Ada darah merah yang mula mengalir keluar dari kulit bersih Reen. Bajunya yang singkat terselak ke paras paha.

Fahrin menyentuh bahagian paha Reen yang luka itu.

“Wei! Gila kau!” Reen menepis tangan Fahrin dengan kasar. Dia menekan-nekan bahagian pahanya yang luka sambil menahan sakit.

“Kau ada first aid?” tanya Fahrin.

“Atas almari tu.” Reen menunjuk dengan ekor mata. Tidak berdaya menahan sakit. Keningnya berkerut. Dalam hati, dia beristighfar panjang. Entah apalah dosanya pagi itu sampai terjatuh. Paha kanannya sudah merah dengan darah. Reen berkalih kedudukan.

“Aduh! Sakitnya,” rintih Reen lagi.

Fahrin mendekati Reen dengan membawa first-aid kit.

“Jangan banyak bergerak. Mungkin kaki kau terseliuh,” ujarnya.

Reen tidak dapat berbuat apa-apa. Diluah mati emak, ditelan dia sendiri yang mati. Perlahan-lahan, Fahrin memegang kakinya. Dia terpaksa membiarkan. Dengan penuh hati-hati, Fahrin membersihkan lukanya dengan kapas.

‘Seksi betul ni!’ Hati Reen berkata-kata. Nak ditutup bahagian yang terdedah, pahanya pula berdarah. Payah pula nak dibersihkan nanti. Nak labuhkan baju, bajunya pula memang sudah sedia singkat. Mahu tidak mahu, Reen membiarkan saja. Sebenarnya, dia cukup malu dengan keadaannya sendiri. Akhirnya, lengan baju di atas bahunya yang diturunkan. Itupun baginya masih pendek.

“Ah…” Reen menjerit kecil tatkala terasa ada cecair terkena pada lukanya tadi.

“Sorry, ubat ni memang pedih sikit,” ujar Fahrin. Tangan kasarnya yang terkena kulit halus Reen terasa menyentak saraf seperti ada cas elektrik yang mengalir, merungkai satu perasaan aneh di hatinya.

“Macam mana kau boleh masuk, hah?” Terpacul soalan itu tiba-tiba dari mulut Reen. Kasar sekali nadanya.

Memang sengaja Reen bersikap sedemikian sebagai satu cara untuk mengawal rasa malu, menahan sakit, sakit luka dan sakit hati. Dia tidak ingin memandang wajah lelaki di hadapannya.

“Aku dah bagi salam, tapi tak ada orang jawab. Pintu depan tu pulak tak kunci, jadi aku masuklah,” jelasnya tenang. Dia masih merawat luka di kaki Reen. Tidak sedikit pun dia memandang wajah Reen.

“Anna!” Laju saja nama itu keluar dari bibir Reen secara tiba-tiba.

“Apa dia?” soal Fahrin terpinga-pinga.

Reen pantas menggeleng. Malas hendak menerangkan.

Itulah satu-satunya kelemahan Anna setiap kali berkunjung ke rumahnya. Sudah beberapa kali Anna terlupa menutup pintu rumahnya. Sudah berbuih juga mulutnya membebel mengingatkan, tetapi Anna masih juga begitu. Nasib baik tidak pernah terjadi benda-benda yang tidak elok. Tetapi hari ini, nasib tidak menyebelahinya. Kiranya, nasibnya masih baik kerana yang masuk pun, sepupunya sendiri. Kalau orang asing, apalah agaknya yang akan berlaku pada dirinya.

‘Ada seni…’ Teringat Reen pada ungkapan Anna tadi.

“Gila!” Tangan Reen secara spontan menyentak ke bawah, tepat terkena lukanya sendiri.

“Argh! Aduh mak! Sakitnya…” jerit Reen.

“Kalau ya pun marah, janganlah sakitkan diri sendiri.” Lembut kata-kata Fahrin menusuk ke telinga Reen. Memang sesuailah dia dengan gelaran doktor perubatan yang disandangnya sekarang. Faham emosi pesakit yang sedang marah sepertinya ini.

“Kan dah berdarah banyak tu. Kawallah sikit perasaan tu. Kalau lagi banyak marah, lagi banyak darah keluar, tau!”

‘Agaknya, dah berapa lama makhluk ni berdiri kat pintu tu sebelum tegur aku tadi?’ Reen tertanya sendiri. Bagaimanapun, soalan itu dipendamkan sahaja. Dia cuba bangun tetapi…

“Aduh… sakitnya..!” rintih Reen lagi.

“Terseliuhlah tu.” Seperti tadi, Fahrin hanya berkata tetapi langsung tidak memandang wajahnya. Entah malu atau apa, Reen kurang pasti.

Sekali lagi dia terpaksa mengalah. Dia dipapah ke katil. dan terduduk di hujung katil. Itulah kelebihan Fahrin. Cerdik, kacak dan yang paling jarang ada pada anak-anak muda zaman moden ini ialah, pandai mengurut. Reen tahu Fahrin pandai mengurut. Ilmu yang diperturunkan daripada arwah datuk dulu. Dalam keluarganya, hanya Fahrin yang minat dan pandai mengurut. Pangkat doktor dan tukung urut sekali gus disandang olehnya. Memang mengagumkan!

“Tahan ya. Mungkin sakit sikit,” beritahu Fahrin. Dia lalu duduk di atas lantai berlapikkan sebelah kaki kanannya. Kaki Reen diangkat naik ke lutut kirinya. Perlahan-lahan dia mengurut. Tangan kasarnya memicit-micit kaki Reen.

Reen cuba menahan sakit yang terasa. Kalau dia menjerit, ketara pula kelemahannya. Dalam hati, dia tidak putus-putus berdoa. Dia benar-benar malu dengan Fahrin.

‘Peliharalah hamba-MU ini, ya ALLAH,’ bisik Reen perlahan. Walaupun dia tahu sepupunya itu tidak akan melakukan apa-apa, tetapi dalam keadaan begini, hanya TUHAN yang tahu apa sebenarnya yang bermain di dalam fikiran seorang lelaki. Reen sedar, antara seorang lelaki dan perempuan, pasti ada makhluk ketiga antara kedua-duanya.

Fahrin kelihatan serius mengurut kakinya. Tidak sedikit pun menunjukkan cara-cara yang tidak menyenangkan. Reen memberanikan diri menatap wajah lelaki di hadapannya itu. Sedari tadi, lelaki itu langsung tidak mengangkat muka. Wajah Fahrin juga semakin kacak di matanya. Rambut yang hitam pekat, disisir rapi. Cukup kemas!

Sekali-sekala kelihatan Fahrin menolak cermin matanya. Hmm… memang bergaya. Walaupun lagaknya kadang-kadang menyakitkan hati, namun Reen memang senang dengannya, dahulu…

MEMANG Fahrinlah yang ditunggu setiap kali bercuti panjang semasa di sekolah menengah dulu. Orang bijaklah katakan! Sekolah berasrama penuh di Selangor sedangkan Reen hanya sekolah kampung biasa sahaja. Dalam diam, Reen menaruh minat padanya. Ringan saja tulang Reen setiap kali emak menyuruh menghantar makanan ke rumah mak cik. Tiada siapa yang tahu mainan perasaan Reen ketika itu walaupun hubungan kekeluargaan mereka amat erat.

Reen segan dengan keluarganya. Dia sendiri tidak tahu mengapa. Rasa rendah diri mungkin. Sosialnya lain dengan sosial Reen. Sejak mula mengenal alam persekolahan menengah dan sejak memulakan kehidupan di asrama Sekolah Menengah Agama Perempuan Mahmudiah, Kuala Terengganu, di situlah mulanya timbul rasa malu Reen. Sedangkan semasa di sekolah rendah, tahap sosial mereka sama rata. Semasa Reen sekolah menengahlah, dia mula mengenal batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

“Seseorang yang akil baligh akan menanggung dosanya sendiri. Tidak kira dosa apa pun, sama ada berkaitan aurat ataupun pergaulan.” Ustazah Solehaton pernah mengingatkan para pelajar dalam pelajaran Pendidikan Agama Islam dahulu. Itulah yang diingati Reen sehingga sekarang.

Setiap kali dia ke rumah Fahrin, lelaki itu hanya memakai seluar pendek tidak berbaju. Selamba sahaja. Dia pula yang terasa malu. Kalau Fahrin datang bertandang ke rumahnya pula, dia juga yang akan berlari mencari tudung.

Pernah suatu hari Reen keluar bersama adik bongsu Fahrin, Nik Nazilah ke pantai. Lepak-lepak di Pantai Pasir Putih. Mereka agak rapat dan suka bercerita walaupun jarak umur mereka lima tahun.

Ilah pernah menceritakan tentang bil telefon rumah yang melambung naik. Menurutnya, Fahrin selalu menelefon seorang gadis di Selangor dan bersembang panjang. Reen agak terkejut juga masa itu, tetapi mujurlah tidak ketara pada penglihatan Ilah.

‘Sudah ada yang punya rupanya…’ getus hati Reen. Sejak itu, dia terus melontar jauh perasaan suka pada Fahrin. Walaupun jauh di sudut hati masih ada sisa-sisa minat pada lelaki itu, tetapi dia kuat menafikan.

Biarlah… Padanya, dia langsung tidak layak untuk lelaki itu. Tambahan pula sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia sudah mempunyai kehidupan sendiri yang boleh dibanggakan. Dia sudah tidak hairan lagi setakat Nik Fahrin! Teman lelakinya jauh lebih hebat. Reen tersenyum sendirian.

“HMM… jauh berangan, Reen?” Suara itu memecahkan khayalan Reen. Pandangan matanya melekat pada lelaki di hadapannya. Aduh, malunya! Panas mukanya untuk kesekian kali. Segera dipalingkan mukanya bagaikan tiada apa yang berlaku. Entah berapa lama kakinya diurut. Dia tiba-tiba sahaja rasa mengantuk. Sudah beberapa kali dia menguap.

Ingin saja dia bertahan sehingga segalanya selesai dan Fahrin beredar. Namun, sudah acap kali dia menguap dalam masa seminit ini. Dia benar-benar mengantuk.

Mungkin Fahrin perasan kelakuannya lalu kakinya diletakkan perlahan-lahan ke lantai. Rasa bengkaknya berkurangan. Reen lalu berkalih ke atas katil dengan bantuan Fahrin.

‘Hmm… lantaklah!’ detik hati Reen. Dia menguap lagi. Matanya sudah berair menahan kantuk. Biarlah dikatakan buruk laku sekalipun, yang pasti matanya sudah berat untuk terus menahan kelopak mata.

‘Ya ALLAH, aku berlindung pada-MU…’ doa Reen di dalam hati. Hatinya cuak memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku namun dia bertawakal sahaja kepada ALLAH.

“Fahrin, kalau kau keluar nanti, tolong kunci pintu tu ya,” pesan Reen.

“Apa kata aku bawa kau ke klinik dulu?” tanya Fahrin. Seperti tadi, lelaki itu langsung tidak memandang wajahnya. Mulut sahaja yang bersuara tetapi Reen pasti, soalan itu ditujukan padanya, cuma pandangan lelaki itu disorotkan ke arah lain.

“Hah? Klinik? Thanks but no thanks.” Terus saja Reen menolak. Dia memang tidak gemar mendengar perkataan klinik. Bau ubat sahaja boleh membuatkan dia loya. Imej jarum sudah cukup membuatkan lututnya menggeletar. Belum tengok pesakitnya lagi. Boleh muntah dibuatnya.

“Aku rasa iodin yang kau sapu ni pun dah cukup. Lepas tidur nanti, mungkin okey sikit,” ujar Reen sambil menutup mulutnya buat kesekian kali. Menguap lagi.

“Well, up to you then,” balas Fahrin. Masih enggan memandang muka Reen.

Kurang sopan pula rasanya bila seseorang itu bercakap tanpa memandang muka. Mungkinkah Fahrin menjaga pandangannya? Reen tidak pasti tentang itu.

“By the way, thanks to you, doctor!” ucap Reen separuh mengejek.

“Tak payah nak ucap terima kasih, Reen. Kalau keluarga kau tahu aku ada kat sini, kau pulak jatuh dan luka, lepas tu aku tak tolong apa-apa pulak, teruklah aku kena sindir bila bertandang ke rumah kau nanti. Doktor belajar tinggi-tinggi. Tapi tolong sepupu pun payah.” Tangannya lincah mengemas alatan dan balutan yang telah diguna lalu dimasukkan kembali ke dalam kotak kecemasan putih itu.

Reen agak terkejut dengan penjelasan itu. Itulah salah satu sebab dia tidak begitu menyenanginya. Apa saja yang dia lakukan, pasti untuk diri sendiri sebenarnya. Lihat saja sekarang. Tolong pun sebab nak jaga imejnya depan keluarga.

‘Macamlah aku nak bagitahu satu Malaya yang dia datang rumah aku. Tolong aku rawat luka. Eeiii… mengada-ngada betullah si Fahrin ni. Berlagak! Ego! Eeiii… benci betul!’ gerutu hati Reen. Dia tidak mengerti bagaimana seorang doktor yang sudah berumur 27 tahun sepertinya masih bersifat kebudak-budakan begitu dan sering kali menyakitkan hatinya. Sejak kecil lagi. Atau mungkinkah dia saja yang terlalu sensitif dengan sikap Fahrin?

“Jangan lupa kunci pintu. Ini rumah saya. Jangan buat macam rumah sendiri pulak. Keluar sesuka hati tak kunci,” balas Reen. Sejurus itu, terus saja dia menarik bantal di sebelah dan menekup mukanya. Malas mahu memandang wajah yang cukup menyakitkan hatinya itu.

“Alaah… rumah sewa aje pun. Nak eksyen. Kalau rumah sendiri tu lainlah,” jawab Fahrin selamba.

Terkejut Reen mendengar kata-kata balas Fahrin itu. Marahnya semakin meluap-luap.

“Rumah sewa pun, rumah aku jugak! Aku tuan punya rumah ni sekarang. Right now! Faham? Yang kau datang tak diundang ni kenapa? Berani pulak kau datang ke rumah sewa aku ni!” Darah Reen mendidih tiba-tiba. Bantal yang dipegang tadi, ditolak ke tepi untuk dia melepaskan rasa geram.

Fahrin terus berlalu keluar dari bilik itu tanpa menjawab kata-kata Reen.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81394/Sejujur-Hatimu